140: ISLAH DAN PERKASAKAN MA'HAD TAHFIZ AL-QUR'AN
Mukadimah
Baru-baru ini kedengaran isu berkaitan dengan Ma’had Tahfiz al-Quran yang menjadi polemik sama ada perlu ditutup atau sebaliknya. Maka banyaklah hujahan yang dikemukakan dari mereka sama ada yang menyokong atau menentangnya. Ini menyebabkan ucapan yang begitu keras kedengaran. Ini boleh jadi kerana masing-masing memahami isu dalam bentuk kerangka persepsi hasil daripada ungkapan atau tulisan.
Justeru, kami merasa terpanggil untuk mengemukakan sejumlah keistimewaan Ma’had Tahfiz dan juga huffaz (para penghafaz) al-Quran itu sendiri. Oleh itu, dalam Bayan Linnas pada kali ini, kami kerangkakan jawapan berkenaan dengan isu Ma’had Tahfiz al-Quran. Kami tajukkannya dengan: Islah dan Perkasakan Ma’had Tahfiz al-Quran.
Pertama: Fadilat Hafaz al-Quran
Kami mulakan dengan fadilat hafaz al-Quran, membaca, mempelajari dan menekuninya. Antaranya:
Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا فَإِنَّ مَنْزِلَتَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَأُ بِهَا
Maksudnya: “Dikatakan kepada pembaca/penghafaz al-Quran nanti: ‘Bacalah dan naiklah serta tartillah sebagaimana engkau di dunia mentartilnya. Kerana kedudukan kamu adalah pada akhir ayat yang engkau baca (hafal).”
Riwayat al-Tirmizi (2914) dan Abu Daud (1464)
Daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:
مَثَلُ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَهُوَ حَافِظٌ لَهُ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَمَثَلُ الَّذِي يَقْرَأُ وَهُوَ يَتَعَاهَدُهُ وَهُوَ عَلَيْهِ شَدِيدٌ فَلَهُ أَجْرَانِ
Maksudnya: “Perumpamaan orang membaca al-Quran sedangkan dia menghafalnya, maka ia akan bersama para Malaikat mulia. Sedangkan perumpamaan seorang yang membaca al-Quran dengan tekun, dan dia mengalami kesulitan atasnya, maka dia akan mendapat dua ganjaran pahala."
Riwayat al-Bukhari (4937)
Daripada Abu Mas’ud al-Badri, ‘Uqbah Ibn Amru R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ
Maksudnya: Yang layak menjadi imam di kalangan mereka adalah yang paling banyak hafazan dan bacaan kitab Allah.
Riwayat Muslim (673), Abu Daud (582),
al-Tirmizi (235), Ibn Majah (807) dan lain-lain
Daripada Umar Ibn al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْكِتَابِ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengangkat dengan kitab ini (al-Quran) kaum-kaum dan menjatuhkan dengan kitab ini (al-Quran) golongan yang lain.
Riwayat Muslim (1934), Ibn Majah (180),
al-Daraqutni (261) dan lain-lain
Daripada Abu Umamah al-Bahili R.A, Bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ
Maksudnya: Bacalah al-Quran kerana dia datang pada hari kiamat dalam bentuk memberi syafaat kepada tuan-tuannya.
Riwayat Muslim (1910)
Daripada Anas Bin Malik R.A katanya, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ لِلَّهِ أَهْلِينَ مِنْ النَّاسِ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَنْ هُمْ؟ قَالَ: "هُمْ أَهْلُ الْقُرْآنِ، أَهْلُ اللَّهِ وَخَاصَّتُهُ
Maksudnya: Sesungguhnya bagi Allah terdapat ahli-Nya dikalangan manusia. Mereka bertanya, hai Rasulullah siapakah mereka?Jawab baginda, mereka ialah ahli al-Quran, ahlullah dan yang diistimewanya.
Riwayat Ibn Majah (215)
Perkataan ahlullah digunakan kepada penghafaz al-Quran sebagai gambaran kemuliaan dan keistimewaan mereka. Benarlah kata Imam Ibn al-Jazari:
وَأَنَّهُم فِي النَّاسِ أَهلُ اللهِ وَأَنَّ رَبَّنَا بِهِم يُبَاهِي
وَقَالَ عَنْهُم فِي القُرءَانِ وَكَفَى بِأَنَّهُ أَورَثَهُ مَنِ اصْطَفَى
Bahawa sesungguhnya mereka di kalangan manusia sebagai ahlullah
Sesungguhnya Tuhan kami dengan mereka pasti berbangga
Dia berfirman tentang mereka dalam al-Quran dan memadai
Bahawa sesungguhnya Dia mewariskannya siapa yang terpilih.
Berdasarkan kepada nas-nas di atas jelas menunjukkan kelebihan membaca dan menghafaz al-Quran sehingga dikurniakan pelbagai keistimewaan yang tidak diberikan kepada yang lain. Ini bukan sahaja kurniaan di akhirat bahkan di dunia lagi. Ibn Hajar al-Haitami pernah berkata khabar yang khusus berkenaan yang menghafaz al-Quran bukan semata-mata membacanya kerana membaca tidak akan berbeza dengan yang lain.
Kedua: Faedah dan Keistimewaan Menghafaz al-Quran
Kami kemukakan di sini fakta atau realiti kepada yang menghafaz al-Quran betapa banyaknya faedah dan keistimewaan bukan semata-mata di akhirat tapi di dunia lagi antaranya:
- Murah rezeki. Sebagai contoh diperlukan untuk menjadi imam, pembaca doa dan juga penyelesai masalah dalam masyarakat. Secara logiknya, siapa yang menjaga Allah dan memelihara-Nya termasuk memelihara kalam-Nya, sudah pasti Allah memeliharanya sepertimana yang disebut di dalam al-Quran dan hadis.
- Cemerlang dalam peperiksaan. Pelajar yang menghafaz al-Quran biasanya mendapat kecemerlangan dalam kehidupan dan juga peperiksaan yang dihadapi. Hal ini bukanlah perkara yang pelik bagi pelajar-pelajar yang berada di Ma’had Tahfiz apabila memasuki peperiksaan seperti SPM mahupun STPM akan meraih kejayaan memberangsangkan. Boleh jadi, kerana sistem latihan dan sistem hafazan yang telah disebatikan dan yang lebih besar daripada itu keberkatan al-Quran itu sendiri.
- Fasihnya lidah. Ini merupakan kesan yang nyata bagi penghafaz al-Quran lebih-lebih lagi sebutan bahasa Arab sebagai lughah (bahasa) al-Quran. Begitu juga hal ini telah diketahui oleh Dr. Yahya al-Bardawi berkenaan dengan kelebihan mereka yang mempelajari al-Quran dan menghafaznya.
Dikemukakan sebuah hadis Nabi SAW sebagai penguat hujahan di atas.
اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلاَ تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ
Maksudnya: “Bacalah Surah al-Baqarah kerana sesungguhnya mengambilnya adalah keberkatan. Sedangkan meninggalkannya adalah kerugian dan orang yang malas serta lemah semangat tidak mampu melaksanakannya.”
Riwayat Muslim (1910)
Penulis menutup hal ini dengan mengemukakan sebuah rencana dari Detik Islam yang bertarikh 21 Januari 2012 antara lain menyebut, sebuah kajian baru membuktikan bahawa semakin banyak hafalan al-Quran seseorang, maka semakin baik pula kesihatannya. Dr Soleh bin Ibrahim al-Shani, pensyarah psikologi di Universiti al-Imam bin Saud al-Islamiyyah, Riyadh, meneliti dua kumpulan responden. Mereka terdiri daripada mahasiswa dan mahasisiwi Universiti King Abdul Aziz yang jumlahnya seramai 170 responden, dan kumpulan mahasiswa dan mahasiswi Universiti al-Imam al-Syatibi, juga seramai 170 responden.
Penyelidik mendefinisikan kesihatan psikologi sebagai keadaan di mana berlaku keselarasan psikologi individu daripada tiga faktor utama terdiri daripada agama, spiritual, hal berkaitan sosial dan jasmani. Untuk mengukurnya, penyelidik menggunakan parameter kesihatan psikologinya, Sulaiman Duwairat, yang terdiri daripada 60 unit.
Kajian ini mendapati adanya korelasi positif antara peningkatan kadar hafalan dengan tingkat kesihatan psikologi, dan mahasiswa yang unggul di bidang hafalan al-Quran itu mempunyai tahap kesihatan psikologi dengan perbezaan yang sangat jelas.
Ada lebih dari tujuh puluh kajian, sama ada dari sarjana Islam mahupun barat, yang keseluruhannya menegaskan kepentingan agama dalam meningkatkan kesihatan psikologi seseorang, kematangan dan ketenangan. Sebagaimana pelbagai kajian di Arab Saudi sehingga pada hasil yang menegaskan peranan al-Quran dalam meningkatkan kemahiran asas pelajar-pelajar sekolah rendah, dan pengaruh yang positif dari hafalan al-Quran untiuk mencapai IP yang tinggi.
Kajian tersebut memberi gambaran yang jelas tentang hubungan antara keberagamaan dengan pelbagai bentuknya, terutama menghafal al-Quran, dan pengaruh-pengaruhnya terhadap kesihatan individu dan keperibadiannya, berbanding dengan individu-individu yang tidak disiplin dengan ajaran-ajaran agama, atau tidak menghafal al-Quran sedikit atau seluruhnya.
Berdasarkan kajian, setiap orang yang menghafal sebahagaian dari al-Quran dan mendengar bacaan al-Quran secara berterusan itu pasti merasakan perubahan yang besar dalam hidupnya. Hafalan al-Quran juga berpengaruh pada kesihatan fizikalnya. Melalui pengalaman dan pengamatan, dapat dipastikan bahawa al-Quran itu dapat meningkatkan sistem kekebalan tubuh pada seseorang, dan membantunya terjaga dari pelbagai penyakit. Berikut dinyatakan manfaat-manfaat hafalan al-Quran:
- Fikiran yang jernih.
- Kekuatan memori.
- Ketenangan dan kestabilan psikologi.
- Senang dan bahagia.
- Bebas dari perasaan takut, cemas dan sedih.
- Mampu bercakap di khalayak awam.
- Mampu membina hubungan sosial yang lebih baik dan memperoleh kepercayaan orang lain.
- Memiliki kekuatan dan ketenangan psikologi.
Ini berdasarkan firman Allah SWT:
بَلْ هُوَ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ فِي صُدُورِ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ ۚ وَمَا يَجْحَدُ بِآيَاتِنَا إِلَّا الظَّالِمُونَ
Maksudnya: (Al-Quran tetap datangnya dari Allah Dengan tidak syak lagi) bahkan ia ayat-ayat keterangan Yang jelas nyata, Yang terpelihara di Dalam dada orang-orang Yang berilmu; dan tiadalah Yang mengingkari ayat-ayat keterangan Kami melainkan orang-orang Yang zalim.
(Surah al-Ankabut: 49)
Semoga kenyataan dan fadilat di atas menjadi pemangkin kepada umat Islam untuk menghafaz dan mencintai Al-Quran.
Ketiga: Ma’had Tahfiz al-Quran: Islah dan Perkasakan
Kami menyambut baik kenyataan ramai tokoh termasuklah YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia antara lain menyatakan:
“Beberapa intervensi akan dilaksanakan untuk membantu sekolah tahfiz bagi memastikan pelajar tahfiz mampu berdaya saing sama ada di dunia akademik atau pasaran kerja yang semakin mencabar.”[1]
“"Biasanya, isu yang berbangkit di sekolah tahfiz adalah mengenai kualiti pengajaran dan pendidikan. Jadi, kita ingin memastikan supaya sekolah tahfiz tidak menggadaikan kualiti pendidikan untuk anak-anak kerana mereka inilah masa depan negara"
"Kita tidak mahu apa yang diajarkan di sekolah tahfiz itu akan melahirkan pelajar-pelajar yang tidak mengenal ilmu duniawi. Ia kena ada keseimbangan di antara ilmu akhirat (ukhrawi) dan duniawi yang diperlukan terutamanya dari segi Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik”
"Setiap hari, hendaklah ada dalam kalangan anak-anak murid yang dilatih untuk menyampaikan pidato atau pengucapan awam. Kita dapati di kebanyakan negara-negara maju, mereka mempunyai sudut-sudut yang sedemikian di sekolah-sekolah.
"Ia akan membantu melahirkan anak-anak murid yang bukan sahaja mempunyai kemahiran untuk berbicara di khalayak ramai tetapi juga berkeyakinan tinggi" [2]
Begitu juga ramai tokoh turut memberikan pandangan, antaranya:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa
Sekolah tahfiz ini menyumbang kepada kelahiran hafiz, yang kemudian mereka menjadi imam-imam di masjid. Jika benar ada kelemahan dari sudut kurikulum, maahad tahfiz itu sendiri atau keselamatan, apa yang perlu kita buat ialah kawal selia supaya jadi lebih baik, bukan tutup.”
“Kawal selia itu maksudnya sekolah tahfiz ini perlu berdaftar dan tidak boleh dibuat secara terasing daripada sistem pendidikan yang ditetapkan.[3]
Ada para hafiz yang menjadi imam dan pada waktu yang sama berkarier. Darul Quran Jakim itu sebenarnya untuk melahirkan orang yang bukan sahaja huffaz tetapi juga profesional.[4]
Menghapuskan itu tidak akan selesaikan masalah pun, jadi saya sukar menerima saranan tersebut kerana terlalu abstrak dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.[5]
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri
“Menghafaz al-Quran satu fardu kifayah. Melahirkan doktor satu fardu kifayah. Begitu juga dengan jurutera. Golongan inilah yang melepaskan kita dari dosa.
Jadi kalau diri sendiri tidak hafaz al-Quran, tidak usahlah halang orang lain mahu buat. Kalau kita tutup atau halang perkara ini, maka kita semua kena tanggung dosalah.[6]
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman
Sememangnya terdapat beberapa kelemahan dalam sistem pendidikan tahfiz di negara ini, tetapi masalah itu boleh diperbetulkan dan tidak semestinya memaksa sekolah tersebut ditutup.[7]
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor
Memang kita tahu pusat tahfiz ini ada kelemahan dan kekurangan, tetapi menjadi tanggungjawab pihak berwajib untuk mengatasi perkara itu, antaranya berkaitan kewangan dan infrastruktur pusat berkenaan.”[8]
“Berdasarkan pengalaman beberapa negara lain, mereka yang mengikuti sekolah tahfiz turut memiliki kemahiran dan kerjaya profesional dalam pelbagai bidang. Hasil yang sama juga perlu dititikberatkan oleh sistem pendidikan tahfiz di Malaysia.[9]
“Contohnya di Pakistan dan India, ada dalam kalangan pelajar tahfiz mereka berjaya menjadi jurutera dan memegang jawatan profesional.”[10]
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Dengan melihat dan meyakini dengan penuh keimanan di dalam al-Quran, kalamullah penuh mukjizat, kelebihan yang menjadi petunjuk serta hidayah kepada manusia serta jaminan Allah akan pemeliharaan-Nya sebagaimana Nas Ilahi:
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”
(Surah al-Hijr: 9)
Imam Ibn Kathir berkata: “Kemudian Allah SWT menetapkan bahawa Allah lah yang menurunkan al-Zikr iaitu al-Quran. Dan Dialah juga yang memeliharanya daripada sebarang usaha untuk mengubah dan menggantinya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/527)
Prof Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Ini adalah keistimewaan al-Quran kerana Allah SWT telah menjamin untuk menjaga dan memeliharanya sepanjang masa. Berbeza dengan kitab-kitab terdahulu, para rahib dan pendeta yang diperintahkan untuk menjaganya namun mereka mencemarinya, menyalahgunakannya dan menggantinya. Bahkan kitab-kitab terdahulu yang asli telah hilang tanpa diketahui jejaknya.” (Lihat al-Tafsir al-Munir fi al-Aqidah wa al-Syari’ah wa al-Manhaj, 7/284)
Makanya kami berpendapat, Ma’had Tahfiz al-Quran adalah kilang proses tamadun manusia dan membina hakikat insaniyatul insan yang mengenali dan makrifah kepada Tuhannya serta mentahqiqkan ubudiyyah kepada-Nya. Justeru, kami nyatakan bahawa amat perlu dipertahankan tetapi dalam masa yang sama hendaklah diperkasakan dan diislahkan Ma’had Tahfiz antaranya:
- Bantuan kepakaran dari pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan.
- Menyediakan prasarana yang mencukupi dan sesuai mengikut kehendak zaman dan terkini.
- Memberi kursus latihan dan kepakaran kepada guru yang terbabit di Ma’had Tahfiz al-Quran.
- Menyelaraskan kurikulum tahfiz al-Quran kepada beberapa kelompok yang difikirkan sesuai dalam melahirkan acuan hufffaz (para penghafaz) professional yang benar-benar mantap
- Kurikulum yang digubal melayakkan pelajar-pelajar meneruskan kesinambungan ilmu di peringkat yang lebih tinggi seperti universiti.
- Menjadikan golongan pelajar tidak tercicir dari arus sistem pendidikan perdana yang sentiasa ditambah nilai dari semasa ke semasa.
- Cuba menyeragamkan sistem-sistem yang ada kepada kelompok-kelompok yang diiktiraf oleh guru-guru huffaz al-Quran
- Tidak membenarkan sama sekali pelajar Ma’had Tahfiz menjadikan aktiviti mengutip derma sebagai salah satu daripada kerja utama.
- Memberi kesedaran kepada ibubapa, guru-guru dan pelajar akan hasrat dan matlamat yang sepatutnya jelas dalam kehidupan tatkala al-Quran berada pada dadanya.
- Menjadikan al-Quran al-Karim sebagai rujukan utama dalam kehidupan dan Sunnah Nabawiyyah sebagai panduan dan tafsir al-Quran yang terbaik.
Semoga anak-anak penghafaz al-Quran dan Ma’had Tahfiz sentiasa dibela dalam memartabatkan keunggulan Islam. Ketahuilah Ma’had Tahfiz di seantero dunia Islam wujud dan berkembang dengan begitu pesat sekali. Inilah hakikat dan realiti yang wajib kita terima kecuali pengisian mengikut acuan yang dikehendaki oleh kita sendiri.
Akhir kalam, kami tegaskan Maahad Tahfiz tidak perlu ditutup tetapi perlu diislah dan diperkasakannya.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
12 Julai 2018
[1] https://www.facebook.com/Dr-Maszlee-Malik-151709604900321/
[2] http://www.sinarharian.com.my/nasional/kpm-akan-laksana-intervensi-bantu-sekolah-tahfiz-1.854800
[3] Utusan Malaysia, 9/7/2018.
[4] https://www.facebook.com/DrMujahidYusofRawa/
[5] Sinar Harian, 9/7/2018.
[6] Utusan Malaysia, 9/7/2018.
[7] Utusan Malaysia, 9/7/2018.
[8] Sinar Harian, 9/7/2018.
[9] Utusan Malaysia, 9/7/2018.
[10] Sinar Harian, 9/7/2018.
No comments:
Post a Comment