146 : APA SELEPAS HAJI?

 146 : APA SELEPAS HAJI?

 

Mukadimah

Alhamdulillah,  pada tahun ini iaitu pada 1439 H bersamaan 2018 masihi, acara manasik haji baru selesai. Sekarang sedang rancak jemaah haji pulang ke tanah watan masing-masing termasuk dari Malaysia. Semoga Allah mengurniakan kepada Jemaah haji semua dengan haji yang mabrur.

Sepertimana nas hadis, haji mabrur adalah haji yang  mabrur adalah haji yang terzahir padanya tanda-tanda berikut :

  1. Suka menjamu makan
  2. Suka memberi salam
  3. Bual bicaranya penuh kebaikan

Bahkan, Nabi saw menyifatkan bahawa haji yang mabrur adalah sebaik-baik jihad. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.anha. Beliau pernah bertanya kepada Rasulullah. Kata beliau :

يَا رَسُولَ اللَّهِ نَرَى الْجِهَادَ أَفْضَلَ الْعَمَلِ أَفَلَا نُجَاهِدُ قَالَ لَا لَكِنَّ أَفْضَلَ الْجِهَادِ حَجٌّ مَبْرُورٌ

Maksudnya :” Wahai Rasulullah, kami melihat  jihad adalah sebaik-baik amalan. Adakah perlu kami berjihad. Baginda saw bersabda “ Tidak, akan tetapi sebaik-baik jihad ialah haji mabrur.”

Riwayat al-Bukhari (1423)

Di dalam riwayat yang lain menyebut :

يَا رَسُولَ اللَّهِ نَرَى الْجِهَادَ أَفْضَلَ الْعَمَلِ أَفَلاَ نُجَاهِدُ مَعَكَ؟ قَالَ :« لاَ وَلَكُنَّ أَفْضَلُ الْجِهَادِ حَجٌّ مَبْرُورٌ

Maksudnya :” Wahai Rasulullah kami melihat jihad adalah sebaik-baik amalan. Adakah perlu kami berjihad bersama engkau?. Nabi saw bersabda : Tidak perlu, akan tetapi sebaik-baik jihad (bagi kalian) adalah haji mabrur.”

Riwayat al-Baihaqi (18261) di dalam sunannya

Justeru, dalam Bayan Linnas pada kali ini, kami akan membicarakan berkenaan apa selepas haji?.

 

Apa itu haji mabrur?

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Nabi saw pernah bersabda :

الْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ

Maksudnya :” Haji mabrur tidak ada ganjaran baginya melainkan syurga.”

Riwayat Ahmad (7348) di dalam Musnad.

Dari segi bahasa kata mabrur diambil daripada kata Barra, yang mengandungi pelbagai makna seperti syurga, benar, diterima, pemberian, keluasan dalam kebajikan. Begitu juga antara maksud mabrur atau al-Bir ialah ihsan dengan makna lain jemaah haji yang memperoleh haji mabrur sudah pasti banyak melakukan ihsan dan sifat yang baik.

Di dalam kitab Lisan al-Arab, mabrur membawa maksud diganjari. Juga membawa maksud tidak bercampur dengan sesuatu daripada dosa.

Rujuk Lisan al-Arab (4/51)

Dari segi istilah pula, terdapat beberapa pandangan para ulama berkenaan dengannya. Ia telah dinukilkan oleh Imam al-Syaukani (w. 1255 H) di dalam kitabnya Nail al-Authar. Antara pandangan tersebut :

  • Ibnu Khalawaih salah seorang pakar bahasa Arab berasal dari Yaman (w. 370H) berpendapat bahawa haji mabrur adalah haji yang maqbul (diterima oleh Allah SWT).

 

  • Ulama’ lain berpendapat bahawa ia adalah haji yang (pelaksanaannya) tidak dinodai oleh dosa. Pendapat ini dipilih dan dikuatkan oleh Imam al-Nawawi (w.676 H).Beliau adalah seorang ulama yang cukup berautoriti di dalam mazhab al-Syafie.

 

  • Menurut Imam al-Qurtubi (w. 671 H) pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh lain itu saling berdekatan maknanya. Kesimpulannya, haji yang mabrur adalah haji yang sempurna hukum-hukumnya sehingga terlaksana secara sempurna sebagaimana yang dituntut.

 

  • al-Hasan al-Basri menyatakan bahawa haji mabrur ialah apabila seseorang itu pulang ke tanah watannya dengan perasaan zuhud pada dunia dan inginkan akhirat.

Di dalam sebuah hadis yang direkodkan oleh Imam Ahmad daripada Jabir Bin Abdullah. Nabi saw pernah ditanya tentang apakah kesan daripada haji mabrur. Nabi saw menyatakan :

إِطْعَامُ الطَّعَامِ وَإِفْشَاءُ السَّلاَمِ

Maksudnya :” (Haji mabrur itu ialah) memberi makan dan menyebarkan salam.”

Riwayat Ahmad (14706) di dalam Musnad, al-Baihaqi (3825) di dalam Sunan

Namun hadis ini dilemahkan oleh Sheikh Syu’aib al-Arnaut. Ini kerana, di dalam sanadnya terdapat perawi yang munkar iaitu Muhammad Bin Thabit. Sekiranya hadis ini sahih, maka berkemnungkinan itulah yang dimaksudkan dengan haji mabrur.

Prof. Abdul Halim Mahmud, mantan Syeikh al-Azhar menulis bahawa haji merupakan simbol-simbol kerohanian yang sangat indah yang mengantarkan seorang Muslim apabila dilaksana dalam bentuk dan caranya yang benar untuk masuk dalam lingkungan Ilahi. 

Daripada Abu Hurairah. Beliau berkata bahawa Nabi saw bersabda :

مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya :” Sesiapa yang menunaikan haji dalam keadaan dia tidak bercakap perkataan yang buruk dan keji serta tidak melakukan perkara yang fasiq maka dia akan kembali sepertimana dia dilahirkan oleh ibunya (iaitu dalam keadaan suci bersih dari dosa).”

Riwayat al-Bukhari ( 1819)

Di dalam riwayat yang lain menyatakan :

كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya :” ….seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.”

Riwayat al-Bukhari (1820)

al-Qastalani menyatakan bahawa perumpaan tersebut adalah sebagai persamaan iaitu bebas dari sebarang dosa sama ada kecil atau besar.

Rujuk Irsyad al-Sari Syarh Sahih al-Bukhari (3/290)

Hadis ini menunjukkan bahawa orang yang mendapat haji mabrur maka segala dosanya diampunkan oleh Allah. Inilah tafsiran kebanyakan para ulama. Ianya juga menunjukkan betapa istimewanya amalan haji.

Justeru, janganlah kita mengotori diri dengan kembali kepada dosa-dosa sebaik sahaja selesai menunaikan haji. Sebaliknya hendaklah kita memelihara semangat dan roh ibadah pada prestasi yang tertinggi yang pernah kita lakukan semasa acara manasik haji sebagai mukhaiyyam tarbawi.

 

Amalan selepas menunaikan haji.

Setelah menekuni nas dan amalan para salaf, antara amalan yang perlu dilakukan dan diteruskan oleh para jemaah haji selepas pulang dari Tanah Suci ialah :

  1. Memperbanyakkan zikrullah

Ini sangat bertepatan dengan firman Allah :

 

فَإِذَا قَضَيْتُم مَّنَـٰسِكَكُمْ فَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّـهَ كَذِكْرِكُمْ ءَابَآءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا ۗ

Maksudnya :” Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi.”

(Surah al-Baqarah : 200)

Mafhum daripada ayat tersebut, kita perlu mengisi masa-masa kita dengan zikrullah walaupun setelah selesai menunaikan ibadah haji. Kata Sheikh al-Maraghi :

“Jika telah selesai daripada menunaikan haji, maka perbanyakkan berzikir kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya…”

Rujuk Tafsir al-Maraghi ( 2/105)

Banyak sekali kelebihan zikir yang tidak mampu untuk keseluruhannya. Antaranya :

  • Menjauhkan diri dari syaitan dan menghancurkan kekuatannya serta menarik keredaan Allah.
  • Menguatkan hati dan wajah bercahaya
  • Melahirkan rasa cinta kepada Allah.

 

  1. Memperbanyakkan doa

Ini amat sesuai dikekalkan kerana semasa menunaikan haji, para Jemaah haji sentiasa berdoa dari semasa ke semasa. Ini berdasarkan firman Allah :

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya :” Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

(Surah Ghafir : 60)

Ibnu Kathir berkata :

“Ini adalah di antara sifat kemuliaan Allah swt, di mana Allah memerintahkan hambanya untuk berdoa dan Dia sendiri menyatakan bahawa Dia bertanggunjawab untuk mengabulkannya. Sepertimana kata Sufian al-Thauri :

يَا مَنْ أَحَبُّ عِبَادِهِ إِلَيْهِ مَنْ سَأَلَهُ فَأَكْثَرَ سُؤَالَهُ وَيَا مَنْ أَبْغَضُ عِبَاده إِلَيْهِ مَنْ لَمْ يَسْأَلْهُ وَلَيْسَ أَحَد كَذَلِكَ غَيْرك يَا رَبِّ

Maksudnya :” Hamba yang paling disukai oleh Allah adalah sesiapa yang sentiasa meminta dan memperbanyakkan doanya. Dan yang paling dibenci adalah yang tidak meminta kepada-Nya. Tidak ada yang bersikap sebegitu selain dari Engkau wahai Tuhan.”

Rujuk Tafsir al-Quran al-‘Azim (14/366)

  1. Sentiasa ke masjid dan berjemaah

Amalan ini telah dilakukan sebaik mungkin ketika berada di tanah suci melaksanakan ibadah haji. Ini melahirkan suasana harmoni dan masjid-masjid pasti dipenuhi dan sentiasa dimakmurkan.

Terdapat banyak  sekali kelebihan solat berjemaah. Antaranya :

  • Daripada Ibnu Umar bahawa Nabi saw bersabda :

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya :” Solat berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian (dan ganjarannya) sebanyak 27 kali darjat.”

Riwayat Muslim (1509)

  • Daripada Uthman Bin Affan. Beliau berkata : Aku mendengar Rasulullah saw bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ لِلصَّلاَةِ فَأَسْبَغَ الْوُضُوءَ ثُمَّ مَشَى إِلَى الصَّلاَةِ الْمَكْتُوبَةِ فَصَلاَّهَا مَعَ النَّاسِ أَوْ مَعَ الْجَمَاعَةِ أَوْ فِى الْمَسْجِدِ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ذُنُوبَهُ

Maksudnya :”Sesiapa yang berwuduk untuk solat dan menyempurnakan wuduknya. Kemudian dia berjalan untuk menunaikan solat fardu serta solat Bersama orang lain secara berjemaah atau solat di masjid. Maka Allah akan ampunkan dosanya.”

Riwayat Muslim ( 571)

            Maka jangan ditinggalkan amalan ini setelah pulang dari Tanah Suci.

 

  1. Menjadi agen perubah

Saban tahun, seramai 4 hingga 6 juta Jemaah haji datang ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji dan berazam untuk memperbaiki serta mengislah diri. Di samping berusaha membina jambatan hubungan dengan Allah (حبل من الله) dan juga jambatan hubungan dengan manusia (حبل من الناس). Ini sudah pasti memberi impak dan kesan yang sangat besar setibanya mereka di tanah air.

Fokus kita adalah kepada Jemaah haji Malaysia yang setiap tahu tidak kurang dari 28 ribu orang yang pergi menunaikan haji. Bayangkan jika mereka boleh menjadi agen perubah kepada masyarakat sekeliling. Apa yang boleh dilakukan oleh Jemaah haji yang pulang ke tempat asal mereka?.

Mereka semua dapat melaksanakan dakwah kepada keluarga masing-masing dan kepada jiran tetangga. Peringatkan mereka tentang suruhan Allah dan jauhkan mereka dari larangan Allah. Jika ini dilakukan, sudah pasti nanti ramai yang akan taat dan patuh kepada seruan Ilahi.

           

  • Ke masjid

Jika Jemaah haji yang pulang komited untuk sentiasa memakmurkan masjid , alangkah indahnya. Bukan itu sahaja, bahkan lebih indah jika mereka mampu untuk mengajak orang lain untuk turut sama memakmurkan rumah Allah. Jika seorang haji boleh mengajak 5 orang untuk memenuhi masjid, sudah pasti setiap qaryah atau taman perumahan akan sentiasa dihiasi dengan orang yang sentiasa melazimi rumah Allah sepertimana suasana di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

 

  • Infaq dan waqaf.

Kalau setiap orang dari kalangan Jemaah haji yang pulang ke tanah air menginfaqkan 100 ringgit sebulan atau mewaqafkan sedikit dari hartanya ke komuniti muslim, maka sudah pasti nilainya akan mencapai jutaan ringit sebulan. Ini boleh menjadi satu sumber bagi menjana aktiviti keagamaan dan ekonomi umat islam.

 

  • Membina keluarga bahagia.

Konsep baiti jannati (rumahku syurgaku) jika dipasak pada setiap Jemaah haji yang pulang dari tanah suci sudah pasti kita akan melahirkan hampir 30 ribu keluarga muslim yang bahagian dan patuh kepada perintah Allah.

 

Penutup

Sehubungan dengan itu, jemaah haji yang pulang, jika mereka betul-betul mengambil manfaat dan semangat rehlah haji, sudah pasti matlamat لِّيَشْهَدُوا۟ مَنَـٰفِعَ لَهُمْ yang disebutkan oleh Allah akan tersebar ke negeri masing-masing. Ibadah haji yang dilakukan seharusnya menjadi mengubah keperibadian sehingga boleh mecapai redha Allah serta mampu menjadi qudwah dan suri teladan yang baik kepada anak bangsanya.Perubahan yang mereka bawa moga-moga menjadi kesan kepada masyarakat seterusnya mampu menjadi pemangkin kemajuan dan kegemilangan umat Islam.

Kami juga berkesempatan mendengar khutbah jumaat daripada khatib Masjidil Haram pada 31 Ogos 2018. Menariknya beliau memberi tausiah kepada Jemaah haji sebelum pulang ke negara masing-masing. Antaranya sifat orang yang rugi dan sifat orang yang Berjaya. Hal ini berdasarkan firman Allah :

فَإِذَا قَضَيْتُم مَّنَـٰسِكَكُمْ فَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّـهَ كَذِكْرِكُمْ ءَابَآءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا ۗ فَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا وَمَا لَهُۥ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ مِنْ خَلَـٰقٍ ﴿٢٠٠﴾ وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

Maksudnya :” Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia". (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".

(Surah al-Baqarah : 200-201)

Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili menyatakan :

“.. Ada juga orang yang memohon dua kebaikan iaitu di dunia dan di akhirat. Dia seolah berkata : Wahai Tuhan kurniakan kepada kami kehidupan yang bagi lagi bahagia di dunia dan juga kehidupan yang diredai dan tenang di akhirat. Permintaan kebahagiaan di akhirat tertakluk dengan amal yang baik dan bermanfaat. Dunia menuntut kita untuk berusaha mencari rezeki, bermuamalah dengan baik dan berakhlak dengan akhlak yang elok. Dan akhirat pula tidak diperoleh melainkan dengan iman dan amal soleh….Kebaikan di dunia ialah kesihatan, keamanan,kecukupan, anak dan isteri yang soleh serta kemenangan ke atas musuh. Kebaikan akhirat pula ialah kejayaan dengan memperoleh pahala dan bebas dari hukuman.”

Rujuk al-Tafsir al-Munir (2/212)

Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang berjaya di dunia dan akhirat. Amin.

يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...