62: AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN...

 62: AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN...

 

Mukadimah

Alhamdulillah, Ramadhan hampir menjelma. Marilah sama-sama kita menginsafi diri kita seterusnya menjadi yang terbaik dalam kesempatan yang ada dalam menyambut Ramadhan al-Mubarak.

Pada siri Bayan Linnas kali ini dan bersempena dengan kedatangan Ramadhan, kami kemukakan satu tajuk untuk tatapan para pembaca yang berjudul Ahlan wa Sahlan Ya Ramadhan.

Pertamanya, kita berdoa kepada Allah ﷻ supaya kita diberikan kebarkatan, keimanan, keselamatan untuk kita menjadi benar-benar mampu untuk menempuhi Ramadhan dengan  acara-acara ibadah dan antaranya yang dapat kami sebutkan di sini dalam menyambut kedatangan Ramadhan ialah:

  • Anas bin Malik RA berkata: “Rasulullah ﷺ berdoa sebaik sahaja datangnya bulan Rejab.”

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ

Maksudnya: “Ya Allah berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Sya’ban serta berkatilah kami juga pada bulan Ramadhan”

Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya (2346)

 

  • Daripada Talhah bin Ubaidillah RA, Rasulullah ﷺ berdoa apabila melihat anak bulan Ramadhan.

اللهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلامَةِ وَالْإِسْلامِ، رَبِّي وَرَبُّكَ اللهُ

Maksudnya: “Ya Allah, naungilah kami dengan keamanan dan keimanan serta keberkatan, keselamatan dan kesejahteraan. Tuhanku dan tuhanmu adalah Allah.”

Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya (1397). Syeikh Ahmad Syakir mengatakan isnadnya hasan manakala Syeikh Syu’aib al-Arnaut mengatakan hadith ini hasan dengan syawahid yang lain.

 

  • Begitu juga dikatakan ramai di kalangan salaf al-soleh berdoa untuk mendapatkan Ramadhan supaya diisi dengan pelbagai amalan yang soleh. Antara doa mereka ialah:

اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا

Maksudnya: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).”

Diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Du’a (913) dan Abu Nu’aim al-Asbahani di dalam Hilyah al-Auliya’ (3/69)

 

 

Sikap Kita…

Hendaklah kita merasa gembira dengan Ramadhan yang bakal menjelma dengan tawaran tuhan yang lumayan. Sebaliknya golongan munafiq pula merasa gelisah, buntu dengan Ramadhan. Maka benarlah sabda Nabi ﷺ :

أَظَلَّكُمْ شَهْرُكُمْ هَذَا بِمَحْلُوفِ رَسُولِ اللهِ، مَا مَرَّ بِالْمُؤْمِنِينَ شَهْرٌ خَيْرٌ لَهُمْ مِنْهُ، وَلَا بِالْمُنَافِقِينَ شَهْرٌ شَرٌّ لَهُمْ مِنْهُ، إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ لَيَكْتُبُ أَجْرَهُ وَنَوَافِلَهُ مِنْ قَبْلِ أَنْ يُدْخِلَهُ، وَيَكْتُبُ إِصْرَهُ وَشَقَاءَهُ مِنْ قَبْلِ أَنْ يُدْخِلَهُ

Maksudnya: “Allah SWT naungkan kepada kamu dengan berlabuhnya bulan Ramadhan ini dengan Rasulullah  bersumpah: “Tiadalah berlalu ke atas orang Islam bulan yang lebih baik bagi mereka daripada bulan Ramadhan dan tidaklah kepada munafiq itu lebih teruk daripada bulan Ramadhan. Sesungguhnya Allah  menulis pahala ganjarannya sebelum menjelmanya bulan dan juga menulis dosa serta kehinaan sebelum masuknya bulan Ramadhan.”

Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya (8870) & Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya (1884). Sanadnya dho’if kerana terdapatnya Tamim maula Abu Rumanah.

 

 

Cara Menyambut Ramadhan

Terdapat beberapa cara untuk kita menyambut kedatangan Ramadhan agar kedatangannya memberikan rahmat dan keberkatan buat kita. Antara yang dapat kami nyatakan di sini ialah:

  1. Perbaiki Niat

Firman Allah SWT:

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ

Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya”.

(Al-Bayyinah: 5)

 

Tanpa niat maka ianya tidak dikira sebagai ibadah boleh jadi hanya menjadi adat kebiasaan sahaja. Persiapkan niat kita untuk mengahadapi Ramadhan ini hanya kerana Allah ﷻ. Jika jantung hati telah terfokus hanya untuk mencari keredhaan Allah ﷻ maka amal perbuatannya selepas itu akan menjurus kepadanya juga.

Memperbaiki niat bukanlah sesuatu yang mudah semudah mengucapkannya di bibir, para salaf juga tidaklah terlepas dari kepayahan ini. Sufyan al-Thauri Rahimahullah meskipun dengan kehebatan ilmu dan kewarakannya juga pernah berkata: “Tidaklah pernah aku merawat sesuatu yang paling sukar melainkan niatku (untuk ikhlas kepada Allah)”. Jika beginilah keadaannya Sufyan al-Thauri apatah lagi kita?

 

  1. Berdoa

Jika kita melihat perihal golongan salaf dalam menyambut Ramadhan, antara yang diamalkan oleh mereka adalah dengan berdoa. Begitu juga dengan Nabi ﷺ yang mana di dalam sebahagian hadith  meriwayatkan mengenai perihal doa Nabi ﷺ untuk diberkati di dalam bulan Ramadhan dan juga ketika melihat anak bulan Ramadhan. Antara doa-doanya telah kami sebutkan pada perbincangan di atas.

Meskipun sesetengah hadith tersebut tidak mencapai taraf sahih namun ianya boleh diamalkan berdasarkan keumuman berdoa selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syarak dan mestilah tidak menyandarkan doa tersebut pada Nabi ﷺ.

Al-Imam Ibn Rejab al-Hanbali Rahimahullah di dalam kitabnya, Lataif al-Ma’arif menukilkan daripada Ma’la bin al-Fadhl: “Adalah mereka (golongan salaf) berdoa kepada Allah  selama enam bulan supaya disampaikan kepada mereka bulan Ramadhan dan enam bulan lagi supaya Allah  menerima daripada mereka amalan mereka”.

Beliau juga menyebut daripada Yahya bin Abi Kathir iaitu di antara doa para salaf itu ialah: “Ya Allah, selamatkanlah (sampaikanlah) diriku hingga ke bulan Ramadhan, terimalah (pahala) Ramadhan untukku dan perkenankanlah amalanku di bulan Ramadhan”.

 

  1. Memperbanyakkan Membaca Al-Quran

Ramadhan adalah bulan yang amat istimewa. Di dalamnya diturunkan Al-Quran yang menjadi petunjuk buat sekalian manusia. Firman Allah ﷻ:

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ

Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. 

(Al-Baqarah: 185)

Di dalam sebuah hadith riwayat Abu Hurairah RA menyebutkan:

أن جبريل كان يعْرضُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ كُلَّ عَامٍ مَرَّةً ، فَعرضَ عَلَيْهِ مَرَّتَيْنِ فِي الْعَامِ الَّذِي قُبِضَ فيه

Maksudnya: Sesungguhnya Jibril akan mengulang bacaan Al-Quran bersama Nabi  pada setiap tahun sekali dan ketika tahun kewafatan Nabi , Jibril mengulangnya sebanyak dua kali.

Riwayat Al-Bukhari (4998)

 

Mari kita lihat keadaan salaf dalam mengagungkan Al-Quran ketika bulan Ramadhan, semoga dengannya dapat membangkitkan semangat kita dalam beramal soleh:

  • Ibrahim al-Nakha’i Rahimahullah meriwayatkan bahawa al-Aswad mengkhatamkan bacaan Al-Quran dalam bulan Ramadhan setiap dua malam sekali. [Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 4/51]
  • Adalah Qatadah Rahimahullah mengkhatamkan Al-Quran pada setiap tujuh hari sekali. Ketika tibanya Ramadhan, beliau mengkhatamkan Al-Quran pada setiap 3 hari sekali. Manakala ketika tibanya sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan, beliau mengkhatamkan Al-Quran sekali pada setiap hari. [Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 5/276]
  • Daripada Mujahid Rahimahullah bahawasanya beliau mengkhatamkan Al-Quran pada bulan Ramadhan sebanyak sekali pada setiap malam. [Lihat Al-Tibyan li al-Nawawi, hlm. 74]
  • Telah berkata al-Rabe’ bin Sulaiman Rahimahullah bahawa al-Imam al-Syafi’e Rahimahullah mengkhatamkan Al-Quran sebanyak enam puluh kali pada bulan Ramadhan di luar bacaan solat. [Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 10/36]
  • Al-Imam Malik Rahimahullah apabila tibanya bulan Ramadhan, beliau meninggalkan majlis pembacaan hadith dan beralih kepada Al-Quran.
  • Al-Imam Al-Zuhri Rahimahullah apabila tiba bulan Ramadhan mengatakan: “Bulan ini adalah bulan tilawah (membaca Al-Quran) dan memberi orang makan”.

Begitulah keadaannya para salaf apabila tibanya bulan Ramadhan, mereka mengagungkannya dengan membaca serta mengkhatamkannya.

 

  1. Bersedekah & Memberi Makan

Dalam sebuah hadith riwayat al-Imam al-Bukhari Rahimahullah, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ، حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ‏

Maksudnya: Adalah Nabi  seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan ketika Jibril AS bertemu dengannya. Adalah Jibril AS bertemu dengan Nabi  pada setiap malam pada bulan Ramadhan untuk mengulangkaji Al-Quran dan kemudiannya Rasulullah  menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin yang pantas.

Riwayat Al-Bukhari (3554)

 

Banyaknya Nabi ﷺ bersedekah pada bulan Ramadhan  menunjukkan bahawa bersedekah pada bulan ini terdapat kelebihannya yang tersendiri. Dalam sebuah hadith riwayat Anas RA menyebutkan:

سُئِلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الصَّوْمِ أَفْضَلُ بَعْدَ رَمَضَانَ فَقَالَ: ‏‏ شَعْبَانُ لِتَعْظِيمِ رَمَضَانَ ‏.‏ قِيلَ فَأَىُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ قَالَ: ‏ صَدَقَةٌ فِي رَمَضَانَ ‏

Maksudnya: Ditanyakan Nabi  puasa apakah yang terbaik selepas Ramadhan?. Jawab Nabi : Puasa di bulan Sya’ban untuk mengagungkan Ramadhan. Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdhal. Jawab Nabi : Sedekah di bulan Ramadhan.

Riwayat Al-Tirmizi (663) dan al-Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini gharib.

 

Begitu juga dengan memberi makan dengan menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang lain. Ianya juga adalah dari jenis sedekah bahkan mempunyai ganjarannya yang tersendiri. Ini seperti mana yang telah diriwayatkan dalam sebuah hadith Rasulullah ﷺ yang mana Baginda telah bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Maksudnya: Siapa yang menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan tidak dikurangkan sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu.

Riwayat Al-Tirmizi (807) dan al-Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini hasan sahih.

 

  1. Qiyam

Qiyam yang dimaksudkan di sini ialah  dengan menghidupkan malam hari di bulan Ramadhan dengan beribadah kepada Allah ﷻ. Disunatkan bagi kita untuk menunaikan solat sunat yang dikenali dengan Solat Taraweh secara berjemaah ataupun bersendirian.  Terdapat sebuah hadith yang menceritakan tentang ganjaran bagi mereka yang menunaikan qiyam. Ianya sepertimana sabda Rasulullah ﷺ:

مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ قِيَامَ لَيْلَةٍ

Maksudnya: Barang siapa yang solat qiyam bersama imam sehingga selesai, maka Allah  telah memberikannya ganjaran qiyam sepanjang malam.

Riwayat Al-Tirmizi (806), Al-Nassa’ie (1605) & Ibn Majah (1327)

 

Maka rebutlah peluang ini serta ditambahkan lagi dengan amal-amal yang lain di siang harinya agar tawaran yang telah disediakan oleh Allah ﷻ ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh kita.

Telah berkata Dr. Sayyid al-Affani: “Kita mendapati golongan salaf yang terdahulu menyambut Ramadhan dengan taubat nasuha kepada Allah  dan kembali kepada-Nya dengan mengerjakan ketaatan, memperbaiki diri sama ada dalaman dan luaran, bersedia dengan bersungguh-sungguh untuk melakukan ibadah puasa, solat, membaca al-Quran, berzikir dan semua jenis ibadat.”

 

Penutup

Akhir kalam, ingin kami katakan di sini bahawa Ramadhan bakal membawa seribu satu macam kebaikan yang mana sudah barang pasti dapat dimanfaatkan oleh mukmin sejati sama ada amalan yang wajib atau yang sunat seperti tadarus al-Quran, qiyammullail, solat taraweh dan lain-lain. Begitu juga dengan mengkaji sejarah Ramadhan melalui kemenangan umat Islam sejak zaman Rasulullah ﷺ lagi sehingga kepada mutakhir ini. Sudah pasti kita dapati kemenangan Islam banyak berlaku pada bulan Ramadhan, seolah-olah mengisyaratkan kepada kita bahawa bulan Ramadhan memberi kekuatan kerohanian, spiritual dan juga semangat yang kental sehingga dapat melakarkan kemuncak kejayaan.

Sebenarnya isu tentang puasa, ibadat pada bulan Ramadhan amat banyak dan sentiasa terdapat permasalahan yang baru dan ianya amat memerlukan kita untuk menelaah dan mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan ibadat puasa dan ibadat-ibadat yang lain agar benar-benar menepati syariat Islam. Antara caranya untuk meningkatkan kefahaman mengenai hukum-hakam mengenai ibadah puasa ini adalah dengan membaca dan juga menghadiri kuliah-kuliah yang berkaitan serta jangan segan untuk bertanya kepada mereka yang layak.

Semoga dengan ketibaan Ramadhan pada kali ini akan menatijahkan taqwa dalam hati sanubari kita sehingga mendapat mardhatillah yang akhirnya melayakkan kita menjadi hamba yang rabbani. Ingatlah sabda Nabi ﷺ:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ 

Maksudnya: Siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah , maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.

Riwayat Al-Bukhari (38)

 

Oleh itu, marilah sama-sama kita menjadikan bulan Ramadhan al-Mubarak kali ini sebagai Madrasah Rohaniah dan Fikriyyah yang boleh melonjakkan kita ke persada kejayaan. Sekian, wassalam.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

3 Jun 2016 bersamaan 27 Sya’ban 1437H.

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...