BAYAN LINNAS SIRI KE-271: PENGLIBATAN ORANG ISLAM DALAM MAJLIS YANG TERDAPAT RITUAL KEAGAMAAN BUKAN ISLAM
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Merujuk kepada isu seorang individu yang membaca al-Fatihah dan berdoa dalam satu majlis ritual keagamaan bukan Islam di Kuala Lumpur, maka Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ingin memberi penjelasan bahawa ini suatu perkara yang serius dari sudut akidah agama Islam. Pihak PMWP pernah mengeluarkan kenyataan berkenaan perkara ini bertajuk “Doa Bersama dengan Bukan Islam dalam Satu Majlis” yang boleh diikuti di pautan berikut: https://www.muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/2883-bayan-linnas-siri-ke-156-doa-bersama-dengan-bukan-islam-dalam-satu-majlis.
Akidah adalah sesuatu yang wajib dipelihara supaya tidak tergelincir daripada landasan yang benar. Sebarang aktiviti atau amalan yang boleh membawa kepada kekufuran sama ada dengan mengatakan suatu perkataan, melakukan suatu perbuatan atau beriktikad dengan suatu pegangan yang membawa maksud mengabdikan diri selain daripada Allah SWT adalah dilarang.
Dalam hal ini, berdoa adalah termasuk dalam kategori ibadah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Ia merupakan salah satu tanda kerendahan diri hamba terhadap Tuhannya. Dengan demikian, ia mesti dilakukan dengan cara yang sesuai dengan kehendak syarak. Ia tidak boleh dilakukan sebagai suatu acara kebudayaan atau adat yang bertentangan dengan roh ibadah dan rasa tawaduk kepada Allah SWT. Sebagai suatu ibadah, doa hendaklah dilakukan pada masa yang sesuai, suasana yang baik dan di tempat yang sepatutnya.
Oleh itu, keterlibatan seorang muslim bagi membacakan doa dalam satu majlis yang terdapat ritual keagamaan bukan Islam adalah bercanggah dengan roh ibadah. Hal ini kerana konsep doa dalam Islam adalah untuk menzahirkan kebergantungan seseorang hamba kepada Allah SWT berbeza dengan doa orang bukan Islam.
Firman Allah SWT dalam surah al-Kafirun:
قُلْ يَاأَيُّهَا الْكَافِرُونَ (1) لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ (2) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (3) وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ (4) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (5) لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ(6)
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”.
Surah al-Kafirun (1-6)
Maka setiap amal ibadah mestilah mengikut tatacara yang telah digariskan oleh syarak bagi mencapai reda Allah SWT. Berkaitan dengan isu ini, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali ke-113 yang bersidang pada 22 Januari 2019 telah membincangkan perkara berkenaan dengan Hukum Berdoa Bersama-sama dengan Orang Bukan Islam dalam Satu Majlis. Fatwanya adalah seperti yang berikut:
- Hukum orang Islam meminta atau mengarahkan orang bukan Islam bersama-sama berdoa mengikut anutan agama masing-masing dalam satu majlis yang dihadiri oleh penganut pelbagai agama adalah haram.
- Orang Islam adalah dilarang daripada menganjurkan atau menghadiri apa-apa majlis yang melibatkan upacara keagamaan agama lain.
- Pengharaman dan larangan ini sebagai usaha Sadd azzara’i untuk mengekang penyebaran agama lain dan fahaman pluralisme agama kepada orang Islam.
- Bagi maksud Fatwa ini, usaha Sadd azzara’i merupakan tindakan yang dilakukan dengan tujuan untuk menutup pintu-pintu atau jalan-jalan yang boleh membawa kepada kerosakan akidah.
- Walau apa pun, perenggan 1, 2 dan 3, orang Islam tidak dianggap berdosa, jika berada dalam majlis yang tidak melibatkan upacara keagamaan agama lain dan terdapat orang bukan Islam yang berdoa mengikut anutan agama masing-masing dengan kehendak mereka sendiri.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ingin menegaskan kewujudan pelbagai agama satu realiti yang diterima oleh semua masyarakat Malaysia. Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kepelbagaian ini, walau bagaimanapun bagi orang Islam ada batas-batas akidah dan hukum syarak yang perlu dijaga dan dipertahankan agar tidak terjebak kepada kesyirikan. Meraikan kepelbagaian bukan bermaksud mengiktiraf keabsahan agama lain sehingga sanggup berkompromi dalam hal-hal yang bersifat prinsip. Pada masa yang sama keharmonian kehidupan dalam kepelbagaian agama dalam masyarakat yang ada mesti dipertahankan kerana ia juga adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Wallahuaʻlam.
No comments:
Post a Comment