94 : HUKUM PENGANJURAN PROGRAM KEMPEN QURAN HOUR
Mukadimah
Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) telah mengadakan kempen ‘World #QuranHour’ , selepas ini disebut ‘Quran Hour’, yang menjadualkan bacaan al-Quran secara bersama selama sejam pada 9 Zulhijjah di beberapa tempat. Program ini buat julung kalinya dilaksanakan pada tahun 2016 bersamaan 9 Zulhijjah 1437H yakni pada Hari Wukuf. Program ini adalah kesinambungan program-program lain yang bertemakan ‘Baca, Faham, Amal dan berinteraksi dengan al-Quran’ seperti ‘Akftikan Rumah Ngaji’ yang melibatkan kelas pengajian al-Quran di 1000 buah rumah dan ‘Malaysia Ngaji’ yang diadakan pada 24 Ramadhan saban tahun.
Program-program ini juga mendapat kerjasama dan rakan sinergi yang terdiri daripada agensi kerajaan seperti JAKIM, majlis agama negeri-negeri, dan jua agensi swasta seperti Kumpulan Media Prime, RTM, TV Hijrah, Astro, Bernama, Kumpulan Utusan (Utusan Malaysia dan Kosmo), NSTP Group (New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro) dan Kumpulan Media Karangkraf Sinar Harian).
Pada tahun 1437H, perlaksanaan Program ‘Sejam Bersama Al-Quran’ ini diadakan secara kemuncak di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan di tiga tempat lain yakni di Padang Arafah oleh jemaah haji Malaysia dan peserta negara luar, rakyat Malaysia yang sedang berada di luar negara, dan kerjasama dengan negara lain seperti ‘Alumni UIA di 31 chapters di luar negara, Madrasah Tahfiz Sulaimaniyah di lebih 156 negara, Pertubuhan Bayyinah dan gabungan Muslim Ngo seluruh dunia.’
Rujuk Dokumen ‘Permulaan Kempen Word #QuranHour’ .
Telah sampai kepada kami soalan daripada masyarakat berkenaan adakah kempen Quran Hour ini merupakan satu bentuk bidaah yang dicela. Ini kerana pihak penganjur seakan meniru perayaan masyarakat barat yang membuat Earth Hour, berhimpun pada Hari Wukuf selain daripada Arafah dan menentukan waktu tertentu untuk ibadah tertentu. Justeru, Bayan Linnas kali ini kami tajukkan “Bayan Linnas Siri Ke-94 : Hukum Penganjuran Program Kempen Quran Hour” untuk menjelaskan isu ini supaya bermanfaat kepada masyarakat.
Dalil al-Quran dan al-Hadith
Firman Allah Taala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).
(Surah al-Hajj, 22:77)
Imam al-Nawawi Rahimahullah (w.676) menyebutkan ayat ini dalam kitabnya Riyadh al-Solihin (hal. 110 & 315) kemudian menyebutkan hadis berikut.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Maksudnya: “Dan tidaklah dalam satu kaum yang berkumpul dalam rumah daripada rumah-rumah Allah lalu membaca kitab-Nya dan saling mempelajarinya bersama-bersama kecuali Allah akan turunkan ketenangan ke atas mereka, diliputi dengan rahmat-Nya, para malaikat akan memenuhi majlis mereka dan Allah akan menyebut-nyebut mereka dalam kalangan mereka yang dekat dengan-Nya.”
Riwayat Muslim (2699)
Berkata al-Nawawi: “Inilah dalil kelebihan berhimpun untuk membaca al-Quran di dalam masjid. Inilah pendapat mazhab kami (Syafieyyah) dan Jumhur Ulama melainkan Imam Malik.”
Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (17/21-22)
Justeru, secara asalnya, membaca al-Quran dan bertadarus beramai-ramai adalah digalakkan dalam Syariat.
Perbezaan Pandangan Dalam Kalangan Ulama Berkenaan Bidaah Idhafiyyah
Kita masuk kepada isu adakah boleh seseorang itu menentukan amalan tertentu berdasarkan masa dan tempat tertentu tanpa mendasari penetapan itu daripada dalil-dalil Syarak. Isu ini kami bahaskan dalam topik bidaah idhafiyyah. Terdapat khilaf dalam kalangan ulama Ahlu Sunnah wal Jamaah dalam memahami isu bidaah idhafiyyah.
- Pendapat pertama
Daripada Umm al-Mukminin Umm Abdullah Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya: “Sesiapa yang mereka-reka perkara baru dalam urusan (agama) kami, yang tidak berasas daripadanya, maka ia tertolak.”
Riwayat al-Bukhari (2697) dan Muslim (1718)
Ibn Hajar al-Haitami dalam Fath al-Mubin (1/221), mensyarahkan potongan hadis ‘مَا لَيْسَ مِنْهُ’ sebagai:
مِمَّا يُنَافِيهِ أو لَا يَشْهَدُ لَهُ شَيْءٌ مِن قَوَاعِدِهِ وأَدِلَّتِهِ العَامَّة
Maksudnya: "(Bidaah yang tertolak itu) adalah perkara yang menyelisihi agama atau perkara yang tidak ada petunjuk daripada kaedah-kaedah atau dalil-dalil umum agama."
Perkataan ini selari dengan manhaj Imam Muhammad bin Idris al-Syafie Rahimahullah (w.204), pengasas mazhab al-Syafie sendiri. Berkata al-Rabi` bin Sulaiman bahawa al-Syafie berkata:
الْمُحْدَثَاتُ مِنَ الْأُمُورِ ضِرْبَانِ: أَحَدُهُمَا: مَا أُحْدِثَ يُخَالِفُ كِتَابًا أَوْ سُنَّةً أَوْ أَثَرًا أَوْ إِجْمَاعًا , فَهَذِهِ لَبِدْعَةُ الضَّلَالَةِ. وَالثَّانِيةُ: مَا أُحْدِثَ مِنَ الْخَيْرِ لَا خِلَافَ فِيهِ لِوَاحِدٍ مِنْ هَذَا , فَهَذِهِ مُحْدَثَةٌ غَيْرُ مَذْمُومَةٍ
Maksudnya: Perkara-perkara yang baharu dalam agama itu adalah dua jenis.
Pertamanya: Perkara baharu yang diadakan bertentangan dengan kitab (al-Quran) atau Sunnah (Nabi Muhammad SAW) atau athar (Sahabat) atau Ijmak, maka ini adalah bidaah yang sesat.
Keduanya: Perkara baharu yan baik diadakan tetapi tidak bertentangan dengan (usul-usul) yang disebut maka perkara yang baharu jenis ini tidak dicela.
Riwayat al-Baihaqi dalam al-Madkhal ila al-Sunan al-Kubra (253)
Contohnya, pada zaman Saidina Umar al-Khattab, beliau melihat orang mendirikan malam-malam Ramadhan dengan bersolat sendiri-sendiri dan berjemaah secara berpecah di dalam satu masjid. Kemudian beliau menghimpunkan orang ramai untuk bersolat berimamkan Ubayy bin Ka’ab RA. Kemudian dia berkata:
نِعْمَتِ الْبِدْعَةُ هَذِهِ
Maksudnya: Betapa baiknya bidaah ini.
Rujuk al-Muwatta’ (1/114) oleh Imam Malik dalam Bab Apa Yang Datang Pada Mendiri Ramadhan.
Setelah itu, Imam al-Haitami al-Haitami menyatakan contoh-contoh bidaah yang baik dan juga bidaah yang dicela, untuk kefahaman.
Contoh bidaah yang baik ialah memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW setiap tahun dengan ibadat-ibadat umum. Berkata Imam Abu Syamah Rahimahullah, guru kepada Imam Nawawi, semoga Allah merahmati kedua-duanya: “Dan di antara perkara yang cukup baik diada-adakan pada zaman kita ini adalah melakukan pada setiap tahubn, pada hari yang bertepatan dengan kelahiran (Nabi) SAW dengan bersedekah, berbuat baik, menzahirkan perhiasan dan kegembiraan. Sesungguhnya pada demikian itu terdapat unsur ihsan kepada fakir miskin, penyair-penyair yang mempersembahkan syair cinta kepada Rasulullah SAW, mengagungkannya, menaikkan kedudukannya, dalam hati orang melakukannya serta bersyukur kepada Taala terhadap wujudnya Pesuruhnya SAW, yang diutuskan sebagai rahmat kepada sekalian alam.”
(Rujuk jua penulisan kami, Bayan Linnas Siri Ke-80: Hukum Menyambut Maulid Al-Rasul)
Manakala bidaah yang buruk ialah amalan, sama ibadat atau akad, yang bertentangan dengan usul-usul yang empat itu secara jelas atau secara iltizam dengan sesuatu:
- Mewajibkan suatu yang diharamkan syarak atau suatu perkara yang dimakruhkan oleh syarak.
- Beriltizam dengan perkara perkara-perkara yang disangka sebagai amalan taat dan mendekatkan diri kepada Allah:
Contohnya seperti:
- Berintima’ (melibatkan diri) dengan jamaah yang mendakwa sebagai tasawuf tetapi menyelisihi para masyaikh tarikat mereka yang beriltizam dengan kezuhudan, warak, dan sifat kesempurnaan yang masyhur di kalangan mereka, bahkan jamaah ini menghalalkan apa diharamkan dan tidak mengharamkan perkara yang haram. Ini kerana mereka diperangkap oleh iblis untuk melakukan perkara-perkara yang buruk dan tercela. Sebaiknya mereka dinamakan dengan nama yang fasiq dan kufur lebih sesuai berbanding dengan tasawuf dan kefakiran.
- Mempercayai tangkal menolak bala seperti tembok atau simpulan tali.
- Menjadikan ibadah yang disyariatkan berdasarkan waktu, tempat, jenis pelaku, dan keadaan tertentu, sebagai ibadah umum:
- Berpuasa pada hari syak dan hari tasyrik
- Berkumpul pada Hari Wukuf bukan di Padang Arafah selepas Asar untuk berdoa. Tetapi sebahagian ulama mengatakan hal ini juga baik berdasarkan kaedah istihsan kerana mengambil fadilat berdoa.
- Solat Malam Raghaib pada hari Jumaat pertama bulan Rejab sebanyak 12 Rajaat antara waktu Maghrib dan Isyak.
- Solat Malam Nisfu Syaaban sebanyak 100 rakaat dengan kaifiyat-kaifiyat solat tertentu, bukan dengan fadilat-fadilat yang sudah mashyur kelebihan malam tersebut.
- Berminyak pada malam Arafah dan Masy`ar al-Haram
- Berwudhuk dengan air yang dicuri atau dirampas, atau air najis, atau tanpa niat
- Solat dalam keadaan buka aurat.
- Dalam akad seperti jual beli najis, nikah syighar dan lain-lain.
Maka sekalian amalan ini hukumnya adalah makruh atau haram, dan batal ditolak di sisi syarak.
Rujuk Fath al-Mubin (1/225-227)
- Pendapat Kedua
Imam al-Syatibi Rahimahullah (w.790) mengemukakan definisi bidaah dalam ibadat:
طَرِيقَةٌ فِي الدِّينِ مُخْتَرَعَةٌ تُضَاهِي الشَّرْعِيَّةَ يُقْصَدُ بِالسُّلُوكِ عَلَيْهَا الْمُبَالَغَةُ فِي التَّعَبُّدِ لِلَّهِ سُبْحَانَهُ
Maksudnya: “Suatu jalan (atau cara) dalam beragama yang direka-reka tetapi menyerupai amalan yang disyariatkan dengan tujuan mengikutinya secara berlebihan dalam beribadah kepada Allah yang Maha Suci.”
Rujuk al-I`tisam (hal. 51)
Kemudian beliau memberi contoh bidaah idhafiyyah, antara lain:
وَمِنْ ذَلِكَ تَخْصِيصُ الْأَيَّامِ الْفَاضِلَةِ بِأَنْوَاعٍ مِنَ الْعِبَادَاتِ الَّتِي لَمْ تُشْرَعْ لَهَا تَخْصِيصًا؛ كَتَخْصِيصِ الْيَوْمِ الْفُلَانِيِّ بِكَذَا وَكَذَا مِنَ الرَّكَعَاتِ، أَوْ بِصَدَقَةِ كَذَا وَكَذَا، أَوِ اللَّيْلَةِ الْفُلَانِيَّةِ بِقِيَامِ كَذَا وَكَذَا رَكْعَةٍ، أَوْ بِخَتْمِ الْقُرْآنِ فِيهَا أَوْ مَا أَشْبَهَ ذَلِكَ
Maksudnya: “Antara (bidaah idhafiyyah) ialah mengkhususkan hari-hari tertentu yang berkelebihan dengan pelbagai jenis ibadat yang tiada disyariatkan untuk dikhususkan seperti mengkhususkan suatu hari untuk sembahyang dengan bilangan rakaat tertentu, atau sedekah dengan jumlah tertentu, atau malam tertentu didirikan dengan bilangan rakaat tertentu, atau mengkhatamkan al-Quran pada malam tersebut, atau yang seumpama dengannya…”
Namun begitu, jika dilakukan secara kadang-kadang, ia tidak menjadi bidaah. Beliau berkata:
كَمَا يُحْكَى عَنِ الْكَتَّانِيِّ رَحِمَهُ اللَّهُ؛ قَالَ: " رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَنَامِ، فَقُلْتُ: ادْعُ اللَّهَ أَنْ لَا يُمِيتَ قَلْبِي، فَقَالَ: قُلْ كُلَّ يَوْمٍ أَرْبَعِينَ مَرَّةً: يَا حَيُّ! يَا قَيُّومُ! لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ ".فَهَذَا كَلَامٌ حَسَنٌ لَا إِشْكَالَ فِي صِحَّتِهِ، وَكَوْنُ الذِّكْرِ يُحْيِي الْقَلْبَ صَحِيحٌ شَرْعًا، وَفَائِدَةُ الرُّؤْيَا التَّنْبِيهُ عَلَى الْخَيْرِ، وَهُوَ مِنْ نَاحِيَةِ الْبِشَارَةِ، وَإِنَّمَا يَبْقَى الْكَلَامُ فِي التَّحْدِيدِ بِالْأَرْبَعِينَ، وَإِذَا لَمْ يُوجَدُ عَلَى اللُّزُومِ اسْتَقَامَ.
Maksudnya: “Seperti mana yang diceritakan daripada al-Kittani Rahimahullah, “Aku melihat Nabi SAW dalam mimpi, lalu aku berkata, “Berdoalah kepada Allah untuk aku semoga tidak dimatikan hatiku.” Maka Baginda bersabda, “Katalah setiap hari 40 kali:
يَا حَيُّ! يَا قَيُّومُ! لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ
Maksudnya: Wahai yang Maha Hidup! Wahai yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya! Tiada tuhan yang disembah melainkan Engkau.
Perkataan ini baik dan tiada kemusykilan pada kebenarannya. Ini kerana zikir memang menghidupkan hati secara sahih dalam Syarak. Manakala faedah daripada mimpi tersebut adalah penekanan terhadap kebaikan itu dan ini juga adalah khabar gembira. Adapun yang berbaki tentang penetapan 40 kali itu, itu dibolehkan selagi mana tidak dilakukan secara berterusan.”
Rujuk al-I`tisam (hal. 332)
Imam Ibn Taimiyyah Rahimahullah (w.728H) sendiri pernah mewasiatkan zikir ini kepada anak muridnya Imam Ibn al-Qayyim Rahimahullah (w.751H) seperti mana yang dinaqalkan dalam Madarij al-Salikin (1/446)
Hukum Penamaan Quran Hour Yang Meniru Earth Hour
Kemudian kami beralih kepada perbahasan tasyabbuh, kerana dikatakan program Quran Hour ini menirul Earth Hour. Kami berpendapat persamaan ini bukanlah suatu persamaan yang dikeji. Ini kerana persamaan ini hanya pada perkataan ‘hour’ yang bererti jam. Bahkan pihak penganjur sendiri tidak mengehadkan bacaan al-Quran mesti dihabiskan dalam masa sejam kerana kelebihan tertentu. Sebaliknya ia hanya bersifat simbolik dan berjadual.
Apatahlagi persamaan ini bukanlah persamaan yang berdasarkan persamaan akidah dan kepercayaan tetapi hanyalah daripada segi adat yang baik seperti menghormati jiran, menghormati manusia dan menjaga alam sekitar.
Kaedah fiqhiyyah menyebut:
العَادَةُ مُحَكّمَةٌ
Maksudnya: “Adat (yang tidak bercanggah dengan syara’) boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan.”
Rujuk al-Asybah wa al-Naza’ir (hal. 89) oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti (w.911)
Dalam satu kaedah fiqhiyyah yang lain ada menyebut:
إِنّما تُعْتَبَرُ العادَةَ إِذَا اطَّرَدَت أَو غَلَبَت
Maksudnya: “Sesungguhnya (sesuatu itu) diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan atau dilakukan oleh majoriti.”
Rujuk al-Qawa’id al-Fiqhiyyah (hal. 65) oleh Syeikh Ali Ahmad al-Nadwi
Terkadang jika suatu adat itu bertentangan dengan nilai-nilai Islam atau memiliki unsur khurafat, maka Islam tidak membuangnya terus sebaliknya menggantikannya dengan perkara yang lebih baik. Contohnya, sunat hukumnya untuk dilumuri kepala bayi yang baru dicukur pada waktu aqiqah dengan Za`faran, Khaluq (sejenis wangian yang lebih kuat daripada Za`faran) atau wangian lain, kerana mengganti tradisi Jahiliyyah yang melumurkan kepala bayi dengan darah aqiqah. Sabda Rasulullah SAW:
اجْعَلُوا مَكَانَ الدَّمِ خَلُوقًا
Maksudnya: “Jadikan (yakni gantikan) tempat lumur darah itu dengan Khaluq.”
Riwayat al-Baihaqi (19072) dalam Sunan al-Kubra dan Ibn Hibban (5308)
Maka, perbuatan melumurkan itu tidak dibuang keseluruhannya tetapi digantikan darah kepada minyak wangi kerana itu lebih baik.
Kami tertarik dengan satu pendapat yang telah dikemukakan oleh Syeikh Abdullah bin Bayyah Hafizahullah, antara lain menyebut:
“Bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram. Tidak. Yang haram adalah menurut mereka dengan niat (al-tashabbuh) bukannya semata-mata wujud persamaan (al-mushābahah) Abū Yūsuf pernah disoal tentang pemakaian selipar yang sama dengan selipar agama orang Kristian. Beliau menjawab: Nabi Muhammad pernah memakai selipar yang berbulu yang menyerupai golongan rahib. Maknanya al-musyabahah tidak sama dengan al-tasyabbuh. Nabi tidak memakai selipar itu dengan niat untuk menyerupai mereka, bahkan ia hanyalah satu bentuk persamaan biasa sahaja.”
Rujuk penulisan kami, Irsyad Al-Fatwa Ke-97: Hukum Menyambut Tahun Baru Masihi.
Pendapat ini benar kerana kempen Earth Hour itu sendiri bermanfaat kepada kaum manusia tanpa berkait dengan akidah kerana kempen itu tujuannya memberi kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar dan fenomena perubahan iklim.[1]
Hukum Berhimpun Pada Hari Wukuf Selain di Padang Arafah
Isu ini terdapat khilaf dalam kalangan ulama. Perhimpunan ini diadakan di sebahagian negara-negara selepas Asar pada Hari Arafah untuk berdoa kerana mengambil fadilat hari berkenaan. Majoriti ulama mengatakannya bidaah seperti Nafi` maula Ibn Umar, Ibrahim al-Nakhaie, al-Hakam, Hammad dan Malik bin Anas manakala sebahagian yang lain seperti al-Hasan al-Basri, Bakr, Thabit, dan Muhammad bin Wasi` mengatakan ia tidak mengapa berdasarkan kaedah istihsan.
Rujuk al-Majmu` Syarah al-Muhazzab (8/117) oleh Imam al-Nawawi dan Fath al-Mubin (hal. 225) oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami (w.973).
Begitu juga dalam Musannaf Ibn Abi Syaibah ada riwayat pada menjawab mereka yang berkata, “Tiada berkumpul kecuali di Padang Arafah.”
Daripada al-Hakam bahawa al-Hasan berkata:
أَوَّلُ مَنْ عَرَّفَ بِالْبَصْرَةِ ابْنُ عَبَّاسٍ
Maksudnya: “Bahawa orang yang pertama mengumpulkan manusia selain daripada `Arafah di Basrah adalah Ibn Abbas.”
Riwayat Ibn Abi Syaibah (14266)
Daripada Sufyan bahawa Musa bin Abi Aisyah berkata:
رَأَيْتُ عَمْرَو بْنَ حُرَيْثٍ يَخْطُبُ يَوْمَ عَرَفَةَ وَقَدِ اجْتَمَعَ النَّاسُ إِلَيْهِ
Maksudnya: “Aku melihat Amr bin Huraith (tabi` tabi`in) selalu berkhutbah pada Hari Arafah dan orang ramai berhimpun mendengarnya.”
Riwayat Ibn Abi Syaibah (14267)
Kami berpendapat perbuatan berkumpul pada Hari Wukuf selain di Padang Arafah itu tidak mengapa dan bukan bidaah kerana terdapat ulama salaf yang membenarkan dan mengamalkannya kerana kandungan hanyalah berdoa dan berzikir kepad Allah SWT.
Hukum Menyusun Hizib, Wirid-Wirid Dan Menggantikan yang Luput
Sayugiya juga kami nyatakan di sini hukum menyusun hizib dan wirid. Berkara Imam Ibn Qutaibah (w.276): “Menghizibkan al-Quran itu adalah satu bentuk wirid, yakni suatu yang diwajibkan oleh seorang manusia atas dirinya untuk dibaca setiap hari. Yang dimaksudkan di sini ialah seseorang manusia itu menyusun bagi dirinya zikir-zikir”
Rujuk Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (21/257)
Berkata Imam al-Nawawi:
“Sewajarnya bagi seseorang yang baginya jadual berzikir bagi waktu sama ada pada malam dan siang, atau selepas solat, atau pada satu keadaan daripada keadaan-keadaan yang dia melaksanakannya, kemudian ia luput darinya (yakni meninggalkannya), untuk menggantikannya jika dia mampu dan jangan melecehkannya. Ini kerana jika dia sudah menjadikan zikir-zikir sebagai adat dia tidak patut membiarkannya luput begitu sahaja, dan jika dia meringan-ringankan untuk menggantikannya dia juga akan mudah-mudah untuk membiarkan sahaja ia luput daripada waktunya.”
Rujuk al-Azkar (hal. 13)
Berkata Imam al-Syaukani (w.1250) Rahimahullah: “Para sahabat Nabi Ridhwanullah alaihim mengqadhakan apa yang luput daripada zikir-zikir mereka yang mereka baca pada waktu-waktu tertentu.”
Rujuk Tuhfah al-Dzakirin (hal. 55)
Ini menunjukkan perbuatan menjadualkan zikir khusus buat diri pada waktu-waktu tertentu adalah amalan para salaf dan jika mereka melaziminya, mereka akan mengqadha’nya. Bahkan ini menunjukkan usaha mereka untuk sentiasa memperbanyakkan amalan dan mendisiplinkan diri, dan istiqamah dalam melakukannya. Firman Allah Taala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.
(Surah al-Ahzab, 33:41)
Sabda Rasulullah SAW:
أَحَبُّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ
Maksudnya: Amalan-amalan yang paling dicintai oleh Allah (yang dilakukan oleh hamba-Nya) ialah yang paling berkekalan sekalipun sedikit.
Riwayat al-Bukhari (6464) dan Muslim (783)
Berikut kami nyatakan amalan-amalan ulama salaf yang menyusun amalan sendiri dan beriltizam dengannya, sebagaimana yang termaktub dalam kitab Siyar A’lam al-Nubala:
- Abu Darda’ RA bertasbih setiap hari sebanyak 100,000 kali
- Abu Hurairah RA bertasbih setiap hari sebanyak 12,000 kali
- Abdurrahman bin Abi Laila Rahimahullah membaca al-Quran selepas Subuh sehingga terbit matahari setiap hari
- Baqi bin Makhlad Rahimahullah mengkhatamkan al-Quran setiap malam dalam tiga belas rakaat
Berkata Imam Ahmad Ibn Taimiyyah (w.728):
“Adapun seseorang manusia itu menjaga ke atas wirid-wirid bagi dirinya daripada jenis solat, bacaan (al-Quran), zikir, doa, dua pinggir hari dan sebahagian pada malam atau selain daripadaya, maka ini adalah sunnah Rasulullah SAW, orang-orang soleh daripada kalangan hamba-hamba Allah, sama ada yang dahulu mahu pun sekarang. Maka barangsiapa yang membuat sunnah kebiasaan bagi suatu amalan secara jamaah seperti solat-solat fardu secara berjemaah, maka bolehlah dia melakukannya. Dan barangsiapa yang membuat sunnah kebiasaan bagi suatu amalan secara berterusan dan secara individu, amallah seperti itu, seperti mana yang dilakukan orang para sahabat R.Anhum yang berhimpun kadang-kadang meminta salah seorang daripada mereka membaca al-Quran sedang yag lain mendengarnya. Umar al-Khattab juga pernah berkata, “Wahai Abu Musa! Peringatkanlah kami tentang Tuhan kita!” Lalu dia membaca dan sahabat-sahabat lain mendengar. Juga ada sahabat-sahabat lain yang menyebut, “Duduklah kalian bersama kami, marilah kita beriman sejenak!”. Nabi juga pernah bersolat jemaah dalam solat sunat beberapa kali dengan para sahabatnya. Baginda juga pernah keluar bertemu sahabat-sahabat daripada kalangan Ahlu Suffah yang membaca al-Quran lalu duduk bersama mereka dan mendengar bacaan mereka.”
“Imam-imam juga mengatakan sunat bagi seorang lelaki untuk menentukan sejumlah rakaat solat bagi qiamullail yang dia istiqamah dengannya tanpa meninggalkannya. Jika dia rajin, dia panjangkan solat dan jika dia malas, dia ringankan. Jika dia tertidur lalu meninggalkannya, maka dia menggantikan pada waktu siang. Ini berdasarkan amalan Nabi SAW bahawa baginda menggantikan solat malamnya akibat tertidur sebanyak dua belas rakaat. Dan baginda SAW bersabda: “Barangsiapa yang tertidur sehingga meninggalkan hizibnya lalu membacanya di antara solat fajar (subuh) sehingga solat zohor maka akan dituliskan baginya pahala dia membacanya pada waktu malam.”
Rujuk Majmu` al-Fatawa oleh Syeikh Ibn Taimiyyah (22/521 & 282)
Justeru, perbuatan mengkhususkan masa amalan-amalan yang sudah sabit dalam Syarak secara am sebagai jadual berkala adalah harus dan digalakkan untuk menggantikannya jika luput. Maka, Kempen Quran Hour yang dijadualkan secara berkala itu bukanlah suatu bidaah sayyiah yang buruk. Sebaliknya, ia merupakan suatu bentuk sarana kempen menggalakkan orang supaya dekat dengan al-Quran.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Setelah meneliti kedua-dua pandangan, dan mengambilkira uruf dan mazhab setempat, kami cenderung kepada pendapat yang pertama dalam isu bidaah idhafiyyah tanpa menafikan kewujudan pendapat yang kedua di dalam tradisi Islam. Ini bertepatan dengan kaedah Imam al-Syafie Rahimahullah bahawa perkara yang baharu di dalam agama itu diterima jika tidak bertentangan dengan al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan Athar Sahabat.
Contohnya seperti keharusan menyambut Maulidurrasul saban tahun dengan bersedekah, melantunkan syair memuji Nabi Muhammad SAW, dan menceritakan keperibadian baginda di masjid-masjid dan surau-surau. Kami pernah menjawabnya di dalam Bayan Linnas Siri Ke-80: Hukum Menyambut Maulid Al-Rasul tentang tujuan dan hukumnya.
Begitu juga pendapat ulama kontemporari, Syeikh Abdullah Ben Bayyah – hafizhahullah – yang menukilkan dalam kitabnya Masyahid min Maqasid akan kritikan guru kepada Imam al-Syatibi, Syeikh Abu Said bin Lubb yang menjawab tuduhan Imam al-Syatibi bahawa doa berjemaah secara lazim selepas solat berjemaah adalah tidak bermanfaat dan tidak berfaedah. Kata Syeikh Ben Bayyah:
“Beliau (Ibn Lubb) menulis kitab yang dinamakan ‘Lisan al-Adzkar wa al-Da`awat mimma Syuriʿa Adbar al-Salawat’ yang mengandungi banyak hujah yang menyokong amalan umat Islam yang berdoa secara berjemaah selepas solat. Kesimpulannya, bahawa menginkari perbuatan melazimi doa secara tetap itu sekalipun jika sahih tidak ditemui dalam amalan kaum Salaf tetapi al-tark (meninggalkan suatu amalan) bukanlah suatu piawai hukum melainkan menunjukkan hukum harus meninggalkannya dan bagi mengelakkan kepayahan yang khusus padanya. Adapun hukum haram atau makruh, maka itu tiada. Apatah lagi, pada perkara yang sudah ada asal (pensyariatannya) yakni hukum berdoa itu sendiri secara umum. Jika sahih bahawa kaum Salaf tidak melakukan sedemikian, mereka sendiri pernah mengamalkan suatu yang tidak dilakukan generasi sebelum mereka daripada perkara-perkara yang baik seperti menghimpunkan mushaf al-Quran, tanda baris, bentuk huruf, waqaf pada akhir ayat, cara pembukaan dan penutupan surah-surah, dan hizib-hizibnya, membaca mushaf di dalam masjid, muazin menyambung suara imam, menurap masjid dengan batu-batu (seperti simen dll), menggantung lampu di dalamnya, dan mengecop dinar dan dirham dengan kalimah Allah dan Nama-NamaNya.”
Ia senada dengan kalam Imam Ibn Arafah al-Maliki (w.803) apabila ditanya tentang hukum berdoa secara lazim berjemaah selepas solat fardu, beliau menjawab:
“Jika berlakunya hal itu dengan niat bahawa itu adalah perkara-perkara sunat bagi solat atau kelebihan-kelebihannya maka tidak boleh. Adapun jika dilakukan selamat daripada hal-hal berkenaan maka ia kekal bagi hukum asal bagi berdoa. Berdoa itu adalah ibadah yang disyariatkan kelebihannya yang begitu besar lagi diketahui.”
Pada kesimpulan membincangkan Bidaah al-Tark, Syeikh merumuskan tiga kaedah dalam berinteraksi dengan bidaah idhafiyyah yang diterima dan dicela:
- Tidak boleh bagi seseorang itu memberikan hukum Syarak seperti wajib dan sunat (bagi suatu amalan yang idhafi) jika tidak terdapat dalil yang menunjukkan kepada hukum itu, seperti dalil-dalil yang berkait dengan zikir-zikir yang disunatkan pada setiap keadaan. Maka tidak boleh bagi individu yang memilih zikir itu untuk mengatakan ia wajib melainkan kerana jika diwajibkan kerana nazar.
- Tidak dihukumkan amalan itu dengan pahala tertentu kerana barangsiapa yang menetapkan pahala dan bilangannya maka dia telah mencipta Syariat. Dalil bagi hal ini adalah kisah seorang sahabat yang berdoa (semasa I’tidal):
اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرْا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيْهِ
Jika Allah yang meletakkan Syariat tidak mengkhabarkan tentang kebesaran dan bilangan pahalanya maka tidak ada seorang pun yang boleh menetapkan pahalanya yang tertentu. Namun daripada sudut lain, tiada masalah bagi seseorang yang membuat zikir-zikir pujian dalam kerangka yang dia ketahui daripada Sifat-Sifat Allah dan Nama-NamaNya. Justeru, perkara ini bukan bersifat tauqif (berhenti pada kewujudan dalil) bahkan Nabi SAW tidak mencelanya sebaliknya membenarkannya dan memujinya.
- Amalan yang ditinggalkan itu tidak mempunyai dalil yang menegahnya sama ada yang memakruhkan atau yang mengharamkan.
Inilah dawabit (garis panduan) yang telah disebut oleh Ibn Arafah al-Maliki sebahagiannya maka barangsiapa yang meninggalkan sesuatu kerana berhati-hati maka tiada celaan baginya, dan barangsiapa yang melakukan suatu amalan qurbat (mendekatkan diri dengan Allah) dengan dhawabitnya untuk memperbanyak kebaikan maka itu juga baik dan tidak patut sebahagian mencela sebahagian yang lain dan membidaahkan dalam soal ijtihad kerana berdasarkan hadis Nabi “Sesungguhnya amalan itu bergantung kepada niat.”
Rujuk Masyahid min al-Maqasid (hal. 112-115, 136-137)
Dawabit ini boleh dikiaskan dalam amalan-amalan berjadual yang masyhur dalam masyarakat Melayu seperti Majlis Kesyukuran, Majlis Tahlil, Bacaan Yasin, Majlis Qasidah, Doa Awal dan Akhir Tahun selagi mana diamalkan sebagai sarana melakukan amalan yang sudah sabit dalam Syarak seperti berdoa, berzikir, berdoa agar disampaikan amalan bacaan kepada si mati, dan membaca al-Quran. Pentingnya juga diingatkan bahawa hukum menjadualkan amalan ini adalah harus sekalipun amalan-amalan di dalamnya adalah sunat, maka tidak boleh seseorang itu dibenci atau dilabel dengan panggilan yang buruk kerana meninggalkan perkara berkenaan.
Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Bagi Wilayah Persekutuan pada 30 Mei 2017 bersaaan 4 Rmadhan 1438H memutuskan bahawa program Quran Hour adalah harus berdasarkan dhawabit dan garis panduan. Antaranya:
- Bertujuan untuk menggalakkan bacaan dan pembelajaran al-Quran.
- Tidak dinyatakan kelebihan tertentu bagi penetapan itu yakni tarikh, masa, tempat dan kelebihan tertentu yang tidak warid daripada al-Quran dan al-Hadith.
- Tidak mewajibkannya kepada masyarakat.
- Bacaan al-Quran dibaca dengan bacaan yang mencapai maksud bacaan al-Quran yang sebenar dengan perlaksanaan yang terkawal dan dibaca dengan tajwid dan tartil.
- Melibatkan semua golongan untuk mendekatkan diri dengan al-Quran tanpa ada diskriminasi.
- Tidak memandang orang yang tidak melakukannya kerana mengambil langkah berhati-hati dengan pandangan yang serong.
- Program hendaklah dilangsungkan dengan adab-adab Islam seperti adab pergaulan dan tidak mengganggu orang lain.
Semoga Allah menerima amalan kita dan menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang banyak beramal.
Akhukum fillah,
Datuk. Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri,
Mufti Wilayah Persekutuan
30 Mei 2017M bersamaan 4 Ramadhan 1438H
[1] https://www.earthhour.org/what-is-earth-hour
No comments:
Post a Comment