35: PENDERMAAN ORGAN
Mukadimah
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para Sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Alhamdulillah, kita baru selesai menyambut kedatangan Idil Fitri 1436 Hijrah. Semoga Allah menerima ibadat yang telah kita lakukan dengan bersungguh pada Ramadhan yang lalu, semata-mata mengharapkan natijah taqwa untuk kita perolehinya.
Baru-baru ini saya telah dikunjungi oleh wakil Kementerian Kesihatan untuk membicarakan isu pendermaan organ. Isu ini begitu serius.
Sehingga 31 Januari 2015, jumlah rakyat Malaysia yang sedang menunggu untuk mendapatkan organ adalah 19,353 orang dan kebanyakannya adalah pesakit buah pinggang iaitu seramai 19,329 orang dan angka ini dijangka semakin meningkatakibat komplikasi penyakit kencing manis dan darah tinggi yang tidak terkawal. Manakala, bilangan pesakit yang mengalami kegagalan organ yang lain yang sedang menunggu organ adalah 6 orang pesakit jantung, 7 orang pesakit paru-paru, 2 orang pesakit jantung dan paru-paru dan 9 orang pesakit hati termasuklah 4 darinya pesakit hati kanak-kanak.
Pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dapat menyambung kehidupan dengan adanya rawatan secara dialisis namun bagi pesakit kegagalan organ yang lain, sekiranya tiada organ, mereka tidak mempunyai harapan untuk terus hidup. Walaupun begitu, rawatan secara transplantasi buah pinggang terbukti lebih berkesan dalam jangka masa panjang dari dialisis dari segi kos dan kualiti hidup.
Namun begitu, bilangan pengikrar penderma organ baru meningkat setiap tahun. Pada tahun 2006, hanya terdapat seramai 10,081 pengikrar baru yang mendaftar pada tahun tersebut. Jumlah ini telah meningkat iaitu seramai 20,377 pada tahun 2010, 31,055 pada tahun 2011 dan 37,093 pada tahun 2014. Setakat 31 Januari 2015, jumlah rakyat Malaysia yang telah berikrar untuk menderma organ selepas kematian adalah 289,303orang mewakili hanya 0.9% dari jumlah keseluruhan rakyat Malaysia. Pecahan mengikut kaum adalah: Cina 47.6%, India 23.9%, Melayu 24.6% dan 3.9% bagi lain-lain kaum.
Justeru, Bayan Linnas pada kali ini akan membincangkan secara khusus berkenaan dengan pendermaan organ dan hal berkaitan dengannya. Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua. Amin.
Definisi Pendermaan dan Pemindahan Organ
Sebelum dilebarkan lagi perbincangan ini, saya ingin mengemukakan beberapa definisi perkataan yang berkaitan dengan tajuk bab ini.
- Dalam Kamus Dewan Edisi ke-4 (hal. 342), derma adalah bantuan yang berupa wang kepada kumpulan dan lain-lain, iaitu pemberian yang ikhlas dan sedekah kepada orang miskin. Mendermakan ialah memberikan sesuatu dengan ikhlas. Manakala pendermaaan iaitu perihal perbuatan mendermakan. Sementara, penderma bermaksud orang yang menderma.
- Dalam Kamus Dewan Edisi ke-4 (hal. 1210), pemindahan ialah perbuatan memindahkan (mengalihkan).
- Dalam Kamus Dewan Edisi ke-4 (hal. 1103), organ adalah alat dalam tubuh (manusia, binatang, tumbuhan) yang mempunyai tugas yang penting. Dalam Mu’jam al-Wasit, organ ialah bahagian jasad manusia seperti tenaga, kaki dan juga telinga.
- World Health Organization mengistilahkan transplantasi atau transplan sebagai pemindahan sel, tisu atau organ manusia daripada penderma kepada penerima dengan tujuan mengembalikan fungsi-fungsi penting badan.
Secara mudahnya, transplan adalah proses memindahkan dan menggantikan organ atau tisu yang tidak berfungsi dengan organ atau tisu yang sihat dan masih berfungsi daripada orang lain.
Penyelidikan transplan di peringkat antarabangsa bermula sejak kurun ke-18. Ketika ini, ia merupakan rawatan perubatan rutin untuk kegagalan organ penting seperti jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang.
Peningkatan pemahaman terhadap kumpulan darah dan kesepadanan tisu antara penderma dan penerima, penggunaan rawatan anti-penolakan serta teknik pembedahan dan penjagaan selepas pembedahan yang lebih baik, kesemuanya menyumbang kepada outcome lebih baik dan pengurangan risiko penolakan, di mana terdapat kemungkinan sistem pertahanan penerima menolak organ yang telah ditransplankan.
Perkembangan teknologi perubatan dan peningkatan kesedaran telah menyebabkan masyarakat tidak lagi menganggapnya sebagai taboo, dan semakin ramai berpeluang menjalani hidup yang lebih panjang.
Jenis Organ Yang Boleh Didermakan
Dengan perkembangan moden yang berlaku sekarang, organ-organ yang rosak daripada seseorang boleh digantikan dengan organ orang lain atau penderma. Pada umumnya organ-organ yang boleh didermakan adalah buah pinggang, jantung, hati (heper), paru-paru dan pankreas. Tisu-tisu yang boleh didermakan adalah mata, tulang, kulit dan injap jantung. Ini bermakna, seseorang penderma akan dapat mengubah kehidupan serta menyelamatkan beberapa orang pesakit. Lihat (http://www.infosihat.gov.my/infosihat/projekkhas/dermaOrgan.php).
Hukum Pemindahan Organ
Al-Syatibi dalam kitabnya al-Muwafaqat berkata: “Sesungguhnya kebaikan dan keburukan berbeza. Tidak dapat dikatakan bahawa padanya kebaikan sahaja, kerana kebaikan itu tetap ada bercampur dengan suruhan atau kerumitan, samada sedikit atau banyak.
Apa yang kita fahami adalah sesuatu itu mempunyai kebaikan atau keburukan. Penentunya adalah bergantung kepada apa yang terlebih padanya. Jika yang melebihi adalah jenis kebaikan, maka keadaan biasa menghukumkan sebagai kebaikan. Tetapi jika keburukan yang lebih berat, maka mengikut keadaan, ia adalah keburukan. Oleh itu, hendaklah melihat yang mana lebih berat daripada dua keadaan itu.
Jika jenis kebaikan lebih berat, maka perkara itu adalah diambil dan jika jenis keburukan yang lebih berat, maka haruslah ditinggalkan.”
Dalam isu ini, terdapat dua pandangan:
Pertama: Diharuskan
Pendapat yang mengharuskan adalah berpandukan kaedah ini:
Ulama telah mengeluarkan fatwa bahawa pemindahan organ manusia yang sudah mati kepada yang hidup yang memerlukannya adalah diharuskan dengan empat syarat:
- Hendaklah orang yang diambil sebahagian anggotanya telah mengizinkannya sebelum matinya dan dia adalah seorang yang berakal waras, sudah baligh dan tidak ada paksaan atau telah diizinkan oleh walinya sebelum kematiannya.
- Hendaklah terbukti dan meyakinkan bahawa pemindahan itu akan berhasil pada umumnya.
- Hendaklah dipastikan bahawa pemindahan itu semata-mata untuk berubat dan bukan untuk maksud dan tujuan lain.
- Tidak ada unsur kontrak jual beli dalam pemindahan organ tersebut.
Antara badan berautoriti dan pakar ilmuan perseorangan yang telah mengeluarkan fatwa tentang pemindahan organ adaah:
- Majma’ al-Fiqh al-Islami yang berada di bawah naungan Ri’ayah Rabitah ‘Alam al-Islami, Makkah al-Mukarramah menyatakan bahawa keputusan yang telah dicapai oleh Majma’ Fiqh ini dalam persidangannya yang ke-8, iaitu dari 28 Rabiul Akhir 1405H hingga 7 Jamadil Awal 1405H adalah seperti berikut:
- Mengambil organ daripada badan manusia yang hidup dan meletakkannya ke badan manusia lain yang sangat berhajat kepadanya demi menyelamatkan nyawa atau untuk membolehkan mana-mana organnya berfungsi semula adalah satu perbuatan yang harus dan tidak berlawanan dengan suruhan menghormati manusia. Sebaliknya, ia adalah sebagai suatu bantu an yang sangat besar dan kebaikan bagi yang menerimanya. Amalan ini diakui oleh syarak dan terpuji khususnya jika ia memenuhi empat syarat:
- Hendaklah persetujuan memberi itu atas kerelaannya dan bukan dengan paksaan.
- Hendaklah pemindahan organ itu merupakan usaha yang terakhir serta dalam keadaan darurat bagi mengubati pesakit.
- Hendaklah dipastikan bahawa operasi mengambil organ dan memindahkannya kepada pesakit itu pada umumnya Berjaya menghasilkan faedah yang diharapkan.
- Janganlah orang yang diambil organnya itu menempuh bahaya yang akan mengganggu keadaan hidupnya yang biasa. Ini adalah kerana kaedah syarak menegaskan bahawa bahaya itu tidak boleh dihapuskan dengan melakukan sesuatu yang mendatangkan bahaya lain yang sama berat dengannya.
2. Dibolehkan dari segi syarak dalam beberapa keadaan seperti berikut:
- Mengambil organ daripada orang yang telah mati demi menyelamatkan manusia lain yang sangat memerlukannya, dengan syarat hendaklah orang yang diambil daripadanya itu adalah seorang mukallaf dan telah mengizinkannya semasa hidup.
- Mengambil oragan daripada binatang yang halal dimakan dan telah disembelih atau selain daripada itu, dalam keadaan darurat untuk digantikan bagi manusia yang memerlukannya.
- Mengambil sebahagian daripada badan manusia untuk menampalkan atau dipindahkan ke bahagian lain daripada badannya sendiri mengikut keadaan yang diperlukan.
- Memasukkan sesuatu benda ke dalam badan manusia sebagai cara berubat daripada penyakit contohnya, besi ke tulang atau bateri ke bahagian jantung dan seumpamanya. Majma’ al-Fiqh al-Islami berpendapat bahawa kesemua hokum di atas mengikut syarat-syarat yang disebutkan tadi adalah harus.
Antara dalil-dalil yang mengharuskan:
مِنْ أَجْلِ ذَلِكَ كَتَبْنَا عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَنْ قَتَلَ نَفْساً بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعاً وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعاً
Maksudnya: Oleh sebab itu, kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israel, bahawa sesiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana mebuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Sesiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.
(Surah al-Maidah: 32)
Justeru, maka masuk padanya siapa yang menderma untuk saudaranya dengan anggotanya sendiri yang bertujuan untuk menyelamatkan saudaranya atau mengembalikan penglihatan yang sudah hilang daripadanya. Lihat Fatwa Lajnah Ifta’ Majlis Tertinggi Islam Algeria, bertarikh 6/3/1392H.
Antara dalil-dalil daripada al-Qawaid al-Fiqhiyyah ialah:
اَلضَّرَرُ يُزَالُ
Maksudnya: “Kemudaratan hendaklah dihilangkan.”
اَلضَّرُوْرَاتُ تُبِيْحُ الْمَحْظُوْرَاتِ
Maksudnya: “Semua darurat mengharuskan yang haram.”
إِذَا ضَاقَ الأَمْرُ اِتَّسَع
Maksudnya: “Apabila sesuatu perkara sempit hendaklah diperluaskan.”
Kaedah-kaedah ini diistinbatkan daripada nas-nas syarak yang menunjukkan keringanan (rukhsah) kepada yang mudarat untuk menghilangkan kemudaratannya sekalipun hal tersebut adalah haram. Secara terperincinya, ia digambarkan seperti berikut:
Kaedah 1: Menunjukkan bahawa menghilangkan kemudaratan daripada yang diuji merupakan maksud daripada maqasid syariah
Kaedah 2: Menunjukkan bahawa yang terkena mudarat, diberi keringanan baginya untuk melakukan perkara yang ditegah oleh syarak bagi menghilangkannya.
Kaedah 3: Menunjukkan bahawa apabila seseorang telah sampai ke tahap kesulitan (masyaqqah) yang tidak mampu ditanggungnya lagi, maka perlulah diperluaskan atasnya pada hukum.
Kesemua kaedah ini menunjukkan bahawa orang yang sakit yang kehilangan sebahagian anggota termasuk dalam darurat masyaqqah dan mereka yang mungkin membawa kepada binasanya tubuh badan serta kematian. Justeru, pemindahan organ dibolehkan.
Kedua: Tidak diharuskan
وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: Belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan.
(Surah al-Baqarah: 195)
Allah SWT melarang kita mencampakkan diri ke lembah kebinasaan. Seseorang yang tabarru’ dengan sebahagian anggota jasadnya boleh membawa kepada kebinasaan dan ini bukanlah dituntut. Perkataan “tahlukah” dalam ayat ini merupakan lafaz umum yang mengandungi semua perkara yang membawa kea rah itu.
Justeru, memotong anggota diri sendiri menuju ke arah hilangnya manfaat dan membawa kebinasaan. Menyokong ayat ini dengan kaedah pengajaran diambil dengan umum lafaz bukan sebab yang khusus mengikut takrifan ulama usul. Lihat Naqlu wa Zira’ah al-A’dha’ al-Adamiah min Manzur Islami oleh Dr. al-Sukkari (hal.107).
Ummul Mukminin Aisyah RA katanya Rasulullah SAW bersabda:
وَكَسْرُ عَظمِ المَيِّتِ كَكَسْرِ عَظْمِ الْحَيِّ فِي الإِثْمِ
Maksudnya: “Memecahkan tulang si mati sama seperti memecahkan tulang orang hidup pada hukum berdosanya.”
Riwayat Ibn Majah (1/516)
Hadis ini menunjukkan bahawa orang yang hidup diharamkan memecah dan merosakkan tulangnya. Begitu juga memotong sebahagian anggotanya. Hal yang sama juga berlaku kepada si mati.
Antara dalil dan kaedah fiqah ialah:
اَلضَّرَرُ لاَ يُزَالُ بِالضَّرَرِ
Maksudnya: “Kemudaratan tidak dihilangkan dengan kemudaratan.”
اَلضَّرَرُ لاَ يُزَالُ بِمِثْلِهِ
Maksudnya: “Kemudaratan tidak dilhilangkan dengan seumpamanya.”
Dua kaedah di atas mengandungi tegahan daripada menghilangkan kemudaratan dengan seumpamanya. Inilah yang terjadi dalam isu pemindahan organ, yang mana kemudaratan daripada seseorang dihilangkan, tetapi akan berlaku kemudaratan kepada penderma organ. Lihat Syarah al-Qawaid al-Fiqhiyah oleh al-Zarqa’ (hal.141) dan Qawaid al-Fiqh oleh al-Mujaddidi (hal. 88). Begitu juga Qadaya Fiqhiyah Muasirah oleh Syeikh Muhammad Burhanudin al-Sambuhli (hal. 61).
Mewasiatkan Sebahagian Badan Selepas Mati
Apabila harus seseorang Muslim menderma sebahagian daripada anggotanya untuk manfaat orang lain tanpa memudaratkannya, adakah harus dia berwasiat untuk menderma seumpama ini selepas matinya?
Apa yang jelas kepada saya, apabila seseorang diharuskan menderma anggota semasa hidupnya disampaing andaian perkara itu memudaratkan (walaupun andaian ini lemah), maka tidak ada halangan untuk dia berwasiat selepas mati kerana perkara itu seratus peratus untuk kebaikan orang lain tanpa mendatangkan sebarang mudarat terhadapnya.
Anggota-anggota manusia selepas mati akan berubah menjadi busuk dan hancur dimakan tanah. Seandainya dia berwasiat mendermakannya kepada orang lain yang masih hidup, itu adalah satu ibadah kepada Allah SWT. Dia diganjari pahala atas niat dan amalannya. Tidak ada satu pun dalil daripada syarak yang mengharamkannya. Asal segala sesuatu adalah harus kecuali apa-apa yang diharamkan oleh syarak dengan dalilnya yang sahih dan jelas. Dalam masalah ini, tidak ada dalil yang mengharamkannya.
Sesungguhnya Umar RA telah berkata sahabat-sahabatnya dalam beberapa kes: “Sesuatu yang memberi manfaat kepada saudaramu tanpa memudaratkanmu, kenapa kamu menghalangnya?” Ungkapan seumpama ini juga, boleh kita katakana kepada sesiapa yang menghalang seseorang daripada mewasiatkan anggotanya.
Kemungkinan ada orang akan berkata: Hukum harus berwasiat itu bercanggah dengan kehormatan mayat itu sendiri yang sangat dijaga oleh syarak sebagaimana yang disebut dalam hadis bermaksud: “Mematahkan tulang orang yang sudah mati sama seperti mematahkan tulang orang yang masih hidup.”
Saya katakan: Mengambil sebahagian anggota orang yang telah mati tidak bercanggah dengan kehormatan mayat yang ditetapkan oleh syarak. Kehormatan tubuh badan tetap dijaga, tidak berlaku kekasaran terhadapnya. Pembedahan terhadap mayat samalah seperti pembedahan yang dijalankan terhadap orang yang masih hidup dengan penuh teliti dan harus tanpa mencemar kehormatan mayat itu sendiri. Sementara hadis di atas pula, hanya melarang daripada mematahkan tulang. Di sini tulang sedikitpun tidak disentuh.
Maksud sebenar yang dikehendaki oleh hadis ialah melarang daripada mengelar mayat, mencacatkannya atau mempermain-mainkannya sepertimana yang dilakukan oleh masyarakat Jahiliah dalam peperangan dan masih dilakukan sebahagian manusia kini. Inilah erkara yang dilarang oleh Islam.
Golongan yang tidak bersetuju dengan pendapat ini tidak mengatakan bahawa golongan Salaf tidak pernah melakukan perkara sedemikian, sedangkan mengikut mereka adalah kebaikan. Perkara ini adalah betul sekiranya mereka (golongan Salaf) berhajat kepadanya, mampu melakukannya tetapi mereka tidak melakukannya.
Banyak perkara yang kita lakukan sekarang, tidak dibuat oleh golongan Salaf kerana perkara tersebut tidak terdapat di zaman mereka. Fatwa sebenarnya berubah-ubah mengikut zaman, tempat dan persekitaran sebagaimana yang dijelaskan oleh ulama.
Perkara yang boleh diletakkan sebagai syarat di sini ialah jangan sekali-kali menderma jasad keseluruhannya, sebahagian besar daripadanya atau kurang daripada itu menafikan hukum yang telah ditentukan oleh syarak kepada mayat seperti wajib memandi, mengkafan dan menyembahyang serta mengebumikannya di perkuburan Islam.
Menderma adalah sebahagian daripada anggota badan, sedikit pun tidak menafikan semua hak dan hukum yang ditetapkan oleh syarak kepada mayat dengan yakin.
Menderma Daripada Sebahagian Anggota Si Mati
Apabila hukum menderma daripada sebahagian anggota dengan cara wasiat adalah harus, adakah harus juga bagi waris dan walinya untuk menderma sebahagian anggota si mati bagi pihaknya?
Mungkin ada orang mengatakan bahawa badan seseorang yang mati adalah milik tuan punya badan, bukannya milik wali dan warisnya. Jika ia adalah milik wali dan warisnya, maka haruslah bagi mereka sama ada untuk melakukan apa-apa sahaja ataupun menderma sebahagian anggotanya. Tetapi keadaan tidak sedemikian. Perlu diingatkan di sini, bahawa seseorang yang telah meninggal, tidak lagi mempunyai kelayakan untuk memiliki sesuatu.
Sebagaimana harta miliknya berpindah kepada waris, maka begitu juga boleh kita katakana terhadap badannya bahawa wali dan waris mempunyai hak ke atas dirinya. Kemungkinan tegahan syarak daripada mematahkan tulang si mati atau mencabuli kehormatannya adalah untuk menjaga hak orang-orang yang masih hidup lebih daripada menjaga hak si mati itu sendiri. Sesungguhnya syarak telah memberikan hak qisas atau memberi maaf kepada para wali dalam masalah membunuh dengan sengaja.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّـهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا
Maksudnya: Sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum syarak).
(Surah al-Isra’: 33)
Mereka juga (para wali) mempunyai hak untuk memberikan kemaafan jika mereka mahu, atau mereka juga boleh melakukan perdamaian dengan menerima bayaran diat atau menerima bayaran yang lebih rendah atau lebih tinggi atau langsung memberi maaf secara menyeluruh atau sebahagian kerana Allah SWT tanpa apa-apa bayaran.
Firman Allah SWT:
فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ
Maksudnya: Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan daripada saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa).
(Surah al-Baqarah: 178)
Daripada apa yang dijelaskan, tidak mustahil mereka mempunyai hak untuk melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain dan tidak mendatangkan mudarat kepada badan si mati. Bahkan mungkin si mati akan mendapat pahala disebabkan perkara tersebut sekadar manfaat yang diberikan kepada orang yang memerlukan pertolongan seperti pesakit-pesakit dan orang-orang yang ditimpa musibah sekalipun si mati tidak berniat.
Sebagaimana dia juga diberikan pahala pada masa hidupnya di sebabkan tanamannya dimakan oleh manusia, burung dan binatang lainnya sekalipun tidak berniat, atau disebabkan dia ditimpa kesusahan, kepenatan, dukacita atau kesakitan sehingga duri yang menusuknya.
Sebagaimana si mati juga boleh mendapat manfaat dengan sebab doa anaknya secara khusus dan orang-orang Muslimin secara umum, atau dia juga boleh mendapat manfaat hasil daripada sedekah yang dilakukan oleh orang lain bagi pihaknya. Kami telah nyatakan sebelum ini bahawa bersedekah (menderma) dengan sebahagian anggota badan adalah lebih besar pahalanya daripada bersedekah dengan harta.
Oleh sebab itu, saya berpendapat bahawa tidak ada halangan bagi para waris untuk menderma sebahagian anggota si mati yang diperlukan oleh pesakit untuk tujuan rawatan, seperti menderma buah pinggang, jantung dan sebagainya dengan diniatkan pahalanya untuk si mati. Ia adalah sedekah yang berkekalan pahalanya selagi penerima anggota tersebut mendapat manfaat daripadanya. Para waris tidak boleh menderma anggota si mati jika dia berwasiat semasa hidupnya supaya tidak melakukan demikian kerana itunadalah haknya. Wasiat pada perkara yang bukan maksiat wajib dilaksanakan.
Penutup
Setelah membincangkann beberapa isu berkaitan pendermaan organ dan permasalahannya, maka di sini penulis mengemukakan khulasah atau kesimpulan dan cuba menekuni pendapat yang dikemukakan oleh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti melalui kitabnya, Ahkam al-Jarahah al-Tibbiyyah, antara lain menyebut:
- Memindahkan anggota dan organ manusia sama ada diambil daripada manusia atau haiwan kepada manusia. Jika daripada manusia, maka ia dalam dua keadaan sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia. Jika masih hidup, maka ia daripada dua bentuk, sama ada daripada dirinya sendiri, maka hukumnya adalah harus. Adapun daripada orang lain, ketika itu terdapat dua pandangan:
- Anggota yang tunggal yang membawa kepada matinya seseorang jika dipindahkan, maka hukumnya haram.
- Anggota yang lain hukumnya jika sekiranya daripada orang Islam kepada orang Islam atau daripada orang Non-Muslim kepada orang Islam, hukumnya harus. Tetapi janganlah organ yang dipindahkan itu testis kerana ia akan melibatkan nasab keturunan.
- Jika memindahkan organ daripada haiwan, maka ia tidak terlepas daripada dua keadaan:
- Ia adalah suci, maka hukumnya adalah harus.
- Ia adalah najis, maka hukum pemindahan adalah haram, kecuali kerana darurat.
Kami mengesyorkan supaya dibuat garis panduan dengan lebih jelas mengenai hukum pendermaan organ mengikut syarat yang dikemukakan oleh Majma’ Fiqh al-Islami dan badan-badan fatwa yang berautoriti. Begitu juga dengan kemajuan perubatan masa kini, sewajarnya dikaji alternatif seperti penemuan jantung tiruan atau pengambilan daripada organ binatang jauh lebih baik daripada mengambil hak seseorang. Hal ini kerana keluar daripada khilaf adalah sunat dan digalakkan.
Marilah sama-sama kita menginsafi diri dengan pelbagai anugerah dan nikmat Ilahi yang tidak terhingga kepada kita. Antaranya nikmat anggota badan, kesihatan dan lain-lain. Mensyukuri nikmat dengan menghargainya dan berkorban kerana Allah SWT untuk kemaslahatan umat sejagat. Semoga kita sentiasa mendapat mardhatillah dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Amin.
Akhukum fillah
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
26 Syawal 1436H bersamaan 11 Ogos 2015
No comments:
Post a Comment