112: PANDANGAN TERHADAP KENYATAAN DR. MUN’IM SIRRY DALAM SIMPOSIUM KESEDERHANAAN DALAM AL QUR’AN ANTARA DUA TITIK EKSTRIM

 112: PANDANGAN TERHADAP KENYATAAN DR. MUN’IM SIRRY DALAM SIMPOSIUM KESEDERHANAAN DALAM AL QUR’AN ANTARA DUA TITIK EKSTRIM

Mukadimah

Pada 19 Ogos 2017, telah diadakan sebuah program Simposium Kesederhanaan Dalam al Qur’an Antara Dua Titik Ekstrim yang bertempat di Banquet Room, Royal Selangor Golf Club, Jalan Kelab Golf off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Mun’im Sirry dalam symposium berkenaan telah menimbulkan kekecohan dalam kalangan masyarakat awam khususnya di Malaysia.

Atas rasa tanggungjawab sebagai Mufti Wilayah Persekutuan, di mana simposium tersebut berlangsung di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kami terpanggil untuk menghuraikan beberapa kenyataan yang ditimbulkan oleh beliau. Sejujurnya, kami mengambil sedikit masa untuk meneliti rakaman video secara keseluruhannya di akaun Youtube LiberTV.[1] Begitu juga buku beliau iaitu Kontroversi Islam Awal: Antara Mazhab Tradisionalis dan. Revisionis yang sempat kami tekuni sebagai langkah untuk menyelidik terlebih dahulu apa yang dipaparkan di media sosial.

Semoga Bayan Linnas kali ini memberi pencerahan kepada semua lapisan masyarakat.

Beberapa Salahfaham Yang Ditimbulkan

  • Para ulama’ silam terbuka menukilkan pandangan yang berbeza

Pada minit-minit awal, Dr. Mun’im Sirry menyatakan bahawa para ulama’ silam terbuka dalam menukilkan pandangan-pandangan yang berbeza. Beliau memberikan contoh iaitu Imam al-Tabari yang menukilkan pelbagai pandangan yang berbeza di dalam tafsirnya, Jami’ al-Bayan fi Ayi al-Qur’an.

Imam al-Tabari sebagai seorang yang berada pada peringkat mujtahid muntasib menggunapakai kaedah penulisan mazhab yang bentuk penulisannya tidak menyebut pemilik satu-satu pandangan jika berlaku kekeliruan sanad, kelemahan pendapat atau hujah yang tidak jelas. Kadangkala beliau menggunakan istilah ‘ada yang berpendapat’, ‘dikatakan’ dan lain-lain istilah menunjukkan ianya adalah lemah. Beliau ada metodologi tersendiri dalam menulis tafsirnya dan tidak hanya menukilkan tanpa sebarang disiplin yang terperinci dan tujuan tertentu. Sarjana moden seperti Dr. Fuat Sezgin yang membandingkan nukilan al-Thabari dengan sumber-sumber aslinya, beliau berkesimpulan bahwa tafsir al-Tabari sangat luas perbahasannya dan bersifat ensiklopedik. Isinya pelbagai dengan subjek perbincangan yang kaya dengan ilmu.

  • Penjelasan Terperinci Berkenaan Teologi Musyrikin Mekah Tidak Ada Di dalam al-Qur’an

Dr. Mun’im Sirry mendakwa bahawa adalah satu keanehan jika al-Qur’an yang turunnya di ketika masyarakat masih beriman dengan berhala, tidak menceritakan secara terperinci berkenaannya kecuali di dalam Surah al-Najm ayat 19.

Sebenarnya, terdapat beberapa nama berhala lain yang disebut selain al-Lata, al-Uzza dan al-Manat. Antaranya adalah Wadd, Suwa’, Yaghuth, Ya’uq dan Nasr. Firman Allah SWT:

وَقَالُوا لَا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا

Maksudnya: "Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa', dan Yaghuth, dan Ya'uuq, serta Nasr.”

(Surah Nuh: 23)

Bahkan disebutkan di dalam Fi Zilal al-Qur’an bahawa kaum Nabi Nuh mempunyai berhala dan patung yang beraneka macam mengikut selera dan citara rasa kebangsaan mereka.[2]

Begitu juga firman Allah SWT:

أَتَدْعُونَ بَعْلًا وَتَذَرُونَ أَحْسَنَ الْخَالِقِينَ

Maksudnya: "Patutkah kamu menyembah berhala Ba'la, dan kamu meninggalkan (ibadat kepada) sebijak-bijak pencipta?”

(Surah al-Safat: 125)

Baal adalah patung yang disebut di dalam al Quran iaitu mengenai perjalanan dakwah nabi Ilyas di Kan’an yang berdepan dengan penyembah Ba’l. Warisan inilah yang dibawa turun temurun daripada kaum-kaum terdahulu sehinggakan ada lebih 360 berhala di dalam Kaabah sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith:

دَخَلَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – مَكَّةَ ، وَحَوْلَ الْكَعْبَةِ ثَلاَثُمِائَةٍ وَسِتُّونَ نُصُبًا فَجَعَلَ يَطْعَنُهَا بِعُودٍ فِى يَدِهِ وَجَعَلَ يَقُولُ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ

 “Nabi SAW masuk ke Kaabah saat yang ketika itu berisi 360 patung, lalu Baginda menusuk dan menghancurkannya dengan menggunakan tongkat yang ada di tangan Baginda seraya berkata: Telah datang kebenaran dan lenyaplah kebatilan.”

(Riwayat al-Bukhari, no. 2478)

  • Paganisme Dan Primitif Adalah Ciri-Ciri Arab Jahiliah

Dr. Mun’im Sirry seterusnya menimbulkan persoalan samada wajarkah dikatakan masyarakat ketika itu adalah menganut paganisme kerana wujud perbincangan-perbincangan intelektual tahap tinggi di dalam al-Qur’an. Natijahnya, beliau cuba untuk menyatakan bahawa agak mustahil al-Qur’an turun pada masyarakat yang mundur, tidak intelek dan primitif.

Kami berpandangan bahawa beliau terkeliru antara istilah paganisme dan primitif. Sememangnya terbukti bahawa masyarakat Arab Jahiliah itu bukanlah masyarakat yang primitif kerana perdebatan logik dan falsafah ketika itu terlalu banyak boleh diambil manfaatnya di dalam al-Qur’an. Malah, ianya direkodkan lebih awal lagi dalam sejarah peradaban manusia. Sebagai contoh, soal jawab Nabi Ibrahim dengan pengikutnya berkenaan dalil aqli kewujudan Allah SWT seperti dalam Surah al-An’am ayat 74 – 78. Ini adalah contoh aplikasi mantiq dalam hujah Nabi Ibrahim.

Kami tidak pasti sumber manakah yang dimaksudkan oleh Dr. Mun’im Sirry, yang menyatakan bahawa ada sumber-sumber daripada tokoh Muslim yang menyatakan bahawa zaman paganisme Arab Jahiliah itu semestinya zaman yang primitif (mengenai atau termasuk dlm zaman kuno). Ini kerana Jahiliah yang dimaksudkan dalam Bahasa Arab, sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Raghib adalah datang dalam tiga bentuk;

  1. Kosongnya jiwa dari ilmu. Ini adalah pengertian asal. Sebagian ahli ilmu kalam menjadikan pengertian itu untuk perbuatan-perbuatan yang keluar dari aturan, sebagaimana menjadikan kata al-‘ilm sebagai makna untuk perbuatan-perbuatan yang berkesesuaian dengan aturan.
  2. Keyakinan terhadap sesuatu yang bertentangan dengan hal yang sebenarnya.
  • Melakukan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang seharusnya dilakukan, sama saja apakah hal itu didasarkan oleh keyakinan benar ataupun salah, seperti perbuatan meninggalkan solat secara sengaja.[3]

Para ahli sejarah Islam telah bersepakat bahawa Jahiliah yang dimaksudkan dalam sejarah Nabi Muhammad SAW adalah merujuk kepada tempoh masa sebelum kenabian Rasulullah SAW. Dikatakan ianya adalah zaman kekufuran yang mutlak. Dikatakan juga ianya sebelum pembukaan kota Mekah dan keadaan antara kelahiran Nabi SAW sehingga sebelum kenabiannya.[4]

Imam al-Suyuti sebagaimana yang dinukilkan oleh Najmuddin al-Ghazzi memperincikan pula konteks Jahiliah itu dengan katanya:

Jahiliah adalah keadaan dimana orang-orang Arab berada dalam kondisi itu sebelum Islam datang. Iaitu bodoh terhadap Allah, Rasul-Nya, dan syari’at-syari’at agama. Berbangga karena nasab, sombong, takabur, dan yang lainnya…”[5]

Maka, sewajarnya Dr. Mun’im Sirry lebih adil dalam menjelaskan maksud Jahiliah dan membezakan antara faham paganisme dan primitif yang dikatakannya. Kami menegaskan bahawa kondisi masyarakat Arab Jahiliah yang menganut paganisme tidaklah menunjukkan mereka adalah masyarakat primitif sebagaimana yang beliau dakwa, dipegang oleh beberapa sumber Islam yang tidak disebut namanya.

  • Al-Qur’an Tidak Berasal Daripada Tanah Arab, Tetapi di Mesopotamia

Dr. Mun’im Sirry menukilkan pandangan John Wansbrough yang diambil daripada bukunya, Quranic Studies: Sources and Methods of Scriptural Interpretation. Dalam buku ini, Wansbrough mendakwa bahawa berdasarkan naratif yang terdapat di dalam al-Qur’an yang banyak memfokuskan kepada perdebatan akidah Yahudi dan Kristian, ia menunjukkan bahawa al-Qur’an dikumpulkan di Mesopotamia kerana perdebatan yang mendalam berhubung teologi Yahudi dan Kristian tidak berlaku di Hijaz, tetapi di Mesopotamia (Iraq). Selain itu, pengumpulan al-Qur’an juga tidak berlaku pada zaman Abu Bakar tetapi 200 tahun selepas itu.

Hujah kami mengkritik idea Wansbrough adalah seperti berikut:

  1. Sekiranya al-Qur’an turun di Mesopotamia, maka tidak ada fungsi ianya turun kepada Nabi Muhammad SAW di Tanah Arab.
  2. Wansbrough seakan mengabaikan atau tidak tahu bahawa bangsa Yahudi telah tersebar jauh pada masa itu. Mereka boleh ditemui bukan hanya di Palestin, bahkan di Mesopotamia, juga di Yaman di mana pernah wujud kerajaan Yahudi iaitu kerajaan Himyar. Jika Yahudi sudah ada di utara Hijaz dan juga selatan Hijaz, kami tidak memahami mengapa Wansbrough tidak meyakini wujudnya Yahudi di Hijaz. Maka, bangsa Yahudi juga sudah lama ada di Hijaz tanpa pertikaian mana-mana ahli sejarah Timur dan Barat.
  • Selepas 200 tahun Hijrah, umat Islam telah menguasai Sepanyol, Afrika Utara, Iran, beberapa bahagian di Lembah Asia, mula memasuki China dan lain-lain negara dunia. Maka, apakah yang dibawa umat Islam pada ketika itu sebagai bahan dakwah? Jika bukan naskhah al-Qur’an yang bersifat lengkap, di manakah bukti atau kajian yang menunjukkan adanya bahagian-bahagian (juzuk) terpisah al-Qur’an yang tersebar di serata benua? Wansbrough juga tidak menghuraikan bagaimana Qur’an itu boleh dikumpul di Mesopotamia, yang diturunkan kepada seorang Nabi di Hijaz, kemudiannya tersebar ke seluruh dunia.

Kami mengakui bahawa Dr. Mun’im Sirry sendiri tidak menerima pendapat ini berdasarkan satu laporan akhbar[6], namun tindakannya menukilkan pandangan Wansbrough tanpa memberikan penilaian dan kritikan, malah menyebarkannya pula kepada audien Muslim yang tidak dapat dipastikan tahap pengetahuan agamanya dan juga audien bukan Muslim, adalah jauh daripada disiplin akademik seorang ahli akademik Muslim yang jitu.

  • Menyamakan al-Qur’an dengan kitab-kitab agama lain dari sudut pengkanunannya

Dr. Mun’im Sirry menimbulkan keraguan pada aspek pengumpulan al-Qur’an. Beliau menyatakan bahawa ia sangat mustahil kerana pengumpulan kitab-kitab suci lain mengambil masa ratusan dan mungkin ribuan tahun.

Sebenarnya, al-Qur’an melalui proses yang sangat terperinci sebelum dihimpunkan sebagai sebuah buku pada zaman Saidina Abu Bakar. Pada zaman Nabi SAW, ia masih belum dibukukan lagi tetapi selesai ditulis sejak zaman Baginda tanpa disatukan lagi dalam bentuk buku, disamping surah-surahnya belum tersusun.

Menurut Zaid bin Thabit,

قُبِضَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يَكُنِ الْقُرْآنُ جُمِعَ فِي شَيْءٍ

Maksudnya: “Saat Nabi SAW wafat, al-Qur’an masih belum dihimpun dalam satu bentuk buku.”[7]

Penyaksian adalah elemen yang penting dalam pengumpulan al-Qur’an. Ibn Hajar menjelaskan,

وَعند بن أَبِي دَاوُدَ أَيْضًا مِنْ طَرِيقِ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ أَبَا بَكْرٍ قَالَ لِعُمَرَ وَلِزَيْدٍ اقْعُدَا عَلَى بَابِ الْمَسْجِدِ فَمَنْ جَاءَكُمَا بِشَاهِدَيْنِ عَلَى شَيْءٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَاكْتُبَاهُ

Maksudnya: “Abu Bakar menyatakan kepada Umar dan Zaid, ‘Duduklah di depan pintu gerbang Masjid Nabawi. Jika ada orang membawa kepada anda tentang sepotong ayat daripada Kitabullah dengan dua orang saksi, maka tulislah.”[8]

Saidina Umar pula berdiri di depan pintu gerbang masjid dan mengumumkan bahawa sesiapa yang memiliki tulisan al-Qur’an yang dibacakan oleh Nabi SAW, hendaklah datang ke masjid untuk disemak. Begitu juga tindakan Bilal yang menyiarkannya di lorong-lorong jalan di Madinah.

Sejak Nabi SAW berada di Madinah, itulah saat bermulanya gerakan penulisan al-Qur’an. Banyak di antara para sahabat memiliki ayat-ayat al-Qur’an yang disalin daripada kulit milik sahabat handai dan jiran tetangga. Dengan hanya membataskan ayat-ayat yang disalin di bawah pengawasan Nabi Muhmmad, Zaid meyakini bahawa bahan-bahan yang beliau telah teliti memiliki kualiti yang sama. Setelah menghafal al-Qur’an dan menulis banyak semasa duduk dengan Nabi SAW, ingatan dan hafalan Zaid dapat dibandingkan dengan bahan yang sama, bukan dengan yang lainnya.  Maka, sikap tegas Abu Bakar, Umar dan Zaid dalam penyuntingan daripada sumber pertama berserta dua saksi ini memberi jaminan akan kualiti dan kesahihan al-Qur’an yang sudah dikumpulkan.

Setelah selesai semakan, al-Qur’an disimpan dalam perbendaharaan negara di bawah pengawasan Saidina Abu Bakar.[9] Fasa pembukuan al-Qur’an yang bermula daripada penyatuan bahagian-bahagian terpisah ayat al-Qur’an daripada sumber pertama, kemudian disaring daripada sumber-sumber seluruh Madinah dan disusun pula dalam satu jilid besar yang diistilahkan suhuf. 15 tahun kemudian, ketika Khalifah Uthman mengirim naskah al-Qur’an ke wilayah-wilayah umat Islam dalam bentuk yang lebih kemas sebagai sebuah buku, ketika itulah ia dikenali sebagai mushaf.

Keistimewaan al-Qur’an yang tidak memerlukan ribuan tahun untuk dikanunkan adalah kerana ianya sudah tersusun lengkap dalam bentuk kasar sejak zaman Nabi SAW. Selain itu, disiplin yang ketat dalam penyusunannya oleh Zaid bin Thabit, Umar dan Abu Bakar dengan hanya menerima penyaksian 2 orang dengan ayat al-Qur’an yang ditulis di hadapan Nabi SAW membuktikan ianya tidak mungkin sama sekali ada perbezaan dengan yang asalnya.

Dakwaan rambang Dr. Mun’im Sirry berkenaan Kitab al-Masahif tulisan Ibn Abi Daud al-Sijistani itu membuktikan adanya banyak mashaf, lantas menunjukkan keraguan akan keaslian mashaf-mashaf itu sebenarnya tidak tepat.

Membandingkan al-Qur’an dengan kitab-kitab suci lain seperti Veda adalah perbandingan yang tidak boleh diterima logik kerana:

  1. Veda adalah daripada Shruti iaitu sesuatu sumber wahyu yang didengari. Dipercayai bahawa Rishi yang berada pada tingkat Tapasya mendengar veda terus daripada Parabrahma/Parameshwara. Secara ringkasnya, ia tidak dibuat oleh manusia dan tidak mempunyai penulis. Ada empat buku Veda iaitu Rigveda, Samaveda, Yajurveda dan Atharvaveda. Al-Qur’an pula adalah sepenuhnya wahyu Allah SWT tanpa pembahagian-pembahagian khusus dan dihafal terus oleh Nabi SAW sebelum ditulis oleh penulis wahyu.
  2. Jumlah ketebalan Veda jauh berbeza dengan al-Qur’an. Ini bermakna, tidak mustahil al-Qur’an boleh disusun dengan tempoh yang lebih singkat berbanding Veda.
  3. Naratif dalam Veda sifatnya pelbagai kerana ianya terbahagi kepada 4 buku; Rig Veda, Yajur Veda, Sama Veda dan Atharva Veda yang mana setiap satunya ada fokus yang berbeza. 
  • Rekonstruksi Surah al-Kafirun

Berdasarkan pandangan Dr. Mun’im Sirry atas isu penambahan alif dalam ayat-ayat al-Qur’an di atas, beliau dengan beraninya cuba mengubah teks asal Surah al-Kafirun kepada versi baru. Ia adalah teorinya sendiri bersandarkan kenyataan Ubaydullah bin Ziyad.

Malik bin Dinar meriwayatkan bahawa Ikrimah membaca Surah Isra’ ayat 101 dengan bacaan

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى تِسْعَ آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ فَسَالَ بَنِي إِسْرَائِيلَ

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Nabi Musa sembilan mukjizat yang jelas nyata (membuktikan kebenarannya); maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada Bani Israil (tentang itu).”

Menurutnya, bacaan itu sama dengan bacaan (قَالَ) yang ditulis  (قَلَ) yang merupakan singkatan umum dalam mushaf Hijazi.[10] Menurut Syeikh Dr. Mustafa al-A’zami, jika seorang guru membaca (قالوا) dan murid menulis (قلو), tetapi membacanya dengan betul (qālū), ejaan yang ganjil itu tidak memberi masalah.

Imam Abu Daud al-Sijistani menukilkan kisah yang turut disebutkan oleh Dr. Mun’im Sirry iaitu berkenaan pertambahan alif di dalam al-Qur’an.

Yazid al-Farisi berkata: Ubaidullah bin Ziyad telah menambahkan 2000 alif di dalam mushaf. Apabila al-Hajjaj bin Yusuf datang dari Basrah dan disampaikan tentang hal ini, beliau berkata: ‘Siapa yang menyampaikan tentang perubahan oleh Ubaidullah ini?’, Mereka menjawab: ‘Orang yang menyampaikannya adalah Yazid al-Farisi’. Al-Hajjaj memanggilku lalu aku menemuinya dan aku tidak syak lagi yang dia akan membunuhku. Ketikamana aku masuk menghadapnya, beliau berkata: ‘Mengapa Ibn Ziyad meminta untuk menambah 2000 huruf alif?’ Aku berkata: ‘Moga-moga Allah memeliharamu ke jalan lurus. Dia telah membesar dalam kalangan masyarakat kelas bawahan di Basrah. Al-Hajjaj berkata, ‘Kamu benar’. Pergilah dariku.’ Apa yang diinginkan oleh Ubaidullah adalah hanya ingin meletakkan asas ejaan dalam mushafnya, menulis kembali kalimah (قلو) menjadi  (قَالُوا) dan (كنو) menjadi  (كَانُوا).

Menurut Syeikh Dr. Mustafa al-A’zami, perubahan sebegini tidak merosakkan teks asal kerana ia cuma menenkankan beberapa huruf vowels yang ditiadakan bagi tujuan singkatan. Kalimah qalu ada 331 kali dan kalimah kanu ada 267 kali. Ini bermakna, jumlah keseluruhan penambahan ini adalah pada 598 tempat. Bilamana dikatakan Ubaidullah menambah alif pada dua tempat ini, maka jumlahnya adalah 1,196 tempat. Jumlah 2,000 yang disebutkan dalam teks di atas pada hemat Syeikh al-A’zami cuma anggaran kasar. Pun begitu, sanad kisah ini tidak lepas daripada kritikan para ulama’ yang menjadikannya lemah.

Maka, sudah jelas bahawa pertambahan yang dilakukan oleh Ubaidullah bin Ziyad tidak mencacatkan makna asal satu-satu ayat. Lalu mengapa Dr. Mun’im Sirry cuba untuk mengubah semula Surah al-Kafirun yang secara terangnya telah mengubah maksud asalnya? Surah al-Kafirun dalam versi asal adalah

لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ

Maksudnya: “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.”

 

Dan kemudiannya cuba diubah oleh Dr. Mun’im Sirry kepada

لَأَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ

Maksudnya: “Aku sebenarnya menyembah apa yang kamu sembah.”

 

Ini adalah satu dosa yang besar dan perlakuan ini sama sahaja dengan tindakan Ahli Kitab yang mengubah ayat-ayat-Nya sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

وَإِنَّ مِنْهُمْ لَفَرِيقًا يَلْوُونَ أَلْسِنَتَهُمْ بِالْكِتَابِ لِتَحْسَبُوهُ مِنَ الْكِتَابِ وَمَا هُوَ مِنَ الْكِتَابِ وَيَقُولُونَ هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ وَمَا هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua ugamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu. Dan mereka pula berkata: "(bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah", padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).

(Surah Ali Imran: 78)

Apabila Dr. Mun’im Sirry cuba mengaitkan pula dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Ankabut ayat 46, kami menegaskan bahawa ianya adalah kaitan yang jauh menyimpang.

وَلَا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ وَقُولُوا آمَنَّا بِالَّذِي أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَأُنْزِلَ إِلَيْكُمْ وَإِلَهُنَا وَإِلَهُكُمْ وَاحِدٌ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri."

(Surah al-Ankabut: 46)

Surah al-Kafirun adalah penegasan yang jelas daripada Allah SWT tentang titik toleransi antara Muslim dan bukan Muslim secara umum. Sebab turunnya surah ini juga adalah berkaitan dengan pujuk rayu Musyrikin Mekah penyembah berhala yang sentiasa berusaha menyekat dakwah Nabi SAW. Manakala dalam Surah al-Ankabut pula adalah berhubung dialog dengan Ahli Kitab secara khusus berkenaan hakikat sebenar ketuhanan. Justeru, tidak ada persamaan antara dua ayat di atas.

Orientalis, Kritikan Terhadap Pengumpulan Al-Qur’an dan Usaha Mengubahsuainya

Sejak zaman berzaman, para orientalis cuba meneliti ruang-ruang untuk menimbulkan syubhat terhadap al-Qur’an, sebagaimana yang telah mereka lakukan terhadap Bible. Antara usaha mereka adalah mengkritik penulisan dan pembukuan al-Qur’an. Isu ini telah pun kami ulas secara ringkas di atas.

Pada tahun 1927, Alphonse Mingana yang merupakan seorang professor di Birmingham University telah mengumumkan bahawa,

The time has surely come to subject the text of the Kur’an to the same criticism as that to which we subject the Hebrew and Aramaic of the Jewish Bible and the Greek of the Christian scriptures.[11]

Luahan yang sama juga dilaungkan oleh Gustav Flugel yang menerbitkan Corani Textus Arabicus, Theodor Noldeke dengan karyanya Geschicte des Qorans. Selain itu, Arthur Jeffery pula berimpian membuat edisi kritis al-Qur’an yang mana mengubah mushaf ‘Uthmani yang diterima pakai seluruh dunia. Beliau ingin mengubahsuai al-Qur’an mengikut sumber-sumber mushaf yang pelbagai dalam Kitab al-Masahif oleh Ibn Abi Daud al-Sijistani.[12]

Bagi golongan orientalis, isnad itu tidak penting kerana riwayat yang syaz boleh dianggap sahih, riwayat yang ahad dan gharib boleh menjadi mutawatir dan masyhur. Malah, usaha mengubah susunan ayat al-Qur’an dan surah al-Qur’an secara kronologi, menyemak semula bahasa al-Qur’an dan mengubah ayat-ayatnya sudah biasa dilakukan. Antaranya sebagaimana yang dinyatakan oleh Richard Belll dalam The Qur’an, Translated, with a Critical Re-arrangement of the Surahs by Richard Bell, John Burton dalam artikelnya Linguistic Errors in the Qur’an daripada Journal of Semitic Studies dan selainnya.

Keaslian Naskhah al-Qur’an Yang Ada Pada Hari Ini

Dalam isu ini, kami melihat ada beberapa noktah penting yang perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat.

Pertama. Al-Qur’an pada asasnya adalah bacaan dan bukan tulisan. Turunnya wahyu, penyampaiannya, periwayatannya dilakukan secara lisan dan hafazan dan bukannya tulisan. Apa yang dimaksudkan dengan membaca al-Qur’an pada zaman dahulu adalah membaca daripada hafazan dan tulisan hanyalah wasilah semata-mata. Ini kerana, ayat-ayat al-Qur’an dijadikan tulisan di atas tulang belulang, kulit haiwan dan lain-lain berdasarkan hafazan daripada memori seorang muqri’. Tradisi periwayatan melalui hafazan dengan isnad yang mutawatir ini diwarisi turun temurun telah terbukti menjamin keaslian al-Qur’an itu sendiri. Masalah orientalis seperti Wansbrough melihat al-Qur’an sebagai teks, bukannya sebagai hafazan yang dibaca inilah menyebabkan beliau cenderung untuk menerapkan beberapa metodologi yang sama untuk mengkritik Bible iaitu kritikan sejarah, kritikan sumber, kritikan bentuk dan kritikan teks. Natijahnya, beliau melihat al-Qur’an hanyalah produk sejarah yang merakamkan situasi dan budaya Arab abad ke-7 dan 8 Masihi.[13] Melihat al-Qur’an sebagai teks juga adalah slogan yang diulang-ulang oleh Dr. Mun’im Sirry dalam syarahannya baru-baru ini. Malah seruan orientalis untuk membuat edisi kritis al-Qur’an berdasarkan manuskrip-manuskrip yang ada terus diulang-ulang oleh segelintir sarjana Muslim hari ini.[14]

Kedua. Al-Qur’an juga dicatat dengan menggunakan tulisan. Para sahabat Nabi SAW ada yang menyimpan catatan ayat-ayat al-Qur’an ini bagi tujuan rujukan peribadi. Pada catatan itu juga terdapat komentar, huraian dan lain-lain penambahan untuk pemahaman sendiri. Maka, tahap kualitinya pasti sudah berbeza. Oleh itu, Saidina Abu Bakar mengambil langkah menubuhkan sebuah kumpulan yang menyemak ayat-ayat al-Qur’an yang ada pada para Sahabat dan disatukan menjadi sebuah suhuf. Suhuf tersebut disimpan oleh Abu Bakar, kemudiannya Umar dan setelah itu Hafsah sebelum diserahkan kepada Uthman. Pada zaman beliau, ada permintaah sejumlah para Sahabat untuk mengumpul semula bentuk bacaan (qiraat) yang ada dan diletakkan standard bacaan bagi mengelakkan kekeliruan. Natijahnya, dikeluarkan beberapa buah buku yang mengandungi qiraat yang bersifat mutawatir yang disepakati periwayatannya daripada Nabi SAW.[15]

Ketiga. Punca utama kekeliruan para orientalis apabila menganggap al-Qur’an itu ada pelbagai ragam bacaan kerana teksnya yang tidak bertitik dan bertanda pada awalnya. Padahal al-Qur’an itu dibaca terus daripada hafazan yang diriwayatkan sampai kepada Nabi SAW. Kaedah dalam hal ini adalah tulisan mengikut bacaan yang diriwayatkan Nabi (al-rasmu tabi’un li al-riwayah) dan bukan sebaliknya.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Islam tidak pernah menghalang wacana ilmu yang pelbagai dan berbeza pandangan, asalkan paksinya bersumberkan al-Qur’an dan al-Sunnah. Pun begitu, apa yang perlu diberi perhatian serius adalah bagaimana wahyu itu digunapakai dalam penghujahan; samada mengikut pandangan alam Islam yang sahih ataupun tidak. Kami menyeru kepada mereka yang ingin mendalami bidang agama, carilah ilmu daripada sumber yang tepat. Bermula dengan pembacaan buku adalah amat baik cuma perlu diteruskan dengan kaedah berguru dan bertanyakan kepada mereka yang lebih arif.

Kefahaman Islam yang sebenar tetap akan utuh dan penyelewengan terhadapnya akan lenyap ditelan zaman. Firman Allah SWT:

وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا

Maksudnya: Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap".

(Surah al-Isra’: 81)

Semoga kita menginsafi akan kelemahan dan kekurangan kita dalam melayari keluasan lautan ilmu Allah SWT dan dilorongkan kita ke jalan yang diredhai-Nya.

Akhukum fillah

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri,

Mufti Wilayah Persekutuan

30 Ogos 2017 bersamaan 8 Zulhijjah 1438H

_____________________________________

[1] https://www.youtube.com/playlist?list=PL7mEZP3FuU1fnaMmBj-i5ihJsoGqDXtrG

[2] Fi Zilal al-Qur’an, 12/44

[3] Mu’jam Mufradat Alfaz al-Qur’an al-Karim, m. 100.

[4] Mausu’ah al-Mafahim al-Islamiah al-‘Aamah, m. 179.

[5] Husn al-Tanabbuh lima warada fi al-Tasyabbuh, m.

[6] http://m.themalaymailonline.com/malaysia/article/called-deviant-muslim-scholar-says-was-just-challenging-orthodox-view-on-qu

[7] Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 9/12.

[8] Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 9/14.

[9] Fadhail Al-Quran Wa Ma'alimuhu Wa Adabuhu, m. 281

[10] Al-Masahif, m. 260.

[11] Bulletin of the John Rylands Library, XI: 77.

[12] Materials for the History of the Text of the Qur’an: The Old Codies.

[13] Quranic Studies: Sources and Methods of Scriptural Interpretation.

[14] Lihat Gerd-Ruediger Puin, Observations on Early Qur’an Manuscripts in San’a dalam Stefan Wild (ed.), The Qur’an as Text, 107-111.

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...