24: EKTREMIS AGAMA: PENYELESAIANNYA
Mukaddimah
Baru-baru ini dengan lebih tepat lagi, pada 9 April 2015 di Grand Hyatt Hotel Jakarta saya ditaklifkan oleh YADIM untuk membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Ekstremis Agama: Penyelesaiannya”. Dalam muzakarah ulama Malaysia dan Indonesia 2015 di bawah tema Kesepakatan Ummah Malaysia-Indonesia di dalam menangani ekstremisme, pakar dari Malaysia dan juga Indonesia yang menjadi tokoh NGO dan Ulama telah membincangkan pelbagai aspek dan isu berhubung ekstremisme . Dalam muzakarah tersebut, saya mengutip mutiara hikmah dan juga buah fikiran yang amat bernas untuk menjadi muntalaq kepada perbincangan berkenaan dengan tajuk ini. Semoga catatan dalam makalah yang ringkas ini sedikit sebanyak tertujah kepada sebaik-baik penyelesaian dalam isu ini.
Kemunculan kumpulan atau fahaman ekstremis, radikal atau pelampau ini tidak hanya berlaku dari sudut fizikal sahaja iaitu golongan yang hanya mengenal senjata, pemberontakan atau revolusi sebagai solusi kepada masalah tertentu. Di samping itu juga, sikap ekstremisime atau radikalisme ini turut berlaku dalam bentuk kefahaman, kepercayaan dan pegangan.
Namun, kedua-dua elemen, iaitu kefahaman dan tindakan ini boleh berlaku secara berkadar langsung iaitu, tindakan seseorang itu boleh terjadi akibat daripada kesalahfahaman terhadap sesuatu nas atau dalil menyebabkan tindakannya itu sebenarnya bertentangan dengan kehendak nas. Perkara ini dapat kita lihat apabila lahirnya kelompok tertentu yang bertindak tanpa memahami kehendak nas.
Berdasarkan kepada perkara ini, kita dapat melihat dan mengkaji apabila berlaku di zaman Nabi SAW, tiga lelaki bertemu dengan Nabi SAW, seorang dari mereka berkata, aku akan solat malam dan tidak tidur. Yang lain berkata, aku akan puasa dan tidak berbuka. Yang ketiga berkata, aku tidak akan menikah dengan wanita. Nabi SAW menegur tindakan ketiga-tiga mereka. Sabda Nabi SAW:
أُصَلِّي وَأَنَامُ وَأَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي
Maksudnya: Aku solat malam tapi juga tidur, aku puasa tapi juga berbuka, dan aku menikahi wanita. Barangsiapa yang membenci sunnahku maka dia bukan daripada kalanganku
Riwayat Muslim (1401)
Berdasarkan kepada hadis ini, maka kita memahami bahawa kesungguhan tanpa kefahaman yang betul juga, tidak mampu untuk membawa kita kepada jalan yang betul.
Tambahan dari itu juga, akibat daripada ketaksuban dan kefahaman yang terlampau sempit terhadap pegangan atau anutan bagi sesetengah mazhab atau kepercayaan menyebabkan mereka ini, menghukum sesiapa sahaja yang bertentangan atau tidak sependapat dengan mereka.
Gejala suka mengkafirkan, membid’ahkan dan menuduh orang lain sesat, juga akibat daripada terlalu taksub berpegang kepada anutan mereka, tanpa menilai atau cuba memahami kehendak dan hujah yang difahami oleh mereka yang berlainan dengan pegangan mereka. Justeru, Bayan Linnas pada kali ini akan membincangkan secara khusus berkenaan dengan Ektremis Agama: Penyelesaiannya.
Definisi Ekstremis
Golongan ekstremis atau radikal ini, merupakan ancaman yang agak besar khususnya bagi umat Islam. Kemunculan kefahaman atau kumpulan yang lahir akibat dari pengamalan ekstremis ini dapat menjauhkan atau menunjukkan kesalah fahaman masyarakat bukan Islam ataupun mereka yang baru untuk mendekati Islam, akhirnya jauh dari kefahaman yang sebenarnya.
Begitu juga sebahagian ulama’ menyebut dengan perkataan tatarruf. Mengikut definisi tatarrufbermaksud pada zaman kita yang menunjukkan beberapa keadaan samada politik, agama, mazhab dan susur galur keturunan. Begitu juga yang lain boleh membawa kepada tatarruf.[1]
Kumpulan atau kefahaman yang ekstrem ini atau lebih dikenali sebagai golongan yang keterlaluan atau melampau (ghuluw) di dalam memahami atau mengambil sesuatu tindakan. Oleh itu, ghuluw dalam beragama adalah sikap melampau batas-batas dalam perintah agama. Hal itu dilakukan dengan cara menambah dengan sikap yang berlebihan sehingga mengeluarkannya dari apa yang diinginkan syariah.
Faktor Terjadinya Ektremis
Ekstremis adalah gejala yang melangkaui rasional manusiawi. Ekstremis menggalakkan sesetengah pihak bertindak di luar keserdehanaan manusia. Melihat kepada sejarah, banyak konflik serta peperangan berlaku akibat gejala ekstremis. Antaranya Perang Dunia kedua, Konflik Israel-Palestin serta tragedy penghapusan etnik di Bosnia, Rwanda dan yang membabitkan masyarakat Rohingya.
Ekstremis menjejaskan interaksi sosiopolitik dalam masyarakat majmuk. Kesederhanaan penting untuk memastikan keseimbangan masyarakat majmuk dapat dipenuhi. Sebagai negara yang didiami masyarakat majmuk, Malaysia perlu menampilkan model kesederhanaan yang tersendiri. Tambahan pula Malaysia selalu dirujuk dalam kalangan dunia Islam.
Kita perlu bersikap optimistik ke arah mencapai hasrat ini. Sebagai contoh dalam tragedi pembunuhan tebusan di Sydney serta editorial Charlie Hebdo, masyarakat bukan Islam di Australia dab Perancis turut sama membela rakan senegara mereka beragama Islam daripada tohmahan berunsur Islamophobia.
Antara faktor penyumbang kepada sifat ekstrem adalah:
· Kedangkalan dalam ilmu agama
· Suka melabelkan seseorang atau kumpulan dengan kufur, sesat, fasik bidaah, khurafat sedangkan bukan termasuk dalam hal tersebut.
· Sifat taksub, fanatik yang melampau sama ada
· Pegangan mazhab
· Buah fikiran
· Kefahaman dan isme yang dianuti
· Menyangka dia sahaja yang betul
· Tersalah memilih rakan taulan, dan kumpulan yang menjadi ikutannya.
· Cara pandang yang salah yang menyebabkan banyak membawa kepada sifat ingin menyesatkan, mengkafirkan dan melabelkan dengan pelbagai tohmahan.
· Mempertajamkan isu khilafiyyah sehingga membawa kepada retaknya hubungan ukhuwwah Islamiyyah. Benarlah firman Allah SWT:
وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ
Maksudnya: “…dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu,…”
Syeikh Mustafa al-Maraghi berkata: “Janganlah sesekali timbulnya perselisihan dan pertikaian dalam kalangan kamu, kerana yang demikian itu akan menyebabkan hati menjadi gentar, mengalami kegagalan, dan hilangnya kekuatan sehingga akhirnya kamu senang dikalahkan oleh pihak musuh.”
· Hati dengan longgokan sifat mazmumah seperti hasad dengki, ujub, takabbur, dan lain-lain. Ini semua adalah racun dan virus yang akan menyebabkan pertelingkahan sehingga membawa sifat ekstrim dalam kehidupan mengikut kepercayaan dan anutan mereka.
· Sifat tergesa-tegesa untuk mencapai sesuatu.
Dalil Pengharaman Ekstremis
Firman Allah SWT:
قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ غَيْرَ الْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعُوا أَهْوَاءَ قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوا مِن قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيرًا وَضَلُّوا عَن سَوَاءِ السَّبِيلِ
Maksudnya: Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam ugama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul"
(Surah Al-Maidah: 77)
Al-Maraghi berkata: “Allah SWT melarang ahli kitab yang hidup pada masa Nabi SAW bersikap fanatik buta seperti yang dilakukan oleh nenek moyang sebelum mereka dan bersikap fanatik terhadap tradisi yang menyebabkan mereka ini sesat kerana mereka telah mengikuti larangan hawa nafsu dan meninggalkan ajaran para rasul, para nabi dan orang soleh terdahulu. Mereka ini semua terdiri daripada ahli tauhid, menolak kemusyrikan dan tidak bersikap berlebih-lebihan dalam urusan agama.”
Rasulullah SAW bersabda:
إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِى الدِّيْنِ، فإِنَّمَا هَلَكَ مَنْ قَبْلِكُمْ بِالْغُلُوِّ فِى الدِّيْنِ
Maksudnya: Awasilah kamu dalam melampau dalam beragama, karena binasanya orang-orang sebelum kamu adalah disebabkan sikap ghuluw mereka dalam beragama.
Riwayat Ibn Hibban (3871)
إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ، فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا، وَأَبْشِرُوا، وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنَ الدُّلْجَةِ
Maksudnya: Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah, dan tidaklah sama sekali seseorang yang tasyaddud dalam beragama melainkan pasti agama itu akan mengalahkannya, oleh sebab itu hendaklah kamu menepatinya dan menghampirinya dan bergembiralah (dengan berita itu). Dan mohon pertolonganlah kamu dengan waktu pagi dan petang dan sedikit daripada waktu malam. (Dan dalam lafaz yang lain pula): Hendaklah kamu bersikap sederhana, hendaklah kamu bersikap sederhana, niscaya kamu akan sampai (kepada tujuan yang selamat).
Riwayat al-Bukhari (39)
Berdasarkan nas dan hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita supaya kita sentiasa bersikap wasatiyyah dan tidak ghuluw dalam beragama.
Di samping itu juga, penulis menaqalkan kata al-Hasan al-Basri yang dinyatakan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Zhahiratu al-Ghuluw Fi al-Takfir:
العامل على غير علم كالسالك على غير طريق، والعامل على غير علم، ما يفسد أكثر مما يصلح، فاطلبوا العلم طلبا لا يضر بالعبادة، واطلبوا العبادة طلبا لا يضر بالعلم، فإن قوما طلبوا العبادة وتركوا العلم، حتى خرجوا بأسيافهم على أمة محمد ولو طلبوا العلم لم يدلهم على ما فعلوه
Maksudnya: “Orang yang bekerja tidak atas dasar ilmu, sama dengan orang yang berjalan tidak di atas jalan yang benar. Orang yang bekerja tidak berdasarkan ilmu, akan membuat lebih banyak kerusakan daripada kebaikkan. Oleh sebab itu, hendaklah kalian menuntut ilmu, tanpa meninggalkan ibadah dan mengerjakan ibadah tanpa merugikan ilmu. Ada satu kaum yang tekun beribadah, tetapi meninggalkan ilmu. Oleh kerana itu, mereka bangkit memanggul senjata memerangi ummat Muhammad SAW. Sekiranya mereka menuntut ilmu, maka ilmu itu tidak akan membimbing mereka berbuat apa yang seperti mereka perbuat.”
Sifat dan Tanda Pelampau
Dalam buku al-Tatarruf...Khubzun ‘Alami menyebut beberapa sifat yang nyata bagi golongan pelampau. Antaranya:
· Cepat bertindak balas.
· Bergopoh-gapah
· Cepatnya emosi
· Kebiasaannya cepat mempercayai apa yang didengar
· Mudah berpuas hati dan mengikut apa yang disuruh.
Perkataan tatarruf, taasub dan ghuluw hampir mempunyai maksud dan makna yang sama pada kebanyakan fahaman manusia. Tetapi yang lebih hampir kepada benar ialah bahawa taasub danghuluw adalah hasil cabangan daripada pohon tatarruf. Begitu juga kefakiran dan penindasan merupakan sumber yang memberi air kepada pohon kayu tatarruf yang hasilnya selepas itu membawa kepada ekstrem.
Penyelesaiannya
Perpaduan kaum adalah elemen penting untuk membasmi gejala ekstremis di negara ini. Ekstremis berkembang akibat daripada tanggapan negatif terhadap kaum serta agama yang berbeza. Rakyat mempunyai kekuatan untuk menafikan tanggapan ini. Fenomena kemajmukan antara kaum di negara ini perlu dimanfaatkan sebagai kekuatan untuk mencorak masa hadapan peradaban manusia.
Tambahan daripada itu juga, agama Islam itu sendiri mengajar umatnya untuk mengkaji dan menelaah secara mendalam segala bentuk pendapat, ijtihad dan pandangan seseorang yang berkhilaf dengan pendapat kita. Perkara sebegini dapat mengelakkan kita daripada sifat taksub dan memegang sesuatu kepercayaan berlandaskan nas dan dalil yang betul. Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:
الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّـهُ ۖ وَأُولَـٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.
(Surah al-Zumar: 18)
Antara cadangan penyelesaiannya:
· Untuk mencari kebenaran dalam sesuatu hukum, pendapat dan ijtihad maka wajiblah kepada kita untuk merujuk dan kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah. Dengan bersandarkan kepada kedua-dua sumber ini, kita dapat menetukan hukum dan pendapat yang benar. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:
فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Maksudnya: Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
(Surah Al-Nisa’: 59)
· Sebagai individu atau perseorangan, Islam menuntut umatnya untuk mendalami, menelaah dan mengkaji sebanyak mungkin cabang ilmu terutamanya ilmu agama. Perkara ini seharusnya menjadi agenda utama bagi kaum Muslimin kerana inilah jalan yang terbaik untuk memahami sesuatu perkara bersesuaian dengan maksud nas dan juga mewujudkan sifat saling bertolak ansur dan berfikiran terbuka. Nabi SAW memberikan saranan dengan sabda Baginda:
لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ، فَهْوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا
Maksudnya: ”Tidak boleh berhasad dengki kecuali dalam dua perkara: Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah dan ia membelanjakannya secara benar, kedua orang yang diberi Allah al-hikmah dan dia berperilaku sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain
Riwayat Bukhari (73)
· Pembinaan keluarga yang meletakkan pembangunan insani bagi setiap ahli keluarganya merupakan salah satu agenda daripada tuntutan Islam. Pendedahan dan penjelasan terhadap ilmu agama khususnya adalah tanggungjawab yang utama bagi ketua keluarga. Berikutan dengan perkara ini Allah SWT merakamkan kisah Luqman al-Hakim:
لَوْ أَرَدْنَا أَن نَّتَّخِذَ لَهْوًا لَّاتَّخَذْنَاهُ مِن لَّدُنَّا إِن كُنَّا فَاعِلِينَ
Maksudnya: "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
(Surah Luqman: 17)
· Pembentukan masyarakat dan keadaan sekeliling juga turut menjadi elemen utama dalam mengurangi atau mengelakkan wujudkan kelompok atau fahaman ekstremisme ini. Pembentukan sesebuah masyarakat madani seperti yang dibina oleh Nabi SAW adalah contoh yang terbaik menjadi panduan dan pedoman untuk kita.
Langkah mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar adalah tindakan dan langkah untuk mewujudkan titik pertemuan dan persaudaraan yang baik. Penindasan kaum yang kuat terhadap yang lemah, perhambaan bagi kaum wanita, eksploitasi golongan kaya terhadap golongan miskin dan peperangan antara kaum menjadi lentur dan bertukar kepada pembentukkan saudara dan penyemaian kasih sayang. Inilah agenda utama yang di firmankan oleh Allah SWT;
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
(Surah al-Hujurat: 13)
Di samping itu, sikap toleransi terhadap agama seperti Kristian, Hindu dan Buddha juga adalah jalan untuk mengelakkan daripada berlakunya kesalafahaman dan terwujudnya sebahagian kelompok yang begitu radikal dalam mempertahankan kepercayaan setiap agama tanpa memahami dahulu pandangan dan tuntutan agama masing-masing.
Kewujudan ruang dialog dan sikap saling membantu dapat mengelakkan jurang perbezaan dan kesalahfahaman terhadap kepercayaan masing-masing. Hubungan antara manusia tidak hanya pada hubungan darah daging, sesama agama, tetapi hubungan sebagai nilai kemanusiaan juga merupakan tali penghubung kepada pembentukan masyarakat. Inilah saranan Allah SWT:
قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّـهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّـهِ ۚ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam".
(Surah Al-Imran: 64)
Suasana dan keadaan sekeliling yang bersifat ekstremis adalah punca utama kepada kewujudan budaya ekstremis dalam pegangan atau kepercayaan. Justeru, perlu diwujudkan ruang untuk berdialog dan sikap saling tolong-menolong adalah jalan yang baik untuk membina tali perhubungan.
· Kewujudan golongan ekstremis atau kumpulan radikal ini, juga terlahir daripada sikap sesetengah pemerintah atau ketua yang mengabaikan atau berlakunya penindasan yang teruk bagi kumpulan atau golongan minoriti. Sikap ketidak adilan, penindasan dan pengabaian hak adalah antara punca lahirnya kumpulan ini.
Sesungguhnya, keadilan dan hubungan antara rakyat dan pemerintah merupakan agenda yang sepatutnya di ambil oleh ketua dengan mewujudkan ruang dan penerapan sikap yang adil dalam pembinaan masyarakat yang harmoni. Allah SWT menyatakan:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّـهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa
(Surah al-Maidah: 8)
Inilah prinsip utama yang seharusnya menjadi agenda sesebuah pemimpin bagi melahirkan masyarakat yang adil dan harmoni. Nabi SAW sendiri memberi ingatan bahawa salah satu manusia yang dapat bernaung di bawaha bayangan ‘arasy pada hari kiamat adalah pemimpin yang adil.
Oleh itu sikap ekstremisme dan radikalisme dapat dibendung sekiranya landasan kepada pembentukan masyarakat yang harmoni itu jelas dan sikap keadilan dan keterbukaan menjadi nilai utama bagi sesebuah kepemimpinan.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Dalam menangani isu yang besar ini, sikap bersederhana dan wasatiyyah amat perlu difahami sebaik mungkin. Ilmu yang disulami dengan hikmah serta kefahaman yang benar boleh mengelakkan berlakunya sifat ekstremis. Pujangga pernah menyatakan: “Ibu kepada segala kebaikan adalah tiga perkara: Hikmah, maruah diri, dan keberanian. Kesemuanya mempunyai sifat pertengahan samada kearah melampau atau begitu cuai yang akhirnya menatijahkan kehinaan. Justeru, bersederhana perlu menjadi pakaian Muslim yang ditambah dengan keadilan sudah barang pasti menjadikan masyarakat, ummah dan negara dalam keadaan kestabilan yang tinggi.[2]
Antara perkara yang mungkin dapat menyekat kefahaman ekstremis ialah membetulkan cara berfikir dalam Islam serta memahami hakikat keadilan dan wasatiyyah. Tambahan pula, bila adanya satu sistem syura di kalangan masyarakat, sudah barang pasti membawa kebaikan bersama. Dasar wasatiy bagi ummat yang wasatiy sangat sesuai diterapkan di bumi Malaysia dan dunia Islam keseluruhannya. Justeru, amat wajar untuk sama-sama dari segenap lapisan masyarakat berusaha dengan penuh konsisten dalam menghasilkan kejayaan yang cemerlang dan berterusan dalam kehidupan kita dengan sebaik-baiknya.
Konsep jihad perlu ditafsirkan secara lebih meluas meliputi aspek kehidupan manusia seperti menuntut ilmu, menguasai sains dan teknologi serta melaksanakan aktiviti ekonomi. Marilah sama-sama kita berlapang dada dan saling meraikan antara satu sama lain dengan membuang sikap dan sifat keras hati dan tidak mungkin menerima pendapat orang lain kerana merugikan diri sendiri dan tidak berkembangnya dakwah Islamiyyah. Saya tutup kenyataan ini dengan firman Allah SWT
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّـهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ
Maksudnya: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.”
(Surah Ali Imran: 159)
Syeikh Mustafa al-Maraghi berkata: “Sekiranya kamu hai Muhammad bersikap kasar lagi jumud dalam menjalani perhubungan dengan mereka nescaya mereka akan lari darimu dan mereka tidak selesa lagi tinggal bersamamu.”
Penutup
Sejarah Rasulullah SAW di Kota Mekah dan Madinah juga cukup untuk menjadi bukti bahawa keputusan tentang jihad hanya berada di bawah kuasa pemimpin dan tidak harus untuk menjerumuskan orang Islam ke dalam bahaya yang akibatnya tidak diingini.
Oleh yang demikian, jihad perlu diberi pengertian yang sebenar di samping melihat awlawiyyat-nya dan hendaklah mengikut situasi dan perkembangan masa kini kerana sifat Islam sesuai sepanjang zaman, temapt dan masa. Begitu juga jihad mempunyai pembahagiannya yang banyak yang perlu udiberi perhatian yang khusus oleh pemerintah, para ulama, ibu bapa dan juga amsyarakat.
Mufakkir Islami Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya Jaddid Hayatak antara lain menyatakan: “Sungguh sayang, banyak orang yang menzalimi hakikat keimanan kepada Allah dan hari Kiamat. Menurut mereka, keimanan menghalang seseorang untuk mendapatkan kehidupan yang sebenarnya sebagaimana bayangan bumi yang menghalangi sinar bulan sehingga terjadinya gerhana. Bagi mereka, keimanan merosak kehidupan sehingga terjadinya mereka terlempar ke dalam jurang keterasingan. Lebih jauh, keimanan dianggap telah menarik penderitaan, kesempitan, kesukaran, dan kesedihan dalam kehidupan. Pemahaman seperti ini tentu sahaja sangat keliru dan menyalahi hakikat agama. Rasulullah SAW tidak pernah mengajarkan bahawa keimanan akan merosak kehidupan. Justeru, baginda berdoa:
ﺍﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﺃَﺻْﻠِﺢْ ﻟِﻰ ﺩِﻳﻨِﻰَ ﺍﻟَّﺬِﻯ ﻫُﻮَ ﻋِﺼْﻤَﺔُ ﺃَﻣْﺮِﻯ ﻭَﺃَﺻْﻠِﺢْ ﻟِﻰ ﺩُﻧْﻴَﺎﻯَ ﺍﻟَّﺘِﻰ ﻓِﻴﻬَﺎ ﻣَﻌَﺎﺷِﻰ ﻭَﺃَﺻْﻠِﺢْ ﻟِﻰ ﺁﺧِﺮَﺗِﻰ ﺍﻟَّﺘِﻰ ﻓِﻴﻬَﺎ ﻣَﻌَﺎﺩِﻯ ﻭَﺍﺟْﻌَﻞِ ﺍﻟْﺤَﻴَﺎﺓَ ﺯِﻳَﺎﺩَﺓً ﻟِﻰ ﻓِﻰ ﻛُﻞِّ ﺧَﻴْﺮٍ ﻭَﺍﺟْﻌَﻞِ ﺍﻟْﻤَﻮْﺕَ ﺭَﺍﺣَﺔً ﻟِﻰ ﻣِﻦْ ﻛُﻞِّ ﺷَﺮٍّ
Maksudnya: “Ya Allah, perbaikkanlah bagiku agamaku sebagai benteng urusanku, perbaiklah bagiku duniaku yang menjadi tempat kehidupanku, perbaiklah akhiratku yang menjadi tempat kembaliku. Ya Allah, jadikanlah kehidupan ini sebagai nilai tambah bagiku dalam segala kebaikkan dan jadikanlah kematianku sebagai kebebasankudari segala keburukan”.
Menagapa mereka menganggap keimanan membawa kepada kepedihan dan penderitaan dan kecemasan? Mengapa mereka menganggap penderitaan kesedihan merupakan perantara utama untuk meraih redha Allah?
Marilah kita tinggalkan sikap keterlaluan dan ketaksuban terhadap sesuatu perkara sehingga menyebabkan fikiran dan tindakan kita menyalahi kehendak dan maksud sebenar tuntutan agama.
Kita memohon kepada Allah SWT berkenaan memerangi jalan pada segenap generasi muda, ulama dan sekalian kaum Muslimin agar menjauhkan kita dari segenap pemikiran yang keterlaluan dan sikap ketaksuban yang terlampau serta kecenderungan hati kita kepada kesesatan daripada jalan yang benar.
Akhir kalam, semoga Allah SWT menerangi hati dan membuka jalan kepada kita untuk terus mendalami ilmu agama dan sesekali tidak meletakkan kita bersama golongan yang sesat dan mereka yang dimurkai.
Akhukum fillah
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
25 Mei 2015 bersamaan 6 Syaaban 1436HVC
No comments:
Post a Comment