163: PENYELESAIAN PENJAGAAN ANAK ZINA/ PUNGUT/ GELANDANGAN MENURUT FIQH
Mukadimah
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.
Alhamdulillah pada 20 Disember 2018 yang lalu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah menerima kunjungan daripada Yang Berhormat Puan Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Turut bersama dengan rombongan beliau, Yang Berhormat Tuan Steven Sim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS). Kami sangat berbesar hati di atas kedatangan rombongan ini.
Dalam pertemuan ini, kami membincangkan pelbagai isu semasa yang melibatkan masalah sosial dan isu-isu yang berbangkit pada sidang parlimen yang lepas. Beliau telah membentangkan sekaligus menghadiahkan buku data dan statistik tentang isu-isu di bawah kementeriannya.
Kami sangat menginsafi dan sedih apabila mendengar dan melihat sendiri data-data terutama yang berkaitan dengan kanak-kanak. Lebih-lebih lagi, apabila kami ditunjukkan statistik berkaitan kes pembuangan bayi akibat daripada perhubungan seks luar nikah.
Segala apa yang telah dibincangkan dalam pertemuan itu amat baik termasuk cadangan KPWKM yang ingin lebih serius mengadakan pendidikan seks melalui penerangan di media massa, program kaunseling khas di kawasan perumahan rakyat. Namun begitu, isu ini perlu dicermati dan diperhalusi agar ia benar-benar menepati sasaran dan menghasilkan keberkesanan yang baik. Dalam pertemuan tersebut, kami juga telah mengetengahkan beberapa saranan dalam melaksanakan perkara-perkara tersebut.
Oleh itu dalam artikel kali ini, yang kami tajukkan dengan Penyelesaian Penjagaan Anak Zina/Pungut/Gelandangan Menurut Fiqh. Kami cadangkan dan sarankan beberapa perkara untuk perhatian pihak kerajaan, masyarakat dan setiap individu terutamanya masyarakat Islam.
Data dan Statistik
Menurut buku statistik tersebut, daripada tahun 2012-2016 jumlah remaja yang telah melahirkan anak luar nikah seramai 20,236 yang melibatkan remaja di bawah umur 18 tahun.
Manakala, dilaporkan sejak tahun 2010 hingga Ogos 2018, sebanyak 911 kes pembuangan bayi. Daripada 911 kes, 585 kes ditemui tidak bernyawa dan berbaki 326 yang ditemui hidup.
Turut dilaporkan, bahawa kemudahan untuk diletakkan bayi (baby hatch) bagi mereka yang terlanjur ini, direkodkan sangat sedikit. Kebanyakan dari kes buang bayi ini, ditemui di kawasan perumahan, tandas dan tempat pembuangan sampah.
Kami sangat terkejut dan berdukacita dengan data dan statistik ini. Jumlah yang disebutkan sangat membimbangkan.
Definisi
Anak zina disebut di dalam bahasa arab sebagai walad zina. Walad bererti bayi yang terlahir. Perkataan walad itu mengandungi makna untuk budak lelaki dan perempuan. (Lihat Lisan al-‘Arab, 3/467). Manakala dari sudut istilah para ulama’ dari pelbagai bidang tidak mentakrifkan secara khusus atau makna lain, dan menerima takrifan yang di buat oleh ahli bahasa.
Manakala, ulama’ mazhab al-Syafie mentakrifkan zina secara istilah, ialah memasukkan zakar ke dalam faraj yang diharamkan ke atasnya disebabkan perbuatan itu sendiri serta bebas daripada syubhah, dan yang menimbulkan syahwat serta dikenakan hudud. (Lihat Minhaj al-Thalibin, 1/295)
(Faraj yang diharamkan kerana perbuatan itu sendiri) bermaksud hukum haram itu dijatuhkan kerana wanita itu diharamkan untuk bersetubuh dengannya. Berbeza dengan pengharaman kerana bersetubuh ketika ihram, atau haid, hukumnya haram, tetapi tidak dikira zina kerana pengharaman disifatkan sementara.
(Bebas daripada syubhah) bermaksud, mengeluarkan dari takrif zina, persetubuhan yang disebabkan oleh kecuaian atau kesilapan seperti seorang lelaki yang bersetubuh dengan kembar kepada isterinya kerana tersilap, atau persetubuhan bagi mereka yang sudah bernikah dan bersetubuh, kemudian dikatakan akad nikah mereka tidak sah.
(Yang menimbulkan syahwat) bermaksud, ialah yang faraj wanita yang hidup, bukannya mayat dan sebagainya.
Oleh itu, kami namakan anak zina dan anak pungut sebagai anak-anak khas. Hal ini sepertimana yang diajarkan oleh al-Quran agar tidak memanggil sesuatu dengan gelaran yang buruk.
Pengharaman Zina
Anak zina atau anak luar nikah adalah anak yang lahir kerana perhubungan haram. Secara asasnya, Islam secara keras telah melarang penzinaan dengan larangan yang tegas.
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
(Surah al-Isra’: 32)
Ayat di atas secara jelas menunjukkan bahawa zina itu merupakan dosa yang besar. Untuk mendekatinya sudah dilarang, apa lagi melakukan. Seterusnya, kesalahan pelaku zina ini diletakkan di bawah hukuman hudud, iaitu hukuman-hukuman yang telah ditentukan ke atas kesalahan yang berat oleh syarak sendiri.
Penzinaan juga ditolak secara sepakat oleh keseluruhan ummah ini tidak kira daripada agama apa sekalipun, tidak ada yang meredhai sekiranya mendapat tahu ada ahli keluarga yang terlibat dengan penzinaan.
Pelakuan zina ini tidaklah dilakukan melainkan orang yang kurang didikan serta lemah pengamalan agamanya. Golongan ini telah tersasar jauh daripada kehidupan yang beragama dan fitrah kemanusiaan. Hal ini disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA:
لاَ يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ
Maksudnya: Tidak berzina seseorang itu, ketikamana dia melakukan zina, dalam keadaan dia seorang yang beriman.
Riwayat al-Bukhari (6810)
Bukanlah makna dari hadis ini menghina atau mengatakan bahawa mereka ini selamanya tidak beriman, namun hadis ini menjelaskan keadaan orang manusia itu sekiranya ada sebesar zarah keimanan di dalam hatinya, dia tidak akan sanggup melakukan zina.
Selain itu, dalam hal yang berkait dengan zina, kami telah menerangkan melalui pelbagai persoalan, isu dan masalah yang berkaitan dengan zina. Antaranya:
- Apakah Maksud Ayat "Jangan Dekati Zina"?[1]
- Bayan Linnas Siri Ke-106: Isu Penamaan “Bin/Binti Abdullah” Kepada Anak Tidak Sah Taraf Oleh Mahkamah Rayuan[2]
- Al-Kafi #812: Kesan Buruk Zina[3]
- Al-Kafi #806: Adakah Anak Zina Menjadi Mahram Apabila Disusukan Isteri?[4]
- Al-Kafi #293: Hukum Bernikah Dengan Wanita Hamil Akibat Zina[5]
Perbahasan al-Laqit
Antara penyelesaian yang wajar untuk dipertimbangkan adalah dengan membincangkan perbahasan al-laqit di dalam kitab-kitab turath. Kami melihat perbahasan al-laqit ini mempunyai banyak persamaan dan kaitan dengan isu ini.
Untuk memahami perbahasan al-laqit ini perlu untuk kita fahami maknanya dari sudut syarak terlebih dahulu. Ulama mazhab al-Syafie mentakrifkan al-laqit sebagai anak kecil yang dibuang atau ditinggalkan tanpa ada orang yang menjadi penjaganya. (Lihat Qalyubi wa Umairah, 3/123 dan Mughni al-Muhtaj, 2/418)
Di sisi mazhab Abu Hanifah, al-laqit ditakrifkan sebagai anak yang dibuang oleh kedua ibu bapa akibat daripada kemiskinan, atau anak yang dibuang bimbang di tohmah melakukan penzinaan. (Lihat Bada’ie al-Sana’ie, 6/197 dan Fath al-Qadir, 6/110)
Dalil yang menunjukkan pensyariatan untuk memelihara al-laqit:
Firman Allah SWT:
وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا
Maksudnya: Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.
(Surah al-Maidah: 32)
Ayat ini tidaklah diturunkan secara khusus untuk mensyariatkan tentang memelihara al-Laqit. Namun ayat ini menunjukkan bagaimana manusia itu mulia di sisi tuhannya apabila membuat kebaikan. Imam al-Razi menyebut bahawa “menjaga keselamatan hidup” ialah menjaga daripada sebarang kerosakan atau kebinasaan seperti kebakaran, lemas, kebuluran, kedinginan dan panas yang melampau”. (Lihat Tafsir al-Razi, 6/219)
Oleh itu, hukum mengambil, menjaga, mendidik, memelihara, melindungi dan menginfaq harta kepada al-Laqit adalah fardhu kifayah ke atas semua. Kefardhuan ini bermula ke atas orang yang menemuinya atau ditunjukkan kepadanya, atau diserahkan kepadanya untuk diserahkan kepada pihak berkuasa untuk mengumumkan kepada sesiapa yang berkehendak untuk memeliharanya.
Sekiranya tiada yang mengambil dan memeliharanya, berdosa semua yang berada di sebuah kampung atau daerah, atau negara seluruhnya. Dosa itu akan terhapus apabila ada yang mengambil tanggungjawab tersebut meskipun hanya seorang yang mengambil amanah itu. Ini berdasarkan firman Allah yang disebutkan di atas. Hal ini berbeza dengan hukum al-luqotah iaitu barang yang ditinggalkan orang, hukum mengambil dan menyimpannya hanyalah sunat sahaja. Namun, hukum mengambil dan memelihara al-Laqit adalah wajib. (Lihat al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/696)
Kisah Nabi Musa AS dan Firaun
Imbau sirah lampau, bagaimana ketika Firaun yang kejam memerintahkan agar dibunuh semua anak-anak lelaki yang baru lahir, maka Tuhan yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa mentakdirkan sebaliknya. Apabila ibu Nabi Musa AS melahirkan Baginda, maka diperintahkan kepadanya sebagaimana firman Allah SWT:
وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ أُمِّ مُوسَىٰ أَنْ أَرْضِعِيهِ ۖ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِي الْيَمِّ وَلَا تَخَافِي وَلَا تَحْزَنِي ۖ إِنَّا رَادُّوهُ إِلَيْكِ وَجَاعِلُوهُ مِنَ الْمُرْسَلِينَ
Maksudnya: Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke sungai; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.
(Surah al-Qasas: 7)
Qadha dan qadar Allah itu tidak ada yang dapat menyangka dan menghalangnya. Siapa yang menyangka lelaki yang kejam lagi zalim akhirnya terlerai keegoannya. Niatnya untuk membunuh semua bayi yang lahir kerana bimbang ada yang akan merampas kuasanya, akhirnya bertukar menjadi penjaga kepada bayi tersebut. Ini jelas sepertimana yang terpahat di dalam al-Quran, ketikamana Allah merakamkan kata-kata Firaun kepada Nabi Musa, setelah meningkat dewasa:
قَالَ أَلَمْ نُرَبِّكَ فِينَا وَلِيدًا وَلَبِثْتَ فِينَا مِنْ عُمُرِكَ سِنِينَ
Maksudnya: Firaun berkata: "Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau kanak-kanak yang baharu lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu?
(Surah al-Syu’ara’: 18)
Berdasarkan kisah di atas, sewajarnya kita mengambil iktibar, sepertimana yang Allah paparkan melalui kisah Firaun dan Nabi Musa. Manusia yang paling terkenal dalam sejarah kemanusiaan dengan kezaliman seperti Firaun, boleh dilembutkan hatinya untuk memungut anak yang hanyut di Lembah Nil. Sudah tentu kita bangsa yang penuh dengan adab kelembutan serta kasih-sayang tidak akan sesekali tergamak membiarkan anak-anak ini tanpa pembelaan dan penjagaan.
Kelebihan Memelihara Anak Yatim
Sesungguhnya Islam mengangkat nilai kasih sayang sesama makhluk. Nilai kasih-sayang ini diterapkan melalui pendidikan akhlak yang menjadi salah satu rangka utama di dalam Islam. Malah, orang yang berkasih-sayang ini disebutkan secara jelas kedudukan dan balasan kasih sayang terus daripada Allah SWT, sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah ibn Amr ibn al-'As, R.A telah sampai kepadanya, bahawa Nabi SAW berkata:
الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ ارْحَمُوا أَهْلَ الأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ
Maksudnya:“Orang-orang yang berkasih sayang, akan disayangi (Allah) Al-Rahman, sayangilah orang yang berada di bumi, nescaya akan disayangi yang berada di langit”
Riwayat Abu Daud (4941)
Sifat kasih sayang ini ditonjolkan dengan penuh keindahan oleh Baginda SAW ketika hidupnya dalam menyampaikan risalah Islam. Akhlak dan keperibadian baginda SAW itu sempurna dengan merangkumi semua aspek, isu dan permasalahan. Sesiapa sahaja yang melihat Nabi SAW pasti akan merasakan Nabi SAW adalah contoh yang sesuai untuk kehidupannya, sama ada dia seorang hamba, orang kaya, dan sebagainya.
Begitulah juga di dalam masalah memelihara anak yatim, Nabi SAW melafazkan dengan jelas tentang kedudukan orang yang memelihara anak yatim. Ini jelas sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Sahl RA:
"أَنَا وَكَافِلُ الْيَتِيمِ فِي الْجَنَّةِ هَكَذَا ". وَأَشَارَ بِالسَّبَّابَةِ وَالْوُسْطَى، وَفَرَّجَ بَيْنَهُمَا شَيْئًا.
Maksudnya: “Aku dan penjaga anak yatim di syurga (kelak) seperti ini”. Sambil merapatkan jari telunjuk dan jari tengah baginda.
Riwayat al-Bukhari (5304)
Imam Badruddin al-Aini dalam mensyarahkan hadith ini, menyebutkan, penjaga adalah orang yang memelihara dan mengambil tugas wali iaitu melengkapkan segala keperluan anak yatim tersebut. (Lihat Umdah al-Qari, 3/104). Hadith tersebut juga menunjukkan rapatnya kedudukan orang yang memelihara anak yatim di syurga kelak sepertimana yang digambarkan oleh Nabi SAW iaitu seperti rapatnya dua jari tersebut.
Fatwa Kontemporari Berhubung Memelihara Anak Luar Nikah
Dalam membahaskan hal ini kami turut melihat pandangan alim-ulama’ yang turut berijtihad dalam permasalahan ini. Dapatan daripada penyelidikan ke atas fatwa-fatwa kontemporari amat mengejutkan apabila kami melihat para ulama’ turut bersepakat dalam isu memelihara anak zina ini. Ini menunjukkan keprihatinan ini, bukan sahaja suatu kesedaran peringkat nasional, namun dunia turut mengangkat isu ini dan melihat dari kaca mata Islam.
Antaranya, fatwa yang diterbitkan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah[6], melalui fatwa yang dijawab oleh Dr. Ali Jumuah, menyebutkan bahawa, pahala memelihara anak luar nikah sama seperti pahala memelihara anak yatim.
Sementara itu, Syeikh Abdul Aziz bin Baz[7] dalam menjawab pertanyaan berkenaan status anak zina dalam masyarakat, menyebutkan sesungguhnya anak luar nikah itu tidak menanggung dosa dari ibunya yang melakukan penzinaan. Ini berdasarkan firman Allah:
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ
Maksudnya: Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain.
Beliau juga menyebutkan bahawa mereka yang membunuh anak zina itu sesungguhnya telah melakukan dua dosa besar iaitu berzina dan membunuh. Kedua-duanya adalah kemungkaran yang besar di dalam Islam. Menjadi suatu amanah kepada semua orang Islam termasuk kerajaan untuk menjaga anak-anak ini sehingga meningkat usia belia dan telah mencapai dewasa.
KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
Kami mengambil kecaknaan dan keprihatinan terhadap isu ini disebabkan kes ini ‘hidup’ dan sentiasa berlaku dalam masyarakat kita. Justeru kenyataan kami diringkaskan seperti berikut:
Pertama: Isu Nafkah Anak Pungut / Zina
Fuqaha’ telah membahaskan isu ini dengan panjang lebar. Kami khaskan isu ketikamana anak pungut tidak didapati sebarang wang atau harta.
Antara lain menyebut: Jika kanak-kanak itu tidak berharta, nafkahya hendaklah diambil daripada Baitul Mal[8] melalui peruntukan dana kepentingan umum. Hal ini kerana harta Baitul Mal disimpan untuk kepentingan tersebut. Inilah hukum yang disepakati oleh para ulama’ Islam.
Hal ini berdasarkan sebuah riwayat yang menyatakan bahawa Saidina ‘Umar al-Khattab telah mendapatkan pandangan para sahabat untuk menentukan nafkah anak-anak pungut. Mereka bersepakat menyatakan bahawa nafkahnya hendaklah diambil daripada harta Baitul Mal.
Telah dikhabarkan kepada kami oleh Imam al-Syafi’e, kemudian dikhabarkan pula kepada kami oleh Imam Malik, daripada Ibn Syihab, daripada Sunainin Abi Jamilah:
رَجُلٌ مِنْ بَنِى سُلَيْمٍ أَنَّهُ وَجَدَ مَنْبُوذًا زَمَانَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ فَجَاءَ بِهِ إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ فَقَالَ : مَا حَمَلَكَ عَلَى أَخْذِ هَذِه النَّسَمَةِ. فَقَالَ : وَجَدْتُهَا ضَائِعَةً فَأَخَذْتُهَا فَقَالَ لَهُ عَرِيفِى : يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ إِنَّهُ رَجُلٌ صَالِحٌ قَالَ : أَكَذَلِكَ؟ قَالَ : نَعَمْ. قَالَ عُمَرُ : اذْهَبْ فَهُوَ حُرٌّ وَلَكَ وَلاَؤُهُ وَعَلَيْنَا نَفَقَتُهُ. لَفْظُ حَدِيثِ الشَّافِعِىِّ وَحَدِيثُ عَبْدِ الرَّزَّاقِ مُخْتَصَرٌ أَنَّهُ الْتَقَطَ مَنْبُوذًا فَجَاءَ بِهِ إِلَى عُمَرَ فَقَالَ لَهُ عُمَرُ : هُوَ حُرٌّ وَوَلاَؤُهُ لَكَ وَنَفَقَتُهُ عَلَيْنَا مِنْ بَيْتِ الْمَالِ.
Maksudnya: Seorang lelaki dari Bani Sulaim telah menjumpai bayi terbuang pada zaman Umar Ibn al-Khattab R.A, lantas beliau datang menemui Umar Ibn al-Khattab dengan membawa bayi tersebut. Kemudian Umar bertanya, “Apa yang menyebabkan kamu mengambil bayi ini.” Lantas jawabnya: “Aku menjumpainya dalam keadaan terbiar. Lantas aku mengambilnya.” Lalu seorang yang mengenali nasab berkata kepada Umar: “Wahai Amir al-Mukminin, sesungguhnya orang ini lelaki yang soleh.” Saidina Umar bertanya: “Benarkah demikian itu?” Lantas jawabnya: “Ya.” Saidina Umar berkata: “Pergilah, maka dia merdeka. Dan bagi kamu berhak menjaganya. Dan ke atas kami memberi nafkahnya.” Dalam lafaz hadis Imam al-Syafi’e dan hadis Abd al-Razzaq yang diringkaskan bahawa lelaki tersebut telah mengambil bayi terbuang, kemudian membawanya kepada Saidina Umar, lantas Saidina Umar berkata kepadanya: “Dia adalah merdeka dan penjagaannya bagi kamu. Sedangkan nafkahnya atas kami daripada Baitul Mal.”
Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ (1417), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (12494) dan Musnad Imam al-Syafi’e (1118)
Dalam kitab al-Tabaqat al-Kubra oleh Ibn Sa’d, disebut:
وَكَانَ إِذَا أُتِيَ بِاللَّقِيطِ فَرَضَ لَهُ مِئَةَ دِرْهَمٍ وَفَرَضَ لَهُ رِزْقًا يَأْخُذُهُ وَلِيُّهُ كُلَّ شَهْرٍ مَا يُصْلِحُهُ ثُمَّ يَنْقُلُهُ مِنْ سَنَةٍ إِلَى سَنَةٍ وَكَانَ يُوصِي بِهِمْ خَيْرًا وَيَجْعَلُ رِضَاعَهُمْ وَنَفَقَتَهَمْ مِنْ بَيْتِ الْمَالِ.
Maksudnya: Adalah Umar apabila dibawa kepadanya anak pungut, dia akan memberi seratus dirham dan memperuntukkan baginya jaminan makanan yang diambil oleh penjaganya setiap bulan mengikut yang sesuai. Kemudian dia akan mengubahnya dari setahun ke setahun pemberian tersebut mengikut keperluan semasa usianya itu. Adalah Umar mewasiatkan kepada penjaga anak-anak pungut supaya melakukan kebaikan dan menjadikan hak penjagaan serta nafkah mereka dari Baitul Mal. (Lihat Tabaqat al-Kubra oleh Ibn Sa’d, 3/277)
Kanak-kanak yang tidak mempunyai harta termasuk dalam golongan mereka yang telah dijelaskan oleh Nabi SAW. Daripada Abi Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:
مَنْ تَرَكَ مَالاً فَلِوَرَثَتِهِ، وَمَنْ تَرَكَ كَلاًّ فَإِلَيَّ. وفي الرواية: وَمَنْ تَرَكَ دُنْيًا أَوْ ضِيَاعًا فَلْيَأْتَنِي، فَأَنَا مَوْلاَهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan harta, ia adalah untuk warisnya, dan sesiapa yang meninggalkan bebanan, maka terserahlah kepadaku.” Dalam riwayat yang lain: “Sesiapa yang meninggalkan hutang atau anak tanpa harta, dia hendaklah menemuiku. Akulah walinya.”
Riwayat al-Bukhari (2268 dan 2269) dan Muslim (1619)
Kedua: Harta Baitul Mal Tidak Perlu Diganti
Hakim tidak perlu meminta harta Baitul Mal yang telah dibelanjakan sebagai nafkah kepada anak tersebut diganti, setelah dia dewasa dan kaya. Hal ini demikian kerana nafkah bukannya hutang, tetapi merupakan hak kanak-kanak tersebut, sebagaimana nafkah suami kepada isteri dan nafkah bapa kepada anak-anak.
Ketiga: Nafkah Anak Pungut / Zina Apabila Baitul Mal Tidak Berharta
Jika harta Baitul Mal tidak mencukupi untuk menampung keperluan anak-anak pungut disebabkan mereka ramai atau terdapat keperluan lain yang lebih penting dan sebagainya, hakim wajib meminjam kadar yang mencukupi untuk keperluan anak-anak pungut tersebut daripada orang kaya. Hutang ini dibuat atas nama negara dan hendaklah diganti apabila Baitul Mal mempunyai harta.
Keempat: Jika Baitul Mal Tiada Harta
Ketika itu, anak pungut hendaklah ditanggung oleh orang Islam. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa
(Surah al-Maidah: 2)
Ini kerana jika meninggalkan infaq terhadap anak pungut atau anak zina boleh membawa kematian, justeru memeliharanya adalah wajib. Samalah seperti menyelamatkannya daripada lemas. Ini termasuk fardhu kifayah. (Lihat al-Mughni, 5/683)
Perbahasan isu ini amat panjang dan disebut oleh Syeikh Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa Baiti al-Muslim fi al-Syari’ah al-Islamiyyah (9/426). Sila rujuk kepada kitab tersebut.
Kelima: Memberi Perhatian kepada Anak Pungut / Zina
Berdasarkan hukum-hukum yang telah dinyatakan, dapatlah disimpulkan bahawa Allah meletakkan tanggungjawab menjaga dan mendidik anak-anak pungut pada kedudukan yang penting dan utama.
Semua orang Islam adalah berdosa jika mereka gagal memelihara seorang anak pungut. Pemerintah juga berdosa jika tidak memberi perhatian kepadanya dan tidak cuba memelihara bagi menggantikan kasih sayang ibu bapanya.
Sehubungan itu, Islam mewajibkan pemerintah berhutang daripada orang Islam yang kaya jika negara itu miskin dan tidak ada cara lain untuk menanggung perbelanjaannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/175-177)
Cadangan dan Saranan Untuk Kerajaan
Pertama: Menggubal silibus di peringkat sekolah
Kami cadangkan kepada pihak kerajaan terutamanya pihak Kementerian Pendidikan untuk memasukkan bab pengharaman zina, mudarat dan kesan buruknya bermula dari sekolah rendah lagi. Dicadangkan untuk dimasukkan ke dalam silibus hal-hal yang berkaitan dengan aurat, bersentuhan di antara lelaki dan perempuan serta batas pergaulan. Kemudian ditekankan hukum-hakam berkaitan al-Nazarah iaitu batasan dalam memandang yang bukan mahram. Ini berteraskan prinsip sepertimana diharamkan untuk melihat, begitu juga diharamkan untuk menyentuh. (Lihat Hasyiah al-Baijuri, 1/178) Sekaligus dapat menutup jalan ke arah penzinaan.
Kedua: Program khas untuk remaja
Kami cadangkan untuk kerajaan, selain daripada program kaunseling yang akan dijalankan, hendaklah mengadakan program pendidikan yang lebih khusus kepada golongan remaja terutamanya di kawasan-kawasan yang terlibat dengan kemiskinan. Ini berdasarkan daripada pengamatan kami, golongan yang terlibat dengan kes-kes jenayah ini, kebanyakannya telah berhenti daripada persekolahan lebih awal.
Ketiga: Memberi insentif kemahiran
Menyediakan dan menambah peluang-peluang program kemahiran, dan menyelesaikan masalah pengangguran. Kami percaya bahawa menyelesaikan masalah pengangguran sekaligus akan menyelesaikan masalah sosial. Contohnya kelas jahitan, masakan, pertanian, penternakan, perikanan, kraftangan, pertukangan seperti yang dianjurkan oleh Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Kemahiran Baitul Mal (IKB) dan lain-lain.
Keempat: Menyediakan penempatan untuk anak-anak khas ini
Tanpa pengawalan dan penjagaan yang baik ditambah dengan pengabaian pendidikan, akan menyebabkan anak-anak seperti anak zina dan anak pungut yang terbiar akan menjadi bebanan kepada masyarakat pada masa akan datang. Ia menjadi punca kepada berlakunya gejala tidak sihat yang boleh mengundang pelbagai bentuk jenayah. Justeru, dengan mendidik dan mengasuh mereka di tempat yang khusus akan menyekat isu ini daripada merebak. Seboleh-bolehnya setiap negeri mempunyai lebih dari satu tempat untuk anak-anak khas ini. Baitul Mal dan badan-badan berkaitan serta NGO boleh menyumbang ke arah ini.
Kelima: Memberi bantuan kepada NGO yang terlibat secara langsung
Kerajaan perlu mengenalpasti NGO yang telah menyumbang dalam membela hak anak-anak zina dan anak-anak pungut, mengikut kadar kemampuan masing-masing. Justeru dengan bantuan kewangan serta tunjuk ajar dan nasihat oleh pihak kerajaan akan meningkatkan lagi sistem pengurusan yang ada pada rumah tumpangan milik NGO. Dengan adanya SOP, maka berlakulah satu standard dalam pemeliharaan serta penjagaan terhadap anak-anak zina dengan baik.
Keenam: Menyediakan kemudahan baby hatch berskala besar
Ini amat penting untuk menyelamatkan bayi agar ia tidak dibuang di merata tempat sehingga menyebabkan kematian bayi sepertimana yang dicatatkan oleh buku statistik.
Sesungguhnya amat penting seseorang bayi dijaga dan dipelihara dengan sebaiknya sejak dilahirkan lagi. Lantaran itu, penyediaan kemudahan baby hatch perlu diletakkan di kawasan-kawasan perumahan yang mencatatkan kes pembuangan bayi yang tinggi seperti di kawasan Program Perumahan Rakyat dan flat kos rendah. Begitu juga di tandas awam dan tempat pembuangan sampah yang turut mencatakan statistik yang tinggi sebagai tempat pembuangan bayi. Ini selain diletakkan di hospital, klinik, pasaraya atau tempat tumpuan umum agar anak-anak yang tidak dikehendaki oleh ibunya diletakkan di situ.
Kewujudan baby hatch perlu diwar-warkan secara meluas melalui pelbagai saluran media-media utama agar peranan baby hatch itu dapat direalisasikan untuk menyelamatkan nyawa bayi yang dibuang di merata tempat.
Ketujuh: Memberi status kerakyatan kepada anak-anak kecil ini
Kami syorkan agar satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji isu pemberian kerakyatan kepada anak-anak khas ini. Hal ini tidaklah bersalahan dari sudut tanggungjawab kemanusiaan untuk diberi kerakyatan kepada seseorang yang berada di sesebuah negara sebagai warganegara. Ini adalah antara ihsan yang terbesar oleh pihak kerajaan kepada anak-anak ini.
Mereka perlu dipelihara dan dibiayai, diajar dan diberi pendidikan supaya menjadi ‘orang’ atau manusiawi yang berguna kepada negara, bangsa dan agama. Tanpa hal ini, ia akan menyukarkan anak-anak yang kecil ini, – yang kami namakan sebagai ‘anak-anak khas’ – untuk mendapatkan keistimewaan warganegara seperti rawatan, pendidikan dan pembelajaran serta beberapa hak-hak yang lain. Alangkah besarnya pengorbanan pihak kerajaan terhadap mereka yang perlu dicaknakan agar tidak membawa kepada merebaknya jenayah di kala anak-anak ini membesar kerana peluang ke arah itu cukup besar dan terbuka luas.
Cadangan dan Saranan untuk Masyarakat
Di samping itu, kami kemukakan di sini beberapa cadangan dan saranan kepada NGO dan masyarakat.
Pertama: Mencegah sebelum merebak
Kami mengajak masyarakat khususnya umat Islam, untuk bersama-sama berganding bahu dan memandang pencegahan kepada zina adalah tanggungjawab bersama. Begitu juga, dalam isu ini, kami tegaskan sekali lagi, apabila sudah terlahir anak zina itu, marilah kita mengambil tanggungjawab memelihara dan membela bagi mengangkat kewajipan fardhu kifayah.
Kedua: Menyuburkan majlis ilmu
Dalam mencegah kemungkaran ini, kami menyeru semua umat Islam, untuk menghadiri majlis-majlis ilmu bersama-sama dengan ahli keluarga. Kami percaya, ubat kepada masalah ini adalah dengan mengangkat kejahilan.
Ketiga: Pemantauan dan kecaknaan aktiviti anak-anak
Kami berharap, ibu bapa bukan sahaja memantau aktiviti anak-anak mereka, tetapi melakukan aktiviti bersama sebagai alternatif lain bagi mengelakkan anak-anak terlalu bebas bersama rakan tanpa pemantauan.
Benarlah firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka
(Surah al-Tahrim: 6)
Keempat: Menghormati dan mengasihi anak-anak khas ini
Sekalipun latar belakang mereka majhul (tidak diketahui) bapa dan kedudukan nasab, tetapi mereka tidaklah menanggung dosa yang dilakukan oleh bapa biologinya.
Menjadi kewajiban kepada masyarakat untuk tidak memandang enteng dan menghina apalagi menyakiti mereka. Ini kerana mereka juga sejuzuk daripada masyarakat yang memerlukan kasih sayang dan pemeliharaan emosi dengan sebaik mungkin.
Dengan berlakunya kecaknaan seperti inilah akan menatijahkan suasana harmoni, bahkan anak-anak khas ini akan dapat bersama-sama dengan anggota masyarakat yang lain, memajukan diri dalam bidang pendidikan sehingga akhirnya menatijahkan kejayaan, seterusnya dapat memberi sumbangan besar kepada masyarakat dan negara mengikut kepakaran yang mereka miliki. Ingatlah pesanan yang menyebut:
كَمَا تَدِينُ تُدَانُ
Maksudnya: “Sebagaimana kamu lakukan, begitulah kamu dibalas.”
Dengan penuh keihsanan yang dipamerkan oleh masyarakat, ia akan memberi kesan yang positif dalam membina masyarakat dan negara yang baik.
PENUTUP
Berdasarkan nas, hujah dan pendapat ulama’ serta perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa menjadi suatu kewajipan untuk memelihara anak luar nikah / pungut. Kami syorkan ia dilakukan secara rasmi oleh pihak kerajaan dan NGO yang diiktiraf oleh pihak berkuasa.
Kisah Saidina Umar seperti yang disebutkan di atas menjadi penanda aras betapa kecaknaan dan keprihatinan sebuah kerajaan terhadap isu anak zina, pungut atau yang kami namakan anak-anak khas ini dipelihara dengan peruntukan khas dari Baitul Mal atau Negara.
Dalam al-Fiqh al-Manhaji (5/506) telah menyebut tanggungjawab pemerintah, antaranya: Berusaha mewujudkan kestabilan dan ketenteraman di seluruh jajahan negara Islam dan jalan-jalan yang menghubung antara jajahan-jajahan tersebut. Pemerintah juga perlu memenuhi dan memelihara segala kepentingan kemanusiaan, sama ada dari aspek ekonomi, sosial dan ilmu.
Walaupun telah wujud larangan secara tegas di dalam nas, disertakan pula hukuman yang berat ke atas penzina terutama yang sudah berkahwin, namun masih ada yang tidak dapat mengawal diri dan terjerumus ke lembah maksiat. Akibat daripada perbuatan ini, maka lahirlah anak-anak yang tidak berdosa dek kerana keterlanjuran ibubapa biologi mereka.
Maka, menjadi fardhu kifayah yang perlu disempurnakan oleh negara dan sebahagian masyarakat bagi mengelakkan semua dari masyarakat mendapat dosa. Orang yang mengambil tanggungjawab ini akan mendapat pahala sepertimana orang yang memelihara anak yatim.
Kami menyokong usaha murni ini serta mengajak semua pihak untuk membantu segala usaha yang dilakukan dalam mencegah penzinaan. Kami juga memahami dengan situasi yang berlaku, walaupun usaha melarang itu sudah ada dan akan kita perbaiki dari masa ke semasa, namun masih banyak kes penzinaan yang telah menyebabkan lahirnya anak luar nikah. Maka, kami ingin mengingatkan kepada masyarakat seluruhnya, untuk sedar bahawa memelihara anak ini adalah suatu amanah dan tanggungjawab. Jangan sesekali kita menghukum anak-anak tersebut.
Semoga Bayan Linnas pada kali ini memberi satu pencerahan berkaitan golongan ini khususnya dalam menjelaskan kedudukan mereka daripada perspektif Syarak serta hukum-hukum yang berkaitan dengannya.
Akhukum fillah,
SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
16 Januari 2019 bersamaan 10 Jamadil Awwal 1440H
Nota hujung:
[1] http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1696-apakah-maksud-ayat-jangan-dekati-zina?highlight=WyJ6aW5hIl0=
[2] http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/736-bayan-linnas-siri-ke-106-isu-penamaan-bin-binti-abdullah-kepada-anak-tidak-sah-taraf-oleh-mahkamah-rayuan?highlight=WyJ6aW5hIl0=
[3] http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2606-al-kafi-812-kesan-buruk-zina?highlight=WyJ6aW5hIl0=
[4] http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2580-al-kafi-806-adakah-anak-zina-menjadi-mahram-apabila-disusukan-isteri?highlight=WyJ6aW5hIl0=
[5] http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1191-al-kafi-293-hukum-bernikah-dengan-wanita-hamil-akibat-zina?highlight=WyJ6aW5hIl0=
[6] http://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=11225&LangID=1&MuftiType=
[7] https://binbaz.org.sa/fatwas/2415/%D8%A7%D8%AD%D9%83%D8%A7%D9%85-%D9%88%D9%84%D8%AF-%D8%A7%D9%84%D8%B2%D9%86%D8%A7
[8] Baitulmal dalam konteks hari ini ialah Kementerian Kewangan kerana fungsinya yang sangat dekat dan sama.
(Lihat Institusi Baitulmal dalam Pembangunan Negara oleh Hailani Muji Tahir)
No comments:
Post a Comment