149: STATUS PELANGSAIAN PINJAMAN PTPTN MENURUT PERSPEKTIF SYARAK
MUKADIMAH
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Seminggu dua ini, isu pembayaran semula pinjaman PTPTN menjadi perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Isunya bermula apabila kerajaan baharu Pakatan Harapan didakwa telah berjanji dalam manifesto mereka sewaktu musim berkempen PRU14 bahawa jika menang, maka hutang PTPTN akan dihapuskan. Dalam masa yang sama, kerajaan juga mendapati kedudukan ekonomi negara sedang terjejas akibat menanggung hutang mencecah ratusan billion dan tidak merancang untuk menghapuskan hutang PTPTN. Lantas, bagaimana penyelesaiannya?
Kami merasa terpanggil untuk mengupas isu ini dalam Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk STATUS PELANGSAIAN PINJAMAN PTPTN MENURUT PERSPEKTIF SYARAK. Bagi tujuan ini, kami akan huraikan latarbelakang PTPTN, isu-isu fiqh yang berkaitan dengan jaminan, pemindahan hutang, penggugurannya, seterusnya kenyataan rasmi kami tentang perkara ini. Semoga pencerahan ini mendapat kefahaman yang baik kepada kita semua. Amin.
PENGENALAN PTPTN
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997. PTPTN mula beroperasi pada 1 November 1997 di Bangunan Wisma Chase Perdana, Off Jalan Semantan, Damansara Heights, Kuala Lumpur. Perbadan ini berfungsi:
- Menguruskan pinjaman untuk tujuan pendidikan tinggi dan mengutip bayaran balik pinjaman;
- Menyediakan skim simpanan dan mengurus deposit untuk tujuan pendidikan tinggi; dan
- Melaksanakan apa-apa fungsi lain yang diberikan kepada PTPTN oleh mana-mana undang-undang bertulis.[1]
Di bawah Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN, Perbadanan ini memberi pinjaman pendidikan kepada pelajar yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan. Pinjaman pendidikan ini akan membolehkan pelajar membiayai sepenuh atau sebahagian yuran pengajian dan juga kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian. Sekali gus, membuka lebih banyak peluang kepada semua golongan pelajar untuk melanjutkan pengajian di peringkat pendidikan tinggi. Kemudahan pinjaman pendidikan PTPTN adalah terbuka kepada pelajar yang menyambung pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) tempatan sahaja.[2]
Pinjaman kewangan yang diberi kepada para pelajar sebenarnya adalah wang dipinjam daripada institusi-institusi kewangan dan penjualan sukuk. Sekiranya hutang tersebut dihapuskan dan para pelajar tidak perlu membayar balik, hakikatnya PTPTN dan kerajaan juga yang menanggung kesan hutang itu.[3] Ini kerana Kerajaan bertindak sebagai penjamin terhadap sukuk yang dikeluarkan oleh PTPTN kepada institusi-kewangan dan sekiranya PTPTN tidak membayar balik kepada institusi kewangan tersebut menyebabkan kedudukan ekonomi negara bermasalah.
Kedudukan Semasa Pinjaman Balik Tertunggak PTPTN
Awal tahun ini, mantan Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata bahawa jumlah peminjam Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN adalah 2.8 juta pelajar.[4] [5] Beliau juga memaklumkan bahawa hutang sekarang mengikut rekod sehingga Mac 2018 adalah berjumlah RM52.84 bilion.[6]
Bagaimanapun Pengerusi PTPTN yang baru dilantik, Wan Saiful Wan Jan dalam laporan pada 13 September 2018 berkata: Hutang PTPTN melebihi RM36 billion, malahan mencecah RM40 billion.[7] Beliau juga menyebut: “Sejak penubuhan PTPTN, seramai 1,003,124 peminjam adalah anak-anak Melayu dan daripada jumlah ini, hanya 288,835 sahaja yang membayar balik dengan konsisten, iaitu 28.8 peratus.” [8] Menurut beliau lagi, seramai 425,292 atau 42 peratus tidak membayar mengikut jadual, manakala 277,994 atau 28 peratus tidak membayar langsung hutang mereka. Maksudnya, 70 peratus peminjam Melayu tidak berdisiplin dalam melunaskan kewajipan membayar hutang mereka.[9]
Jumlah Dana PTPTN yang Diperlukan Setiap Tahun
Kerajaan perlu menyediakan dana, dianggarkan sehingga RM4 bilion setiap tahun bagi kira-kira 200,000 pelajar baharu yang mahu melanjutkan pengajian dan menanggung kira-kira 600,000 pelajar sedia ada. Apabila hutang PTPTN tidak dibayar balik atau dihapuskan, ini akan memberikan kesan yang teruk kepada aliran tunai PTPTN dan menjejaskan peruntukan bagi pelajar baharu dan sedia ada. Antara kesannya lagi, dana berkurangan menyebabkan potongan sebanyak lima peratus kepada pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 15 peratus pinjaman pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) terpaksa dilakukan. [10]
Ini secara langsung akan merendahkan kadar kemasukan pelajar ke institut pengajian tinggi atas kekangan ekonomi.
PERKAITAN HUKUM DHAMAN DENGAN ISU PTPTN
Mungkin terdapat pandangan dalam masyarakat bahawa hutang PTPTN sudah dijamin oleh kerajaan. Maka mengikut hukum dhaman, penghutang tidak perlu lagi membayar hutang berkenaan. Bagi menjawab isu ini, beberapa perkara perlu diambilkira
Definisi Dhaman dan Rukun-rukunnya
Konsep jaminan di dalam fiqh Islam disebut sebagai hukum al-Dhaman (jaminan). Daripada sudut Bahasa, ‘dhaman’ adalah sinonim dengan ‘iltizam’ yang bermaksud “seseorang yang mewajibkan sesuatu ke atas dirinya.” Daripada sudut istilah fiqh, ia bermaksud “mewajibkan ke atas diri suatu hak yang menjadi dzimmah (liabiliti) orang lain” atau disebut sebagai dhaman al-dayn (jaminan hutang). Terdapat dua jenis dhaman yang lain iaitu dhaman al-ain (jaminan pemulangan barang) dan dhaman al-badan atau al-kaffalah (jaminan untuk menghadirkan individu tertentu), tetapi tidak akan dibahaskan di sini kerana perbezaan konteks. Daripada Salamah bin Akwa` RA bahawa dia berkata:
كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا فَقَالَ هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قَالُوا لاَ قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا لاَ فَصَلَّى عَلَيْهِ ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ، صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قِيلَ نَعَمْ، قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا ثَلاَثَةَ دَنَانِيرَ، فَصَلَّى عَلَيْهَا، ثُمَّ أُتِيَ بِالثَّالِثَةِ، فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ هَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا لاَ، قَالَ فَهَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟، قَالُوا ثَلاَثَةُ دَنَانِيرَ، قَالَ صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ، قَالَ أَبُو قَتَادَةَ صَلِّ عَلَيْهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَلَيَّ دَيْنُهُ، فَصَلَّى عَلَيْهِ
Maksudnya: “Pernah suatu ketika kami duduk-duduk bersama Rasulullah SAW, kemudian kami dibawakan sekujur jenazah. Mereka yang membawa jenazah itu memohon kepada Rasulullah SAW: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Tidak”. Rasulullah SAW bersabda, “Apakah dia meninggalkan (mewariskan) sesuatu?” Mereka menjawab, “Tidak”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian dibawakan jenazah lain dan mereka memohon, “Wahai Pesuruh Allah! Solatkan jenazah ini”. Sabda Rasulullah SAW, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Ya”. Rasulullah SAW bersabda, “Apakah dia meninggalkan sesuatu?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian datang jenazah ketiga. Mereka memohon: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda bersabda: “Biar kalianlah yang bersolat atas jenazah sahabat kalian ini.” Lalu Abu Qatadah merespon: “Mohon solat ke atas jenazah ini wahai Pesuruh Allah, aku akan menanggung hutangnya.” Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu.”
Riwayat al-Bukhari (2286)
Terdapat (5) lima rukun dhaman al-dayn untuk menjadikan sebuah jaminan itu sah:
- Dhamin (penjamin)
- Hendaklah penjamin itu ahl al-tabarru` (berkelayakan untuk memberikan harta) yakni akil baligh dan rasyid (tidak dungu dalam pengurusan harta).
- Hendaklah penjamin itu mukhtar (membuat pilihan sendiri) bukan dipaksa.
- Madhmun (hutang yang ingin dijamin)
- Hendaklah hutang itu tsabit (wujud).
- Hendaklah hutang itu lazim (mesti dibayar dan tidak mampu digugurkan).
- Hendaklah hutang itu diketahui oleh penjamin.
- Hendaklah hutang itu ditentukan. Jika seseorang menjamin hutang salah seorang daripada dua orang, maka tidak sah jaminan itu.
- Madhmun lah (penghutang)
- Madhmun `anh (pemiutang)
- Sighah (ijab atau tawaran penjamin)
- Tidak disyaratkan qabul (persetujuan/penerimaan) daripada penghutang dan pemiutang, berdalilkan hadis di atas.
Rujuk Mughni al-Muhtaj (2/197), al-Muhazzab (3/311), dan Raudhah al-Talibin (4/240)
Pengaplikasian Rukun /Dhaman Dalam Isu PTPTN
Berikut adalah cubaan untuk memasukkan pihak-pihak dalam isu PTPTN ke dalam rukun-rukun dhaman:
- Dhamin (penjamin)
Sebahagian pihak mengatakan bahawa kerajaan adalah penjamin dalam kes ini. Walau bagaimanapun, beberapa perkara perlu diputuskan terlebih dahulu seperti: “Siapakah yang layak untuk dianggap sebagai penjamin? Adakah individu, atau sebuah pakatan politik?” Pada asalnya penjamin itu mesti seorang manusia sebenar yang merupakan ahl al-tabarru’ yang mengeluarkan sighah dhaman untuk menjamin satu-satu hutang. Justeru, sekiranya jaminan itu hanyalah dakwaan penyokong, contohnya, semasa tempoh berkempen, maka itu hanyalah ucapan sia-sia dan tidak dianggap sebagai tawaran jaminan.
Begitu juga jika penjamin itu adalah syakhs hukmi (badan hukum) seperti baitulmal, waqf, masjid, dan syarikat yang memiliki kelayakan sama seperti orang sebenar. Rujuk Fiqh al-Buyu` (1/164) oleh Syeikh Muhammad Taqi Uthmani. Sekiranya sesebuah pakatan politik itu memiliki ahl al-tabarru` seperti mana yang ditetapkan semasa pendaftarannya, maka ia menjadi penjamin bagi akad dhaman yang dibuat selepas penubuhannya tetapi tidak sebelumnya.
Berdasarkan penelitian kami, tiada bukti kerajaan Pakatan Harapan ada membuat kenyataan rasmi selepas perlantikan mereka untuk menjamin penghutang PTPTN. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa sebelum pilihanraya kemungkinan terdapat janji-janji daripada para penyokong dan wakil rakyat mereka untuk menghapuskan hutang PTPTN tetapi ini adalah sia-sia kerana kerajaan Pakatan Harapan tidak wujud lagi pada waktu itu.
- Madhmun (hutang yang ingin dijamin)
Hutang peminjam PTPTN dan tiada bantahan bagi perkara ini.
- Madhmun lah (penghutang)
Para penghutang dalam kes ini ialah para peminjam daripada Tabung PTPTN. Rukun ini adalah sempurna dan tiada isu yang dibangkitkan.
- Madhmun `anh (pemiutang)
Timbul isu; siapakah pemiutang sebenar? Adakah kerajaan atau PTPTN sebagai sebuah badan yang bebas. Sekiranya akad ini hanyalah melibatkan dua pihak sahaja, maka ini perkara ini perlu dibincangkan dalam bab hutang dalam isu ibra` al-dayn (pelepasan hutang). Namun, sekiranya ini melibatkan tiga pihak di mana, PTPTN sebagai pemiutang dan kerajaan sebagai penjamin, maka rukun ini adalah memadai.
- Sighah (ijab atau tawaran penjamin)
Rukun ini berkait dengan rukun pertama tentang adakah terdapat kenyataan rasmi daripada kerajaan selepas pilihanraya yang menyebut jaminan terhadap hutang PTPTN. Sekiranya tiada, maka tiada sighah dan tidak berlaku hukum jaminan.
Seandainya ada, maka perlu dilihat kenyataan tersebut adalah menepati syarat-syarat ijab. Merujuk kepada Buku Harapan (hlm. 26) :
“Bebanan hutang PTPTN yang ditanggung oleh graduan akan dikurangkan dengan cara melanjutkan tempoh mula bayar agar mereka mula membayar hanya apabila pendapatan bulanan kasar mencapai RM4,000 sebulan. Pelajar yang cemerlang dan juga pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah akan diberikan diskaun bayaran yang setimpal ataupun hutang PTPTN akan dilupuskan seluruhnya.”
Kenyataan ini dikeluarkan sebelum PRU14. Manifesto ini menurut pendapat kami lebih mendekati konsep wa`d yang telah kami bincangkan dalam Bayan Linnas Siri Ke-130 : Manifesto Dan Janji Pilihan Raya.[11] Janji berbentuk wa’d sunat dilaksanakan mengikut Jumhur, melainkan ulama mazhab Maliki menganggap hukumnya adalah wajib apabila disyaratkan. Ini juga adalah pendapat Khalifah Umar bin al-Aziz Rahimahullah. Kami menyatakan, “bahawa menepati janji adalah satu perbuatan yang wajib ditunaikan semampu mungkin. Jangan sesekali meninggalkannya dan diabaikannya. Ini kerana, jika diabaikan janji yang telah diucapkan, ia serba sedikit akan mencalarkan imej seseorang sebagai seorang Muslim. Apatah lagi kredibilitinya akan dipertikaikan dan menyebabkan orang tidak lagi percaya kepadanya.” Sekalipun kami tegas tentang hal ini, namun ia tidak menjadikan rukun ijab bagi hukum dhaman itu memadai.
Ini juga selari dengan hukum seseorang yang bernazar, maka dia wajib melaksanakan nazarnya dengan ta`liq tertentu seperti menang pilihanraya dan sebagainya, untuk berbuat kebaikan seperti melakukan dhaman, ibra’ al-dayn (di bawah Sulh) dan hiwalah. Namun hal ini tidak berlaku dalam kes semasa. Adapun manifesto, maka terdapat kes undang-undang yang menjadi penghalang bagi nazar itu dilaksanakan.
Janji pilihanraya atau manifesto bukanlah sebuah dokumen yang mengikat. Perkara ini telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Kerajaan Negeri Selangor & Tan Sri Dato’ Abdul Khalid bin Ibrahim lwn. Murtini binti Kasman & lain-lain.[12] Dalam kes tersebut, Mahkamah Rayuan telah menyebelahi pihak-pihak perayu dengan menyisihkan arahan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi dengan alasan bahawa suatu Kerajaan itu tidak terikat dengan manifesto pilihanraya. Ini kerana manifesto itu mengandungi janji-janji yang dibuat oleh parti politik semasa musim berkempen sebelum pilihanraya. Ia bukanlah suatu janji dengan suci hati (solemn promise) atau representasi daripada pihak Kerajaan. Sekiranya parti politik tadi menang sekalipun dan membentuk kerajaan, mereka hanya ada tanggungjawab moral untuk memenuhi janji pilihanraya dan tidak lebih daripada itu.
Berdasarkan pengaplikasian di atas, jelas menunjukkan bahawa kerajaan bukanlah penjamin kepada hutang PTPTN sebaliknya hanyalah berjanji politik untuk “melanjutkan tempoh mula bayar agar mereka mula membayar hanya apabila pendapatan bulanan kasar mencapai RM4,000 sebulan. Pelajar yang cemerlang dan juga pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah akan diberikan diskaun bayaran yang setimpal ataupun hutang PTPTN akan dilupuskan seluruhnya” sepertimana yang disebut dalam manifesto.
PERKAITAN HUKUM IBRA’ AL-DAYN DENGAN ISU PTPTN
Segelintir masyarakat Malaysia pada hari ini menyangka bahawa pembayaran balik pinjaman PTPTN telah dihapuskan oleh kerajaan. Dalam konteks fiqh Islam, sesuatu hutang yang telah dihapuskan tidak boleh dituntut kembali. Ini berdasarkan kepada satu kaedah fiqh yang menyebut:
السَاقِطُ لاَ يَعُوْدُ
Maksudnya: “Perkara yang digugurkan (dilangsaikan) tidak akan kembali”
Berikut kami cuba huraikan perkara ini satu persatu.
Konsep Ibra’ al-Dayn
Ibra’ al-dayn bermaksud perbuatan pemiutang membebaskan atau menggugurkan hutangnya yang ditanggung oleh penghutang (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 6/145). Ucapan mengibra’kan hutang tersebut perlu menyebut jumlah yang ingin diibra’kan seperti sebahagian atau keseluruhan atau seumpamanya. Rujuk al-Muktamad (3/457); Asna al-Matalib (2/215); al-Iqna’ (2/305); Hasyiah al-Bujairimi, (8/111); Fath al-Wahab, (1/355).
Dalam satu hadis Kaab bin Malik RA telah meriwayatkan:
أَنَّهُ تَقَاضَى ابْنَ أَبِى حَدْرَدٍ دَيْنًا كَانَ لَهُ عَلَيْهِ فِى الْمَسْجِدِ، فَارْتَفَعَتْ أَصْوَاتُهُمَا حَتَّى سَمِعَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهْوَ فِى بَيْتِهِ، فَخَرَجَ إِلَيْهِمَا حَتَّى كَشَفَ سِجْفَ حُجْرَتِهِ فَنَادَى: يَا كَعْبُ. قَالَ لَبَّيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: ضَعْ مِنْ دَيْنِكَ هَذَا. وَأَوْمَأَ إِلَيْهِ أَىِ الشَّطْرَ قَالَ لَقَدْ فَعَلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: قُمْ فَاقْضِهِ
Maksudnya: “Suatu ketika dia menuntut Abdullah bin Abu Hadrad supaya membayar hutangnya. Peristiwa ini berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan berlaku di dalam masjid. Suara mereka riuh rendah hingga didengar oleh Rasulullah SAW walaupun Baginda ketika itu berada di dalam rumahnya. Lantas Rasulullah SAW keluar menemui mereka hingga tersingkap tirai bilik Baginda. Baginda memanggil Ka'ab bin Malik: "Wahai Ka'ab", Ka'ab menjawab: "Ya, aku datang wahai Rasulullah". Sambil mengisyaratkan dengan tangannya Baginda bersabda: "Rebatlah sebahagian". Ka'ab membalas: "Ya, wahai Rasulullah". Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Bangunlah, bayarlah hutang itu kepadanya."
Riwayat al-Bukhari (2563) dan Muslim (1558)
Melihat kepada pengertian serta dalil yang di atas, perbuatan mengibra’kan (menggugurkan) hutang adalah dibolehkan di sisi Syarak. Ini kerana perkara tersebut telah nyata diperlakukan oleh Nabi SAW sendiri. Namun begitu, beberapa syarat yang ada perlu dipenuhi dalam melakukan pengguguran atau pelepasan hutang tersebut. Antaranya ialah:
- Orang yang membebaskan penghutang daripada bebanan hutang mestilah orang yang layak memberikan sumbangan tersebut. Ini bermakna, ia tidak sah dilakukan oleh penjaga kanak-kanak, kerana dia tidak berhak menyumbang dengan menggunakan harta kanak-kanak dibawah jagaannya.
- Orang tersebut mestilah mengetahui bahagian yang dilangsaikannya (diibra'kan). Adalah tidak sah jika dia berkata: “Aku bebaskan kamu daripada sebahagian bebanan hutang ini,” ataupun jika dia berkata: “Aku bebaskan kamu dmipada suku bebanan hutang ini,” sedangkan dia tidak mengetahui jumlahnya.
- Pelangsaian (ibra') mestilah berkaitan dengan hutang. Perkataan ibra' tidak sah digunakan jika ia membabitkan barangan.
- Tidak terikat dengan syarat atau tempoh tertentu. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 6/147)
Persoalan yang timbul tentang perkaitan ibra’ al-dayn ini ialah:
Pertama, proses ibra’ al-dayn ini melibatkan dua pihak, iaitu pemiutang dan penghutang. Isunya ialah, adakah Kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini dianggap sebagai pemiutang kepada pinjaman yang diberikan?
Menjawab kepada persoalan ini, kita perlu mengenalpasti apakah wujud sighah dengan maksud menggugurkan tanggungan hutang daripada peminjam PTPTN daripada kerajaan apabila mereka sudah dinaikkan sebagai kerajaan?
Oleh itu, dua fasa perlu diambilkira dalam pertimbangan ini:
- Fasa selepas lantikan. Setakat penulisan kami ini, tiada mana-mana kenyataan rasmi kerajaan yang bermaksud untuk menggugurkan hutang PTPTN.
- Fasa sebelum lantikan. Pakatan Harapan tidak dianggap sebagai pemiutang kepada hutang PTPTN ini. Hal ini kerana, tawaran yang diberikan tersebut adalah ketika mana Pakatan Harapan masih belum dibentuk sebagai sebuah kerajaan yang sempurna. Bahkan, pendaftaran Pakatan Harapan sebagai satu pertubuhan yang sah hanya diluluskan pada 16 Mei 2018.[13]
Justeru, sekiranya dakwaan terhadap tawaran kepada penghapusan hutang PTPTN itu adalah benar-benar wujud, maka tawaran tersebut adalah satu ucapan yang sia-sia (lagha).
Kedua, adakah Kerajaan Pakatan Harapan boleh dikira sebagai orang yang layak untuk mengibra’kan hutang PTPTN tersebut?
Dalam isu ini, Kerajaan Pakatan Harapan dikira sebagai pihak yang layak untuk mengibra’kan hutang PTPTN, hanya selepas mereka dilantik jadi kerajaan. Ini kerana, PTPTN adalah Badan Berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) dan merupakan agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
PERKAITAN HUKUM HIWALAH DENGAN ISU PTPTN
Dalam isu PTPTN, konsep hiwalah juga dibangkitkan kerana melibatkan pemindahan hutang kepada pihak yang lain dari perspektif syarak. Ini jika kita menerima bahawa terdapat tiga pihak iaitu Kerajaan, PTPTN dan Pelajar. Isu yang berbangkit antaranya adalah:
- Adakah boleh memindahkan hutang sesuatu pihak kepada pihak yang lain? Atau dalam konteks perbincangan semasa, adakah hutang PTPTN yang ditanggung oleh para peminjamnya dapat dipindahkan tanggungjawab melunaskannya kepada pihak kerajaan Malaysia?
- Dan apakah hukumnya sekiranya diketahui pihak yang akan dipindahkan tanggungjawab melunaskan hutang berkenaan adalah tidak berkemampuan untuk melunaskan hutang berkenaan?
- Serta adakah telah berlaku hiwalah antara para peminjam PTPTN dan pihak kerajaan?
Definisi Hiwalah
Sebelum dibincangkan lebih lanjut berkenaan hal ini, eloklah terlebih dahulu diteliti konsep hiwalah dari segi pengertian, rukun-rukun dan syarat-syaratnya.
Dalam Islam, pemindahan sesuatu hutang oleh orang yang berhutang kepada pihak yang lain dibincangkan di bawah tajuk hiwalah. Menurut bahasa, hiwalah ialah pemindahan atau perpindahan. Menurut kebanyakan ulama’ Syafi’e, al-hiwalah dari segi istilah ialah kontrak yang terkandung di dalamnya pemindahan hutang seseorang kepada tanggungan seseorang yang lain. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/167; Hasyiyah I’anah al-Talibin, 3/89; Mughni al-Muhtaj, 3/189; Nihayah al-Muhtaj, 4/421)
al-Dusuki menyebut al-hiwalah ialah pemindahan hutang dari satu tanggungan dengan hutang yang sebanding dengannya dan dengan itu maka tertunailah hutang dari tanggungan pertama. (Lihat Hasyiyah al-Dusuki ‘ala Syarh al-Kabir, 3/325)
Ibnu Qudamah menyebut, maksud al-hiwalah ialah memindahkan hak daripada tanggungan kepada tanggungan yang lain. (Lihat al-Mughni, 6/330)
Rasulullah SAW bersabda:
مَطْلُ الْغَنِىِّ ظُلْمٌ، فَإِذَا أُتْبِعَ أَحَدُكُمْ عَلَى مَلِىٍّ فَلْيَتْبَعْ
Maksudnya: “Melambatkan pembayaran hutang oleh orang kaya adalah zalim. Apabila salah seorang daripada kamu dibawa kepada orang kaya yang lain maka ikutlah.”
Riwayat al-Bukhari (2166) dan Muslim (1564)
Dalam riwayat Ahmad disebut:
وَمَنْ أُحِيلَ عَلَى مَلِىءٍ فَلْيَحْتَلْ
Maksudnya: “Sesiapa yang dipindahkan (hutangnya) kepada orang kaya yang lain maka berpindahlah.”
Riwayat Ahmad (9973)
Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Seluruh umat Islam pada sepanjang zaman telah bersepakat, pemindahan hutang dibenarkan dan bertepatan dengan syara’. Tidak pernah timbul sebarang pendapat yang menentang amalan ini.
Jumhur ulama’ berpendapat, ayat perintah yang dinyatakan dalam hadith di atas, “ikutlah” dan “berpindahlah” hanyalah merupakan perintah sunat atau sekadar suatu galakan, bukan merujuk kepada perintah wajib. Dengan ini bermakna, sesiapa yang memberi hutang kepada seseorang, lalu orang yang berhutang meminta supaya hutang tersebut dipindahkan kepada orang lain yang akan membayarnya, dia (pemiutang) digalakkan menerima pemindahan ini, bukannya diwajibkan.
Pemindahan ini hanya digalakkan jika orang yang mengambil alih hutang tersebut mampu melunaskannya. Di samping tiada sebarang keraguan pada hartanya. Jika orang tersebut tidak berkemampuan melunaskan hutang tersebut atau harta yang dimilikinya diragui, pemindahan tersebut tidak digalakkan untuk diterima oleh pemiutang. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/159)
Rukun-rukun Hiwalah dan Syarat-syaratnya
Mazhab Syafi’e menggariskan rukun al-hiwalah kepada enam rukun dan terpenting dalam teori al-hiwalah. (Lihat Hasyiah I’anah al-Talibin, 3/90; Mughni al-Muhtaj, 3/190; Nihayah al-Muhtaj, 4/422)[14] Kami nukilkan daripada al-Fiqh al-Manhaji sebagaimana berikut:
- Penghutang yang hendak memindahkan hutangnya kepada orang lain (muhil).
- Ia mestilah seorang yang berkelayakan menjalankan kontrak iaitu seorang yang berakal dan baligh.
- Pemiutang, iaitu pihak di mana hak milik hutangnya dipindahkan untuk dibayar oleh orang lain (muhal).
- Pemiutang juga perlu memenuhi syarat berkelayakan menjalankan kontrak. Maksudnya dia mestilah berakal kerana persetujuan oleh pemiutang adalah rukun dalam kontrak pemindahan hutang.
- Orang yang bertanggungjawab melunaskan hutang kepada pemiutang (muhal ‘alaih)
- Ia disyaratkan mestilah orang yang berakal dan baligh. Tidak sah sesuatu hutang dipindahkan kepada orang gila atau kanak-kanak.
- Hak pemiutang yang perlu ditunaikan oleh penghutang (muhil), dan dipindahkan pula kepada muhal ‘alaih. Ia dinamakan muhal bih.
- Mestilah dalam bentuk hutang. Tidak sah dilakukan pada barangan yang sedia wujud kerana hIwalah ialah perpindahan hukmi. Pemindahan ini bererti pemindahan sesuatu daripada tanggungan (zimmah) seseorang kepada tanggungan orang lain. Pemindahan barangan yang sedia wujud adalah pemindahan hakiki bukan pemindahan hukmi kerana ia tidak disabitkan dengan sesuatu tanggungan. Oleh itu ia tidak termasuk dalam hukum hIwalah.
- Hutang tersebut mestilah telah berkuatkuasa. Contohnya harga yang perlu dibayar selepas barangan jualan diterima dan tamat tempoh khiyar, ataupun ia hampir berkuatkuasa seperti harga yang perlu dibayar ketika masih dalam tempoh khiyar kerana ia akan berkuatkuasa selepas tamat tempoh khiyar. Pendapat ini adalah pendapat yang paling sahih (asah). Ketika itu, jika penjual memindahkan hutang tersebut kepada seseorang untuk menerima bayaran daripada pembeli, pemindahan tersebut sah. Ada pendapat mengatakan tidak sah pemindahan dibuat dalam tempoh khiyar kerana hutang tersebut belum berkuatkuasa. Pemindahan hutang sah dibuat walaupun hutang tersebut belum berkuatkuasa sama seperti sahnya bayaran mahar sebelum persetubuhan, bayaran sewa sebelum tamat tempoh sewa, bayaran sebelum barangan yang dibeli diterima.
- Mestilah muhal `alaih itu juga berhutang dengan pihak muhil, kerana konsep hiwalah itu adalah jual hutang dengan hutang. Ini juga disebutkan sebagai rukun keenam dalam kitab-kitab mazhab.
- Sighah iaitu penawaran dan persetujuan (ijab dan qabul) antara penghutang (muhil) dan pemiutang (muhal).
- Perlu ada redha antara muhil dan muhtal. Tidak diwajibkan redha pihak muhal `alaih kerana hiwalah adalah hak muhil.
Pengaplikasian Konsep Hiwalah dalam kes PTPTN
Dalam isu adakah hutang PTPTN oleh para peminjamnya dapat dipindahkan kepada kerajaan Malaysia, kami cuba aplikasikan konsep hiwalah ini dengan mengikut rukun-rukun dan syarat-syarat sepertimana yang telah dibincangkan.
Kami ringkaskannya sepertimana berikut:
- Muhil (Penghutang)
Dalam isu ini jelas, penghutang ialah para peminjam PTPTN. Mereka adalah seramai 2.8 juta orang seperti yang dilaporkan.[15]
- Muhal/Muhtal (Pemiutang)
Pemiutang dalam kes ini adalah pihak PTPTN yang merupakan sebuah badan berkanun daripada Badan-Badan Berkanun Malaysia. Badan berkanun ditakrifkan sebagai jabatan kerajaan yang dibentuk mengikut akta tertentu dan mempunyai kuasa tersendiri. Ia juga difahami sebagai agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk melaksanakan fungsi-fungsi tertentu.[16]
Salah satu daripada fungsi PTPTN adalah sebagai pihak yang menguruskan pinjaman untuk tujuan pendidikan tinggi dan mengutip bayaran balik pinjaman.[17] Perkara yang perlu diteliti adalah, adakah pihak PTPTN sebagai pemiutang telah bersetuju, hutang tersebut dipindahkan kepada kerajaan? Setakat makluman yang kami perolehi, perkara ini tidak wujud.
- Muhal `alaih (Pihak yang akan mengambil alih dzimmah – tanggungan -melunaskan hutang kepada pemiutang)
Dalam isu, pihak yang ingin diberi tanggungjawab melunaskan hutang tersebut (sekiranya terjadi) ialah kerajaan Malaysia. Namun, pihak Kerajaan bukanlah penghutang kepada muhil (peminjam PTPTN), sedangkan syarat muhal `alaih itu mestilah penghutang kepada muhil. Antara lain yang perlu diteliti ialah, adakah kerajaan Malaysia mempunyai dana kewangan yang mencukupi bagi menyelesaikan hutang PTPTN yang dilaporkan melebihi RM36 billion .[18]
- Muhal bih (Hak pemiutang yang perlu ditunaikan oleh penghutang (muhil), dan dipindahkan pula kepada muhal ‘alaih)
Ia merupakan hutang PTPTN yang dilakukan oleh para peminjamnya yang dilaporkan melebihi RM36 billion, malahan mencecah RM40 billion sepertimana telah disebutkan.[19] Namun tiada bukti Kerajaan atau PTPTN mempunyai hutang pula dengan para peminjam PTPTN.
- Sighah (penawaran dan persetujuan - ijab wa qabul).
Iaitu penawaran dan persetujuan antara para peminjam PTPTN dan pihak PTPTN. Dalam isu ini, untuk menjadikan pemindahan hutang daripada peminjam PTPTN beralih kepada pihak kerajaan, persetujuan daripada PTPTN selaku pemiutang adalah diperlukan. Hal ini tidak dapat dibuktikan, sekalipun mungkin terdapat ijab daripada pihak muhil.
Berdasarkan perbincangan di atas,dapat disimpulkan sebagaimana berikut:
- Kami dapati, tidak berlaku hiwalah antara peminjam PTPTN kepada pihak kerajaan. Hal ini kerana:
- Tiada sighah: Pemiutang (pihak PTPTN) tidak ada menyatakan sebarang persetujuan bahawa hutang tersebut boleh dipindahkan kepada kerajaan untuk melunaskannya. Bahkan tiada ijab daripada pihak penghutang untuk memindahkan hutang tersebut.
- Tiada hutang muhil ke atas muhal `alaih: Kerajaan bukanlah penghutang bagi muhil (peminjam PTPTN) sedangkan akad hiwalah ialah jual hutang dengan hutang.
- Sekiranya diketahui pihak muhal `alaih (Kerajaan) adalah tidak berkemampuan untuk melunaskan hutang berkenaan, maka pihak pemiutang tidak digalakkan untuk menerima pemindahan tersebut. Hal ini kerana jika pemindahan tersebut dilakukan sekalipun, maka ia hanyalah satu tindakan yang sia-sia kerana hutang tersebut tetap tidak dapat diselesaikan.
TEKNIK MELANGSAIKAN HUTANG
Definisi Hutang
Dari segi bahasa (dayn) hutang ialah sebarang liabiliti (tanggungan) masa hadapan yang dipertanggungkan ke atas seseorang sama ada dalam bentuk wang atau sebagainya.
Dari segi istilah, ulama membahagikan hutang kepada dua jenis:
- Umum: Iaitu hak/tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh seseorang yang menanggung beban di masa hadapan.
- Khusus: Menurut jumhur ulama, iaitu sebarang kewajipan dalam bentuk kewangan ke atas seseorang yang terjadi kesan daripada pertukaran transaksi, kerosakan harta benda, kecederaan, ataupun untuk melunaskan hak-hak Allah seperti zakat.
Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Menurut istilah para fuqaha’, hutang ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/121)
Hutang Wajib Dibayar
Firman Allah Taala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ ۚ وَلَا يَأْبَ كَاتِبٌ أَن يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ اللَّهُ ۚ فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلَا يَبْخَسْ مِنْهُ شَيْئًا ۚ فَإِن كَانَ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لَا يَسْتَطِيعُ أَن يُمِلَّ هُوَ فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُ بِالْعَدْلِ ۚ وَاسْتَشْهِدُوا شَهِيدَيْنِ مِن رِّجَالِكُمْ ۖ فَإِن لَّمْ يَكُونَا رَجُلَيْنِ فَرَجُلٌ وَامْرَأَتَانِ مِمَّن تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاءِ أَن تَضِلَّ إِحْدَاهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحْدَاهُمَا الْأُخْرَىٰ ۚ وَلَا يَأْبَ الشُّهَدَاءُ إِذَا مَا دُعُوا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi.”
(Surah al-Baqarah: 282)
Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti menyebut dalam Adhwa’ al-Bayan (1/184):
“ Zahir daripada ayat yang mulia ini bahawa menulis (dokumentasi) bagi hutang itu adalah wajib kerana arahan daripada Allah menunjuk kepada kewajiban. Tetapi Syarak menunjuknya sebagai isyarat irsyadi (sunat) dan tidak wajib”
Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyebut:
“Dan hikmah daripada pensyariatan ini bahawa Syariah itu datang bagi merealisasikan keperluan-keperluan manusia, menolak kesusahan daripada mereka berserta menjauhkan kerosakan dan apa-apa yang membawa kepada perselisihan, kezaliman, dan permusuhan.”
Rujuk al-Mu`tamad (3/138)
Abu Hurairah RA berkata: “Bahawa Rasulullah SAW bersabda:
نَفْسُ الْمُؤمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
Maksudnya: “Jiwa seseorang yang beriman tergantung dengan hutangnya sehingga dia melunaskannya.”
Riwayat Ibnu Majah (2413), al-Tirmizi (1079) dan al-Baihaqi (6891)
Imam Suyuti berkata: “Maksud hadis ini bahawa jiwa atau roh orang yang beriman akan terhalang dari kedudukannya yang mulia.”
Al-Iraqi pula berpendapat urusannya terhenti tiada hukum baginya dengan keselamatan dan kebinasaan sehingga dilangsaikan hutangnya dahulu sama ada digunakan harta si mati untuk membayarnya atau orang lain sebagaimana telah dinyatakan oleh jumhur ashab kami.
Al-Syaukani dalam Nail al-Autar berkata: “Hadis ini menunjukkan galakan dan gesaan kepada si waris untuk menunaikan hutang si mati. Pengkhabaran yang menunjukkan rohnya tergantung dengan sebab hutang sehingga dilangsaikan bersifat muqayyad bagi siapa yang mempunyai harta.”
Daripada Salamah ibn al-Akwa’ R.A, beliau berkata:
كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا فَقَالَ هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ قَالُوا لَا قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا قَالُوا لَا فَصَلَّى عَلَيْهِ ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ صَلِّ عَلَيْهَا قَالَ هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ قِيلَ نَعَمْ قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا قَالُوا ثَلَاثَةَ دَنَانِيرَ فَصَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ أُتِيَ بِالثَّالِثَةِ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا قَالَ هَلْ تَرَكَ شَيْئًا قَالُوا لَا قَالَ فَهَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ قَالُوا ثَلَاثَةُ دَنَانِيرَ قَالَ صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ قَالَ أَبُو قَتَادَةَ صَلِّ عَلَيْهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَلَيَّ دَيْنُهُ فَصَلَّى عَلَيْهِ
Maksudnya: Kami duduk di samping Nabi SAW. Kemudian didatangkan jenazah, mereka berkata: Solatkanlah ke atasnya. Baginda bertanya: “Apakah dia ada berhutang?” Mereka menjawab: “Tidak”. Baginda bertanya: “Apakah dia meninggalkan sesuatu?” Mereka menjawab: “Tidak.” Lalu Baginda mensolatkannya. Kemudian didatangkan jenazah yang lain dan mereka berkata: “Solatkanlah ke atasnya.” Baginda bertanya: “Apakah dia ada berhutang?” Mereka menjawab,”Ya”. Beliau bertanya: “Apakah dia meninggalkan sesuatu?” Mereka menjawab: “Dia mempunyai tiga dinar.” Lalu beliau mensolatkannya. Kemudian didatangkan jenazah yang ketiga, mereka berkata: “Solatkanlah ke atasnya.” Baginda bertanya: “Apakah dia meninggalkan sesuatu?” Mereka menjawab: “Tidak.” Beliau bertanya: “Apakah dia ada berhutang?” Mereka menjawab: “Dia mempunyai hutang tiga dinar.” Beliau bersabda: “Solatkanlah olehmu saudaramu ini.” Abu Qatadah lalu berkata: “Ya Rasulullah SAW solatkanlah atasnya. Saya akan membayarkan hutangnya.” Maka Baginda pun mensolatkannya.
Riwayat al-Bukhari (2289)
Imam Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa hadis ini memberi isyarat betapa beratnya kesan hutang ke atas seseorang dan galakan supaya mengelakkan berhutang kecuali dalam keadaan terpaksa.
Rasulullah SAW sendiri amat kerap berdoa agar dirinya dijauhkan daripada bebanan hutang. Apabila ditanya sebabnya, Baginda menjawab:
إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ ، وَوَعَدَ فَأَخْلَفَ
Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang berhutang, dia akan bercakap lalu berbohong, dia berjanji lalu mengingkari.”
Riwayat Al-Bukhari (2397) Dan Muslim (1353)
Cara Melangsaikan Hutang
Pelbagai cara boleh digunakan untuk melangsaikan hutang. Penulis memetik satu pandangan penyelesaian isu hutang:
- Mempelajari kesilapan yang lalu antaranya menjauhi riba. Justeru, hendaklah kita berhijrah dari riba kerana ia merupakan perangkap yang cukup bahaya.
- Niat untuk menolong saudara dan umat Islam serta menegakkan syiarnya ini sudah pasti akan mendapat pertolongan daripada Ilahi. Antaranya niat untuk membayar hutang dengan bersungguh-sungguh.
Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:
مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang mengambil hak milik orang (berhutang) dan dia mahu membayarnya semula nescaya Allah akan membayarkannya untuknya. Sesiapa yang mengambilnya untuk memusnahkannya (tidak mahu membayarnya) nescaya Allah akan musnahkannya (mengazabkannya).”
Riwayat al-Bukhari (2257)
- Bersungguh dalam berusaha dan bekerja. Di samping itu perlu mempunyai strategi dan ilmu.
- Jujur dalam percakapan.
- Keyakinan yang kukuh dan kuat bahawa kita mampu menyelesaikan hutang.
- Bacalah sejarah orang kaya yang pernah jatuh dengan hutang, tapi dapat bangkit dengan sendiri sehingga menjadi antara orang yang terkaya.
- Jalinkan hubungan yang kukuh dengan Allah. Memelihara yang fardu dan sunat seperti qiamullail, puasa, solat Dhuha, sedekah dan lain-lain..
Penulis berpendapat kehendak seseorang menyelesaikan hutang dengan azam dan tekad yang sungguh disamping berusaha dengan gigih yang disulami tawakal kepada yang Maha Esa sudah pasti menatijahkan keputusan yang baik. Bacalah sejarah salaf al-Soleh yang jelas menunjukkan dengan sikap yang bersungguh-sungguh sudah pasti ada jalannya. Justeru sewajarnya tekad kita dapat kita bulatkannya untuk penyelesaian di samping menadah tangan bermunajat kepada-Nya.
Bahkan jika manfaat tersebut (bayaran tambahan atau hadiah atau sebagainya) diberikan selepas hutang dibayar, tindakan ini tidak salah dan pemiutang telah selesai membayar. Malah, penghutang digalakkan berbuat demikian kerana umat Islam membayar hutang mereka dengan cara yang terbaik. Perbuatan ini adalah satu perbuatan yang baik.
Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Jabir RA berkata:
أَتَيْتُ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ لِى عَلَيْهِ دَيْنٌ فَقَضَانِى وَزَادَنِى
Maksudnya: “Suatu ketika aku datang menemui Nabi SAW. Ketika itu Baginda berhutang dengan aku, lalu Baginda membayar hutangnya dan Baginda membayar lebih kepadaku.”
Riwayat al-Bukhari (2264)
Kami telah nyatakan sebelum ini bagaimana Nabi SAW mengarahkan sahabat supaya membayar unta Raba’ie sebagai ganti kepada unta muda. Baginda bersabda ketika itu:
فَإِنَّ مِنْ خِيَارِ النَّاسِ أَحْسَنَهُمْ قَضَاءً
Maksudnya: “Manusia yang terbaik ialah manusia yang terbaik membayar hutangnya.”
Riwayat al-Bukhari (2392)
Antara Doa Melangsaikan Hutang
Terdapat banyak doa yang diajar Baginda SAW untuk melangsaikan hutang, antaranya:
- Suatu hari Baginda SAW memasuki masjid, didapati pada waktu tersebut ada seorang lelaki yang dalam keadaan murung dan gelisah. Baginda SAW bertanya kepadanya: “Apa yang menyebabkan kamu berkeadaan begini?” Jawabnya: “Hutang telah menguasaiku ya Rasulullah!” Baginda SAW bersabda: “Adakah kamu mahu aku tunjukkan dan mengajar doa yang membebaskan dirimu daripada hutang.” Jawabnya: “Ya.” Lantas Baginda mengajarnya doa yang berbunyi:
اَللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُبِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوْذُبِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوْذُبِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوْذُبِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguh aku berlindung dengan-Mu daripada gelisah dan dukacita, aku berlindung dengan-Mu daripada sifat lemah dan malas, aku berlindung dengan-Mu daripada sifat penakut dan bakhil, aku berlindung dengan-Mu daripada dikalahkan hutang dan oleh kekuasaan lelaki.”
Selepas diamalkan doa tersebut serta keyakinan yang bersungguh-sungguh di samping berusaha, maka lelaki tersebut telah selesai melangsaikan hutangnya serta terbebas daripada belenggu hutang yang dihadapinya. Begitulah ajaibnya tips Nabawi supaya mengajar umatnya bergantung kepada Allah, berdoa, bertawakal dan berusaha. Semoga kita selamat daripada belenggu hutang.
Imam al-Qurtubi berkata: “Para ulama’ berkata, maksud daripada tekanan hutang adalah, seseorang itu tiada memiliki apa-apa lagi untuk melunaskan hutangnya ketika orang yang menghutangi menagihnya.”
- Rasulullah SAW juga pernah mengajar satu doa seperti berikut:
اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah cukupkanlah bagiku dengan apa yang halal, milik-Mu dari apa yang haram. Ya Allah kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu dari selain-Mu.”
Riwayat Ahmad (1319) dan al-Tirmizi (3563)
Hadis ini berkenaan dengan permohonan Saidina Ali R.A kepada Baginda SAW untuk melangsaikan hutang lantas Baginda SAW mengajar doa ini.
- Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW berdoa ketika dalam kesukaran dan kesempitan:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْعَظِيمُ الْحَلِيمُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ السَّمَوَاتِ وَرَبُّ الْأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ
Maksudnya: “Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar kecuali Allah yang Maha Agung lagi Maha Pengasih. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar kecuali Allah Tuhan yang memiliki Arash yang Agung. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar kecuali Allah Tuhan yang memiliki segala langit, Tuhan yang memiliki bumi dan Tuhan yang memiliki Arash yang Mulia”
Riwayat al-Bukhari (6346)
Jelas menunjukkan doa ini atau zikir ini sentiasa dibaca oleh Baginda SAW tatkala menghadapi pelbagai ujian dan tribulasi.
- Beramal dengan Penghulu Istighfar. Daripada Syaddad bin Aus RA, katanya Nabi SAW bersabda: Penghulu istighfar ialah kamu menyebut:
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ بِذَنْبِي، فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ.
Maksudnya: “Ya Allah, kamulah Tuhanku. Tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali-Mu. Engkau menciptakanku dan aku hamba-Mu. Dan aku atas perjanjian-Mu dan janji-Mu mengikut sekadar kemampuanku. Aku berlindung dengan-Mu dari kejahatan apa yang aku lakukan. Aku kembali dengan-Mu atas segala nikmat-Mu atasku dan aku kembali dengan dosaku justeru ampunlah aku kerana sesungguhnya tiada mengampunkan segala dosa kecuali-Mu.”
Riwayat al-Bukhari (6306) dan Ahmad (17576)
Dr. Aidh al-Qarani dalam bukunya Ihfazillah berkata: “Di dalam doa ini mengandungi makna tauhid (peng-Esaan Allah), pengakuan daripada seorang hamba yang lemah, tasbih dan istighfar. Di dalamnya juga mengandungi zikir, pengakuan di atas kurnia yang Allah berikan, pengakuan dan penyesalan terhadap dosa-dosa.”
KENYATAAN MUFTI WILAYAH
Pertamanya, setelah meneliti isu ini daripada perspektif kedudukan kewangan negara dan PTPTN, perundangan dan hukum hakam Syarak, kami berpendapat pinjaman yang telah dibuat melalui Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN adalah wajib dibayar. Ini kerana apabila suatu dokumen pinjaman tersebut adalah sah di sisi undang-undang dan Hukum Syarak, maka menjadi kewajiban ke atas para peminjam untuk menghormati dan menunaikan tanggungjawab mereka berdasarkan kaedah istishab (mengekalkan status quo sehingga ada dalil yang menunjukkan perubahan). Sebarang janji politik yang dibuat sebelum pilihanraya untuk menggugur, menjamin dan mengalihkan hutang PTPTN, maka kami berpendapat ia adalah kenyataan yang terkhilaf daripada kedudukan semasa kewangan negara dan PTPTN, dan manifesto Kerajaan Pakatan Harapan.
Keduanya, menghapuskan hutang PTPTN kerana itu hanya akan menambah beban hutang kepada PTPTN dan Kerajaan. Ini memberi kesan negatif kepada kelangsungan pendidikan tinggi negara, khususnya kepada para pelajar baharu. Dalam masa yang sama, para pelajar membayar balik pinjaman mereka dan ini secara langsung akan membantu negara menguruskan beban hutangnya.
Ketiganya, kita perlu mengakui bahawa kerajaan sekarang tidak mengetahui hakikat sebenar status PTPTN dan kedudukan ekonomi negara sebelum dilantik menjadi kerajaan. Sekiranya benar ada janji untuk menjamin hutang PTPTN oleh Kerajaan semasa kempen mereka dalam musim PRU14, maka kami berpendapat mereka wajib menunaikan janji tersebut semampu mungkin. Namun begitu, tidak wujud tawaran sedemikian daripada kenyataan rasmi Pakatan Harapan sebelum pilihanraya.. Manifesto Pakatan Harapan hanya menyebut penangguhan pembayaran PTPTN sehingga pendapatan peminjam mencecah RM4000 dan peluang menggugurkan sebahagian dan keseluruhan hutang jika peminjam mendapat keputusan cemerlang.
Keempatnya, Kami berpendapat tidak berlaku hiwalah dalam kes ini kerana sekalipun ada peminjam yang meminta kerajaan melangsaikan hutang PTPTN bagi pihak mereka kepada pihak PTPTN, pihak kerajaan pula tidak memiliki hutang dengan para peminjam sehingga perlu membayar kepada pihak PTPTN. Pihak PTPTN juga tidak menyatakan persetujuan terhadap hal tersebut tersebut maka jadilah dakwaan hiwalah itu hanyalah sia-sia. Apatah lagi, sekiranya pihak kerajaan tidak mempunyai kemampuan untuk melangsaikannya. Ironinya, sebahagian peminjam yang enggan membayar telah pun bekerja dan memiliki kedudukan ekonomi yang stabil, tetapi tidak melakukan apa-apa untuk melunaskannya.
Kelimanya, apabila peminjam PTPTN melangsaikan pembayaran pinjaman tersebut, sudah barang tentu akan memberi peluang dan ruang kepada peminjam yang baru untuk meneruskan pembelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Sebaliknya, jika peminjam tidak membayar pinjaman maka akan merencat kemampuan pihak PTPTN untuk memberi pinjaman baharu kepada generasi kemudian khususnya daripada kalangan mereka . Justeru, dari segi maslahat sepatutnya pihak pemerintah mengikut kaedah yang masyhur:
تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ
Maksudnya: Pelaksanaan dan tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah dikelilingi dengan maslahat.
.
Cadangan
Kami kemukakan di sini beberapa cadangan berdasarkan kepada pengamatan kami dalam menangani isu ini dengan sebaiknya, antaranya:
- Pihak Kerajaan dan PTPTN dengan para peminjam hendaklah bersemuka untuk membincangkan alternatif terbaik dalam menyelesaikan tanggungjawab pinjaman yang telah diterimanya. Buah fikiran cerdik pandai amat diperlukan untuk menatijahkan kebaikan kepada kedua-dua pihak; PTPTN dan peminjam.
- Daripada perbincangan tersebut, pihak PTPTN sudah tentu dapat mengkategorikan pelajar kepada beberapa kategori. Justeru, setiap kategori sudah tentu penyelesaiannya berbeza dengan kategori yang lain.
- Buat masa sekarang, para peminjam hanya diwajibkan membuat bayaran balik selepas 12 bulan tamat belajar.[20] Namun begitu, kami meraikan manifesto Kerajaan Pakatan Harapan dalam Buku Harapan untuk membenarkan para peminjam untuk membayar balik apabila pendapatan kasar mencapai RM4000. Syor seperti ini bagi kami wajar salah satu daripada pemberian kelonggaran agar pihak berhutang dapat bernafas serta dapat mencari alternatif untuk penyelesaiannya. Ini bertepatan dengan ayat al-Quran bahawa firman Allah Taala:
وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”
(Surah al-Baqarah: 280)
- Mereka yang membayar mengikut tempoh yang ditetapkan wajar diberi insentif berbentuk rebat terutamanya mereka yang melangsaikan hutang sebelum tempoh yang ditetapkan untuk menggalakkan peminjam pembayaran hutang.
- Pihak Kerajaan perlu meneruskan kempen kesedaran kewajiban membayar balik pinjaman dan hendaklah diwar-warkan dari semasa ke semasa melalui media massa.Dalam masa yang sama, pihak-pihak lain juga wajar membantu usaha ini atas semangat patriotism dan tolong-menolong atas kebaikan dan menolak keburukan.
- Kami juga mengesyorkan agar pihak universiti atau kolej menyediakan satu subjek kepada semua pelajar mereka iaitu bagaimana membina kerjaya dan mencari peluang berkerjaya sebaik sahaja tamat pengajian. Sebagai contoh, peluang perniagaan kecil-kecilan, atas talian, penternakan, pertanian, perikanan, peruncitan, komputer, dan juga kemahiran-kemahiran lain yang boleh dilatih oleh pelajar sebagai nilai tambah atas merit kebolehpasaran mereka sebaik sahaja bergraduasi. Usaha bersepadu seperti ini akan menggalak graduan cara berdikari, berfungsi dalam masyarakat, membina kualiti kehidupan dengan selesa dan membayar hutang-hutang pendidikan.
- Begitu juga pihak Kerajaan hendaklah mencari alternatif lain yang lebih lestari berbanding Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN seperti meneroka ijtihad-ijtihad baharu dalam wakaf dan melibatkan. Ini kerana sistem pinjaman PTPTN bersifat hutang yang membebankan para pelajar dan juga Kerajaan dan PTPTN sendiri apabila para peminjam gagal membayar. Jika tiada usaha sebegini, perkara ini akan terus menjadi modal politik pihak-pihak berkepentingan apabila tiba musim pilihanraya. Kita mengharapkan era Malaysia Baharu berpolitik perlu berdasarkan nilai-nilai etika sejagat seperti kejujuran dan menepati janji dan bukan hanya permainan persepsi. Selain itu, Kerajaan dan PTPTN perlu memperkemaskan sistem saringan bagi skim-skim pembiayaan kewangan supaya hanya fokus kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Akhir kalam, ingatlah yang bayaran balik dilakukan oleh para peminjam yang mendapat manfaat daripada PTPTN bagi menyelesaikan pendidikan mereka, akan memberi nadi serta nafas untuk generasi baru yang memerlukan bantuan kewangan . Tanpa pembayaran balik, natijahnya ramailah yang terpaksa menghentikan cita-cita menggapai ilmu bahkan hutang tertunggak tersebut apabila gagal dilangsaikan oleh kerajaan bakal menjadi beban kepada generasi seterusnya. Saya menyeru kepada rakan-rakan taulan yang ada kemampuan untuk bertekad membayar hutang PTPTN demi kesejahteraan anak watan kita pada masa datang.
Kami memohon maaf kepada semua pihak atas pandangan kami ini yang mungkin menjadi polemik dalam isu ini. Semoga pembelajaran generasi seterusnya dapat dijamin bagi melahirkan tokoh cendekiawan pada masa akan datang yang dapat memberi sumbangan kepada Malaysia bahkan dunia amnya. Inilah yang kita dambakan kerana sebuah negara tidak akan maju tanpa cerdik pandai yang membangunkan negara dengan hebat.
Wallahua’lam
Akhukum fillah,
SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
25 September 2018 bersamaan 15 Muharram 1440H
Nota hujung:
[1] https://www.ptptn.gov.my/info-korporat-side
[2] https://www.ptptn.gov.my/permohonan-pinjaman-side
[3] http://www.astroawani.com/berita-politik/hutang-negara-meningkat-jika-ptptn-dihapuskan-174671
[4] https://www.ptptn.gov.my/images/fail/siaran_media/2018/sm_dua_dekad_ptptn_mengorak_langkah.pdf
[5] http://www.astroawani.com/berita-politik/hutang-negara-meningkat-jika-ptptn-dihapuskan-174671
[6] http://www.astroawani.com/berita-politik/hutang-negara-meningkat-jika-ptptn-dihapuskan-174671
[7] http://www.sinarharian.com.my/nasional/ptptn-wan-saiful-dakwa-najib-bohongi-rakyat-1.879185
[8] http://www.sinarharian.com.my/nasional/ptptn-wan-saiful-dakwa-najib-bohongi-rakyat-1.879185
[9] Setiap angka hutang PTPTN dan juga jumlah peminjam akan berubah sentiasa pada setiap tahun kerana ia masih lagi dilaksanakan mengikut keperluan pelajar.
[10] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/09/477212/ph-galakkan-peminjam-tak-bayar-shamsul-anuar
[11] http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2383-bayan-linnas-siri-ke-130-manifesto-dan-janji-pilihan-raya
[12] [2014] 7 CLJ 779. http://www.kehakiman.gov.my/judgment/file/B-01IMNCVC-74-02-2013.pdf
[13] http://www.kosmo.com.my/negara/ros-luluskan-pakatan-harapan-1.674850
[14] Hasyiah I’anah Talibin:
(واعلم) أن أركان الحوالة ستة: محيل، ومحتال، ومحال عليه، ودينان: دين للمحتال على المحيل، ودين للمحيل على المحال عليه، وصيغة.
Mughni Muhtaj:
وأركانها ستة محيل ومحال عليه ودين للمحتال على المحيل ودين للمحيل على المحال عليه وصيغة
Nihayah Muhtaj:
وَلَهَا أَرْكَانٌ مُحِيلٌ وَمُحْتَالٌ وَمُحَالٌ عَلَيْهِ وَدَيْنٌ لِلْمُحِيلِ عَلَى الْمُحَالِ عَلَيْهِ وَلِلْمُحْتَالِ عَلَى الْمُحِيلِ وَإِيجَابٌ وَقَبُولٌ
[15] Lihat http://www.astroawani.com/berita-politik/hutang-negara-meningkat-jika-ptptn-dihapuskan-174671
[16] Lihat http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=badan+berkanun
[17] Lihat https://www.ptptn.gov.my/info-korporat-side
[18] Ini adalah sebagaimana yang dilaporkan oleh Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan pada 13 September 2018. (Lihat http://www.sinarharian.com.my/nasional/ptptn-wan-saiful-dakwa-najib-bohongi-rakyat-1.879185 )
[19] Lihat http://www.sinarharian.com.my/nasional/ptptn-wan-saiful-dakwa-najib-bohongi-rakyat-1.879185
No comments:
Post a Comment