283: MENGIMPIKAN POLITIK HARMONI

 BAYAN LINNAS SIRI KE-283: MENGIMPIKAN POLITIK HARMONI

MENGIMPIKAN_POLITIK_HARMONI.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum Sahibus Samahah Datuk Mufti. Mutakhir ini saya melihat ada segelintir pihak yang terlalu bermudah-mudah dalam menghukum orang lain sebagai kafir, munafiq dan sebagainya, serta mendoakan keburukan dan kehancuran, hanya kerana perbezaan politik dan kumpulan. Hal ini lebih ketara apabila akhir-akhir ini masyarakat hangat membincangkan tentang petisyen yang dibawa kepada mahkamah yang dilihat mencabar sistem perundangan Islam. Boleh S.S Datuk berikan sedikit pandangan serta panduan dalam mendepani politik yang bersifat ekstrem ini?

Ringkasan Jawapan:

Persaingan politik antara parti dan kumpulan merupakan suatu perkara normal dan perlu diraikan dalam sistem demokrasi yang diterimapakai di negara ini, namun biarlah ia berlangsung dalam suasana yang aman harmoni serta berlandaskan amalan politik matang. Politik kebencian yang menabur fitnah serta disulami gejala menghukum tidak akan menatijahkan hasil yang positif kepada agama, bangsa dan negara.

Pada masa sama, kita perlu berdiri teguh sebagai suatu umat dalam mempertahankan institusi dan perundangan Syariah daripada diperlekeh dan diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak. Kita juga perlu menggembleng seluruh kekuatan merentasi sempadan kepartian dalam mengangkat kewibawaan undang-undang Islam, agar ia sentiasa teguh dan kalis daripada sebarang percubaan untuk melemahkannya.

 

Huraian Jawapan

Mukadimah

Baru-baru ini, masyarakat hangat membincangkan isu berhubung satu petisyen di mahkamah Persekutuan yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019. Petisyen tersebut dikemukakan bagi mengisytiharkan peruntukan-peruntukan kesalahan dalam enakmen itu sebagai terbatal dan tidak sah.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat), Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).[1]

Rentetan daripada petisyen yang dikemukakan ini bersama beberapa isu lain yang turut bermain dengan isu agama, politik dan sosial, tidak sepatutnya diambil kesempatan mengapi-apikan permusuhan dalam masyarakat. Ada yang melampau sehingga ke tahap mempertikaikan keimanan orang lain, menghukum dengan label-label negatif serta mendoakan keburukan terhadap pihak yang berseteru.

Gejala kafir mengkafir (takfir)

Perbuatan mengkafirkan seorang Muslim ialah suatu perkara yang amat dipandang serius oleh syarak, lebih-lebih lagi jika dilakukan secara membuta tuli tanpa dipandu kaedah-kaedah syarak yang telah digariskan oleh para ulama. Apa yang lebih membimbangkan apabila pengkafiran dilakukan terus ke atas peribadi seseorang muslim tanpa sebarang usul periksa. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا

Maksudnya“Dan orang yang mengganggu serta menyakiti orang lelaki yang beriman dan wanita perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.”

Surah al-Ahzab (58)

Betapa besarnya ancaman Syarak terhadap gejala takfir ini sehinggakan sesiapa yang menuduh seseorang yang tidak kafir itu kafir, maka tohmahan kafir itu berbalik kepada dirinya. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

أَيُّمَا رَجُلٍ قَالَ لِأَخِيهِ يَا كَافِرُ، فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا

Maksudnya“Mana-mana orang yang mengatakan kepada saudaranya: Wahai kafir. Maka jatuhlah (kafir itu) ke atas salah seorang daripadanya.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut, Syeikh al-Isfarayini mengatakan sesiapa yang membidaahkan orang yang tidak bidaah, menyesatkan orang yang tidak sesat atau mengkafirkan orang yang tidak kafir, maka hukum tersebut akan kembali kepadanya.[2]

Rasulullah SAW juga telah bersabda:

وَمَنْ رَمَى مُؤْمِنًا بِكُفْرٍ فَهْوَ كَقَتْلِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menuduh orang lain sebagai kafir, maka seolah-olah dia telah membunuhnya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Renungi panduan para ulama yang menegaskan peri pentingnya memelihara diri daripada bermudah-mudah mengkafirkan sesama Muslim.

 

Sidi Ahmad Zarruq memetik suatu kaedah yang amat penting daripada Ibn Furak :

الغلط في إدخال ألف كافر بشبهة الإسلام خير من الغلط في إخراج مسلم واحد بشبهة كفر

Maksudnya: “Tersilap menganggap seribu orang kafir sebagai Muslim dengan sangkaan bahawa mereka telah memeluk Islam adalah lebih baik berbanding tersilap mengkafirkan seorang Muslim dengan sebab ada sangkaan bahawa dia telah melakukan kekufuran.”[3]

Gejala kafir mengkafir ini turut menular dalam kalangan masyarakat Islam di negara kita, khususnya dalam arena persaingan politik kepartian. Apabila ditinjau dari sudut sejarah, isu takfir mula dipolemikkan secara meluas dalam kalangan masyarakat Melayu setelah era penjajahan, terutamanya selepas wujudnya pelbagai parti politik dalam kalangan masyarakat Melayu.

Sejarah turut menyaksikan sebilangan ahli agama telah menggunakan pendekatan takfir sebagai salah satu cara untuk mengalahkan lawannya dalam persaingan politik kepartian.[4]

Habib Ali al-Jufri menegaskan bahawa gejala kafir-mengkafir, khasnya dalam bidang politik ini perlu ditangani:

أن إقحام التكفير على الخلاف السياسي هو اعتداء صارخ على الشريعة المطهرة لا يسع طالب العلم السكوت عنه

Maksudnya: “Sesungguhnya membawa perbuatan kafir-mengkafir ke dalam perselisihan politik merupakan satu bentuk penodaan yang jelas terhadap Syariah yang suci, dan seorang penuntut ilmu tidak boleh mendiamkan diri daripada menyuarakan penentangan terhadap hal tersebut.”[5]

Sayyid Yusuf bin Ali al-Zawawi, mantan Mufti Terengganu pada 2 Oktober 1963 telah mengeluarkan fatwa sebagai respon terhadap gejala kafir-mengkafir yang hangat diperkatakan di tanah air pada waktu itu, yang antara lain menegaskan:

Maka wajiblah di atas tiap-tiap orang yang suka mempermain-mainkan perkataan ‘kafir-mengkafir’ ini menginsafi akan dosa yang dia lakukan itu, dan wajiblah ia bertaubat dengan serta-merta, supaya tidaklah ia berkekalan di dalam dosa yang besar itu yang akan membawa ke neraka. Jika ia masih kekal membuat tuduhan itu, maka wajiblah di atas pemerintah ta'zirkan dial dengan apa cara yang difikirkan patut dan munasabah.”[6]

Sebelum ini, pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) telah membicarakan beberapa isu yang terkait dengan gejala takfir ini yang boleh diakses pada pautan-pautan berikut:

i.https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/tashih-al-mafahim/3589-tashih-al-mafahim-14-mengkafirkan-pemerintah

ii.https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/tashih-al-mafahim/2789-tashih-al-mafahim-3-kafir-mengkafir-kerana-berbeza-pendapat

iii.https://www.muftiwp.gov.my/ms/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/5771-bayan-linnas-siri-ke-279-larangan-untuk-menuduh-orang-lain-sebagai-murtad

iv.https://www.muftiwp.gov.my/ms/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/2826-bayan-linnas-siri-ke-155-konsep-fiqh-ta-ayush-isu-di-malaysia-dan-penyelesaiannya

 

Hukum Mendoakan Keburukan ke atas Orang Lain

Terkait dengan isu kafir-mengkafir juga ialah perbuatan segelintir pihak yang menggunakan doa sebagai wasilah untuk mendoakan keburukan ke atas orang lain sama ada ke atas lawan politik atau pihak yang berseteru dengannya.

Meskipun doa merupakan senjata yang paling ampuh bagi orang yang beriman, namun syariat agama tidak pula membenarkan seseorang itu mendoakan keburukan ke atas saudaranya terutamanya saudara seagamanya melainkan dia dizalimi. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لَا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَنْ ظُلِمَ

Maksudnya: “Allah SWT tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang lain); kecuali oleh orang yang teraniaya.”

Surah al-Nisa’ (148)

Ibn Abbas menafsirkan ayat ini bahawasanya seseorang itu tidak boleh mendoakan keburukan ke atas orang lain melainkan hanya dia dizalimi[7]. Pun begitu, doa atau balasannya itu juga mestilah seimbang dan tidak melampaui perbuatan orang yang menzaliminya[8]. Oleh yang demikian, mendoakan keburukan ke atas orang lain bukanlah suatu perkara yang boleh bermudah-mudah, sebaliknya ia terkait juga dengan adab dan tingkah laku yang ditekankan oleh syarak.

Bukan itu sahaja, Nabi SAW juga pernah bersabda:

لَا يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ، مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ، مَا لَمْ يَسْتَعْجِلْ

Maksudnya: “Doa seseorang hamba itu akan termakbul selagi mana dia tidak mendoakan sesuatu yang mendatangkan dosa atau sesuatu yang boleh menyebabkan terputusnya silaturrahim dan selagi mana dia tidak tergesa-gesa.”

(ٌRiwayat Muslim)

Kesimpulan

  1. Selaku individu Muslim yang beriman dan berakhlak mulia, tabiat atau gejala buruk ini seharusnya dihindari dan dijauhi oleh setiap warga Malaysia.
  2. Persaingan politik antara parti dan kumpulan merupakan suatu perkara normal dan perlu diraikan, namun biarlah ia berlangsung dalam suasana yang aman harmoni serta berlandaskan amalan politik matang. Politik kebencian yang menabur fitnah serta disulami gejala kafir-mengkafir tidak akan menatijahkan hasil yang positif kepada agama, bangsa dan negara.
  3. Adalah dinasihatkan juga supaya kita tidak menimbulkan sebarang provokasi dan memainkan sentimen secara melampau yang boleh menyebabkan kegusaran dan kegemparan dalam masyarakat.
  4. Pada masa yang sama, kita perlu berdiri teguh sebagai suatu umat dalam mempertahankan institusi dan perundangan Syariah daripada diperlekeh dan diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak. Kita juga perlu menggembleng seluruh kekuatan merentasi sempadan kepartian dalam mengangkat kewibawaan undang-undang Islam, agar ia sentiasa teguh dan kalis daripada sebarang percubaan untuk melemahkannya.

Wallahu a'lam

Rujukan:

[1]Rujuk:https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/11/1179591/isu-bidang-kuasa-bukan-cabar-perundangan-syariah (Diakses pada 30 November 2023).

[2] Rujuk al-Tabsir fi al-Din wa Tamyiz al-Firqah al-Najiyah ‘an al-Firaq al-Halikin oleh Syeikh al-Isfarayini, hal. 180

«أَن كل من تدين بِهَذَا الدّين الَّذِي وصفناه من إعتقاد الْفرْقَة النَّاجِية فَهُوَ على الْحق وعَلى الصِّرَاط الْمُسْتَقيم فَمن بدعه فَهُوَ مُبْتَدع وَمن ضلله فَهُوَ ضال وَمن كفره فَهُوَ كَافِر»

[3] Rujuk Qawaʿid al-Tasawwuf oleh Sidi Ahmad Zarruq, hal. 31 (Kaedah ke-85)

[4] Rujuk Isu Kafir-Mengkafir dan Implikasinya dalam Perkembangan Politik dan Sosial Masyarakat Melayu oleh Ahmad Zaki Hj Abd. Latiff Jurnal Usuluddin, Bil 17 [2003], hal. 20.

[5] Rujuk al-Insaniyyah Qabla al-Tadayyun oleh Habib Ali Zain al-’Abidin al-Jufri (2015) Abu Dhabi: Dar al-Faqih, Cetakan Pertama, hal. 313

[6] Rujuk Fatwa Berkenaan Tuduhan Kafir-Mengkafir oleh Sahibus Samahah Sayyid Yusuf bin Ali az-Zawawi (2018) Pulau Pinang: Baytul Hikma, hal. 2

[7] Ibn ‘Abbas, Tafsir Ibn ‘Abbas, (Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, t.c, t.t), 1/84.

{لَا يحب الله الْجَهْر بالسوء} بالشتم {مِنَ القَوْل إِلاَّ مَن ظُلِمَ} فقد أذن لَهُ بِالدُّعَاءِ وَيُقَال وَلَا من ظلم {وَكَانَ الله سَمِيعاً} لدعاء الْمَظْلُوم {عَلِيماً} بعقوبة الظَّالِم نزلت فِي أبي بكر شَتمه رجل

[8] Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir fi al- Aqidah wa al-Syari‘ah wa al-Manhaj, (Damsyik: Dar al-Fikr al-Mu‘asir, cetakan ke-2, 1418H), 6/7-8.

والذي يقتضيه ظاهر الآية أن للمظلوم أن ينتصر من ظالمة، ولكن مع اقتصاد إن كان مؤمنا.

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...