135 : MENGELUARKAN ZAKAT UNTUK TABUNG HARAPAN MALAYSIA : HUKUMNYA
Mukadimah
Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Alhamdulillah, pada 31 Mei yang lalu, telah sampai ke meja kami persoalan yang dikemukakan oleh sebahagian masyarakat Malaysia berkenaan dengan hukum mengeluarkan zakat untuk Tabung Harapan Malaysia.[1]
Kami merasa terpanggil untuk memberi pandangan selepas melihat terlalu banyak komentar yang dikemukakan oleh netizen dan juga orang perseorangan berkenaan dengan isu ini. Ada yang pro dan ada yang kontra. Makanya kami cuba menelaah dan melihat isu ini mengikut neraca Islam berdasarkan pandangan Islam dan ijtihad para ulama’.
Semoga dengan pencerahan ini akan menjadikan jawapan ini benar-benar menepati kepada sasarannya. Justeru, kami tajukkan Bayan Linnas pada kali ini dengan Mengeluarkan Zakat Untuk Tabung Harapan Malaysia: Hukumnya. Kami mengalu-alukan pandangan jika ia mempunyai asas dan juga dalil untuk sama-sama kita kembali kepada kebenaran sebagaimana kaedah yang selalu kami gunakan:
الرُّجُوعُ إلَى الْحَقِّ خَيْرٌ مِنَ التَّمَادِي فِي الْبَاطِل
Maksudnya: “Kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.”
Syarah Ayat 60 Surah al-Taubah
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Taubah: 60)
Imam al-Tabari berkata: “Ayat ini menunjukkan zakat hanya diberi kepada asnaf yang lapan. Maka tiada harus diberi zakat kepada selain mereka.” (Lihat Tafsir al-Tabari, 10/162)
Hal ini berdasarkan kepada kalimah “إِنَّمَا” yang memberi makna hasr dan ithbat iaitu terhad dan hanya kepada yang disebut sahaja serta menafikan selainnya. Inilah pendapat jumhur fuqaha’ mazhab. (Lihat al-Durr al-Mukhtar, 2/81; al-Bada’i’, 2/45; al-Syarh al-Kabir, 1/497; al-Muhazzab, 1/175; al-Mughni, 2/667; al-Qawanin al-Fiqhiyyah, hlm. 111; dan Ahkam al-Qur’an oleh Ibn al-‘Arabi, 2/957)
Kami takrifkan dahulu zakat dari segi syara’ iaitu kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/630)
Sedangkan Mazhab Hanafi pula menyebut: “Mempermilikkan sejuzuk daripada harta tertentu daripada harta yang tertentu untuk seseorang yang tertentu yang telah ditetapkan oleh syara’ kerana Allah.” (Lihat al-Durr al-Mukhtar, 2/2; al-Syarh al-Kabir, 1/430; dan lain-lain)
Dr Wahbah al-Zuhaili menafsirkan seseorang yang tertentu ialah mereka yang berhak menerima zakat iaitu golongan asnaf yang lapan. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 3/1788-1789)
Justeru berdasarkan takrifan zakat dan definisinya menunjukkan bahawa ia adalah pemberian yang khusus kepada asnaf yang lapan yang berhak.
Huraian Tentang Golongan Penerima Zakat
Kami asaskan huraian ini kepada kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/41-44) dan juga rujukan-rujukan yang lain.
Pertama: Golongan Fakir
Fakir ialah orang yang tidak mempunyai harta, yang dapat menampung keperluan makanan, pakaian dan kediamannya. Sebagai contoh, dia hanya mendapat tiga Lira sehari daripada sepuluh Lira yang diperlukannya.
Kedua: Golongan Miskin
Miskin ialah orang yang mempunyai harta, tetapi tidak cukup untuk menampung keperluannya. Sebagai contoh, dia memerlukan sepuluh Lira sehari, tetapi pendapatannya hanya lapan Lira sahaja.
Menurut pendapat yang sahih, kedua-dua golongan tersebut diberikan zakat yang mencukupi keperluan seumur hidup mereka mengikut jangka hayat yang biasa.
Juga diberi perhatian, keinginan berkahwin adalah termasuk dalam perkara yang diambil kira ketika menilai keadaan dan keperluan hidup mereka.
Menurut al-Qaradawi, objektif utama daripada kewajipan zakat ialah untuk memenuhi keperluan fakir dan miskin seterusnya menghapuskan kemiskinan itu sendiri.
Dalam isu fakir dan miskin ini, beliau menyimpulkan dua dasar sebagai berikut:
- Jika si fakir dan miskin tersebut mampu untuk bekerja atau mempunyai kemahiran-kemahiran tertentu tetapi dia tidak mempunyai kemampuan dari sudut modal atau peralatan untuk melakukan pekerjaan yang diceburinya, maka dasar kifayah al-‘umr perlu dilaksanakan.
- Jika mereka terdiri daripada golongan yang lemah serta tidak mampu bekerja kerana sakit, tua, cacat, kanak-kanak, janda dan sebagainya, maka mereka diberikan keperluan mengikut tahun (kifayah al-sanah). Namun demikian, boleh juga diberi secara bulanan jika dibimbangi berlakunya pemborosan terhadap pemberian tersebut. (Lihat Fiqh al-Zakah, hlm. 571)
Ketiga: `Amil
`Amil ialah pemungut hasil yang ditugaskan oleh pemerintah untuk mengumpul dan mengagihkan zakat. Mereka ini diberikan ganjaran yang setimpal dengan tugas yang dilakukan dan tidak harus memberi mereka nisbah tertentu daripada jumlah pungutan mereka. Ini kerana tidak terdapat dalil yang mensyariatkan sedemikian.
Keempat: Muallaf
Muallaf ialah mereka yang baru memeluk agama Islam. Diharap dengan pemberian zakat, akan menguatkan pegangan mereka kepada agama Islam. Begitu juga orang Islam yang terkenal dan berkedudukan tinggi di kalangan kaum mereka. Mudah-mudahan zakat yang diberikan, dapat menarik minat golongan mereka kepada Islam.
Seterusnya, orang Islam yang berada di tempat yang berbahaya untuk melindungi orang lain daripada serangan orang kafir dan keganasan puak pelampau atau yang bertugas memungut zakat daripada penduduk yang tidak dapat dihantarkan `amil kepada mereka. Mereka semua diberikan bahagian zakat sekiranya orang Islam memerlukan mereka. Jika tidak, mereka tidak perlu diberikan apa-apa pun.
Kelima: Hamba
Hamba yang layak menerima zakat ialah orang yang ingin membebaskan dirinya daripada perhambaan (المكاتب), iaitu hamba yang membuat perjanjian dengan tuannya apabila dia dapat memberikan sejumlah harta kepadanya. Hamba ini diberikan zakat untuk menampung kekurangan yang tidak mampu disediakannya.
Keenam: Orang yang Berhutang
Orang yang berhutang bermaksud mereka yang dibebani hutang dan tidak mampu melunaskannya. Mereka diberikan zakat yang mencukupi untuk melunaskan hutang dan menampung keperluan makan minum, pakaian dan tempat kediaman dengan syarat mereka berhutang untuk tujuan yang halal. Termasuk dalam golongan ini ialah orang yang berhutang untuk menyelesaikan angkara yang timbul antara dua pihak bersengketa. Justeru, hutangnya untuk tujuan ini, bolehlah dilunaskan dengan hasil zakat, sekalipun dia seorang yang kaya dan mampu melunaskannya sendiri.
Orang yang berhutang untuk kepentingan masyarakat juga termasuk dalam maksud ini. Antaranya ialah mereka yang berhutang kerana menjalankan tanggungjawab sosial seperti membina yayasan anak-anak yatim, hospital khusus untuk orang-orang miskin, masjid, sekolah dan sebagainya. Mereka ini layak untuk menerima zakat di bawah peruntukan al-gharim sekalipun mereka terdiri daripada orang-orang kaya. (Lihat Fiqh al-Zakah, hlm. 630-631)
Ketujuh: Untuk Jalan Allah SWT
Jalan Allah bermaksud sukarelawan yang berjuang mempertahankan umat Islam tanpa imbuhan dan gaji. Mereka dan tanggungannya layak diberikan zakat yang mencukupi selama ketiadaannya sehingga mereka kembali ke pangkuan keluarga, sekalipun mereka kaya. Begitu juga, perlu diberikan kemudahan pengangkutan untuk membawa barang-barang dan peralatan perang dan lain-lain bagi membantu mereka berjihad.[2]
Imam al-Razi dalam tafsirnya, menyatakan bahawa zahir lafaz pada perkataan fisabilillah dalam ayat 60 surah al-Taubah itu tidak wajar dikhususkan kepada maksud orang yang berperang semata-mata. Beliau kemudian memetik bahawa al-Qaffal dalam tafsir beliau telah menyebut pandangan beberapa fuqaha’ bahawa zakat boleh dibelanjakan untuk apa sahaja tujuan kebaikan, termasuk menyempurnakan jenazah, membina benteng atau kubu pertahanan dan membina masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 16/113)
Al-Qaradhawi menyebut bahawa pengertian fisabilillah dalam ayat pengagihan zakat ialah jihad sepertimana pendapat jumhur. Beliau bagaimanapun tidak mengehadkan jihad dengan makna peperangan semata-mata. Bahkan memperluaskan jihad dalam bentuk pemikiran, pendidikan, penulisan, perekonomian, politik, kemasyarakatan dan sebagainya. Apa yang penting adalah untuk meninggikan kalimah Allah dan mempertahankan Islam. Antaranya mendirikan pusat dakwah yang memberi kefahaman Islam yang betul dan menyampaikan ajaran Islam kepada bukan Islam, mendirikan pusat-pusat pendidikan, menubuhkan kilang-kilang percetakan untuk menerbitkan serta menyebarkan risalah-risalah dan buku-buku Islam. (Lihat Fiqh al- Zakah, 666-681)
Kelapan: Musafir
Musafir ialah orang yang dalam perjalanan dengan tujuan yang diharuskan oleh syara’, sekalipun untuk melancong. Dia layak diberikan harta zakat yang mencukupi untuk perjalanan pergi dan balik. Begitu juga perbelanjaan, kenderaan dan binatang tunggangan untuk membawa barang-barangnya sekiranya dia tidak mampu membawanya sendiri. Namun, jika bermusafir dengan tujuan maksiat, maka zakat tidak boleh diberikan kepadanya melainkan setelah dia bertaubat.
Demikianlah lapan golongan yang berhak menerima zakat. Pemberian zakat terbatas kepada mereka sahaja dan tidak boleh diagihkan kepada yang lain.
Berdasarkan nas dan huraian di atas, jelas menunjukkan bahawa zakat dibahagi kepada golongan yang lapan tadi sahaja kerana lam (ل) bersifat li al-tamlik yakni khas untuk mereka sahaja.
Derma dalam Konteks Sirah Nabawiyyah
Sejarah menunjukkan tatkala Rasulullah SAW mahu menyertai Peperangan Tabuk[3], sedangkan keadaan kewangan amat kritikal ketika itu untuk menyediakan kelengkapan perang dan juga segala bentuk keperluan ketenteraan. Baginda SAW telah melancarkan derma jihad. Justeru, para sahabat berganding bahu menyumbang dermaan masing-masing mengikut kadar kemampuan dan keikhlasan mereka. Mereka tidak menggunakan daripada wang zakat.
Makanya kami berpendapat langkah kerajaan menubuhkan Tabung Harapan Malaysia adalah langkah yang sesuai dalam menguruskan sumbangan-sumbangan rakyat kepada kerajaan. Di samping kami percaya dengan kebijaksanaan mereka yang dilantik akan dapat menghasilkan satu resolusi yang mantap dan tuntas dengan menemukan pelbagai sumber-sumber yang lain untuk melunaskan hutang dan melangsaikannya.
Pencerahan dan Salah Faham
Antaranya:
- Boleh jadi ada yang berpendapat tidak sesuai Tabung Harapan Malaysia kerana berdasarkan sejarah Raja Zahir Bebras yang ingin rakyatnya menyumbang dalam menyiapkan peperangan. Kami nyatakan bahawa ia bersifat paksaan tetapi di sini bersifat sukarela.
Kami kemukakan kisahnya dalam nota kaki.[4]
- Begitu juga dengan kisah Qutuz dan Sultan al-Ulama’ ‘Izz al-Din bin Abd al-Salam di mana ketika menghadapi serangan Tatar, kewangan negara ketika itu iaitu di Mesir tidak stabil. Justeru, cadangan daripada Qutuz memohon fatwa daripada ulama’ adalah bertepatan. Makanya, ditanya kepada Sultan al-Ulama’ ini. Kami kemukakan juga kisah ini dalam nota kaki.[5]
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Kami mengambil kesempatan di sini untuk menzahirkan beberapa kenyataan kami bagi sama-sama kita menekuni untuk kesejahteraan ekonomi Malaysia yang boleh membawa kepada penyelesaian hutang. Antaranya:
- Penubuhan Tabung Harapan Malaysia adalah diharuskan.
- Zakat tidak boleh disalurkan kepada Tabung Harapan Malaysia mengikut pendapat muktamad.
- Kerajaan perlu mengutamakan sumber-sumber yang lain terlebih dahulu dalam menguruskan pembayaran hutang negara.
- Dasar penjimatan dalam mengurus tadbir ekonomi dan perbelanjaan di samping mengelakkan sebarang bentuk pembaziran adalah menjadi keutamaan dan kemestian.
- Amalan rasuah menyebabkan peningkatan kos sebarang bentuk projek atau selenggara wajib diperangi habis-habisan. Justeru memperkasakan SPRM dan diberi kuasa seluas-luasnya dalam melaksanakan tugas amat dialu-alukan.
- Menilai semula sebarang bentuk pelaksanaan projek mengikut keutamaan (fiqh awlawiyyat) dan mengelakkan daripada menambahkan lagi hutang yang sedia ada.
- Polisi yang diperkenalkan kerajaan dengan cara pemotongan gaji menteri sebanyak 10%, penangguhan dan pembatalan beberapa projek besar adalah satu sikap yang terpuji dan menunjukkan kepedulian dan kecaknaan kerajaan untuk merasai denyut nadi rakyat dalam suasana seperti sekarang.
- Mereka yang menyumbang ke Tabung Harapan Malaysia adalah rakyat yang cintakan negara dan adanya sifat patriotik. Akan tetapi, rakyat yang tidak mampu menderma atau kerana keadaan kehidupan yang tidak memungkinkan menderma juga dianggap patriotik dan perlu diehsani kepada mereka.
- Penubuhan jawatankuasa pakar bagi mengkaji projek yang bersaiz mega dan mempunyai high impact adalah amat dialu-alukan. Ini sudah barang tentu menzahirkan ketelusan dan juga penasihatan yang betul dan tepat daripada badan yang tepat seperti penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan.
Penutup
Antara cara yang terbaik, maka hendaklah masyarakat dan umat Islam di Malaysia beriman dan bertakwa kepada Allah kerana natijahnya akan datanglah bantuan Allah dan keberkatan serta hasil mahsul dari langit dan bumi seperti yang dijanjikan oleh Allah. Benarlah firman Allah SWT:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ
Maksudnya: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.
(Surah al-A’raf: 96)
Syeikh al-Sobuni dalam Sofwah al-Tafasir (1/428) berkata: “Nescaya kami luaskan ke atas mereka kebaikan dari setiap sudut. Ada pendapat mengatakan berkat langit dengan turunnya hujan yang menyuburkan tanah dan melegakan kehidupan untuk minum dan berkat bumi pula dengan tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan.”
Al-Suddi berpendapat, kami berkatkan ke atas mereka dengan membuka pintu langit dan bumi dengan kurniaan rezeki.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 4/348)
Saya berdoa kepada Allah semoga Allah kurniakan kepada negara kita keamanan dan kemakmuran dan akhirnya dapat melangsaikan segala hutang dengan jayanya.
Nota Kaki:
[1] Tabung Harapan Malaysia telah ditubuhkan pada 30 Mei 2018. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bahawa kerajaan akan menubuhkan Tabung Harapan Malaysia untuk menerima derma rakyat bagi mengukuhkan kewangan kerajaan.
Beliau juga berkata, penubuhan tabung itu adalah bagi memastikan derma rakyat Malaysia yang patriotik akan sampai kepada Kementerian Kewangan.
Nombor akaun rasmi Maybank yang dikhaskan untuk Tabung Harapan Malaysia adalah 5660 1062 6452.
[2] Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Halal zakat diberi kepada penuntut ilmu syara’ kerana menghasilkan ilmu hukumnya fardhu kifayah. Dan bimbang daripada penghasilan ilmu dengan sebab penuntut ilmu bekerja.
[3] Perang ini telah berlaku pada bulan Rejab ketika tahun ke-9 Hijrah (Oktober 631 M). Ketika berlakunya Peperangan Tabuk, Rasulullah SAW membuka peluang kepada sahabat-sahabat Baginda SAW daripada golongan berada untuk memberi infaq fi sabilillah bagi membiayai persiapan dan alat kelengkapan perang.
Diriwayatkan bahawa dalam peperangan Tabuk, Saidina Uthman menginfaqkan 900 ekor unta, 100 ekor kuda dan 1000 dinar, Abdul Rahman bin Auf menginfaqkan 200 uqiyah perak, Saidina Abu Bakar menginfaqkan seluruh hartanya iaitu 4000 dirham dan Saidina Umar menginfaqkan separuh dari hartanya.
Selain itu juga, ramai dari kalangan para sahabat yang menginfakkan harta benda mereka termasuklah wanita-wanita yang datang kepada Rasulullah SAW membawa barang-barang perhiasan mereka seperti rantai, anting-anting, gelang dan sebagainya untuk diinfaqkan di jalan Allah SWT. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum oleh Sofiyur Rahman al-Mubarakfuri, hlm. 512-513)
[4] Pada suatu ketika, Imam al-Nawawi telah diminta oleh Sultan pada zamannya yang bernama al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Sultan mengambil harta rakyat untuk digunakan bagi persediaan perang menghadapi ancaman tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.
Namun ramai ulama’ yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Imam al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga. Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong, beliau menjawab:
“Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba yang tidak mempunyai harta. Kemudian Allah SWT memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku mendengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap daripada mereka memiliki tali pinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan.
Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga Baitulmal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan mengeluarkan fatwa mengharuskan kamu untuk mengambil harta rakyat bagi tujuan jihad. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah SWTdan mengikut jalan Nabi-Nya SAW.”
Sultan al-Malik al-Zahir begitu murka apabila mendengar jawapan itu sehingga sesetengah riwayat melaporkan, para ulama yang hadir mengangkat jubah masing-masing kerana takut terkena percikan darah pada hujung jubah mereka jika Sultan memancung kepala Imam Nawawi.
Namun Sultan mengeluarkan titah supaya Imam Nawawi segera keluar dari Damsyik. Akur dengan perintah itu, beliau membawa diri ke Nawa. Para ulama Syam berusaha menjemput Imam Nawawi kembali ke Damsyik namun beliau enggan selagi al-Zahir memegang tampuk pemerintahan.
(Lihat al-Imam al-Nawawi oleh Abd al-Ghani al-Daqar, hlm. 144-145. Begitu juga dalam kitab al-Ilmam oleh Muhammad bin Qasim al-Nuwairi, 4/81-83)
[5] Pada tahun 1260 dua tahun selepas kejatuhan Khalifah Abbasiyah yang berpangkalan di Baghdad, umat Islam kembali bersinar semula selepas Mongul jatuh ke tangan tentera Islam dalam peperangan yang bernama Ayn (Ain) Jalut di Galilee di kawasan lembah Jezreel, Palestin. Pada ketika itu umat Islam yang tinggal di Mesir adalah di bawah pimpinan Muhammad Saifuddin Muzaffar al-Qutuz. Sebelum sampai ke Mesir, Kerajaan Mongul telah mengirim utusan kepada kerajaan Mamluk untuk tunduk dan menyerah kalah kepada mereka. Sekiranya syarat tersebut tidak dipenuhi oleh pemimpin Mesir, mereka akan diserang dan dimusnahkan. Pada ketika itu, satu persatu negara Islam telah dijajah dan diperangi. Begitu juga Mesir, Hulagu Khan telah mengutuskan suruhannya bertemu Sultan Qutuz bersama surat yang mengarahkan agar kerajaan Mamluk untuk menyerah kalah. Namun begitu, ia telah ditolak oleh Sultan bahkan para utusan tersebut dipenggal kepalanya. Perkara tersebut telah menimbulkan kemarahan Mongol disebabkan kerajaan Mamluk lebih memilih untuk berperang dari menyerah kalah.
Dalam keadaan yang sedang terdesak dengan ancaman yang diberikan oleh pihak Mongul untuk menyerang, Sultan Saifuddin Qutuz menghadapi pelbagai cabaran dan kesusahan untuk bersiap-siaga dalam menghadapi musuh dari pelbagai sudut kekurangan dan kelemahan. Satu daripada cabaran terbesar yang dihadapi oleh Mesir ketika itu adalah, mereka mengalami kegawatan ekonomi yang teruk dan kekurangan dana untuk menyiapkan kelengkapan perang dari segi pakaian, peralatan, senjata, ubat-ubatan, makanan yang mencukupi ketika dikepung dan sebagainya (Lihat Sultan Saifuddin Qutuz Wa Ma’rikatu Ain Jalut oleh Dr. Ali Muhammad Muhammad al-Solabi, hlm. 113).
Lalu Sultan Saifuddin Qutuz memanggil para pembesar negara untuk melakukan mesyuarat. Pilihan yang ada pada mereka adalah untuk mengutip duit dari rakyat jelata dan ia perlu dilakukan segera kerana tidak ada pilihan selain daripada itu.
Akan tetapi pilihan ini memerlukan satu fatwa yang dikeluarkan oleh ulama’ Islam kerana masyarakat Islam pada ketika itu tidak diperkenalkan dengan perlaksanakan cukai selain daripada zakat. Tanpa fatwa tersebut, Sultan Saifuddin Qutuz tidak akan melakukannya dalam menyelesaikan masalah dengan jalan yang tidak syarie’ kerana syariat adalah batas bagi segala-galanya.
Di antara yang dipanggil untuk turut serta di dalam mesyuarat tersebut adalah seorang ulama’ yang bernama Syeikh al-‘Izz bin Abd al-Salam atau lebih masyhur dikenali sebagai “Sultan kepada semua ulama”. Gelaran ini diberikan kerana sifat beliau yang amat tegas di dalam menasihati para pemerintah dan panglima perang ketika perang Salib sedang berlaku. Beliau bukan sahaja memberikan fatwa di dalam masalah ibadah tetapi juga turut campur tangan di dalam memberikan fatwa berkenaan masalah politik dan peperangan.
Ketika Sultan Saifuddin Qutuz mencadangkan agar dilakukan kutipan dari rakyat jelata, Syeikh al-Izz Abd al-Salam mengeluarkan satu fatwa yang cukup tegas. Beliau berkata:
“Apabila negara Islam diserang, wajib ke atas dunia Islam untuk memerangi musuh. Harus diambil dari rakyat jelata harta mereka untuk membantu peperangan dengan syarat tidak ada harta langsung di dalam Baitul Mal. Setiap kamu (pihak pemerintah) pula hendaklah menjual semua yang kamu miliki dan tinggalkan untuk diri kamu hanya kuda dan senjata. Kamu dan rakyat jelata adalah sama di dalam masalah ini. Ada pun mengambil harta rakyat sedangkan pimpinan tentera memiliki harta dan peralatan mewah, maka ianya adalah tidak harus.” (Lihat Sultan Saifuddin Qutuz wa Ma’rikatu Ain Jalut oleh Dr. Ali Muhammad Muhammad al-Solabi, hlm. 113. Lihat juga Tarikh al-Islam oleh al-Zahabi, 45/48 dan Tarikh al-Khulafa’ oleh al-Suyuthi, hlm. 334)
Fatwa yang cukup tegas ini disambut juga dengan ketegasan oleh Sultan Saifuddin Qutuz. Beliau terus menjual keseluruhan hartanya lalu memerintahkan kepada semua pembesar negara dan pimpinan perang agar menyerahkan semua yang mereka miliki kepada negara. Hasil yang menakjubkan, Mesir adalah negara yang kaya. Tetapi kekayaan tersebut telah disalahguna oleh sebahagian pimpinan pada masa itu. Penyerahan harta dari pembesar negara telah disambut oleh rakyat jelata. Mereka mula menyumbangkan harta masing-masing untuk memenuhi tuntutan belanjawan perang. Semua turut serta di dalam memberikan sumbangan. Fatwa Izzudin bin Abd al-Salam benar-benar dapat menyelesaikan masalah tersebut dalam kadar yang segera.
No comments:
Post a Comment