101 : PENYAKIT ANJING GILA: BAHAYA DAN HUKUMNYA

 101 : PENYAKIT ANJING GILA: BAHAYA DAN HUKUMNYA

  

Mukadimah

Baru-baru ini kami membaca risalah penerangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia tentang penyakit anjing gila yang kembali menyerang di beberapa tempat di Sarawak. Sebelum itu, kira-kira dua tahun lepas, Malaysia menerima ancaman yang sama di kawasan Kedah dan Pulau Pinang. Melihat kepada bahaya penyakit ini, kami mengambil kesempatan ini untuk membicarakan isu ini untuk daripada perspektif Syariat sebagai kempen kesedaran kepada masyarakat. Maka kami tajukkan tulisan ini dengan “Bayan Linnas Siri Ke-101 : Penyakit Anjing Gila: Bahaya Dan Hukumnya.”

 

Definisi Penyakit Anjing Gila

Penyakit anjing gila disebut dengan rabies, manakala anjing yang dijangkiti dipanggil dalam Bahasa Inggeris sebagai rabid dog (anjing gila).[1] Perkataan rabis berasal daripada kalimah Latin yang bermaksud madness (gila).[2] Virus yang membawa penyakit ini dikenali sebagai Lyssavirus, di mana lyssa bererti ganas.[3]

Penyakit anjing gila ditakrifkan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat sebagai: “anjing yang kena penyakit, anjing yang berbahaya[4] manakala “rabies” ialah: “(rabis) penyakit berjangkit (lazimnya menjangkiti manusia melalui gigitan anjing yang menghidapnya) yang mengakibatkan kelum­puh­an pernafasan yang akhirnya membawa maut, penyakit anjing gila.[5]

Kamus Pelajar Edisi Kedua mendefinisikannya sebaga: “nama sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus yang dijangkiti melalui air liur haiwan terutama anjing yang terkena penyakit itu, Rabies canina.”[6]

Manakala takrif “rabies” yang diperoleh daripada sumber Ensiklopedia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ialah: “Rabies atau penyakit anjing gila ialah penyakit berjangkit yang memusnahkan sel saraf di bahagian tertentu otak dan selalunya mengakibatkan kematian. Manusia dan kebanyakan mamalia lain boleh menghidap penyakit ini. Perkataan rabies  dalam bahasa Latin bermakna kemarahan  atau  keberangan.  Penyakit ini mungkin diberikan nama sedemikian kerana haiwan yang dijangkiti sering kali menjadi gila dan menyerang sebarang objek atau haiwan lain yang berada dihadapannya. Oleh sebab salah satu gejala penyakit rabies ialah ketidakupayaan menelan air; penyakit ini juga dikenali sebagai  hidrofobia yang bermaksud  takut air.”[7]

Rabies daripada definisi klinikal ialah: “Rabies is an acute neurological syndrome (encephalomyelitis) dominated by forms of hyperactivity or paralytic syndromes that almost always progresses towards coma and death, usually by respiratory failure, within 7-10 days after the first symptom if no intensive care is instituted. Other clinical symptoms include dysphagia, hydrophobia and convulsions.”[8]

Berdasarkan pelbagai definisi di atas, penyakit anjing gila disebarkan oleh lyssavirus dan bersifat zoonotis (berjangkit antara manusia dan haiwan). Penyakit ini menyerang saraf dan sistem neurologi (otak) dan boleh menjangkiti manusia melalui luka gigitan oleh anjing yang dijangkiti Rabies dan juga melalui luka di kulit manusia yang terdedah kepada air liur, cairan atau tisu tubuh dari haiwan yang dijangkiti Rabies. Tempoh inkubasi Rabies pada manusia adalah dalam tempoh 2 – 12 minggu tetapi terdapat laporan menyatakan boleh sehingga enam (6) tahun. Individu atau manusia yang dijangkiti Rabies akan mengalami tanda klinikal seperti demam, sakit badan dan kepala, hidrofobia (takut pada air), lumpuh dan koma. Penyakit Rabies boleh menyebabkan kematian 100% pada manusia sekiranya tidak dirawat dengan segera.[9]

 

Sejarah Berkenaan Penyakit Anjing Gila

Penyakit ini diketahui telah wujud dalam sejarah manusia semenjak 2000 tahun sebelum Masehi. Menurut Kodeks Eshunna, kanun undang-undang di Mesopotamia pada kira-kira tahun 1930 sebelum Masehi menyebut bahawa pemilik anjing perlu mengambil langkah pencegahan sewajarnya. Jika dia gagal berbuat demikian dan ada mangsa yang digigit, pemilik anjing akan dihukum dengan hukuman yang berat jika mangsa tadi meninggal dunia.[10]

Berdasarkan rekod penyakit ini dianggap sebagai wabak pada kurun 19. Penyakit ini berterusan tiada penawar. Kebiasaannya, anjing dan hidupan yang dijangkiti termasuk manusia akan mati apabila sudah didiagnos dengan anjing gila sehinggalah dua orang saintis Perancis, Louis Pasteur dan Emile Roux mencipta vaksin rabies pada 1885. Kawalan dan rawatan penyakit ini bertambahbaik selepas itu dan pesakit dalam tempoh 10 hari selepas pendedahan dengan virus ini seperti digigit dan sebagainya boleh disembuhkan jika dirawat dalam tempoh 10 hari.[11]

Antara kes-kes baharu penyakit anjing gila yang berlaku di Malaysia ialah pada tahun 2015 apabila 39 kes dilaporkan; 25 di Perlis, 9 di Kedah dan 5 di Pulau Pinang melibatkan 39 ekor anjing di mana 10 ekor disahkan positif Rabies. Mereka yang digigit disahkan negatif daripada Rabies susulan rawatan dan pencegahan yang berkesan sebelum sempat virus merebak. Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia antara lain menyebut:

“Sehingga tahun 2014, Malaysia adalah bebas daripada Rabies di mana kejadian terakhir penyakit Rabies menjangkiti manusia adalah pada tahun 1998 dan kes di kalangan haiwan adalah pada tahun 1999. Namun begitu, negara-negara jiran di Asia Tenggara masih melaporkan kejadian penyakit Rabies dari masa ke semasa. KKM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar melakukan pemantauan kejadian gigitan anjing (manusia dan anjing yang terlibat) di Malaysia terutamanya di kawasan yang diwartakan sebagai Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila dan kawasan penampan Rabies (Rabies Immune Belt) sebagai tindakan kawalan dan survelan.”[12]

Namun, tiga kes terbaharu di Sarawak yang melibatkan dua orang kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki telah dikenalpasti positif rabies. Ini berpunca daripada kelewatan mendapatkan rawatan segera setelah terdedah kepada virus dan mula menunjukkan simptom-simptom. Mangsa menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.[13] Pada 4 Julai 2017, dua daripada tiga mangsa dilaporkan telah meninggal dunia akibat mati otak.[14]

 

Galakan dalam Syarak untuk Membunuh Anjing Ganas

Berdasarkan hadith daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

خَمْسٌ مِنَ الدَّوَابِّ كُلُّهُنَّ فاَسِقٌ، يُقْتَلْنَ فِي الْحَرَمِ: الغُرَابُ، وَالْحِدَأةُ، وَالعَقْرَبُ، وَالفَأْرَةُ، وَالْكَلبُ العَقُورُ

Maksudnya: “Kesemua lima jenis binatang adalah fasik, yang boleh dibunuh walaupun di Tanah Haram, iaitu gagak, sejenis helang, kala jengking, tikus, dan anjing ganas.”

Riwayat al-Bukhari (1732) dan Muslim (1198)

Terdapat hadis bahawa seorang lelaki bertanya Abdullah bin Umar R.Anhuma apakah binatang yang boleh dibunuh ketika seseorang berada dalam keadaan ihram. Beliau menjawab bahawa salah seorang daripada isteri-isteri Nabi SAW menceritakan kepadanya bahawa:

كَانَ يَأْمُرُ بِقَتْلِ الْكَلْبِ الْعَقُورِ، وَالْفَأْرَةِ، وَالْعَقْرَبِ، وَالْحُدَيَّا، وَالْغُرَابِ، وَالْحَيَّةِ

Maksudnya: “Baginda pernah menyuruh agar dibunuh anjing ganas, tikus, kala jengking, sejenis burung lang, gagak dan ular.”

Riwayat Muslim (1200)

Berkata Imam al-Syirazi rahimahullah (w.476):  “Jika binatang daripada jenis yang membawa mudarat dan tidak bermanfaat seperti serigala, singa, ular, kala jengking, tikus, sejenis burung lang, gagak, anjing gila, pepijat, pinjal dan kutu kepala… maka hukum membunuhnya adalah sunat kerana menolak darurat daripada terkena pada diri sendiri dan orang lain.”

Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (7/314)

Ada pun terdapat hadis bahawa Nabi SAW menyuruh membunuh anjing ialah hadis berikut. Daripada Jabir bin Abdillah RA berkata:

أمَرَنا رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِقَتْلِ الكِلابِ ، حَتَّى إِنَّ المَرْأةَ تَقْدُمُ مِنَ البَادِيَةِ بِكَلْبِهَا فَنَقْتُلُهُ ، ثُمَّ نَهَى النَّبيُّ صلى الله عليه وسلم عَنْ قَتْلِهَا ، وَقَالَ  عَلَيْكُمْ بِالأسْوَدِ البَهِيمِ ذِي النُّقْطَتَيْنِ فَإنَّهُ شَيْطَانٌ

Maksudnya: “Kami diperintah oleh Rasulullah SAW untuk membunuh anjing-anjing, sehingga seorang wanita datang daripada pelusuk kampung dengan anjingnya, maka kami ingin membunuh anjing itu tetapi ditegah oleh Rasulullah SAW daripada membunuhnya lalu bersabda: Hendaklah kamu membunuh anjing yang hitam legam lagi memiliki dua titik (di bawah matanya) kerana itu adalah syaitan.”

Riwayat Muslim (1572)

Imam al-Nawawi rahimahullah (w.676) menghuraikan hadis ini dalam al-Minhaj, antaranya:

فَقَالَ إِمَامُ الْحَرَمَيْنِ مِنْ أَصْحَابِنَا أَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوَّلًا بِقَتْلِهَا كُلِّهَا ثُمَّ نُسِخَ ذَلِكَ وَنُهِيَ عَنْ قَتْلِهَا إِلَّا الْأَسْوَدَ الْبَهِيمَ ثُمَّ اسْتَقَرَّ الشَّرْعُ عَلَى النَّهْيِ عَنْ قَتْلِ جَمِيعِ الْكِلَابِ الَّتِي لَا ضَرَرَ فِيهَا سَوَاءٌ الْأَسْوَدُ وَغَيْرُهُ

Maksudnya: “Berkata Imam al-Haramain daripada ashab kami (ulama Syafieyyah) bahawa Nabi SAW mengarahkan agar dibunuh semua anjing pada permulaan sahaja kemudian arahan itu dimansukhkan lalu ditegah daripada membunuh anjing melainkan anjing hitam legam sahaja. Kemudian Syarak menetapkan larangan membunuh apa jenis anjing yang tidak mendatangkan mudarat sama ada anjing hitam atau selainnya.”

Rujuk Syarh Sahih Muslim (10/235)

Imam Ibn Qutaibah rahimahullah (w.276) juga mensyarahkan maksud “syaitan” dalam hadis di atas sebagai justifikasi membunuh anjing hitam dalam kitabnya, Ta’wil al-Mukhtalaf al-Hadith (hal.208-209). Beliau berkata kerana anjing hitam legam adalah sejenis anjing yang paling mudarat dan paling kuat mencederakan. Ia juga paling kurang manfaat dan paling buruk kemahiran menjaga (harta dan ternakan), paling teruk kemahiran memburunya dan banyak mengantuk. Ia dipanggil syaitan juga kerana ia paling keji dan mengacau orang, seperti seseorang dipanggil sebagai syaitan, panggilan itu hanyalah untuk menunjukkan sifat syaitan yang derhaka, atau singa yang menyerang, atau serigala, yakni itu hanyalah permisalan sahaja. Boleh jadi juga itu adalah anjing daripada jenis jin, ataupun dipengaruhi jin, jadi yang dimaksudkan dengan anjing hitam itu adalah syaitan lantas dibunuh kerana mudarat padanya. Sedangkan diketahui bahawa Syaitan itu adalah jenis jin yang derhaka. Adapun kenapa dibunuh semua anjing di Madinah, maka hal itu tidak terbantah kerana tanah Madinah pada zaman Nabi SAW adalah tempat turunnya wahyu Allah Taala bersama malaikat-Nya sedangkan malaikat tidak masuk rumah yang ada padanya anjing atau gambar.

 

Apakah Yang Dimaksudkan dengan al-Kalb al-`Aqur

Kata Imam al-Nawawi: “Para ulama berbeza pandangan tentang apa yang dimaksudkan dengan al-kalb al-`aqur. Dikatakan maksudnya ialah anjing yang biasa diketahui. Dikatakan pula maksudnya adalah setiap haiwan pemangsa yang menyerang itu dipanggil kalbun aqur daripada sudut bahasa.”

Rujuk Syarah Sahih Muslim (8/114)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah (w.852) menyebut beberapa pendapat:

  1. Abu Hurairah RA berkata: “al-kalb al-`aqur adalah singa.” Beliau juga berkata: “Anjing manakah yang lebih ganas menggigit berbanding ular?” Ini menunjukkan istilah anjing ganas itu hanyalah “simpulan bahasa” dari segi bahasa yang merujuk kepada haiwan pemangsa yang menggigit.
  2. Berkata Zufar Rahimahullah: “al-kalb al-`aqur adalah serigala.”
  3. Berkata Imam Malik Rahimahullah (w.179) dalam al-Muwatta: “Setiap sesuatu yang menggigit manusia dan menyerang mereka dan menakutkan mereka seperti singa, harimau, harimau bintang, serigala ialah `aqur.” Ini adalah pendapat jumhur.
  4. Berkata Imam Abu Hanifah Rahimahullah (w.159): “Ia adalah anjing secara khusus yang tidak boleh dikiaskan hukumnya pada bintang lain selain selain serigala.”

Rujuk Fath al-Bari (4/39)

Manakala dalam Lisan al-Arab (4/594), Imam Ibn Manzur Rahimahullah (w.711) berkata: “Ertinya ialah setiap haiwan pemangsa yang memburu dengan menggigit yang melukakan dan membunuh serta menyerang seperti singa, harimau, serigala, harimau bintang dan apa sahaja yang serupa dengannya. Ia dinamakan anjing kerana persamaan daripada aspek pemangsa. Berkara Sufyan bin Uyainah: Ia adalah setiap haiwan pemangsa yang menggigit untuk melukakan, dan tiada khusus bagi jenis anjing. Kalimah `Uqur adalah perkataa yang terbina secara hiperbola, tidak disebut sebagai sifat bagi sesuatu melainkan haiwan yang memiliki ruh. Berkata Abu Ubaid: dipanggil setiap yang mencederakan, atau melukakan daripada jenis haiwan pemangsa sebagai anjing ganas.”

 

Hikmah Larangan Memelihara Anjing

Di sebalik hukum larangan makruh memelihara anjing selain daripada digunakan untuk memburu dan menjaga harta, ada hikmah yang Syariat letakkan untuk menjaga kebajikan manusia. Ini disebut oleh al-Allamah Syeikh Prof. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam yang telah kami terjemahkan:

“Kita akan menemui di tempat kita, ada segolongan manusia yang berkiblatkan ke arah Barat, menganggap bahawa orang-orang Barat itu mempunyai tabiat yang lembut, di samping sifat perikemanusiaannya yang tinggi sering kali mempunyai sifat belas kasihan ke atas setiap binatang yang hidup lalu mereka menuduh sikap orang Islam yang menyuruh berhati-hati terhadap binatang yang comel, jinak dan dipercayai ini! Maka kepada orang-orang seperti inilah ditujukan makalah ilmiah yang bernilai ini, yang ditulis oleh seorang Profesor Spesialis Jerman dalam sebuah majalah Jerman.[15]Dalam makalah itu, ia telah menunjukkan dengan jelas tentang bahaya memelihara anjing di dalam rumah atau mendekatkan diri kepadanya, katanya:

“Sesungguhnya semakin bertambah bilangan manusia yang gemar memelihara anjing akhir-akhir ini dan menarik perhatian perhatian kita untuk mengingatkan pendapat umum tentang bahaya yang timbul disebabkan binatang tersebut. Antara permasalahannya bukan hanya terbatas pada pemeliharaannya semata-mata, malah merangkumi kepada kesukaan bermain-main dengan anjing, menciumnya dan membenarkannya menjilat tangan dan kaki anak-anak kecil serta orang dewasa. Ada juga yang membiarkannya menjilat lebih-lebihan makanan dalam pinggan mangkuk yang digunakan sebagai tempat simpanan makanan dan minuman manusia.

Meskipun semua yang disebutkan dianggap jijik dan buruk dalam pandangan mata manusia dan tidak akan diterima dengan baik. Ianya pula bertentangan dengan kaedah kesihatan dan kebersihan, namun kita masih menutup sebelah mata terhadapnya kerana ia tidak selari dengan pembicaraan kita dalam makalah ilmiah ini. Hal-hal sebegini sengaja ditinggalkan untuk dinilai oleh pendidikan moral dan pembentukan jiwa untuk menghukumnya.

Dari segi pandangan kedoktoran, sangat penting sekali dalam perbahasan ini kerana bahaya yang mengancam kesihatan manusia dan kehidupannya disebabkan pemeliharaan anjing dan bermain-main dengannya bukanlah lagi suatu masalah yang boleh diabaikan.

Oleh kerana manusia yang degil dan sanggup berbelanja mahal untuk memelihara anjing ternyata binatang tersebut mempunyai kuman yang berbahaya dan boleh mencetuskan penyakit kronik yang berpanjangan, malah ada yang menemui ajal gara-gara penyakit tersebut.

Cacing pita pada anjing mudah berjangkit dan dinamakan kuman pita anjing yang kerap menjangkiti manusia dalam bentuk bisul. Ianya juga boleh berjangkit kepada binatang ternakan khususnya pada babi. Akan tetapi, kuman ini cukup aktif pada badan anjing liar dan serigala. Ianya amat jarang menjangkiti kucing dan cacing pita ini berbeza sekali dengan cacing yang lain kerana sifatnya sangat halus sekali sehingga hampir-hampir tidak kelihatan dan dikenali melainkan sejak akhir-akhir ini.

Seterusnya, Dr. Gerrard Fantestimer berkata: Pertumbuhan cacing pita anjing ini mempunyai keanehan tersendiri dalam dunia haiwan. Daripada satu telurnya sahaja boleh tumbuh beberapa cacing pita lain yang menjadikannya bisul lantas ianya menjadi sempurna dan cukup subur dalam usus anjing. Kesannya pada tubuh manusia dan binatang lain tidak sama selain tumbuhnya bisul dan nanah yang baru, berlainan sekali seperti yang sudah diketahui pada tubuh anjing. Jangkitan cacing pita ini pada binatang ternakan tidak sampai membesar hingga lebih daripada bentuknya kecuali sangat jarang sekali. Kesan pada tubuh manusia pula boleh sampai ke bentuk genggaman tangan atau sampai membesar kepala kanak-kanak yang dipenuhi cairan kekuningan yang beratnya kira-kira sepuluh hingga dua puluh pound.

Kuman ini selalunya menjangkiti manusia pada organ hatinya dan ianya kelihatan dalam pelbagai rupa yang tidak sama. Akan tetapi, cacing pita ini selalunya berpindah ke paru-paru, limpa, buah pinggang, anggota-anggota yang lain dan tengkorak. Ianya selalu berubah bentuk dan keadaan sehingga sukar dianalisa dan mengelirukan doktor pakar sehinggalah ianya berjaya dikesan baru-baru ini.

Bagaimanapun, keadaan kuman ini tetap merupakan bahaya dan ancaman kepada kesihatan seseorang. Lebih malang lagi, sehingga kini masih tidak ada lagi cara dan penawar untuk mencegah kuman ini dari menjangkiti manusia dalam dunia yang serba canggih dan moden ini.

Dari segi ilmu kedoktoran pada akhir-akhir ini, tubuh manusia itu akan mengeluarkan cecair atau seumpama dengannya dalam keadaan tubuh menderita kesakitan lalu bahan-bahan itulah yang berfungsi melawan kuman-kuman tersebut dengan membunuh kuman yang meracuni tubuh itu.

Apa yang sangat mendukacitakan, matinya cacing pita tersebut tidak meninggalkan kesan sama sekali pada tubuh itu ataupun menunjukkan bahaya yang luar biasa. Sebagaimana kebiasaannya dengan penyakit lain, lebih-lebih lagi ianya terhalang dengan ubat-ubatan kimia yang tidak menghasilkan sebarang faedah. Orang yang ditimpa penyakit ini seringkali mendapatkan ubat dengan cara pembedahan namun pesakit tetap menderita tanpa penawar yang sempurna.

Prof. Dr. Novaller, pakar bedah Jerman ke atas mayat-mayat manusia yang ditimpa penyakit bisul-bisul kuman pita anjing tersebut mengatakan bahawa orang yang terkena penyakit ini di Jerman tidak kurang dari 1% bilangan penduduknya. Negara yang paling banyak ditimpa penyakit ini ialah di bahagian Skandanavia, tenggara Australia. Manakala di daerah Frizledz Belanda, dijadikan anjing-anjing untuk menarik perhatian dan penderitaan manusia disebabkan kuman tersebut tidak kurang 12%, sedangkan penyakit yang melanda Irlandia dinisbahkan 43 orang daripada seorang yang terkena p;enyakit ini. Jika dikira kerugian yang terpaksa ditanggung gara-gara kuman tersebut, sesungguhnya tidak ada seorang pun yang membantah jika dihapuskan semua anjing-anjing di dunia ini demi mencapai kestabilan kesihatan masyarakat di seluruh dunia.

Usaha yang terbaik untuk membanteras wabak ini ialah menumpukan tanggungjawab kita untuk mengekang kuman ini dan membiarkan pada anjing sahaja. Akan tetapi jika difikirkan ianya sia-sia sahaja kerana hakikatnya kita tidak mampu mencegah orang daripada memelihara binatang tersebut.

Lantaran itu, jangan lupa mengubati anjing-anjing yang sudah terkena penyakit ini dengan cara pengubatan yang perlu dalam hal sedemikian iaitu dengan melenyapkan kuman tersebut yang ada pada tubuhnya dan membuat pemeriksaan pada anjing itu dari semasa ke semasa terutamanya anjing pengembala ternakan dan anjing penjaga rumah. Manusia juga boleh menjaga kesihatannya dengan menjauhkan diri daripada bermain-main dengan anjing dan berhenti memeliharanya. Kanak-kanak hendaklah melakukan perkara yang sama dengan menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti dengan anjing.

Jangan biarkan anjing menjilat pinggan mangkuk yang biasanya dipakai oleh manusia. Semua pihak harus memainkan peranan dalam mengatasi virus yang dibawa oleh anjing ini demi kesejahteraan dalam kehidupan seharian. Secara umumnya, kita hendaklah mengambil berat dalam hal mengelakkan anjing dari tempat yang ada hubung kait dengan makanan atau minuman. Jangan biarkan anjing dibawa masuk ke tempat-tempat jualan makanan basah, pasar-pasar umum, di restoran dan sebagainya. Sekian, dari nukilan majalah Jerman Kosinos.

Sekarang jelaslah kepada kita mengapa Nabi SAW melarang bermain dengan anjing dan memeliharanya tanpa sebarang tujuan. Peringatan yang dijelaskan oleh Baginda SAW jelas menunjukkan betapa pekanya Nabi SAW terhadap kesihatan umatnya.

Bagaimana agaknya pengajaran Nabi Muhammad SAW, seorang Arab yang ummi, iaitu tidak tahu menulis dan membaca, pendapatnya sudah diyakini ilmu moden dan sains kedoktoran.

Benarlah firman Allah SWT:

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى (4)

Maksudnya: Dan tidaklah yang diucapkan itu (al-Quran al-Karim) menurut kemahuan hawa nafsunya. Segala yang diucapkannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang telah diwahyukan (kepadanya).

(Surah al-Najm: 3-4)

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Kami sekali lagi mengucapkan terima kasih dan syabas kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia kerana begitu professional dan tindakan segera dalam menyelesaikan isu ini dengan kempen kesedaran dan pencegahan serta bantuan perubatan.

Selain itu kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan beberapa perkara kepada masyarakat awam:

  1. Hendaklah individu yang terdedah dengan virus rabies, atau disyaki, segera dibawa ke hospital dan klinik berdekatan serta dilaporkan kepada Klinik Kesihatan Daerah. Ini kerana penyakit ini masih boleh dikawal pada peringkat awal yakni 10 hari yang pertama tetapi menjadi sukar jika virus sudah merebak ke kawasan kritikal seperti otak.
  2. Hendaklah dibunuh anjing yang menghidapi penyakit rabies serta diurus mengikut Standard of Operation (SOP) yang telah ditetapkan oleh KKM. Ini kerana penyakit ini bersifat mudarat berskala besar yang mengancam kesihatan manusia dan alam. Ini termasuk dalam keharusan membunuh anjing ganas seperti mana dalam hadis. Ini bertepatan dengan kaedah: “لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ” (Mudarat itu tidak boleh diwujudkan dan tidak boleh dikenakan pada orang lain).
  3. Bagi mengelakkan wabak berjangkit, anjing-anjing liar yang tidak dijangkiti juga wajar ditangkap dan ditempatkan di kawasan khas atau diasingkan daripada kawasan manusia. Selain itu, tindakan ini adalah wajar untuk menjaga sensiviti setempat kerana tabiat anjing liar yang gemar berkumpulan, membuang najis merata-rata, menakutkan pejalan kaki, dan membahayakan haiwan lain seperti kucing dan haiwan ternakan seperti ayam dan itik.
  4. Bagi mereka yang memiliki anjing untuk tujuan dan hajat yang diharuskan syarak, seperti memburu, menjaga harta, dan memimpin orang OKU, hendaklah dipastikan anjing berkenaan mendapat imunisasi secukupnya dengan vaksin rabies mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh pihak berautoriti.

Sebagai penutup kami mendoakan agar mangsa-mangsa penyakit ini selamat dan diberikan kesembuhan. Begitu juga kepada masyarakat awam agar diselamatkan daripada penyakit ini. Sebelum ini Malaysia pernah mengalami ancaman penyakit sebaran vektor lain seperti H1N1 yang disebarkan oleh unggas, virus JE oleh khinzir, dan yang masih berleluasa, virus denggi melalui nyamuk Aedes. Maka kami juga mencadangkan agar kita melazimi zikir dan doa berikut untuk memohon kepada Allah Taala keselamatan daripada apa jua mara bencana dan penyakit.

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang tiada suatu pun boleh mendatangkan mudarat dengan nama-Nya, sama ada di bumi mahupun di langit, dan Dialah yang Maha Mendengar (doa hamba-hamba yang meminta) dan Maha Mengetahui (keadaan ciptaan-Nya). [16]

 أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang Maha Sempurna, daripada segala kejahatan makhluk yang Dia cipta.” [17]

 

أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التّامَّــةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ، وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّةٍ

Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang Maha Sempurna, daripada syaitan, dan haiwan yang ganas, dan daripada penyakit ain yang menyakitkan.”[18]

 

Akhukum fillah,

Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri,

Mufti Wilayah Persekutuan,

5 Julai 2017H bersamaan 11 Syawal 1438H

 

Nota hujung:

[1] http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=rabid

[2] Simpson D.P. (1979). Cassell's Latin Dictionary (5 ed.). London: Cassell. Hal. 883

[3] Rotivel, Yolande. "Introduction". Federation of American Scientists. https://web.archive.org/web/20090426031557/http://www.fas.org/ahead/docs/rabies.htm.

[4] http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=anjing+gila

[5] http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=Rabies

[6] http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=anjing+gila&d=112592

[7] http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=Rabies&d=243192

[8] Wahab, Z., Pheng, L., & Jahis, R. (2006). Case Definitions for Infectious Diseases in Malaysia. Malaysia: Ministry of Health Surveillance for Infectious Disease, Disease Control Division. Hal. 50.

[9] Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah. 19 September 2015. “Situasi Terkini Kejadian Gigitan Anjing Berkaitan Rabies”. https://kpkesihatan.com/2015/09/19/kenyataan-akhbar-kpk-situasi-terkini-kejadian-gigitan-anjing-berkaitan-rabies/

[10] Dunlop, R. H., & Williams, D. I. (1996). Veterinary medicine: an illustrated history. Mosby-Year Book, Inc..

[11] Ryan, K. J., & Ray, C. G. (2004). Medical microbiology. McGraw Hill, 4, 370.

[12] Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah. 19 September 2015. “Situasi Terkini Kejadian Gigitan Anjing Berkaitan Rabies”. https://kpkesihatan.com/2015/09/19/kenyataan-akhbar-kpk-situasi-terkini-kejadian-gigitan-anjing-berkaitan-rabies/.

[13] Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah. 1 Julai 2017. “

[14] http://www.bernama.com/bernama/v8/newsindex.php?id=1369459

[15] Nukilah ini diterjemahkan oleh Majalah Nurul Islam, bil. Rabi`ul al-Thani Jil. 2 – sebahagian dari makalah Profesor Dr. Gerrard Fantestimer , dalam Majalah Jerman Kosinos

[16] Sayidina Uthman bin Affan RA meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda barangsiapa yang membaca ini tiga kali pada waktu malam tidak akan ditimpa bala secara mengejut sehinggalah subuh, dan barangsiapa yang membacanya pada waktu subuh tidak akan ditimpa bala yang mengejut sehingga waktu petang. Hadis riwayat Abu Daud (5077).

[17] Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengajarnya doa berdepan dengan kala jengking yang jika dibaca, haiwan tersebut tidak akan membahayakannya. Hadis riwayat Muslim (2709).

[18] Doa Nabi Ibrahim ke atas Nabi Ishak dan Nabi Ismail. Hadis riwayat al-Bukhari (3371)dan al-Tirmidzi (2070)

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...