130 : MANIFESTO DAN JANJI PILIHAN RAYA
MUKADIMAH
Negara Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Oleh itu, pada kebiasaannya setiap lima tahun sekali, Pilihan Raya Umum akan diadakan bagi memilih pengemudi dan wakil-wakil yang boleh membawa aspirasi rakyat untuk membangunkan negara.
Dalam tempoh ini, setiap parti yang bertanding akan membentangkan manifesto dan tawaran yang terbaik untuk rakyat. Ini bagi membuka peluang kepada rakyat untuk menilai calon yang terbaik untuk mewakili mereka dan memastikan agar dapat memilih yang terbaik dalam meneraju negara. Melihat kepada suasana tersebut, Bayan Linnas pada kali ini akan memfokuskan berkenaan ‘Manifesto dan Janji Pilihan Raya.
Semoga Bayan Linnas pada kali ini memberi pencerahan dan juga semangat untuk melaksanakan manifesto yang dibentangkan kepada khalayak masyarakat dan rakyat dengan kesungguhan yang penuh dalam memajukan negara dan memacu ke arah kecemerlangan.
DEFINISI MANIFESTO
Secara umumnya di dalam sistem demokrasi, manifesto ialah satu dokumen pemasaran idea, harapan dan masa depan. Manifesto lebih dari sekadar janji-janji pilihan raya.
Menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, manifesto bermaksud pengisytiharan kepada orang ramai tentang dasar (tujuan, dan lain-lain) sesuatu parti politik sebelum Pilihan Raya dan lain-lain lagi.
Menurut definisi yang diberikan oleh Oxford Dictionaries pula, manifesto bermaksud: “A public declaration of policy and aims, especially one issued before an election by a political party or candidate.” Maksudnya: “Deklarasi awam berkaitan polisi dan tujuan yang dilakukan khususnya sebelum tempoh Pilihan Raya oleh parti politik atau pun individu.”
Norman Fairclough[1] di dalam bukunya yang bertajuk “New Labour, New Language?” menyifatkan manisfesto Pilihan Raya sebagai sebuah dokumen parti politik.
Menurut pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Pusat Pengajian Bahasa dan Lingusitik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Idris Aman, manifesto ialah pernyataan bertulis yang diwacanakan kepada umum mengenai kepercayaan, dasar dan apa yang ingin ditawarkan oleh parti politik, khususnya dalam Pilihan Raya sesebuah negara.
Dengan demikian, manifesto dapat dilihat sebagai wadah penyampaian idea dasar dan cita-cita parti politik kepada bakal pengundi semasa berkempen dalam pilihanraya. Oleh itu, bagi setiap pilihanraya- umum atau kecil- pembikinan dan pengwujudan manifesto merupakan satu kelaziman dan diperkirakan penting oleh parti politik yang bertanding. Ia juga adalah satu gambaran berkaitan hala tuju yang ingin dibawa dan yang akan dilaksanakan sekiranya diberikan mandat.
CIRI-CIRI MANIFESTO YANG BAIK
Manifesto boleh dianggap sebagai alatan pemasaran atau marketing tool. Dengan alatan tersebut parti-parti politik boleh mempengaruhi persepsi dan minda rakyat. Tentu sahaja manifesto tidak boleh menukar dari persepsi negatif kepada persepsi positif, akan tetapi sekurang-kurangnya manifesto boleh mengukuhkan jenama positif.
Dalam keghairahan parti-parti politik untuk meraih undi, mereka lebih cenderung untuk mengemukakan manifesto yang bersifat populis tanpa melihat kemampuan dan keterbatasan sumber yang ada.
Lihat sahaja contoh yang berlaku semasa Pilihan Raya Amerika Syarikat. Semasa tempoh pilihan raya, Donald Trump berjanji untuk membina tembok di sepanjang sempadan negara itu dengan Mexico. Akan tetapi, apabila beliau sudah mendapat mandate, ternyata ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.
Gabenor Phil Murphey pula berjanji untuk menghalalkan marijuana (sejenis dadah) di New Jersey. Akan tetapi beliau menghadapi kesukaran untuk berbuat demikian. Terlalu banyak perkara dan pertimbangan yang perlu dibuat oleh anggota legislatif dan pentadbiran kerajaan sebelum menyokong apa yang beliau ingin bawa itu.
Menjadi kesalahan yang amat besar jika parti politik sekadar membawa manifesto populis tanpa melihat kemampuan, realiti semasa dan kehendak rakyat.
Antara ciri-ciri manifesto yang baik sekurang-kurangnya perlu ada lima elemen yang penting [2] :
- Ia sepatutnya menjelaskan kerangka ideologi parti atau ideological framework.
- Manifesto itu hendaklah mempunyai mesej teras. Ini penting kerana mesej teras ini menjadi rujukan apabila timbul isu baharu yang mungkin tidak dapat dimasukkan dalam manifesto.
- Rekod pencapaian sebelum ini atau kad laporan. Ini penting bagi membolehkan pengundi menilai kemampuan sesebuah parti melaksanakan apa yang dijanjikan.
- Hadkan skop kepada perkara-perkara penting dan bermakna kepada rakyat. Parti politik mudah terperangkap untuk menjanjikan bulan dan bintang.
- Gunakan bahasa yang boleh difahami oleh rakyat. Elakkan bahasa bombastik atau jargon (bahasa atau istilah khusus) pengurusan.
Janji Dan Hubungannya Dengan Sifat Orang Beriman
Di antara sifat orang beriman adalah menepati janji. Ia adalah sifat yang menyebabkan manusia akan percaya akan kata-katanya jika dia sentiasa menepatinya. Sifat ini telah dijelaskan melalui al-Quran dan al-Sunnah. Ia sememangnya membunyai hubungan dengan sifat orang beriman.
- Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”
(Surah al-Maidah: 1)
Kata Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili: “Janji adalah satu sifat yang terpuji. Menyalahi janji adalah satu sifat khianat dan nifaq. Meleraikan perjanjian yang telah dibuat merupakan sikap yang boleh menyebabkan hilangnya kepercayaan. Maka, secara syarak, wajib untuk menepati janji. Sesiapa yang menyalahi dan tidak menepati janji yang telah dilakukan, sebenarnya dia telah melakukan maksiat dan dosa.” (Rujuk al-Tafsir al-Munir, 15/73)
- Firman Allah SWT lagi di dalam surah yang lain:
وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا
Maksudnya: “dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.”
(Surah al-Isra’: 34)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Tunaikanlah apa yang telah kamu janjikan kepada Allah untuk sentiasa menunaikan apa yang Dia bebankan kepadamu mahupun apa yang kamu janjikan kepada manusia, seperti akad-akad muamalat dalam soal jual beli, sewa-menyewa dan sebagainya.
Al-Zajjaj mengatakan: “Apa sahaja yang diperintahkan mahupun yang dilarang oleh Allah SWT termasuk perjanjian dan termasuk ke dalamnya pula janji antara seorang hamba dengan Tuhannya, atau antara hamba-hamba Allah SWT sesama mereka.
Sementara itu, yang dimaksudkan dengan menunaikan janji ialah memelihara janji menurut cara yang diizinkan oleh syariat mahupun undang-undang yang diredai oleh Allah SWT. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 8/3945-3946)
Sheikh Tahir Ibn ‘Asyur ketika menafsirkan ayat ini, beliau menyebutkan: “Ayat ini adalah satu perintah supaya menepati janji (yang telah dilakukan).” (Rujuk al-Tahrir wa al-Tanwir, 14/78)
- Di dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:
وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ
Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.”
(Surah al-Mukminun: 8)
Sheikh Tahir Ibn ‘Asyur sekali lagi menjelaskan maksud daripada ayat ini. Beliau menyebut: “Ini adalah dua sifat yang mulia bagi seorang mukmin. Ianya terpecah kepada dua sifat. Sifat menunaikan amanah yang telah diberikan dan juga sifat menepati janji.”
Beliau menyebut lagi: “Di dalam ayat ini, dikumpulkan sifat amanah dan sifat menjaga janji (yang telah dituturkan). Ini kerana menepati janji yang telah dilakukan adalah sama seperti menanggung amanah yang diberikan.” (Rujuk al-Tahrir wa al-Tanwir, 1/2818-2819)
Sayyid Qutb pula berkata: “Kehidupan sebuah masyarakat tidak akan betul melainkan segala amanat yang ada padanya ditunaikan dengan sempurna dan segala perjanjiannya dipelihara dan dikotakan.” (Rujuk Tafsir fi Zilal al-Quran, 11/255)
Melalui ayat-ayat yang telah disebutkan, maka dapat kita lihat dan amati bahawa sifat menepati janji tidak boleh dipisahkan dari jati diri orang yang beriman.
Adapun hadis Nabi SAW, banyak sekali riwayat yang menyebutkan tentang kewajiban menepati janji. Antaranya:
- Daripada Anas R.A, beliau berkata: Rasulullah SAW pernah memberikan khutbah kepada kami. Baginda bersabda :
لاَ إِيمَانَ لِمَنْ لاَ أَمَانَةَ لَهُ وَلاَ دِينَ لِمَنْ لاَ عَهْدَ لَهُ
Maksudnya: “Tiada iman (kurang iman) bagi yang tiada sifat amanah. Tiada agama (kurang agama) bagi yang tidak menepati janji.”
Riwayat al-Baihaqi (4354) di dalam Syu’ab al-Iman
- Daripada Ubadah Bin Somit. Rasulullah SAW bersabda:
اضْمَنُوا لِي سِتًّا مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَضْمَنْ لَكُمْ الْجَنَّةَ اصْدُقُوا إِذَا حَدَّثْتُمْ وَأَوْفُوا إِذَا وَعَدْتُمْ وَأَدُّوا إِذَا اؤْتُمِنْتُمْ وَاحْفَظُوا فُرُوجَكُمْ وَغُضُّوا أَبْصَارَكُمْ وَكُفُّوا أَيْدِيَكُمْ
Maksudnya: “Beri jaminan kepada aku dengan enam perkara maka aku jamin kalian dengan syurga.(Enam perkara itu ialah) bercakaplah benar jika kalian berbicara, tepatilah jika berjanji,jalankan dengan sebaiknya jika diberi amanah, jagalah kemaluan kalian (dari melakukan perkara yang haram), tundukkanlah pandangan kalian (dari melihat perkara yang haram) dan janganlah kalian menyakiti (orang lain).”
Riwayat Ahmad (22757) di dalam Musnadnya
- Daripada Abu Hurairah:
الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ
Maksudnya: “Orang muslim itu berpegang pada janji mereka.”
Riwayat Abu Daud (3594)
Sheikh al-‘Azim Abadi ketika mensyarahkan hadis ini, beliau berkata: “Iaitu mereka tetap (dengan perjanjian yang telah dilakukan) dan tidak berpatah balik.” (Rujuk ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 10/26)
- Daripada Ibnu Abbas, beliau mengkhabarkan bahawa Abu Sufian pernah menceritakan bahawa ketika beliau masih belum lagi memeluk Islam, pemerintah Rom iaitu Hercules telah bertanya kepada beliau perihal Nabi Muhammad SAW:
فَمَاذَا يَأْمُرُكُمْ بِهِ قَالَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَعْبُدَ اللَّهَ وَحْدَهُ لَا نُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا وَيَنْهَانَا عَمَّا كَانَ يَعْبُدُ آبَاؤُنَا وَيَأْمُرُنَا بِالصَّلَاةِ وَالصَّدَقَةِ وَالْعَفَافِ وَالْوَفَاءِ بِالْعَهْدِ وَأَدَاءِ الْأَمَانَةِ
Maksudnya: “Apakah yang Nabi itu perintahkan kepada kalian. Abu Sufian menjawab : Nabi itu memerintahkan kepada kami agar menyembahkan Allah Yang Satu dan tidak mensyirikan-Nya dengan sesuatu. Dia juga memerintahkan kami untuk bersolat, bersedekah, tidak melakukan perkara yang haram, menepati janji dan melaksanakan amanah yang telah diberikan.”
Riwayat al-Bukhari (2941)
Kesemua hadis-hadis yang telah kami sebutkan menjelaskan tentang sifat menepati janji yang tidak boleh dipisahkan dari diri setiap orang mukmin. Sedia maklum bahawa hadis Nabi SAW menjadi panduan dan suluhan kepada umat.
Maka seharusnya hadis-hadis ini dijadikan ‘manual’ harian di dalam kehidupan seharian. Sifat menepati janjilah di antara sifat yang perlu diambil berat dan diamalkan oleh orang Muslim itu sendiri. Ini kerana, sifat ini sudah menjadi satu alamat khusus bagi orang Muslim. Sifat ini sebenarnya menentukan adakah seseorang Muslim itu seorang yang beriltizam dengan agama ataupun tidak.
ADAKAH MENEPATI JANJI WAJIB ATAU HARUS?
Memang terdapat perbahasan berkenaan perkara ini. Adakah perintah untuk menepati janji sesuatu yang wajib atau harus?
Ianya sebenarnya telah dijawab dan diringkaskan oleh Imam al-Nawawi (w.676 H). Kata beliau :
“Para ulama bersepakat bahawa sesiapa yang berjanji maka dia mesti menunaikannya. Namun adakah ianya wajib atau harus?
- Imam Syafie, Imam Abu Hanifah dan jumhur ulama’ menyatakan bahawa ia adalah harus. Jika dia tidak menunaikan janji maka dia telah meninggalkan kebaikan dan juga perbuatan meninggalkan dan tidak menunaikan janji merupakan perbuatan makruh tanzih akan tetapi tidaklah sampai berdosa.[3]
- Sebahagian para ulama berpandangan bahawa ia adalah wajib. Kata Imam Abu Bakar Ibn al-Arabi: Mereka yang berpendapat dengan pandangan ini adalah Khalifah Umar Bin Abdul Aziz. Begitu juga, para ulama bermazhab Maliki berpandangan bahawa menepati janji adalah satu perkara yang wajib jika berkait dengan sebab.” Rujuk al-Azkar (hlmn 271)
Namun begitu, yang disebutkan adalah seputar hukum الوعد. Ada perbezaan di antara الوعد dan العهد.
Kami berpandangan bahawa menepati janji adalah satu perbuatan yang wajib ditunaikan semampu mungkin. Jangan sesekali meninggalkannya dan diabaikannya. Ini kerana, jika diabaikan janji yang telah diucapkan, ia serba sedikit akan mencalarkan imej seseorang sebagai seorang Muslim. Apatah lagi kredibilitinya akan dipertikaikan dan menyebabkan orang tidak lagi percaya kepadanya.
HARAPAN KAMI
Alangkah baiknya jika janji yang diucapkan disertakan dengan ucapan Insha Allah yang mana maksudnya adalah ‘jika Allah kehendaki’. Ianya bukan ucapan semata-mata ucapan, bahkan ia adalah satu tanda ubudiyyah dan penyerahan urusan kepada Allah SWT. Kerana Allah lah yang menentukan segalanya. Manusia tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Ucapan ini adalah satu perintah dari Allah swt agar menyerahkan segala urusan kepada-Nya.
Firman Allah SWT :
وَلَا تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ إِنِّي فَاعِلٌ ذَٰلِكَ غَدًا ﴿٢٣﴾ إِلَّا أَن يَشَاءَ اللَّـهُ ۚ وَاذْكُر رَّبَّكَ إِذَا نَسِيتَ
Maksudnya: “Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): "Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti. Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): "Insya Allah".Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa”
Surah al-Kahfi :23-24
Kata Ibn Kathir: “Ayat ini merupakan petunjuk daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW berkaitan adab yang mana apabila seseorang telah berazam untuk melakukan sesuatu pada masa hadapan, dia perlu mengembalikannya kepada perancangan Allah Yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib. Dia Maha Tahu perkara yang telah berlaku, yang sedang dan yang akan berlaku. Bahkan Dia Maha Tahu apa yang tidak akan berlaku dan bagaimana ianya berlaku.” (Rujuk Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/77)
Oleh itu, apabila ingin melakukan sesuatu, atau mengucapkan janji, maka Allah mengajarkan hamba-Nya untuk mengembalikan kesemua itu kepada Allah SWT dengan ucapan Insyaallah. Ini adalah adab yang diajarkan agar kita bersedia kerana sebagai manusia kita hanya mampu menyusun dan merancang sedangkan Allah lah yang menentukan segalanya. Apatah lagi jika janji yang diucapkan adalah melibatkan perkara yang besar seperti pentadbiran negara dan maslahat-maslahat yang melibatkan rakyat.
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, kami mencadangkan agar setiap manifesto yang hendak dikemukakan adalah manifestasi dari kehendak dan keperluan rakyat yang mana ianya perlulah bersifat teras, mementingkan kehendak dan maslahat rakyat serta ada kebarangkalian dan kemampuan untuk dilaksanakan sebaik mungkin.
Sebagai penutup, suka untuk kami nukilkan Titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin berkaitan musim Pilihan Raya pada kali ini:
“Berlatarbelakangkan pengalaman 13 kali Pilihan Raya Umum sebelum ini, warga wajib mempamerkan kebijaksanaan berpolitik dengan mengamalkan budaya demokrasi secara matang, Pada setiap masa, wajib dipelihara dan wajib dipastikan, tidak diucap sebarang perkataan, dan tidak dilakukan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan persengketaan di antara warga.
Keselamatan negara dan ketenteraman awam terlalu berharga untuk dikorbankan disebabkan matlamat politik jangka pendek. integriti pihak penguatkuasaan undang-undang hendaklah dipelihara dengan mempamerkan amalan penguatkuasaan berlandaskan undang-undang secara adil dan saksama, yang tidak memihak dan tidak mempamerkan sikap partisan kepada mana-mana kumpulan, dan berpegang kepada prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara.
Apa juga penentuan yang menjadi pilihan rakyat, berpeganglah kepada prinsip kepercayaan kepada Tuhan. Bahawa segala yang berlaku dan tidak berlaku, dan apa jua pencapaian atau tidak pencapaian rancangan, adalah di bawah penentuan Ilahi.”
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohammad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
23 Syaaban 1439H bersamaan 7 Syaaban 2018M
[1] Lahir pada 1941 dan merupakan seorang Profesor dalam bidang Linguistik di Universiti Lancaster.
[2] Lihat tulisan Norizan Sharif dalam: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/norizan-sharif/lima-ciri-manifesto-yang-baik-1.808016
[3] Kami berpendapat ini lebih kepada sebuah cita-cita yang ingin dilaksanakan dan disampaikan hasrat kepada khalayak masyarakat. janji seperti ini lebih bersifat umum dan bukan kepada seseorang yang dia akan melaksanakan sesuatu kepada seseorang sama ada memberi atau membela dan menolongnya secara lebih khusus.
No comments:
Post a Comment