265: HIKMAH RAMADAN DALAM MEMURNIKAN HUBUNGAN SUAMI ISTERI
Pendahuluan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Secara semula jadi, sesebuah hubungan perkahwinan akan ada pasang dan surutnya. Perubahan-perubahan yang berlaku sama ada dari segi tingkah laku, emosi, dan cara pasangan berinteraksi antara satu sama lain, kadangkala berada di luar kawalan sehingga mengakibatkan perselisihan. Bertambah teruk lagi sekiranya ia berlarutan sehingga menyebabkan keruntuhan sesebuah institusi kekeluargaan. Ini merupakan satu impak yang besar daripada kegagalan seseorang mengawal diri dan melawan hawa nafsunya.
Namun, hadirnya madrasah Ramadan sebagai satu medan untuk membentuk dan mendidik manusia supaya bersifat lebih rasional dan tidak bertindak mengikut hawa nafsu ketika terperangkap dalam keinginan untuk melakukan perkara yang memberi mudarat dan ditegah syarak.
Huraian
Perbincangan ini dimulakan dengan merujuk kepada ayat suci Al-Quran yang menyatakan:
يٰاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas golongan terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Surah al-Baqarah (183)
Umum mengetahui bahawa pengertian puasa menurut pemahaman fiqh adalah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa dengan disertai niat tertentu, bermula daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari[1].
Namun, Ibnu Kathir menyebutkan bahawa hakikat sebenar ibadah puasa itu sendiri adalah menyertakan keikhlasan hati kepada Allah SWT dalam setiap amalan yang dilakukan. Manfaatnya yang begitu besar sehingga dapat menyucikan, membersihkan dan menjernihkan jiwa-jiwa yang kotor daripada segala percampuran dengan perkara-perkara kejahatan dan akhlak yang buruk. Sifat puasa itu sendiri bukan sekadar membersihkan rohani bahkan merangkumi pembersihan jasmani kerana pada bulan tersebut Allah SWT telah menyempitkan jalan-jalan syaitan[2].
Sesungguhnya dengan berpuasa bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi dengan mengawal diri daripada mengikut hawa nafsu dan daripada melakukan perkara-perkara buruk yang merosakkan jati diri seseorang muslim. Bulan Ramadan merupakan bulan untuk melatih diri daripada terlalu mengikut emosi dan nafsu sehingga hilang pertimbangan. Berpuasa juga merupakan satu latihan supaya kekal tenang dalam sebarang bentuk provokasi yang mengakibatkan kemarahan.
Rasulullah SWT bersabda:
إذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ يَوْمَئِذٍ وَلَا يَصْخَبْ، فَإِنْ شَاتَمَهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ: إنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ
Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu berpuasa, janganlah kamu berkata buruk dan bersikap bodoh. Jika kamu dimaki oleh seseorang atau diperbodohkannya, maka berkatalah: Sesungguhnya aku berpuasa.”
Riwayat Muslim
Apabila seseorang berhadapan dengan situasi yang menyemarakkan api kemarahannya, maka tindakan yang telah diajar Rasulullah SWT adalah mengendahkan kejadian tersebut tanpa perlu membalas atau mengambil bahagian dalam pertengkaran. Malah, cukup dengan sekadar berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa”[3].
Selain itu, merujuk kepada Hadis riwayat Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda[4]:
لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ
Maksudnya: “Seseorang itu tidak dinamakan gagah perkasa dengan kuat bergusti, akan tetapi orang yang gagah itu adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah”.
Riwayat al-Bukhari
Kekuatan yang sebenar bukanlah terletak pada fizikal seseorang ketika mana mereka mampu melawan dan menumpaskan pihak lawannya dengan kekuatan dirinya. Namun, orang yang sebenar-benarnya dianggap kuat adalah mereka yang berhasil mengendalikan emosi dan menahan dirinya daripada sifat marah di saat ada sesuatu kejadian yang boleh mengundang amarahnya[5].
Dalam hubungan suami isteri, kemampuan untuk mengawal diri dan menguruskan emosi merupakan seni terbesar dan kunci bagi kebahagiaan dan keharmonian rumahtangga. Ketika seseorang diuji dengan kemahuan atau keinginan yang kuat untuk melakukan perkara yang mengakibatkan kehancuran rumahtangganya, dia mampu menahan dan mengawal diri dengan memilih untuk tidak melakukannya atas sifat rahmah kepada pasangan. Ketika diuji dengan pertengkaran dan kemarahan, dia tidak membalas dengan kemarahan dan bertindak secara rasional tanpa mengikut hawa nafsu.
Syeikh Zakaria al-Ansari menyatakan bahawa jihad terbesar yang boleh diraih oleh setiap muslim adalah apabila ia boleh bermujahadah melawan nafsu bahkan ini lebih berat dan sukar jika dibandingkan jihad melawan musuh[6].
Justeru, hikmah Ramadan pada kesejahteraan rumahtangga adalah dengan melatih dan mengajar kita supaya sentiasa terkawal dalam memilih antara baik dan buruk.
Ibn Qayyim berkata:
أن أغزر الناس مروءة أشدهم مخالفة لهواه
Maksudnya: “Orang yang paling tinggi wibawanya adalah yang paling kuat menentang hawa nafsunya.[7]”
Beliau juga menukilkan kata-kata seorang ulama salaf:
الغالب لهواه أشد من الذي يفتح المدينة وحده
Maksudnya: “Orang yang berhasil mengalahkan hawa nafsunya lebih kuat daripada orang yang menakluk satu kota bersendirian.”
Sesungguhnya orang yang paling kuat dan gagah adalah mereka yang mampu mempertahankan rumahtangga dengan mengawal diri daripada melampaui batas.
Kesimpulan
Tuntutan berpuasa bukanlah terhenti sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga tanpa sebarang makna. Malah, makna kejayaan dan keberhasilan didikan Ramadan tersebut adalah pada kemampuan umat Islam mengawal diri daripada terus bertuhankan hawa nafsu. Bukan itu sahaja, dalam bulan Ramadan umat Islam dilatih untuk meninggalkan perkara yang sememangnya halal bagi mereka. Ketika makan dan minum diharuskan pada bulan-bulan lain, kita memilih untuk menahannya selama sebulan demi menuruti perintah Allah SWT. Juga bagi suami isteri, menahan keinginan untuk bersama yang merupakan satu keharusan pada bulan sebelumnya dan selepasnya. Hasilnya, dengan berpuasa kita dilatih untuk meletakkan limitasi pada satu keinginan yang kuat untuk melakukan sesuatu perkara. Dalam konteks hubungan suami isteri, ia jelas dapat dipraktikkan kerana dalam alam perkahwinan itu sendiri terdapat pelbagai cabaran dan rintangan yang memerlukan daya kawalan diri yang baik.
Wallahu’alam
Rujukan:
[1] Khatib al-Syirbini, Syamsuddin Muhammad bin Ahmad. Al-Iqna’ fi Hal Alfaz Abi Syuja’. (Beirut: Dar al-Fikr, t.t). Jld 1. Hlmn 234.
وشرعا إمساك عن المفطر على وجه مخصوص مع النية
[2] Ibnu Kathir, Abu al-Fida’ Ismail bin Umar. Tafsir al-Quran al-Azim. (t.tt: Dar Toyyibah, 1999). Jld 1. Hlmn 47
وَهُوَ: الْإِمْسَاكُ عَنِ الطَّعَامِ وَالشَّرَابِ وَالْوِقَاعِ بِنِيَّةٍ خَالِصَةٍ لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، لِمَا فِيهِ مِنْ زَكَاةِ النَّفْسِ وَطَهَارَتِهَا وَتَنْقِيَتِهَا مِنَ الْأَخْلَاطِ الرَّدِيئَةِ وَالْأَخْلَاقِ الرَّذِيلَةِ , ولِأَنَّ الصَّوْمَ فِيهِ تَزْكِيَةٌ لِلْبَدَنِ وَتَضْيِيقٌ لِمَسَالِكِ الشَّيْطَانِ
[3] Dipetik daripada penulisan Hasrizal Abdul Jamil, Transformasi Ramadan, (Selangor: Galeri Ilmu, 2010M)
[4]Al-Bukhari, Abu Abdullah Muhammad bin Ismail. Sahih al-Bukhari. (Damsyiq: Dar Ibnu Kathir, 1993). Jld 5. Hlmn 267. No hadis 5763.
[5] Al-Baidhawi, Nasiruddin Abdullah bin Umar. Tuhfah al-Abrar Syarh Masabih al-Sunnah. Ed: Lajnah Mukhtasah bi Isyraf Nuruddin Talib. (Kuwait: Wizarah al-Auqaf wa al-Syuun al-Islamiyyah, 2012). Jld 3. Hlmn 276.
أن القوي في الحقيقة ليس من يصارع الرجال ويغلب عليهم, بل القوي من يقاوم نفسه, ويغلب عليها, بحيث يملكها حينما تكون أكثر تمردا وأشد تفرعنا, وذلك عند الغضب.
[6] Zakaria al-Ansari, Zakaria bin Muhammad bin Ahmad. Minhatul Bari bi Syarh Sahih al-Bukahri. (Riyad: Maktabah al-Rusydi, t.t). Jld 9. Hlmn 238.
(إنما الشديد الذي يملك نفسه عند الغضب( فيه: أن مجاهدة النفس التي هي الجهاد الأكبر أشد من مجاهدة غيرها من الأعداء.
[7] Muhammad bin Abu Bakr bin Ayyub ibn Qayyim al-Jauziah, Raudatul Muhibbin wa Nuzhah al-Musytaqin (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, 1403H – 1983M) 477
No comments:
Post a Comment