79: SABARLAH SAUDARAKU ROHINGYA
Pembantaian dan kekejaman terhadap Muslim Rohingya di Myanmar sebenarnya bukan pertama kalinya di tahun ini, namun ianya telah berlangsung terlalu lama. Demi menyelamatkan nyawa daripada tangan-tangan yang kejam, etnik Rohingya sanggup melarikan diri walaupun terpaksa meredah ombak lautan berminggu-minggu lamanya. Keadaan itu terpaksa dilalui rakyat dari wilayah Arakan, Myanmar kerana komuniti tersebut semakin terhimpit di bumi sendiri.
Mendengar dan melihat sebahagian rakaman seksaan dan penderitaan tidak terperi yang dihadapi, begitu menyentap hati ini. Berat mata memandang, berat lagi bahu dan jiwa yang memikulnya. Kami mengiringi doa untuk kalian dan bantuan seadanya. Ketabahan dan kesabaran yang terpahat dalam jiwa dan sanubarimu adalah ramuan terbaik dalam menghadapi liku-liku kehidupan yang mencabar ini.
Hanya titisan air mata yang mengalir di pipi kami. Semoga Allah ampunkan kami, serta menghilangkan kabus dan gerhana kezaliman dalam hidup kamu. Sesungguhnya, kami merasa amat dukacita atas ujian yang menimpamu, saudaraku. Benarlah firman-Nya,
وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَن يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ
"Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!" [Surah al-Buruj: 8]
Sabda Nabi SAW,
لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
"Tidak sempurna iman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 13)
Mereka menginginkan keamanan, kedamaian dan ketenteraman. Itu juga yang kita inginkan dalam kehidupan kita di sini. Maka, itulah yang wajar kita sedari dan hayati bersama. Seorang Mukmin dengan Mukmin yang lainnya bagaikan satu jiwa, jika dia mencintai saudaranya maka seakan-akan dia mencintai dirinya sendiri.
اللهم انصر الاسلام والمسلمين
"Ya Allah Ya Tuhan Kami, menangkanlah Islam dan orang-orang Islam."
Walaubagaimanapun, kesedihan kita ini tidak wajar berlanjutan tanpa apa-apa tindakan proaktif bagi menghadapi tragedi ini. Berterusan dalam kesedihan tetapi tidak melakukan apa-apa juga menyumbang kepada kemelaratan penyeksaan kepada mereka. Begitu juga luahan demi luahan di media sosial tanpa usaha susulan. Antara jalan dan cara yang dapat kita hulurkan bantuan buat saudara Rohingya adalah:
- Membuka tabung khas untuk Muslim Rohingya atau terus menderma melalui NGO yang terlibat.
- Masjid di seluruh Malaysia boleh menggunakan tabung sumbangan pada hari Jumaat bagi menyumbang terus kepada mereka dan mengusahakan kempen kesedaran secara besar-besaran.
- Majlis Agama atau Baitul Mal juga boleh dijadikan sebagai tempat pengumpulan dana dan pengagihan bantuan kepada masyarakat Muslim Rohingya.
Kita menghargai gesaan Organization of Islamic Cooperation (OIC) ke atas Myanmar yang disuarakan melalui Setiausaha Agungnya, Dr. Yousef A. Al-Othaimeen seperti yang dinyatakan di laman web rasmi OIC (https://goo.gl/COUA1h) namun, ianya perlu disambut dengan penuh kesatuan disusuli tindakan pantas oleh negara-negara Islam di seluruh dunia. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga perlu lebih proaktif dalam menangani tragedi yang jelas sudah melanggar dan mencabuli hak asasi manusia bagi komuniti Rohingya. Ingatlah bahawa tragedi ini bukan lagi semata-mata berkaitan agama bahkan, ianya adalah isu sejagat tanpa mengira agama, bangsa dan negara. Tidak wajar bagi rakyat Malaysia yang punya hati dan perasaan kemanusiaan, terus berpeluk tubuh dan hanya menyaksikan kezaliman sebegini dengan pandangan yang kosong.
Akhir kalam, tulus jauh daripada hati kami, ingin kami lafazkan, "Maafkan kami, Rohingya."
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
24 November 2016
KLIA - Labuan Airport
9.10 AM
No comments:
Post a Comment