BAYAN LINNAS SIRI KE-241: HUKUM MEMINTA JAWATAN
Soalan
Assalamualaikum wbt. Boleh saya tahu apakah hukum meminta-minta atau demand position/jawatan dalam sesebuah organisasi? Tidakkah Islam melarang daripada meminta-minta jawatan kerana itu amanah yang berat? Mohon penjelasan tuan mufti.
Ringkasan Jawapan
Waalaikumussalam wbt. Hukum meminta jawatan tidak diharamkan secara syar’ie di dalam Islam, kerana larangan yang disebut dalam beberapa hadis tentang meminta jawatan bukanlah bersifat pengharaman (التحريم). Namun ia mempunyai had dan batasan yang perlu diikuti seperti tidak cintakan dunia dan tidak lemah pada kepimpinan.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas baginda Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat, serta orang-orag yang mengikuti jejak langkahnya sehingga hari akhirat. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), jawatan bermaksud kedudukan yang menentukan tugas seseorang. Mempunyai jawatan dan kedudukan juga kebiasaannya dikaitkan dengan tahap ketinggian posisi seseorang dalam sesebuah kumpulan atau organisasi, serta mempunyai kuasa untuk memutuskan sesuatu perkara dan mengarahkan tugas kepada orang yang berada dibawahnya.
Islam meletakkan beberapa garis panduan kepada umatnya berkenaan bab memegang amanah dan meminta jawatan. Tidak sewenang-wenangnya untuk terus mendapat sesuatu jawatan atau kedudukan begitu sahaja tanpa ilmu yang benar. Nabi SAW bersabda berkenaan bahaya meminta jawatan:
"إنكم ستحرصون على الإمارة، وستكون ندامة يوم القيامة, فنعم المرضعة, وبئست الفاطمة"
Maksudnya: “Kamu semua akan sukakan kepada jawatan, tetapi ia boleh menjadi penyesalan ketika hari akhirat kelak, kerana pada permulaannya terdapat nikmat, namun pengakhirannya ia menjadi pengikat yang jahat”
Riwayat al-Bukhari (676)
Imam Ash-Shan’ani dalam syarah Bulugh al-Maram mengatakan bahawa hadith ini memberi peringatan kepada sesiapa yang mempunyai jawatan atau kekuasaan tidak akan terselamat daripada neraka, kecuali mereka yang mengetahui akan kebenaran (haq) dan beramal dengannya. Mengetahui saja tidak mencukupi, kerana amalan selepas itu juga merupakan tiang-tiang kebenaran (haq). Dan barangsiapa yang tidak beramal dengan kebenaran, maka neraka merupakan tempat yang layak baginya.
[Lihat Subul al-Salam: 4/216][1]
Di dalam hadis yang lain pula, yang diriwayatkan oleh Abdul Rahman bin Samurah RA bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
"يا عبد الرحمن بن سمرة: لا تسأل الإمارة. فإنك إذا أعطيتها عن مسألة, وكلت فيها إلى نفسك, وإن أعطيتها عن غير مسألة أعنت إليها". متفق عليه
Maksudnya: “Wahai Abdul Rahman bin Samurah, janganlah engkau meminta-minta akan jawatan. Jika engkau meminta permasalahan (jawatan) maka engkau akan menanggung beban itu sendiri. Tetapi jika engkau diberi permasalahan (jawatan) tanpa meminta, maka engkau akan dibantu padanya (oleh Allah SWT).
Riwayat Abu Daud (2929)
Menurut kitab ‘Aun al-Ma’bud, sebuah karya yang mensyarahkan Sunan Abu Daud, hadis di atas menjelaskan berkenaan akibat meminta-minta jawatan. Jika seseorang itu meminta jawatan, maka akan diberi kepadanya permintaan itu tanpa pertolongan (Allah SWT) dalam menyelesaikan kerja (jawatan) tersebut. Disimpulkan juga bahawa hukum meminta-minta yang berkaitan dengan kekuasaan seperti pemerintahan, penguasaan dan apa yang berkaitan dengannya adalah makruh.
[Lihat ‘Aun al-Ma’bud: 5/56][2]
Namun begitu, hadis-hadis di atas bukannya bersifat pengharaman (التحريم) yang melarang terus daripada meminta jawatan. Sebaliknya, ia memberi peringatan tentang bahayanya sesuatu amanah dan tanggungjawab tanpa persediaan atau sekadar inginkan habuan dunia. Bahkan bagi individu yang mempunyai kekuatan dan mampu memegang amanah adalah dibenarkan serta layak untuk meminta jawatan tersebut. Di dalam al-Quran ada disebutkan tentang kisah Nabi Yusuf AS meminta jawatan sebagai menteri di Mesir. Firman Allah SWT:
قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya
(Surah Yusuf: 55)
Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili dalam tafsirnya mengatakan bahawa ayat ini memberi maklum balas berkenaan hadis larangan meminta jawatan dan tatacara kepada umat Islam jika menginginkan jawatan. Apa yang dapat disimpulkan daripada hadis larangan meminta jawatan dan ayat al-Quran di atas adalah seperti berikut:
- Individu yang tidak mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin seperti lemah, tua umurnya, atau sekadar mementingkan diri sendiri sahaja, adalah dilarang daripada meminta jawatan atau kekuasaan kerana tidak kompeten.
- Diharuskan bagi seseorang untuk meminta jawatan dan menunjukkan kesediaannya jika tujuan untuk memperkenalkan diri.
- Orang yang meminta jawatan perlu mempunyai ciri-ciri seperti boleh dipercayai (tsiqah), kuat pengetahuan agama, dan sangat kompeten dalam hal kekuasaan.
- Diharuskan juga bagi seorang yang alim untuk bekerja dibawah seorang yang fasiq ataupun raja yang kafir jika tiada jalan lain lagi untuk menegakkan kebenaran kecuali melalui 2 jalan tersebut. Tetapi jika pendapat dan keputusan orang alim tersebut seperti membenarkan hawa nafsu dan keinginan mereka, maka tidak boleh.
- Seseorang boleh mempromosikan dirinya kepada orang lain tentang ilmu, kehebatannya serta kemampuannya mengikut keadaan; seperti mencari pekerjaan dan yang sejenisnya.
- Dialog sesama manusia menjadi perkara yang penting dalam mengenali antara satu sama lain, maka orang yang mahu akan jawatan juga harus pandai dalam berkomunikasi.
[Lihat Tafsir al-Munir: 13/11][3]
Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya juga menerangkan ciri-ciri individu yang layak meminta jawatan berdasarkan ayat al-Quran di atas. Seseorang yang menepati kriteria untuk memegang sesuatu jawatan tidak dipilih berdasarkan keturunannya dan juga kecantikannya, akan tetapi dinilai berdasarkan kekuatannya dalam kepimpinan dan mempunyai ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan bidang yang diminta.
[Lihat Tafsir al-Jami’ li-Ahkam al-Quran: 5/142][4]
Kesimpulan
Berdasarkan penjelasan di atas, hukum meminta-minta jawatan adalah diharuskan dengan syarat yang ketat iaitu mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi berkenaan bidang yang diminta dan keadaan semasa, serta kuat dalam kepimpinannya. Sebaliknya jika individu tersebut lemah dan uzur maka tidak dibolehkan akannya untuk meminta jawatan. Namun jangan dilupakan berkenaan akibat jika meminta jawatan iaitu diancam api neraka pada hari akhirat kelak. Ancaman ini sebagai peringatan keras untuk mereka yang tidak memberikan hak yang sepatutnya kepada orang dibawah pimpinannya dan tidak menjalankan tanggungjawabnya dalam mentadbir urus kerana mementingkan habuan dunia dan diri sendiri. Wallahua’lam.
[1] Muhammad bin Ismail Ash-Shan’ani. 1998. Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah Beirut.
[2] Abdul Rahman Siddiqi Al-Abadi. 2011. ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud. Al-Qudus Kaherah.
[3] Wahbah al-Zuhaili. 1991. Al-Tafsir al-Munir. Darul al-Fikr, Damsyik
[4] Salim Mustafa al-Badri. 2000. Al-Jami’ li Ahkam al-Quran li al-Qurtubi. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah Beirut.
No comments:
Post a Comment