104 : SEBATAN DI KHALAYAK : MENCEGAH JENAYAH, MEMULIHKAN PESALAH

 104 : SEBATAN DI KHALAYAK : MENCEGAH JENAYAH, MEMULIHKAN PESALAH

 

Mukadimah

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 12 Julai 2017 telah meluluskan dengan sebulat suara Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017). Undang-undang itu antara lainnya menambah peruntukan berkaitan khidmat komuniti sebagai hukuman alternatif yang bersifat mendidik,[1] kuasa kepada pegawai penguat kuasa agama menggunakan gari ke atas suspek, dan membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan. Selain itu, RUU berkenaan membolehkan hukuman sebatan syarak dijalankan di khalayak ramai.[2]

Keputusan ini menarik pelbagai reaksi masyarakat tentang perlaksanaan hukuman sebat di khalayak awam. Sebahagian pihak menganggapinya secara negatif dengan mendakwa ianya menghina, dan tiada belas kasihan.[3] Manakala pihak lain mendakwa peraturan itu kuno dan kejam serta akan menjejaskan sektor perlancongan.[4] Bahkan ada pihak yang percaya bahawa hukuman tersebut adalah kejam, tidak berperikemanusiaan dan menghina yang melanggar larangan terhadap penyeksaan dalam perjanjian hak asasi manusia antarabangsa yang ditandatangani Malaysia serta tidak memiliki potensi pemulihan.[5]

Sebahagian lain pula berkata keputusan berkenaan hanya melibatkan rakyat Kelantan yang beragama Islam sahaja.[6] Maka, ia tidak melibatkan negeri-negeri lain dan masyarakat bukan Islam di Kelantan. Manakala yang lain beranggapan isu ini tidak perlu dipolemikkan kerana perlaksanaan di khalayak sudah lama dilakukan di negeri lain seperti di Sabah.[7]

Melihat kepada reaksi masyarakat di atas, kami berasa terpanggil untuk menyatakan pendirian dan menjelaskan salah faham terhadap hukuman sebatan berdasarkan lensa Islam. Kami tajukkan perbincangan ini dengan nama, “Bayan Linnas Siri ke- 104 : Sebatan di Khalayak : Mencegah Jenayah, Memulihkan Pesalah.” Kami penjelasan ini dapat membuka fikiran sebahagian pihak yang masih prejudis terhadap sistem undang-undang Islam dan cuba menafikan kedudukan Islam sebagai agama persekutan di bawah Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

Definisi Sebatan Syarak

Perkataan sebatan ini atau dalam Bahasa Arabnya al-jald diambil daripada perkataan al-jild yang membawa maksud kulit. Menurut Ibn Manzur Rahimahullah (w.711H), perkataan al-jald adalah kata terbitan daripada perkataan asalnya yang membawa maksud pukulan atau deraan.[8] Imam Ibn Qudamah Rahimahullah (w.629H) menjelaskan bahawa al-jald boleh difahami sebagai memukul dengan cemeti (al-sawt)[9]

Kami sendiri pernah menyaksikan bentuk sebatan dan caranya seperti yang dijelaskan oleh mereka yang bertanggungjawab untuk melaksanakannya di negara luar. Justeru, kami menyimpul bahawa terdapat perbezaan ketara antara sebatan syarak dan sebatan sivil. Sebatan dalam Islam bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan kesalahan.

  1. Ciri-Ciri Alat Pukulan

Imam al-Syaukani (w.1250H) menghuraikan ciri-ciri cemeti yang digunakan untuk sebatan sebagai satu ranting bersaiz sederhana, tidak terlalu baru atau lama. Panjangnya adalah satu hasta dan ukur lilitnya adalah sebesar satu jari.[10]

Di bawah Seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560), dinyatakan bahawa alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

  1. Kaedah Sebatan

Imam Ibn Taimiyyah Rahimahullah  (w.728H) menjelaskan kaedah sebatan iaitu dengan satu bentuk pukulan yang sederhana (tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan) dengan menggunakan cemeti yang sederhana (tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan).[11]

Secara ringkasnya, dinyatakan beberapa syarat utama perlaksanaan kaedah sebatan itu sebagaimana yang terkandung di bawah Seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560).

  • Sebelum dilaksanakan, pesalah mesti diperiksa oleh seorang pegawai perubatan kerajaan untuk diperakui bahawa kesihatannya dalam keadaan baik untuk menjalani hukuman itu.
  • Jika pesalah sedang hamil, hukuman hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh 2 bulan selepas melahirkan atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan.
  • Hukuman hendaklah dilaksanakan di depan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan.
  • Orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman hendaklah adil dan matang.
  • Orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.
  • Selepas satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya.
  • Sebatan boleh dibuat ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit.
  • Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak.
  • Jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dibuat dalam keadaan dia berdiri dan bagi perempuan, dalam keadaan duduk.
  • Jika semasa perlaksanaan hukuman sebat itu pegawai perubatan kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, hukuman hendaklah ditangguhkan sehingga diperakui semula tubuhnya sihat.

Selain itu, sebatan ditekankan agar tidak boleh mengenai muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit dan ianya secara pasti tidak melukakan pesalah. Melihat kepada huraian di atas, dapat kita fahami bahawa sebatan dalam Islam adalah pukulan menggunakan alat yang tertentu dan dikhususkan tanpa menembusi isi serta tulang dengan menggunakan tenaga secara sederhana.

Ia sama sekali berbeza dengan sebatan sivil yang merupakan pukulan kuat yang terhasil daripada hayunan yang tinggi serta difokuskan kepada satu bahagian tubuh badan sahaja yang pastinya akan menembusi kulit.

 

Perintah Hadir Perlaksanaan Had

Di dalam al-Quran Allah S.W.T apabila menceritakan hukuman had ke atas pelaku zina iaitu sebatan sebanyak 100 kali, turut memerintahkan kepada kelompok kaum muslimin untuk sama-sama menghadiri proses perlaksanaan hukuman tersebut. Ini dapat dilihat di dalam firman-Nya yang menyebut:

وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: "...maka hendaklah sekelompok manusia dari kalangan orang beriman menyaksikan hukuman keduanya (penzina lelaki dan perempuan)."

(Surah al-Nur: 2)

Kata Syeikh Tahir Ibn ‘Asyur Rahimahullah (w.1393H) dalam tafsirnya:

“Allah S.W.T memerintahkan kelompok kaum muslimin untuk menghadiri perlaksanaan had zina sebagai tahkik akan telah tertegaknya hukum had, juga sebagai ancaman ke atas sikap bermudah-mudahan dalam melakukannya. Ini kerana, sesuatu yang dilakukan secara tersembunyi adalah merupakan jalan untuk ia dilupakan. Sekiranya umat islam tidak menyaksikan perlaksanaan hukuman tersebut, boleh jadi mereka akan tertanya-tanya ke atas ketiadaan perlaksanaan tersebut.

... Pada arahan ini juga terdapatnya faedah lain iaitu, di antara maqasid hudud bersama-sama dengan hukuman ke atas penjenayah adalah supaya menimbulkan ketakutan ke atas orang lain. Dan dengan kehadiran sekumpulan orang beriman, maka yang hadir dapat mengambil peringatan serta menjauhinya (jenayah) serta akan tersebarlah bicara mengenainya apabila yang hadir menyampaikannya kepada yang tidak hadir.

Kelompok yang dimaksudkan di dalam ayat adalah:  sekelompok manusia. Namun para ulama berbeza pendapat tentang kadar bilangan manusia yang hadir tersebut. Pada zahirnya, ia adalah bilangan yang begitu ramai sehingga boleh menyebabkan maklumat tersebar dengan meluas dan ini berbeza berdasarkan tempat. Pendapat yang masyhur di sisi Imam Malik, jumlah khalayak yang hadir adalah dua orang ke atas. Pendapat lain pula mengatakan: 10 orang.”

Rujuk Al-Tahrir wa Al-Tanwir (19/252)

Imam Mujahid bin Jabr Rahimahullah (w.104H) berpendapat bahawa yang dituntut untuk hadir adalah seorang lelaki dan lebih dari itu sehingga ke jumlah seribu orang. Manakala Syeikh Ibn Zaid Rahimahullah pula berpendapat bahawa jumlah yang hadir menyaksikan perlaksanaan had itu mestilah seramai empat orang sebagai qiyas kepada saksi zina. Inilah juga pendapat Imam Malik dan Imam Al-Syafie Rahimahumallah. Rujuk Tafsir al-Qurthubi (12/148).

Para fuqaha berbeza pendapat tentang perintah ke atas orang beriman untuk hadir ke perlaksanaan hudud daripada ayat tersebut, adakah ia membawa hukum wajib ataupun sunat. Berikut merupakan perincian terhadap isu tersebut: Zahir perintah dalam ayat tersebut menunjukkan akan kewajipan hadir.

Mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat bahawa wajib dilaksanakan hukuman semua hukum had di tengah khalayak manusia berdasarkan zahir ayat Surah al-Nur di atas. Ini kerana tujuan hukuman had adalah mencegah manusia daripada melanggar hukum. Manakala mazhab Syafie dan Maliki mengatakan hukum hadirnya jamaah adalah mustahab dan paling kurang adalah empat orang yang menyaksikan.

Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (5391/7) oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaili (w.1436H)

Hikmah Pensyariatan Sebat Di Khalayak Ramai

Kata Imam al-Qurtubi Rahimahullah (w.671H) : “Para ulama berbeza pendapat tentang maksud kehadiran orang yang ramai. Adakah maksudnya berlaku hanya kepada para penzina dan menghinanya dengan kehadiran orang ramai. Jika begitu, ia akan menghalang individu yang dikenakan hukuman had (dari terus melakukannya). Sesiapa yang hadir, melihat dan mengambil pelajaran, serta menjauhi perbuatan tersebut di samping menyebarkan apa yang berlaku maka ia akan menjadi pengajaran selepas itu.” Rujuk al-Jami` li Ahkam al-Quran (12/111)..

Kata beliau lagi, terdapat pendapat yang menyatakan: Tidaklah yang melihat hukuman tersebut dilakukan golongan yang tidak berhak mendapat ta’dib (pendidikan).

Ini menunjukkan bahawa hikmah paling utama menghadiri perlaksanaan hukum had adalah untuk mendapat pendidikan dan pengajaran daripada hal tersebut. Supaya kelompok manusia yang hadir merasa gerun untuk melakukan maksiat yang sama, serta memberi pengajaran kepada mereka.

Manakala Imam Ibn Kathir Rahimahullah (w.774H) pula berkata: (Perintah ke atas orang ramai untuk hadir itu adalah) supaya menjadi peringatan dan ibrah (pengajaran) pada orang lain. Lihat Tafsir al-Quran Al-Azhim, Ibn Kathir (3/254).

Imam Al-Baidhawi Rahimahullah (w.685H) pula memberikan hikmah yang sedikit berbeza dengan katanya: Perintah disaksikan perlaksanaan had itu adalah sebagai menambahkan lagi hukuman. Ini kerana, pendedahan atau tersebarnya berita tentang jenayah dan maksiat yang dilakukan itu boleh jadi lebih berat berbanding hukuman yang dikenakan. Rujuk Tafsir al-Baidhawi, ‘Ali Al-Baidhawi (4/98).

Imam Ibn Abi Hatim (w.327H) pula menukilkan sebuah riwayat daripada seorang tokoh ulama yang bernama Nasr bin ‘Alqamah apabila ditanyakan berkenaan ayat ke-2 dalam surah al-Nur tersebut beliau berkata: (Perintah) yang demikian itu bukanlah untuk memalukan dalam erti kata mendedahkan maksiat yang mereka lakukan, akan tetapi supaya Allah S.W.T memberikan mereka itu untuk bertaubat dan kasih sayang-Nya. Lihat Tafsir Ibn Abi Hatim (8/2518).

 

Maqasid dan Hikmah Perlaksanaan Sebat Secara Terbuka

Kami kemukakan di sini beberapa pendapat ulama yang tersohor pada masa dahulu tentang tujuan, hikmah dan falsafah perlaksanaan undang-undang jenayah Islam.

 

  • Imam al-Syatibi rahimahullah (w.790H):

“Sememangnya ada dalam syariat itu perkara yang mendatangkan kesusahan bagi mukallaf. Tetapi, bukan tujuan Syari` (Penggubal hukum, yakni Allah) untuk mendatangkan kesusahan tersebut, sebaliknya, tujuan Syari` adaah untuk mendatangkan maslahat dan menolak mafsadah. Ini boleh dilihat adalah pensyariatan qisas, dan hukuman-hukuman yang diwujudkan untuk mencegah tindakan-tindakan yang terlarang. Sesungguhnya hukuman itu tujuannya adalah untuk menundukkan pelakunya, menghalangnya daripada melakukan kesalahan yang sama, dan menasihati orang lain daripada terjebak dengan kesalahan yang sama.

Sebenarnya, balasan ini yang bentuknya menyakitkan dan menyusahkan serupa dengan keadaan tangan pesakit yang memakan diri sendiri (seperti penyakit kencing manis, kanser, dll.) dan meminum ubat yang tidak sedap lagi memerit dan menyesakkan. Tidak pula dikatakan pada doktor bahawa dia memang sengaja menyakitkan pesakit itu dengan rawatan tersebut. Maka, begitu jugalah hukuman syarak. Sesungguhnya Syari` itu adalah doktor yang paling agung!.”

Rujuk al-Muwafaqat (2/256)

  • Syah Waliyullah al-Dahlawi (w.1176H):

Ketahuilah bahawa ada maksiat yang disyariatkan Allah ke atasnya hukuman tertentu (bagi pelakunya), Ini kerana setiap maksiat itu terhimpun padanya mafsadah dengan sudut yang pelbagai.

Ada mafsadah berbentuk kerosakan di atas muka bumi dan gangguan terhadap ketenangan manusia. Ada pula maksiat bersifat rangsangan (naluri) yang sedia ada dalam jiwa anak Adam yang tidak mungkin hilang. Ada pula maksiat yang mendatangkan ketagihan, sehingga para pelakunya tidak mampu mencabut ketagihan itu daripada jiwa mereka apabila sudah meminumnya.

Maksiat-maksiat itu mempunyai mudarat yang kebiasaannya tidak mampu dielakkan oleh orang yang dizalimi. Inilah yang banyak terjadi dalam kalangan manusia.

Maksiat-maksiat seperti ini tidak cukup hanya dengan ancaman azab di akhirat, tetapi mesti ditegakkan hukuman cercaan yang keras dan mendatangkan kesakitan ke atas pelakunya, supaya dilaksanakan hukuman itu di hadapan mata manusia, maka wujud ketakutan ke atas mereka yang berkeinginan melakukan maksiat itu (lalu mereka meninggalkan keinginan terbabit.)”

Rujuk Hujjatullah al-Balighah (2/244)

  1. Syeikh Syakib Arsalan rahimahullah (w.1366):

“Adapun kelazatan-kelazatan yang tidak dibenarkan Syarak, Daulah Saudi memiliki keistimewaan dalam menegahnya, menutup pintu-pintunya, dan mereka berpegang teguh dengan perkara ini.”

Rujuk al-Irtisamat al-Lattaf (hal.127)

Umum mengetahui bahawa Kerajaan Arab Saudi membenarkan rakyatnya hadir untuk melihat sendiri perlaksanaan undang-undang jenayah ke atas pesalah.

 

 

Pendapat Ilmuan Kontemporari

 

  • Bekas Hakim Mahkamah Mesir, Syeikh Abdul Qadir Audah rahimahullah (w.1374)

 

 “Perlaksanaan hukuman (bagi kesalahan zina secara terbuka) berasal daripada Syariat, berdasarkan firman Allah: وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ. Ini jua sejalan dengan perlaksanaan dalam sunnah (Rasulullah SAW), sama ada bagi hukuman mati atau selainnya. Syariat ini bertepatan dengan banyak undang-undang sivil. Undang-Undang negara Mesir sendiri dahulunya mewajibkan perlaksanaan hukuman mati secara terbuka kerana diambil daripada pelbagai undang-undang Eropah, kemudian cara ini ditukar, tetapi Peracis masih lagi mengamalkannya (yakni pada masa kitab ini ditulis).”

Rujuk Tasyri` al-Jina’ie al-Islami (1/764)

 

  • Syeikh Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili rahimahullah:

 “Hukuman-hukuman di dalam Syariat tidaklah bertujuan untuk mengkasari, menyeksa, atau mengazab orang yang bersalah seperti yang disangka oleh sebahagian manusia. Sebenarnya jenayah-jenayah ini menghasilkan bahaya yang meruntuhkan struktur masyarakat itu sendiri. Oleh sebab itu, terlebih munasabahlah adanya satu hukuman yang menegah pelaku jenayah dan seumpamanya, yang boleh memadamkan terus jenayah tersebut dan mengusir terus para penjenayah, serta mendatangkan keamanan dalam masyarakat dan mengekalkannya.

Ini telah berlaku secara realiti dalam perlaksanaan syariat yang menghasilkan keamanan di negara Saudi sehingga tiada keamanan yang setanding keamanan itu di dunia sekalipun daripada negara-negara yang melaksanakan hukuman sivil dalam bentuk penjara dan sebagainya. Telah sabit dalam sejarah bahawa masyarakat Islam apabila dilaksanakan syariat, mereka akan hidup aman tenteram tiada risau pada harta benda, kepentingan-kepentingan, dan perjalanan kehidupan mereka, sehingga penjenayah sendiri redha apabila dijalankan hukuman ke atas dirinya, kerana cenderung hatinya untuk membersihkan diri dan menebus dosanya.”

Rujuk Fiqh al-Islami wa Adillatuh (4/3143-3144)                      

 

  1. Syeikh Abdullah bin Bayyah hafizhahullah

Beliau pernah menekankan aspek hukuman di dalam Islam dan pernah memuji kesungguhan kerajaan Arab Saudi melaksanakan sistem jenayah syariah:

“Umum mengetahui bahawa perbuatan jenayah itu muncul sebagai maksiat terhadap Allah Taala dan penyelisihan dengan apa yang diperintahkan-Nya. Ia tidak terkait secara langsung dengan hak anak Adam tetapi memiliki kaitan tidak langsung kerana setiap pencerobohan hak makhluk itu adalah maksiat kepada Allah sedangkan bukan sebaliknya. Maka, ada maksiat yang tiada kena mengena dengan makhluk seperti perbuatan meninggalkan amalan-amalan fardu dan minum benda yang memabukkan. Hukuman bagi itu secara hakiki, hanyalah untuk memelihara masyarakat dengan kawalan terhadap keluhuran akhlak. Tanpa hukuman itu, masyarakat akan hidup dalam budaya yang penuh dengan kekerasan dan suburlah benih kebencian dan dendam.”

“Contoh kontemporari bagi perlaksanaan syariat adalah Kerajaan Arab Saudi. Mereka menjalankan Syariat Islam berdasarkan nas-nas Syarak dan maqasidnya yang menjadi asas yang kukuh, tanpa kompromi padanya, dan itulah yang diterima. Kerajaan Saudi juga adalah anggota dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sedangkan al-Quran adalah perlembagaan Negara Arab Saudi.”

Rujuk Khitab al-Amn fi al-Islam wa Thaqafah al-Tasamuh wa al-Wi’am (hal. 60 & 81)

  1. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi hafizhahullah:

Beliau pernah mengkritik hukuman sebat yang tidak syarie:

“Kebanyakan pemerintah cuba menggagalkan perlaksanaan hukuman syarak terhadap penzina, peminum arak, pencuri dan penuduh zina atas dakwaan ianya kejam dan keras. Tindakan mereka ini pantas seperti mana usaha mereka menghalalkan sebatan ke atas tubuh dengan cemeti sehingga darah bercampur degan daging.”

Rujuk Halal dan Haram dalam Islam[12] (hal. 512)

 

Daripada sudut berbeza, kami nyatakan pendapat Dr. Herman Pilipenko dari Siberia menyatakan bahawa merotan akan melepaskan endorphins daripada otak di mana ia akan membuatkan orang yang ketagihan arak bebas dari ketagih. Ini menyebabkan mereka akan serta-merta berhenti dari meminum arak. Rujuk Daily Mail 7 Januari 2013.

Ini menunjukkan bahawa hukuman sebat bukanlah diturunkan semata untuk menyakitkan, akan tetapi manfaat yang lebih dari itu ia mampu mencegah si pelaku dari terus melakukan perbuatan tersebut. Bahkan, jika undang-undang ini mula dilaksanakan, kita patut berharap agar tiada seorang pun yang dijatuhi hukuman ini kerana masyarakat sedar kesan buruknya bagi kehidupan mereka di dunia dan di akhirat.

Oleh sebab itu, kami berasa hairan dengan sebahagian pihak yang menuduh sebatan syarak sebagai kejam, menghina dan tidak berperikemanusiaan sebaliknya diam daripada mengkritik sebatan sivil yang lebih mencederakan, menghina dan memalukan kerana mendedahkan aurat dan alat sulit serta lebih kejam.

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan negeri-negeri lain yang komited dalam merancang dan melaksanakan undang-undang jenayah Islam secara adil dan professional. Kami berharap agar semua pihak dapat bekerjasama dalam perlaksanaan undang-undang Islam agar buah hasilnya dalam bentuk keamanan, kejayaan dan keselamatan dapat dirasai bersama. InsyaAllah. Sikap dan pendirian kerajaan untuk mewujudkan badan yang menyelaras dalam mempertingkat kedudukan institusi mahkamah syariah dan yang terkai dengannya adalah amat dialukan.

Kami juga menyeru agar pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan hukuman sebat syarak untuk menyelidik dan bertabayyun terlebih dahulu daripada badan berautoriti Islam sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak adil dan menimbulkan perpecahan. Kita kesal kerana mereka yang mengkritik terdiri daripada bijak pandai tetapi gagal mendapatkan tasawwur sebenarnya perlaksanaan sebat mengikut syarak dan bersikap prejudis terhadap apa-apa yang dikaitkan dengan sistem keadilan jenayah Islam.

 

Akhukum fillah,

S.S. Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri,

Mufti Wilayah Persekutuan,

26 Julai 2017 bersamaan 2 Zulkaedah 1438H

 

Rujukan:

[1] http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1372110

[2] http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1371735

[3] https://www.malaysiakini.com/news/374396

[4] https://www.malaysiakini.com/news/388376

[5] https://m.malaysiakini.com/news/389062

[6] http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1372040

[7] http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1372692

[8] Ibn Manzur. Lisan al-‘Arab (Beirut: Dar al-Sadr, 1955), jil. 12, m. 25.

[9] Ibn Qudamah. Al-Mughni wa Yalihi Sharh al-Kabir (Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, t.t.), jil. 10, m 28.

[10] Al-Syaukani. Nail al-Autar Sharh Muntaqa al-Akhyar (Beirut: Dar al-Fikr, 1983), jil. 7, m. 285.

[11] Ibn Taimiyyah. Al-Siyasah al-Shar’iyyah fi Islahi al-Ra’i wa al-Ra’iyyah (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Arabiyyah, 1966), hal. 101.

[12] Terbitan PTS Publication tahun 2016.

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...