96 : ISU KESALAHAN PENENTUAN QIBLAT DALAM SOLAT

 96 : ISU KESALAHAN PENENTUAN QIBLAT DALAM SOLAT

 

 

BAYAN LINNAS: ISU KESALAHAN PENENTUAN QIBLAT DALAM SOLAT

Beberapa hari yang lepas, telah tular melalui laporan media berkenaan isu kesalahan arah kiblat yang dikesan melalui penggunaan sebahagian aplikasi telefon bimbit.[1]

Kami mengambil berat mengenai isu ini, maka kami mengambil inisiatif untuk menulis Bayan Linnas yang kami namakan dengan tajuk Bayan Linnas: Isu Kesalahan Penentuan Qiblat Dalam Solat.

Takrif Qiblat

Dari sudut bahasa, qiblat bermaksud arah (al-jihah) yang kita solat ke arahnya, dan menurut istilah syara’ ia difahami sebagai Kaabah secara mutlaq tanpa mengandungi maksud yang lain.[2]

Tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ bahawa menghadap ke arah Kaabah merupakan syarat sah solat bagi yang berkemampuan.[3]

Allah SWT telah berfirman dalam Al-Qur’an al-Kareem:

{فَوَل وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ}

Maksudnya: Maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjid al-Haram, dan di mana saja kamu berada, hadapakanlah wajahmu ke arah itu.             

     (Al-Baqarah: 144)

Dalam Tafsir Ibnu Kathir ada menyebut bahawa “Walaubagaimanapun, persoalan mengadap kiblat kearah Baitul-Maqdis iaitu kiblat ahli kitab dari kaum Yahudi dan Nasara telah menjadi punca yang membuat kaum Yahudi menjadikan alasan untuk menolak kemasukkan mereka ke dalam agama Islam. Mereka telah menyebarkan da’yah mereka di Madinah bahawa amalan Muhammad dan para pengikutnya mengadap kearah kiblat mereka di dalam solat itu menunjukkan bahawa agama mereka adalah agama yang benar dan kiblat mereka yang sebenar dan merekalah yang asal. Oleh itu lebih baik kepada Muhammad dan para pengikutnya kembali kepada agama mereka sahaja bukannya menyeru mereka masuk ke dalam agama Islam. Dalam waktu yang sama persoalan ini menjadi satu persoalan yang sulit kepada kaum Muslimin Arab yang telah terbiasa di zaman jahiliyyah memuliakan Baitullah dan menjadikannya kiblat mereka, dan persoalan ini bertambah sulit lagi setelah mereka mendengar kaum yahudi berbangga-bangga dengan kiblat Baitul-Maqdis dan menggunakannya sebagai hujah ke atas mereka. Rasulullah s.a.w seringkali mengadah mukanya ke langit bertawajjuh kepada Allah tanpa sepatah kata kerana menjaga adab sopannya terhadap Allah dan menunggu arahannya yang menyukakannya. Kemudian turunlah ayat Al-Quran yang memperkenan hasrat yang berkecamuk di dalam dada Rasulullah s.a.w.”[4]

 

 

Allah SWT juga berfirman:

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

Maksudnya: Dari mana saja kamu (keluar), maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. dan dimana saja kamu (sekalian) berada, maka palingkanlah wajahmu ke arahnya.                                                     

    (Al-Baqarah: 150)

Tafsir Ibnu Kathir juga ada menyebut bahawa ayat tersebut itulah arahan Allah kepada Rasulullah s.a.w. supaya beliau menghalakan mukanya kearah Masjidil-Haram kemana sahaja beliau keluar, juga arahan kepada kaum Muslimin supaya menghalakan muka mereka kearahnya dimana sahaja mereka berada.[5]

Nabi Muhammad SAW pula telah bersabda:

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلَاةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ

Maksudnya: Jika kamu hendak solat maka sempurnakanlah wudhu, kemudian menghadaplah ke kiblat kemudian bertakbirlah”             

                                                 (HR. Bukhari: 1/145)

 

Adakah Perlu Qadha Solat Jika Didapati Salah Qiblat?

Para ulama’ berbeza pandangan dan pendapat dalam soal ini. Terdapat dua qaul (pendapat):

  1. Qaul pertama menurut Mazhab Syafi’e berpendapat solat yang telah dilakukan menghadap kearah kiblat yang salah, wajib qadha semula solat yang telah dilakukan. Ianya dipetik daripada Minhaj at-Thalibin, dimana sesiapa solat (ke arah kiblat) berdasarkan ijtihad, kemudian dia mendapat tahu bahawa kiblat itu salah, maka dia wajib qadha solatnya, menurut pendapat yang lebih kuat. Dan ketika dia tahu kesalahannya ketika sedang solat, dia wajib mengulangi semula solatnya.[6]

 

  1. Qaul kedua pula berpendapat tidak perlu qadha solat yang telah dilakukan jika ternyata salah kiblat yang dituju. Ianya menurut salah satu qaul mazhab Syafi’iyyah, pendapat mazhab Hanafiyyah dan mazhab Malikiyyah.

Salah satu qaul dalam mazhab Syafi’iyyah menyebut bahawa tidak perlu qadha solat kerana adalah harus untuk berijtihad untuk menentukan arah kiblat solat dan solat apabila yakin arah yang dituju itu tidak salah. Manakala arah kiblat juga tidak diketahui ketepatannya secara hakiki, maka ia berbalik kepada kaedah ‘ijtihad tidak boleh membatalkan ijtihad yang lain. [7]

 

إِنْ صَلَّى ثُمَّ تَيَقَّنَ الْخَطَأَ فَفِيهِ قَوْلاَنِ: الأَْوَّل يَلْزَمُهُ أَنْ يُعِيدَ؛ لأَِنَّهُ تَعَيَّنَ لَهُ يَقِينُ الْخَطَأِ فِيمَا يَأْمَنُ مِثْلَهُ فِي الْقَضَاءِ فَلَمْ يُعْتَدَّ بِمَا مَضَى، كَالْحَاكِمِ إِذَا حَكَمَ ثُمَّ وُجِدَ النَّصُّ بِخِلاَفِهِ، وَالثَّانِي لاَ يَلْزَمُهُ لأَِنَّهُ جِهَةٌ تَجُوزُ الصَّلاَةُ إِلَيْهَا بِالاِجْتِهَادِ فَأَشْبَهَ إِذَا لَمْ يَتَيَقَّنِ الْخَطَأَ. وَإِنْ صَلَّى إِلَى جِهَةٍ ثُمَّ رَأَى الْقِبْلَةَ فِي يَمِينِهَا أَوْ شِمَالِهَا لَمْ يُعِدْ؛ لأَِنَّ الْخَطَأَ فِي الْيَمِينِ وَالشِّمَال لاَ يُعْلَمُ قَطْعًا فَلاَ يُنْتَقَضُ بِالاِجْتِهَادِ[8]  

 

Menurut pendapat Mazhab Hanafiyyah pula daripada Al-Ikhtiyar li Ta’lil al-Mukhtar:

وَإِنِ اشْتَبَهَتْ عَلَيْهِ الْقِبْلَةُ وَلَيْسَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُهُ اجْتَهَدَ وَصَلَّى وَلَا يُعِيدُ (ف) وَإِنْ أَخْطَأَ فَإِنْ عَلِمَ بِالْخَطَأِ وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ اسْتَدَارَ وَبَنَى، وَإِنْ صَلَّى بِغَيْرِ اجْتِهَادٍ فَأَخْطَأَ أَعَادَ[9]

Jika ada orang tidak tahu arah kiblat dan tidak ada seorang pun yang boleh ditanya tentang kiblat, maka dia boleh berijtihad (dalam menentukan kiblat), dan solatnya tidak perlu diulang, meskipun arah kiblatnya salah. Jika dia tahu kesalahan arah kiblat ketika solat, maka dia terus menukarkan arah kiblat ke arah kiblat yang betul dan meneruskan solatnya. Dan jika dia solat tanpa berusaha mencari arah kiblat yang betul, kemudian ternyata ianya salah, maka wajib keatasnya mengulangi shalat yang telah dilakukan.[10]

Dalam Durur al-Hukkam pula dinyatakan bahawa seseorang itu tidak perlu mengulangi solat jika didapati kiblatnya salah setelah dia berijtihad untuk menentukan kiblat tersebut. Hal ini kerana Allah SWT tidak mentaklifkan seseorang untuk menentukan arah kiblat yang tepat secara hakiki.[11]

يَتَحَرَّى الْمُصَلِّي لاِشْتِبَاهِ الْقِبْلَةِ وَعَدَمِ الْمُخْبِرِ بِهَا، وَلَمْ يُعِدِ الصَّلاَةَ إِنْ أَخْطَأَ لأَِنَّ التَّكْلِيفَ بِحَسَبِ الْوُسْعِ، وَلاَ وُسْعَ فِي إِصَابَةِ الْجِهَةِ حَقِيقَةً، فَصَارَتْ جِهَةُ التَّحَرِّي هُنَا كَجِهَةِ الْكَعْبَةِ لِلْغَائِبِ عَنْهَا

Pendapat ini berdasarkan hadith Baginda SAW:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ فِي لَيْلَةٍ مُظْلِمَةٍ فَلَمْ نَدْرِ أَيْنَ القِبْلَةُ، فَصَلَّى كُلُّ رَجُلٍ مِنَّا عَلَى حِيَالِهِ، فَلَمَّا أَصْبَحْنَا ذَكَرْنَا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَزَلَتْ: {فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ

“Kami dahulu bersama Nabi SAW dalam sebuah permusafiran di malam hari yang gelap-gelita. Maka kami tidak mengetahui dimana arah kiblat. Maka setiap orang dari kami solat menurut keyakinan masing-masing. Kemudian pada waktu paginya, kami menceritakannya kepada SWT” Nabi SAW, maka turunlah ayat: “Ke arah manapun kamu menghadap, maka disitulah wajah Allah                                                                                                              (HR Tirmidzi: 345)

Menurut Mazhab Malikiyyah pula, sesiapa yang solat kemudian tahu kiblatnya salah sesiapa yang solat kemudian jelas salah kiblatnya, mestilah mengulangi solatnya dalam waktu tersebut (pendapat masyhur). Jika seseorang melakukan solat menghadap suatu arah kiblat menurut ijtihadnya sendiri, kemudian didapati salah kiblatnya maka mengikut alamat zahir, baginya perlu diulang solat dalam waktu tersebut. Sekiranya tidak terdapat alamat yang zahir maka tidak perlu diulang solatnya.[12]

 

لَوْ صَلَّى إِلَى جِهَةِ اجْتِهَادِهِ ثُمَّ تَبَيَّنَ خَطَؤُهُ، فَإِنْ كَانَ تَحَرِّيهِ مَعَ ظُهُورِ الْعَلاَمَاتِ أَعَادَ فِي الْوَقْتِ إِنِ اسْتَدْبَرَ، وَكَذَا لَوْ شَرَّقَ أَوْ غَرَّبَ، وَإِنْ كَانَ مَعَ عَدَمِ ظُهُورِهَا فَلاَ إِعَادَةَ

Akhir sekali, menurut Mazhab Hanabilah, Imam Ibn Qudamah berpendapat dalam Al-Mughniy bahawa apabila seseorang itu solat ke suatu arah berdasarkan ijtihadnya, kemudian dia mendapat tahu bahawa kiblatnya salah, maka tidak perlu diulang solatnya.[13]

 

Kesimpulan

Isu penentuan arah kiblat adalah merupakan perkara ijtihadiyyah dan bersifat zhanniy sahaja. Arah kiblat yang ditentukan oleh pasukan falak syar’ie adalah berdasarkan kaedah-kaedah teknologi moden menggunakan peralatan.

Untuk memudahkan umat Islam, beberapa pihak yang pastinya berniat baik telah mengambil inisiatif mencipta beberapa aplikasi untuk telefon bimbit bagi memudahkan mereka menentukan arah kiblat solat. Namun apabila diselidik, ternyata banyak aplikasi yang didapati tidak menunjukkan arah kiblat yang tepat, bahkan jauh berbeza daripada arah kiblat yang sebenar.

            Maka persoalan samada solat yang dilakukan berdasarkan arah kiblat yang dientukan aplikasi tersebut sah ataupun tidak, dan adakah perlu qadha solat tersebut. Kami memilih untuk mentarjihkan pendapat yang mengatakan solat itu sah dan tidak perlu qadha solat tersebut berdasarkan dalil-dalil dan rujukan yang dikemukakan. Ini bersesuaian dengan prinsip yang disebut dalam al-Qur’an al-Kareem:

يريد اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: Allah SWT ingin memudahkan kamu, dan tidak mahu menyusahkan kamu.

Firman Allah SWT yang lain:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: Bertaqwalah kalian kepada Allah SWT semampu mungkin.         (At-Taghabun: 16)

Walaupun begitu jika hanya satu atau dua waktu yang tersilap, kami syorkan untuk diqadha. Tetapi, jika sudah begitu lama dan bertahun, maka kami berpendapat ianya dimaafkan dan tidak perlu qadha. Justeru, kami juga ingin memperingatkan kembali kenyataan Ketua Pengarah Jakim:

“Penggunaan aplikasi ini hanya boleh dikira sebagai arah anggaran dalam menentukan arah kiblat. Bagi penentuan arah kiblat yang lebih tepat, masyarakat Islam dinasihatkan supaya merujuk kepada pihak yang lebih berautoriti iaitu Jabatan /Pejabat Mufti Negeri-Negeri dalam menentukan arah kiblat terutamanya bagi surau-surau dan masjid.”[14]

Inilah yang sebaiknya. Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman yang baik.

 

 

[1] Lihat sumber Berita Harian bertarikh 29 Mei 2017, Isnin

[2] Mughni al-Muhtaj, 1/142

[3] Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 32/302

[4] Tafsir Ibnu Kathir, Jil. 1, hal 139

[5] Ibid, hal 152

[6] Minhaj at-Thalibin, 1/158

[7] Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/222, 225;

[8] Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 19/144

[9] Al-Ikhtiyar li Ta’lil al-Mukhtar, 1/47

[10] Al-Ikhtiyar li Ta’lil al-Mukhtar, 1/47

[11] Durur al-Hukkam fi Syarh al-Ahkam, 1/61

[12] Al-Qawanin al-Fiqhiyyah, 1/42

[13] Al-Mughniy, 1/325

[14] http://www.islam.gov.my/media-jakim/kenyataan-media/1005-kenyataan-media-ketua-pengarah-jakim-berkenaan-isu-arah-kiblat-menggunakan-aplikasi-dalam-telefon

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...