212: HIJRAH ITU MEMBAWA KEJAYAAN
Mukadimah
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Alhamdulillah, pada petang Sabtu ini, 30 Zulhijjah 1440 H merupakan hari terakhir untuk tahun hijrah. Insya Allah, esok bermulalah 1 Muharram 1441 Hijrah. Justeru, bersempena Ma’al Hijrah ini, kami mengambil kesempatan dalam ruangan Bayan Linnas kali ini untuk memberikan sedikit ulasan dengan tajuk Hijrah Itu Membawa Kejayaan.
Bermula dari hijrah Rasulullah SAW, maka lakaran kejayaan menyaksikan tertubuhnya kerajaan Madinah yang dipimpin oleh Rasulullah SAW yang kemudian dicorakkan mengikut Hadyu Ilahi dan Nabawi. Maka jadilah ia sebuah negeri yang penuh dengan keamanan, kesejahteraan dan keharmonian. Legasi kejayaan ini kemudiannya diteruskan lagi oleh generasi para sahabat yang terbilang.
Justeru, pada kali ini kami fokuskan tajuk Hijrah Itu Membawa Kejayaan agar kita semua mampu meraih semangat hijrah dalam meraih kemenangan dan kejayaan dalam melayari bahtera kehidupan. Amin.
Nas Ilahi
Daripada banyak nas, kami hanya menyebut satu sahaja yang berkaitan dengan tajuk untuk dibincangkan. Firman Allah SWT:
وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً
Maksudnya: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur;
Surah al-Nisa’ (100)
Ibn Kathir berkata: Ini merupakan galakan dan saranan supaya berhijrah di samping menjarakkan dari musuh Allah dari kalangan musyrikin. Orang yang beriman di mana sahaja dia berada sudah pasti memperolehi tempat perlindungan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/231)
Syeikh al-Maraghi berkata: Barangsiapa berhijrah di jalan Allah SWT, iaitu dengan tujuan mencari keredaan-Nya dan untuk menegakkan agamanya sesuai dengan kewajipan bagi dirinya selaras dengan jalan yang dicintai oleh Allah SWT, nescaya akan memperoleh tempat yang memberinya kelepasan di muka bumi ini. Jika mereka yang tadinya berasa tertindas, mereka akan mendapat tempat perlindungan sehingga mereka memperoleh kebaikan dan rezeki yang banyak di samping terselamat daripada penindasan dan kehinaan.
Ayat ini mengandungi janji kepada orang yang berhijrah di jalan Allah SWT bahawa mereka akan memperoleh kemudahan-kemudahan kehidupan yang lebih baik, terlepas daripada penindasan musuh dan mengalahkan musuh. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1326)
Berdasarkan kepada nas di atas jelas menunjukkan hijrah mempunyai kedudukan yang mulia dan istimewa dalam Islam. Meneliti sejarah hijrah, terlalu ramai para Rasul melakukan hijrah seperti Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS dan lain-lain. Betapa hebatnya hijrah sehingga Allah menjanjikan dengan syurga berdasarkan nas yang banyak sama ada daripada al-Quran dan Sunnah.
Selain itu juga, Ia menggambarkan kehebatan dan kekuatan umat Islam yang melaksanakan hijrah. Justeru sewajarnya umat Islam memahami erti dan makna hijrah. Mudah-mudahan dengan itu kita dapat menghijrahkan diri kita dalam usaha untuk menggapai mardhatillah. (Lihat Fiqh al-Hijrah, hlm. 19)
Sejarah Orang Yang Berjaya Selepas Hijrah
Berdasarkan sejarah yang panjang, kita dapati ramai orang yang melakukan hijrah akhirnya menjadi hartawan, jutawan dan memiliki kejayaan serta kekayaan. Kadang-kadang, kekayaannya amat luar biasa mengalahkan penduduk pribumi tempat tersebut. Hal ini banyak berlaku.
Para sahabat yang melakukan hijrah ke kota Madinah selepas beberapa ketika, mereka cukup kaya, hebat yang akhirnya dapat memberikan sumbangan kepada kebaikan.
Beberapa Contoh Hijrah Membawa Kejayaan
Kami kemukakan di sini beberapa tokoh, antaranya:
- Muhammad Salah
Beliau merupakan pemain bola sepak professional dari Mesir dan dilahirkan di Basyoun, Mesir pada 15 Jun 1992. Mohammad Salah menyertai kumpulan senior El Mokawloon dari 2010 hingga 2012 dan menjaringkan 11 gol dan 38 penampilan. Beliau kemudian bermain untuk Basel dari 2012 - 2014 dan menjaringkan 9 gol dalam 47 perlawanan. Pada 2014 hingga 2016, Salah bermain untuk Chelsea dan telah dipinjamkan ke Fiorentina pada 2015 serta Roma dari 2015-2016. Beliau kemudian mengambil keputusan untuk menyertai Roma sepenuhnya dari 2016-2017.
Akhirnya, pada 2017, beliau memutuskan untuk berpindah ke Liverpool yang akhirnya menyaksikan jaringan gol paling banyak disumbangnya berbanding kelab-kelab lain yang pernah disertainya. Beliau turut berjaya memenangi pelbagai anugerah antaranya Pemain Lelaki FIFA Terbaik pada 2018 dan beberapa anugerah lain.
Nilai Muhammad Salah ketika berpindah dari AS Roma ke Liverpool ketika itu hanya 40 juta Euro (RM189.92 juta). Namun kini, nilai Mohammad Salah melonjak naik sehingga dianggarkan mencapai 150 juta Euro.[1]
Beliau merupakan salah seorang daripada mereka yang berhijrah dari negara asalnya lalu berjaya melakarkan kejayaan yang luar biasa.
- Thomas Peterffy
Beliau adalah pengasas, pengerusi, CEO dan pemegang saham terbesar bagi syarikat Interactive Brokers[2]. Beliau pernah dicatatkan sebagai individu ke-76 terkaya di Amerika Syarikat dan ke-3 terkaya di Connecticut.
Namun, beliau bukanlah penduduk yang sememangnya berasal dari Amerika. Beliau dilahirkan di Budapest, Hungary pada tahun 1944.
Beliau kemudian berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1965. Ketika sampai di Kota New York, beliau tidak boleh pun bertutur dalam Bahasa Inggeris. Meskipun begitu, hasil kerja kerasnya walaupun sebagai pendatang, beliau berjaya mengubah hidupnya dengan drastik.
Sehingga Januari 2018, nilai kekayaannya dianggarkan mencecah sekitar USD 19.5 billion. Majalah Forbes pernah mencatatkan, beliau adalah penduduk Hungary yang paling kaya dan individu terkaya di Florida.
- Pasangan Do Won dan Jin Sook Chang
Do Won Chang merupakan billionaire yang mengasaskan Forever 21[3] iaitu sebuah rangkaian pemborong pakaian (clothing store chain) bersama isterinya Jin Sook Chang.
Walaubagaimanapun, pasangan ini sebenarnya berasal dari Korea Selatan yang kemudian berhijrah ke Amerika Syarikat. Menurut Business Insider, perjalanan Do Won dan Jin Sook menuju kejayaan bermula pada tahun 1981. Pada masa itu, mereka berusia 26 tahun. Di usia itu lagi, mereka sudah memasang impian besar. Lantas mereka memutuskan untuk berhijrah ke Los Angeles, Amerika Syarikat.
Mereka melakukan pelbagai pekerjaan selama beberapa tahun. Akhirnya setelah melakukan pengamatan, datang inspirasi yang menjadi titik tolak perubahan dalam hidup mereka. “Saya melihat semua mereka yang memandu kereta-kereta yang terbaik adalah menjalankan perusahaan pakaian.” Kata Do Won dalam satu wawancara.
Pada tahun 1984, pasangan ini lalu memulakan kedai pakaian dengan modal yang mereka miliki. Akhirnya selang beberapa tempoh masa, kedai pakaian mereka terus berkembang pesat.
Pada 2015, nilai kekayaan mereka pernah dicatatkan mencapai USD 6.1 billion menurut Majalah Forbes.[4]
Beliau mendorong setiap orang agar sentiasa memiliki impian. "Fakta bahawa para imigran yang datang ke Amerika, seperti yang saya lakukan, mampu mengasaskan Forever 21 dan semua itu dimulakan dari sebuah hal yang sederhana iaitu dengan sebuah impian.” terangnya.
- Jack Ma
Jack Ma adalah seorang ahli perniagaan yang terkenal dengan platform e-commerce Alibaba. Beliau telah dianugerahkan sebagai orang paling kaya di negara China pada tahun 2014.
Jack Ma dilahirkan di daerah Hangzhou, China yang merupakan daerah yang miskin di kawasan pedalaman Negara China. Semasa remaja, Jack Ma hidup dalam keadaan serba kekurangan kerana dilahirkan dalam keluarga yang miskin. Disebabkan itu, beliau berusaha untuk mengubah nasib dirinya.
Semasa kecil lagi dia mempunyai cita-cita yang tinggi. Jack Ma akhirnya berjaya bekerja sebagai pensyarah Bahasa Inggeris di Universiti Hangzhou Dianzi sebelum mengasaskan Syarikat Alibaba.
Perjalanan hidup Jack Ma ini berubah ketika melawat Amerika Syarikat pada tahun 1995. Pada tahun tersebut, perkembangan Internet baru sahaja bermula dan syarikat yang popular adalah Yahoo yang baru sahaja berusia setahun jagung.
Beliau mengasaskan Syarikat Alibaba pada tahun 1999, dan kini ianya bernilai sebanyak $396 billion dari segi market capitalization.[5] Manakala Jack Ma sendiri, sehingga Ogos 2019, nilai kekayaannya dianggarkan mencecah USD 38.1 billion.[6]
- Sri Prakash Lohia
Beliau adalah seorang ahli perniagaan billionaire dan pengasas serta pengerusi kepada Indorama Corporation, syarikat yang berkaitan petrokimia dan juga industri tekstil di Indonesia.
Lohia sebenarnya adalah berasal dari India dan kemudian berhijrah ke Indonesia untuk memulakan kehidupan baru pada tahun 1973 bersama ayahnya. Ketika itu, beliau baru berusia 19 tahun.
Pada awalya, mereka menubuhkan Indorama Synthetics. Mereka menceritakan, masa tiga hingga empat tahun pertama adalah sangat sulit untuk membangunkan perusahaan tersebut di negeri orang. Akhirnya setelah usaha keras dan berterusan, mereka berjaya mengharunginya dan perniagaan yang mereka usahakan berkembang pesat.
Pada tahun 2013, Sri Prakash Lohia telah diletakkan sebagai individu ke-6 terkaya di Indonesia dengan nilai kekayaan sebanyak USD 3 billion.
- Arnold Schwarzenegger
Beliau merupakan seorang pelakon, ahli bina badan, ahli politik Parti Republikan, serta usahawan yang pernah memegang jawatan sebagai Gabenor California, Amerika Syarikat ke-38.
Beliau asalnya merupakan seorang warga Austria dan dilahirkan pada 1947 di Austria. Beliau kemudian berhijrah ke Amerika Syarikat pada usia 21 tahun.
Beliau menceritakan: " Apabila saya berpindah ke Amerika Syarikat, saya tidak memiliki apa-apa termasuk wang dan makanan. Kebetulan waktu itu adalah 'Thanksgiving Day' (Hari Kesyukuran) dan masyarakat di kejiranan di situ membantu dengan memberikan makanan, perabot serta televisyen hitam putih.”[7]
Beliau merupakan seorang yang sentiasa berfikiran besar. Kata beliau: "Seperti yang saya katakan, jangan berfikir secara kecil. Apabila saya mengambil keputusan berkhidmat untuk Amerika, saya mahukan yang terbaik dan menyasarkan jawatan tertinggi yang boleh dicapai oleh mereka yang bukan lahir di negara itu iaitu Gabernor di negeri terhebat, California."[8]
Akhirnya beliau berjaya memegang jawatan sebagai Gabenor tersebut sekalipun beliau pada awalnya merupakan penduduk Austria yang kemudian berhijrah ke Amerika. Sehingga 2019, nilai kekayaannya dianggarkan mencecah sekitar USD 400 juta.
- Ahmad Dawjee Dadhaboy
Ahmad Dawjee Dadabhoy dilahirkan pada tahun 1907 di Gujerat India. Beliau merupakan ahli perniagaan serta dermawan yang banyak melakukan amalan wakaf.
Pada tahun 1940an, selepas merantau di banyak negara dunia, beliau telah datang ke Tanah Melayu dan memilih untuk menetap di Kuala Lumpur. Beliau fasih dalam pelbagai bahasa dan amat gemar pada kitab dan ilmu serta mempunyai rangkaian kenalan di merata dunia.[9]
Dari awal lagi, beliau telah menyedekahkan hartanya melalui institusi wakaf. Institusi tersebut pada asalnya merupakan wakaf keluarga tetapi kemudiannya dinamakan Alwaqful Islami ul Alamee.[10]
Pada penghujung usianya, beliau mewakafkan hampir keseluruhan hartanya termasuk sebidang tanah seluas 1.2 hektar di Jalan Perak, Kuala Lumpur.[11] Pada 24 Januari 1987, beliau telah kembali ke rahmatullah. Sebelum meninggal dunia, Allahyarham telah menyatakan hajat untuk memberikan wakaf beliau yang terdiri daripada beberapa harta benda dan juga tabung dana kepada pihak penguatkuasa agama.[12]
Pada 18 September 1991, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengisytiharkan bahawa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Kuala Lumpur adalah pemegang amanah almarhum memandangkan beliau tidak mempunyai waris serta bagi memenuhi wasiat beliau.
Kesudian Allahyarham untuk mewakafkan hartanah di tapak yang begitu tinggi nilainya ini membolehkan ianya dimajukan dan akhirnya memberi pulangan yang besar kepada umat Islam. Nilai tanah tersebut sebelum dibangunkan adalah RM34 juta dan setelah ianya dibangunkan, nilainya melonjak kepada lebih RM151 juta.
MAIWP sebagai pemegang amanah hartanah wakaf berkenaan telah menggalas tanggungjawab membangunkan tanah wakaf tersebut seterusnya menjadi pelopor kepada pembangunan tanah wakaf bagi tujuan komersial di Malaysia. Hasilnya, dengan kerjasama antara MAIWP, Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), maka tanah tersebut berjaya dibangunkan. Dalam perkongsian pintar ini, LTH sebagai pemaju menawarkan pembiayaan 100% bagi membangunkan tanah wakaf MAIWP ini dan BIMB sebagai perintis perbankan Islam di Malaysia menjadi penyewa utama. TH Properties pula memainkan peranan sebagai pengurus projek. Berdasarkan struktur pembiayaan “Build-Operate-Transfer”, MAIWP akan mendapat pulangan sebanyak RM56.6 juta sepanjang tanah tersebut dipajakkan kepada LTH iaitu selama 25 tahun.[13]
Bermula dengan sikap dermawan dan pemurah Allahyarham, ia kini menjadi mercu tanda dan kebanggaan umat Islam. Pulangan yang diterima oleh MAIWP akan dipulangkan untuk manfaat asnaf dan ummah seluruhnya. Betapa besar manfaat yang diperolehi berpunca dari amalan wakaf Allahyarham.
Dengan penampilan serta gaya hidup yang sederhana, kediaman beliau sehingga akhir hayat hanyalah sebuat flat di Jalan Masjid India yang dipenuhi kitab-kitab serta majalah. Tiada siapa yang tahu warga tua yang sering kelihatan di warung-warung persekitaran merupakan seorang dermawan yang murah hati. Allahyarham telah kembali ke Rahmatullah pada 24 Januari 1987, tanpa meninggalkan waris.[14]
Semoga ramai lagi pewakaf yang menggerakkan wakaf dalam kalangan rakyat Malaysia bagi manfaat kepada ummah dan ekonomi Islam pada masa akan datang. Amin.
Cara Untuk Mendapatkan Semangat Roh Hijrah
Persoalannya, apakah cara untuk mendapatkan semangat roh hijrah hingga mampu dijelmakan dalam kehidupan sanubari kita? Penulis hanya ingin membuka minda untuk sama-sama kita bermuhasabah sejarak mana kita dengan tata cara kehidupan Rasulullah SAW dalam mencapai mardhatillah (keredaan Allah).
Antaranya:
- Hati dan nawaitu Bagaimana kita mentahqiqkan ubudiyyah yang mutlak kepada yang Maha Esa dalam menjalani kehidupan ini.
- Pembuangan segala sifat mazmumah seperti hasad dengki, tamak haloba dan digantikan dengan segala sifat mahmudah yang dianjurkan oleh agama Islam.
- Prestasi ibadah kita adakah masih pada tahap yang sama sejak dahulu lagi atau terdapat peningkatan sama ada khusyuknya, ikhlasnya dan benar mengikut sunnah Nabi SAW dalam pengamalan ibadah tersebut.
- Sistem muamalah yang sentiasa kita berinteraksi dalam masyarakat untuk urusan harian apakah menepati piawaian syarak yang selamat dari unsur riba, khianat, penipuan dan sebaliknya mengikut sistem Islam.
- Berhubung dengan kekeluargaan Islam, apakah ia benar-benar menjadi bait muslim yang melahirkan sakinah, mawaddah, rahmah seterusnya melahirkan zuriat soleh dan solehah yang menjadi khalifah Allah di muka bumi.
- Dr Mustafa al-Sibaie berkata “Sesungguhnya tentera yang benar lagi ikhlas amat memerlukan kepimpinan yang baik. Natijahnya dia sanggup berkorban untuk pemimpinnya, ini kerana jika selamatnya pemimpin maka selamatlah dakwah.
- Hubungan sesama masyarakat dari yang paling hampir seperti jiran tetangga, rakan taulan, pemimpin, rakyat hatta siapapun dia adakah menepati seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika mengasaskan Kerajaan Islam yang pertama di Madinah.
- Meletakkan Piagam Madinah sebagai perlembagaan merupakan satu jaminan bahawa sebarang tindakan mesti mengikut lunas undang-undang. Lantas memberikan hak semua warganegara hatta di kalangan orang yahudi dan bukan Islam sekalipun.
- Memperkasakan peranan masjid. Bukan hanya terbatas sebagai tempat beribadat sahaja, tetapi hendaklah diperluaskan kepada yang lebih syumul lagi menyuluruh antaranya:
- Tempat ibadat seperti solat, zikir dan membaca al-Quran.
- Tempat mempelajari ilmu. Bahkan masjid merupakan universiti pertama yang melahirkan graduan pahlawan dan pendakwah yang membuka hati-hati hamba dan negeri dengan dakwah Islam. Justeru itu, ia dianggap sebagai madrasah Nubuwwah dan menara ilmu.
- Tempat Syura atau perbincangan. Dalam istilah moden, ianya kelihatan seperti parlimen bagi mendapatkan maklumat dan buah fikiran yang terbaik.
- Sebagai pusat jaringan takaful dan tolong menolong sesama muslim. Ketika itu, terbinalah masyarakat yang begitu kukuh dan ampuh hubungan ukhuwwah mereka. Ini kerana sikap yang kaya menolong golongan miskin dan yang susah dibantu akhirnya akan terbentuk rasa hormat dan kasih sayang.
Akhirnya, marilah sama-sama kita mempelajari sirah dan sunnah Nabi SAW untuk memahami segala selok belok yang berkaitan dengan Baginda agar dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Sesungguhnya, menjadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah dan uswah hasanah sudah pasti membawa kebahagiaan yang hakiki sama ada di dunia mahupun hingga ke akhirat.
Masyarakat madani yang dibina oleh Rasulullah SAW berasaskan Hablum min Allah (hubungan dengan Allah) dan Hablum mina al-Nas (hubungan dengan manusia). Apabila terpateri kukuh dua ikatan tersebut, sudah pasti suasana keharmonian dan kebahagiaan yang terpamer dalam masyarakat tersebut yang melayakkan negeri mereka dikenali sebagai Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur. Untuk mendapat penjelasan lanjut, sila rujuk buku kami bertajuk Fiqh al-Hijrah (hlm. 73-75).
Penutup
Sewajarnya kita berhijrah daripada baik kepada yang lebih baik dan menggunakan hijrah untuk membaiki kehidupan kita. Sejarah telah membuktikan bermulanya kejayaan Rasulullah SAW dan para sahabat selepas berhijrah.
Al-Syeikh al-Khidri berkata: “Dengan hijrah ini, telah sempurnalah bagi Rasul kita SAW mengikut sunnah saudaranya dalam kalangan para Nabi. Ini kerana sunnah mereka adalah berhijrah dari tempat kelahiran mereka. Seperti berlaku dari Ibrahim AS hingga kepada Nabi Isa AS.”
Seperti kata Dr. Muhammad Abu Faris “Sesungguhnya hijrah sepenting-penting peristiwa dalam tarikh dakwah Islamiyah. Ini kerana dengannya terbentuk kuasa politik bagi umat Islam dalam menyebarkan agamanya serta mempertahankan kemuliaannya.”
Marilah kita bina kehidupan kita dengan amalan yang ikhlas dan juga sentiasa membina diri, keluarga dan kehidupan kita ini ke arah yang lebih baik.
Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1441. Semoga keberkatan dalam hidup menjadi milik kita semua. Amin.
Akhukum fillah,
SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Ambang Ma’al Hijrah, 1 Muharram 1441 H bersamaan 1 September 2019
Nota Hujung:
[1] https://www.transfermarkt.com/mohamed-salah/profil/spieler/148455
[2] Ia merupakan sebuah firma broker kos rendah dalam talian. Majalah Barron menyebut, syarikat ini merupakan venue perdagangan paling murah bagi pelabur. Mereka beroperasi dalam futures, bon, stok, forex dan pertukaran mata wang asing seluruh dunia.
[3] Forever 21 merupakan sebuah rantaian peruncit pakaian dari Amerika Syarikat serta mempunyai cawangan di bandar-bandar utama seperti di Benua Amerika, Eropah, Asia, dan juga Timur Tengah. Syarikat ini juga menawarkan pakaian dan aksesori yang bergaya untuk wanita muda, lelaki dan remaja perempuan pada harga yang rendah.
[4][4] https://www.businessinsider.com/rags-to-riches-story-of-forever-21-cofounders-2015-5?IR=T
[5] Lihat rencana bertajuk Nasihat Jack Ma Kepada Usahawan Yang Ingin Berjaya Dalam Perniagaan dalam Majalah Labur.
[6] https://www.forbes.com/profile/jack-ma/#7c9d895e1ee4
[7] www.mstar.com.my/lokal/semasa/2015/10/23/arnold-kongsi-rahsia
[8] www.mstar.com.my/lokal/semasa/2015/10/23/arnold-kongsi-rahsia
[9] Lihat http://swadd.com.my/maklumat/allahyarham-ahmad-dawjee-dadabhoy
[10] Lihat Buletin MAIWP, Bil. 10/2011/September - Oktober 2011, hlm. 6-7.
[11] Lihat akhbar Kosmo, 14 April 2018. http://www.kosmo.com.my/jurnal/jutawan-rela-miskin-demi-saham-akhirat-1.648799
[12] Lihat Buletin MAIWP, Bil. 10/2011/September - Oktober 2011, hlm. 6-7.
[13] Lihat Buletin MAIWP, Bil. 10/2011/September - Oktober 2011, hlm. 6-7.
[14] http://www.swadd.com.my/sejarah-surau-wakaf-ahmad-dawjee-dadabhoy
No comments:
Post a Comment