102: TINDAKAN SHELL MENARIK KEMBALI STANDEE IMEJ WANITA WAJAR DIPUJI
Mukadimah
Baru-baru ini, berlaku kekecohan berhubung isu "pencabulan" standee wanita di Shell. Sejujurnya, isu ini amat membimbangkan kerana ia melibatkan imej dan akhlak seorang Muslim. Kami melihat isu ini amat serius dan wajar untuk dijelaskan dengan sebaik mungkin. Oleh itu, kami terpanggil untuk menulis Bayan Linnas kali ini dengan tajuk TINDAKAN SHELL MENARIK KEMBALI STANDEE IMEJ WANITA WAJAR DIPUJI
Pandangan Tokoh-Tokoh
- Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak
"Haram iklan berkenaan lebih-lebih lagi ia menjadi keghairahan. Penggunaan gambar wanita dalam kadbod dan patung juga tidak boleh. Sudah jadi benda negatif pula bila orang cium, pegang dan buat macam-macam kepada iklan itu,"
- Abdullah Zaik Abd Rahman, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Beliau menganggap apa yang terjadi ke atas Nor Shafila adalah kerana Shell menggunakan wanita dalam iklannya. Jelasnya, adalah fitrah untuk lelaki terangsang apabila melihat perempuan, walaupun mengakui mereka sepatutnya menjaga pandangan dan mengawal tingkah laku.
Wanita Sebagai Objek Utama Dalam Pengiklanan
Kami membahagikan hal ini kepada dua sudut:
Pertama: Eksploitasi terhadap wanita
Lukisan perempuan telah menjadi tema utama oleh para pelukis Barat sejak zaman sebelum era neo-Klasikisme dan Romantisisme. Tradisi seni lukisan pada era Rococco (gaya abad ke-18) yang merupakan masa terakhir bagi monopoli seni klasik, banyak menggambarkan dewi-dewi cantik dengan warna kulit kemerah-merahan dengan posisi yang tidak sesuai. Misalnya, karya Francois Boucher “Vulcan Presenting Venus with Arms for Aeneas” dan Jean-Honore Fragonard, “The Bather”. Sejak masa neo-Klasikisme, Romantisisme hingga Pascamodernisme, wanita tetap menjadi tema utama dalam sesuatu lukisan.
Telah ramai sarjana Barat yang mengkritik eksploitasi dan objektifikasi wanita dalam media massa untuk melariskan jualan, produk dan perkhidmatan.[1]
Kedua: Tidak mengeksploitasi wanita
Contoh paling mudah adalah iklan-iklan yang mempamerkan wanita sebagai model tetapi memelihara auratnya dan sopan sepertimana yang diamalkan di beberapa buah negeri di Malaysia, misalnya.
Malu Sebagai Perhiasan Lelaki dan Wanita
Malu bererti menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan yang tercela, enggan melakukan sesuatu atau enggan meninggalkan kerana takut mendapat celaan. Jika inilah pengertian malu, maka seruan kepada berakhlak dengannya merupakan seruan kepada mencegah daripada semua bentuk maksiat dan keburukan. Nabi SAW bersabda:
إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِ النُّبُوَّةِ الأُولَى: إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ
Maksudnya: “Sesungguhnya di antara yang didapati oleh manusia daripada perkataan Nabi yang terdahulu adalah: ‘Jika engkau tidak mau, buatlah apa yang engkau suka.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 5769)
Pertama, kami melihat bahawa kaum lelaki yang perlu terlebih dahulu menundukkan pandangannya dan menjaga maruahnya. Tindakan ‘mencabul’ standee wanita terbabit adalah perlakuan yang memalukan, menjatuhkan maruah dan tidak wajar dilakukan oleh seorang Muslim yang baik. Anjuran untuk lelaki menundukkan pandangan ini adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Jarir bin ‘Abdillah RA beliau berkata :
سَأَلْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ نَظَرِ الْفُجَاءَةِ فَأَمَرَنِيْ أَنْ أَصْرِفَ بَصَرِي
Maksudnya: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan pandangan secara tiba-tiba (tidak sengaja kepada wanita), maka Baginda mengarahkan aku untuk menundukkan pandangan.
(Riwayat Muslim, no. 2159)
Imam An-Nawawi dalam Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim (14/139) menjelaskan, makna pandangan tiba-tiba adalah pandangan kepada wanita asing/bukan mahram (ajnabiyyah) tanpa sengaja. Tidak ada dosa baginya pada awal pandangan, dan wajib untuk berpaling pada saat itu juga. Apabila dipalingkan saat itu juga maka tidak berdosa, akan tetapi apabila terus-menerus memandang, maka berdosa berdasarkan hadith ini, kerana Rasulullah SAW memerintahkan untuk memalingkan pandangannya. Allah SWT berfirman,
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ
Maksudnya: Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya…”
Kedua, kaum wanita perlu berusaha untuk mengelakkan sebarang fitnah daripada berlaku. Ini berdasarkan satu kaedah
اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ
Maksudnya: Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.
Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA,
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya: Barangsiapa yang menempuhi, laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.
Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang.
Nasihat Kami
Justeru, kami melihat usaha Shell menarik kembali standee berkenaan wajar dipuji kerana ia menutup pintu-pintu fitnah dalam masyarakat. Kami menasihatkan beberapa individu yang telah berbuat demikian terhadap standee wanita tersebut, wajar bertaubat dan berubah menjadi Muslim yang lebih baik. Kami percaya akan kebijaksanaan pihak Shell dalam menangani isu ini dan bersedia untuk memberikan buah fikiran dan pandangan sekiranya ada keperluan. Mempamerkan akhlak yang mulia dan unggul merupakan keindahan dan nilai yang tinggi dalam masyarakat. Kemuliaan budilah yang membezakan manusia dan haiwan liar. Berbudi bukan satu hal yang boleh dibuat-buat. Ia merupakan hasil terakhir dari pembentukan peribadi dan jiwa sejak kecil lagi. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW daripada sebuah hadith yang sahih.
اتَّقِ اللهَ حَيْثُمَا كُنْتَ، وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
Maksudnya: “Bertaqwalah engkau kepada Allah walaupun di mana engkau berada, dan iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.”
Riwayat Ahmad (5/153) dalam al-Musnad, al-Tirmizi (4/355) dalam al-Sunan, dan beliau berkata: Hadith ini hasan sahih. Al-Hakim dalam al-Mustadrak (1/54) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (6/245). Hadith ini sahih dengan jalan-jalan dan syawahidnya.
Marilah sama-sama kita menginsafi diri sebagai umat Islam dan juga rakyat Malaysia yang menjunjung nilai dan budi yang luhur sebagai jati diri kita untuk kekal gah di persada antarabangsa. Benarlah kata pujangga terkemuka, almarhum Ahmad Syauqi,
وإنِّما الأُمَمُ الأخلاقُ ما بَقِيَتْ *** فَإنْ هُمُ ذَهَبَتْ أَخلاقُهُمْ ؛ ذَهَبُوا
“Dan sesungguhnya semua umat kekal selama adanya akhlak.
Apabila mereka hilang akhlak, maka lenyaplah umat tersebut.”
Semoga Allah SWT menjadikan kita Muslim yang beradab, bertatasusila tinggi dan bermanfaat kepada masyarakat keseluruhannya.
Akhukum fillah,
Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri,
Mufti Wilayah Persekutuan,
9 Julai 2017H bersamaan 15 Syawal 1438H
____________________________________
[1] Frith, Katherine; Shaw, Ping; Cheng, Hong (March 2005). "The construction of beauty: a cross-cultural analysis of women's magazine advertising". Journal of Communication. Wiley. 55 (1): 56–70. doi:10.1111/j.1460-2466.2005.tb02658.x;
No comments:
Post a Comment