158: DEMONSTRASI (PERHIMPUNAN AMAN): ISU DAN HUKUM
Mukadimah
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda ﷺ, sahabat Baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ.
Mutakhir ini terlalu banyak isu-isu yang sensitif dibincangkan dan dipersoalkan sehingga timbul pelbagai perasaan dan sangkaan. Antaranya seperti isu ICERD yang menjadi polemik di antara yang menyokong untuk diteruskan dan yang menentangnya.
Alhamdulillah, kerajaan Malaysia telah mengambil satu pendekatan yang amat tepat dengan secara rasmi untuk tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum atau ICERD pada 23 November 2018 yang lalu melalui kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri yang telah diputuskan oleh mesyuarat kabinet.
Perhimpunan Aman ICERD yang telah dijalankan baru-baru ini, menimbulkan pelbagai persoalan sama ada ianya salah di sisi syarak atau tidak. Sebahagiannya menyokong dan sebahagiannya menentang dengan hujah masing-masing.
Justeru, kami tajukkan Bayan Linnas pada kali dengan Demonstrasi (Perhimpunan Aman): Isu Dan Hukum. Ia adalah bertujuan untuk membincangkan isu demonstrasi (secara umum, tanpa merujuk kepada mana-mana demonstrasi secara khusus) mengikut neraca Islam berkenaan dengan hukum dan juga dhawabit (garis panduan) demonstrasi itu sendiri.
Definisi Demonstrasi
Kami mulakan terlebih dahulu dengan menerangkan definisi demonstrasi. Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat (hlm. 332), demonstrasi atau sebutan ringkasnya disebut sebagai demo diterjemahkan kepada dua makna: makna pertama: 1) penerangan, peragaan dan lain-lain, tentang cara kerja sesuatu mesin, keluaran, dan lain-lain. Makna kedua: 2) tunjuk perasaan dengan cara berkumpul beramai-ramai, berarak (berdemonstrasi: menunjuk perasaan kerana memprotes dan lain-lain). Maka makna yang kedua inilah yang akan dibincangkan pada isu kali ini.
Begitu juga, perkataan yang semakna dengan perkataan demonstrasi ialah tunjuk perasaan. Ia bermaksud perbuatan menyatakan pendapat (bantahan dan sebagainya) dengan perarakan atau rapat umum dan sebagainya, atau perbuatan menyatakan bantahan beramai-ramai. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)
Dalam Islam demonstrasi disebut dengan kalimah المظاهرات . Kalimah ini pada dasarnya di ambil daripada kata dasar تظاهر yang bererti menzahirkan atau menyuarakan sesuatu sama ada berdasarkan kebaikan dan taqwa atau berdasarkan kepada dosa dan kejahatan.
Firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
(Surah Al-Maidah’:2)
Sebab-sebab Demonstrasi
Kami berpendapat banyak sebab yang boleh membawa kepada tunjuk perasaan atau demonstrasi, antaranya:
- Menentang pemerintah atau yang berkuasa kerana tidak setuju dengan sesuatu perkara.
- Menentang pemerintah yang dianggap zalim seperti yang berlaku di negara Arab sekitar 2010 sehingga 2016 yang lalu.
- Menentang kenaikan harga barang atau kos hidup sehingga mencengkam kehidupan masyarakat.
- Berlaku ketidakadilan dalam satu-satu keputusan mahkamah di mana mereka yang merasakan diri mereka dizalimi akan menentang.
- Bagi menunjukkan protes besar-besaran atas sebarang polisi yang dianggap berat sebelah atau tidak adil.
- Bagi menzahirkan pembelaan kepada yang ditindas atau golongan yang dinafikan hak mereka.
- Supaya pihak pemerintah memberi kecaknaan kepada apa yang dilaungkan seperti pembelaan hak petani, nelayan dan golongan marhein.
- Bertujuan agar dihapuskan sesuatu undang-undang atau polisi yang dianggap membebankan rakyat.
Sejarah Demonstrasi di Malaysia / Tanah Melayu
Menyelusuri sejarah yang panjang, kami dapati rakyat Malaysia pernah menggembeleng tenaga menunjuk perasaan dan mengadakan demonstrasi dalam menegakkan hak atau memperjuangkannya. Antara yang menjadi ingatan dalam sejarah:
- Demonstrasi membela kes Natrah[1]
- Demonstrasi menentang Malayan Union[2]
- Demonstrasi Baling 1974[3]
- Demonstrasi menentang penjajah[4]
- Demonstrasi BERSIH[5]
Undang-Undang di Malaysia Berkaitan Perhimpunan Aman
Di negara kita terdapat akta khusus berkaitan dengan perhimpunan aman. Akta Perhimpunan Aman 2012 (singkatan: APA 2012), juga dikenali sebagai Akta 736 ialah suatu undang-undang yang mengawal selia bantahan awam dan perhimpunan aman di Malaysia.
Pengenalan kepada akta ini menyebut: (Suatu Akta yang berhubungan dengan hak untuk berhimpun secara aman dan untuk memperuntukkan sekatan-sekatan yang didapati perlu dan suai manfaat yang berhubungan dengan hak itu demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam, termasuk perlindungan hak dan kebebasan orang lain dan untuk memperuntukkan perkara-perkara yang berkaitan”).[6]
Kami mulakan perbahasan ini dengan memetik firman Allah SWT:
لَّا يُحِبُّ اللَّـهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَن ظُلِمَ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ سَمِيعًا عَلِيمًا
Maksudnya: Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Nisa’: 148)
Imam Al-Qurtubi Rahimahullah ketika mana menafsirkan ayat ini telah menukilkan daripada Mujahid:
نَزَلَتْ فِي رَجُلٍ ضاف رجلا بفلاة من الأرض فلم يضيفه فَنَزَلَتْ" إِلَّا مَنْ ظُلِمَ" وَرَوَاهُ ابْنُ أَبِي نَجِيحٍ أَيْضًا عَنْ مُجَاهِدٍ، قَالَ: نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ" لَا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَنْ ظُلِمَ" فِي الرَّجُلِ يَمُرُّ بِالرَّجُلِ فَلَا يُضِيفُهُ فَرُخِّصَ لَهُ أَنْ يَقُولَ فِيهِ: إِنَّهُ لَمْ يُحْسِنْ ضِيَافَتَهُ
Maksudnya: Ayat ini diturunkan kepada seorang lelaki yang tidak memberikan layanan tetamu yang baik kepada seseorang lelaki di sebuah tempat yang tidak mempunyai air. Tafsiran Ayat “ melainkan kepada orang yang dianiaya, diriwayatkan Ibnu Abi Najih daripada Mujahid Berkata sebab ayat لَا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَنْ ظُلِمَ" ini diturunkan ialah kepada seorang lelaki yang tidak memberikan layanan baik kepada seorang lelaki yang melalui kawasannya lalu diberikan kelonggaran kepada lelaki tersebut (yang tidak diberikan layanan baik) untuk berkata sesungguhnya lelaki tersebut tidak baik layanannya kepada tetamu. (Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 6/2)
Ini menjadi dalil bahawa pada hakikatnya sekiranya seseorang melakukan keburukan kepada seseorang dilarang untuk kita membuka aib seseorang. Namun sekiranya kemungkaran tersebut dilakukan secara terang-terangan atau melibatkan kepentingan dan maslahat awam serta memberi peringatan dan pengajaran kepada orang lain maka kita diharuskan untuk menzahirkan kemungkaran yang dilakukan secara terbuka selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syarak.
Hukum Demonstrasi (Perhimpunan Aman)
Kami tidak menemui hukum demonstrasi secara khusus di dalam kitab-kitab fiqh turathi atau klasik kerana ia merupakan permasalahan baru yang berlaku pada masa kini. Justeru para ulama’ kontemporari telah berijtihad secara khusus berkaitan hukum ini adakah demonstrasi dibenarkan di dalam Islam atau tidak. Memang semangat unjuk rasa atau demonstrasi sudah berlaku sejak dahulu lagi berdasarkan kepada sifat amarah manusia dan tidak berpuas hati.
Para ulama kontemporari telah berbeza kepada dua pendapat:
Pendapat Pertama: Harus
Diharuskan berdemonstrasi dengan syarat-syarat dan dawabit yang tertentu. Ini adalah pendapat yang dipegang oleh al-Syeikh Muhammad Mutawalli Syarawi’,[7] (salah seorang ulama Besar Al-Azhar, Mesir dan seorang ahli tafsir yang terkemuka); Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi[8] (Mantan Ketua Kesatuan Ulama Sedunia); Syeikh Usamah al-Rifa’i[9] (salah seorang Ulama Besar di Negara Syria); Syeikh Mustafa al-Adwi[10], Dr. Muhammad al-Ahmari[11], Dr. Ati’ah Adlan,[12] Dr. 'Ali Muhyiddin al-Qurrah Daghi[13] dan ulama lain yang sependapat dengan mereka. Pendapat ini turut disokong oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dan Dar al-Ifta’ Jordan.
Hujah Ulama yang Mengharuskan: Antara pandangan dan hujah para ulama yang mengharuskan adalah:
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan:[14] Adalah menjadi hak umat Islam untuk berdemonstrasi di tepi-tepi jalan untuk menuntut hak mereka kerana tuntutan yang disampaikan secara bersama lebih kuat dan didengari pemerintah dibandingkan apabila tuntutan tersebut dilakukan secara bersendirian. Dibenarkan berdemonstrasi secara aman dan dengan tujuan serta tolong-menolong pada perkara yang baik serta tidak melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh syarak.
Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa
(Surah al-Maidah: 2)
Daripada Abi Musa R.A, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ الْمُؤْمِنَ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا وَشَبَّكَ أَصَابِعَهُ
Maksudnya: Sesungguhnya orang mukmin dengan mukmin yang lain itu diibaratkan seperti bangunan yang saling kuat menguat antara satu sama lain dan Baginda memasukkan antara jari-jarinya.
Riwayat al-Bukhari (481)
Syeikh Muhammad Mutawalli al-Syarawi’ Rahimahullah berkata di dalam salah satu ucapan beliau: “Adalah mereka yang berdemonstrasi dalam menuntut sesuatu hak yang dibenarkan oleh syarak dan tidak ada tujuan atau niat selain daripada itu merupakan perkara yang diharuskan. Namun begitu, sekiranya mereka telah mendapat tuntutan hak tersebut wajib ke atas mereka untuk memberhentikan serta merta perbuatan mereka kerana tujuan asal untuk menuntut hak tersebut telah didengari dan dipenuhi. Sesungguhnya tujuan dan matlamat para pendokong kebenaran ini adalah memperbaiki kerosakan yang berlaku dan bersiap sedia untuk membina sebuah negara dan kehidupan yang lebih mulia, harmoni dan sejahtera.[15]
Syeikh Usamah al-Rifa’i (salah seorang ulama besar di Negara Syam yang sekarang ini dikenali sebagai Syria) berkata: “Tidak terdapat nas daripada syarak yang mengharamkan demonstrasi secara aman yang tidak melibatkan kemusnahan dan kebinasaan. Oleh itu tuntutan untuk mengembalikan hak kepada mereka yang berhak adalah perkara diharuskan syarak.” [16]
Dar al-Ifta’ al-Misriyyah ketika mana menjawab persoalan berkaitan apakah hukum demonstrasi di dalam Islam menyebut: “Demonstrasi itu terdiri daripada dua elemen. Setiap daripada dua elemen ini pada hakikatnya diharuskan syarak.
Pertama: Semata-mata perhimpunan orang ramai. Ini kerana asal sesuatu perbuatan menafikan segala kesusahan dan kemudharatan sehingga datang dalil yang mengharamkannya.
Kedua: Tuntutan tersebut berdasarkan kehendak syarak atau menghilangkan sesuatu perkara yang tidak disukai. Maka bagi merealisasikan perkara tersebut, demonstrasi merupakan salah satu wasilah dan caranya. Ini berdasarkan kaedah Usul Fiqh: ‘wasilah akan mengambil tempat apa yang dimaksudkan’. Maka asal pada menuntut sesuatu perkara yang dihajati daripada pemerintah (hajat yang dibenarkan dalam Islam) merupakan perkara yang diharuskan syarak.[17]
Begitu juga Dar al-Ifta' Jordan, telah menetapkan keharusannya disertakan dengan syarat-syarat tertentu. Majlis Fatwa Jordan meletakkan garis panduan berdemonstrasi seperti berikut[18]:
Pertama: Tidak ada lagi cara lain untuk menyuarakan pandangan atau pendapat, seperti dialog harmoni, nasihat-menasihati antara pemimpin masyarakat serta mereka yang menggubal dasar.
Kedua: Tidak boleh membawa kepada berlakunya pertumpahan darah, kehilangan nyawa dan serangan ke atas jiwa.
Ketiga: Tidak menyebabkan mudarat yang lebih besar berbanding manfaat yang diharapkan daripadanya.[19]
Keempat: Tidak berlaku di dalamnya atau dengan sebab penganjurannya ketidakstabilan negara dan maslahat kebaikan terhadap negara dan rakyat.
Kelima: Tiada sebarang bentuk serangan terhadap pusat dan institusi yang memiliki kepentingan umum dan khusus.
Keenam: Tidak dieksploitasi oleh pihak-pihak yang memiliki matlamat dan tujuan lain yang boleh membawa kepada berlakunya kekacauan di dalam masyarakat.
Ketujuh: Tiada unsur hasutan fitnah dalam kalangan anggota masyarakat yang bersatu, menggugat keamanan Negara, mencetuskan keganasan serta persengketaan kaum dan bangsa dan menjadikan terpecah dan terpisahnya Negara Islam.
Kelapan: Tiada sebarang tindakan yang menyalahi Syarak seperti percampuran lelaki dan perempuan yang tidak diizinkan dan seumpamanya.
Kesembilan: Mengelakkan daripada timbulnya perasaan takut dalam kalangan orang ramai, disebabkan berlaku serangan kepada harta-benda, rumah dan kenderaan mereka.[20] Tidak juga berlaku dan berleluasanya kecurian serta pencerobohan kehormatan terhadap kediaman rumah dan keluarga mereka.
Pendapat Kedua: Haram
Diharamkan berdemonstrasi. Pendapat ini dipegang oleh Syeikh Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthi[21], Syeikh Abdul Aziz bin Abdillah Bin Baz[22], Syeikh Muhammad Ibn Soleh al-Uthaimin[23] dan Lajnah Dar al-Ifta’ Arab Saudi.
Syeikh al-Buthi menyatakan pendirian berkaitan demonstrasi ini di dalam salah satu siri pengajian beliau. Katanya: “Allah SWT melarang dan menegah kita daripada memperbaiki sesuatu kerosakan dengan memilih jalan-jalan kebinasaan dan kehancuran. Tidak mungkin untuk kita memperolehi sesuatu kebaikan dengan menelusuri pelbagai bentuk kehancuran. Saya (Syeikh al-Buthi) sekali lagi menegaskan mereka yang keluar untuk membuat bantahan di jalan-jalan raya dengan tujuan dan niat yang baik serta secara aman walaupun ia dibenarkan Syarak adalah haram. Perbahasan dan hukum ini telah terang lagi nyata berdasarkan dalil-dalil syarak yang tidak perlu diperdebatkan lagi. Perkara ini (tidak berdemonstrasi) dapat mencegah daripada berlakunya kerosakan dan kebinasaan. Menutup pintu-pintu jalan pada berlakunya kerosakan merupakan suatu perkara yang wajib.[24]
Syeikh Abdul Aziz bin Abdillah Bin Baz, Mantan Mufti Besar Arab Saudi menyatakan: “Aku menasihatkan kepada ulama’ dan para pendakwah dan pendokong kebenaran supaya menghindari sebarang bentuk demonstrasi dan protes di jalan-jalan raya. Perbuatan ini disifatkan tidak memberi manfaat dan akan memberi kemudaratan kepada bidang dakwah. Ia penyebab kepada berlakunya perpecahan orang Islam.” [25]
Fatwa Dar al-Ifta’ Arab Saudi berpendirian bahawa: Memperbaiki kerosakan tidak semestinya dengan melakukan demonstrasi dan perkara yang seumpamanya. Ia akan menimbulkan lagi api fitnah dan memecah-belahkan masyarakat. Oleh kerana itu, diharamkan berdemonstrasi di negara ini (Arab Saudi) kerana Islam tidak mengajar untuk mencari kemaslahatan dalam masa yang sama menimbulkan kerosakan. Maka perkara yang paling berkesan ialah saling nasihat-menasihati. Ini merupakan ajaran yang diajar oleh Nabi SAW.” [26]
Syeikh Muhammad Ibn Soleh al-Uthaimin ada menyebut dalam fatwanya: “Tidak dinafikan lagi bahawa berdemonstrasi merupakan suatu perkara yang buruk kerana boleh membawa kepada permusuhan dan kekacauan dalam kalangan pelaku demo yang lain. Boleh jadi di dalamnya akan berlaku pencerobohan. Maka berdemonstrasi merupakan perkara yang dilarang sama ada dibenarkan oleh pemerintah atau tidak.” [27]
Tarjih
Selepas kami mengamati dan meneliti kedua-dua pendapat, makanya kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengharuskan demonstrasi tetapi dengan syarat dan dawabitnya. Ini kerana hujah-hujah jumhur dan pendapat yang mengharuskan adalah kuat di samping melihat kepada situasi yang juga termasuk dalam amar makruf dan nahi mungkar.
Kami nukilkan juga di sini pendapat kami dalam Bayan Linnas Siri Ke- 122: Hukum Demonstrasi Aman Untuk Palestin antara lain menyebut: “Begitu juga, cara seperti ini termasuk di dalam masalih al-Mursalah yang tidak terbentuk pensyariatannya berdasarkan nas yang khas. Ini kerana, umum nas dan maqasid al-Syariah menunjukkan ke arah itu. Ini adalah pendapat yang diutarakan oleh Syeikh Dr. al-Syarif Hatim bin Arif al-Auni[28] berkaitan hukum demonstrasi secara aman.” [29]
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan serta hujahan di atas, kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengharuskan demonstrasi secara aman disertakan dengan syarat-syarat dan garis panduan yang ditetapkan kerana mempunyai hujah dan dalil yang kuat. Ditambah lagi, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang memberi kebebasan kepada rakyatnya untuk menyuarakan pendapat dan pandangan dengan tertakluk kepada lunas undang-undang yang ditetapkan.
Kami tegaskan di sini sekali lagi bahawa perlu dan sewajarnya pihak penganjur sesuatu perhimpunan mendapatkan permit atau kebenaran sebagaimana yang kami telah nyatakan dalam dawabit atau garis panduan perhimpunan aman itu.
Sekali lagi kami nyatakan, perhimpunan aman adalah diharuskan sekiranya mengikut dawabit (garis panduan) seperti berikut:
- Tidak ada cara lain melainkan dengan diadakan perhimpunan secara aman dan damai.
- Tidak menggugat ketenteraman dan merosakkan harta-harta awam serta menjaga adab dan akhlak yang baik.
- Tidak menimbulkan rasa kebencian, permusuhan terhadap pemerintah serta tidak menimbulkan sebarang provokasi dan fitnah sama ada melalui ucapan, tingkah laku dan juga tulisan.
- Mengikut undang-undang yang digariskan pihak yang berautoriti seperti pasukan keselamatan sebelum bermulanya demonstrasi, semasa dan selepas mengadakan perhimpunan tersebut.
- Memelihara adab dan tatasusila yang tinggi tanpa memfitnah serta melontarkan kata-kata kesat yang boleh melukakan maruah seseorang.
- Tidak membawa senjata dan alat-alatan seperti senjata kerana ingin menakutkan orang ramai. Hal ini bertepatan dengan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ حَمَلَ عَلَيْنَا السِّلَاحَ فَلَيْسَ مِنَّا
Maksudnya: Sesiapa yang membawa senjata untuk menakut-nakutkan kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.
Riwayat al-Bukhari (6874) dan Muslim (291)
Imam al-Nawawi berkata: Di sisi ahli ilmu memberi maksud perbuatan membawa senjata untuk menakutkan orang ramai bukanlah daripada petunjuk dan amalan kami. (Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 1/109)
Mentaqdirkan kemaslahatan yang berat atau maslahatun rajihah dalam tindakan seperti demonstrasi ini perlu diambil kira dalam pertimbangan agar natijah dan kesan membawa kebaikan.
Mesyuarat Khas Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 3 Disember 2018 bersetuju memutuskan akan keharusan mengadakan perhimpunan aman berdasarkan hujah yang dinyatakan dan dhawabitnya.
Walaupun begitu, dinasihati juga kepada mereka yang ingin berdemonstrasi hendaklah terlebih dahulu menyatakan bantahan pada saluran, masa dan tempat yang betul. Kami berdoa kepada Allah SWT semoga negara kita Malaysia khususnya dan negara-negara lain amnya sentiasa hidup dalam masyarakat yang harmoni, sejahtera serta mendapat keampunan dan keredaan daripada-Nya.
Firman Allah SWT:
بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ
Maksudnya: (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!
(Surah al-Saba’:15)
Akhir sekali, kami bermunajat kepada-Nya agar Malaysia sentiasa berada dalam keadaan aman dan masyarakatnya saling bertoleransi dan hidup makmur, damai serta bahagia. Amin.
Akhukum fillah,
SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Nota Hujung:
[1] Pada 12 Disember 1950, rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Natrah)
[2] Idea penubuhan Malayan Union muncul berdasarkan Piagam Atlantik Ogos 1941, iaitu memberi hak menentukan nasib negara sendiri. Februari 1943, Pejabat Tanah Jajahan di London merancang mewujudkan sistem kesatuan di Tanah Melayu. Pada 10 Oktober 1945, rancangan Malayan Union diumumkan semasa persidangan Parlimen British. Pada 12 Oktober 1945, Sir Harold Mac Michael dilantik sebagai wakil khas mendapatkan tanda tangan sultan. 1 April 1946, Malayan Union diisytiharkan. Ini mengakibatkan kebangkitan umat Melayu menentang idea penubuhan Malayan Union. (Lihat “Perjuangan Mencapai Kemerdekaan”, hlm. 68)
[3] Ketika itu, sudut pidato diadakan dan pemimpin mahasiswa boleh berucap lantang dan lancang mengkritik dasar-dasar yang dikira mengabaikan rakyat miskin seperti di Baling. Laporan media melaporkan terdapat penoreh getah di Baling yang mati akibat miskin melarat atau makan ubi kayu sahaja. Harga getah jatuh teruk – daripada harga biasa 25 hingga 60 sen sekati kepada 15 sen sekati – dan penduduk kesempitan wang. Mahasiswa mengadakan demonstrasi di padang Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Selain itu, mereka berkumpul di pekarangan Masjid Negara. Mahasiswa mengadakan demonstrasi di pelbagai tempat termasuk di luar universiti dan di pekarangan Masjid Negara. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Kebangkitan_mahasiswa_Malaysia_1971-1975)
[4] Nama-nama seperti pahlawan Dol Said di Naning, Yamtuan Antah di Sungai Ujong, Dato Bahaman di Pahang, Tok Janggut di Kelantan dan Abdul Rahman Limbong di Terengganu sememangnya antara cerita kepahlawan anak bangsa yang cukup gah di pengetahuan kita semua. Biar di dalam serba serbi kekurangan dengan hanya berbekalkan keris tersisip di pinggang, mereka tidak pernah undur melawan Inggeris yang ingin bermaharajalela di bumi kelahiran mereka.
Di Sarawak juga tidak pernah kurang dengan cerita seperti ini. Si Bujang Berani, Rentap “Libau” telah membuktikan kepahlawanannya sewaktu berdepan dengan Brooke sehingga memaksa Brooke menghantar tiga ekspedisi untuk mengalahkannya itupun Rentap meninggal dunia akibat sakit tua tetapi tidak sekali ditangan Brooke pada waktu itu. (Lihat buku Rosli Dhoby: Merdeka Dengan Darah oleh Jeniri Amir)
[5] BERSIH ialah Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil. BERSIH ditubuhkan dengan anggota komitinya dianggotai oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Women’s Development Collective (WDC) dan Writers Alliance for Media Independence (WAMI).
BERSIH dilancarkan secara rasmi pada 23 November 2006 di lobi bangunan Parlimen Malaysia. Ia dihadiri oleh pemimpin parti politik, dan pihak bukan kerajaan, termasuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, presiden PKR, Sivarasa Rasiah - timbalan presiden PKR, Setiausaha Am DAP - Lim Guan Eng, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP dan MP bagi Seputeh Teresa Kok, timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa, ketua pemuda PAS - Salahudin Ayub, Setiausaha Am PSM S. Arutchelvan, Kongres Persatuan Pekerja Malaysia - Syed Shahir Syed Mohamud, esekutif direktor WDC - Maria Chin Abdullah dan esekutif direktor SUARAM - Yap Swee Seng.
BERSIH telah menganjurkan perhimpunan 100,000 orang di Dataran Merdeka pada hari Sabtu, 10 Oktober 2007 jam 3.00 petang. 26 badan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang turut serta. Pemimpin yang terlibat ialah Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Abdul Hadi Awang bagi menyerahkan memorandum kepada wakil Istana Negara. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/BERSIH)
[6] Bolehlah merujuk kepada pautan ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan akta tersebut: http://www.federalgazette.agc.gov.my/outputaktap/20120209_736_BM_JW001759%20Akta%20736%20(BM).pdf
[7] Beliau lahir pada 5 April 1911 di perkampungan Daqadus, daerah Mayt Ghamir, negeri Daqhaliyyah, Mesir. Meninggal dunia pada tahun 1998 dalam usia 87 tahun di Kaherah, Mesir dan dikebumikan di perkampunganya, Daqhaliyyah.
[8] Lahir pada 9 September 1926. Beliau merupakan salah seorang ulama’ yang berpengaruh di dunia. Begitu juga menghasilkan banyak karya ilmiah dan antara yang terkenalnya ialah Fiqh al-Zakah, al-Halal wa al-Haram di al-Islam, Fiqh al-Jihad dan Fatawa Mu’asirah. Adapun kitab-kitab yang kecil berkenaan dengan fikrah dan hukum-hakam amatlah banyak dihasilkannya. Pernah menerima tokoh Ma’al Hijrah Malaysia pada tahun 2009.
[9] Syeikh Usamah Abdul Karim Rifa’i ialah Ketua Umum Majlis Islam Syria. Beliau merupakan salah seorang ulama’ yang berpengaruh di Syria dan anak kepada Syeikh Abdul Karim al-Rifa’i, ulama’ yang amat dihormati pada zamannya. Sekarang Syeikh Usamah menetap di Turki.
[10] Lahir pada tahun 1945 di sebuah kampung bernama Maniah Samnud di wilayah al-Daqhaliah, Mesir. Beliau sempat berguru dengan Maulana Abi al-Hasan Ali al-Nadwi. Sekarang ini, beliau antara ulama’ yang terkenal di Mesir dan sedang meningkat naik. Seorang yang menggabungkan antara ilmu hadis, fiqh dan tasawwuf. Kerap datang ke Malaysia dan selalu menziarahi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
[11] Lahir pada tahun 1959, seorang penulis yang terkenal dan mufakkir berasal dari Arab Saudi. Memperolehi Master dan juga PhD dalam bidang Sejarah Moden dan Masa Kini berkenaan Afrika Utara. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai presiden Masyarakat Islam bagi Amerika Utara.
[12] Mufakkir dan juga ahli akademik dari Mesir. Professor dalam bidang Fiqh dan Usul serta Siyasah Syar'iyyah. Antara penulisannya ialah al-Ahkam al-Syar'iyyah li al-Nawazil al-Siyasiyyah.
[13] Syeikh Dr Ali Muhyiddin al-Qurrah Daghi adalah bekas pensyarah dan Ketua Bahagian Fiqh dan Usul Fiqh Fakulti Syariah Islamiyah, Universiti Qatar. Dilahirkan pada tahun 1949 di Qarrah Daghi, wilayah al-Suleimaniyyah, Kurdistan, Iraq tetapi merupakan warganegara Qatar. Syeikh merupakan mantan Setiausaha Agung Persatuan Ulama Muslimin Sedunia.
[14] Laman web rasmi Syeikh Yusuf Al-Qardawi http://www.alqaradqwi.net/node/3885
[15]Lihat https://www.youtube.com/watch?v=EzUHjdB5oMM
[16] Lihat https://www.youtbe.com/watch?v=ndRKM_h5Bmg
[17] Lihat laman facebook Rasmi Dar al-Ifta’ Mesir https://www.facebook.com/Egypt.DarAlIfta/posts/535250509838069
[18] Lihat laman Web Rasmi Dar al-Ifta’ Jordan http://www.aliftaa.jo/Desicion.aspx?DesicionId=166#.W_ycJugzakUk
[19] Kaedah seperti:
ارْتِكَابُ أَخَفِّ الضَّرَرَيْنِ وَاجِبٌ
Maksudnya: “Tindakan melakukan bahaya yang paling kecil (apabila tiada pilihan lain) antara dua bahaya itu adalah wajib.
dan juga kaedah:
إذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا
Maksudnya: “Apabila bertembung dua mafsadah (keburukan), maka diraikan mafsadah yang lebih besar dengan melakukan mafsadah yang lebih ringan.”
[20] Ini berdasarkan hadis, sabda Rasulullah SAW:
لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا
Maksudnya: Tidak halal bagi seorang Islam menakutkan orang Islam yang lain.
Riwayat Abu DAud (5004)
[21] Meninggal dunia pada Mac 2013 ketika sedang mengajar tafsir al-Quran di Masjid al-Iman, Damsyiq Syria akibat dibom dan juga dibunuh. Semoga Allah merahmatinya.
[22] Lahir pada 21 November 1910 dan meninggal pada 13 Mei 1999. Beliau adalah seorang ulama’ Islam yang terkemuka dan berpengaruh di Arab Saudi. Beliau menjawat jawatan Mufti Besar Kerajaan Arab Saudi dari tahun 1993 hingga tahun 1999.
[23] Lahir pada 29 Mac 1925. Beliau adalah seorang ulama era kontemporari yang amat berpengaruh dan mempunyai gaya penyampaian yang tersendiri serta menguasai kedalaman ilmu sama ada fiqh, hadis, tafsir, usul fiqh dan lain-lain. Lebih dikenali dengan nama Syeikh Ibn 'Uthaimin atau Syeikh 'Uthaimin. Pernah menjawat jawatan sebagai ketua di Hai'ah Kibar al-Ulama. Meninggal dunia pada 5 Januari 2001 pada usia 75 tahun.
[24] https://www.youtube.com/watch?v=X6w9rdZWrlc
[25] http://binbaz.org.sa/old/33918
[26] Lihat Surat Khabar Riyadh bilangan 15596 bertarikh 2/4/1432 H
[27] Lihat Kitab Liqa’at al-Bab al-Maftuh, 18/179.
[28] Lahir di Ta'if pada tahun 1965. Beliau seorang yang pakar dalam ilmu hadis, mengajar di Universiti Umm al-Qura dan merupakan mantan anggota Majlis Syura bagi kerajaan Arab Saudi.
[29] Lihat http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2178-bayan-linnas-siri-ke-122-hukum-demonstrasi-aman-untuk-palestin
No comments:
Post a Comment