211: KEMERDEKAAN: MARILAH KITA MEMPERTAHANKANNYA

 211: KEMERDEKAAN: MARILAH KITA MEMPERTAHANKANNYA

kemerdekaan negara.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada-Nya, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Begitu juga kepada kaum keluarganya, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari Akhirat.

Pada bulan Ogos setiap tahun, khususnya pada 31 Ogos, rakyat Malaysia sudah pasti akan mengingati tarikh keramat yang sentiasa diraikan di pelbagai peringkat sama ada di peringkat negara, negeri, daerah atau jabatan-jabatan dan syarikat-syarikat. Ini bagi menzahirkan rasa syukur, bahagia dan gembira dengan kemerdekaan yang telah dikecapi oleh negara ini sejak 1957. Peristiwa bersejarah ini sentiasa diulang-ulang saban tahun.

Begitu juga dengan aktiviti penerangan, ceramah, siaran TV, radio dan akhbar-akhbar akan menyebut sambutan hari kemerdekaan dan juga sejarah bagaimana rakyat di negara ini bermandikan darah, keringat dan air mata untuk menjadikannya benar-benar mendapat kemerdekaan sehingga kemanisan merdeka dihayati dengan sepenuhnya.

Justeru dalam Bayan Linnas pada kali ini, kami kemukakan dengan tajuk Kemerdekaan: Marilah Kita Mempertahankannya. Semoga pencerahan yang dikemukakan ini menjadikan kita memahami erti kemerdekaan negara kita ini dan sanggup mempertahankannya agar kenikmatan hidup aman dan harmoni dalam kalangan masyarakat sentiasa subur. Kami lafazkan dengan ucapan yang diajar oleh Rasulullah SAW sempena menyambut kemerdekaan ini dengan: “الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ”

Semoga Bayan Linnas kali ini menambahkan rasa kecintaan dan sayang kita kepada negara demi untuk mempertahankannya. Amin.

 

Definisi Merdeka

Menurut Kamus Dewan Bahasa, merdeka bermaksud bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan sebagainya. Ia juga bermaksud lepas daripada tebusan atau tuntutan serta berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Di dalam bahasa Arab, kemerdekaan disebut sebagai ‘استقلال’ iaitu bersendiri dalam memiliki kemuliaan, berdikari dan bangkit daripada penindasan atau melepaskan diri daripada sesuatu ikatan.

 

Erti Kemerdekaan

Setiap orang mempunyai pengertian yang tersendiri apabila disebut merdeka. Anggota polis merasakan amat penting memahami erti kemerdekaan. Apatah lagi perajurit dan wira tanah air dan askar yang cukup terkesan dalam hati mereka akan makna sebuah kemerdekaan. Mereka yang hidup pada dua zaman, sebelum kemerdekaan dengan penindasan dan kezaliman serta selepas kemerdekaan yang membawa kebebasan dalam serba-serbi kehidupan akan dapat merasai perbezaan yang amat ketara antara kedua-duanya.

Sifat inginkan kemerdekaan dimiliki oleh semua manusia. Mereka sanggup berperang sehingga ke titisan darah terakhir dan berkorban apa sahaja semata-mata untuk meraih kemerdekaan. Mereka titipkan ruh dan semangat perjuangan mereka kepada generasi dan anak-anak mereka. Inilah ucapan singa padang pasir, Umar Mukhtar[1] yang penuh bermakna dan semangat. Kami nukilkan ringkasan kisahnya.

Pada tanggal 12 September 1931, adalah tarikh hitam bagi pasukan tentera Islam di Libya apabila Umar Mukhtar diberkas oleh Kolonial Itali setelah pertempuran sengit berlaku di antara kedua-dua pihak di Slonta, berhampiran Jabal al-Akhdar. Dalam pertempuran tersebut seramai 40 orang tentera Islam telah terkorban, manakala Umar Mukhtar pula ditangkap dan dipenjarakan. Beliau ditahan di kem Benghazi dengan harapan gerakan penentangan Libya nanti akan layu tanpanya.

Namun, Umar Mukhtar terus berjuang dengan menghunuskan lisannya mengancam Kolonial Itali:

سَوْفَ تَأْتِي أَجْيَالٌ مِنْ بَعْدِي تُقَاتِلُكُمْ، أَمَّا أَنَا فَحَيَاتِي سَوْفَ تَكُوْنُ أَطْوَلَ مِنْ حَيَاةِ شَانِقِي

“Kamu pasti bertembung dengan generasi-generasi akan datang selepas aku yang akan berjuang memerangi kebiadaban dan keangkuhanmu. Adapun kehidupanku yang akan kulalui jauh lebih lama daripada tukang gantung (algojo).”

Menteri Pertahanan Itali, Rodolfo Graziani (1882 M - 1955 M) pernah bertanya kepada Umar Mukhtar tentang mengapa masih berjuang sedangkan secara zahirnya negara-negara umat Islam pada waktu itu di ambang kejatuhan. Lantas Umar Mukhtar menyatakan yang perjuangannya dibina atas dasar agama dan atas rasa tanggungjawab terhadap generasi umat Islam akan datang. Biarpun pada waktu itu tiada pilihan lain yang boleh dilakukan Umar Mukhtar, kalimah-kalimah yang benar terus disuarakan, menuntut hak dan kemerdekaan Libya. (Lihat Kisah Umar Mukhtar, ‘Singa Padang Pasir’ oleh Mohd Azmir bin Maideen)

Bagi memahami erti dan konsep kemerdekaan dengan lebih jelas, kami nukilkan di sini beberapa pendapat tokoh berkenaan dengannya.

 

PertamaPendapat Tokoh Berkenaan Kemerdekaan

Antaranya seperti berikut:

  • Pendeta Za’ba[2]

Beliau menyebut bahawa kemerdekaan ialah “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesolehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.”

  • Malik Bennabi[3]

Beliau menjelaskan bahawa perjuangan membebaskan tanah air harus segera disusuli dengan perjuangan memerdekakan minda (Istiqlal al-‘aql). Beliau menyedari apalah erti kemerdekaan bumi pertiwi, jika rakyat peribuminya masih tetap berminda anak jajahan. Membangkitkan jiwa merdeka adalah agenda terpenting yang tidak boleh dikompromikan.

Dalam bukunya bertajuk Falsafah Hidup, beliau menjelaskan berkenaan pengertian kemerdekaan seperti berikut: “Kemerdekaan, ialah bahawa engkau rasai dengan perasaan yang jernih, hak yang perlu engkau ketahui, dan waktu itu engkau rasai apa pula kewajipan kepada orang lain.

Engkau merdeka dan bebas mengembangkan sayap, menurutkan kemahuan hati, untuk membuktikan bahawa engkau berhak.

Engkau boleh mengeluarkan apa yang terasa di hatimu, asal engkau hormati pula kemerdekaan orang lain dan engkau bayarkan kewajipan yang diminta oleh masyarakat kepada engkau.”

  • Syed Muhammad Naquib al-Attas[5]

Menurut beliau, apabila disebut “kebebasan” dalam tradisi Islam ianya merujuk kepada ikhtiyar dan bukan hurriyyahIkhtiyar adalah memilih sesuatu untuk yang lebih baik. Oleh itu, menurut beliau kebebasan adalah berbuat menurut tuntutan sifat-dasarnya yang benar dan selari dengan fitrah insani dan tuntutan ilahi.

 

KeduaUcapan YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Berkenaan Kemerdekaan

Kami lampirkan di sini, beberapa siri ucapan YAB Perdana Menteri sempena Hari Merdeka. Kata beliau:

  • “Anggapan kemerdekaan sebagai perkara biasa yang tidak perlu kita agung-agungkan adalah amat merbahaya. Kita mesti sedarkan generasi yang beranggapan demikian sebelum kemalangan menimpa kita. Sebenarnya kemerdekaan adalah satu nikmat yang istimewa. Kerana kehilangan kemerdekaanlah hari ini rakyat Palestin, Afghanistan dan Kampuchea berperang bermati-matian. Kita bersimpati dengan mereka kerana negara mereka ditakluk orang. Kita hulurkan derma dan kita sanjung tinggi mereka yang menawar diri untuk pergi berperang bersama dengan pejuang-pejuang negara-negara ini. Tetapi, apakah maknanya simpati dan kesedihan kita jika nikmat yang kita rasai di negara sendiri tidak kita hargai. Oleh itu sedarlah dan bersyukurlah.” (Perutusan Hari Kebangsaan Yang Ke 25, 30 Ogos 1982)
  • Tanggungjawab memelihara kemerdekaan dan kehormatan negara bukanlah tanggungjawab pihak-pihak tertentu, seperti para pemimpin, atau pegawai kerajaan, ataupun pihak tentera dan polis semata-mata. Tugas ini merupakan tugas bersama, dan tidak seorang pun yang cintakan negara boleh menganggap dirinya dikecualikan. (Perutusan Hari Kebangsaan Yang Ke 26, 30 Ogos 1983)
  • “Kemerdekaan ialah satu nikmat kerana kita dapat memerintah dan menentukan nasib kita sendiri, Insya-Allah.” (Perutusan Hari Kebangsaan Yang Ke 27, 30 Ogos 1984)
  • “Kemerdekaan bukan suatu keadaan semula jadi dan penjajahan bukan sudah lesap sama sekali. Hakikatnya ialah penjajahan jenis baru telah dicipta dan penjajahan ini telah berjaya menakluk semula negara dan bangsa yang telah mencapai kemerdekaan. Penjajahan yang dimaksudkan ialah penjajahan ekonomi, penjajahan ideologi dan penjajahan kebudayaan.” (Lihat Perutusan Hari Kebangsaan Perdana Menteri, 30 Ogos 1987)
  • “Sebagai sebuah negara yang telah merdeka kita perlu menjaga maruah dan kedaulatan negara kita. Negara yang miskin bukan sahaja membebankan rakyatnya, tetapi juga kurang dihormati. Negara yang miskin juga tidak berupaya untuk bertindak dengan bebas kerana terpaksa bergantung kepada bantuan dan belas kasihan orang lain.” (Lihat Perutusan Hari Kebangsaan Perdana Menteri, 30 Ogos 1992)
  • “Saya yakin jika kita semua sentiasa ingat dan sedar akan liku- liku dan pahit-maung perjuangan menuntut kemerdekaan; betapa semangat kerjasama yang erat terjalin antara pemimpim-pemimpin berbagai-bagai kaum semasa itu serta pengorbanan dan tolak-ansur yang dibuat oleh semua kaum, saya pasti kita tidak akan membangkitkan perkara-perkara yang boleh menyakiti mana-mana kaum.” (Lihat Perutusan Hari Kebangsaan, 30 Ogos 1997)
  • “Kenapakah kita menyambut Hari Kemerdekaan? Sebabnya ialah makna kemerdekaan sudah semakin kurang difahami dan dihargai oleh ramai daripada kita. Ramai daripada kita dilahir di zaman selepas merdeka dan kita tidak berpengalaman hidup dijajah dan dihina. Jika tidak ada satu usaha untuk memperingati kita, kita akan lupa terus akan sejarah terhina kita dan kita tidak lagi akan berusaha mempertahankan kemerdekaan negara kita.” (Lihat Perutusan Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Negara Ke 45, 30 Ogos 2002)
  • “Merdeka bukan sekadar bebas daripada cengkaman kuasa dan minda penjajah, tetapi juga bermaksud menghayati semangat jiwa merdeka itu dengan menyayangi negara sepenuh hati dan sanggup berkorban untuk negara ini dengan apa cara sekalipun.” (Lihat Perutusan Hari Kebangsaan, 4 Ogos 2018)

Inilah sebahagian daripada ucapannya yang perlu diberi perhatian oleh rakyat dan masyarakat Malaysia dalam menghayati erti kemerdekaan negara kita ini yang tercinta.

Kemerdekaan dalam Islam

Banyak sejarah membuktikan pembukaan Islam ke serata pelusuk tanah Arab dan ‘ajam menyaksikan sebuah kelahiran semula dan kebebasan hidup sehingga sifat manusiawi diberi penghormatan tanpa sebarang bentuk penindasan dan kezaliman. Sebagai contoh, bagaimana Salahuddin al-Ayyubi[6] buat pertama kalinya menguasai Baitul Maqdis selepas dikalahkan oleh musuh Islam. Begitu juga, ucapan Sultan Muhammad al-Fateh ketika pembukaan kota Konstantinopel[7] dengan penuh tawaduk dan toleransi serta tasamuh yang amat tinggi.

 

Pembukaan Kota Mekah

Kami hanya menyebut peristiwa bersejarah pembukaan kota Mekah yang dikenali sebagai Umm al-Qura. Kami menganggap pembukaan Kota Mekah pada Ramadhan 8 Hijrah sebagai ibu kemerdekaan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan toleransi yang amat tinggi, yang patut ditulis dengan tinta emas kerana mengembalikan hak insani dan karamah basyariyyah (kemuliaan manusia).

Syeikh Sofiyyurahman al-Mubarakfuri menyebut peristiwa tersebut dalam kitabnya, al-Rahiq al-Makhtum seperti berikut: Setelah kota Mekah dibuka dan Rasulullah bersama umat Islam memasukinya, Baginda lalu menuju ke al-Masjid al-Haram. Di sana Baginda kemudian bertawaf mengelilingi Kaabah. Baginda menjatuhkan berhala-berhala menggunakan busur panah sambil berkata:

جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا

Maksudnya“Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap".

Surah al-Haj (81)

قُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَمَا يُبْدِئُ الْبَاطِلُ وَمَا يُعِيدُ

MaksudnyaKatakanlah lagi: "Telah datang kebenaran (Al-Quran yang memberi segala kebaikan), dan perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya di akhirat.”

Surah Saba’ (49)

Pada masa yang sama berhala-berhala pun jatuh dan tumbang, hancur berkecai. Selepas menyempurnakan bilangan tawaf, Baginda lalu masuk ke dalam Ka’bah. Baginda mendapati di dalamnya gambar-gambar serta ukiran kayu seekor burung merpati, lalu Baginda memecahkannya. Manakala gambar-gambar di dalam Kaabah diperintah supaya dipadamkan.

Selepas itu Baginda Rasulullah SAW menutup pintu Kaabah dalam keadaan Baginda masih di dalam Kaabah bersama Usamah bin Zaid dan Bilal bin Rabah. Di situ Baginda berdiri dengan membelakang pintu Kaabah dan bersembahyang. Setelah itu, Baginda berjalan-jalan di dalamnya, bertakbir di setiap penjurunya dan menyebut kalimah Tauhid.

Kemudian barulah Baginda membuka pintu Kaabah. Pada masa itu, kaum Quraisy sedang memenuhi ruang masjid secara bersaf sambil menunggu apa yang hendak dilakukan oleh Rasulullah SAW ke atas mereka.

Rasulullah memegang pintu Kaabah, manakala khalayak Quraisy menunggu di bawah. Baginda lalu bersabda:

لَا إِلَه إِلَّا اللَّه وَحْده لَا شَرِيك لَهُ صَدَقَ وَعْده وَنَصَرَ عَبْده وَهَزَمَ الْأَحْزَاب وَحْده...

"Tiada Tuhan melainkan Allah. Tiada sekutu bagiNya, benar janjiNya, membantu hambaNya, mengalahkan golongan Ahzab sendiri-Nya.”

“Ingatlah setiap warisan lama, setiap warisan Jahiliah sama ada harta benda atau darah kesemuanya sekarang berada di bawah kakiku ini, kecuali kuasa untuk mengurus Kaabah dan memberi minum kepada orang ramai yang berhaji. Fahamilah, membunuh itu adalah salah sama sekali, sama ada dengan pembunuhan yang disengajakan, dengan menggunakan senjata ataupun kayu pemukul. Jika hal ini berlaku, maka hukuman berat akan dikenakan, iaitu seratus unta, yang mana 40 daripadanya adalah anak yang masih dalam kandungannya.

Wahai orang-orang Quraisy! sesungguhnya Allah telah pun melenyapkan dari kamu kesombongan jahiliah, sikap bermegahan dengan baka keturunan. Semua manusia sebenarnya adalah berasal daripada Adam dan Adam berasal daripada tanah. Kemudian Baginda membaca ayat al-Quran:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

MaksudnyaWahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Surah al-Hujurat (13)

Kemudian sambung Baginda dengan sabdanya:

يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ، مَا تُرَوْنَ أَنِّي فَاعِلٌ فِيكُمْ؟ قَالُوا: خَيْرًا، أَخٌ كَرِيمٌ، وَابْنُ أَخٍ كَرِيمٍ، قَالَ: فَإِنِّي أَقُول لَكُمْ كَمَا قَالَ يُوْسُف لِإخْوَتِه : { لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ} ، اذْهَبُوا ، فَأَنْتُمْ الطُّلَقَاءُ

Maksudnya"Wahai orang-orang Quraisy! Apakah yang kamu fikirkan akan kulakukan terhadap kamu semua?"

Jawab mereka: "Tentulah baik, kerana engkau seorang saudara yang mulia dan anak kepada saudara yang mulia."

Maka jawab Rasulullah SAW: "Sesungguhnya aku berkata kepada kamu sepertimana Yusuf telah berkata kepada saudara-saudaranya: “لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ” (Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu).

Ayuh beredarlah. Kamu semua bebas.” (Lihat Sirah Ibn Hisyam, 2/412 dan al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 289-291)

 

Tanggungjawab Kita Dalam Mempertahankan Negara

Mempertahankan kemerdekaan negara adalah kewajiban kita bersama sebagai rakyat jelata. Sebagai contoh, piagam Madinah yang diasaskan oleh Baginda SAW telah menyebut semua rakyat jelata hendaklah sama-sama mempertahankan kota Madinah.

Di samping itu, membina negara ke arah yang cemerlang dari semua aspek agar kita sentiasa bersama dengan negara maju dan moden serta tidak ketinggalan dalam pelbagai bentuk pembangunan.

Mempamerkan rasa cinta kepada negara hendaklah wujud pada setiap orang dan ditanam sejak kecil lagi kepada anak-anak. Ini menjadikan setiap warganegara amat menghargai tanah tumpah lahirnya yang sudah pasti akan ada perasaan setia kepada negara.

Hal ini sudah pasti menatijahkan banyak kebaikan dalam kehidupan kita serta perasaan seronok untuk menetap dan berbangga dengan negara kita.

 

Harapan Kami

Sebagai warganegara Malaysia dan menghayati Hari Kemerdekaan yang penuh bermakna, makanya kami amat berharap agar Malaysia yang kita semua cita-citakan akan dapat mentahqiqkan erti kemerdekaan yang sebenar. Kami berpendapat, merdeka yang sebenar adalah:

  • Merdeka dari belenggu penjajah.
  • Merdeka dari serangan pemikiran penjajah (al-ghazw al-fikri).
  • Merdeka dari penjajahan ekonomi.
  • Merdeka dari belenggu keberhutangan yang melampau.
  • Merdeka dari budaya ciplak yang songsang, yang tiada kena mengena dengan adat resam ketimuran dan Malaysia.
  • Merdeka dari akhlak yang buruk dan keji serta nafsu serakah yang buruk dan hina.
  • Merdeka dari akal yang terbelenggu dengan kemabukan sama ada disebabkan oleh arak ataupun dadah dengan pelbagai jenis dan bentuk.
  • Merdeka dari kemalasan, kealpaan, ketakutan, kelalaian, kemiskinan, kepapaan, kebodohan, kelemahan dan pelbagai jenis penyakit yang berbahaya.
  • Merdeka dari kemurungan, kedukacitaan, kesedihan, perasaan yang lemah dan pemikiran yang lemah.
  • Merdeka dari perpecahan, pergaduhan, permusuhan, perseteruan serta peperangan saudara.
  • Merdeka dari kelemahan pembinaan institusi kekeluargaan seperti rapuhnya rumahtangga, ketidakbertanggungjawaban terhadap anak-anak dan remaja, kurangnya kasih sayang, simpati dan empati dari kalangan keluarga.
  • Merdeka dari sifat dan sikap ekstrem, taksub, perkauman yang melampau serta mengeruhkan hubungan etnik, bangsa sekalipun semuanya warganegara Malaysia.

 

Penutup

Kemerdekaan negara yang dinikmati ini adalah anugerah Allah SWT yang wajib disyukuri dan dipelihara. Pelbagai nikmat telah dirasai oleh kita sebagai rakyat Malaysia hasil daripada kemerdekaan. Dengan kebijaksanaan pemimpin dan pentadbir sejak dahulu, makanya kita dapati pelbagai pembangunan dan prasarana untuk keselesaan rakyat telah disediakan oleh pemerintah.

Kami mengharapkan keamanan dan keteguhan perpaduan dapat dijelmakan oleh masyarakat Malaysia yang terkenal dengan sifat ras majmuknya.

Antara pengekalan nikmat kurniaan Tuhan ini adalah dengan sentiasa mematuhi titah perintah-Nya. Firman Allah SWT:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

MaksudnyaIaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Surah al-Haj (41)

Ibnu Kathir berkata: ‘Athiyyah al-‘Aufi berkata tentang ayat ini, seperti firman-Nya: (وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ) “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi,” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/544)

Sayyid Qutb berkata: Maksudnya, janji Allah yang kukuh dan tidak mungkir ialah Dia akan menolong siapa sahaja yang menolong agama-Nya. Siapakah orang-orang yang menolong agama Allah hingga mereka wajar menerima pertolongan Allah yang Maha Gagah dan Maha Perkasa, dan tidak akan mengalahkan siapa sahaja yang menjadikan Allah sebagai pelindungnya? Mereka ialah: (الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ) “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi”; (أَقَامُوا الصَّلَاةَ) Mereka yang sentiasa beribadat kepada Allah dan mengukuhkan hubungan mereka dengan-Nya; (وَآتَوُا الزَّكَاةَ) Mereka yang menunaikan kewajipan harta, mengatasi tabiat bakhil, membersihkan diri mereka dari tamak haloba dan menumpaskan bisikan-bisikan syaitan, mengukuhkan perpaduan masyarakat dan menjamin keperluan golongan yang lemah dan golongan yang memerlukan bantuan dalam masyarakat; (وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ) Mereka yang menyeru dan mendorong manusia ke arah kebaikan; (وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ) Dan mereka yang menentang kejahatan dan kerosakan. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 11/184)

Prof Dr Hamka berkata: (الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ) “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi”. Ertinya telah Kami tolong dan berhasil perjuangan mereka melawan kezaliman itu, “mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat.” Dengan susunan ayat seperti ini bukanlah bererti bahawa mereka baru mendirikan sembahyang dan kukuh di muka bumi, atau setelah mereka menang menghadapi musuh-musuhnya, bahkan sejak semula, perjuangan keyakinan dan keimanan kepada Tuhan itulah pegangan teguh mereka. (Lihat Tafsir al-Azhar, 17/177)

Kami mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan kepada pemimpin dan seluruh rakyat Malaysia dengan ucapan dan doa, selamat menyambut kemerdekaan kali ke-62. Semoga Allah limpah dan kurniakan kepada kita kebahagiaan hidup dengan afiyat, selamat, taufik, kemurahan rezeki, kesihatan yang baik dan segala kebaikan. Amin.

Sempena tema Hari Merdeka tahun ini ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ akan dapat direalisasikan terutamanya dari aspek penekanan peri pentingnya perpaduan rakyat serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama. Insya Allah, Malaysia akan menuju kepada negara yang maju, makmur, aman dan damai sehingga mentahqiqkan Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur.

Kami akhir dengan doa:

1.jpg

Akhukum fillah,

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

28 Ogos 2019 bersamaan 27 Zullhijjah 1440 Hijri

 

Nota Hujung:

[1] Beliau adalah Umar bin Mukhtar bin Umar (1862 M- 1931 M) yang lebih terkenal dengan nama julukan Umar Mukhtar. Beliau merupakan ‘simbol’ perjuangan rakyat Libya dalam mempertahankan negara dari penjajahan Itali. Beliau dihukum gantung pada tahun 1931 setelah dia menyatakan menolak untuk menerima syarat-syarat pembebasan dirinya daripada dihukum mati. Sejak itu, Umar Mukhtar terus menjadi simbol perlawanan para pemuda Libya dari generasi ke generasi. Tahun-tahun terakhirnya telah diabadikan dalam filem The Lion of the Desert (1981) arahan Mustafa Akkad. Filem tersebut adalah antara filem yang terbaik tentang gelombang kebangkitan rakyat menentang kebejatan penjajah.

[2] Zainal Abidin Ahmad (16 September 1895 - 23 Oktober 1973), juga dikenali sebagai Zaaba merupakan seorang sasterawan dan pemikir Melayu keturunan Minangkabau yang giat menulis sekitar tahun 1940-an. Berdasarkan pencapaiannya dalam bidang kesusasteraan, beliau merupakan salah seorang budak kampung yang berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia. Beliau merupakan seorang cendekiawan Melayu yang dihormati dan selama hampir 40 tahun, aktif dalam kegiatan penulisan termasuk penterjemahan. Aktiviti beliau juga tertumpu kepada penerbitan buku sekolah dan bacaan umum di Biro Penterjemahan, Maktab Perguruan Sultan Idris. (Lihat Zainal Abidin bin Ahmad di Wikipedia)

[3] Malik Ben Nabi dilahirkan di Constantine, sebuah kota di Algeria Timur pada tahun 1906. Beliau mendapat pendidikan awal di sebuah Madrasah al-Quran di Perancis. Disebabkan kepintaran dan kepandaiannya, Malik mendapat biasiswa bagi meneruskan pengajiannya dalam kelas persediaan selama dua tahun di sekolah El-Djelis di Constantine. Peranan dan jasa beliau amat berharga kepada dunia Islam. Misi beliau adalah memperjuangkan bangsa mereka daripada belenggu penjajahan. Tokoh pemikir dan falsafah sejarah yang berkaliber dan berwibawa ini meninggal dunia pada 31 Oktober 1973. (Lihat Malek Bennabi oleh Rizhan el-Rodi)

[4] Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka (lahir di Nagari Sungai Batang, Tanjung Raya, Kabupaten Agam, Sumatra Barat), Indonesia pada 17 Februari 1908 - 24 Julai 1981) ialah seorang penulis dan ulama terkenal Indonesia. (Lihat Hamka di Wikipedia)

[5] Beliau ialah Y.M. Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad al-Naquib bin Ali bin Abdullah bin Muhsin al-Attas. Beliau lahir di Bogor, Indonesia pada 5 September 1931. Beliau ialah seorang Cendekiawan Muslim, ahli falsafah Muslim dan Tokoh Melayu Terbilang 2011. Kini, beliau menetap di Malaysia. Beliau menguasai ilmu teologi, falsafah, metafizik, sejarah, dan kesusasteraan. Beliau juga menulis pelbagai buku dalam bidang pemikiran dan peradaban Islam, khususnya tentang sufisme, kosmologi, falsafah, dan Kesusasteraan Melayu Malaysia. (Lihat Syed Muhammad Naquib al-Attas di Wikipedia Ensiklopedia Bebas)

[6] Kejayaan tentera di bawah pimpinan Sultan Salahuddin al-Ayyubi terzahir apabila pada 27 Rejab 583 Hijrah bersamaan 1187 Masihi, al-Quds telah diserahkan kepada pasukan tentera Islam.

Solat Jumaat yang pertama didirikan di Masjidil Aqsa selepas 88 tahun pada Jumaat berikutnya, 9 Oktober 1187.

Telah lebih 800 tahun selepas Sultan Salahuddin al Ayubi membebaskan kota Baitul Maqdis. Nama beliau tetap terpahat sebagai simbol kekuatan ummah mengembalikan hak yang dirampas tetapi pada masa yang sama membuktikan akhlak muslim yang mengasihi dan sifat Islam yang memayungi seluruh insan dan menjadi rahmat kepada alam.

[7] Pembukaan kota Konstantinopel telah berjaya dilakukan oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada tahun 1485 Masihi bersamaan 857 Hijrah.

Pembukaan ini menjadi tanda dan mukjizat kenabian yang pada satu hari nanti kota Konstantinopel pasti dibuka. Benarlah sabda Rasulullah SAW:

لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ ، فَلَنِعْمَ الْأَمِيرُ أَمِيرُهَا ، وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ

Maksudnya“Sesungguhnya Konstantinopel akan dibukakan. Sebaik-baik pemerintah ialah pemerintah yang membukanya dan sebaik-baik tentera ialah tentera pemerintah itu.”

Riwayat Ahmad (18957) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (8300)

Selepas mengisytiharkan kemenangan, Sultan Muhammad al-Fateh menuju ke Gereja Hagia Sophia. Ketika itu, penduduk Konstantinopel yang beragama kristian berserta para pendeta berkumpul. Mereka ketakutan apabila Sultan mendekati pintu gereja. Mereka membayangkan akan dibunuh atau ditindas secara zalim, akan tetapi Sultan Muhammad al-Fateh menitahkan agar mereka semua pulang ke rumah seperti biasa dengan aman dan Baginda juga menjamin kebebasan kepada mereka mengamalkan kepercayaan mereka.

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...