BAYAN LINNAS SIRI KE-270: KELEBIHAN MENGISLAMKAN SAUDARA BAHARU
Mukadimah
Baru-baru ini tular di media sosial berita berkenaan Perdana Menteri Malaysia Ke-10, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim selaku yang mengislamkan seorang saudara baharu iaitu Muhammad Anuar di Masjid Ar-Rahimiah, Klang, Selangor.[1] Perkara tersebut berlaku secara spontan tanpa dirancang. Kebetulan pada hari tersebut YAB Dato’ Seri telah menziarahi waris mangsa tragedi kapal terbang terhempas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan setelah itu beliau bersama rombongannya terus melaksanakan solat Jumaat di masjid tersebut.[2]
YAB Dato’ Seri hanya menunaikan permintaan saudara seislam beliau iaitu Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Klang yang meminta beliau dalam kesempitan masa yang ada untuk membantu dan mengajarkan lafaz syahadah kepada saudara baharu berkenaan.[3]
Video yang hanya berdurasi 1 minit 26 saat tersebut telah menjadi tular di pelbagai media sosial dan mendapat pelbagai respon daripada setiap lapisan masyarakat. Antara respon yang diutarakan oleh sebahagian pihak kurang bersetuju tindakan tersebut ialah mereka mempertikaikan YAB Dato’ Seri dengan menyebut beliau gagal mengambil kira sensitiviti orang bukan Islam.[4] Selain itu, mereka turut memperakui bahawa tindakan tersebut tidak bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama. Tetapi mereka berpandangan perkara tersebut tidak wajar dilakukan.[5]
Tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Perundangan
Sebagai rakyat Malaysia, perlu jelas bahawa YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim ketika itu sedaya upaya melayani dan menyantuni permintaan rakyat Malaysia yang menginginkan beliau terlibat dalam proses pengislaman berkenaan. Lebih-lebih lagi kedudukan beliau sebagai pemimpin negara dan juga seorang yang beragama Islam. Bahkan, perkara ini tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan mahupun undang-undang.
Oleh itu, setiap lapisan masyarakat perlu akur dan tenang dalam menghadapi perkara ini. Tidak wajar untuk merasa terancam atau seumpamanya sehingga menyebabkan polemik baharu dalam negara. Inilah pentingnya penghayatan terhadap isi rukun negara supaya masyarakat sentiasa harmoni walaupun negara Malaysia merupakan negara yang memiliki masyarakat majmuk. Teguhkan perpaduan elakkan pertelingkahan sesama rakyat.
Pandangan Islam Berkenaan Mengislamkan Saudara Baharu
Dalam Islam kita dituntut untuk menyeru manusia masuk ke dalam Islam dan ia adalah satu pekerjaan yang amat berat. Namun begitu, pekerjaan yang mulia dan inilah merupakan tugas para Nabi dan Rasul iaitu membawa manusia ke jalan hidayah. Sesungguhnya pahala yang amat besar dijanjikan Allah SWT kepada orang yang berjaya mengislamkan atau membantu mengislamkan seseorang.
Firman Allah SWT:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)"
Surah al-Fussilat (33)
Menurut Syeikh Dr Wahbah al-Zuhailli ayat ini menerangkan bahawa sebaik-baik apa yang diucapkan oleh seseorang ialah dakwah kepada meng-Esa dan mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Kelebihan ini merangkumi semua orang yang ikhlas berdakwah menyeru manusia kepada Allah SWT dan termasuklah Nabi SAW dan orang yang melaungkan azan[6].
Terdapat pelbagai hadis yang menceritakan tentang galakan menyeru manusia kepada kebaikan dan ganjaran yang akan diperolehi apabila seseorang itu melakukan kebaikan yang diseru itu. Pernah pada suatu ketika Nabi SAW menyuruh Saidina Ali RA untuk membawa panji ketika peperangan Khaibar. Lalu Saidina Ali berkata; “kami akan menentang dan melawan musuh sehingga mereka menjadi muslim”, lalu Nabi SAW berkata; “bersabarlah, sehingga kamu berjumpa dengan mereka dan mengajak mereka untuk memeluk agama Islam maka Allah akan bersama mereka.”
فَوَاللَّهِ لَأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ
Maksudnya: “Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik).”
(Riwayat al-Bukhari)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata, perkataan (حمر النعم) dengan maksud unta yang terbaik. Sebahagian ulama mentafsirkan makna hadis ini dengan makna bahawa mengislamkan seseorang itu lebih baik berbanding memiliki unta yang terbaik atau menyedekahkannya.[7] Dalam hadis yang lain daripada Abi Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى، كَانَ لَهُ مِنَ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ، لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا
Maksudnya: “Sesiapa yang menyeru (seseorang) kepada hidayah, baginya ganjaran seperti mana ganjaran orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikit pun daripada ganjaran mereka (yang melakukan).”
(Riwayat Muslim)
Hadis-hadis di atas, jelas menunjukkan kepada kita akan ganjaran yang hebat akan diterima oleh seseorang yang telah menyeru manusia ke jalan hidayah dan pahala tersebut akan diperolehi selagi mana orang yang diseru itu melakukan serta mengamalkannya.
Kesimpulan
Dalam berinteraksi dengan peristiwa ini masyarakat Malaysia seharusnya berlapang dada dan tidak memperbesarkan lagi perkara ini sehingga menjadi polemik baharu dalam negara. Hal ini kerana, ia bukanlah tindakan yang berbentuk hasutan apatah lagi ancaman kepada saudara berlainan agama. Sedangkan, perkara ini menggambarkan keunikan tersendiri bagi negara Malaysia, walaupun rakyatnya berbilang bangsa, kaum dan agama tetapi masih dapat hidup dengan harmoni dalam satu negara. Sempena sambutan kemerdekaan yang ke-66 ini, marilah sama-sama berganding bahu memperteguhkan hubungan sesama insan agar Malaysia terus menjadi model ikutan kepada negara serantau. Wallahuaʻlam.
Rujukan:
[1] Ahmad Fadhlullah Adnan, “Tular Anwar mengislamkan saudara baharu,” laman sesawang Utusan Malaysia, dicapai pada 22 Ogos 2023, https://www.utusan.com.my/nasional/2023/08/tular-anwar-islamkan-saudara-baharu/.
[2] Haspaizi Zain, “NGO, jabatan agama lebih sesuai Islamkan saudara baru - Wan Salim,” laman sesawang Malaysiakini, dicapai pada 22 Ogos 2023, https://www.malaysiakini.com/news/676478.
[3] “Saya yang minta Anwar Islamkan saudara baru itu,” laman sesawang Malaysiakini, dicapai pada 22 Ogos 2023, https://www.malaysiakini.com/news/676553.
[4] Ibid.
[5] Ibid.
[6] Wahbah al-Zuhailli, Tafsir al-Munir fi al-Aqidah wa al-Syaria’ah wa al-Manhaj (Beirut: Dar al-Fikr, 1991), jld. 24, hlm. 228.
[7] Ibn Hajar al-Asqallani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (Beirut: Dar al-Makrifah, 1379H), jld. 7, hlm. 478.
قَوْلُهُ حُمْرِ النَّعَمِ بِسُكُونِ الْمِيمِ مِنْ حُمْرِ وَبِفَتْحِ النُّونِ وَالْعَيْنِ الْمُهْمَلَةِ وَهُوَ مِنْ أَلْوَانِ الْإِبِلِ الْمَحْمُودَةِ قِيلَ الْمُرَادُ خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ تَكُونَ لَكَ فَتَتَصَدَّقَ بِهَا وَقِيلَ تَقْتَنِيَهَا وَتَمْلِكُهَا وَكَانَتْ مِمَّا تَتَفَاخَرُ الْعَرَب بهَا
No comments:
Post a Comment