196: HAK PEKERJA DALAM ISLAM

 196: HAK PEKERJA DALAM ISLAM

hak pekerja.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Islam adalah agama yang merangkumi semua aspek kehidupan. Bermula daripada bangun tidur hingga kepada tidur semula telah dijelaskan oleh syariat Islam. Begitu juga daripada perseorangan dan individu hingga kepada mentadbir urusan negara dibincangkan oleh agama Islam.

Isu bekerja adalah antara ikhtiar manusia meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna berbanding dengan makhluk-makhlukNya. Konsep serta nilai murni pekerjaan juga amat dititiberatkan oleh oleh Islam sehingga terdapat satu hadith yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (897) dan al-Baihaqi dalam
Syu’ab al-Iman (4929, 4930 dan 4931) tetapi dengan sanad yang berbeza.

Dalam siri Bayan Linnas kali ini, suka kami kemukakan isu berkenaan kelebihan bekerja dan hak yang sepatutnya diperoleh oleh pekerja dalam perkhidmatannya. Justeru kami tajukkan Bayan Linnas ini dengan tajuk: “Hak Pekerja dalam Islam.

Di Malaysia, telah ditetapkan bahawa 1 Mei sebagai Hari Pekerja bagi meraikan pekerja. Kami kerap kali memberi ucapan dan membincangkan isu pekerja terutamanya menjelang Hari Pekerja.

Semoga penjelasan yang bakal diberikan ini memberikan kepada kita semua satu fahaman dan pencerahan dalam setiap tindak-tanduk kita selaku pekerja.

 

Galakan Untuk Bekerja

Islam menyeru umatnya untuk bekerja dalam meneruskan kehidupan seharian. Namun demikian penekanan terhadap punca rezeki atau mata pencarian yang halal adalah menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam. Hal ini kerana, setiap apa yang menjadi rezeki atau yang berkaitan dengan kehidupan seharian kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.

Hal ini berdasarkan hadis daripada Ibn Mas’ud R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَزُولُ قَدَمَا ابْنِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عِنْدِ رَبِّهِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ خَمْسٍ عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ شَبَابِهِ فِيمَا أَبْلاَهُ وَمَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَمَاذَا عَمِلَ فِيمَا عَلِمَ

Maksudnya“Kaki anak Adam akan tetap tegak berdiri di sisi Tuhannya pada hari Kiamat, hingga dia ditanya tentang lima perkara (iaitu): tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa dia gunakan, tentang hartanya dari mana dia dapatkan, dan dalam hal apa (hartanya tersebut) dia belanjakan dan apa sahaja yang telah dia lakukan dari ilmu yang dimilikinya.”

Riwayat al-Tirmizi (2416)

Galakan untuk berusaha untuk mencari sumber rezeki yang halal juga dapat dilihat berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ طلَبَ الدُّنْيَا حلاَلاً اِسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ وَسَعْيًا عَلَى اَهْلهِ وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ بَعَثَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ. وَمَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلاَلاً مُكَاثِرًا مُفَاخِرًا مُرَائِيًا لَقِىَ اللهَ تَعَالَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانٌ

Maksudnya“Siapa yang mencari dunia yang halal untuk menjauhkan diri dari berminta-minta, dan usaha untuk keluarganya dan untuk baik dengan tetangganya, akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat dengan mukanya bagaikan bulan purnama, dan siapa yang mencari dunia halal untuk memperbanyak, berbangga dan sombong, akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat sedang Allah murka padanya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890), Ahmad (2/436), Ibn Abi Syaibah
dalam al-Musannaf (7/16) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465).

Antara iktibar yang dapat diambil daripada hadis di atas ialah:

  • Hadis ini menunjukkan bahawa bekerja merupakan perkara yang dituntut. Ini menunjukkan kita perlu berusaha dalam meneruskan kesinambungan hidup.
  • Dengan modal insan, pekerja dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh kreatif, inovatif dan bermutu. Ini kerana dengan tahap disiplin yang tinggi sudah tentu dapat menghasilkan natijah dan perkhidmatan yang cemerlang. Islam menentang keras budaya malas, ponteng kerja dan juga sikap acuh tak acuh atau sambil lewa dalam melaksanakan sebarang tugas yang diamanahkan. Ini kerana, dengan sikap seperti itu kegagalan dan juga kemunduran sudah pasti bertapak dalam kehidupan mereka, bahkan memberi kesan kepada negara untuk mencapai wawasan yang gemilang.

Justeru, beberapa langkah seperti memotivasikan pekerja, melihat contoh dan teladan pekerja yang berjaya di samping semangat dan ruh ‘pekerjaan sebagai satu ibadat’ hendaklah dijadikan motto atau misi oleh pekerja.

Kami nukilkan di sini dua kenyataan pujangga yang menyebut:

  • “Carilah rezeki yang halal, dan jauhi rezeki yang haram. Hindarkan dirimu untuk mengemis kepada yang lain. Berdagang itu lebih baik daripada menjadi pegawai. Gunakan duitmu untuk berdagang, dan hiduplah dengan sederhana.”
  • “Jika anda menikmati kerja-kerja yang produktif, maka saraf anda akan mengendur, jiwa anda akan tenang dan lautan ketenangan akan menenggelamkan anda.”

 

Hak Pekerja

Selepas kita mengetahui berkenaan dengan kelebihan dan galakan bekerja sama ada bercucuk tanam, berniaga, sebagai nelayan, guru, tentera, polis dan bekerja di jabatan dan lain-lain lagi. Yang penting dan utamanya ialah, apabila kita bekerja, pastikan kerja tersebut adalah halal dan menepati syariat Islam.

Berkenaan dengan hak pekerja yang mesti diberikan oleh majikan, antara lain ialah:

  • Gaji yang telah dijanjikan. Ia hendaklah dibayar mengikut terma perjanjian. Bahasa yang digunakan dalam hadis adalah sebelum peluh kering seperti dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

أَعْطُوا الأَجِيرَ أَجْرَهُ ، قَبْلَ أَنْ يَجِفَّ عَرَقُهُ

Maksudnya“Berikanlah upah pegawai (buruh), sebelum kering peluhnya.”

Riwayat Ibn Majah (2443), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (11988)
dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir (34)

Imam al-Munawi berkata: “Haram hukumnya menunda gaji pekerja sedangkan tidak ada kekangan untuk segera menyerahkannya. Perintah untuk menyerahkan gaji sebelum mengering peluh para pekerja adalah satu kiasan atas wajibnya menyegerakan setelah pekerjaan mereka selesai, ketika para pekerja memintanya meskipun belum sampai berpeluh, atau berpeluh dan telah kering.” (Lihat Faidh al-Qadir, 1/718)

Walaupun begitu penggajian boleh juga berdasarkan kesepakatan antara pekerja dan majikan sama ada dibayar mengikut harian, mingguan atau bulanan. Ada juga dibayar dalam bentuk sekali gus dan ada juga yang mengikut jam. Oleh itu, jika hal seperti ini sudah disepakati, maka ia hendaklah ditunaikan mengikut kesepakatan tersebut. Sesungguhnya Islam sangat menitik beratkan kebajikan seorang pekerja serta memberi peringatan keras terhadap majikan yang menzalimi pekerjanya. Dalam satu hadith qudsi, Nabi SAW meriwayatkan bahawa Allah SWT berfirman:

ثَلاَثَةٌ أَنَا خَصْمُهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ… وَرَجُلٌ اسْتَأْجَرَ أَجِيرًا فَاسْتَوْفَى مِنْهُ وَلَمْ يُعْطِ أَجْرَهُ

Maksudnya“Terdapat tiga golongan yang akan menjadi musuh-Ku pada hari Kiamat… (salah satunya ialah) orang yang mempekerjakan orang lain, namun setelah orang tersebut memenuhi tugasnya, upahnya tidak dibayarkan.

Riwayat al-Bukhari (2227) dan Ibn Majah (2442)

Imam al-Subki dalam satu fatwanya menyebut:

ﻭﺍﻟﺮَّﺟُﻞُ ﺍﻟَّﺬِﻱ ﺍﺳْﺘَﺄْﺟَﺮَ ﺃَﺟِﻴﺮًﺍ ﻣُﺴْﺘَﻮْﻑٍ ﻋَﻤَﻠَﻪُ ﻭَﻟَﻢْ ﻳُﻌْﻄِﻪِ ﺃَﺟْﺮَﻩُ ﺑِﻤَﻨْﺰِﻟَﺔِ ﻣَﻦْ ﺍﺳْﺘَﻌْﺒَﺪَ ﺍﻟْﺤُﺮَّ ﻭَﻋَﻄَّﻠَﻪُ ﻋَﻦْ ﻛَﺜِﻴﺮٍ ﻣِﻦْ ﻧَﻮَﺍﻓِﻞِ ﺍﻟْﻌِﺒَﺎﺩَﺓِ ﻓَﻴُﺸَﺎﺑِﻪُ ﺍﻟَّﺬِﻱ ﺑَﺎﻉَ ﺣُﺮًّﺍ ﻓَﺄَﻛَﻞَ ﺛَﻤَﻨَﻪُ ﻓَﻠِﺬَﻟِﻚَ ﻋَﻈُﻢَ ﺫَﻧْﺒُﻪُ

Maksudnya“Seseorang yang mengupah orang lain bekerja, kemudian orang tersebut telah menunaikan tugasnya dengan baik, namun dia tidak memberikan upahnya, adalah sama seperti orang yang menghambakan manusia merdeka. Dia menghalang orang lain untuk memperbanyakkan ibadah-ibadah sunnah. Maka ini sama sahaja dengan orang yang menjual manusia merdeka kemudian memakan hasilnya. Ini adalah dosa yang sangat besar.” (Lihat Fatawa al-Subki, 2/377)

  • Kemudahan kesihatan juga perlu diambil kira melalui Takaful dan sebagainya.
  • Hak untuk berpersatuan bagi membela dan memperjuangkan hak mereka hendaklah dibenarkan selama mana tidak membawa kepada unsur negatif.
  • Tidak membebankan pekerja di luar kemampuannya sehingga menyebabkan seseorang itu tidak mampu melakukan tugas dengan sebaiknya. Jika terpaksa dilakukan, maka bantulah mereka. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Zar R.A, Nabi SAW bersabda:

وَلاَ تُكَلِّفُوهُمْ مَا يَغْلِبُهُمْ، فَإِنْ كَلَّفْتُمُوهُمْ فَأَعِينُوهُمْ

MaksudnyaJanganlah kamu membebankan mereka (hamba), dan jika kamu memberikan tugas kepada mereka, bantulah mereka.”

Riwayat al-Bukhari (30)

Imam Nawawi berkata: Ganti nama pada perkataan mereka adalah saudara-saudara kamu dengan maksud hamba yang kamu miliki dan diperintahkan memberi makan kepada mereka seperti apa yang dimakan oleh tuan mereka. Begitu juga memberi pakai mengikut pakaian tuan mereka dengan maksud sunat seperti itu, bukan satu kewajiban. Ini adalah dengan ijma'. Adapun yang dilakukan oleh Abu Zar dengan pakaian yang sama seperti hambanya, dengan maksud hukumnya sunat. Tetapi yang wajibnya kepada penghulu atau tuan memberi nafkah kepada hamba yang dimilikinya dan pakaiannya mengikut uruf sesebuah negeri dan seseorang itu. Secara umumnya, ijma' ulama tidak harus mentaklifkan seseorang daripada amalan atau pekerjaan yang di luar kemampuannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 11/113)

  • Pangkat dan kenaikan gaji hendaklah dilakukan seadilnya bukan melalui pilih kasih tetapi mengikut kelayakannya. Dicadangkan sebuah badan khusus yang menilai kemampuan dan kebolehan serta kelayakan pekerja untuk dinaikkan pangkat berdasarkan kriteria tertentu.
  • Hak untuk berehat atau cuti mengikut persepakatan dan terma perjanjian antara mereka. Oleh itu, jika hal seperti ini sudah disepakati, maka ia hendaklah ditunaikan mengikut kesepakatan serta tidak memungkirinya. Nabi SAW bersabda:

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

Maksudnya“Umat Islam wajib mematuhi persyaratan yang telah mereka sepakati.”

Riwayat Abu Daud (3594), al-Tirmizi (1352), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra
(11761), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (30) dan al-Daraqutni (96).

Syeikh al-‘Azim Abadi ketika mensyarahkan hadis ini, berkata: “Iaitu mereka tetap (dengan perjanjian yang telah dilakukan) dan tidak berpatah   balik.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 10/26)

  • Memberi peluang kepada pekerja untuk menambahkan lagi skil dan kemahiran agar benar-benar menepati dan mencapai ke tahap profesional atau pekerja mahir. Ini kerana sudah pasti memberi pulangan yang baik kepada syarikat, majikan, dan juga negara.
  • Melayani pekerja dengan baik serta tidak bersikap kasar dan zalim sehingga melakukan kekasaran fizikal kepada pekerja. Nabi SAW tidak pernah melakukan kekasaran kepada bawahannya. Saidatina Aisyah R.Anha menceritakan:

مَا ضَرَبَ رَسُولُ اللهِ شَيْئًا قَطُّ بِيَدِهِ وَلاَ امْرَأَةً وَلاَ خَادِمًا

Maksudnya: “Rasulullah tidak pernah memukul dengan tangannya sedikit pun, tidak kepada wanita dan tidak kepada hamba (pekerja).”

Riwayat Muslim (2328) dan Abu Daud (4786)

Imam al-Nawawi berkata: “Dalam hadis terdapat anjuran untuk memaafkan dan bersikap lemah lembut.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 8/37)

 

Kisah Teladan

Abu Laith al-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Nasir bin Yahya berkata: Bahawa Nabi Daud AS terbiasa keluar dengan menyamar, lalu bertanya kepada seseorang tentang kelakuannya, maka pada suatu hari malaikat Jibril merupakan diri sebagai anak Adam sehingga ditegur oleh Nabi Daud: “Hai pemuda, apakah pendapatmu tentang Daud?” Jawabnya: “Dia adalah sebaik-baik dan hanya ada satu sifat yang kurang baik.” Ditanya: “Apakah itu?” Jawabnya: “Dia makan dari Baitulmal, padahal tiada seorang hamba yang disayangi oleh Allah lebih daripada orang yang makan hasil tangannya sendiri.”

Maka kembalilah Nabi Daud AS ke mihrabnya sambil menangis memohon kepada Allah: “Ya Tuhan, ajarkan kepadaku usaha yang dapat aku kerjakan sehingga aku tidak lagi mengambil belanja dari Baitulmal.” Maka Allah mengajarkan kepadanya membuat pakaian perang, dan membentuk besi di tangannya sehingga bagaikan adunan, maka apabila dia telah selesai dari melayani hajat rakyatnya ia kembali di rumah membuat baju besi dan dijual untuk belanja keluarganya. Demikianlah firman Allah yang bemaksud: “Dan Kami lembutkan besi untuk Daud, dan Kami ajarkan kepadanya membuat pakaian perang dari besi untuk memeliharamu (perisai) dari senjata di waktu perang.” (Lihat Bahr al-‘Ulum oleh Abu al-Laith al-Samarqandi, 2/435)

 

Sikap Majikan yang Cemerlang

Kami sengaja memasukkan isu ini dalam Bayan Linnas pada kali ini agar berlaku hubungan dua hala antara pekerja dan majikan. Melihat kepada pelbagai tulisan dan pendapat sifat majikan yang cemerlang, maka kami garapkan seperti berikut, antaranya:

  • Memahami keadaan Pekerja

Majikan tidak semestinya memahami keseluruhan peribadi pekerja, akan tetapi cukuplah memahami keadaan emosi pekerja. Apabila pekerja dilihat berada dalam tekanan dan masalah, majikan boleh memberi nasihat atau mengadakan hari tertentu seperti family day untuk mengurangkan tekanan.

Kalaulah terlalu banyak dibelenggu dengan masalah keluarga, maka penyelesaian isu kekeluargaan hendaklah diutamakan.

  • Memberi Sokongan atau Galakan Membina

Majikan hendaklah memberi dan membina kepercayaan terhadap pekerjanya. Hal ini dapat membangkitkan semangat dan motivasi mereka dalam memberikan sumbangan yang terbaik terhadap menyelesaikan sesuatu tugasan yang diamanahkan. Cara memotivasikan ini jelas amat berkesan untuk meningkatkan lagi prestasi pekerjaan oleh pekerja. Lihatlah sejarah Rasulullah SAW memuji para sahabatnya sehingga mereka menjadi begitu unggul dan terbaik.

  • Tidak Memilih-milih atau Berat Sebelah

Sebagai majikan, hendaklah bersikap adil dengan memberi perhatian dan kerjasama kepada semua pekerja yang bertungkus lumus menaikkan nama syarikat atau organisasi. Ini amat penting kerana terlalu banyak perasaan kurang selesa berlaku di kalangan pekerja tatkala sifat pilih bulu berlaku.

  • Menjadi ‘A Part of the Team’

Majikan sewajarnya meletakkan diri sebagai a part of the team bersama bawahannya dan tidak merasakan tinggi diri. Elakkanlah sikap merasa bahawa hanya mereka yang memberi sumbangan paling besar kepada organisasi atau syarikat. Majikan yang terbaik ialah yang dapat mengenali dan memahami sikap serta sifat pekerja masing-masing. Ini akan menatijahkan kejayaan yang cemerlang dalam operasi perkhidmatan tatkala berlaku satu-satu amanah dan tanggungjawab.

  • Mengurangkan Beban Dan Tekanan

Majikan yang baik akan cuba sedaya upaya untuk bertimbang rasa namun dalam masa yang sama tegas dengan pendirian dan keputusan yang dibuat. Ini amat penting dalam melancarkan operasi perkhidmatan yang cemerlang kerana stress boleh merencatkan keputusan kejayaan sesebuah organisasi bahkan boleh jadi menemui kegagalan. Ukurlah baju di badan sendiri.

  • Memikirkan Penyelesaian, Bukan Hanya Pada Masalah

Majikan tidak boleh hanya pandai menunding jari kepada para pekerja apabila timbul sesuatu masalah. Mereka hendaklah bijak mengawal situasi dan emosi seterusnya memimpin bawahannya dalam mencari solusi dan jalan penyelesaian terhadap sebarang permasalahan yang timbul.

Mencari jawapan dan menyelesaikannya akan menjadikan keseronokan dalam bekerja kerana ia dianggap selesai dan mencapai sasaran serta matlamat.

  • Berterus- terang dengan Pekerja

Majikan perlu berterus terang berkenaan keadaan sebenar yang dihadapi oleh syarikat atau organisasi. Sebagai contoh berkenaan pemberian bonus, majikan berjanji memberi pada pertengahan tahun. Namun hingga akhir tahun, belum masuk lagi. Ini akan menyebabkan pekerja hilang fokus dan kepercayaan terhadap majikan. Oleh itu, majikan hendaklah menerangkan situasi sebenar.

  • Mengadakan Mesyuarat

Dengan mengadakan mesyuarat, banyak masalah dan isu dapat diselesaikan dengan pantas. Mesyuarat yang baik adalah bersifat fokus dan mencari penyelesaian serta memilih pendapat yang terbaik dan relevan untuk dilaksanakan mengikut kadar kemampuan yang dimiliki oleh pekerja.

  • Jadikan Semua Orang Bertanggungjawab

Setiap orang perlu diberi kefahaman dan terma kerja yang semestinya dilakukan. Dan masing-masing perlu membuat checklist bersifat harian, mingguan dan bulanan. Makanya sudah barang tentu natijah dan produktiviti akan ada dan diperolehi. Kesannya amat memberangsangkan. Merasa kebertanggungjawaban merupakan hal yang terpenting apabila seseorang pekerja menggalas tugas dan amanah yang diberikan kepadanya. Dengan cara ini, daripada serendah-rendah pekerja, hingga kepada bos nombor satu akan merasa masing-masing mempunyai peranan serta tanggungjawab. Benarlah firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).

(Surah al-Nisa’: 58)

Ibn Kathir berkata: “Allah khabarkan kepada kamu agar kamu laksanakan amanah kepada yang berhaknya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/637)

Al-Zamakhsyari berkata: Khitab ayat ini umum untuk semua mukallaf sebagaimana amanah itu umum bagi semua jenis hak berkaitan dengan zimmah sama ada hak-hak Allah atau hamba. (Lihat al-Kasyyaf, 1/405)

Daripada Samurah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَدِّ الْأَمَانَةَ إِلَى مَنْ ائْتَمَنَكَ، وَلَا تَخُنْ مَنْ خَانَكَ

Maksudnya“Tunaikan amanah kepada siapa yang mengamanahkan kepada kamu dan jangan kamu khianat siapa yang mengkhianati kamu.”

Riwayat Ahmad (15424), Al-Tirmizi (1264), dan Abu Daud (3534)

Dalam konteks diberi amanah kepada yang lain jika sekiranya dia sebagai penyelia dan juga pengawal disamping bertanggungjawab atas pelaksanaan amanh tersebut. Maka ia dibolehkan. Sebaliknya jika amanah tersebut diterima dan terus diberikan kepada yang lain tanpa sebarang tanggungjawab dan seliaan daripadanya, maka ia telah mengabaikan amanah. Inilah yang kita bimbangi sebagaimana sabda Nabi SAW:

إِذَا ضُيِّعَتِ الأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ " , قَالَ : كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ : " إِذَا أُسْنِدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ

Maksudnya“Apabila diabaikan amanah maka tunggulah saat kebinasaan. Lantas sabahat bertanya: “Bagaimana bentuk pengabaiannya wahai Rasulullah?” Jawab Baginda: “Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah saat kebinasaan.”

Riwayat al-Bukhari (6496) dan Ibn Hibban (104)

Ibn Battal berkata: Ucapan Nabi ini umum. Makanya Arab Badwi sebagai yang bertanya kepada Rasulullah SAW mahukan syarahannya serta perincian lantas sabda Nabi SAW: Apabila urusan diserah kepada yang bukan ahli dan berkelayakan. Jawapan Nabi SAW umum termasuk padanya pengabaian amanah dan yang semakna dengannya serta tidak mengikut cara yang sebenarnya seperti menjadikan seseorang itu ulama' sedangkan dia jahil ketika kematian ahli ilmu. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn al-Battal, 10/207)

 

Penutup

Alangkah baiknya jaringan hubungan antara pekerja dan majikan diperkukuhkan. Ini akan menatijahkan rasa selesa dan seronok ketika bertugas dan bekerja di samping meningkatkan produktiviti yang baik.

Pekerja sewajarnya mengikhlaskan diri kepada Allah di samping mendapat kelebihan dunia dengan gaji dan sedikit nikmat dan lebih besar dari itu memperoleh pahala di sisi Allah SWT. Ini akan menjadikan segala urusan kehidupan diserahkan kepada Allah untuk mendapat dan meraih keredaan Allah SWT.

Akhir kalam, suka kami bacakan sepotong doa yang diajarkan oleh Baginda Nabi SAW:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

MaksudnyaYa Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.

Riwayat Ibn Majah (925)

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...