40: PARIS BERDARAH...ISLAM AGAMA RAHMAT
BAYAN LINNAS SIRI 40
PARIS BERDARAH: ISLAM AGAMA RAHMAT
Mukadimah
Pada hari Sabtu, bersamaan 14/11/2015, satu siri peristiwa berdarah berlaku di Paris, Perancis. Dikatakan angka kematian seramai 153 orang, 80 orang cedera parah dan 200 orang lagi menjadi mangsa cedera yang mana 6 lokasi telah menjadi sasaran. Peristiwa ini mengejutkan dunia sehingga berita mengenainya tersebar luas melalui media elektronik dan massa. Banyak reaksi dikemukakan oleh pemimpin-pemimpin dunia termasuk agamawan. InsyaAllah, dalam Bayan Linnas siri ke-40, isu ini akan kami jelaskan mengikut perspektif Islam yang bersifat sebagai rahmat ke seluruh alam.
Reaksi Agamawan & Pemimpin Dunia
Rentetan dari peristiwa Paris berdarah ini, ramai pemimpin dunia dan juga masyarakat antarabangsa mengemukakan pandangan dan tidak kurang juga dengan cemuhan. Kami hanya nyatakan di sini sebahagian dari mereka. Antaranya:
- Syeikh al-Azhar, al-Imam al-Akbar Prof. Dr. Ahmed al-Tayyeb:
“Kami mengecam insiden terkutuk ini. Sudah tiba masa bagi dunia bersatu padu untuk memerangi keganasan. Perbuatan seperti itu bertentangan dengan prinsip semua agama, kemanusiaan dan ketamadunan”.
- Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak:
Dato’ Sri di dalam laman Twitternya menyatakan pendirian Malaysia mengutuk serangan yang berlaku di Paris yang telah mengorbankan banyak nyawa dan berharap rakyat dapat bersatu dalam memerangi keganasan.
- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi:
“Malaysia amat terkejut dan sedih dengan kejadian serangan pengganas di Paris, Perancis yang mengorbankan lebih 100 nyawa semalam. Sekalung takziah dirakamkan kepada keuarga dan rakan mangsa terbabit. Kepada rakyat Perancis dan masyarakat Paris, kami di Malaysia turut bersedih”.
- Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon:
“Saya percaya pihak berkuasa Perancis akan menggunakan kuasa bagi mengheret mereka yang bersalah ke muka pengadian dengan segera”.
- Presiden Indonesia, Joko Widodo:
“Kita ingin menyampaikan ucapan takziah berhubung musibah yang menimpa. Pemerintah dan bangsa Indonesia mengutuk keras kekejaman di Paris. Apa sekalipun alasan, kita tidak boleh bertoleransi dengan keganasan”.
- Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang:
“Pas merakamkan ucapan takziah terhadap semua mangsa serangan maut yang berlaku di beberapa lokasi di Perancis semalam yang mengorbankan hampir 200 nyawa. Pas juga merakamkan ucapan takziah kepada Presiden Perancis Francois Hollande dan seluruh rakyat Perancis di atas insiden yang mengejutkan ini. PAS mengecam sebarang tindakan kejam membunuh orang awam walau untuk apa tujuan sekalipun. PAS selari dengan ajaran Islam sangat memandang keras perbuatan membunuh orang awam yang tidak bersalah dan menimbulkan suasana tegang dan ketakutan di dalam masyarakat”.
Rasulullah SAW Pembawa Rahmat Ke Seluruh Alam
Firman Allah SWT:
وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ
Maksudnya: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
(Al-Anbiya’: 107)
Ibn Kathir (wafat 774H) Rahimahullah menukilkan pendapat Ibn ‘Abbas R.Anhuma dalam mentafsirkan ayat di atas dengan mengatakan: Mereka yang mengikutinya, kerana pada Rasulullah SAW itu rahmat di dunia dan akhirat dan barang siapa pula yang tidak mengikutinya, maka sekalian umat ini akan berada di dalam kehinaan dan buangan. [Tafsir Al-Quran al-’Azim. Dar al-Taybah, 5/387].
Begitu juga Syeikh al-Maraghi Rahimahullah di dalam tafsirnya menyebut: Bahawa Rasulullah SAW diutus dengan membawa ajaran yang mengandungi kemaslahatan di dunia dan akhirat. Hanya orang kafir sahaja tidak mahu memanfaatkannya dan berpaling tadah daripadanya akibat kesilapan dan perangainya yang buruk, tidak menerima rahmat dan mensyukuri nikmat ini, sehingga dia tidak merasakan kebahagiaan dalam urusan agama mahupun dalam urusan dunia. [Tafsir al-Maraghi. terj. Dewan Bahasa dan Pustaka, 9/4506]
Begitulah yang terjadi sekiranya Rasulullah SAW tidak dijadikan contoh dalam kehidupan. Allah SWT mengutuskan Rasulullah SAW dan bersamanya itu rahmat buat sekalian alam bagi yang menurutinya. Buat yang tidak mengambil manfaat darinya, itulah yang menyebabkan kacau-bilau dan carca-merba dalam kehidupan bukan hanya terhad pada orang kafir sahaja, bahkan umat Islam itu sendiri jika jauh dari petunjuk Nabi SAW, maka bala juga akan menimpa.
Rasulullah SAW Mempunyai Akhlak Yang Unggul & Menyempurnakannya
Antara perkara yang menjadikan Islam itu mudah diterima umum adalah kerana akhlak yang mulia yang diajarkan oleh Islam. Bukan itu sahaja, melalui Rasulullah SAW, akhlak itu dipertontonkan kepada masyarakat Arab dan ini juga antara sebab mengapa dakwah Islam itu cepat berkembang. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٖ
Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.
(Al-Qalam: 4)
Diceritakan ketika turunnya ayat di atas, para Sahabat R.Anhum bertanyakn kepada ‘Aisyah R.Anha tentang akhlak Nabi SAW dan jawapan ‘Aisyah R.Anha sungguh mudah namun memberi makna yang sangat besar iaitu:
كَانَ خُلُقُهُ الْقُرْآنَ
Maksudnya: Adalah akhlak Nabi SAW itu Al-Quran.
Dari situ, ramai dikalangan ulama’ mengambil berat mengenai akhlak sehinggakan ada yang mengarang kitab khusus mengenai akhlak seperti al-Syamail al-Muhammadiyyah oleh al-Imam Tirmizi Rahimahullah. [Adhwa’ al-Bayan. Dar al-Fikr, 8/248]
Dalam firman Allah SWT yang lain:
لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ
Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik…
(Al-Ahzab: 21)
Allah SWT menegaskan bahawa Rasulullah SAW memiliki contoh dan teladan yang tinggi yang untuk kita ikuti. Oleh itu hendaklah kita mencontohi setiap amal perbuatan Rasulullah SAW dengan mengikut petunjuk yang diberikannya, jika mahukan pahala daripada Allah SWT serta takutkan azabnya. Kesimpulannya, mengapa kita masih tidak mengikuti Rasulullah SAW dan mencontohi akhlak-akhlaknya? [Tafsir al-Maraghi. terj. Dewan Bahasa dan Pustaka, 11/5458]
Begitu juga dengan hadis ketika mana Rasulullah SAW menghantar Muaz bin Jabal dan Abu Zar al-Ghifari R.Anhuma ke Yaman antara pesanan Rasulullah SAW di dalam sabdanya:
اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
Maksudnya: Bertakwalah kepada Allah SWT di mana sahaja kamu berada dan ikutilah keburukan dengan kebaikan dan berakhlak dengan manusia dengan akhlak yang baik.
Riwayat al-Tirmizi (1987)
Inilah yang dititikberatkan oleh Rasulullah SAW iaitu perihal berakhlak dengan akhlak yang mulia. Misi dakwah Nabi SAW diselitkan sekali dengan nasihat agar berakhlak dan berinteraksi dengan baik. Dakwah yang dibawa dengan akhlak, ilmu dan hikmah akan mudah diterima manakala dakwah yang berisi cacian, maki hamun akan menjauhkan manusia dari Islam. Inilah sepatutnya yang perlu diambil perhatian oleh para pendakwah masa kini.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Setiap insiden yang membawa kepada pembunuhan dan pertumpahan darah di mana yang menjadi sasarannya adalah orang awam dan rakyat adalah tidak dibenarkan. Tidak kira di mana sekalipun sama ada di Paris, Turki dan negara umat Islam yang lain.
Amat wajar setiap orang di kalangan kita mengembalikan insaniah al-Insan (sifat kemanusian manusia) yang telah hampir pudar dan hilang dalam kamus kehidupan manusia. Ini terjadi apabila ianya tidak dipandu dengan nas Ilahi dan hadyu al-Nabawi.
Alangkah baiknya kita mengemukakan sejumlah akhlak dan adab Islamiyah yang tinggi di kalangan manusia sebagai jurubicara dakwah dan lisan al-Hal yang sudah pasti boleh menjadikan hati-hati manusia terpaut pada Islam sehingga Islam dan umatnya dilihat sebagai ajen perubah kebaikan kepada alam sejagat.
Hendaklah kita menggunakan ilmu dan hikmah serta memahami fiqh al-ta’amul dengan semua khalayak termasuk asalib dakwah yang unggul dan berkesan seperti yang telah dibincangkan oleh ramai tokoh pendakwah seperti Maulana Abu al-Hassan Ali al Nadawi Rahimahullah, Syeikh Dr. Abdul Karim Zaidan Rahimahullah dan lain-lain.
Akhir kalam, kami mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada kaum kerabat yang terbabit dalam insiden ini. Semoga mereka diberi ketabahan dan kesabaran dalam situasi dan saat genting ini.
Penutup
Dalam isu yang berlaku ini, amat penting bagi kita untuk muhasabah diri dan ambil langkah sebaik mungkin dalam menangani hal ini agar ianya tidak berulang lagi. Umat Islam amat perlu untuk memahami realiti semasa yang dihubungkan dengan rantaian sejarah kegemilangan di mana mereka pernah berjaya menyatukan antara ilmu dan iman, kemanusiaan dan ketuhanan, kebendaan dan akhlak sehingga tamadun itu diperjuangkan tanpa sebarang prejudis. Kita pernah mempunyai peradaban yang tinggi sehingga dikagumi oleh ummah tentang kehebatan Islam ini lebih dari lapan abad.
Kami menutup perbahasan ini dengan menukilkan pandangan tokoh Islam terkemuka Al-’Allamah Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi melalui bukunya ‘Kesederhanaan Dalam Islam’ antara lain menyebut ciri-ciri kesederhanaan itu ialah:
- Memperkasakan nilai ketuhanan dan menekankan ibadah yang menjadi objektif utama penciptaan manusia dan dijelmakan dalam empat ibadat utama diikuti dengan zikir, doa istighfar dan selainnya. Inilah asas tasawwuf hakiki yang dibina atas asas ‘benar dengan Allah dan berakhlak dengan makhluk’.
- Menekankan nilai akhlak yang ditegaskan oleh Islam sama ada akhlak individu atau kemasyarakatan. Menolak pendirian mereka yang menganggap hanya ibadah zahir yang mewakili keseluruhan tuntutan agama, juga menolak pendirian golongan yang memadai dengan pengamalan akhlak sahaja.
- Menyeru ke arah penyatuan rohani dan jasmani, ketuhanan dan kemanusiaan, akal dan perasaan. Memberikan setiap pihak haknya tanpa melampaui batasan. Dengan itu, sempurnalah ibadah, pengetahuan, kesukanan, kesenian. Ibadat merupakan makanan bagi rohani, ilmu merupakan makanan bagi akal, riadah sumber kekuatan tubuh badan dan seni memupuk perasaan.
Semoga kita sentiasa dipelihara Allah SWT dan juga menjadi wasatiyyah dalam sebarang bentuk tindakan dan mengelakkan sebarang bentuk tindakan ekstrim tetapi hendaklah disulami dengan adab Islami yang tinggi, ilmu pengetahuan dan hikmah. Sekian, wassalam.
Akhukum Fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
16 November 2015 bersamaan 4 Safar 1437H
No comments:
Post a Comment