78: POLEMIK NAMA DAMIA, ELOK ATAU TIDAK?

 78: POLEMIK NAMA DAMIA, ELOK ATAU TIDAK?

Mukaddimah

Pada minggu ini isu nama diangkat menjadi perbincangan hangat khususnya nama anak-anak yang terdapat padanya Damia, sama ada ia hanya satu nama sahaja atau murakkab (disusun) dengan beberapa nama yang lain. Ada yang mengatakan elok dan ada yang mengatakan tidak.

Dalam hal ini, pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga ditanya persoalan berkenaan dengan Damia elok atau tidak. Pada asalnya kami lebih mengambil sikap untuk berdiam diri kerana sudah ada pihak yang berautoriti mengemukakan jawapan. Justeru memadailah mereka memberi jawapan. Akan tetapi melihat kepada persoalan yang diajukan langsung kepada kami menyebabkan kami terpanggil untuk mengemukakan jawapan dengan seadanya. Jawapan pada kali ini bukanlah untuk bermusabaqah ilmu tetapi semata-mata mencari satu titik penyelesaian yang terbaik dan harmoni. Justeru Bayan Linnas pada kali ini kami namakannya dengan Polemik Nama Damia: Elok atau Tidak?

 

Menamakan Anak
Istimewanya manusia dari haiwan yang lain adalah ia mempunyai nama. Tetapi haiwan yang lain ia mempunyai nama yang umum, seperti ayam hutan, ayam daging, tanpa nama seperti nama-nama khas. Sebaliknya manusia sejak zaman berzaman bahkan datuk kita yang pertama Nabi Adam AS juga mempunyai nama. Inilah uniknya manusia.

Islam dalam memberi nama menggalakkan kepada ibu bapa supaya memilih nama-nama yang baik. Seperti Abdullah, Abdurrahman, Muhammad, Hammad dan nama-nama yang mempunyai erti serta pengertian yang baik. Walaupun begitu kebebasan memberi nama diraikan selama mana bukan nama-nama yang buruk atau keji. Ini kerana, Rasulullah SAW pernah menukar nama perempuan dengan nama yang elok, begitu juga dengan sahabatnya yang lelaki.

Kami tidaklah ingin membincangkan ini dengan panjang lebar kerana sudah kerap kali kami bincang dalam isu-isu yang lain.

 

Menamakan Anak Dengan Damia
Dalam hal ini, mungkin terdapat pelbagai bentuk ejaan, Antaranya:

  • Damia
  • Damiya
  • Damea
  • Dameea
  • Damiia
  • Damiaa
  • Dyamia
  • Dyamyia

Atau seumpamanya.

Ini kerana, mungkin ia dipindahkan daripada bahasa yang lain, sama ada arab atau lainnya. Justeru melihat kepada bahasa yang lain adalah amat penting untuk menentukan maknanya. Dalam bahasa arab, kami bahagikan kepada dua:

Pertama: Nama
Damia (دامية) adalah nama tempat di Jordan. Ia terletak bersempadan dengan Palestin. Damiya' (دامياء) pula bermaksud kebaikan dan keberkatan. Lihat al-Qamus al-Muhit dan Mu’jam al-Ra’id. Ia perkataan lama yang jarang digunakan kini.

Damiah Pada Istilah Bahasa dan Fiqh
Damiah (دامية) pula berkaitan dengan darah. Iaitu luka yang berdarah yang tidak mengalir. Lihat al-Qamus al-Muhit. Lihat juga al-Mu’jam al-Ma’ani al-Jami’.
Dari segi bahasa bererti: Darah kesan dari luka.

الدَّامِيَةُ فِي اللُّغَةِ: مِنْ دَمِيَ الْجُرْحُ يَدْمَى دَمْيًا وَدَمًى: خَرَجَ مِنْهُ الدَّمُ، وَالشَّجَّةُ الدَّامِيَةُ: هِيَ الَّتِي يَخْرُجُ دَمُهَا وَلا يَسِيلُ 

Maksudnya: Keluar daripadanya darah. Al-Syijjah Al-Damiah (Luka yang berdarah): Sesuatu yang keluar darahnya dan tidak mengalir.

Lihat Al-Maghrib, Al-Misbah al-Munir & Lisan Al-Arab

Para fuqaha berbeza pandangan terhadap pengertian Al-Daamiyah. Malikiyyah dan Syafieyyah menggunakan makna dari sudut bahasa. Kata ulama Malikiyyah: Damiah adalah sesuatu yang memberatkan kulit lalu terpercik darah darinya tanpa terkoyaknya kulit. Kata ulama Syafieyyah: Damiah adalah sesuatu yang keluar tanpa mengalirnya darah. (Al-Manhul Jalil 4/364, Hasyiah Dasuqi (4/250-251), Mughni Muhtaj 4/26)

Majoriti Hanafiyyah pula mengatakan: Damiah adalah sesuatu yang mengeluarkan darah dan mengalirkannya tanpa menampakkan tulang. Inilah pendapat yang turut dipegang oleh golongan al Hanabilah yang menamakan Damiah dengan perkataan الْبَازِلَةَ Al-Baazilah dan الدَّامِغَةَ Al-Daamighah. (Hasyiah Ibn Abidin, 5/372-373), Badai' Sonai ' 7/296).

Kedua: Perbuatan
Ia daripada perkataan Damia

وَقَدْ دَمِيَ كَرَضِيَ 

Maksudnya: “Dan sesungguhnya dia telah berdarah, sama seperti perkataan radiya (dari segi wazannya).”

Lihat al-Qamus al-Muhit.

Maka tidak perlulah mengubah ejaan DAMIA, malahan menukar nama jika sekadar disangka ia mempunyai makna yang tidak baik. Biasa sahaja nama orang mengikut nama tempat seperti Jordan, Saudi dan Sarawak. Selagi ia tidak mempunyai maksud yang tidak baik, agama tidak melarangnya.

Asal Usul Damia Daripada Perspektif Tamadun Greek Purba
Dalam mitologi Greek, terdapat sekumpulan dewa yang dikatakan tinggal di Gunung Olympus, gunung tertinggi di Greek. Di sana, mereka mentadbir seluruh kehidupan manusia. Dewa-dewa di Gunung Olympus menyerupai lelaki dan wanita (walaupun mereka boleh berubah menjadi haiwan dan benda-benda lain).
12 dewa-dewa utama yang tinggal di Gunung Olympus adalah:

  • Zeus: Raja bagi semua dewa (juga bapa bagi kebanyakan dewa) dan Dewa Cuaca, Undang-Undang dan Nasib
  • Hera: Permaisuri bagi Dewa, Dewi dan Perkahwinan
  • Aphrodite: Dewi Kecantikan dan Cinta
  • Apollo: Dewa Ramalan, Muzik, Puisi dan Ilmu.
  • Ares: Dewa Perang
  • Artemis: Dewi Pemburuan, Haiwan dan Kelahiran
  • Athena: Dewi Hikmah dan Pertahanan
  • Demeter: Dewi Pertanian dan Bijirin
  • Dionysos: Dewa Arak, Kesenangan dan Perayaan
  • Hephaistos: Dewa Api, Logam dan Arca
  • Hermes: Dewa Perjalanan, Layanan Baik, Perdagangan dan juga utusan peribadi bagi Zeus
  • Poseidon: Dewa Laut

Damia Sebagai Dewi
Dikatakan bahawa Damia (Δαμία) adalah personaliti lain daripada Artemis, Dewi Pemburuan, Haiwan dan Kelahiran. Dikatakan juga, Damia kemungkinan adalah gelaran lain bagi Auxesia dan Demeter, Dewi Pertanian dan juga Kesuburan. Dalam mitologi Greek, Damia dikenali sebagai Dewi Kesuburan Bumi.

Damia sebagai Kata Terbitan Damian
Disamping itu, kami juga sempat meneliti A New Greek And English Lexicon: Principally On The Plan Of The Greek And German Lexicon Of Schneider, kami mendapati bahawa perkataan Damia mungkin adalah kata terbitan daripada perkataan ΔαμαΩ yang bermaksud “to tame” yang bererti pandai menjinakkan sesuatu. Ini juga selari dengan perkataan Damian yang merujuk kepada seorang yang menunduk atau menguasai orang lain (to tame). Ia berasal daripada perkataan Greek, Damianos.

Damia Sebagai Nama Tempat
Mengikut carian kami, terdapat beberapa tempat yang dinamakan sebagai Damia. Antaranya ialah, Damia (دامية) yang berada di Jordan. Kawasan ini terletak 40 kilometer daripada daerah Hawali yang berada di bawah perbandaraan Dair Ala dan terletak 60 kilometer daripada bandar ibu negara Jordan, Amman. Tempat kedua juga merujuk kepada Jambatan Damiyah di atas Sungai Jordan yang menjadi sempadan antara Palestin dan Jordan, dan terletak kira-kira 35 kilometer daripada bandar Areha.

Tarjih
Kami cenderung kepada pendapat ianya dibolehkan kerana perkataan asal itu, ada makna keelokkan cumanya adanya hamzah pada hujungnya. Mengikut pakar Qiraat dari segi kaedah bacaan (perkataan damia tidak ada dalam al-Quran) ia boleh dibaca dengan hazaf (buang) hamzah lalu bacaannya menjadi DAMIYA/DAMIA sahaja menurut Qiraat Hamzah (Hamzah al-Zaiyyat, Imam yang ke-6 daripada 7 qiraat yang mutawatirah) ketika waqaf dan riwayat Hisyam (beliau adalah perawi kepada Ibn Amir al-Dimashqi). Walaupun begitu kami cenderung supaya ejaan ditambah dengan hamzah seperti DAMIYA’/DAMIA'.

Nama-nama Sahabat Yang Pernah Ditukar Oleh Nabi SAW
Banyak nas daripada hadis yang menunjukkan bahawa Nabi SAW ada menukarkan nama para sahabat disebabkan oleh maslahah. Boleh jadi nama tersebut membawa makna yang tidak elok, disebabkan oleh itu Rasulullah SAW menukarkannya dan ini menjadi dalil bahawa nama seseorang itu boleh ditukarkan sekiranya terdapat maslahah.
Antara nama sahabat yang pernah ditukarkan oleh Nabi SAW ialah:

  • ‘Asiah (عَاصِيَة) yang membawa makna pendosa kepada Jamilah (جَمِيلَة) yang cantik. Ini sepertimana di dalam hadis Nabi SAW daripada Ibn ‘Umar RA:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم غَيَّرَ اسْمَ عَاصِيَةَ وَقَالَ :أَنْتِ جَمِيلَةُ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menukar nama ‘Asiah dan Baginda berkata: “Kamu Jamilah”.

Riwayat Abu Daud (4952). Sahih.

  • Hazn (حَزْنٌ) yang membawa maksud kesedihan kepada Sahl (سَهْلٌ) yang senang. Ini sepertimana yang diriwayatkan oleh al-Imam Al-Bukhari di dalam Sahihnya. Namun, di dalam hadis ini, ayah kepada Ibn al-Musayyib tidak menukarkan namanya dan diakhir hadis diceritakan bahawa disebabkan tidak menukar nama tersebut seperti yang disebut oleh Nabi SAW, keluarga mereka dirundum kesedihan dan kesusahan.
  • Asram (أَصْرَم) yang membawa maksud perbuatan memotong kepada Zur’ah (زُرْعَةُ) iaitu tempat berladang/bercucuk tanam. Ini sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud di dalam Sunannya.

Seterusnya, al-Imam Abu Daud telah menyebutkan: “Nabi SAW telah menukarkan nama al-‘As (العاصِ), ‘Aziz (عزيز), ‘Atalah (عَتَلَة), Syaitan (شَيطانِ), al-Hakam (الحَكَمِ), Ghurab (غُرابٍ), Hubab (حُبابٍ), Syihab (شهابٍ) menamakannya dengan Hisham (هشاما) dan menamakan Harban (حَرْبا) dengan Silman (سِلْماً) begitu juga al-Mudtoji’ (المُضطَجِعَ) kepada al-Munba’ith (المنبَعِثَ)…” 

Berdasarkan kenyataan di atas, al-Imam Khattabi di dalam Ma’alim al-Sunan menyebutkan bahawa al-‘As (العاصِ) dtukarkan kerana membawa makna al-‘Isyaan (العصيان) iaitu penderhakaan. Begitu juga ‘Aziz yang mana ianya bermaksud Maha Mulia dan ini hanya layak untuk Allah SWT sahaja. Seterusnya ‘Atalah (عَتَلَة) yang membawa maksud keras dan berat sedangkan sifat mukmin itu mestilah bersifat lemah lembut dan mudah. Syaitan (شَيطان) yang membawa maksud jauh dari kebaikan. Begitu juga al-Hakam (الحَكَمِ) yang mana nama ini hanya layak buat Allah SWT iaitu Maha Meluluskan Hukum. Ghurab (غُرابٍ) yang merujuk kepada seekor binatang (American Crow/ Gagak Amerika) yang jijik perbuatannya begitu juga memakan makanan yang kotor dan Rasulullah SAW membenarkan untuk membunuhnya. Hubab (حُبابٍ) pula adalah sejenis ular dan diriwayatkan juga ianya adalah nama bagi syaitan. Begitu juga dengan Syihab (شهابٍ) yang mana membawa maksud nyalaan api neraka.

Berdasarkan nas-nas hadis di atas kami berpendapat ada bagusnya agar nama yang membawa kepada makna yang tidak elok ditukarkan kepada yang lebih baik. Wallahu a’lam.

Kenyataan Mufti Wilayah
Apa yang berlaku memberi kepada kita betapa Bahasa Arab mempunyai makna yang pelbagai. Justeru melihat kepada makna yang baik sebagai tafa’ul adalah penting. Pada saat yang sama elakkanlah daripada penamaan yang boleh membawa kekeliruan. Isu seperti ini perlu ditangani dengan sebaik mungkin. Ini kerana jika dibiarkan keadaan seperti ini ia akan berlaku ke semasa dari semasa. Justeru satu tidankan yang bersepadu utnuk mengemaskinikan isu penamaan ini dengan lebih efisyen dan terkini perlu digerakkan dengan pantas.

Cadangan
Pertama: Kepada Jabatan Pendaftaran Negara

  • Kami mencadangkan supaya pihak Jabatan Pendaftaran Negara memberi ruangan khusus dalam nama anak-anak umat Islam untuk ditulis dengan dua nama iaitu dalam tulisan Rumi dan juga tulisan Jawi. Seterusnya tulisan Jawi diambilkira sebagai yang paling muktamad terutamanya dalam kalimah atau nama yang wujud dalam Bahasa Arab. Ini kerana kami dapati banyak juga nama apabila ditulis dalam huruf Latin atau Rumi boleh memberi maksud yang lain. Contohnya perkataan yang mengandungi huruf ‘Ain dan Alif yang biasanya akan ditulis dalam bahasa melayu dengan huruf A sahaja seperti Abdullah. Ini bertujuan agar ketepatan sebutan dan makna sebenar yang dikehendaki sampai kepada maksudnya. Perkara ini telah dilakukan di Singapura untuk umat Islam di sana.
  • Sudah sampai masanya Jabatan Pendaftaran Negara menempatkan para asatizah atau yang berkelayakan dalam agama seperti kader JAKIM bagi menentukan kesahihan nama sebutan, pensabitan nasab juga menjadi penasihat kepada ibu bapa yang datang untuk penamaan anak.

Kedua: Kepada Ibu Bapa
Kami cadangkan kepada para ibu bapa yang direzekikan dengan cahaya mata dan zuriat solehah agar:

  • Memberi dan memilih nama yang baik kepada anak-anak sama ada putera atau puteri.
  • Tanyalah kepada ahli ilmu dan para asatizah ketika mahu menamakan anak.
  • Janganlah rujuk kepada buku sahaja tatkala ingin menamakan anak.
  • Elakkanlah daripada menamakan anak dengan nama-nama yang panjang dan tersusun (murakkab) tetapi berpadalah dengan satu atau dua sahaja kerana ghalibnya sebutan akan dipendekkan.
  • Biasakanlah dengan memanggil anak dengan nama yang penuh supaya menghasilkan maksud dan maknanya.

Semoga dikurniakan pasangan hidup, suami dan isteri yang soleh dan solehah serta anak-anak yang menjadi penyejuk mata dan saham buat kita di Hari Akhirat. Kami tutup dengan sebuah doa yang sangat baik untuk dibaca selepas solat.

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.

Akhukum fillah,
SS. Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri,
Mufti Wilayah Persekutuan
15 Nov 2016 bersamaan 15 Safar 1438 H

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...