90: BAHAYA 'BLUE WHALE CHALLENGE'
Mukadimah
Alhamdulillah, kami merafa’kan setinggi kesyukuran kepada-Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW begitu juga kepada keluarga, Sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari akhirat. Kami menerima persoalan berhubung Blue Whale Challenge yang menjadi fenomena di Rusia dan menyebabkan lebih 100 nyawa terkorban. Justeru, kami merasakan isu ini perlu dijawab dengan segera agar ia tidak membarah dan menjadi perkara yang boleh mengundang pelbagai isu dalam masyarakat khususnya golongan muda. Maka, atas dasar inilah kami namakan Bayan Linnas Siri Ke-90 ini dengan tajuk BAHAYA 'BLUE WHALE CHALLENGE'
Apakah Permainan Blue Whale?
Ia dikenali sebagai sebuah permainan, namun Cabaran Blue Whale adalah lebih jauh daripada sebuah permainan. Remaja yang menerima cabaran ini digalakkan untuk menamatkan siri-siri tugasan yang menakutkan dan diakhir permainan, pemain digesa untuk mengambil nyawa mereka sendiri untuk menang.
Cabaran Blue Whale ini mengambil masa 50 hari untuk ditamatkan dan kebiasannya dimainkan melalui laman web VKontakte, sebuah laman sosial popular di Rusia. Permainan ini mendapat nama berdasarkan kepercayaan bahawa paus biru secara sukarela menaikkan diri ke pantai bagi menamatkan riwayat hidup.
Permainan ini menarik minat remaja seawall 12 tahun di Rusia dan negara-negara Asia Tengah tetapi beberapa laporan yang menyatakan bahawa permainan ini mungkin tersebar merentasi Eropah dan masuk ke United Kingdom. Permainan ini telah disalahkan oleh media Rusia sebagai sebab utama mengapa 80 hingga 130 kanak-kanak membunuh diri pada November 2015 dan April 2016.
Senarai Lengkap Cabaran Blue Whale
Seorang pengguna laman sosial Reddit telah menyenaraikan tugasan-tugasan yang perlu ditempuhi dalam cabaran Blue Whale, yang diterjemahkan daripada Bahasa Rusia:
- Menoreh tangan dengan pisau cukur tuisan “f57”, hantar gambarnya kepada kurator.
- Bangun pada jam 4.20 pagi dan tonton video psikedelik (sesuatu yang membawa kepada halusinasi) dan seram yang dihantar oleh kurator.
- Lukakan lengan dengan pisau cukur sepanjang urat-urat anda – tidak terlalu dalam – hanya 3 torehan dan hantar gambarnya kepada kurator.
- Lukis gambar seekor paus pada sehelai kertas dan hantar kepada kurator.
- Jika anda telah bersedia untuk “menjadi ikan paus”, toreh “YES” pada kaki anda. Jika tidak bersedia, toreh diri anda banyak kali (sebagai hukuman).
- Tugasan berkaitan kod rahsia.
- Toreh “f40” pada tangan anda, hantar kepada kurator.
- Taip “#i_am_whale” pada status Vkontakte anda.
- Anda perlu mengatasi ketakutan anda.
- Bangun pada jam 4.20 pagi dan naik ke bumbung (lebih tinggi, lebih baik).
- Toreh gambar ikan puas pada tangan anda dengan pisau cukur dan hantar kepada kurator.
- Tonton video psikedelik dan seram sepanjang hari.
- Dengar muzik yang dihantar oleh kurator kepada anda.
- Lukakan bibir anda.
- Cucuk tangan anda dengan jarum banyak kali.
- Lakukan sesuatu yang menyakitkan kepada diri anda. Buatkan diri anda sakit.
- Naik ke bumbung tertinggi yang anda jumpa dan berdiri di penjurunya beberapa ketika.
- Pergi ke jambatan dan berdiri di penjurunya.
- Panjat kren atau sekurang-kurangnya cuba untuk memanjatnya.
- Kurator akan menyemak sekiranya anda boleh dipercayai.
- Berbual dengan “seekor paus” (pemain lain seperti anda / dengan kurator) melalui Skype.
- Naik ke bumbung dan duduk di sudutnya dengan kaki dihayunkan.
- Tugasan berkaitan kod rahsia.
- Tugasan rahsia.
- Pertemuan dengan “seekor paus”.
- Kurator akan memaklumkan tarikh kematian anda dan anda perlu menerimanya.
- Bangun pada jam 4.20 pagi dan pergi ke mana-mana landasan keretapi.
- Jangan bercakap dengan sesiapa sepanjang hari.
- Bersumpah bahawa “anda seekor paus”.
- Bangun pada jam 4.20 pagi setiap hari, tonton video-video seram, dengar muzik yang dihantar oleh kurator, lukakan badan anda sekali setiap hari, berbual dengan “seekor paus”.
- Terjun daripada bangunan yang tinggi / bunuh diri.
Cabaran Blue Whale Dari Sudut al-Qur’an dan Hadith
Terlalu banyak dalil daripada al-Quran dan al-Hadith berkenaan larangan membunuh diri. Perkara seperti ini nyata diharamkan oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”
(Surah al-Nisa’: 29)
Menurut Imam al-Qurtubi, “Ahli ta’wil bersepakat akan maksud ayat ini berkenaan larangan saling berbunuhan sesama manusia. Kemudian, lafaz ayat ini juga bermaksud seorang lelaki (atau perempuan) membunuh dirinya dengan niat tamak kepada dunia dan harta.”[1]
Firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “… Ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk…”
(Surah al-A’raf 7:157)
Sebahagian ulama’ menyatakan: “Semua yang dihalalkan Allah, adalah baik dan bermanfaat kepada badan dan agama. Semua yang diharamkan-Nya, adalah buruk dan memudaratkan kepada badan dan agama.”[2]
Perbuatan membunuh diri tidak ada kebaikan dan manfaat bahkan ianya adalah keburukan semata-mata. Ia adalah perbuatan yang membawa seseorang terjun ke lembah kebinasaan.
Firman Allah SWT:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)”
(Surah al-Baqarah 2: 195)
Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ فَحَدِيدَتُهُ فِي يَدِهِ يَتَوَجَّأُ بِهَا فِي بَطْنِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ شَرِبَ سُمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَحَسَّاهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَرَدَّى فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا
Maksudnya: Barangsiapa membunuh diri dengan menggunakan besi, maka tangannya akan melukai perutnya sendiri dengan besi itu di neraka jahanam dan dia kekal di dalamnya selama-lamanya. Barangsiapa membunuh diri dengan cara meminum racun, maka dia akan terus meminumnya di neraka jahanam dan ia kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan barangsiapa melompat dari tebing untuk bunuhdiri, maka ia akan terus terjatuh di neraka jahanam dan ia kekal di dalamnya selama-lamanya
(Riwayat Muslim, no. 175)
Nabi SAW bersabda:
وَمَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَيْءٍ عُذِّبَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu, diazabkannya pada hari kiamat.”
(Riwayat Muslim, no. 110)
Nabi SAW bersabda:
وَمَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَيْءٍ، عَذَّبَهُ اللهُ بِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ
Maksudnya: ““Barangsiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu, Allah mengazabkannya di neraka Jahannam.”
(Riwayat Muslim, no. 177)
Justeru, perbuatan melukakan diri apatah lagi membunuh diri bukanlah perkara yang dibenarkan di dalam Islam, mahupun logik akal sesiapa sahaja tanpa mengira agama.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Setelah meneliti permainan Blue Whale ini dari sudut peraturan, kaedah dan akibatnya, kami berpandangan ia adalah diharamkan dalam Islam. Disamping itu, ia juga adalah perbuatan yang sia-sia dan Islam menyeru untuk meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat bagi seseorang Muslim. Sabda Nabi SAW:
مِنْ حُسْنِ إِسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ
Maksudnya: “Sebahagian daripada keelokan Islam itu adalah meninggalkan apa yang tidak bermanfaat baginya.”
(Riwayat al-Tirmizi, no. 3)
Antara langkah untuk meninggalkan perkara yang sia-sia ialah tidak mengikut runtunan hawa nafsu. Seseorang mukmin dikira elok, indah dan tinggi akhlaknya apabila beliau hanya melakukan perkara-perkara yang berfaedah dan meninggalkan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Anjuran ini menyerlahkan ajaran lslam yang amat baik ke arah pembangunan umat. Sekiranya umat lslam meninggalkan perkara-perkara yang tidak berfaedah, nescaya umat Islam akan berjaya. Semoga umat Islam di Malaysia dan masyarakat Malaysia keseluruhannya terutama generasi muda tidak terpengaruh dengan permainan ini.
[1] Al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 5/156.
[2] Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-Azim, 3/488.
No comments:
Post a Comment