BAYAN LINNAS SIRI KE-280: KEDUDUKAN NIKAH SIRRI (SECARA RAHSIA) MENURUT KACAMATA PERUNDANGAN MALAYSIA
PENGENALAN
Negara kita seringkali dibanjiri dengan isu lambakan dan keterdesakan pendatang asing yang melakukan pernikahan secara senyap-senyap dengan warga tempatan sebagai langkah survival untuk terus tinggal di Malaysia. Kegagalan mereka mematuhi undang-undang yang diperuntukkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri dikesan antara punca pendatang asing yang bekerja sebagai buruh mengambil langkah mudah untuk berkahwin secara senyap dengan rakyat tempatan. Selain itu, peraturan Jabatan Imigresen yang menetapkan syarat yang ketat juga sering dijadikan alasan untuk mereka mencari jalan keluar lain dalam permasalahan ini. Mereka beranggapan bahawa dengan menikahi warga tempatan, akan melayakkan diri untuk menikmati segala kemudahan yang disediakan untuk rakyat tempatan tanpa menyedari implikasi negatif yang harus didepani dari aspek perundangan dan sosial.[1]
Tambahan pula, terdapat perkara-perkara yang terkait dengan hukum syarak berhubung dengan permasalahan ini. Antara senario yang berlaku adalah apabila pernikahan itu berlangsung dengan ketiadaan wali atau keengganan wali untuk memberi keizinan kepada pihak wanita. Selain itu, pasangan juga tidak mendatangkan saksi pernikahan disamping matlamat utama pernikahan itu adalah untuk tidak menghebohkan pernikahan yang dilakukan secara senyap-senyap. Impaknya, perkahwinan yang sedemikian akan memberi kesan terhadap keabsahan sesebuah akad serta kesan pada aspek Undang-undang Keluarga Islam. Justeru, penulisan pada kali ini akan merungkai persoalan hukum nikah rahsia atau yang disebut “Nikah Sirri” .
NIKAH SIRRI DAN NIKAH ‘URFI
Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat menepati ketentuan syarak. Dalil pensyariatan nikah bersandarkan firman Allah SWT:
وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ
Maksudnya : “ Dan kahwinlah orang -orang bujang ( lelaki dan wanita )
dari kalangan kamu”
Surah al-Nur :(32)
Bagi merealisasikan sesebuah akad perkahwinan, ia bergantung kepada kesempurnaan rukun nikah iaitu sighah (ijab dan kabul), wali, dua orang saksi, bakal suami dan bakal isteri. [2] Pernikahan yang tidak memenuhi rukun tersebut adalah tidak sah dan terbatal.
Walau bagaimanapun, terbit istilah baharu dalam pernikahan iaitu nikah sirri dan nikah ‘urfi. Kedua- dua istilah ini ditakrifkan dengan pelbagai takrifan menurut ulama kontemporari.
Antaranya, Syeikh Mahmud Syaltut mendefinisikan nikah sirri sebagai satu akad nikah yang dilaksanakan antara pihak lelaki dan pihak wanita tanpa kehadiran saksi. Pernikahan itu juga tidak dihebohkan kepada masyarakat umum dan tidak didaftarkan secara rasmi. Kedua-dua pasangan ini hidup bersama secara tersembunyi sehingga tiada sesiapa yang mengetahui tentang pernikahan tersebut kecuali pasangan yang terlibat[3].
Manakala, nikah ‘urfi pula adalah pernikahan yang tidak dicatatkan dalam dokumen rasmi atau tidak didaftarkan secara sah menurut pentadbiran undang-undang negara. Dalam sesetengah keadaan, saksi-saksi pernikahan juga telah diarahkan oleh pasangan supaya tidak menghebohkan pernikahan itu. Bentuk pernikahan seperti ini dilaksanakan dengan memenuhi semua rukun-rukun dan syarat pernikahan[4].
Berdasarkan pentafsiran berkenaan nikah sirri dan nikah ‘urfi, jelas menunjukkan bahawa pernikahan yang sah dan sempurna di sisi syarak adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya.
Selain itu, sebahagian ulama berpandangan mengiklankan pernikahan melalui majlis walimatulurus adalah sunat.[5] Hal ini kerana terdapat anjuran mengadakan walimatulurus berdasarkan riwayat daripada Anas bin Malik RA berkata :
مَا اَوْلَمَ النَّبِيُّ ص عَلَى شَيْءٍ مِنْ نِسَائِهِ مَا اَوْلَمَ عَلَى زَيْنَبَ، اَوْلَمَ بِشَاةٍ
Maksudnya: "Nabi SAW tidak pernah mengadakan walimah atas (pernikahannya) dengan isteri-isterinya sebagaimana walimah atas (pernikahannya) dengan Zainab, Baginda mengadakan walimah dengan (menyembelih) seekor kambing".
(Bukhari dan Muslim)
Tujuan mengadakan walimatulurus adalah untuk menghebahkan perkahwinan kepada orang ramai dan dapat menghindarkan fitnah serta sangkaan buruk terhadap pasangan.
Imam al-Syafi’i menyatakan bahawa jika berlaku pernikahan antara suami dan isteri lalu mereka mengarahkan saksi agar pernikahan tersebut dirahsiakan, maka hukum nikah itu tetap sah namun ia dianggap sebagai satu perbuatan yang makruh kerana ia menimbulkan keraguan dan boleh mencetuskan fitnah[6]. Oleh yang demikian, makruh hukumnya menyembunyikan pernikahan.
REALITI PERUNDANGAN DI MALAYSIA
Pendaftaran pernikahan adalah kewajiban yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan pasangan yang berkahwin memiliki dokumen yang sah dan diiktiraf oleh Mahkamah Syariah. Pendaftaran ini sangat penting dalam pentadbiran undang-undang keluarga Islam di seluruh negeri di Malaysia, termasuk Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab orang Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan untuk mendaftarkan perkahwinan mereka supaya tidak berlaku mudarat kepada mana-mana pihak selaras dengan peruntukan dalam Seksyen 12(2) dan Seksyen 25 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
12.(2) Walau apa pun subseksyen (1) dan tanpa menjejaskan seksyen 40(2), sesuatu perkahwinan yang telah diupacarakan berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian ini tetapi sebaliknya sah mengikut Hukum Syara' boleh didaftarkan di bawah Akta ini dengan perintah daripada Mahkamah.
25. Pendaftaran.
Perkahwinan selepas tarikh yang ditetapkan tiap-tiap orang yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan dan perkahwinan tiap-tiap orang yang tinggal di luar negeri tetapi bermastautin dalam Wilayah Persekutuan hendaklah didaftarkan mengikut Akta ini.
Kesan Tidak Mendaftarkan Perkahwinan
Penguatkuasaan berkaitan dengan undang-undang keluarga Islam termasuk pendaftaran perkahwinan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 adalah bertujuan untuk memberikan kemaslahatan kepada orang Islam yang bermastautin di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Setiap orang wajib mematuhi undang-undang dan arahan yang telah dikeluarkan oleh pemimpin kerana mentaati pemerintah salah satu perkara yang dituntut oleh syarak berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kepada) ulil amri (para pemimpin) dari kalangan kamu.”
Surah Al-Nisa’ (59)
Imam al-Qurtubi mensyarahkan bahawa ketaatan kepada pemerintah menjadi satu kewajipan selagi mana perkara tersebut tidak bercanggah dengan hukum syarak dan tidak menjerumus kepada perkara-perkara yang menyebabkan kemaksiatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Justeru, sekiranya arahan yang dikeluarkan merupakan suatu kemakrufan, kebaikan, serta mendatangkan maslahah kepada rakyat, maka ia lebih utama untuk ditaati[7].
Ia juga bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyatakan tanggungjawab para pemerintah iaitu:
تَصَرُّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالمَصْلَحَة
Maksudnya: Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah.
Mana-mana pihak yang melanggar undang-undang yang ditetapkan terutamanya yang melibatkan pendaftaran perkahwinan, maka hal tersebut boleh menyebabkan kesulitan pada masa akan datang khususnya apabila timbul isu yang berkait dengan perkahwinan serta memerlukan khidmat Mahkamah Syariah, seperti perceraian, hak hadanah, harta pusaka dan lain-lain. Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 juga menyatakan beberapa penalti bagi kesalahan seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 35:
“35. Tidak hadir di hadapan Pendaftar dalam masa yang ditetapkan.
Jika seseorang yang dikehendaki oleh seksyen 31 hadir di hadapan seorang Pendaftar tidak berbuat demikian dalam masa yang ditetapkan, maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.”
Penutup
- Kedudukan nikah sirri (secara rahsia) menurut Undang-Undang Keluarga Islam adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan denda disebabkan melanggar akta. Walaupun nikah tanpa pendaftaran secara rasmi tidak memberi implikasi pada keabsahan hukum akad nikah, namun ia akan menyusahkan kedua-dua pihak pada masa akan datang khususnya isu perceraian, hak hadanah, harta pusaka dan lain-lain.
- Semestinya setiap undang - undang yang dirangka untuk kebaikan dan kemaslahatan pasangan suami isteri selain ia dapat memelihara hak-hak mereka.
- Oleh yang demikian, menjadi kewajiban mematuhi setiap peraturan undang-undang di Malaysia yang digubal kerana ia termasuk dalam kerangka mentaati perintah pemimpin. Justeru, jelaslah bahawa hukum nikah sirri dan ‘urfi adalah haram di sisi syarak kerana melanggar arahan ulil amri.
Wallahu A'lam
Rujukan:
[1] Lihat pautan : https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/1303/2017/07/280173/jabatan-agama-tak-ikut-peraturan-imigresen
[2] Al-Khatib As-Syirbini, Syamsuddin bin Muhammad, (1994) Mugni al-Mughtaj ila Ma’rifah Ma’ani al-Fazd Minhaj. Dar Kitab Ilmiah. Jld 4, p 226
وَأَرْكَانُهُ خَمْسَةٌ: صِيغَةٌ، وَزَوْجَةٌ، وَشَاهِدَانِ، وَزَوْجٌ، وَوَلِيٌّ،
[3] Ali Ahmad Abd al-’Al al-Tahtawi. al-Alaqat al-Zaujiyyah fi Dhaui al-Kutub wa al-Sunnah al-Nabawiyyah wa al-Aqwal al-Aimmah. (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, t.t). Hlm 99.
أما الزواج العرفي فهو الزواج الذي لا يُكتب في الوثيقة الرسمية التي بيَد المأذون، وقد تصحبه توصيةُ الشهود بالكتمان؛ وبذلك يكون من زواج السِّرِّ الذي تكلمنا عنه، ورُبما لا تصحبه توصيةٌ بالكتمان، فيأخذ اسمه الخاص وهو الزواج العرفي، وقد يعلم به غير الشهود من الأهل والأقارب والجيران. وهو عقد قد استكمل الأركان والشروط المُعتبرة شرعًا في صحَّة العقد
[4] Ibid.
أما الزواج السِّرِّيُّ فهو نوع قديم من الزواج افترضه الفُقهاء، وبيَّنوا معناه، وتكلَّموا في حُكمه، وقد أجمعوا على أن منه العقد الذي يتولَّاه الطرفان دون أن يحضره شهود، ودون أن يُعلَنَ، ودون أن يُكتب في وثيقةٍ رسمية، ويعيش الزوجان في ظله مكتومًا، لا يَعرفه أحدٌ من الناس سواهما
[5] Zakariyya Al-Anshari, Asna al-Mathalib fi Syarh Raud Thalib ( Dar al-Kitab al-Islami,t.t) Hlmn 4/ 345
قَالَ الْأَذْرَعِيُّ قَالَ بَعْضُ أَصْحَابِنَا الْمُتَأَخِّرِينَ هُوَ مُسْتَحَبٌّ فِي الْعُرْسِ وَالْوَلِيمَةِ يَعْنِي وَلِيمَةَ الْعُرْسِ وَفِي شَرْحِ السُّنَّةِ لِلْبَغَوِيِّ إنَّ إعْلَانَ النِّكَاحِ وَضَرْبَ الدُّفِّ فِيهِ مُسْتَحَبٌّ
[6] Muhammad bin Idris, al-Syafi‘i. al-Umm. (Beirut: Dar al-Fikr, 1990). Jld 5. Hlm 24.
وَإِذَا وَقَعَ النِّكَاحُ ثُمَّ أَمَرَهُ الزَّوْجَانِ بِكِتْمَانِ النِّكَاحِ وَالشَّاهِدَيْنِ فَالنِّكَاحُ جَائِزٌ وَأَكْرَهُ لَهُمَا السِّرَّ لِئَلَّا يَرْتَابَ بِهِمَا
[7] Al-Qurtubi, Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari. Al-Jami’ li Ahkam al-Quran. (Qaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, 1964). Jld 5. Hlm 259.
تَقَدَّمَ فِي هَذِهِ الْآيَةِ إِلَى الرَّعِيَّةِ فَأَمَرَ بطاعته عز وجل أولا، وهي امتثال أو أمره وَاجْتِنَابُ نَوَاهِيهِ، ثُمَّ بِطَاعَةِ رَسُولِهِ ثَانِيًا فِيمَا أَمَرَ بِهِ وَنَهَى عَنْهُ، ثُمَّ بِطَاعَةِ الْأُمَرَاءِ ثَالِثًا، عَلَى قَوْلِ الْجُمْهُورِ وَأَبِي هُرَيْرَةَ وَابْنِ عَبَّاسٍ وَغَيْرِهِمْ. وقال ابن خويز منداد: وأما طاعة السلطان فتجب فيما كان لله فِيهِ طَاعَةٌ، وَلَا تَجِبُ فِيمَا كَانَ لِلَّهِ فِيهِ مَعْصِيَةٌ
No comments:
Post a Comment