11 : PENJELASAN HUKUM TERHADAP MANGSA MH370
MUKADIMAH
Pada hari Khamis, 29 Januari 2015, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman telah menyampaikan satu pengumuman berkenaan status pencarian MH370. Antara lain katanya, “Bagi pihak kerajaan Malaysia, kami secara rasmi mengisytiharkan pesawat MH370 sebagai satu kemalangan berdasarkan standard of Annexes 12 dan 13 Chicago Convention. Tanpa mengguris perasaan setiap ahli keluarga mangsa yang terkorban, pengumuman ini diharapkan mampu memberi bantuan yang mereka memerlukan, termasuk proses pampasan.” Menurutnya lagi, "Kami juga memahami bahawa MAS bersedia untuk meneruskan dengan kadar segera proses pampasan, dengan kesediaan waris untuk mengambil tindakan," katanya.
Azharuddin berkata, bagi membolehkan setiap waris mendapat maklumat yang disahkan, laman web khas MH370 (www.mh370.gov.my) ditubuhkan, khusus untuk waris penumpang. Bayan Linnas pada kali ini akan memfokuskan berkenaan berkenaan status mangsa MH370 yang telah terkorban dan hukum yang berkaitan dengannya.
Takrif Mafqud
Saya pernah menyebut tentang definisi bagi orang yang mafqud. Antara lain saya menukilkan satu pendapat mazhab Hanbali iaitu orang yang terputus perkhabarannya kerana hilang yang pada zahirnya mungkin mati seperti tentera yang hilang ketika peperangan atau yang menaiki kapal yang tenggelam dan sebahagian penumpangnya selamat. Berdasarkan takrif ini, mereka yang menaiki MH370 telah menepati takrifan ini sementelahan lagi usaha mencari mereka dipergiatkan oleh seluruh agensi kerajaan yang berkaitan dan dengan kerjasama pihak kerajaan lain secara berterusan.
Keduanya: Pengisytiharan datang dari pihak kerajaan sendiri melalui pihak yang diberi autoriti untuk menyampaikan kenyataan tersebut iaitu Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam yang menyebut secara jelas sebagai kemalangan.
Ketiga: Kenyataan daripada Standard of Annexes 12 dan 13 Chicago Convention jelas menunjukkan mangsa MH370 dianggap terkorban.
Keempat: Kesanggupan pihak kerajaan untuk meneruskan dengan kadar segera proses pampasan dengan kesediaan waris untuk mengambil tindakan jelas menunjukkan putusnya harapan bahawa mereka masih hidup sebaliknya mereka adalah yang terkorban.
Tempoh Mafqud
Sekali lagi dinukilkan perbezaan pendapat ulama’ berkenaan tempoh mafqud.
- Mazhab Hanafi menyatakan bahawa tempohnya 90 tahun dengan andaian bahawa jangka waktu tersebut orang-orang yang seusia dengan dia di daerahnya telah semua wafat.
- Mazhab Maliki menyatakan bahawa tempohnya 70 tahun. Hujahnya hadith Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa usia umatku berkisar antara 60 sampai dengan 70 tahun.
- Mazhab Syafie menyatakan bahawa tempohnya 90 tahun, iaitu batas usia orang-orang yang sebaya dengan dia di daerahnya. Tetapi pendapat yang sahih dikalangan ini adalah penentuannya bukan berdasarkan pada bilangan waktu tertentu, melainkan berdasarkan pada bukti iaitu jika telah ada bukti bagi hakim tentang kematian mafqud yang berkaitan, maka berdasarkan bukti itu hakim menetapkan kematian mafqud bersangkutan dan itu setelah berlangsung suatu tempoh masa dimana secara kebiasaan bahawa seseorang sudah tidak mungkin lagi hidup di atas usia tersebut.
- Mazhab Hanbali menyatakan bahawa tempohnya jika mafqud itu hilang dalam suasana sedemikian rupa, sehingga dapat diduga ia telah wafat, seperti dalam perang atau tenggelamnya kenderaan yang dinaiki dimana sebahagian penumpang selamat dan sebahagian lagi tidak selamat maka di sini ditunggu sehingga waktu 4 tahun. Tetapi jika ia hilang dalam suasana yang tidak mungkin ia wafat (berniaga atau menuntut ilmu):
- Ditunggu sampai yang berkaitan berusia 90 tahun kerana biasanya di atas usia ini sudah tipis kemungkinannya bagi seseorang untuk dapat bertahan hidup.
- Diserahkan pada pertimbangan hakim.
Terjadi juga perbezaan pendapat tentang tempoh dimulai atau terjadinya wafat seseorang berdasarkan keputusan mafqud:
- Imam Abu Hanifah dan Imam Malik : Waktu wafatnya mafqud dianggap sejak waktu hilangnya mafqud.
- Imam Syafie dan Imam Ahmad : Waktu wafatnya mafqud dianggap sejak tanggal pernyataan kewafatannya (waktu keluarnya keputusan hakim).
Saya menutup perbincangan ini dengan menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menyatakan dalam kitabnya Al-Hawi al-Kabir fi Fiqh Mazhab al-Imam al-Syafie diterangkan bahawa:
“Orang yang hilang dalam waktu yang lama dan tidak diketahui apakah masih hidup atau sudah mati maka orang itu harus dihukumi hidup sehingga diketahui dengan pasti apakah mafqud tersebut sudah mati atau masih hidup, maka tidak boleh menghukumi kecuali dengan yakin. Dan sekiranya belum diketahui dengan yakin tentang kematiannya maka wajib menunda dahulu kepemilikan hartanya sampai batas waktu yang telah ditentukan.”
Setelah melihat kepada pendapat yang banyak seperti di atas, saya menukilkan juga pendapat pengarang al-Ikhtiar li Ta’lil al-Mukhtar, Imam Abdullah bin Mahmud al-Musili: “Seseorang yang hilang daripada keluarga dan negerinya atau ditawan oleh musuh dan tidak diketahui samada hidup atau mati. Begitu juga tidak diketahui tempatnya dan selepas berlalu tempoh, maka dia dianggap tiada berdasarkan perkiraan ini.”
Sementelahan lagi, pihak pakar telah menyebut akan kematian dan disokong oleh pihak kerajaan yang dianggap sebagai hakim. Suka ditegaskan bahawa jika thabit dengan bukti bahawa orang yang hilang telah mati, maka hilanglah keadaan mafqudnya, kerana hilang kejahilan yang membelenggu hidupnya atau matinya. Ini yang disepakati para ulama.
Ulasan Pendapat Di Atas
Berdasarkan pelbagai pendapat di atas, saya melihat tujuan asal mereka menghadkan satu jumlah masa dan tempoh yang panjang semata-mata untuk mendapatkan kepastian dan keyakinan sementelahan lagi ketika zaman mereka mungkin agak sukar dipastikan kerana perbezaan teknologi dan perkembangan berbanding dengan zaman sekarang. Justeru, kaedah fiqh seperti keyakinan tidak dihilangkan dengan syak (اليقين لا يزال بالشك) juga menjadi asas bagi mereka.
Pendapat Pakar Penerbangan
Dinyatakan di sini pendapat beberapa pakar
- Pengasas bersama Flight Radar 24, Mikael Robertsson, berkata pengisytiharan itu sepatutnya dibuat lebih awal, sekitar lima atau enam bulan selepas tragedi itu. Bercakap kepada Berita Harian ketika di hubungi di Sweden semalam, Robertsson berkata tiada sebarang bukti atau petunjuk menyatakan ada mangsa terselamat dalam nahas itu, justeru pengisytiharan berkenaan adalah sesuai. “Saya berpendapat tidak perlu menunggu terlalu lama sehingga hampir setahun ia berlaku. Apabila tiada bukti yang memberikan sebarang petunjuk positif berhubung penumpang atau anak kapal yang terselamat, apa yang berlaku seharusnya sudah dapat dirumuskan.” katanya.
- Datuk Dr. Azharuddin sendiri yang ditugaskan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Teknikal Peringkat Tertinggi MH370 berkata “Selepas 327 hari dan dengan segala data yang diperoleh adalah tidak mungkin untuk kesemua penumpang dan kru yang berada di dalam pesawat tersebut berpeluang untuk hidup”.
Mengimbas kembali kenyataan Perdana Menteri pada 24 Mac 2014 menyatakan : “Malam ini saya diberi taklimat oleh wakil-wakil dari cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB). Mereka memberitahu saya bahwa Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit meliputi koridor utara dan selatan, telah melakukan pengiraan lanjut terhadap data itu. Dengan menggunakan kaedah analisis yang belum pernah digunakan di dalam sesuatu penyiasatan seumpama ini, mereka telah berjaya membuat pencerahan mengenai laluan penerbangan MH370. Berdasarkan analisis terbaharu mereka, Inmarsata dan AAIB telah membuat kesimpulan bahawa MH370 terbang melalui koridor selatan dan kedudukan terakhirnya adalah ditengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.
Ini merupakan lokasi yang terpencil, jauh dari sebarang lokasi pendaratan. Justeru itu, dengan perasaan sedih dan kedal yang amat sangat, saya perlu memaklumkan anda bahawa menurut data baharu ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.”
Ijtihad Saidina Umar RA
Dinyatakan dahulu bahawa Rasulullah SAW bersabda
امرأة المفقود امرأته حتى يأتيها البيان
Maksudnya: “Isteri orang yang mafqud masih dianggap isterinya sehingga datang perkhabaran atau pembuktian yang nyata baginya.”
(Riwayat al-Daraqutni dengan sanad yang dhaif)
Daripada Umar RA:
في امرأة المفقود تربص أربع سنين ثم تعتد أربعة أشهر وعشرا
Maksudnya: “Berkenaan dengan isteri orang yang mafqud hendaklah menanti 4 tahun kemudian beriddah 4 bulan 10 hari.”
Walaupun begitu, keputusan Saidina Umar Ibn al-Khattab RA sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abd al-Rahman bin Abi Laila maksudnya: Umar telah menetapkan isteri mafqud hendaklah menunggu 4 tahun kemudian hendaklah diceraikan oleh wali suaminya kemudian hendaklah beriddah selama 4 bulan 10 hari. Selepas itu dia pun berkahwin lain. (Sunan al-Baihaqi al-Kubra, 7/445)
Asas ijtihad ini adalah daripada keputusan Khalifah Umar al-Khattab bagi kes kehilangan seseorang di sesebuah negara Islam bukan di musim waba’. Ini bermakna 4 tahun itu berlalu pada musim sihat tanpa bencana. Ketetapan khalifah Umar ini juga dinyatakan oleh para ulama’ disokong oleh sahabat-sahabat lain sehingga Imam Ibn Qudamah mengganggapnya ijma’ sahabat. Menurut Imam Ibn Hajar, pandangan ini juga disokong oleh Al-Zuhri yang menisbahkanya kepada Umar, Ibn Abbas, Uthman Ibn Affan, Abdullah Ibn Mas’ud, Abdullah Ibn Umar R.Anhum dan ulama besar tabi’en seperti Imam Al-Nakha’ie, Imam Atha’ ibn Rabah, Makhul dan Al-Sya’bi.
Pun begitu, kesahihan ijma’ dipertikaikan kerana terdapat riwayat yang menunjukkan sahabat besar seperti Ali bin Abi Talib RA tidak sependapat.
Pendapat Ulama’ Berkenaan Ijtihad Tersebut dan Ulasan
Dinyatakan di sini pendapat beberapa tokoh ulama kontemporari dalam hal ini.
- Dr Abdul Naseer Abul Basal berkata:
فأنا أرى أن القرار يكون فيه قوة لولي الأمر باختيار هذا الرأي في التفريق بالضرر حتى نرفع الضرر عن النساء، بعد استنفاد جميع وسائل التقنية المعاصرة لتبليغه لذلك أرى أن يمنح القاضي سلطة التفريق
Maksudnya: “Aku berpendapat bahawa, ketetapan yang kuat adalah (kuasa) diberikan kepada pemerintah untuk memilih pendapat ini iaitu memisahkan (perkahwinan) kerana mengelak kemudaratan dari wanita, itu dengan syarat setelah lesu dan habis teknik moden untuk mencarinya, oleh itu, aku melihat qadhi boleh diberikan kuasa memutuskan (ikatan pekahwinan)”
- Dr. Abdullah Al-Rukban menyatakan:
ما ذكر من آثار عن الصحابة ومن اختلافات عن العلماء، أظنهم لو عاشوا هذا العصر لغيروا كل ما طرحوه لأن الوسائل التي جدت في وسائل الاتصال والمواصلات غيرت أموراً كثيرة، لأن ما أشار إليه عمر بن الخطاب من تحديد أربع سنوات، المراد به التأكد من كون المرأة حاملاً أو ليست بحامل، الأمر الذي لم يعد الآن واجباً، لأن الآن هناك تحاليل مخبرية تكشف عن هذا الأمر
Maksudnya: “Apa yang disebut berkenaan athar para sahabat dan perbezaan ijtihad para ulama, aku menggangap sekiranya mereka hidup di zaman ini pasti akan ditukar pendapat-pendapat mereka kerana melihat pengangkutan, perhubungan dan komunikasi di zaman ini pastinya banyak ketetapan akan berubah. Apa yang ditunjukkan bahawa Saidina Umar al-Khattab menetapkan empat tahun, tujuan darinya adalah untuk memastikan wanita itu benar-benar telah bersih dari benih suaminya (yang hilang), perkara ini (menunggu empat tahun) tidak lagi dianggap wajib di zaman ini kerana banyak teknik moden makmal yang boleh mengenalpasti hal ini (dengan lebih cepat).”
Dua kenyataan di atas menunjukkan bahawa ijtihad berkenaan dengan tempoh berdasarkan kepada zaman masing-masing sementelahan lagi watak Saidina Umar ketika itu sebagai pemimpin atau pemerintah, makanya jika di zaman sekarang dengan kemudahan yang begitu banyak sudah pasti mereka menukar pendapat mengikut kemunasabahan semasa. Ini kerana kelengkapan teknologi yang memungkinkan jangkaan kepada ghalabatu al-zhan yang perlu diambil kira.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Sebelum ini, kami pernah menyatakan bahawa solat jenazah ghaib, tahlil dan lain-lain tidak boleh dilakukan lagi selagimana tiada pengesahan yang benar-benar boleh diyakini daripada pihak yang berautoriti. Sekurang-kurangnya jika dijumpai kotak hitam atau apa-apa bukti, maka bolehlah diisytiharkan mereka sudah meninggal dunia. Impak yang besar kepada keluarga daripada sudut perkahwinan dan pembahagian harta pusaka jika mengisytiharkan mereka sudah meninggal dunia tanpa bukti yang jelas. Apa yang boleh dilakukan adalah terus berusaha dalam pencarian dan berdoa.
Walaupubagaimanapun, berkenaan dengan tempoh mafqud seperti pendapat yang pelbagai di kalangan ulama menunjukkan ia adalah masalah ijtihadiah semata-mata untuk menemukan sebuah keyakinan. Justeru, tatkala badan berautoriti (DCA) sendiri telah membuat kenyataan pada hari ini secara rasminya 29 Januari 2015, maka sifat sebagai hakim atau kerajaan adalah boleh diambil kira dan diterima pakai. Begitu juga dengan pandangan dan pendapat pakar berkaitan penerbangan sewajarnya menjadi rujukan dalam isu ini kerana mereka dianggap ahli khibrah yang menjadi rujukan para ulama’ di sepanjang zaman dalam menentukan satu-satu hukum.
Tambahan pula, jumlah masa yang diambil untuk pengumuman adalah 327 hari dan masih berjalan pencariannya dengan membabitkan banyak negara. Usaha dengan membabitkan 160 aset iaitu 65 pesawat dan 95 kapal bersama pakar dari 25 buah negara menyertai operasi dan menyelamat. Dalam tempoh tersebut sudah mencapai hampir sebelas bulan dan menuju ke setahun sedangkan mengikut satu pendapat dalam undang-undang keluarga Jordan yang menggabungkan Mazhab Maliki dan Hanbali dalam perkara 177 antara lain menyebut: “Adapun jika hilang pada suatu arah yang tidak diketahui dan tidak diyakini akan kebinasaannya maka penentuan tempoh untuk memutuskan kematiannya diserahkan kepada Qadhi dengan mengambil kira tempoh tersebut mestilah cukup untuk meyakini kematiannya.”
Akhirnya keputusan Hakim atau kerajaan dianggap sebagai penyelesai dan mengangkat sebarang khilaf yang berlaku seperti dalam kaedah yang masyhur.
حكم الحاكم يرفع الخلاف
Maksudnya: “Keputusan hakim (pemerintah) mengangkat khilaf”
Justeru, kami berpendapat jika pengumuman telah dilakukan pada hari ini (Khamis, 29 Januari 2015), makanya natijah yang diambil ialah:
Pertama: Penumpang MH370 telah meninggal dunia.
Kedua: Wajar melakukan solat jenazah ghaib dengan mengambil kira sebahagian daripada pendapat ulama. Termasuk juga tahlil dan berdoa untuk mangsa MH370 yang beragama Islam yang terkorban. (Lihat perbahasan pada lampiran di bawah).
Ketiga: Hak pewarisan berjalan mengikut keputusan Mahkamah Syariah.
Keempat: Tempoh iddah bolehlah dikira dan penentuan berdasarkan keputusan Mahkamah Syariah.
Kelima: Anak-anak mereka dianggap sebagai yatim jika belum akil baligh.
Keenam: Dengan keputusan kerajaan pada hari ini, selepas mengambil kira pelbagai aspek dan pencarian dalam tempoh yang lama dengan pelbagai usaha dan daya serta gembleng pelbagai kepakaran makanya keputusan kerajaan memberi maksud bahawa mereka adalah telah terkorban. Natijahnya akan meringankan penderitaan dan menyelesaikan kemelut yang tertangguh dalam melayari kehidupan yang mendatang terhadap keluarga mangsa dan waris mereka.
Akhir kalam, saya mengambil kesempatan dengan penuh rasa dukacita mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa MH370 yang terkorban dan saya nyatakan seperti yang diajar oleh Allah SWT:
إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
Marilah sama-sama kita berdoa agar Allah menempatkan mereka yang beriman pada tempat yang mulia dan dikurniakan kesabaran kepada keluarga mangsa MH370 disamping diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan ini. Al-Fatihah.
S.S. Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
__________________________________________
LAMPIRAN
Solat Jenazah Ghaib
Pensyariatan solat jenazah adalah berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي الْيَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ، خَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا
Maksudnya: “Rasulullah SAW bersedih atas kematian al-Najasyi, lalu Baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali takbir.”
(Riwayat al-Bukhari (1245)
Imam al-Nawawi RA berkata: “Hadis ini menjadi dalil bagi Imam al-Syafie dan yang sependapat dengannya berkenaan dengan solat ke atas mayat secara ghaib.”
Hukum Solat Ghaib
Khilaf di kalangan ulama tetapi yang masyhur adalah boleh disolatkan seperti pendapat mazhab Syafie dan Hanbali. Inilah yang dinyatakan oleh guru kami, Dr. Wahbah al-Zuhayli. Ibn Hazm dalam al-Muhalla (5/169, no. 260) berkata: “Mayat tetap disolatkan ghaib, kerana Nabi SAW pernah melakukan solat ke atas Raja Najasyi bersama para sahabatnya dalam beberapa saf. Ini merupakan ijma’ mereka yang tidak boleh dibantah.”
Beliau berkata lagi dalam al-Muhalla (5/139, no. 580) setelah menyebutkan solat ghaibnya Rasulullah ke atas Raja Najasyi dan Rasulullah memerintahkannya, dia berkata: “Ini adalah perkara Rasulullah SAW, amalannya dan amalan para sahabatnya, maka tidak ada ijmak yang lebih absah dari ini.”
Sedangkan pendapat yang melarang solat ghaib secara mutlak menyelisihi sunnah dan amalan para sahabat. Ibn Hazm berkata lagi: “Tiada satu pun khabar daripada para sahabat yang mencela hal ini atau mengingkarinya (solat ghaib).”
Ini juga termasuk pendapat Imam al-Syafie dan Ahmad dan para pengikutnya. Lihat al-Fath al-Rabbani (7/222); Nail al-Autor 4/55; al-Majmu’ (5/253); dan al-Ifsah (1/187).
Sebagai penegasan, dinyatakan daripada al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah antara nasnya: “Jika didapati orang yang lemas maka hendaklah dimandi dan dikafan seterusnya disolat seperti mana mayat. Tetapi, jika tidak menjumpainya maka hendaklah di solat ghaib di sisi mazhab Syafie dan Hanbali. Akan tetapi, kebanyakan ulama’ Syafie mensyaratkan mengikut yang muktamad di sisi mereka hendaklah mayat tersebut didahului mandinya. Sebaliknya sebahagian jemaah mazhab Syafie di kalanga mutaakhir berpendapat sah solat atas mereka sekalipun tidak dimandikan." Lihat Mughni al-Muhtaj (2/49); dan Asna’ al-Matolib (1/321).
Mengikut Imam al-Darimi dan lain lagi bahawa siapa yang diuzur daripada mandi atau tidak dapat dimandikan maka boleh solat ke atasnya. Hal ini menepati kepada mangsa MH370 yang tidak diketahui. Antara ulama’ yang menyebut isu tidak mampu untuk dikeluarkan mayat dan memandinya adalah pendapat al-Azra’ie sama seperti al-Subki kerana qias yang zahir bahawa ia hendaklah disolat atasnya. Ini juga dinukilkan oleh al-Khawarizmi dan dihikayatkan al-Juwaini tentang hal ini. Imam al-Zarkasyi berkata: “Itulah yang sebenarnya dari segi naqli dan dalil seperti yang dinyatakan oleh musannif dalam Syarh al-Irsyad.” Lihat Asna’ al-Matolib 1/321.
Syarat Solat Ghaib
Jumhur mazhab Syafie dan Hanbali mensyaratkan bahawa jenazah dan mayat tersebut bukan berada di negeri sendiri. Isu mangsa MH370 seperti yang dimaklumi bukan kematian dalam negeri atau negara Malaysia. Justeru, ia menepati syarat tersebut.
Waktu Solat Ghaib
Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Bermula dari saat berita kematian hingga berlangsung selama tiga hari. Ini kerana tiga hari itu adalah tempoh bertakziah menurut yang maklum dari kitab-kitab fiqh.”
Yang muktamad adalah harus solat selama mana beliau adalah ahli solat ketika kematian berlaku. Lihat al-Tanbih hal. 38, al-Umm (1/244) dan Mughni al-Muhtaj (1/346.)
Inilah sebahagian daripada permasalahan yang ingin dikemukakan dan kami berpendapat berdasarkan nas dan juga hujah sebahagian pendapat ulama maka solat ghaib dalam isu MH370 adalah wajar dilakukan.
No comments:
Post a Comment