225 : COVID-19: FATWA-FATWA TERKINI BERKAITAN PENANGGUHAN SOLAT JUMAAT DAN SOLAT BERJEMAAH

 BAYAN LINNAS SIRI KE-225 : COVID-19: FATWA-FATWA TERKINI BERKAITAN PENANGGUHAN SOLAT JUMAAT DAN SOLAT BERJEMAAH

BAYAN225

Mukaddimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Kami mengikuti perkembangan secara rapat dan teliti berkaitan penularan wabak COVID-19 yang berlaku di seluruh pelusuk dunia. Berkaitan perkara ini, kami telah kemukakan beberapa saranan dan pendirian dalam dua siri Bayan Linnas yang lepas, sila rujuk Bayan Linnas Siri ke-221 : Mauqif (Pendirian) Kami Tentang Novel Coronavirus (2019-Ncov) dan Bayan Linnas Siri ke-224 : COVID-19: Saranan Kami.

Penyebaran virus berbahaya ini telah mencetuskan pelbagai polemik dan persoalan dalam kalangan masyarakat. Dalam masa yang sama, sebagai langkah pencegahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan akhbar bertarikh 11 Mac 2020 menggesa agar [1]:

  • Semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai (mass gathering) ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan COVID-19 berlaku;
  • Sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, dinasihatkan agar tidak menghadiri program yang melibatkan orang ramai atau tempat yang padat termasuk aktiviti keagamaan;
  • Individu yang bergejala dinasihatkan agar menjarakkan diri (social distancing) sekurang-kurangnya satu meter bila berhadapan dengan individu lain).

Maka, daripada gesaan dan saranan di atas, isu yang timbul ialah hukum melaksanakan solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid dalam situasi yang saat kritikal sekarang kerana melibatkan perhimpunan secara beramai-ramai dan tidak menjaga jarak sosial (social distancing).

Oleh yang demikian, institusi-institusi fatwa antarabangsa telah bersidang dan mengeluarkan keputusan masing-masing. Untuk siri Bayan Linnas kali ini, kami mengumpulkan keputusan daripada institusi-institusi fatwa antarabangsa yang berautoriti dan tokoh-tokoh ulama yang berpengaruh berkaitan isu ini supaya dapat dijadikan panduan.

Berikut adalah fatwa-fatwa tersebut:

MUZAKARAH MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL UGAMA ISLAM MALAYSIA (MKI) [2]

Satu Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) telah diadakan pada 15 Mac 2020, di Pulse Grande Hotel, Putrajaya. Keputusan pandangan ini telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Syah, Sultan serta Raja di negeri-negeri bagi mendapatkan perkenan untuk tindakan selanjutnya.

Hasil daripada muzakarah tersebut, Majlis telah memutuskan bahawa semua aktiviti masjid dan surau termasuk solat berjemaah, solat Jumaat ditangguhkan untuk tempoh selama sepuluh hari bermula 17-26 Mac 2020. Dalam tempoh ini, jawatankuasa masjid dan surau disarankan untuk melakukan operasi pembersihan dan penyahkuman. Perlanjutan atau penamatan tempoh sepuluh hari berkenaan tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

HAIAH KIBAR ULAMA’ AL-AZHAR AL-SYARIF [3]

Pihak Haiah Kibar Ulama’ al-Azhar al-Syarif dalam satu kenyataan rasminya pada 15 Mac 2020 telah memaklumkan tentang keharusan di sisi syarak untuk menghentikan solat Jumaat dan solat berjemaah di semua kawasan berikutan penularan wabak COVID-19. Dalam kenyataan tersebut, pihak Haiah menggariskan keputusan bahawa harus di sisi syarak bagi negara (daulah) untuk menghentikan untuk satu tempoh sementara bagi solat Jumaat dan solat berjemaah kerana ia akan membawa kepada menular dan tersebarnya virus yang berbahaya ini.

Disamping itu, pihak Hai’ah juga mengingatkan orang awam berkaitan tiga perkara penting iaitu:

  • Pertama: Wajib melaungkan azan pada setiap waktu solat di masjid-masjid pada situasi dihentikan solat Jumaat dan solat berjemaah, dan harus juga bagi muazzin untuk menyebutkan pada setiap azan, “صَلُّوا فِي بُيُوتِكُمْ”.
  • Kedua: Bagi setiap ahli rumah yang hidup bersama, teruskanlah solat berjemaah seperti biasa di rumah - kerana tidak semestinya solat berjemaah itu dilakukan di masjid, sehinggalah ditamatkan sekatan, InshaAllah.
  • Ketiga: Adalah menjadi satu kewajipan syarak ke atas setiap warganegara untuk mematuhi arahan, panduan dan ketetapan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan untuk mengekang penularan virus ini dan menghapuskannya.

KESATUAN ULAMA’ ISLAM SEDUNIA (ITTIHAD AL-‘ALAMI LIL ULAMA’ AL-MUSLIMIN) [4]

Dalam satu kenyatan di laman web rasminya bertarikh 14 Mac 2020, pihak Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia menyeru agar dihentikan buat sementara waktu solat Jumaat dan solat berjemaah bagi negara-negara yang terdapat kes jangkitan virus COVID-19.

Dalam kenyataan tersebut, pihak Ittihad telah mengemukakan dalil-dalil syarak yang jelas menunjukkan bahawa solat Jumaat dan solat berjemaah dalam keadaan terdapat hal yang memudaratkan dan berbahaya adalah tidak wajib dan tidak diharuskan.  Tambahan pula, apa yang lebih membimbangkan adalah jemaah yang mendirikan solat hendaklah berdiri di dalam saff ketika solat dalam keadaan saling bersentuhan antara sama lain. Maka, penularan virus berbahaya tersebut dalam situasi ini sangat berisiko tinggi.

Oleh yang demikian, pihak Ittihad menyeru agar ditangguh buat sementara waktu solat Jumaat dan solat berjemaah di negara yang telah dijangkiti virus COVID-19, serta penangguhan ini haruslah berterusan sehingga wabak ini dapat dikawal berdasarkan kepada penilaian pihak yang bertanggungjawab untuk menentukannya.

KETUA MAJLIS FATWA SYAR’IE, EMIRIAH ARAB BERSATU (UAE), SYEIKH ABDULLAH BIN BAYYAH [5]

Majlis Fatwa Syar’ie, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang diketuai oleh Syeikh Abdullah Bin Bayyah, telah mengeluarkan fatwa berkaitan dengan isu keharusan meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah ketika penularan wabak COVID-19.

Dengan bersandarkan kepada kewajipan untuk mentaati pemimpin (ulil amri), beliau telah menjelaskan di dalam fatwanya beberapa perkara berikut:

  • Pertama: Wajib di sisi syarak bagi setiap pertubuhan dan kumpulan masyarakat untuk beriltizam dengan ketetapan kesihatan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan yang bertanggungjawab, serta dalam masa yang sama mengambil langkah yang sewajarnya bagi mengelakkan daripada berpindah dan tersebarnya penyakit. Tidak boleh untuk melanggar ketetapan tersebut walau dalam apa jua keadaan.
  • Kedua: Haram dari sudut syarak kepada mereka yang menghidapi penyakit ini atau mengalami simptom-simptomnya berada di tempat-tempat awam, atau pergi ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah, solat Jumaat dan solat Hari Raya. Hendaklah dia mengambil segala langkah pencegahan yang perlu dengan dikuarantinkan dan dirawat oleh kementerian kesihatan, supaya tidak menyumbang kepada penularan wabak kepada orang lain.
  • Ketiga: Diberikan keringanan (rukhsah) untuk tidak hadir solat berjemaah, solat Jumaat dan solat Hari Raya serta solat Terawih bagi golongan warga emas, kanak-kanak, yang menghidap penyakit berkaitan saluran penafasan dan yang menghidap penyaki antibodi lemah. Hendaklah mereka menunaikan solat di rumah mereka atau di tempat mereka berada, serta mereka perlu mendirikan solat Zohor bagi menggantikan solat Jumaat.
  • Keempat: Apa yang berkaitan dengan Haji, Umrah dan ziarah pula: wajib ke atas semua golongan untuk sentiasa merujuk kepada ketetapan yang dikeluarkan oleh pemerintah negara Arab Saudi. Hal ini bertitik-tolak daripada tanggungjawab mereka untuk menjaga orang yang melaksanakan Haji dan Umrah serta orang yang datang berziarah untuk kesihatan dan keselamatan mereka.
  • Kelima: Wajib di sisi syarak kepada semua pihak yang lain untuk menghulurkan bantuan kepada kementerian menguruskan hal ini dengan bantuan yang sepatutnya, bagi menghalang penyebaran dan menghapuskan wabak ini. Hal ini dengan tidak menyebarkan info-info yang tidak benar dan hanya menyebarkan maklumat rasmi daripada kementerian.
  • Keenam: Seruan kepada semua pihak dan individu untuk menghulurkan tangan bagi menolong dan membantu berdasarkan kepakaran masing-masing. Di samping itu, tidak memanipulasikan keadaan seperti ini dengan menaikkan harga barang keperluan terutamanya ubat-ubatan dan barang perubatan.
  • Ketujuh: Sandaran syarak bagi fatwa ini adalah berdasarkan kepada dalil-dalil daripada al-Quran, Sunnah Nabawiah, Ijma’ dan Qiyas.

KEMENTERIAN WAQAF DAN HAL EHWAL ISLAM KUWAIT [6]

Pada 12 Mac 2020, Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait telah mengeluarkan keputusan untuk menangguhkan solat dan khutbah Jumaat disebabkan oleh wabak COVID-19 yang melanda negara itu. Hal ini dengan melihatkan bahawa perhimpunan beramai-ramai akan membawa risiko jangkitan kepada lebih ramai orang. Ia sebagai satu langkah proaktif, berjaga-jaga dan inisiatif daripada pihak pemerintah bagi menghalang wabak itu terus merebak di dalam negara.

Oleh kerana itu, maka gugurlah kewajipan solat Jumaat di negara ini, begitu juga dengan solat berjemaah, serta hendaklah diganti dengan solat Zohor. Disamping itu, orang ramai dihalang daripada memasuki masjid untuk melindungi mereka daripada dijangkiti wabak. Adapun berkaitan dengan azan, penambahan seruan “صَلّوا فِى رِحَالِكُم” adalah diharuskan berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar.

KEMENTERIAN HAL EHWAL AGAMA TUNISIA DAN MUFTI REPUBLIK TUNISIA, SYEIKH ‘UTHMAN BATTIKH [7]

Mufti Republik Tunisia, Syeikh ‘Uthman Battikh, telah mengeluarkan fatwa bagi menangguhkan solat berjemaah termasuklah solat Jumaat, pada 14 Mac 2020 bagi mengekang penyebaran wabak COVID-19. Beliau menegaskan tentang hukum agama yang menukilkan tentang kepentingan menjaga kesihatan dan melindungi diri daripada penyakit serta tidak mendedahkan diri kepada bahaya dengan sengaja.

MAJLIS ‘ILMI FIQHI, KEMENTERIAN WAQAF SYRIA DAN KESATUAN ULAMA’ SYAM [8]

Kementerian Waqaf Syria dan Kesatuan Ulama’ Syam telah mengeluarkan ketetapan untuk menangguhkan khutbah dan solat Jumaat serta solat berjemaah di masjid-masjid di dalam Syria. Penangguhan ini bermula 15 Mac sehingga 4 April 2020, dengan hanya dilaungkan azan sahaja bagi solat-solat fardhu. Begitu juga dengan aktivit-aktivti yang berkaitan dengannya seperti kuliah pengajian agama dan perhimpunan secara berkumpulan pada setiap masjid.

MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA (MUIS) [9]

Majlis Agama Islam Singapura memaklumkan penutupan masjid-masjid di Singapura secara sementara selama 5 hari bermula 13-27 Mac 2020 untuk langkah pembersihan bagi mencegah penularan wabak COVID-19. MUIS dalam kenyataan di laman web rasminya menyebutkan bahawa:

“Berdasarkan dalil-dalil serta prinsip agama di atas, Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa pihak masjid bertanggungjawab untuk meminta serta melarang mana-mana jemaah yang mempunyai tanda-tanda sakit untuk tidak masuk ke kawasan masjid, sama ada untuk menunaikan solat ataupun melaksanakan urusan lain. Ini adalah kerana keberadaan mereka boleh menyebabkan jangkitan virus dan membawa kemudaratan kepada masjid dan masyarakat. Kemaslahatan umum para jemaah masjid perlu dijaga dan dipelihara.

Jawatankuasa Fatwa juga berpendapat bahawa sekiranya penularan virus COVID-19 semakin meluas dan kritikal yang memerlukan penutupan tempat-tempat awam, termasuk rumah-rumah ibadat seperti masjid, atau jika perlu dihadkan penyertaan ramai ke tempat-tempat awam seperti masjid, maka itu merupakan suatu situasi darurat.  Untuk itu, Jawatankuasa Fatwa berpandangan bahawa penutupan masjid di dalam keadaan darurat sedemikian, ataupun penggantungan solat berjemaah serta solat Jumaat sepanjang tempoh penutupan tersebut, adalah diharuskan.”

Penutup

Berikut adalah fatwa-fatwa yang telah diputuskan oleh institusi fatwa antarabangsa berkaitan penangguhan solat Jumaat dan solat berjemaah di beberapa buah negara. Jika diperhatikan, dalil-dalil yang digunakan dalam mengeluarkan hukum tersebut berlegar pada beberapa poin tertentu.

Antaranya ialah kewajipan meraikan salah satu daripada Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa (hifz al-nafs). Haram seseorang itu sengaja membiarkan dirinya terdedah kepada bahaya dan kebinasaan dengan tidak mengambil langkah-langkah pencegahan yang telah ditetapkan. Hal ini bersandarkan kepada firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.

(Surah al-Baqarah: 195)

Begitu juga, kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa setiap tindakan pemerintah terhadap rakyatnya perlu didasari dengan kemaslahatan.

تصرّف الإمام منوط بالمصلحة

Maksudnya: Tindakan seorang ketua ke atas rakyat, berdasarkan kepada kemaslahatan. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazair Lissuyuti, 121)

Ini kerana jika dibiarkan berlakunya perhimpunan beramai-ramai walaupun apa jua tujuan, maka ia sangat berisiko untuk membawa kepada kemudharatan dan kebinasaan, sedangkan prinsip Islam ialah menolak kemudharatan berdasarkan kaedah-kaedah fiqh:

لا ضرر ولا ضرار

Maksudnya: Tidak boleh mudarat dan tidak boleh memudaratkan.

Hadith riwayat Ibn Majah: (2341)

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Maksudnya: Menolak kemudaratan itu lebih utama daripada mendapatkan maslahah.

Oleh yang demikian, setiap arahan dan ketetapan daripada pemerintah adalah wajib dipatuhi dan ditaati, berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

(Surah al-Nisa’: 59)

Ini merupakan langkah pencegahan yang disebutkan oleh Rasulullah SAW berkaitan dengan penyakit yang berjangkit. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Usamah Ibn Zaid RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إذا سمعتم بالطاعون  بأرض فلا تدخلوها، وإذا وقع بأرض وأنتم بها فلا تخرجوا منها

Maksudnya: Apabila kamu mendengar tentang wabak Ta’un di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka janganlah kamu keluar lari daripadanya.

Hadis riwayat Muslim: (2219)

Jika dilihat daripada sudut sejarah, langkah ini juga yang telah diambil oleh sahabt Nabi SAW untuk mengekang penyakit berjangkit daripada terus merebak. Apabila berlakunya penyakit yang berjangkit iaitu Ta’un di kota Amawas, Saidina ‘Amr al-‘As mengasingkan dan membawa golongan yang menghidap penyakit ke kawasan bukit-bukau dengan dipisahkan dari masyarakat yang sihat sehingga dapat menyelesaikan kemelut wabak tersebut. Hal ini seperti yang dinyatakan oleh Ibn Athir dalam kitabnya, al-Kamil fi al-Tarikh:

أنَّ عمرو بن العاص رضي الله عنه، خرج بالناس عندما أصابهم طاعون عمواس إلى الجبال، حتى رفعه الله عنهم، وأن فعله هذا بلغ عمر بن الخطاب رضي الله عنه فلم ينكره

Maksudnya: Bahawasanya Saidina ‘Amr Ibn al-’As telah keluar bersama sekelompok manusia yang dihidapi penyakit Ta’un di Amawas ke kawasan bukit-bukau, sehinggalah Allah SWT mengangkat penyakit tersebut daripada mereka. Apa yang telah dilakukan oleh Saidina ‘Amr al-‘As telah sampai ke pengetahuan khilafah pada ketika itu, Saidina Umar al-Khattab RA, dan beliau tidak mengingkarinya. (Rujuk al-Kamil fi al-Tarikh Li Ibn al-Athir, 2:377)

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَفِرَّ مِنْ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنْ الْأَسَدِ

Maksudnya: Larilah daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa.

Hadith riwayat al-Bukhari: (5707)

Di dalam hadith yang lain, Rasulullah SAW juga bersabda:

لَا يُورِدَنَّ مُمْرِضٌ عَلَى مُصِحٍّ

Maksudnya: Yang sakit janganlah mendatangi yang sihat.

Hadis riwayat Bukhari (5771) dan Muslim (2221)

Kami berharap bahawa ia dapat dijadikan panduan dan rujukan buat masyarakat khususnya para ilmuan, untuk mengkaji kaedah pendalilan dan penghujahan yang digunakan oleh institusi-institusi fatwa antarabangsa dalam mengeluarkan hukum ini.

Dalam situasi sebegini, kita berikhtiar mengambil kaedah mencegah lebih baik daripada merawat, seperti pepatah Arab ada menyebutkan:

الوقاية خير من العلاج

Maksudnya: Mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Hendaklah kita mengambil kesempatan ini untuk mendirikan solat berjemaah di rumah bersama ahli keluarga supaya dapat membina institusi kekeluargaan dengan lebih kuat dan utuh. Hal ini seperti menyampaikan beberapa pesanan seusai solat atau membaca kitab-kitab agama yang ringkas sebagai mengisi pembelajaran agama di rumah.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita menginsafi dan beristighfar kepada Allah SWT, serta tetap mendirikan solat dan sabar. Marilah juga bersama kita berdoa agar Allah SWT menyelamatkan negara kita supaya dapat keluar daripada kemelut wabak yang berbahaya ini dengan sihat, selamat dan sejahtera.

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”

WaAllahu a’lam

-------------------

NOTA HUJUNG

[1]       KKM - KENYATAAN AKHBAR KPK - COVID19 - 11 Mac 2020

[2]       Rujuk: https://bit.ly/2w3iutK

[3]       Rujuk: https://bit.ly/2QjKWOC

[4]       Rujuk: http://www.iumsonline.org/ar/ContentDetails.aspx?ID=11084

[5]       Rujuk: http://binbayyah.net/arabic/archives/4505

[6]       Rujuk: http://site.islam.gov.kw/Pages/ar/NewsDetails.aspx?newsId=3023

[7]       Rujuk: https://tinyurl.com/vtgo86c

[8]       Rujuk: https://bit.ly/3d2ClJZ

[9]       Rujuk: https://www.muis.gov.sg/officeofthemufti/Irsyad/Part-1---Advisory-on-Managing-COVID--19

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...