BAYAN LINNAS SIRI KE-297: CHILDFREE BY CHOICE MENURUT PERSPEKTIF SYARAK
MUKADDIMAH
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Sejak kebelakangan ini, tren Childfree ini semakin meluas dalam kalangan masyarakat khususnya bagi pasangan muda suami isteri yang baru berkahwin. Perkara ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat lantaran kesannya dilihat dalam jangka masa panjang yang akan mengubah struktur sosial setempat malah turut memberi impak secara global.
Fenomena ini sebenarnya sudah berkembang sejak pertengahan abad ke 20 lagi, apabila ramai dalam kalangan lelaki dan perempuan di negara Barat yang memilih hidup untuk tidak berketurunan. Sedangkan pada zaman sebelumnya masyarakat cenderung hendak memiliki anak[1]. Hal ini bertitik tolak daripada perubahan tren sosial, ekonomi dan budaya yang semakin menjauhkan fitrah asal lelaki yang mana jika menjadi suami, maka dialah sebagai penyumbang utama ekonomi dalam keluarga. Begitu juga fitrah asal wanita yang menjadi isteri dan ibu, maka dialah berperanan melahirkan dan mendidik anak. Tambahan lagi, perubahan ekonomi dan sektor perindustrian yang memerlukan wanita dalam dunia pekerjaan memaksa wanita mengambil keputusan antara karier atau menjadi ibu.
Sehingga kini, tren ini tidak lagi hanya sekadar pilihan tidak memiliki anak, akan tetapi merupakan sebuah gaya hidup yang dipengaruhi dan didasari oleh sebuah ideologi yang mengajarkan kebebasan bahawa tubuh sendiri adalah hak sendiri “My body is my right”. Malah, menjadikan ia sebagai gaya hidup yang dianggap sebagai solusi dalam kehidupan tanpa sebarang komitmen dan tanggungjawab.
Di Malaysia, Kadar Kesuburan Jumlah (KKJ) dan Kadar kelahiran sejak lima dekad lepas semakin menurun dan dijangka kadar pertumbuhan tahunan penduduk kekal menurun hingga mencecah paras 0.7 peratus pada 2050[2]. Jika tren childfree ini berterusan dan tiada langkah pencegahan, maka ia akan menjejaskan pembangunan negara. Justeru, isu ini perlu dilihat dari perspektif syarak supaya dapat memberikan penjelasan kepada masyarakat.
APA ITU CHILDFREE?
Childfree ialah pilihan individu atau pasangan untuk tidak memiliki anak dan persetujuan ini berlaku sama ada sebelum atau semasa perkahwinan. Sebahagian menyatakan istilah childless berbeza dengan childfree yang membawa maksud individu atau pasangan yang ingin memiliki anak namun tidak dikurniakan anak atas sebab biologi dan sebagainya.
Istilah ini awalnya digunakan pada tahun 1972 oleh National Non-Parental Organization. Pada pertengahan abad ke 20, semakin ramai dalam kalangan lelaki dan wanita di negara-negara Eropah memilih kehidupan tanpa keturunan[3]. Pendorong tren dalam masyarakat sehingga membuat keputusan untuk tidak mempunyai anak ini disebabkan oleh beberapa faktor iaitu:
1) Faktor ekonomi
2) Faktor emosi
3) Faktor ketidaksediaan memikul tanggungjawab menjaga dan mendidik anak
4) Faktor sosial, demografi dan populasi
5) Pembangunan diri dan kerjaya
6) Kesibukan bekerja
7) Kebebasan hidup tanpa komitmen anak
OBJEKTIF PERKAHWINAN DAN FITRAH MEMILIKI ZURIAT
Institusi kekeluargaan yang dibina melalui tali pernikahan merupakan sunnah Rasulullah SAW yang amat dituntut. Ia adalah fitrah semula jadi yang berlaku antara lelaki dan perempuan yang saling memerlukan untuk hidup berkasih sayang selaras dengan kehendak syarak[4]. Menurut Imam al-Khadimi, salah satu antara tujuan (maqasid) perkahwinan adalah untuk menjaga keturunan (hifz al-nasl) dan memperbanyakkan zuriat bahkan ia termasuk dalam tujuan asal dan asas perkahwinan (maqasid asliyyah).[5] Objektifnya bagi memakmurkan alam semesta dan mengekalkan kelangsungan kehidupan manusia. Selain itu, ia juga bertujuan meramaikan bilangan umat Islam, meningkatkan kekuatan dan membina pengaruh sehingga mampu melaksanakan tugas sebagai khalifah di bumi bahkan menjadi saksi kepada sekalian manusia.[6]
Pensyariatan pernikahan ini selaras dengan salah satu kecenderungan fitrah semulajadi manusia iaitu memiliki keturunan[7]. Pada masa yang sama, kecintaan terhadap anak-anak juga menjadi ujian dan wasilah mendapatkan bekalan menuju akhirat kelak.[8] Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ
Maksudnya: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”
(Surah Ali Imran: 14)
Selain itu, Ibn Ruslan menyatakan bahawa terdapat anjuran untuk bernikah wanita yang subur dan penyayang supaya dapat meramaikan dan melahirkan keturunan yang soleh dan taat kepada Islam[9] berdasarkan hadis daripada Ma’qil bin Yasar, Nabi SAW bersabda:
تزوَّجوا الوَدودَ الولودَ فإنِّي مُكاثرٌ بِكُمُ الأُممَ
Maksudnya: “Nikahilah wanita penyayang yang subur banyak keturunan karena aku bangga dengan banyaknya umatku pada hari kiamat kelak.”[10]
(Riwayat Abu Daud)
Islam juga tidak menganggap pasangan yang tidak mempunyai zuriat akibat masalah ketidaksuburan atau penyakit yang tidak mengizinkan sebagai satu bentuk kekurangan. Walaupun hasrat memiliki zuriat adalah fitrah manusia, tidak semua pasangan ditakdirkan memilikinya. Hal ini kerana zuriat merupakan anugerah dan rahmat daripada Allah SWT kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, berdasarkan firman Allah SWT:
لِّلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ ۚ يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ ﴿٤٩﴾ أَوْ يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَانًا وَإِنَاثًا ۖ وَيَجْعَلُ مَن يَشَاءُ عَقِيمًا ۚ إِنَّهُ عَلِيمٌ قَدِيرٌ ﴿٥٠﴾
Maksudnya: “Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya .Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya anak-anak lelaki dan perempuan, dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya: mandul. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”
(Surah As-Syura: 49-50)
Malah, seseorang yang menghadapi masalah ketidaksuburan dibenarkan untuk mendapatkan rawatan perubatan sebagai ikhtiar mendapatkan zuriat selagi mana tidak melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh syarak.[11]
HAK PASANGAN UNTUK MEMILIKI ZURIAT DALAM PERKAHWINAN
Perancangan anak termasuk dalam konteks keperluan individu berkeluarga antara suami dan isteri. Hal ini difahami bahawa persetujuan suami isteri untuk tidak memiliki zuriat juga merupakan hak peribadi yang tidak dapat dipaksa oleh siapapun.[12] Tidak dapat dinafikan setiap pasangan lebih mengetahui hal ehwal keadaan keluarga, kemaslahatan rumah tangga masing-masing. Secara umumnya, persetujuan suami isteri adalah dibolehkan kerana tiada nas syarak yang mewajibkan setiap pasangan untuk mempunyai anak. Namun, dalam membincangkan persoalan hukum pasangan suami isteri yang bersetuju untuk tidak memiliki zuriat, maka terdapat sebab dan keadaan yang perlu dipertimbangkan dari segi syarak seperti berikut:
- Bersifat Sementara dan Mempunyai Tempoh Tertentu
Keadaan ini merujuk kepada perancangan keluarga (tanzim al-nasal) iaitu suami dan isteri yang bersepakat untuk tidak memiliki zuriat dalam tempoh tertentu atas sebab-sebab tertentu dengan cara merancang kelahiran. Justeru, ia dibenarkan selagi mana tidak melibatkan pemandulan kekal atau pengguguran. Namun, hukumnya makruh jika tiada sebarang keuzuran sama ada atas sebab pendidikan, kewangan, ekonomi dan sebagainya. Hal ini juga dijelaskan oleh Syeikh al-Bujairimi dalam hasyiahnya:
أما ما يبطئ الحبل مدة ولا يقطعه من أصله فلا يحرم كما هو ظاهر بل إن كان لعذر كتربية ولد لم يكره أيضا وإلا كره
Maksudnya: “Adapun sesuatu yang melambatkan kehamilan dalam suatu tempoh dan tidak memutuskannya (kehamilan) secara asalnya, maka tidak haram sepertimana yang zahir. Bahkan jika atas sebab keuzuran seperti pendidikan anak hukumnya tidak makruh.. Namun jika tiada keuzuran maka hukumnya makruh.”[13]
Antara kaedah yang digunakan untuk menjarakkan kehamilan anak seperti pengambilan pil perancang, melakukan persetubuhan diluar waktu kesuburan, ejakulasi luar rahim (al-’azl), mengeluarkan air mani daripada kemaluan wanita selepas persetubuhan, memasang peranti intrauterine (IUD) dan lain-lain bagi tujuan pemandulan sementara.
Selain itu, keharusan ini berdasarkan hukum qiyas berdasarkan riwayat daripada Jabir RA:
كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالقُرْآنُ يَنْزِلُ
Maksudnya: “Kami dahulu melakukan `azl pada zaman Rasulullah SAW sedangkan al-Quran sedang turun.”[14]
(Riwayat al-Bukhari)
Imam Ibn Hajar al-Asqalani mensyarahkan hadis di atas, beliau menyatakan bahawa perbuatan sahabat yang melakukan ‘azl berlaku ketika zaman syariat diturunkan. Seandainya ia sesuatu yang diharamkan, maka Rasulullah SAW terlebih dahulu melarang perbuatan itu.[15] Tambahan pula, jumhur ulama bersepakat bahawa suami tidak boleh melakukan ‘azl terhadap isteri kecuali dengan keizinannya.[16]
Oleh itu, kaedah ini diharuskan dengan syarat-syarat:
- Meyakini bahawa jika Allah ingin mengurniakan anak, maka tiada siapa yang boleh menghalang. Wajib bagi pasangan memelihara kandungan dan bertanggungjawab menjaga kemaslahatannya.
- Tidak mendatangkan kemudaratan kepada pasangan khususnya isteri.
- Dilakukan dengan kebenaran dan persetujuan suami dan isteri.
- Bersifat Kekal Dan Selama-Lamanya
- Adapun bagi suami isteri yang bersepakat untuk tidak memiliki zuriat selama-lamanya atas sebab-sebab tertentu seperti kesihatan fizikal dan keadaan biologi yang tidak mengizinkan, sama ada pasangan tersebut berusaha atau tidak berusaha, maka perbuatan ini tidak menjadi kesalahan dan tidak berdosa. Hal ini kerana, hukum asal mendapatkan rawatan kesuburan untuk memiliki anak adalah harus kerana meninggalkan rawatan tersebut tidak mendatangkan apa-apa kesan yang memudaratkan tubuh badan, pengabaian hak dan menjadikan tubuh lemah[17].
- Manakala, pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai zuriat selama-lamanya bahkan melakukan apa sahaja cara termasuk prosedur perubatan bagi menghilangkan kemampuan reproduksi (pemandulan kekal) dan menggugurkan kandungan tanpa pengesahan doktor perubatan dan sebab-sebab yang dibolehkan oleh syarak, maka perbuatan tersebut adalah haram[18] kerana ia suatu bentuk pembatasan anak. Berdasarkan resolusi yang dikeluarkan oleh Akademi Fiqh Islam Antarabangsa bernombor 39 (1/5) berkenaan hukum perancangan keluarga, Keputusan menyatakan bahawa haram menghilangkan kemampuan reproduksi pada golongan lelaki dan wanita iaitu apa yang disebut sebagai pemandulan kekal. Namun, ia dibenarkan bagi kes-kes darurat dengan syarat ia mestilah bertepatan dengan kayu ukur syarak.[19].
- Begitu juga, bagi golongan yang menafikan fitrah semula jadi manusia dan menjadikan pilihan childfree ini suatu pilihan yang terbaik hasil daripada pemahaman dan ideologi yang menyama ratakan gender antara lelaki dan wanita, maka perbuatan dan pemahaman tersebut bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang dinyatakan dalam dalam al-Quran dan Sunnah.
Tambahan pula, meskipun keputusan untuk memiliki anak ini merupakan hak kebebasan peribadi suami dan isteri, jika fenomena ini berleluasa dalam kalangan masyarakat maka ia akan mengganggu keseimbangan aturan Alam yang diciptakan Allah SWT dan mengganggu kestabilan sesebuah negara.[20]
KESIMPULAN
Secara asasnya, perkahwinan dan memiliki anak adalah suatu fitrah dan memiliki tujuan tersendiri dalam syariat. Islam juga tidak mewajibkan pasangan memiliki anak dan juga tidak melarang untuk tidak memiliki anak. Berdasarkan penelitian, pada dasarnya persetujuan antara suami isteri untuk tidak memiliki anak atau childfree adalah diharuskan sekiranya terdapat kemaslahatan khusus buat pasangan tersebut. Pilihan ini mestilah mendapat persetujuan bersama kerana memiliki anak merupakan hak bagi setiap individu yang berpasangan. Hukum pasangan memilih untuk tidak mempunyai anak ini adalah mengikut pertimbangan pada sebab dan keadaan seperti berikut:
i. Jika pasangan bersetuju untuk tidak memiliki anak atas sebarang sebab yang diambil kira oleh syarak lebih-lebih lagi jika terdapat kemudaratan dan keuzuran seperti menyebabkan kematian, menyebabkan keadaan penyakit bertambah teruk dan sebagainya, maka hukumnya adalah harus dengan syarat kaedah pencegah kehamilan tidak mendatangkan mudarat dan bertepatan dengan syarak.
ii. Jika pasangan bersetuju untuk tidak memiliki anak tanpa sebarang sebab yang diambil kira oleh syarak seperti keinginan untuk bebas daripada sebarang tanggungjawab, maka perbuatan tersebut adalah makruh. Malahan, bagi golongan yang mengambil keputusan tersebut kerana terpengaruh dengan kefahaman childfree, sehingga menjadikannya sebagai gaya hidup terbaik yang bebas daripada sebarang tanggungjawab dan juga sebagai prinsip hidup yang menafikan fitrah manusia, maka ia merupakan satu fahaman dan budaya yang bertentangan dengan tujuan utama perkahwinan bahkan tidak bertepatan dengan Sunnah Rasulullah SAW untuk meramaikan umat Islam yang berkualiti.
iii. Manakala, pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai zuriat selama-lamanya bahkan melakukan apa sahaja cara termasuk prosedur perubatan bagi menghilangkan kemampuan reproduksi (pemandulan kekal) dan menggugurkan kandungan tanpa pengesahan doktor perubatan dan sebab-sebab yang dibolehkan oleh syarak, maka perbuatan tersebut adalah haram.
Dinasihatkan agar pasangan yang ingin berkahwin atau pasangan yang berhasrat untuk membuat perancangan keluarga bahawa kewujudan anak dalam keluarga adalah anugerah dan bukan suatu bentuk bebanan bahkan ia berpotensi menjadi sumber kelangsungan pahala buat ibu dan bapanya. Sebagai seorang Muslim, perkahwinan dilihat sebagai wasilah mencapai kesempurnaan agama termasuklah dalam urusan memiliki anak jika difahami dan diusahakan sebaiknya.
Wallahua'lam
Rujukan:
[1] Kreyenfeld, Michaela, and Dirk Konietzka. Analyzing childlessness. Springer International Publishing, 2017.
[2] Pautan dirujuk pada tarikh 20/6/2024; https://mprh.lppkn.gov.my/kadar-kesuburan-wanita-di-malaysia-semakin-menurun/
[3] Utamidewi, Wahyu, Wisnu Widjanarko, Zainal Abidin, and Luluatu Nayiroh. "When Spouse Decide To Be Childfree: Are They Happy Without Child?." In Proceedings of International Conference on Communication Science, vol. 2, no. 1, pp. 915-924. 2022.
[4] Surah al-Rum: 21
[5] Nuruddin Ibn al-Mukhtar al-Khadimi , Ilm al-Maqasid al-Syariah. (Maktabah al-’Abikan, 2001). Hlm 69.
المقصد الأصلي للزواج: التناسل وإعمار الكون..المقاصد الأصلية: هي المقاصد التي شُرعت ابتداءً وقُصرت أولًا وأساسًا، ومثالها: التناسل وإعمار الكون، هو المقصد الأصلي للزواج مثال ذلك، النكاح: فإنه مشروع للتناسل على القصد الأول،اج،
[6] Ibid. Hlm 179.
النكاح سنة كونية وفطرة إنسانية ومنَّة إلاهية، وله عديد المقاصد والفوائد في الدارين، ومن تلك المقاصد والفوائد نذكر ما يلي:1- حفظ النسل وتكثيره؛ بغرض إعمار الكون وبقاء النوع والإنساني، وكذلك إكثار أفراد الأموة المسلمة وتقويتها وتمكينها في الوجود الحياتي والكوني حتى تكون مرهوبة الجانب، عزيزة الذات، فاعلة الأثر والتأثير، وحتى تؤدي رسالة الاستخلاف في الأرض، والشهادة على الناس. لذلك جاءت الأدلة الشرعية تحث على الزواج والإنجاب، وترغب في التناسل، وتحرم قتل الأولاد والبنات بسبب الفقر أو العار أو ما شابه ذلك وتحظر الإجهاض إلا عند الضرورات القصوى، كأن يخشى على الأم من الموت بسبب خطر الجنين، فيباح إجهاضه؛ لأن المحافظة على الأصل مقدمة على المحافظة على الفرع.
[7] Padela, Aasim I., Katherine Klima, and Rosie Duivenbode. "Producing parenthood: Islamic bioethical perspectives & normative implications." The new bioethics 26, no. 1 (2020): 6.
[8] ‘Abd al-Rahman Bin Nasir Bin ‘Abd Allah al-Sa’di, Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Manan, (Beirut, Lubnan: Muassasah al-Risālah, 2000), 123.
وأن الله جعلها ابتلاء وامتحانا لعباده، ليعلم من يقدم طاعته ومرضاته على لذاته وشهواته، فجعلوها وسيلة لهم وطريقا يتزودن منها لآخرتهم
[9] Syihāb al-Dīn Abū al-‘Abbās Ahmad Bin Husain Bin Alī Bin Ruslān al-Maqdisī al-Ramlī, Sharḥ Sunan Abī Dawud, (Mesir: Dār al-Falāḥ li bahath al-‘Ilmī wa Tahqīq al-Turāth, 2016), 9/264-266.
[10] Abu Dawud Sulaiman bin al-Asha’th al-Azdi al-Sijistani, Sunan Abu Dawud, (Beirut, Lubnan: Dar al-Risalah al-‘Ilmiyyah,2009), 3/395.
[11] Fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Fatwa MKI berkenaan Keputusan hukum Bayi Tabung Uji (1982) dan Keputusan Hukum Pencantuman Benih Untuk Mendapatkan Anak (2003).
[12] https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/
عدمُ الإنجابِ هو حقٌّ للزوجين معًا، ويجوز لهما الاتفاقُ عليه إذا كان في ذلك مصلحة تخصُّهما، ولا يجوز لأحدهما دون موافقة الآخر؛ وهذا الجواز على المستوى الفردي، وذلك لما يلي: لأنَّه لم يرِدْ في كتاب الله تعالى نصٌّ يُحرِّم منعَ الإنجاب أو تقليلَه. اتفاقهما على منع الإنجاب في هذه الحالة يُقاس على العزل؛ وقد اتفق جمهور العلماء على أنَّ العزلَ مباحٌ في حالة اتفاق الزوجين على ذلك.
[13] al-Bujairimi, Sulaiman Ibn Ahmad. Hasyiah al-Bujairmi ‘ala al-Khatib. (t.p: Dar al-Fikr, 1995). Jld 4. Hlm 47.
[14] Abū Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi (M. 256), Ṣahīh al-Bukhārī, (Damsyik, Syria: Dār Ibn Katsīr, 1993), 1/109
[15] Ibn Hajar al-Asqalani, Ahmad bin Ali. Fath al-Bari bi Syrh al-Bukhari. (Mesir: al-Maktabah al-Salafiyyah, 1390). Jld 9. Hlm 306.
فَكَأَنَّهُ يَقُولُ: فَعَلْنَاهُ فِي زَمَنِ التَّشْرِيعِ وَلَوْ كَانَ حَرَامًا لَمْ نُقَرَّ عَلَيْهِ
[16] Abū Umar Yusuf bin ‘Abdullah bin Muhammad bin ‘Abd al-Bar bin ‘Aṣim al-Namiri al-Qurṭubī, al-Istizkār, (Beirut, Lubnan: Dār al-Kutub Ilmiyyah, 2000), 6/228.
قَالَ أَبُو عُمَرَ لَا أَعْلَمُ خِلَافًا أَنَّ الْحُرَّةَ لَا يَعْزِلُ عَنْهَا زَوْجُهَا إِلَّا بِإِذْنِهَا وَلَهُ أَنْ يَعْزِلَ عَنْ أَمَتِهِ بِغَيْرِ إِذْنِهَا كَمَا لَهُ أَنْ يَمْنَعَهَا الْوَطْءَ جُمْلَةً
[17] Wahbah Al-Zuhaylī, Al-Fiqh al-Islāmī wa adillatuhu (Beirut, Lubnan: Dar al-Fikr, 1989), 7/ 5204.
وتختلف أحكام التداوي باختلاف الأحوال والأشخاص:
ـ فيكون واجباً على الشخص إذا كان تركه يفضي إلى تلف نفسه أو أحد أعضائه أو عجزه، أو كان المرض ينتقل ضرره إلى غيره، كالأمراض المعدية.ـ ويكون مندوباً إذا كان تركه يؤدي إلى ضعف البدن ولا يترتب عليه ما سبق في الحالة الأولى ـ ويكون مباحاً إذا لم يندرج في الحالتين السابقتين.ـ ويكون مكروهاً إذا كان بفعل يخاف منه حدوث مضاعفات أشد من العلة المراد إزالتها
[18] Ahmad bin Muhammad bin Alī bin Hajr al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj fi Sharh al-Minhaj wa al-Hawashi al-Sharwani al-Ibadi, (Mesir: Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1983). 8/241.
ويحرم استعمال ما يقطع الحَبَل من أصله كما صرح به كثيرون وهو ظاهر
[19] https://iifa-aifi.org/ar/1746.html
ثانيًا: يحرم استئصال القدرة على الإنجاب في الرجل أو المرأة، وهو ما يعرف بالإعقام أو التعقيم، ما لم تدع إلى ذلك الضرورة بمعاييرها الشرعية.
[20] https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/14993/%D8%A7%D8%AA%D9%81%D8%A7%D9%82-%D8%A7%D9%84%D8%B2%D9%88%D8%AC%D9%8A%D9%86-%D8%B9%D9%84%D9%89-%D8%B9%D8%AF%D9%85-%D8%A7%D9%84%D8%A7%D9%86%D8%AC%D8%A7%D8%A8#%D8%AD%D9%83%D9%85_%D9%85%D9%86%D8%B9_%D8%A7%D9%84%D8%A5%D9%86%D8%AC%D8%A7%D8%A8_%D8%B9%D9%84%D9%89_%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B3%D8%AA%D9%88%D9%89_%D8%A7%D9%84%D8%B4%D8%AE%D8%B5%D9%8A_%D9%88%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%AC%D8%AA%D9%85%D8%B9%D9%8A
أَمَّا على مستوى الأمة فلا يجوزُ المنْعُ المطلق من الإنجاب؛ لما فيه من الإخلال بنسبة التوازن التي أقام الله الخلق عليها، ولا يدخل في هذا ما تقوم به الدول من إجراءات للعمل على تحديد النسل، وذلك لما يلي: طلبًا للحياة الكريمة لشعوبها، وَفق الدراسات المفصحة عن إمكانيات هذه الدول.كما أنَّ تصرف ولي الأمر منوط بالمصلحة.
No comments:
Post a Comment