71: HUKUM-HAKAM SOLAT DI ATAS KERUSI

 71: HUKUM-HAKAM SOLAT DI ATAS KERUSI

 

Mukadimah

Solat merupakan suatu ibadah yang paling besar dalam kehidupan setiap insan yang beragama Islam. Perintah untuk bersolat dalam setiap keadaan baik ketika bermusafir atau bermukim, dalam keadaan sakit atau sihat, sama ada solat dilakukan secara berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, semua ini jelas menunjukkan akan peri pentingnya kedudukan solat di dalam agama kita. Justeru, Bayan Linnas edisi kali ini akan mengupas berkenaan satu isu penting yang sering menjadi pertanyaan di minda masyarakat awam iaitu persoalan dan juga hukum-hakam yang berkaitan dengan isu solat secara duduk di atas kerusi.

 

Kedudukan Solat Di Dalam Kehidupan

Peri pentingnya solat dapat dilihat melalui beberapa nas dari al-Quran mahupun al-Sunnah. Berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

‏ بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: Dibina Islam itu di atas lima iaitu kalimah La Ilaaha IllaLlaah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, serta berpuasa pada bulan Ramadhan.

Riwayat Muslim (16)

 

Hukum Solat Secara Duduk Di Atas Kerusi

Di antara dalil yang membolehkan seseorang itu solat dalam keadaan duduk sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri adalah sebuah riwayat daripada ‘Imran bin Husin R.A yang mana beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

 صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ 

Maksudnya: Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri) maka solatlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas lambung.

Riwayat Al-Bukhari (1117)

 

Pendapat Para Fuqaha

Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut tenggelam (jika solat berdiri) ataupun dia berasa pening kepala maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. Lihat Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/310).

Kata Imam Al-Nawawi lagi: Umat telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri di dalam solat fardhu maka dia boleh melakukannya secara duduk dan solat tersebut tidak perlu diulangi. Demikian juga pahalanya (solat secara duduk) tidak berkurang daripada solat secara berdiri kerana dia diberikan keuzuran. Telah sabit di dalam Sahih Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya: Apabila seseorang hamba itu sakit ataupun dia bermusafir akan dituliskan (ganjaran) untuknya sama seperti mana yang dilakukan oleh seorang yang dalam keadaan bermukim dan juga seorang yang dalam keadaan sihat. Lihat Al-Majmu’, Al-Nawawi (4/226).

Manakala Imam Al-Syaukani Rahimahullah ketika mengulas hadis Imran bin Husein R.A di atas berkata: Hadis Imran menunjukkan kepada keharusan bagi sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak mampu berdiri untuk solat dalam keadaan duduk. Manakala sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak boleh duduk maka dia boleh untuk solat di atas lambungnya. Rujuk Nail Al-Authar, Al-Syaukani (3/243).

Kata Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi Rahimahullah: Telah ijma’ (sepakat) para ulama bahawasanya sesiapa yang tidak mampu untuk solat secara berdiri maka dia boleh melakukannya secara duduk. Lihat Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/443).

 

Keadaan Yang Membolehkan Seseorang Solat Secara Duduk

Di dalam kitab-kitab feqh para ulama terdahulu, terdapat beberapa perkara yang dianggap sebagai masyaqqah (kepayahan) yang membolehkan seseorang itu solat secara duduk. Berikut kami nyatakan beberapa contohnya:

  • Tidak mampu untuk berdiri.
  • Mempunyai penyakit yang akan bertambah teruk sekiranya dia bersolat secara berdiri.
  • Seseorang yang berada di atas kapal, sampan, ataupun perahu, yang takut akan tenggelam sekiranya dia melakukan solat secara berdiri di atas kenderaan tersebut.
  • Seseorang yang berasa pening kepala.
  • Sakit yang boleh mengganggu khusyuk di dalam solat.

 

Ini semua adalah berdasarkan kata-kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut tenggelam (jika solat berdiri), ataupun seseorang berasa pening kepala maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. Lihat Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/310).

Begitu juga berdasarkan pendapat yang disebut oleh Imam Al-Ramli yang menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang itu solat secara duduk apabila terdapatnya masyaqqah (kepayahan) yang boleh menghilangkan kekhusyukan semasa solat. Lihat Al-Taqrirat Al-Sadidah, Hasan Bin Ahmad Al-Kaf (214).

Selain itu, kami juga menyatakan bahawa dibolehkan juga bagi sesiapa yang melakukan solat di atas kapal terbang untuk solat secara duduk demikian juga halnya bagi sesiapa yang menaiki keretapi dan ingin melakukan solat di dalamnya.

 

Tatacara Solat Duduk Di Atas Kerusi

Bagi sesiapa yang mempunyai kepayahan untuk solat secara berdiri disebabkan oleh penyakit ataupun perkara selainnya, berikut kami nyatakan beberapa tatacara yang boleh dilakukan untuk solat dalam keadaan tersebut:

  • Secara asasnya, jika seseorang itu mampu berdiri untuk solat dan tidak mampu untuk rukuk dan sujud, hendaklah dia berdiri terlebih dahulu. Kemudian baru dirinya duduk dan melakukan rukuk dan sujud.
  • Pada asasnya, yang paling utama adalah solat duduk di atas lantai. Sekiranya tidak mampu, maka dibolehkan untuk solat secara duduk di atas kerusi.
  • Sekiranya seseorang solat duduk di atas kerusi dan tidak mampu untuk berdiri ketika takbiratul ihram, maka dia boleh untuk melakukannya secara duduk.
  • Dalam kes ini, perbuatan rukuk dan juga sujud dilakukan secara isyarat sahaja. Iaitu beliau mengisyaratkan kepalanya dengan tunduk sedikit semasa rukuk dan juga menundukkan kepalanya lebih sedikit dari kadar tunduknya semasa rukuk apabila beliau bersujud.

 

Beberapa Cadangan Atau Dhawabit

Kami sebutkan di sini beberapa dhawabit dan juga cadangan bagi sesiapa yang ingin melaksanakan solat secara duduk seperti berikut:

  • Hendaklah kedudukan kerusi yang digunakan oleh para jemaah yang uzur atau tidak mampu berdiri itu berada di hujung saf.
  • Bahagian belakang kaki kerusi perlulah selari dengan kedudukan kaki jemaah yang berada di sebelah.
  • Kedudukan kaki mereka yang solat duduk di atas kerusi hendaklah tidak melebihi kedudukan imam.
  • Kami juga mencadangkan bahawa kerusi yang digunakan hendaklah bersaiz kecil dan tidak terlalu besar, ini supaya keseragaman saf dapat dijaga serta memberikan keselesaan bagi jemaah yang lain.

 

Akhukum Fillah

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

24 Oktober 2016 bersamaan 23 Muharram 1437H.

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...