188: PENETAPAN HAD UMUR MENGUNDI PADA UMUR 18 TAHUN MENURUT PERSPEKTIF SIYASAH SYAR’IYYAH

 188: PENETAPAN HAD UMUR MENGUNDI PADA UMUR 18 TAHUN MENURUT PERSPEKTIF SIYASAH SYAR’IYYAH

umur 18 tahun mengundi 222.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami telah menerima surat daripada YB Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman pada 24 Jun 2019 bertanyakan berkenaan isu hak mengundi pada umur 18 tahun. Ia dilihat dapat membuka peluang kepada lebih ramai individu terutama golongan belia untuk terlibat dalam proses pemilihan calon yang mampu menjaga kepentingan mereka dalam masyarakat.

Oleh itu, kami nyatakan dalam isu Bayan Linnas kali ini dengan tajuk Penetapan Had Umur Mengundi Pada Umur 18 Tahun Menurut Perspektif Siyasah Syar’iyyah.

Semoga ia dapat memberi satu input dan gambaran berkaitan sudut pandang Syarak berkenaan penetapan had umur pada usia yang muda dan keterlibatan pemuda dalam proses pengundian dan pemilihan kepimpinan. Amin.

 

Data dan Statistik Had Umur Mengundi Mengikut Negara

Menurut data dan maklumat yang kami perolehi,[1] hanya Malaysia dan Singapura yang masih menetapkan had umur mengundi 21 tahun dalam kalangan negara-negara ASEAN. Maklumat had umur mengundi dalam kalangan negara-negara ASEAN adalah seperti berikut:

NEGARA

UMUR MENGUNDI

Malaysia

21

Indonesia

17

Thailand

18

Singapura

21

Filipina

18

Brunei

-

Myanmar

18

Laos

18

Vietnam

18

Cambodia

18

 

Dalam perbandingan had umur mengundi bagi sebahagian daripada negara-negara Asia adalah seperti berikut:

NEGARA

UMUR MENGUNDI

Bangladesh

18

Hongkong

18

India

18

Iran

18

Iraq

18

Jepun

18

Korea Selatan

19

Korea Utara

17

Maldives

18

Pakistan

18

 

Manakala perbandingan had umur mengundi bagi sebahagian daripada negara-negara Eropah adalah seperti berikut:

NEGARA

UMUR MENGUNDI

Austria

16

Belgium

18

Croatia

18

Finland

18

Jerman

18

Perancis

18

Russia

18

Scotland

16

United Kingdom

18

 

Negara-negara di dunia yang mempunyai had umur pengundi 21 tahun seperti Malaysia adalah seperti berikut:

NEGARA

UMUR MENGUNDI

Cameroon

21

Kuwait

21

Malaysia

21

Oman

21

Samoa

21

Singapura

21

Tokelau

21

Tonga

21

Daripada data dan statistik yang dipaparkan, ia jelas menunjukkan bahawa kebanyakan negara telah meletakkan had umur 18 tahun sebagai had minima bagi melayakkan seseorang terlibat dalam proses pengundian. Malah, terdapat negara yang telah menetapkan umur seawal 16 tahun bagi seseorang terlibat dalam proses pemilihan.

 

Definisi Undi dan Mengundi

Undi didefinisikan sebagai:

  • Sesuatu untuk memilih atau menentukan sesuatu (misalnya siapa yang akan mendapat sesuatu, memulakan sesuatu permainan, dan lain-lain); kertas undi pula ialah kertas yang ditandakan sebagai menunjukkan pilihan; undian pemilihan seseorang atau penentuan sesuatu dengan penandaan pada kertas undi (pungutan suara dan sebagainya): undi kaum wanita merupakan 50% daripada seluruh undi negara; berundi sedang memilih (menentukan dan lain-lain) dengan undi.

Manakala mengundi pula didefinisikan:

  • Menentukan (memilih dan lain-lain) dengan membuang undi;
  • Mengundi suara memutuskan sesuatu dengan mengira undi (memungut suara dan lain-lain), memilih (menentukan dan lain-lain) sesuatu dgn membuang undi. Rujuk Kamus Dewan Bahasa (Edisi Keempat)

 

Adakah Mengundi Sekadar Hak?

Kami kemukakan di sini hukum mengundi daripada sudut undang-undang di Malaysia:

  • Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan Malaysia menyatakan bahawa tiap-tiap warganegara yang berumur 21 tahun yang bermastautin di dalam mana-mana bahagian pilihan raya dan berdaftar sebagai pengundi adalah berhak untuk mengundi dalam pilihan raya ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.
  • Perkara 21 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 menyatakan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam pemerintahan negaranya sama ada secara langsung atau melalui wakil yang dipilih olehnya secara bebas (Terjemahan dari: Everyone has the right to take part in the government of his/her country, directly or through freely chosen representatives.]

Kami kemukakan juga di sini dua daripada rukun negara serta huraiannya.

  • Keluhuran Perlembagaan

Prinsip ini menekankan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.

  • Kedaulatan Undang-Undang

Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasa selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.

Berdasarkan peruntukan dan falsafah bagi kedua-dua dokumen tersebut, kami berpendapat bahawa hukum mengundi bukan hanya sekadar hak yang diberikan kepada semua warganegara Malaysia. Kami menganggap perlu adanya pengundian sebagai salah satu proses untuk pelaksanaan perlembagaan dan juga undang-undang. Ini kerana tugas wakil rakyat sebagai pembuat dasar dan penggubal bagi maslahat negara dan rakyat. Justeru tidak dapat tidak, pengundian adalah perkara yang wajib. Ini selaras dengan kaedah:

مَا لَا يَتِمُّ الوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

MaksudnyaPerkara yang tidak sempurna satu kewajipan melainkan dengan perkara tersebut maka perkara tersebut adalah wajib.

Dalam bahasa yang mudah, pelantikan wakil rakyat, menteri dan pemerintah sebenarnya adalah wajib. Makanya untuk melantik adalah melalui proses pilihanraya atau pengundian, dalam konteks fiqh siyasah di Malaysia. Justeru, hukum mengundi dan menyediakan infrastruktur pilhanraya yang adil dan saksama itu hukumnya adalah wajib.

 

Pendapat Ulama Tentang Kewajipan Melantik Pemimpin

Ramai tokoh dan ulama Islam telah menjelaskan berkenaan isu pelantikan pemerintah ini, antaranya:

  • Imam al-Ghazali berkata:

Agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang” (Rujuk al-Iqtisad fi al-I’tiqad, hlm. 128)

  • Imam Mawardi berkata:

“Imamah atau pemimpin utama adalah menjadi pengganti kenabian dalam mengawal agama dan bersiyasah dunia dengan agama.” (Lihat al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 5)

  • Imam al-Haramain al-Juwaini berkata:

“Pemimpin utama adalah pemerintah yang sempurna dan kepimpinan berkaitan dengan khusus dan umum pada semua kepentingan agama dan dunia. (Lihat Ghiyath al-Umam fi al-Tayas al-Zulam, hlm. 15)

  • Imam al-Nasafi berkata:

“Pemerintah adalah pengganti rasul Alaihimussalam dalam menegakkan agama sekira-kira menjadi wajib atas semua umat dan pengikut.” (Lihat al-Aqaid al-Nasafiyyah, hlm. 179)

  • Imam Al-Iji berkata:

“Pemerintah adalah pengganti Rasul SAW dalam menegakkan agama di mana ia adalah wajib diikutinya ke atas semua umat.” (Lihat al-Mawaqif, hlm. 395)

  • Imam Ibnu Khaldun berkata:

“Ia adalah memikul kesemua urusan syarak dalam maslahat mereka dunia dan akhirat yang kembali kepadanya. Ini kerana segala urusan dunia semuanya di sisi syarak dilihat kepada maslahat akhirat. Maka ia pada hakikatnya adalah pengganti kepada pemilik syarak dalam mengawal agama dan bersiasah dengannya.” (Lihat Muqaddimah Ibn Khaldun, hlm. 190)

  • Professor Muhammad Najib al-Muti’i berkata:

“Dikehendaki dengannya- iaitu pemerintahan- pemerintahan yang umum dalam urusan dunia dan agama.” (Lihat Takmilah al-Majmu’, 19/191)

  • Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut:

Al-Imamah al-'Uzma (pemimpin utama atau pemerintahan tertinggi) merupakan jawatan agama bagi mengambil alih tugas kenabian. Ini bermakna pemerintah merupakan pengganti (khalifah) kepada Nabi SAW dalam mentadbir urusan umat Islam. Walaupun begitu, terdapat perbezaan antara pemerintah dengan Nabi SAW. Nabi SAW menerima hukum-hakam yang wajib dipegang oleh umatnya dalam bentuk wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT. Pemerintah pula menerima hukum-hakam itu dalam bentuk nas-nas yang sah daripada al-Quran dan sunnah, atau ijma' yang disepakati oleh para ulama', atau pemerintah berijtihad berpandukan dalil-dalil umum dan kaedah-kaedah yang sah, sekiranya tiada nas dan ijma’.

Jawatan pemerintah tertinggi begitu penting untuk merealisasikan kewujudan sebenar umat Islam. Oleh itu, pemerintah mesti diwujudkan dan dilantik untuk memimpin umat Islam.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/603)

Berdasarkan penjelasan para ulama di atas, dapat dilihat betapa isu pelantikan pemimpin amat dititikberatkan dalam Islam. Para pemimpin atau pemerintah adalah memiliki tanggungjawab besar terhadap urustadbir dan kemaslahatan umat Islam.

 

Definisi Pemuda dan Kepemudaan

Firman Allah SWT:

إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

Maksudnya: “Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.”

Surah al-Kahfi (13)

Jika dirujuk dalam leksikon Arab (Arabic lexicon) seperti Mukhtar al-Sihhah, kalimah fityat (فِتْيَةٌ) adalah daripada kata dasar kalimah fa ta ya (ف ت ي) ataupun pluralnya adalah fityan (فِتْيَانٌ). Al-fata (الْفَتَى) itu sinonimnya al-shabb atau anak muda (youth/adolescent).

Imam Al-Qurtubi, seorang tokoh mufassir yang terkenal ketika mengulas istilah kepemudaan (الْفُتُوَّةُ) menukilkan definisi oleh al-Junayd dengan memaknakan ia sebagai sikap melakukan kebaikan kepada orang lain (badhl al-nada), tidak menyusahkan orang lain (kaff al-adha) dan meninggalkan rungutan terhadap orang lain (tark al-shakwa). Dikatakan juga makna al-futuwwah (noble manliness) adalah menghindari perkara yang haram dan bersegera dalam hal kebaikan. (Lihat al-Jamiʿ li Ahkam al-Qur’an, 10/364)

Abu al-Hasan Al-Nadwi menyebut, frasa (إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ) itu sendiri mengandungi makna yang mendalam untuk dihadam. Hakikatnya, Allah SWT hendak menzahirkan bahawa kelompok anak muda yang meninggalkan aspek materialistik, kelapangan dan kesenangan hidup serta kerehatan, adalah amat sedikit jumlahnya bagi setiap zaman. (Lihat Rahlat al-ʿAllamah Abi al-Hasan ʿAli al-Hasani al-Nadwi, hlm. 574) Sebahagian besarnya gemar bersenang-lenang dengan nikmat dunia dan lalai dalam pengaruh materialisme.

Maka, dapat disimpulkan bahawa, anak muda dan kepemudaan itu, lebih dilihat dari sudut sikapnya, perilakunya dan ketrampilannya selain usianya. Itulah kebiasaanya sifat bagi anak muda; idealistik, bersemangat tinggi, jiwanya berkobar-kobar dan sentiasa bertenaga.

 

Tugas dan Karakter Utama Anak Muda

Dr. Abdullah Nasih ʿUlwan menyenaraikan 3 tugasan utama bagi para anak muda untuk dilakukan dalam kehidupan mereka;

  • Melaksanakan tujuan peribadatan kepada Allah, tunduk patuh kepada-Nya, serta berserah diri kehadrat-Nya dalam setiap musibah yang menimpa.
  • Mengikut manhaj rabbani yang tidak akan ditembusi oleh kebatilan.
  • Memberi kesetiaan (wala’) hanya kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang Mukmin. (Lihat Hatta Ya’lam al-Syabab4)

Adapun, tugas terbesar sebagai seorang anak muda adalah sebagaimana yang ditegaskan oleh Rib’i ibn ʿAmir iaitu menegakkan hukum Allah di muka bumi, mengeluarkan hamba-hamba-Nya daripada penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan hanya kepada-Nya, mengeluarkan mereka daripada kesempitan hidup kepada keluasannya dan daripada kezaliman kekafiran kepada keadilan Islam.

Anak muda secara umumnya mempunyai himmah yang tinggi. Firman Allah SWT:

إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

MaksudnyaSesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.

Surah al-Kahf (13)

Maulana Abu al-Hasan Al-Nadwi menyebut: Ayat yang telah dinyatakan ini adalah satu pelajaran buat para anak muda Islam yang berintelektual, memiliki himmah yang tinggi dan kecerdikan yang tajam, digolongkan mereka dalam (golongan yang punya) kekuatan yang mulia dan kebijaksanaan yang melimpah ruah, membara kecaknaan mereka, tanpa ada pada mereka kesombongan dan takabbur… (Lihat Rahlat al-ʿAllamah Abi al-Hasan ʿAli al-Hasani al-Nadwi oleh Sayyid Abd al-Majid Al-Ghuri, hlm. 618)

Para anak muda Islam amat ditekankan supaya mencontohi kehidupan anak muda Kahfi (ashab al-kahfi) yang menjadi model terbaik dalam pembentukan fikrah keanak mudaan yang hakiki. Mereka sempurna daripada aspek akidah (fityat amanu birabbihim), ditambahi pula jiwa mereka dengan hidayah (wazidnahum huda). Di tengah kebobrokan kemewahan yang menindas yang dikuasai oleh kerajaan yang berkuasa, dicemari dengan idolisasi kebendaan, telah muncul segolongan anak muda yang berpegang dengan ajaran luhur Nabi Isa ʿalayh al-salam. (Lihat Faith Versus Materialism: The Message of Surah al-Kahf oleh al-Nadwi, hlm. 46) Ini menandakan cahaya kebenaran itu sama sekali tidak akan terluput walapun dalam gelap kezaliman.

Ciri-ciri anak muda Kahfi seperti yang dihuraikan di atas jelas menggambarkan apa yang tersirat di sebalik ayat berkenaan. Keperluan bagi mengkaderkan generasi anak muda yang berintelektual, punya himmah yang tinggi dan kebijaksanaan adalah satu kewajiban sepanjang zaman. Tidak ada satu perkara yang lebih indah daripada mempunyai kualiti barisan anak muda yang teguh berdiri mempertahankan akidahnya.

Kuantiti mereka semestinya amat kecil tetapi impak yang mereka hasilkan berjaya merubah paradigma masyarakat kepada satu bentuk perubahan yang membawa kebaikan. Bilangan yang ramai tidak semestinya jaminan kejayaan. Bilangan yang minima, belum tentu punca bagi kegagalan.

 

Usia Yang Melayakkan Sebagai Saksi

Dalam artikel Bayan Linnas Siri Ke-126: Hukum Merosakkan Undi, kami ada mengemukakan pendapat sebahagian ulama yang menggunakan konsep syahadah (kesaksian) dalam sistem perundangan Islam untuk menjustifikasikan kewajiban mengundi dalam pilihanraya umum. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَكْتُمُوا الشَّهَادَةَ ۚ وَمَن يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ ۗ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ

Maksudnya“Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

(Surah al-Baqarah: 283)

Pada asalnya, keputusan hakim dalam mahkamah adalah terhenti pada pembuktian dan penyaksian yang dapat diberikan oleh oleh pihak-pihak yang bertelagah. Oleh itu, sekiranya seorang saksi itu diperlukan dan dipanggil ke mahkamah, maka wajib dia hadir untuk membantu proses keadilan berjalan dengan lancar.

Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebutkan antara syarat-syarat seorang saksi itu mestilah seorang yang baligh. Maka tidak diterima penyaksian oleh kanak-kanak sekalipun dia sudah mumaiyiz berdasarkan Firman Allah SWT:

وَاسْتَشْهِدُوا شَهِيدَيْنِ مِن رِّجَالِكُمْ

Maksudnya“Dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu.”

(Surah al-Baqarah: 282)

Daripada sudut bahasa, seorang kanak-kanak tidak mencapai darjat rijal berdasarkan ayat di atas. Kedua, kanak-kanak tidak dapat dipertanggungjawabkan sekiranya mereka menipu, kerana mereka masih belum dianggap mukallaf (menanggung dosa pahala). Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (3/568) oleh Syeikh Mustafa al-Khin dan rakan-rakan.

Manakala dalam al-Mu`tamad menyebut bahawa syarat saksi mestilah mukallaf, yakni baligh dan beraqal. Maka tidak diterima kesaksian daripada kanak-kanak sekalipun sudah mumaiyiz berdasarkan ayat 282 Surah al-Baqarah di atas kerana kanak-kanak itu tidak dianggap sebagai rijal. Mereka juga tidak dipertanggungjawabkan sekiranya berbohong dan diangkat daripada taklif. Tidak juga diterima penyaksian orang gila kerana dia tidak mengetahui apa yang dia katakan dan mereka tidak memiliki dabt (ketepatan atau pemeliharaan dalam ilmu) serta bukan mukallaf. Kanak-kanak dan orang gila tidak dipercayai dapat menguruskan harta sendiri, maka apatahlagi untuk menjaga hak-hak orang lain. Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/516) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili

Tambahan lagi, umur 18 tahun adalah umur baligh menurut kesepakatan ulama. Ini kerana mazhab Maliki dan Abu Hanifah meletakkan 18 tahun sebagai umur baligh. Manakala mazhab al-Syafie dan Hanbali menetapkan umur baligh pada 15 tahun. Kami telah membahaskannya dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 230: Umur Baligh Menurut 4 Mazhab Dan Had Umur Yatim.

Para ulama berselisih pendapat dalam menentukan umur baligh seseorang. Ulama seperti al-Syafie, Ahmad, Abu Yusuf daripada ulama bermazhab Hanafi dan al-Awza’ie menyatakan bahawa umur baligh adalah sempurna 15 tahun qamariyyah bagi lelaki dan wanita (sebagaimana yang telah ditetapkan oleh ulama bermazhab al-Syafie) berdasarkan khabar (riwayat) daripada Ibn Umar.

عُرِضْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ أُحُدٍ وَأَنَا ابْنُ أَرْبَعَ عَشْرَةَ سَنَةً، فَلَمْ يُجِزْنِي وَلَمْ يَرَنِي بَلَغْتُ، وَعُرِضْتُ عَلَيْهِ يَوْمَ الْخَنْدَقِ وَأَنَا ابْنُ خَمْسَ عَشْرَةَ سَنَةً، فَأَجَازَنِي، وَرَآنِي بَلَغْتُ

Maksudnya: “Aku menyerahkan diriku kepada Nabi SAW pada peperangan Uhud ketika aku berusia 14 tahun dan Nabi SAW tidak mengizinkanku kerana Baginda SAW tidak menganggapku telah baligh. Aku juga menyerahkan diriku kepada Nabi SAW pada peperangan Khandak ketika aku berusia 15 tahun dan Nabi SAW mengizinkanku kerana Baginda SAW menganggapku telah baligh.”

Riwayat Ibn Hibban (4728)

Imam al-Syafie berkata bahawa Nabi SAW telah menolak 17 orang daripada kalangan sahabat yang mana usia mereka pada ketika itu adalah 14 tahun kerana Baginda SAW menganggap mereka belum lagi baligh. Kemudian Baginda SAW didatangi anak-anak yang berusia 15 tahun lalu Baginda SAW membenarkan mereka. Antaranya Zaid bin Thabit, Rafi’ bin Khadij dan Ibn Umar.

وَرُوِيَ عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَال: إِذَا اسْتَكْمَل الْمَوْلُودُ خَمْسَ عَشْرَةَ سَنَةً كُتِبَ مَا لَهُ وَمَا عَلَيْهِ، وَأُخِذَتْ مِنْهُ الْحُدُودُ

Maksudnya: “Apabila sempurnanya umur anak itu 15 tahun maka akan ditulis apa yang dilakukannya dan apa yang dikenakan ke atasnya serta akan dikenakan hudud.”

Riwayat ini dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam al-Talkhis al-Habir pada (3/106) dan Imam al-Baihaqi meniali riwayat ini adalah dhaif.

Ulama al-Malikiyyah mengatakan umur baligh adalah sempurnanya 18 tahun, dikatakan apabila masuk sahaja kepada umur 18 tahun. Termasuk juga dengan persetubuhan atau dengan bermimpi (keluar mani) berdasarkan sabda Nabi SAW:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثٍ: عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ

Maksudnya: “Diangkat pena pada 3 perkara: Antaranya daripada budak sehingga dia bermimpi.”

     Riwayat Abu Daud (4401)

Ataupun apabila datangnya haid (bagi wanita) berdasarkan sabda Nabi SAW:

لاَ يَقْبَل اللَّهُ صَلاَةَ حَائِضٍ إِلاَّ بِخِمَارٍ

Maksudnya: “Allah SWT tidak akan menerima solat orang yang telah berhaid melainkan dengan menutup kepala.” 

Riwayat Ahmad dan Ashab al-Sunan melainkan al-Nasaie dan juga Ibn Khuzaimah dan al-Hakim daripada Aisyah R.anha. Riwayat ini sanadnya adalah hasan sebagaimana yang dinilai oleh Syeikh Syuaib al-Arna’ut.

Atau dengan mengandung dan juga dengan tumbuhnya bulu ari-ari di bawah perutnya.

Al-Hattab ada mendatangkan 5 pandangan di dalam mazhab, antaranya riwayat yang mengatakan 18 tahun, 17 tahun dan sebahagian pensyarah kitab al-Risalah menambah kepada 16 tahun, 19 tahun dan diriwayatkan oleh Ibn Wahab 15 tahun menurut riwayat Ibn Umar.

Adapun Abu Hanifah menyatakan bahawa umur baligh seseorang budak lelaki itu mengikut pada umur adalah 18 tahun dan budak perempuan pula adalah 17 tahun. Disebabkan itu Allah SWT berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ

(Surah al-Isra’: 34)

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri).”

Imam Fakhruddin al-Razi ketika menjelaskan berkenaan ayat ini menyebut:

وَالْمُرَادُ بِالْأَشُدِّ بُلُوغُهُ إِلَى حَيْثُ يُمْكِنُهُ بِسَبَبِ عَقْلِهِ وَرُشْدِهِ الْقِيَامُ بِمَصَالِحِ مَالِهِ، وَعِنْدَ ذَلِكَ تَزُولُ وِلَايَةُ غَيْرِهِ عَنْهُ وَذَلِكَ حَدُّ الْبُلُوغِ، فَأَمَّا إِذَا بَلَغَ غَيْرَ كَامِلِ الْعَقْلِ لَمْ تَزُلِ الْوِلَايَةُ عَنْهُ وَاللَّهُ أَعْلَمُ

Maksudnya: “Erti yang diingini dengan al-asyudd itu adalah sampainya seseorang itu kepada (keadaan diri) yang membolehkannya (menguruskan harta itu) dengan sebab (sempurna) akalnya, dan matangnya (kebolehan) untuk menguruskan maslahat hartanya. Pada ketika itu gugurlah wilayah tanggungjawab daripada dirinya dan itu adalah had sempadan umur baligh. Adapun bagi orang yang sudah mencapai umur baligh tapi tidak sempurna akalnya maka tidak gugurlah wilayah. Wallahua’lam.” (Rujuk Mafatih al-Ghaib, 20/337)

Ibn Abbas R.Anhuma berkata, umur 18 tahun dalam menentukan had baligh adalah amat sedikit ahli ilmu yang cenderung kepadanya. Akan tetapi, ia diterima sebagai langkah berhati-hati. Ini adalah umur yang paling tua bagi had baligh budak lelaki dan budak perempuan pula lebih cepat balighnya berbanding budak lelaki maka kami kurangkan setahun (iaitu 17 tahun). (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/15-17)

Di sini kami nukilkan jua Seksyen 79 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan:

“Perintah nafkah hendaklah tamat apabila anak itu mencapai umur lapan belas tahun, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan oleh anak itu atau oleh seseorang lain, melanjutkan munasabah, bagi membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan lanjut atau lebih tinggi.”

Ini menunjukkan seseorang individu apabila sudah mencapai umur 18 tahun, kebiasaannya mereka sudah dewasa dan boleh menafkahi diri sendiri melainkan jika dibuktikan sebaliknya. Mereka juga sudah boleh menafkahkan orang lain, seperti bekerja untuk ibu ayahnya, atau berkahwin dan menafkahi isteri dan anak-anaknya. Ini bersesuaian dengan Seksyen 8 Akta Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan bahawa: “Tiada suatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.”

Kami telah huraikan perkara ini dalam Bayan Linnas Siri Ke-141: Perkahwinan Kanak-Kanak Mengikut Perspektif Syariah. Asasnya ialah Firman Allah SWT:

وَابْتَلُوا الْيَتَامَى حَتَّى إِذَا بَلَغُوا النِّكَاحَ فَإِنْ آَنَسْتُمْ مِنْهُمْ رُشْدًا فَادْفَعُوا إِلَيْهِمْ أَمْوَالَهُمْ

MaksudnyaDan ujilah anak-anak yatim sampai mereka mencapai usia nikah. Apabila kalian menemukan rusyda (kecerdasannya) maka serahkanlah harta-harta itu kepada mereka.

(Surah al-Nisa’: 6)

Umur kematangan atau al-rusyd ini selalu dikaitkan dengan kemampuan untuk mengenal manfaat supaya seseorang itu boleh meraihnya, dan mudarat supaya dia boleh mengelakkannya. Ini berdasarkan Firman Allah SWT:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيّ

Maksudnya“Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata al-rusyd (kebenaran yakni Islam) dari kesesatan (kufur).

(Surah al-Baqarah 2 : 256)

Firman Allah SWT:

قُلْ إِنِّي لَا أَمْلِكُ لَكُمْ ضَرًّا وَلَا رَشَدًا

MaksudnyaKatakanlah lagi; " Sesungguhnya aku tidak berkuasa mendatangkan sebarang mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan sebarang rasyada (kebaikan) bagi kamu.”

(Surah al-Jin: 21)

Firman Allah SWT lagi tentang perkataan Nabi Lut Alaihissalam terhadap kaumnya yang melampaui batas:

يَا قَوْمِ هَؤُلَاءِ بَنَاتِي هُنَّ أَطْهَرُ لَكُمْ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَلَا تُخْزُونِ فِي ضَيْفِي أَلَيْسَ مِنْكُمْ رَجُلٌ رَشِيدٌ

Maksudnya"Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang rasyid (bijak berakal yang dapat memberi nasihat)?"

Surah Hud (78)

Berdasarkan kenyataan di atas, maka secara ghalib (kebiasaan) dan urufnya, individu sama ada lelaki atau perempuan yang sudah berumur 18 tahun, sama ada hijriyyah atau masihiyyah, sudah mencapai umur baligh. Mereka boleh diberikan tanggungjawab seperti pengurusan hak dan harta, serta matang dalam berakal untuk memahami manfaat dan keburukan. Justeru, individu yang berumur 18 tahun adalah layak dan wajar untuk mengundi dalam pilihan raya kerana status mereka daripada sudut Hukum Syarak telah mencapai umur baligh yang layak untuk menjadi saksi, membuat keputusan dan dianggap rasyid (matang) dalam tasarruf (pengurusan) harta dan hak yang diberikan, selama mana mereka beraqal waras.


Pemuda Lahir Sebagai Khalifah

Menurut ajaran Islam, setiap manusia yang lahir ke muka bumi ini merupakan makhluk yang dicipta Allah SWT sebagai khalifah.

Firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

MaksudnyaDan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". 

Surah al-Baqarah (30)

Kedatangannya dengan misi bagi menjayakan dua objektif utama iaitu mengabdikan diri kepada Allah SWT dan memakmurkan dunia. Tugasan tersebut bukan suatu pilihan tetapi kewajipan yang perlu dilaksanakan. Maka, konsep penegakan keadilan, menentang kezaliman, menghapus penindasan, menyebarluaskan kebaikan, menghindari kejahatan dan pelbagai mekanisme bagi mencapai human well-being atau disebut jalb al-masalih fi hayat al-nas wa dar’ al-mafasid adalah sebahagian daripada agendanya.

Oleh yang demikian, tugas menggalas tanggungjawab selaku khalifah itu bermula dengan sampainya umur baligh seseorang itu dan ia sudah tentu berlaku seawal usia muda. Itulah sebabnya Rasulullah SAW menyebutkan di antara tujuh golongan yang memperoleh naungan pada saat tiada naungan kecuali naungan dari-Nya pada hari kiamat adalah pemuda yang tumbuh dalam kerangka beribadah kepada Allah SWT. Sabda Baginda:

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ، فِي ظِلِّهِ، يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ، اْلإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ، اجْتَمَعَا عَلَيْهِ، وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ، وَجَمَالٍ، فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى، حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا، فَفَاضَتْ عَيْنَاه. (صحيح البخاري)

Maksudnya“Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya. (1) Pemimpin yang adil, (2) Seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah , (3) Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid, (4) Dua orang yang saling mencintai kerana Allah , berkumpul dan berpisah kerana Allah juga, (5) Seorang lelaki yang diajak zina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi ia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah’, (6) Seseorang yang bersedekah dengan menyembuyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta (7) Seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendiri hingga meleleh air matanya basah kerana menangis.”

Riwayat al-Bukhari (620)

Pemuda yang ingin berjaya adalah pemuda yang pandai memanfaatkan peluang masa mudanya untuk maju dan berubah.Ia menyedari bahwa peluang itu tidak akan berulang. Ia memanfaatkan masa muda sebelum datang masa lemahnya (tua), masa sihat sebelum sakitnya, masa lapang sebelum sempitnya, masa terang sebelum masa gelapnya. Lihat hadith al-Hakim dalam al-Mustadrak (7846)

Justeru, fungsi khalifah yang menyeluruh kesemuanya terangkum dalam suatu lapangan yang disebut politik. Tiada istilah non-politic dalam kehidupan seorang pemuda muslim. Sebagaimana solat lima waktu itu wajib, zakat itu wajib, minum arak itu haram, makan khinzir itu haram, maka demikian juga menegakkan keadilan itu wajib, bersikap amanah itu wajib, rasuah itu haram, kezaliman dan penindasan itu haram dan begitulah seterusnya. Pendek kata, keterlibatan pemuda muslim dalam politik merupakan amal soleh bagi memastikan negara mencapai tahap baladun tayyibun wa rabbun ghafur.

 

Peranan Pemuda Sebagai Ejen Perubahan

Sejarah mencatatkan bahawa perjuangan Rasulullah SAW dalam menyampaikan dakwah Islam di kekelilingi oleh para sahabat yang masih muda remaja. Ia sekaligus menunjukkan bagaimana sifat muda amat signifikan dalam melakukan sesuatu perubahan sebagaimana yang ditunjukkan dalam sirah Baginda SAW. Antara keistimewaan yang ada pada sifat muda adalah seperti berikut:

  • Pemuda merupakan golongan yang paling banyak bercita-cita dalam sesebuah masyarakat sekaligus mudah menerima perubahan. Oleh itu, penglibatan golongan muda amat penting dalam menggerakkan perubahan sosial dan politik.
  • Pemuda juga merupakan golongan yang sentiasa bersemangat secara pemikiran dan pergerakannya. Ini menjadikan mereka sentiasa mengikuti dengan dekat dan peka terhadap sebarang perkembangan mengenai situasi sekeliling.
  • Sifat muda lebih cenderung untuk memberikan hak ke atas sesiapa yang memenuhi kriteria kelayakan. Ini kerana, pemuda itu memiliki keberanian dan kecerdasan akal dalam mencapai sesuatu objektif.
  • Pemuda memiliki kekuatan sosial yang ampuh sehingga mampu menjadi pemutus dalam sesebuah masyarakat. Ia sekaligus boleh mencorak hala tuju penggubal dasar seperti pihak pemerintah, orang politik dan tatakelola kerajaan.

 

Peranan Pemuda dalam Pemerintahan Negara

Keterlibatan pemuda dalam politik adalah suatu kewajipan sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini. Ia adalah sebahagian daripada peranan mereka dalam pemerintahan negara yang disebut sebagai Siyasah Syar’iyyah. Al-Mawardi ketika membicarakan perihal kepentingan politik telah menyinggung bahawa tugas politik dan kekuasaan adalah untuk menyambung tugas para Nabi dan Rasul, iaitu demi menjaga hal ehwal dunia dan agama. Walau bagaimanapun, apa yang lebih penting disentuh oleh al-Mawardi adalah peranan penting kekuasaan dalam kehidupan manusia. Peranan kuasa amat penting dalam menjamin kelangsungan harmoni dan juga keamanan hidup manusia dan juga untuk mempertahankan agama serta menyebarkannya.

Sirah Nabawiyyah dan sejarah Islam telah merakamkan begitu banyak pengajaran mengenai peranan pemuda dalam pemerintahan negara Islam. Pada zaman awal Rasulullah SAW mengembangkan Islam, telah dijelaskan bagaimana Baginda dikelilingi oleh para pemuda termasuk yang berumur belasan tahun seperti Ali bin Abi Talib, Talhah bin ‘Ubaydillah, al-Zubair bin al-‘Awwam, Sa’d bin Abi Waqqas dan Sa’id bin Zaid.

Rasulullah SAW sendiri pada awal lagi sentiasa menghargai setiap pandangan yang diusulkan oleh golongan muda. Dalam kisah peperangan Uhud, Baginda telah mengenepikan pendapatnya sendiri untuk berjihad di dalam Kota Madinah sebaliknya keluar ke medan Uhud kerana meraikan pendapat majoriti golongan muda al-Ansar yang bersemangat untuk keluar berjihad. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/12)

Demikian juga Rasulullah SAW pernah melantik Ali bin Abi Talib R.A yang masih teramat muda untuk menjadi qadhi di Yaman. Daripada Ali R.A, beliau berkata:

بَعَثَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الْيَمَنِ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ تَبْعَثُنِي وَأَنَا شَابٌّ أَقْضِي بَيْنَهُمْ، وَلَا أَدْرِي مَا الْقَضَاءُ؟ قَالَ: فَضَرَبَ بِيَدِهِ فِي صَدْرِي، ثُمَّ قَالَ: «اللَّهُمَّ اهْدِ قَلْبَهُ، وَثَبِّتْ لِسَانَهُ» ، قَالَ: فَمَا شَكَكْتُ بَعْدُ فِي قَضَاءٍ بَيْنَ اثْنَيْنِ

Maksudnya: "Rasulullah SAW mengutusku ke Yaman, maka aku berkata, "Wahai Rasulullah, engkau mengutusku untuk menjadi hakim di tengah manusia sementara aku seorang pemuda dan tidak mengerti bagaimana memberi penghakiman! " Ali berkata, "Baginda lalu meletakkan tangannya ke dadaku seraya berdoa: "Ya Allah, tunjukilah hatinya dan teguhkanlah lisannya." Ali berkata, "Setelah itu aku tidak ragu-ragu dalam memutuskan antara dua orang."

Riwayat Ibnu Majah (2310)

Dalam bidang pertahanan, Rasulullah SAW pernah melantik Usamah bin Zaid sebagai panglima tentera Islam yang diutuskan ke Syam bagi menggempur tentera Rom. Ketika itu beliau berumur lapan belas tahun, memimpin pasukan tentera yang ramai yang turut dianggotai oleh para sahabat besar termasuk Abu Bakar dan Umar al-Khattab. Bahkan pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin yang empat, Usamah terus diberikan kepercayaan dan amanah serta dihormati. (Lihat Masyahir al-‘Arab Usamah bin Zaid al-Qa’id al-Syab, hlm. 26-38) Ini semua menunjukkan usia muda belasan tahun tidak menjadi halangan untuk diberikan kepercayaan sekiranya orang tersebut memenuhi kelayakan yang diperlukan.

Kesimpulannya, keterlibatan politik dalam kalangan pemuda dari sudut Siyasah Syar’iyyah perlu dilihat secara lebih menyeluruh lagi komprehensif. Di bawah kerangka tauhid, segala penyertaan politik dalam pemerintahan negara diiktiraf sebagai amal soleh. Pemuda bukan lagi sekadar sebagai pengguna atau penerima kepada segala dasar kerajaan, tetapi turut terlibat dalam menentukan dasar dan hala tuju perjalanan sesebuah negara. Justeru mereka perlu diberikan ruang yang lebih luas dalam kerangka pemerintahan negara termasuk sebagai pemilih berdaftar dan calon pilihanraya.

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Alhamdulillah, berdasarkan kepada tajuk di atas serta alasan dan hujahan yang telah dikemukakan, maka kami berpendapat bahawa amat sesuai umur 18 tahun dijadikan sebagai had penetapan umur mengundi. Antara alasan kami adalah:

  • Usia tersebut sudah mencapai usia mukallaf dan akil baligh.
  • Uruf semasa di dunia maju dan negara yang sedang membangun telah menetapkan usia antara 18 tahun dan lebih sedikit untuk diberi peluang bagi mengundi.
  • Zaman Rasulullah SAW dan sahabat telah menunjukkan bahawa para pemuda diberi peranan walaupun usia mereka masih lagi remaja seperti Usamah bin Zaid dan lain-lain.
  • Suasana masyarakat Malaysia yang cukup terbuka dewasa ini dengan perkembangan maklumat dan teknologi tinggi (high technology), maka pemuda yang sudah diberi sejumlah maklumat dan pengetahuan adalah berkelayakan untuk menjadi pemilih dalam pilihan raya.

Kami mengesyorkan dua perkara sebagai pelengkap kepada sokongan isu penetapan had umur mengundi pada usia 18 tahun iaitu:

  • Pendaftaran kepada remaja yang berusia 18 tahun, yang berwarganegara Malaysia secara automatik.
  • Diberi kefahaman dengan mewujudkan satu subjek tatanegara berkaitan tanggungjawab warganegara terhadap negaranya.

Semoga dengan jawapan ini akan memberi sebuah kefahaman kepada kita dalam memacu negara yang cemerlang. Pemuda yang menjadi tonggak negara dan pemimpin masa hadapan sewajarnya didedahkan dengan siyasah dan kenegaraan sejak usia muda lagi agar perasaan kebertanggungjawaban sentiasa mekar dalam jiwa mereka.

Kami berdoa kepada Allah SWT, semoga Allah menjadikan negara kita sebagai sebuah negara sepertimana yang disebut Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur. Amin.

 

Akhukum fillah,

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
25 Jun 2019 bersamaan 21 Syawal 1440 Hijrah.

 

Nota Hujung:

[1] Lihat Kertas Cadangan Rang Undang-Undang Cadangan Pindaan Umur Pengundi Daripada 21 Tahun kepada 18 Tahun.

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...