70: ISU BERKENAAN IBU SUSUAN & PELBAGAI HUKUM (KAD ATAU SIJIL SUSUAN)
Pada 24 September 2016, satu majlis ilmu dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pusat Rawatan Islam Wilayah Persekutuan, bertempat di Auditorium Perpustakaan Negara dengan mengambil tajuk Ibu Susuan: Antara Hukum, Nasab, Hak, dan Tanggungjawab. Kami telah ditaklifkan untuk menyampaikan dan mengisi slot majlis ilmu tersebut. Banyak persoalan telah ditimbulkan dan sebahagiannya kami menjawab serta sebahagian yang lain kami akan menjawabnya dalam Bayan Linnas pada kali ini. Kami tajukkannya dengan Isu Berkenaan Ibu Susuan & Pelbagai Hukum (Kad atau Sijil Susuan).
Pada kali ini, kami banyak menukilkan daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘ala al-Mazhab al-Syafie yang dikaryakan oleh guru-guru kami.
Kami akan menyusunnya mengikut nombor untuk mudah difahami kerana tajuk-tajuknya akan dikhususkan dengan lebih terperinci.
Semoga pencerahan kali ini akan memberi manfaat kepada kita semua dalam menemukan hukum dan pendapat yang tuntas lagi rajih mengikut realiti semasa berdasarkan fiqh waqie sekarang. Sekalung tahniah diucapkan kepada Kementerian Kesihatan, Pusat Rawatan Islam Wilayah Persekutuan dan mereka yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
Pertama: Pengertian Penyusuan
Penyusuan dari segi bahasa bermaksud menghisap payudara ibu dan minum susunya. Sementara penyusuan dari segi istilah syara’ pula ialah susu perempuan yang mengalir masuk ke dalam perut bayi.
Kedua: Dalil Pensyariatannya
Dari segi syara’, hukum bagi seseorang perempuan menyusukan bayi yang bukan anaknya adalah harus dan telah dimaklumi sebelum kedatangan Islam lagi. Islam memperakui dan tidak mengharamkannya. Hal ini adalah kerana dalam sesetengah keadaan, penyusuan mempunyai kepentingan dan memenuhi keperluan tertentu. Contohnya, ibu kepada bayi tersebut meninggal dunia atau menghidap penyakit yang menghalang penyusuan. Dalam keadaan ini, perempuan yang lain perlu menyusukannya demi kelangsungan hidup anak tersebut. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ
Maksudnya: Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.[1]
(Surah al-Talaq, 65:6)
Begitu juga firman Allah SWT:
وَإِنْ أَرَدتُّمْ أَن تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَادَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu.
(Surah al-Baqarah, 2:233)
Ketiga: Kesan dan Hukum Hubungan Kekeluargaan kerana Penyusuan
Terdapat dua hukum kepada hubungan kekeluargaan yang terjadi dengan sebab penyusuan, iaitu:
1. Perkara yang haram kerana penyusuan
Penyusuan menjalinkan hubungan kekeluargaan antara anak susuan dan keluarga ibu susuan. Hubungan ini memberi kesan dalam mewujudkan golongan yang haram dikahwini, sebagaimana hubungan keturunan, iaitu:
- Ibu dan ke atas.
- Anak perempuan dan ke bawah.
- Saudara perempuan seibu sebapa, seibu atau sebapa.
- Ibu saudara sebelah bapa dan ibu saudara sebelah ibu, sekalipun jauh hubungan persaudaraannya.
- Anak perempuan kepada saudara lelaki seibu sebapa, seibu atau sebapa.
- Anak perempuan kepada saudara perempuan seibu sebapa, seibu atau sebapa.
Sehubungan itu, apabila wujud hubungan kekeluargaan disebabkan penyusuan, maka golongan yang sama daripada susur jalur ibu susuan juga haram dikahwini.
Sebagaimana yang diketahui, hubungan keturunan menyebabkan haram perkahwinan, iaitu:
- Suami haram berkahwin dengan ibu mertua dan anak tirinya.
- Seorang lelaki haram berkahwin dengan ibu tirinya dan juga menantunya.
Justeru, jika hubungan kekeluargaan adalah dengan sebab susuan, maka hukumnya haram perkahwinan, sama dengan hubungan keturunan. Oleh itu, suami haram berkahwin dengan ibu susuan kepada isterinya dan anak susuan kepada isterinya.
Seorang lelaki juga haram berkahwin dengan isteri kepada bapa susuannya dan isteri kepada anak susuannya, iaitu menantu susuan. Pengharaman perkahwinan tersebut adalah disebabkan perkahwinan.
Hal ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Abbas RA, sabda Rasulullah SAW:
يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ
Maksudnya: “Mereka yang haram dikahwini kerana keturunan, haram juga dikahwini dengan susuan.”
Riwayat al-Bukhari (2502) dan Muslim (1447)
2. Perkara yang halal kerana penyusuan
Semua perkara yang halal di kalangan keluarga kerana keturunan halal juga kepada keluarga kerana susuan. Dengan itu, seseorang lelaki adalah halal apabila:
- Melihat saudara perempuan susuannya, sebagaimana saudaranya sendiri.
- Tinggal bersendirian dengannya atau khalwat yang haram antara lelaki dan perempuan yang tidak mempunyai hubungan keturunan.
- Bermusafir dengannya melebihi tiga hari.
Meskipun begitu, hukum ini tidaklah bermakna seseorang lelaki harus melihat saudara perempuan susuannya dengan berahi. Begitu juga sebaliknya kepada perempuan.
Hal ini kerana pandangan dengan berahi adalah haram walaupun ahli keluarga sendiri. Oleh itu, ulama fiqh kebelakangan ini menyatakan bahawa seorang perempuan makruh menyusukan kanak-kanak yang bukan anaknya sendiri tanpa sebarang keperluan yang mendesak. Begitu juga, makruh bagi seorang lelaki dan perempuan susuan bergaul bebas sesama mereka. Keadaan ini adalah kerana ia berkemungkinan boleh mendorong seseorang kepada pelbagai keburukan dan perkara haram akibat lemah pegangan agama dan tidak wujud rasa kasih sayang secara semula jadi di kalangan keluarga susuan tersebut.
Keempat: Penyusuan yang Menyebabkan Anak Susuan Menjadi Mahram Berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah
Al-Quran
Firman Allah SWT:
وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ
Maksudnya: Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu.
(Surah al-Nisa’: 23)
Al-Sunnah
Daripada Aisyah R.Anha, katanya:
إِنَّ الرَّضَاعَةَ تُحَرِّمُ مَا يَحْرُمُ مِنَ الْوِلاَدَةِ
Maksudnya: “Penyusuan menyebabkan anak susuan haram dikahwini, sebagaimana anak yang dilahirkan.”
Riwayat al-Bukhari (2553) dan Muslim (4144)
Begitu juga hadis, daripada Ibn Abbas RA:
لاَ تَحِلُّ لِى، يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ، هِىَ بِنْتُ أَخِى مِنَ الرَّضَاعَةِ
Maksudnya: “Nabi SAW bersabda kepada anak-anak perempuan Hamzah RA, dia tidak halal bagiku. Apa yang disebabkan keturunan turut diharamkan disebabkan penyusuan. Dia merupakan anak perempuan susuanku.”
Riwayat al-Bukhari (2502) dan Muslim (1447)
Ayat al-Quran tersebut menunjukkan bahawa dengan sebab penyusuan, ibu susuan menjadi ibu kepada anak yang disusukan dan anak-anak perempuannya menjadi saudara perempuan anak susuannya. Sementara hadis pula menjelaskan kesan yang timbul disebabkan penyusuan, iaitu ibu susuan sama kedudukannya dengan ibu sebenar.
Oleh itu, mereka yang termasuk dalam senarai keturunan ibu susuan atau saudara perempuan susuan yang haram dikahwini oleh anak susuan sama seperti mereka yang termasuk dalam senarai keturunan ibu kandung atau saudara perempuannya sendiri.
Kelima: Syarat Penyusuan yang Menyebabkan Anak Susuan Menjadi Haram (Tidak boleh dikahwini).
Penyusuan menyebabkan anak susuan menjadi ahli keluarga dan mahram haram dikahwini apabila memenuhi dua syarat yang berikut:
1. Anak yang menyusu itu belum mencapai usia dua tahun. Jika usianya melebihi dua tahun, penyusuan itu tidak menjadikannya mahram dan tidak menjadikannya ahli keluarga bagi ibu yang menyusukannya.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ
Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap Iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.
(Surah al-Baqarah, 2:233)
Dan firman Allah SWT:
وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ
Maksudnya: Dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun.
(Surah Luqman, 31:14)
Begitu juga hadis, al-Daraqutni meriwayatkan:
لاَ رَضَاعَ إِلاَّ مَا كَانَ فِى الْحَوْلَيْنِ
Maksudnya: “Penyusuan adalah dalam lingkungan umur dua tahun.”
Riwayat al-Daraqutni (4/174)
Di dalam hadis yang lain daripada Ummu Salamah R.Anha:
لاَ يُحَرِّمُ مِنَ الرَّضَاعَةِ إِلاَّ مَا فَتَقَ الأَمْعَاءَ فِى الثَّدْىِ وَكَانَ قَبْلَ الْفِطَامِ
Maksudnya: “Anak susuan tidak menjadi mahram melainkan sebab susu yang masuk ke dalam perutnya semasa menyusu sebelum anak itu bercerai daripada payudara.”
Riwayat al-Tirmizi (1152)
Maksud bercerai daripada payudara adalah sebelum anak itu mencapai usia dua tahun, sebagaimana firman Allah SWT yang lalu.
Seterusnya hadis, daripada Aisyah R.Anha, katanya:
أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم دَخَلَ عَلَيْهَا وَعِنْدَهَا رَجُلٌ، فَكَأَنَّهُ تَغَيَّرَ وَجْهُهُ، كَأَنَّهُ كَرِهَ ذَلِكَ فَقَالَتْ: إِنَّهُ أَخِى. فَقَالَ: انْظُرْنَ مَا إِخْوَانُكُنَّ، فَإِنَّمَا الرَّضَاعَةُ مِنَ الْمَجَاعَةِ
Maksudnya: “Nabi SAW masuk menemuinya ketika dia bersama-sama seorang lelaki. Wajah Baginda berubah seolah-olah membenci keadaan itu. Lalu Aisyah berkata: “Dia ialah saudara susuanku.” Baginda pun bersabda: “Pastikan siapa saudara kamu, penyusuan hanya semasa anak kecil berasa lapar.”
Riwayat al-Bukhari (4814) dan Muslim (1455)
Hadis ini menyatakan bahawa anak susuan menjadi mahram apabila penyusuan dilakukan ketika kanak-kanak itu berasa lapar kerana tidak menyusu dan berasa kenyang apabila menyusu. Hal ini tidak berlaku melainkan semasa kanak-kanak itu masih kecil.
2. Kanak-kanak itu disusu kenyang sebanyak lima kali yang berasingan. Sesuatu penyusuan itu dianggap berasingan atau tidak berdasarkan pandangan umum. Jika anak tersebut berhenti menyusu kerana kenyang, ia dianggap sebagai sekali susu. Tetapi, jika anak itu berhenti menyusu kerana bermain-main seketika dan kemudian menyusu semula atau bertukar payudara, maka ia juga dianggap sekali susu sahaja.
Ini berdasarkan hadis, daripada Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ فِيمَا أُنْزِلَ مِنَ الْقُرْآنِ عَشْرُ رَضَعَاتٍ مَعْلُومَاتٍ يُحَرِّمْنَ. ثُمَّ نُسِخْنَ بِخَمْسٍ مَعْلُومَاتٍ فَتُوُفِّىَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَهُنَّ فِيمَا يُقْرَأُ مِنَ الْقُرْآنِ
Maksudnya: “Ayat al-Quran yang turun adalah sepuluh kali susuan yang tertentu, yang menyebabkan anak susuan menjadi mahram, kemudian dimansuhkan dengan lima kali susuan yang tertentu. Ketika Rasulullah SAW wafat, ayat yang dimansuhkan ini masih dibaca sebagai ayat al-Quran.”
Riwayat Muslim (1452)
Hadis ini menyatakan bahawa pemansuhan itu berlaku kemudian sehingga ketika Baginda wafat, sebahagian orang ramai masih membacanya sebagai al-Quran kerana berita pemansuhan itu belum sampai kepada mereka.
Di dalam hadis yang lain pula, daripada Ummu al-Fadhl, katanya:
لاَ تُحَرِّمُ الرَّضْعَةُ أَوِ الرَّضْعَتَانِ أَوِ الْمَصَّةُ أَوِ الْمَصَّتَانِ
Maksudnya: “Tidak menjadi mahram dengan sekali atau dua kali susu, atau sekali atau dua kali nyunyut.”
Riwayat Muslim (1451)
Perbahasan Isu Bilangan Susuan
Di dalam permasalahan ini, para ulama telah mempunyai tiga pendapat:
Pendapat Pertama: Berpendapat al-Imam Abu Hanifah dan al-Imam Malik walaupun sedikit sahaja disusukan bayi tersebut, maka bayi tersebut telah menjadi anak susuan meskipun hanya hanya sekali atau dua kali hisapan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَأُمَّهَٰتُكُمُ ٱلَّٰتِيٓ أَرۡضَعۡنَكُمۡ
Maksudnya: Dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu.
(Surah al-Nisaa’: 23)
Ayat di atas berkaitan dengan pengharaman melalui penyusuan tanpa adanya kadar penentuan yang tertentu. Rasulullah SAW juga bersabda:
يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعَةِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ
Maksudnya: "Diharamkan dari susuan itu apa-apa yang diharamkan dari nasab."
Riwayat al-Nasai’e (3302)
Pendapat Kedua: Berpendapat al-Imam al-Syafi’e dan al-Imam Ahmad bahawa kadar penyusuan (yang boleh menjadikannya anak susuan) adalah sebanyak lima kali susuan yang mengenyangkan. Ini berdasarkan hadis riwayat Saidatina ‘Aisyah R.Anha yang mana telah berkata:
كَانَ فِيمَا أَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ مِنَ الْقُرْآنِ عَشْرُ رَضَعَاتٍ يُحَرِّمْنَ ثُمَّ نُسِخْنَ بِخَمْسٍ مَعْلُومَاتٍ يُحَرِّمْنَ فَتُوُفِّيَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَهُنَّ مِمَّا يُقْرَأُ مِنَ الْقُرْآنِ
Maksudnya: “Adapun apa (yang dahulu) diturunkan oleh Allah SWT daripada al-Quran adalah dengan sepuluh kali susuan (yang menjadikannya mahram) kemudian telah dimansukhkan dengan lima kali susuan. Rasulullah SAW telah wafat ianya dikalangan ayat yang pernah dibacakan dahulu.”
Riwayat Abu Daud (2062)
Dikira sebagai satu susuan adalah apabila bayi tersebut menyusu dan kemudiannya melepaskan dari susuan atas pilihannya sendiri (kerana telah kenyang) tanpa ada gangguan yang mendatang.
Pendapat Ketiga: Ianya adalah pendapat Daud al-Zahiri dan Abu Thaur dan sebahagian fuqaha’ yang mana kadar penyusuan (sehingga menjadikannya anak susuan) adalah sebanyak tiga kali susuan. Mereka berdalilkan hadis Rasulullah SAW:
لاَ تُحَرِّمُ الإِمْلاَجَةُ وَالإِمْلاَجَتَانِ
Maksudnya: “Satu atau dua hisapan (susuan) tidak menjadikan mahram.”
Riwayat Muslim (1451) & al-Nasai’e (3308)
Mafhum hadis tersebut iaitu menjadi mahram adalah dengan tiga kali susuan.
Tarjih: Dengan melihat pendapat-pendapat di atas, kami cenderung menjadikannya sebagai anak susuan walaupun dengan hanya empat kali susuan sahaja dan belum mencapai lima kali susuan. Ini melihat kepada pendapat al-Imam Hanafi, Maliki dan juga al-Zahiri dan kaedah ihtiyat (berhati-hati) takut berlakunya keraguan pada ibu tersebut.
Kami tidak menafikan pendapat mazhab Syafie yang perlu kepada lima kali kenyang.
Keenam: Pelbagai Hukum Berkenaan Dengan Penyusuan.
1. Bolehkah wanita Muslim menyusukan anak yang bukan Muslim?
Fatwa Mantan Pengerusi Darul Ifta’ Mesir Syeikh Attiyyah Saqar menjawab tentang penyusuan melibatkan perbezaan agama:
“Tidak menggugat hukum penyusuan dengan sebab perbezaan agama, dan tidak haram penyusuan yang melibatkan kanak-kanak muslim dengan wanita bukan muslim kerana tidak terdapat dalil yang mengharamkannya, khususnya apabila sudah tidak mempunyai wanita untuk penyusuan selain wanita bukan muslim. Apabila penyusuan ke atas kanak-kanak muslim daripada wanita bukan muslim, maka kekal status agama seperti asal, begitu juga sebaliknya.”
Jawapan Syeikh Soleh Munajjid ketika ditanyakan soalan berkenaan penyusuan wanita Muslim kepada kanak-kanak bukan Muslim dan wanita bukan Muslim menyusukan kanak-kanak Muslim.
Harus hukumnya dan tidak disyaratkan agama tertentu bagi wanita yang menyusukan seseorang bayi seperti fatwa Mantan Mufti Saudi Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz Rahimahullah. Ini kerana asal perkara melibatkan penyusuan adalah harus. Memandangkan tiada dalil yang melarangnya, dibolehkan bagi wanita bukan Islam untuk menyusukan bayi beragama Islam. Ia merupakan sebahagian daripada sifat ihsan. Ini kerana Allah mewajibkan ihsan (berlaku baik) pada segala perkara, sepertimana hadis Nabi SAW:
فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ
Maksudnya: “Pada setiap hati yang basah (makhluk bernyawa) terdapat pahala.”
Riwayat al-Bukhari (2362)
2. Apakah syarat jumlah susu ibu supaya tersabitnya hukum penyusuan?
Syarat yang berkaitan dengan susu adalah seperti berikut:
Susu kekal dalam sifatnya yang asal sama ada mengalir atau sebagainya kerana dengannya akan memastikan tumbesaran tubuh dan penguatan tulang.
"Air susu yang bercampur dengan sesuatu sama ada ia cecair seperti air, atau sesuatu yang keras seperti makanan air susu itu lebih banyak seperti ada tanda zahir warna susu atau rasa atau pun baunya maka sabit hukum susuan walaupun hanya sebahagian air susu yang bercampur itu diminum oleh bayi itu.
Manakala jika air susu itu sedikit daripada campuran yang lain, sama ada campuran itu yang halal atau haram seperti arak dan sebagainya sehingga menghilangkan ketiga-tiga sifatnya iaitu warna, rasa dan bau, mengikut qaul azhar adalah sabit hukum susuan jika diberi minum pada anak bayi itu keseluruhan air susu yang bercampur tersebut. Ini kerana telah yakin akan sampainya ‘ain air susu itu ke dalam perut.
Adapun jika diminum hanya sebahagian air susu yang bercampur itu, mengikut qaul asah adalah tidak sabit hukum anak susuan padanya kerana tidak yakin akan sampainya air susu itu ke dalam perut. Adapun jika jelas dan yakin bahawa lebihan campuran itu hanya tertinggal sedikit kadar susu yang dikuasai itu, maka sabitlah anak bayi tersebut sebagai anak susuan. (Mughni al-Muhtaj: 3/529, Raudah al-Talibin: 9/4-5)”
3. Bolehkah nenek menyusukan cucu dan kakak menyusukan adik?
Boleh, seorang nenek menyusukan seorang cucu atau seorang kakak menyusukan seorang adik. Bayi yang disusukan tetap kekal mahram sepertimana ia menjadi mahram disebabkan nasab keturunan.
Ketujuh: Penubuhan Bank Susu Ibu
Dalam hal ini, kami mengemukakan pandangan dari pelbagai sumber dan tokoh:
- Pandangan Dr. Wahbah al-Zuhaili
Menurut Dr Wahbah al-Zuhaili dalam Fatawa Mua`sirah (Fatwa-fatwa Semasa), mewujudkan institusi bank susu adalah tidak dibolehkan dari segi syarak kerana ianya mengandungi unsur-unsur kerosakan (mafsadah) dari segi percampuran keturunan secara tidak Syarie dan ketidatentuan ibu susuan sekalipun idea ini dikatakan mempunyai nilai-nilai kemanusiaan terhadap bayi-bayi yang menghidapi penyakit-penyakit tertentu. Idea ini juga menerbitkan keraguan hukum antara keharusan dan pengharaman kerana seseorang itu boleh menjadi mahram melalui penyusuan (radha`) seperti mana menjadi mahram disebabkan keturunan (nasab).
- Penetapan (Qarar) 6 (2/6) Majma’ Fiqh Islami yang menentang idea ini dan Majma’ telah pun memberikan penyelesaian alternatif berhubung isu ini. Beliau amat tidak bersetuju terhadap pandangan Ibn Hazm al-Zahiri yang syaz (pelik) yang menyatakan bahawa meminum susu dengan perantaraan botol, gelas dan sebagainya tidak di anggap penyusuan (Radha`) Syarie. Dalam hal ini, perantaraan untuk meneguk susu tidak diambil kira kerana pada pandangan ulama muktabar, `illat (punca) hukum ini iaitu sampainya susu ke dalam perut bayi (walau dengan apa jua cara) sudahpun wujud.
Tegasnya meminum susu dari bank susu adalah tidak dibolehkan kerana ia membawa kepada percampuran nasab secara tidak Syarie.
Penetapan (Qarar) no. 6 (2/6) tentang Bank Susu Oleh Majma’ Fiqh Islami, melalui Badan Muktamar Islam yang diadakan di Jeddah pada tanggal 22 – 28 Disember 1985 bersamaan 10 – 16 Rabiul Akhir 1406;
Setelah penelitian terhadap isu Bank Susu berdasarkan disiplin ilmu Fiqh dan perbincangan mendalam yang berlangsung dalam dua sesi, Majma’ Fiqh Islami telah mendapati bahawa:
Pertama: Insititusi Bank Susu adalah merupakan ujian dan eksperimen bangsa Barat. Namun institusi ini semakin kurang mendapat perhatian kerana timbul anasir-anasir negatif berdasarkan kajian dan tinjuan ilmiah.
Kedua: Seluruh umat Islam telah berijmak bahawa kesan dan
akibat penyusuan (radha`) adalah sama seperti pertalian keturunan dan darah (nasab). Sementelah pula Islam datang dengan tujuan untuk menjaga kepentingan keturunan (nasab) dan kewujudan Institusi Bank Susu boleh menyebabkan percampuran keturunan secara tidak Syarie dan menyebarkan keraguan.
Ketiga: Bayi-bayi yang kekurangan berat badan atau menghidapi
penyakit-penyakit tertentu (yang menjadikan susu badan sebagai penawar) masih boleh dirawat melalui proses penyusuan biasa sama ada daripada ibu kandung atau penyusu upahan. Dari sudut ini, Institusi Bank Susu dilihat tidak relevan diwujudkan.
Atas sebab-sebab tersebut, penetapan (Qarar) Majma’ Fiqh Islami adalah seperti berikut:
- Menentang kewujudan Bank-bank Susu Ibu di seluruh negara Islam.
- Mengharamkan pengambilan susu dari bank tersebut. Wallahu a`lam.
Berdasarkan kepada perbincangan di atas, para ulama telah bersepakat bahawa telah sabit anak susuan dengan hisapan mulut manakala melalui cara yang lain seperti melalui hidung juga dianggap sebagai anak susuan seperti pandangan Dr. Wahbah al-Zuhaili asalkan ia dengan lima kali hisapan atau suapan yang mengenyangkan.
- Keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Penubuhan Bank Susu. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan pakar serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa menjaga keturunan adalah termasuk dalam lima perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan perlulah dielakkan.
Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat berkaitrapat dengan syarat-syarat pengharaman atas sebab susuan di mana bayi-bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih daripada seorang wanita akan menjadi adik beradik susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Pandangan ini adalah selaras dengan pandangan Jumhur Fuqaha’ bahawa seseorang bayi itu sah sebagai anak susuan samada melalui penyusuan secara langsung dari payudara atau penyusuan secara tidak langsung. Juga berdasarkan hadis riwayat Abu Daud:
Maksudnya:
"Daripada Ibn Mas`ud berkata, tidak berlaku hukum penyusuan melainkan dengan apa yang menguatkan tulang dan menumbuhkan daging."
Sehubungan itu, memandangkan penubuhan bank susu boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram, dan keperluan penubuhannya juga tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam maslahah awam, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penubuhan bank susu adalah tidak diharuskan.
Muzakarah juga memutuskan bahawa bagi memenuhi keperluan bayi pra-matang yang memerlukan rawatan, juga ibu yang mempunyai kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi, adalah harus bagi ibu-ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi-bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta perderma perlu mengenali antara satu sama lain.
Kelapan: Syarat Jika Perlu Penubuhan Bank Susu.
Berdasarkan kepada hujahan di atas walaupun kebanyakan bersetuju adalah haram ditubuhkan kerana beberapa sebab yang dinyatakan tetapi jika sampai kepada keperluan yang mendesak seperti kes kematian ibu bagi bayi dan lain-lain, maka ketika itu hukumnya adalah harus.
Sementara pengunaan bank susu diharuskan dengan beberapa syarat ini dipatuhi iaitu:
- Hendaklah susu itu diberikan kepada anak-anak oleh seorang wanita sahaja dan tidak bercampur aduk agar tidak bercampur nasab apabila ia memberikan susu lebih dari lima kali yang mengenyangkan.
- Hedaklah pihak pengurusan bank susu itu mengeluarkan sijil “Ibu susuan” agar ia mengetahui ibu susuan dan saudara susuannya.
Ini juga pendapat Dr. Wahbah al-Zuhaili.
Cadangan
Kami mencadangkan agar Majlis Agama Islam Negeri, atau Jabatan Agama Islam Negeri dan juga Hospital berkerjasama untuk mengumpulkan data ibu yang memberi susu kepada bayi-bayi selain kepada anaknya supaya dapat didaftarkan. Seterusnya dapat disediakan kad atau sijil sabitan penyusuan untuk masa depan anak tersebut agar tidak berlaku kecelaruan nasab dan perkahwinan dengan susuannya atau orang yang diharamkan kahwin dengan sebab susuan.
Begitu juga, setiap penderma susu hendaklah ditulis pada botolnya nama ibu yang menyumbangkan. Jumlah bilangan lima kali kenyang akan mensabitkan hubungan anak dan ibu susuan tersebut mengikut pendapat yang masyhur dan muktamad.
Penutup
Alhamdulillah, setelah berbincang dengan panjang lebar isu ini, maka kami berpendapat bahawa ia perlu diperhalusi supaya isu susuan dipandang serius oleh semua pihak.
Kami menutup perbincangan ini dengan menukilkan satu pandangan daripada pengarang al-Fiqh al-Manhaji antara lain menyebut:
“Oleh itu, ulama fiqh kebelakangan ini menyatakan bahawa seorang perempuan makruh menyusukan kanak-kanak yang bukan anaknya sendiri tanpa sebarang keperluan yang mendesak. Begitu juga, makruh bagi seorang lelaki dan perempuan susuan bergaul bebas sesama mereka. Keadaan ini adalah kerana ia berkemungkinan boleh mendorong seseorang kepada pelbagai keburukan dan perkara haram akibat lemah pegangan agama dan tidak wujud rasa kasih sayang secara semula jadi di kalangan keluarga susuan tersebut.”
Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam memahami agama-Nya seterusnya mengamalkannya dengan sebaik mungkin mengikut neraca syariah. Amiin.
Akhukum fi lLah,
SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri,
26 September 2016 bersamaan 24 Zulhijjah 1437 H
[1] Al-Maraghi berkata: “Jika ada antara kamu yang menyusukan pihak lain, misalnya si suami kurang dalam memberikan upah atau si isteri berlebih-lebih dalam meminta tambahan yang tidak dapat ditunaikan, maka hendaklah si suami membawa penyusu yang lain, yang boleh melakukan penyusuan. Tetapi, apabila si suami tidak rela dengan upah yang diberikan kepada penyusu yang asing itu, maka si ibu lebih berhak menyusukan anaknya.”
No comments:
Post a Comment