219: KL SUMMIT 2019: MENGGALAS HARAPAN UMMAH

 219: KL SUMMIT 2019: MENGGALAS HARAPAN UMMAH

kl summit.JPG

Alhamdulillah, pada 19-21 Disember 2019 yang lalu, Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) berjaya diadakan dengan gilang-gemilangnya. Persidangan yang dihadiri kira-kira 450 wakil dari 56 negara Islam terdiri daripada pemimpin negara, pemikir, cendekiawan, ahli politik dan pemimpin masyarakat itu membincangan pelbagai isu melalui tujuh teras utama, iaitu pembangunan dan kedaulatan negara; integriti dan tadbir urus yang baik; kebudayaan dan identiti; keadilan dan kebebasan; keamanan, keselamatan dan pertahanan; perdagangan dan pelaburan serta teknologi dan tadbir urus internet.[1]

Antara pemimpin utama negara-negara Islam yang mengambil bahagian termasuklah Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani; Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Iran Hassan Rouhani; Naib Presiden Indonesia Ma’ruf Amin dan Penasihat Negara kepada Presiden Uzbekistan, Rustam Kasimov.

Kami berhasrat untuk mengulas persidangan ini melalui kaca mata Syariah, khasnya menerusi perspektif hubungan antarabangsa yang digariskan oleh para ulama Islam, selain memberi sedikit ulasan terhadap resolusi yang disepakati dalam Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur yang diadakan lebih awal.

Justeru, kami tajukkan Bayan Linnas pada kali ini dengan judul “KL Summit 2019: Menggalas Harapan Ummah”.

 

Islam dan Hubungan Antarabangsa

Konsep hubungan antarabangsa (distilahkan oleh para ulama sebagai al-‘alaqat al-duwaliyyah) menurut perspektif Islam diasaskan atas dasar hubungan persaudaraan sesama manusia, serta kewajipan saling berkenalan antara satu sama lain. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

MaksudnyaWahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

Surah al-Hujurat (13)

Ulama tafsir terkenal, Imam al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa. Kita semua diciptakan daripada seorang ibu dan seorang ayah dan tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan. (Lihat al-Kasysyaf ‘an Haqa’iq Ghawamidh al-Tanzil, 4/374)

Kita perlu sedar bahawa hubungan dan kesatuan antara kita sesama manusia adalah juga bertaut pada semangat kemanusiaan (insaniyyah/humanity) dan bukannya hanya pada faham creedal nation (al-ummah al-‘aqidiyyah). Fitrah kemanusiaan yang menginginkan keamanan, kebersamaan dan keadilan inilah yang boleh memandu kita dalam menghargai fiqh kewujudan bersama dalam kepelbagaian ini. Adalah menjadi satu keperluan bagi seluruh manusia untuk sedar bahawa sejauh mana perbezaan warna kulit, bangsa, politik dan agama, mereka adalah tetap bersaudara.

Hubungan diplomatik dengan negara-negara bukan Islam juga adalah dibenarkan, berdasarkan keumuman firman-Nya:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

MaksudnyaAllah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Surah al-Mumtahanah (8)

Syeikh Tahir ibn Asyur berkata: “Frasa, ‘sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil,’ ialah suatu komentar, yakni Allah mencintai setiap orang yang berlaku saksama, termasuklah mereka yang saksama terhadap orang-orang yang membuat perjanjian dengan mereka dalam agama sekalipun mereka memiliki perbezaan, mereka tetap elok interaksinya terhadap orang-orang itu.” (Rujuk Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 25/153)

Ayat di atas menerangkan secara jelas bahawa Allah SWT tidak melarang umat Islam untuk berlaku adil kepada mereka yang tidak memerangi orang Islam. Bahkan Allah SWT tidak menghalang umat Islam menyalurkan kebaikan kepada mereka. Malahan [أن تبروهم] ditafsirkan oleh Imam Ibn Kathir dengan makna [تحسنوا إليهم] iaitu berlaku ihsan kepada mereka. (Rujuk Tafsir al-Quran al-‘Azim, 15/16)

Islam merupakan sebuah agama yang menyeru, dan cenderung kepada keamanan. Firman Allah SWT:

وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

MaksudnyaDan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Surah al-Anfal (61)

Menurut Imam al-Maraghi, kaum Muslimin adalah lebih dituntut untuk mengadakan perdamaian dan mengelakkan peperangan serta pertumpahan darah. (Rujuk Tafsir al-Maraghi 5/2651) Meskipun ayat ini berbicara dalam konteks peperangan, namun ia boleh difahami melalui isyarat keumuman ayat, bahawa keamanan adalah lebih diutamakan berbanding peperangan yang perlu seboleh-bolehnya dielakkan.

Syeikh ‘Allal al-Fasi pula menyatakan bahawa Maqasid ‘Ammah (objektif umum) Syariah ialah mengimarahkan muka bumi dan memelihara aturan hidup dan memastikan kemaslahatan manusia itu sendiri. (Rujuk Maqasid al-Syariah wa Makarimuha hlm. 45).

Bertolak dari dua noktah di atas, mengekalkan keamanan dan pengimarahan dunia yang luas dan kompleks serta memelihara keteraturan hidup manusia yang rencam ini tidak akan berjaya dicapai melainkan melalui kerjasama yang erat antara negara-negara dan bangsa di seluruh dunia.

Kerana itulah, seawal tahun keenam Hijrah, Rasulullah SAW sebagai ketua negara telah mengutuskan surat kepada para pemerintah empayar dan kerajaan besar di sekeliling tanah Arab pada ketika itu: kepada Qaisar di Rom, Kisra di Parsi, Muqawqis di Mesir, Najasyi di Habsyah, al-Munzir al-Ghasani di Syam, selain pembesar-pembesar di Bahrain, Yaman dan Oman. Kandungan surat-surat ini tidak lain ialah untuk menyeru mereka tunduk dan patuh kepada ajaran agama Islam, serta keadilannya. (Rujuk Al-‘Alaqat al-Duwaliyyah fi al-Islam karya Syeikh Wahbah al-Zuhaily, hlm. 12)

 

Bentuk-Bentuk Hubungan Antarabangsa

Secara amnya, hubungan antarabangsa wujud dalam sekurang-kurangnya dua bentuk utama:

  • Hubungan Politik

Allah SWT menggambarkan hubungan politik pada zaman dahulu melalui kisah Nabi Sulaiman dan Ratu Saba’. Firman-Nya dalam al-Quran al-Karim:

قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ

MaksudnyaRatu (Saba’) itu berkata: "Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.

Surah al-Naml (34)

Menurut Syeikh Ahmad al-Raysouni, Allah SWT mendatangkan ayat dan kisah berkenaan Ratu Saba’ ini tanpa mengingkarinya, menunjukkan ada sesuatu yang boleh dipelajari. (Rujuk Hukm al-Aghlabiyyah, hlm. 17)

Difahami daripada kata-kata Ratu Saba’ tersebut bahawa amalan penjajah yang menjajah sesebuah negara ialah memporak-perandakan negara tersebut, menjarah hasil kekayaan, tidak menghormati kedaulatan mereka serta menghina penduduk asal. Demikian ia diteruskan pada kurun ke 15 hingga 19, di mana dorongan ‘gold, gospel and glory’ (harta, Kristianisasi dan kemegahan) menjadi slogan penjajah-penjajah Barat pada zaman dahulu untuk meluaskan empayar mereka.

Hal ini berbeza dengan sudut pandang Islami, di mana manusia diciptakan untuk memakmurkan muka bumi, antaranya dengan menegakkan keadilan dan memelihara hak setiap golongan. Firman Allah SWT:

هُوَ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا

MaksudnyaDia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.

Surah Hud (61)

Islam juga amat menitikberatkan soal pemeliharaan nyawa. Abdullah bin ‘Amru R.A, Rasulullah SAW:

منْ قَتَلَ نَفْسًا مُعَاهَدًا لَمْ يَرَحْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ، وَإِنَّ رِيحَهَا يُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا

MaksudnyaBarangsiapa yang membunuh seorang kafir mu’ahad (kafir yang mempunyai perjanjian dan dilindungi di bawah negara Islam), dia tidak akan mencium bau syurga, sedangkan bau syurga dapat dicium sejauh 40 tahun perjalanan.

Sahih al-Bukhari (6914)

Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, kafir mu’ahad bermaksud orang kafir yang mempunyai perjanjian dengan kaum Muslimin, samada dalam bentuk perlindungan di bawah akad jizyah, gencatan senjata atau jaminan keamanan oleh rakyat negara Islam tersebut. (Rujuk Fath al-Bari 12/259)

Dunia pada hari ini menyaksikan konflik perkauman, penindasan dan perang saudara yang semakin meruncing. Data daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan seramai 70.8 juga manusia di seluruh dunia telah menjadi pelarian, samada yang kehilangan tempat tinggal di tanah air sendiri, yang telah melarikan diri ke negara luar, atau yang mendapat suaka politik. Firman Allah SWT:

قَالُوا فِيمَ كُنْتُمْ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا

Maksudnya(Dan mereka yang dicabut nyawanya itu) ditanya oleh malaikat yang berkata: "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?" Mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?"

Surah al-Nisaa’ (97)

Menurut Syeikh Rasyid Ridha, ayat ini merupakan satu celaan keras oleh Allah SWT terhadap orang-orang Islam yang enggan untuk berhijrah ke Madinah kerana melebihkan dunia ke atas akhirat, dan tidak mahu meninggalkan harta mereka di Mekah. Namun celaan tersebut dikecualikan terhadap mereka yang tidak mampu untuk berhijrah samada lelaki, kanak-kanak, peremouan atau orang tua, samada yang tidak berkemampuan atau tidak mengetahui jalan yang perlu dilalui atau cara yang perlu dilakukan kerana pemimpin Quraisy pada masa itu menyekat orang-orang Islam daripada berhijrah ke Madinah. (Rujuk Tafsir al-Manar 5/289)

Ayat ini merupakan satu suruhan kepada mereka yang dizalimi di negara sendiri untuk keluar dan menyelamatkan diri. Namun pada sama ia juga boleh difahami sebagai satu suruhan kepada umat Islam yang berada di negara yang aman untuk menyediakan tempat bagi pelarian yang terpaksa keluar dari tanah air mereka akibat ancaman yang melampau terhadap nyawa, harta dan kehormatan mereka.

  • Hubungan Ekonomi

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaily, hubungan diplomatik yang erat antara rakyat negara Islam pada zaman khilafah ‘Abbasiyyah dengan negara-negara luar muncul antara lainnya kerana faktor ingin membina jaringan perniagaan dan kebudayaan. (Rujuk Al-‘Alaqat al-Duwaliyyah fi al-Islam, hlm. 12). Ini menunjukkan bahawa hubungan dagangan antara negara Islam dengan negara luar telahpun wujud sejak sekian lama.

Pada 2018, hubungan dagang Malaysia dengan negara-negara Islam terus meningkat, dengan nilai eksport dan import dengan Indonesia mencapai angka RM72.02 bilion, diikuti dengan UAE RM23.3 bilion, Arab Saudi RM18.25 bilion, Turki dengan RM9.79 bilion, Qatar sebanyak RM3.72 bilion dan Iran RM4 bilion.[2]

Jumlah ini sebenarnya masih teramat kecil berbanding nilai dagangan dengan rakan dagang utama Malaysia, iaitu China yang mencatat jumlah RM313.8 bilion pada 2018, RM155.76 bilion dengan Amerika Syarikat, RM220.88 bilion dengan Singapura (2017) dan RM120 bilion dengan Jepun (2016).[3]

Keadaan ini wajar ditanggapi sebagai satu peluang bagi Malaysia meningkatkan lagi hubungan dagang sesama negara Islam, dengan masih banyak lagi peluang ekonomi yang berpotensi untuk diteroka, antaranya petroleum, pertanian, teknologi dan sebagainya. Kerjasama dan hubungan dagang dua hala yang erat sesama negara Islam sebenarnya wajar dilihat di bawah konsep al-Quran iaitu kerjasama dalam perkara-perkara yang ma’ruf, melalui firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى

MaksudnyaHendaklah kalian saling bantu-membantu dalam perkara kebaikan dan taqwa;

Surah al-Ma’idah (2)

Kita amat berharap agar hubungan dagang antara Malaysia dengan negara-negara luar, khasnya dengan negara-negara Muslim akan terus berkembang demi kesejahteraan bersama.

Allah SWT menggambarkan kebebasan dan keamanan sewaktu berniaga ke negara-negara asing sebagai salah satu nikmat kurniaan-Nya:

لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ (1) إِيلَافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ

MaksudnyaKerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah); (iaitu) Kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk dan pada musim panas;

Surah Quraisy (1-2)

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaily, perjalanan pada musim sejuk yang dimaksudkan ialah rombongan perniagaan mereka ke negeri Yaman, manakala pada waktu panas pula adalah ke negeri Syam. (Rujuk al-Tafsir al-Munir 15/681)

Sebarang ketegangan, perang dingin dan persaingan untuk memonopoli perdagangan akan hanya menatijahkan kezaliman dan kesengsaraan. Hal ini jelas dilihat melalui sejarah peradaban dunia, yang menyaksikan kuasa-kuasa besar empayar dunia pada waktu itu seperti Inggeris, Perancis, Itali dan Sepanyol berlumba-lumba melakukan ekspedisi ke seluruh pelusuk bumi untuk menjarah hasil kekayaan negara lain, khasnya di Asia dan Afrika.

Bahkan hal tersebut berulang pada zaman sekarang melalui tekanan berbentuk ekonomi terhadap negara yang lemah, antaranya embargo (boikot) terhadap produk atau urusan dengan negara tersebut, yang hanya menatijahkan kesengsaraan dan penderitaan rakyat bawahan.

 

Resolusi KL Summit 2020

Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur 2019 telah berakhir dengan beberapa resolusi yang telah dipersetujui bersama. Ia merangkumi enam kluster, iaitu:

  • Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0): Penyesuaian kepada Cabaran Revolusi Perindustrian Keempat

Sebagai persediaan menghadapi IR 4.0, persidangan bersetuju supaya diwujudkan satu badan pemikir berpusat di salah satu negara Islam yang dibuka penyertaannya kepada belia seluruh dunia dan dapat memanfaatkan aliran IR 4.0 serta bagaimana ia berkait dengan Islam.

IR 4.0 yang sedang berlaku sekarang menekankan aspek penggunaan teknologi baharu dan kemudahan layan diri dalam pembuatan dan pemasaran produk. Begitu juga dengan penggunaan teknologi yang melibatkan Big Data (Data Besar) dan Artificial Intelligence (Kecerdasan Buatan) dalam perkhidmatan yang meminimumkan penglibatan manusia dalam operasi pengumpulan dan perkongsian data. Teknologi internet yang semakin laju dan teknologi Cloud Storage (Storan Awanan) telah memberikan potensi dan anjakan yang besar kepada globalisasi.

Kami juga pernah mengulas berkenaan cabaran-cabaran IR 4.0 dalam artikel kami yang berjudul “Revolusi Perindustrian 4.0: Cabaran Terhadap Industri Halal” .

  • Keusahawanan: Ekonomi gig dan kemampanan

Persidangan turut memberi perhatian terhadap pasaran ekonomi gigyang menjadi trend semasa yang semakin berkembang. Gig economy adalah sistem pasaran terbuka di mana pekerja bebas mengikat kontrak kerja untuk melaksanakan sesuatu projek dalam jangka masa tertentu dan kebiasaannya dilaksanakan secara freelance. Tiga komponen utamanya ialah pekerja bebas dibayar berasaskan tugas tertentu, pelanggan mahu perkhidmatan spesifik, dan syarikat membina medium antara pekerja bebas dengan pelanggan menggunakan platform aplikasi teknologi.

Pada masa kini, ekonomi gig memberi peluang kepada mereka yang mencari pendapatan dengan melaksana pelbagai tugasan jangka pendek dengan tidak dikongkong waktu dan tempat bekerja. Justeru, penumpuan kepada ekonomi gig dilihat mampu menjadi sumber pertumbuhan ekonomi baharu dan memberi peluang kepada rakyat meningkatkan pendapatan serta taraf hidup mereka.[4]

  • Tadbir Urus yang Baik: Menyebarluaskan integriti dan ketelusan dalam memastikan tadbir urus yang baik.

Persidangan turut membincangkan berkaitan keperluan untuk negara Islam mengadakan urus tadbir yang baik dan membangunkan negara masing-masing.

Urus tadbir yang baik berperanan dalam memperkasakan daya saing negara, memenuhi jangkaan stakeholder dan pelanggan seterusnya menerajui transformasi perkhidmatan. Ia dapat meningkatkan keupayaan negara bagi mencapai matlamat negara serta membawa kebaikan kepada semua pihak. Selain itu, ia juga dapat mengurangkan amalan rasuah, menyediakan peluang pengagihan ekonomi sama rata serta melancarkan pembangunan negara.

Kami juga pernah mengulas berkaitan urus tadbir serta sikap integriti dalam bekerja, antaranya dalam Bayan Linnas Siri Ke-193: Bekerja Sebagai Ibadah: Meningkatkan Sikap Integriti.

  • Pendidikan

Persidangan mencadangkan supaya idea orang muda diguna pakai bagi merangka dasar pendidikan negara. Begitu juga kepentingan dalam mewujudkan kumpulan pemikir diwakili pakar pendidikan sektor awam dan swasta yang boleh mengenal pasti isu serta masalah utama dihadapi negara Islam untuk merangka dan merekabentuk dasar atau projek berkaitan isu pendidikan.[5]

Peranan sistem pendidikan adalah sangat penting dalam pembangunan sesebuah negara. Ia menjadi satu wahana usaha dalam membangunkan generasi alaf baharu. Dengan pendidikan yang berkesan, ia diharapkan dapat melahirkan modal insan yang mampu berfikir, mencipta penemuan saintifik, mencari lebih banyak penyelesaian serta membangun kekuatan minda ke arah daya fikir tinggi (high order thinking) dan daya kreatif dalam kalangan individu dan bangsa.

Antara kaedah dalam menggerakkan institusi pendidikan berkesan adalah melalui pembangunan wakaf. Kami pernah mengulas berkaitan isu ini dalam artikel berjudul Wakaf Pendidikan dan Manfaatnya. Di Turki, dana daripada wakaf telah terbukti mampu menggerakkan institusi pendidikan mereka. Antara contoh lain adalah Universiti Islam Madinah di Arab Saudi serta Universiti al-Azhar di Mesir. Justeru, dengan sinergi kerjasama antara negara-negara Islam, ia diharapkan mampu memberi kesan positif kepada pembangunan sistem pendidikan mampan seterusnya menjamin kelangsungan dan kelestarian usaha pendidikan untuk generasi Muslim pada masa akan datang.

  • Ekonomi: Memangkinkan ekonomi digital

Persidangan bersetuju memutuskan pembentukan hab inovasi teknologi digital-hijau, antara lain dengan mewujudkan suasana serta infrastruktur perniagaan yang mantap, penyediaan ruang untuk sumber berbakat serta pengembangan pasaran. Dengan pembentukan hab itu juga, diwujudkan undang-undang, dasar dan peraturan yang cekap untuk melindungi kepentingan perniagaan, rahsia perdagangan serta pemilikan idea untuk perniagaan dunia Islam.[6]

Pada masa kini, penerokaan hasil baharu berlandaskan ekonomi digital dilihat mampu untuk memperluaskan sumber hasil negara. Justeru, revolusi digital yang sedang berlaku perlu dimanfaatkan semaksimumnya bagi tujuan menghasilkan keuntungan kepada perniagaan dan sekaligus menyumbang kepada peningkatan dan pertumbuhan ekonomi negara.

  • Politik: Mengukuhkan masa hadapan belia dalam politik

Persidangan mencapai persetujuan agar satu usaha digerakkan bagi mewujudkan Rangkaian Modal Belia Global. Ini bagi membolehkan belia terbabit dalam usaha pencegahan keganasan dalam politik.

Peranan belia dalam politik adalah sangat penting. Keterlibatan mereka dalam politik adalah suatu kewajipan. Belia bukan lagi sekadar sebagai pengguna atau penerima kepada segala dasar kerajaan, tetapi turut terlibat dalam menentukan dasar dan hala tuju perjalanan sesebuah negara. Justeru mereka perlu diberikan ruang yang lebih luas dalam kerangka pemerintahan negara.

Kami turut pernah menyatakan pandangan kami terhadap isu keterlibatan belia dan hak untuk mengundi pada umur 18 tahun dalam artikel kami berjudul Penetapan Had Umur Mengundi Pada Umur 18 Tahun Menurut Perspektif Siyasah Syar’iyyah. Kami tegaskan bahawa umur 18 tahun merupakan umur yang matang dan sesuai untuk mereka melibatkan diri secara langsung dalam proses demokrasi negara.

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa menurut perspektif Islam, hubungan antarabangsa mestilah dijalin atas asas persaudaraan dan keamanan, dengan matlamat mencapai kemakmuran bersama. Islam menolak sebarang bentuk hubungan antara negara yang dibina di atas asas yang kuat membuli yang lemah, diskriminasi dan penjarahan terhadap hak serta kedaulatan negara lain.

KL Summit 2019 melabuhkan tirainya, serentak dengan meniupkan semangat dan keazaman negara-negara Islam untuk kembali bangkit dari sudut politik, ekonomi dan sosial. Resolusi dan program yang disusun mengungkapkan harapan umat Islam untuk mengembalikan era keeamasan yang pernah umat Islam nikmati satu ketika dahulu.

Menurut laporan-laporan akhbar, sebanyak lima Memorandum Persefahaman (MoU) berjaya dimaterai antara syarikat dan agensi kerajaan negara-negara Islam yang menyertai persidangan tersebut.[7]

Antara yang dilaporkan ialah program 'Work4Malaysia', sebuah inisiatif oleh firma perunding Turki yang menyediakan peluang kepada bakat-bakat Malaysia untuk mengikuti latihan dan kerjaya di pelbagai sektor di negara itu. Firma berasaskan pertania dari Qatar pula akan bekerjasama dengan Felda Bhd dalam usahasama projek tenusu secara besar-besaran. Sementara itu, tiga pihak telah menandatangani perjanjian untuk menubuhkan pusat kecemerlangan khusus untuk penyelidikan dalam meneroka bidang saintifik dan tekonologi tinggi iaitu Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI), International Center for Chemical dann Biological Studies dari Pakistan dan Majlis Penyelidikan Saintifik Turki.

Bagi sektor keselamatan dan pertahanan, perjanjian melibatkan Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) dengan syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI), Turki bagi membuka jalan untuk pembangunan masa depan dalam bidang penyelidikan dan teknologi baharu serta modal insan. Organisasi media Malaysia dan Turki juga bersetuju menubuhkan sebuah pusat komunikasi bagi memerangi Islamofobia.

Namun perjuangan yang sebenar ialah melaksanakan ucapan dan kata-kata. Kerana itu menurut al-Imam Muhammad Abu Zahrah, nilai dan keberkesanan sebuah perjanjian bukanlah terletak kepada teks perjanjian, tapi ia bergantung kepada keazaman pihak-pihak yang menandatangani perjanjian tersebut. (Rujuk Al-‘Alaqat al-Duwaliyyah fi al-Islam, hlm. 42)

Kita harapkan agar semua keputusan, resolusi dan kata sepakat yang dicapai pada persidangan KL Summit ini disertai dengan tekad, keazaman, dan pengharapan yang tinggi kepada Allah SWT agar ia berjaya direalisasikan dengan jayanya. Tiada lain yang kita harapkan daripada penganjuran program seperti ini melainkan ia membawa kepada kemaslahatan untuk umat Islam di seluruh dunia khasnya, dan manusia sejagat amnya.

Wallahu a’lam.

[1] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/12/639861/sidang-kemuncak-kl-2019-sedia-jadi-tumpuan-dunia

[2] Rujuk pautan-pautan berikut:

  1. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/lawatan-rasmi-jokowi-kukuhkan-lagi-hubungan-dua-hala-malaysia-indonesia-214468
  2. http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1781917

iii. http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1771781c

iv.https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/07/589212/erdogan-mahu-banyak-lagi-syarikat-malaysia-labur-di-turki

  1. http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1776808

vii. https://berita.rtm.gov.my/index.php/nasional/19271-yang-di-pertuan-agong-terima-kunjungan-hormat-presiden-iran-dan-turki

[3] Data diperoleh daripada pautan berikut:

  1. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/04/556776/lawatan-dr-mahathir-kukuhkan-lagi-hubungan-perdagangan-malaysia-china
  2. https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2019/09/608865/malaysia-komited-perkukuh-hubungan-dua-hala-dengan-miti

iii. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/11/497223/malaysia-singapura-negara-berkembar-hubungan-baik-diteruskan-dr-m

  1. https://www.thesundaily.my/archive/malaysia-japan-bilateral-relations-offers-huge-potential-najib-ETARCH454623

[4] http://pmo.gov.my/2019/10/penjelasan-mengenai-kawal-selia-sektor-ekonomi-gig/

[5] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/12/639871/5-projek-khas-6-kluster-resolusi-sidang-kemuncak-kl-2019-belia

[6] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/12/639871/5-projek-khas-6-kluster-resolusi-sidang-kemuncak-kl-2019-belia

[7] http://www.astroawani.com/berita-malaysia/lima-mou-dimeterai-sempena-sidang-kemuncak-kl-2019-225778

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...