21 : ROHINGYA: BANTULAH SAUDARAMU WALAUPUN HANYA 10 SEN

 21 : ROHINGYA: BANTULAH SAUDARAMU WALAUPUN HANYA 10 SEN

bl20

Mukaddimah

Tatkala kebanyakkan negara dan masyarakat umat Islam di seluruh dunia pada hari ini, ditimpa pelbagai bentuk ujian, dugaan dan tribulasi, tetapi ahamdulillah, Malaysia pada hari ini masih lagi dikurniakan nikmat keamanan dan kesejahteraan dan rezeki yang masih melimpah-ruah yang menjarakkan kita daripada kancah peperangan, musibah dan bencana alam yang begitu teruk. Nikmat yang kita peroleh pada hari ini, haruslah disyukuri sebelum kejadian melanda seperti saudara kita lain hidup dalam keadaan yang merana, kefakiran, sentiasa diburu oleh pihak musuh dan hidup dalam keadaan ketakutan. Apatah lagi yang hanya menanti ihsan dan pertolongan dari saudara yang lain hanya untuk sebuku roti atau sesuap nasi bagi mengalas perut dalam meneruskan kehidupan dengan penuh sengsara serta serba kekurangan.

Tragedi pelarian Rohingya menjadikan diri yang dhaif ini tersentak dan terpaku dalam mengimbau kenangan dan ingatan tentang musibah dan ujian yang menimpa masyarakat dan saudara seagama kita, yang tiada berkesudahan. Ya Allah ampunilah kami di atas kelalaian kami yang melupakan ujian tribulasi menimpa saudara-saudara kami.

Justeru itu, Bayan Linnas pada kali ini, adalah memperingati dan menunjukkan nilai kasih sayang buat saudara Rohingya yang amat memerlukan pertolongan. Walaupun catatan ini yang begitu ringkas tetapi diharap dapat memberi sedikit kesedaran dan penghayatan buat seluruh warga Malaysia dan umat sejagat.

Bayan Linnas kali ke-21 ini dengan bertajuk “Rohingya: Bantulah Saudaramu Walaupun Hanya 10 Sen”. Semoga memberi manfaat, kesedaran dan penghayatan kepada kita semua, Amin.

Siapa Sebenarnya Rohingya

Etnik-etnik Rohingya bukannya pendatang asing tanpa izin seperti yang datang dari Bangladesh, Indonesia ataupun Nepal dan dilambakkan secara haram di negara ini. Perlu jelas bahawa etnik Rohingya  sebenarnya tergolong sebagai pelarian. Wilayah Rakhine di Myanmar merupakan tanah serta negeri mereka.

Etnik Rohingya adalah kelompok minority Muslim yang kebanyakannya tinggal di Rakhine, Myanmar. Walaupun hampir 800,000 Rohingya tinggal di sana sejak turun temurun malah berabad, kerajaan Burma tidak mengiktiraf mereka kewarganegaraan mereka.

Pada tahun 1978, junta tentera Myanmar cuba menghalau mereka daripada tanah  air mereka sendiri. Ini menyebabkan ramai yang lari ke Bangladesh. Akta Kewarganegaraan 1982 yang digubal oleh tentera Junta Myanmar tidak mengiktiraf Rohingya sebagai salah satu etnik di Myanmar mengakibatkan mereka ini tidak mendapat kewarganegaraan. Ini menyebabkan mereka terasing dari latar sosio ekonomi dan politik negara.

Myanmar mengiktiraf 135 golongan etnik dan etnik Rohingya langsung tidak tersenarai. Etnik ini mempunyai kampung dan tanah di Rakhine, sebuah kawasan yang kaya dengan hasil bumi seperti minyak, gas dan sebagainya dan ini merupakan salah satu usaha pihak tentera untuk mengambil tanah mereka.

Kezaliman demi kezaliman terus dikenakan kepada mereka sehingga saat ini oleh pihak kerajaan dan juga sebahagian besar golongan ‘ekstremis’ sami Buddha yang dipimpin oleh Ashin Wirathu.[1]

Kezaliman Terhadap Muslim Rohingya

Pembantaian dan kekejaman terhadap Muslim Rohingya di Myanmar sebenarnya bukan pertama kalinya di tahun ini, namun ianya telah berlangsung terlalu lama.[2]

Demi menyelamatkan nyawa daripada tangan-tangan yang kejam, etnik Rohingya sanggup melarikan diri walaupun terpaksa meredah ombak lautan berminggu-minggu lamanya. Keadaan itu terpaksa dilalui rakyat dari wilayah Arakan, Myanmar kerana komuniti tersebut semakin terhimpit di bumi sendiri.

Memetik kenyataan Penyelaras Bantuan Kemanusiaan Rohingya Persatuan Muafakat Kesejahteraan Rakyat (Permuafakat), Rashid Md Ali berkata, beliau antara individu berpengalaman menjaga kebajikan kumpulan itu sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, sejak 2011 hingga kini, 1,000 pelarian mendarat di Pulau Pinang dan kemudian diserah kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR). Menurutnya, pelarian Rohingya terpaksa menempuh pelbagai ranjau bagi meneruskan kehidupan termasuk menaiki bot 12 hingga 14 hari untuk pergi ke tempat lebih selamat. “Sepanjang tempoh itu juga mereka hanya makan beras saja dan kadangkala ikat perut menahan lapar.

“Anak-anak kecil ada yang tidak berpakaian sementara golongan ibu sehelai sepinggang sahaja, memang menyedihkan, semuanya kerana demi menyelamatkan nyawa,”[3]

Begitu juga dengan perlakuan zalim lain seperti pembunuhan kejam, rogol (termasuk bawah umur)[4] dan lain-lain yang pasti meluluhkan hati kita sebagai saudara seagama mereka.

Rohingya: Bantulah Saudaramu Walaupun Hanya 10 Sen.

Isu Rohingya memperlihatkan kepada kita, bahawa sejauh mana kepekaan dan kasihan belas atas ujian dan bencana yang berlaku membabitkan saudara-saudara seagama dengan kita. Keprihatinan, nilai kasih sayang dan bantuan yang dihulurkan  adalah ubat yang terbaik dalam kita mendepani isu yang besar ini. Sesungguhnya hati dan perasaan ummat Islam telah diikat dengan satu ikatan yang sesekali tidak akan putus dan berlanjutan dalam apa jua keadaan yang menimpa. Allah SWT berfirman:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(Surah al-Maidah: 2)

Di samping itu juga, sesungguhnya peringatan yang tegas disabdakan oleh Nabi SAW dalam satu riwayat yang dhaif jiddan[5]:

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak mengambil tahu urusan orang Muslim, maka bukan dari kalangan mereka.”

Riwayat al-Tabarani (7/270)

Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang mengabaikan dan tidak prihatin terhadap sesama Islam.

Sebagai mengukuhkan kenyataan di atas, dalam sabdaan Baginda SAW yang lain dinyatakan:

Maksudnya: Siapa yang membantu menyelesaikan kesulitan seorang mukmin dari sebuah kesulitan di antara berbagai kesulitan-kesulitan dunia, niscaya Allah akan memudahkan salah satu kesulitan di antara berbagai kesulitannya pada hari kiamat. Dan siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan niscaya akan Allah mudahkan baginya di dunia dan akhirat dan siapa yang menutupi (aib) seorang muslim Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan selalu menolong hambaNya selama hambaNya itu menolong saudaranya.

Riwayat Muslim (2699)

Peringatan dan renungan yang disabdakan Nabi SAW ini adalah satu sikap tanggungjawab dan keprihatin seluruh ummat Islam. Baginda sendiri menunjukkan contoh apabila seorang perempuan yang beragama Islam dicabul kehormatannya oleh orang Yahudi di Madinah, maka Rasulullah SAW mengambil tindakan yang tegas menghalau suku Yahudi itu dari bumi Madinah. Inilah penegasan Nabi SAW terhadap maruah dan nyawa umatnya.

Di sampaing itu juga, penekanan dan penegasan Nabi SAW terhadap seluruh umatnya tentang betapa mustahak dan pentingnya untuk membina dan mengikat tali persaudaraan sehingga terpahat dalam sanubari kita. Perkara ini hanya mampu difahami oleh mereka yang benar-benar mencari dan mendalami akan suruhan Baginda SAW. Ini amat sukar untuk dihayati dan disemai dalam jiwa kita.

Dalam peringatan ini, Nabi SAW amat menitik beratkan nilai kasih-sayang dan amalan tolong-menolong. Nilai yang disemaikan oleh Baginda SAW ini kepada sahabatnya yang lain, seharunya dijadikan suri teladan buat kita semua. Berasaskan nilai inilah, Islam mampu untuk menakluk hampir keleuruh pelosok dunia. Dengan berbekalkan iman yang mantap dan persaudaraan yang teguh mampu untuk membuka kota besar seperti Rom dan Parsi. Oleh itu, nilai tolong-menolong dan belas ihsan adalah satu nilai yang teramat mulia dan penting untuk kita semaikan ke dalam diri setiap insan.

Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Tolonglah saudara kamu yang zalim atau yang dizalimi” Berkata seorang lelaki: “Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika ia dizalimi, bagaimana pula aku akan menolongnya jika dia seorang yang zalim?” Jawab Baginda: “Engkau boleh menahannya daripada melakukan kezaliman, maka yang demikian bererti engkau menolongnya.”.

Riwayat Bukhari (6952)

Ucapan Penghargaan Buat Perdana Menteri, Ulama, NGO Dan Rakyat Malaysia

Pada kesempatan ini, marilah kita memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT, di atas taufiq dan limpahan rahmat-Nya kepada kita, dalam mendepani kegawatan isu Rohingya ini masih terdapat manusia yang dipelihara naluri dan sifat belas kasihan dan berasa bertanggungjawab kepada saudara Rohingya.

Inilah sifat manusiawi dan insani yang disulami dengan ihsan sepatutnya wujud dalam masyarakat Malaysia dan juga umat sejagat.

Oleh itu, saya turut merakamkan jutaan terima kasih saya buat Perdana Menteri Malaysia di atas kepekaan dalam menangani isu ini seperti mana yang diucapkan  oleh beliau:

Saya memberitahu kepada Setiausaha PBB Ban Kim Moon, ini merupakan malapetaka kemanusiaan yang mesti dipandang berat semua Negara. Tidak hanya melibatkan Negara ASEAN, tetapi isu kemanusiaan sejagat yang perlu perhatian semua pihak.[6]

Atas tindakan Perdana Menteri yang membenarkan sebahagian untuk mendarat dan memberikan bantuan kemanusiaan amatlah dihargai.

Begitu juga keprihatinan para ulama dan pemimpin yang memberi bantuan serta menyokong usaha untuk menyelamatkan krisis yang berlaku ini kerana ia adalah krisis kemanusiaan yang berhak untuk hidup. Mereka mengemukakan pelbagai bentuk cadangan yang boleh dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Di samping itu juga, kita doakan dan pohonkan kepada Allah SWT agar segala bantuan, sifat keprihatinan dan segala usaha yang kita lakukan diseluruh peringkat masyarakat yang terdiri daripada kerajaan Malaysia, badan NGO, para ulama dan asatizah serta seluruh rakyat Malaysia yang terlibat secara langsung atau tidak, dalam sama-sama berganding bahu meringankan beban dan kesempitan buat seluruh masyarakat Rohingya dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Isu Pelarian Rohingya yang membanjiri perairan negara serantau dan Malaysia perlu dipandang serius. Tragedi yang berlaku ini begitu menginsafkan kita, bukan isu sempadan, bangsa, warna kulit sahaja tetapi isu kemanusiaan dan insani yang wajib diberi bantuan.

Kita sering kali mengambil ringan terhadap isu yang berlaku ke atas saudara kita di atas alasan persempadanan dan perbezaan geografi, namun lebih jauh daripada itu, nilai persaudaraan seagama dan seakidah telah membuka sempadan dan merentasi seluruh benua.

Nilai agama ini seharusnya dihayati bersama oleh seluruh umat Islam, jangan kita biarkan saudara kita dalam keadaan keperitan di tengah samudera tanpa makanan dan minuman yang hanya mengharapkan Tuhan. Ingatlah yang musuh sentiasa cuba menindas musuhnya yang diibaratkan seperti seekor serigala yang membaham seekor kambing secara rakus. Bencana dan ujian yang menimpa mereka turut juga dirasai oleh kita bersama.

Sesungguhnya agama Islam ini merupakan satu rahmat buat seluruh umat manusia. Nilai kasih sayang, bantu-membantu dan bekerjasama merupakan elemen yang begitu penting di dalam Islam. Umatnya disuruh untuk menolong manusia dalam kesempitan, memberi perlindungan kepada yang lemah dan menghulurkan kepada yang memerlukan. Oleh itu, marilah sama-sama kita tanamkan azam untuk sama-sama kita menghulurkan segala upaya yang ada bagi meringankan beban dan kesempitan saudara-saudara kita, dan ini akan dapat menjarakkan kita daripada neraka Allah SWT, seperti mana Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Jauhilah api neraka, walau hanya dengan bersedekah sebiji kurma.”

Riwayat al-Bukhari (6540)

Antara jalan dan cara yang dapat kita hulurkan bantuan buat saudara Rohingya adalah:

Membuka tabung khas untuk Rohingya dalam isu ini.Masjid di seluruh Malaysia menggunakan tabung pada hari Jumaat sebagai bantuan dan sedikit kempen kesedaran untuk tujuan itu.Majlis Agama atau Baitul Mal dijadikan sebagai tempat pengumpulan dana dan pengagihan bantuan kepada masyarakat Muslim Rohingya.Menggesa pihak OIC untuk dalam mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membantu perlarian Rohingya yang tiada arah tuju sehingga berkampung di lautan samudera.Menggesa pihak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memainkan peranan yang lebih aktif dalam memberi tekanan dan mendesak kerajaan Mynmar.

Saya yakin dengan hati budi masyarakat Malaysia yang cepat tersentuh jiwanya apabila berlakunya ujian dan tribulasi ke atas saudara segama dengan kita. Justeru itu, marilah kita melakukan tindakan dengan bantuan yang seadanya untuk disampaikan kepada masyarakat Rohingya di atas dasar saudara seagama dan simpati yang mendalam terhadap hak insani.

 

Penutup

Ya Allah, Tuhan Rabb al-‘Alamin yang berkuasa setiap atas sesuatu yang bersifat Maha Pengampun , ampunlah dosa kami atas kecuaian dan ketaqsiran kami dalam membantu saudara-saudara kami.

Ya Allah, selamatkanlah saudara kami dari mehnah tribulasi dan ujian yang sedang mereka hadapi. Semoga kabus dan gerhana kehidupan mereka akan diganti dengan cahaya dan sinar harapan untuk terus hidup dengan sempurna dan selesa.

Saya pernah ke Makkah beberapa tahun dahulu pada musim Ramadhan dan isu Rohingya telah di doakan oleh Imam Makkah dan Madinah ketika solat tarawih. Ini menunjukkan isu ini diberi perhatian penuh oleh masyarakat Islam dunia. Rintihan mereka telah menjadi igauan buruk kepada denyut nadi umat Islam yang lain, yang seolah-olah sama-sama merasa kesakitan tersebut. Ini kerana nilai ukhuwwah dan mahabbah begitu ampuh dan utuh. Benarlah sabda Nabi:

Maksudnya: Perumpamaan sesama Mukmin pada kasih sayang, rahmat dan Ihsan seumpama sebuah jasad. Apabila salah satu anggota mengadu sakit, maka anggota yang lain berjaga malam dan demam.

Riwayat Bukhari (6011), Muslim (2556)

Sekali lagi, saya tegaskan di sini yang bahawa isu Rohingya yang terkena kepada saudara kita adalah tanggungjawab kita bersama dalam menghulurkan bantuan walaupun hanya 10 sen cuma.

Semoga usaha yang kita lakukan ini mendapat pahala di sisi Allah SWT dan dikira sebagai amalan jariah yang diterima untuk bekalan dunia dan akhirat kita. Amin. Sekian.

Terima Kasih Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...