230 : CAPAL RASULULLAH ﷺ, LAKARAN DAN TABARRUK.

 BAYAN LINNAS SIRI KE 230 : CAPAL RASULULLAH ﷺ, LAKARAN DAN TABARRUK.

BL 230

Sejak akhir-akhir ini timbul isu dalam kalangan masyarakat berkaitan capal    Rasulullah . Kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga dihujani dengan soalan-soalan daripada khalayak masyarakat yang ingin mendapatkan penjelasan tuntas berkaitan perkara ini. Maka atas tujuan tersebut, kami kemukakan siri Bayan Linnas kali ini dengan tajuk Bayan Linnas: Capal Rasulullah Lakaran dan Tabarruk. Moga-moga ia mampu untuk meleraikan pelbagai persoalan berkaitan hal ini.

Memuliakan dan mentakzimkan Rasulullah  dan apa-apa yang dikaitkan dengan Baginda  adalah dituntut dalam Islam pada setiap masa dan keadaan.

Firman Allah Taala dalam surah al-Fath ayat 8-9:

إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيرًا لِّتُؤْمِنُوا بِاللَّـهِ وَرَسُولِهِ وَتُعَزِّرُوهُ وَتُوَقِّرُوهُ وَتُسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad ) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang diterima keterangannya), dan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). (Kami mengutusmu wahai Muhammad ) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan RasulNya, dan supaya kamu kuatkan ugamaNya serta memuliakanNya, dan supaya kamu beribadat kepadaNya pada waktu pagi dan petang.

Para Ulama telah mengambil berat dan perhatian khusus berkaitan capal Nabi ﷺ kerana keterikatannya dengan Baginda ﷺ dengan memuatkan di dalam pelbagai tulisan karangan mereka. Antara topik perbincangannya adalah berkaitan dengan sifat-sifat, ciri-ciri, warna, bilangan, bentuk, lakaran, ukuran, jenis dan puji-pujian sama ada dalam bentuk prosa atau syair. Ada dikalangan mereka meletakkan tajuk khusus bab capal di dalam karya mereka seperti di dalam Kitab al-Syamail al-Muhammadiah oleh al-Imam Al-Tirmizi Rahimahullahu Taala (w. 279H), kitab Wasaail al-Wusul ila Syamail al-Rasul, karya Al Imam Yusuf bin Ismail al-Nabhani Rahimahullahu (w.1350H) dan pelbagai kitab lagi.  Ada juga yang mengarang kitab dan syair puji-pujian para ulama khusus berkaitan capal Nabi antaranya kitab Fath al-Muta’al fi Madh al-Ni’al  karya Al-Imam Syeikh Syihabudin Abu Abbas Al-Maqarri Al-Tilimsani (w. 1041H). Begitu juga dengan kitab Nail al-Syifa Bi Na’li al-Mustofa ﷺ karya salah ulama besar daripada Deoband, India iaitu Maulana  Muhammad Ashraf Ali Al-Thanwi (w.1362H) dan pelbagai kitab lagi seumpama dengannya. Semua ini menggambarkan kepada kita bahawa keperihatinan dan kecaknaan para ulama terhadap Baginda ﷺ dan apa sahaja yang berkait dengan Baginda ﷺ. Ini semua adalah kerana perasaan yang lahir dari hati hasil kecintaan dan mahabbah terhadap Rasulullah ﷺ.

Takrif Capal (النَّعْل)

Capal dalam Bahasa arab disebut sebagai al-Na’lu (النعل) dan kata jamaknya ( النعال ) ialah kasut atau capal digunakan sebagai pelindung kaki. Ia sebagaimana yang disebut oleh Ibn Manzur di dalam Mu’jamnya:

النَّعْل والنَّعْلةُ: مَا وَقَيْت بِهِ القدَم مِنَ الأَرض

Maksudnyaal-Na’lu dan al-Na’lah : iaitu apa melindunginya akan kaki daripada tanah.

(Rujuk Lisan al-Arab, 11:667)

Imam Badr al-Din al-‘Aini menukilkan pandangan Ibn al-Athir menyebut bahawa:

النَّعْل هِيَ الَّتِي تسمى الْآن: تاسومة

Maksudnyaal-Na’lu sekarang diberi nama sebagai Tasumah (kasut digunakan untuk berjalan).

 (Rujuk Umdah al-Qari Syarah Sahih al-Bukhari, 22:24)

Imam Ibn Hajar r.a menyatakan pandangan Ibnu al-‘Arabi r.a di dalam syarahnya dengan menyatakan:

النَّعْل لِبَاس الْأَنْبِيَاء عَلَيْهِم السَّلَام، وَإِنَّمَا اتخذ النَّاس غَيرهَا لما فِي أَرضهم من الطين، وَقد تطلق النَّعْل على كل مَا بَقِي الْقدَم

Maksudnya: al-Na’lu merupakan pakaian para Nabi AS, dan sesungguhnya manusia lainya mengambilnya dan menggunakannya di tempat mereka sebagai pelindung daripada tanah, dan sesungguhnya jelas bahawa al-Na’lu diletakkannya ke atas setiap kaki.

(Rujuk Fath al-Bari li Ibn Hajar, 10 308)

Selain itu, Allah SWT menyebut perkataan al-Ni’al di dalam al-Quran. Firman-Nya:

إِنِّي أَنَا رَبُّكَ فَاخْلَعْ نَعْلَيْكَ ۖ إِنَّكَ بِالْوَادِ الْمُقَدَّسِ طُوًى

MaksudnyaSesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi Tuwa yang suci.

(Surah Taha, 12)

Imam al-Qurtubi r.a dalam mensyarahkan ayat di atas menyebut:

والنعل ما جعلته وقاية لقدميك من الأرض

MaksudnyaDan al-Na’lu apa yang dijadikannya pelindung pada kedua kaki kamu daripada tanah.

(Rujuk Tafsir al-Qurtubi, 11:173)

Sejarah Capal Nabawi 

Dari sudut sejarah pula, kemuliaan terhadap capal Rasulullah ﷺ ini sebenarnya telah bermula pasca era kewafatan Baginda ﷺ lagi. Menurut al-Maqarri r.a, terdapat sebuah riwayat yang disokong oleh beberapa orang Imam seperti Ibn Asakir, al-Bulqini, al-Sakhawi dan lain-lain menunjukkan bahawa capal ini berasal daripada Saidatina ‘Aisyah r.a[1]. Kemudian, dalam riwayat yang lain dicatatkan bahawa ia telah berpindah ke tangan Saidatina Ummu Kalthum r.a. dan Saidatina Maimunah binti al-Harith r.a. Selain itu, dalam sebuah riwayat yang lain pula menunjukkan bahawa salah seorang sahabat Rasulullah ﷺ, iaitu Saidina Anas bin Malik r.a bertindak sebagai penjaga kepada capal Baginda ﷺ. Dinyatakan bahawa pada setiap malam, beliau r.a. akan memandang capal tersebut dan kemudiannya menangis kerana merindui Baginda Demikian juga Abdullah bin Mas’ud r.a yang terkenal dengan ‘sahib al’na’layn’. ﷺ[2]. Dalam maksud yang lain, objek capal tersebut dijadikan sebagai salah satu faktor pendorong untuk menambahkan lagi kecintaan kepada Rasulullah ﷺ.

Selepas berlalunya era sahabat, pemilikan terhadap capal Nabawi ﷺ ini telah berlangsung secara bersilang-ganti. Menurut Taimur Basha, capal ini telah berada di sekitar Damsyik dan diwarisi oleh Bani Abi al-Hadid. Ia kemudiannya dimiliki oleh pemerintah wilayah itu, al-Malik Musa bin al-‘Adil al-Ayyubi. Beliau kemudiannya menempatkan replika capal berkenaan di Dar al-Hadith al-Ashrafiyyah untuk dijadikan sebagai khazanah yang perlu dipelihara. Sejajar dengan itu, amalan memuliakan atau mengambil keberkatan (tabarruk) kepada Rasulullah ﷺ secara zahirnya telah bermula pada waktu itu. Hal ini dapat dijelaskan menerusi perbuatan dan percakapan oleh al-Malik Musa itu sendiri yang mencium dan memandangnya sambil menangis. Beliau turut menyatakan kepada umum keperluan untuk bertabarruk dengan capal tersebut. Berdasarkan beberapa peristiwa tersebut, ia menunjukkan bahawa sebenarnya amalan amalan memuliakan capal Nabawi ﷺ ini mempunyai asas dari sudut sejarah bermula selepas era kewafatan Baginda ﷺ lagi.

Kedudukan Capal Mengikut Perspektif Sunnah

Capal atau kasut adalah termasuk dalam pakaian yang menjadi kebiasaan para Nabi ‘Alaihimussalam. Ibn al-‘Arabi mengatakan bahawa sandal itu pakaian para nabi dan sesungguhnya manusia menggunakannya untuk memijak tanah dan melindungi kaki mereka. (Rujuk: Tuhfah al-Ahwazi, 5/468).

Al-Quran menyebut Nabi Musa a.s ketika dipanggil di lembah Thuwa, Baginda telah diminta untuk melepaskan capalnya. Firman Allah SWT:

فَلَمَّا أَتَاهَا نُودِيَ يَا مُوسَى إِنِّي أَنَا رَبُّكَ فَاخْلَعْ نَعْلَيْكَ إِنَّكَ بِالْوَادِ الْمُقَدَّسِ طُوًى

Maksudnya: “Ketika ia datang ke tempat api itu ia dipanggil: “Hai Musa.” Sesungguhnya Aku inilah Tuhanmu, maka tanggalkanlah kedua sandalmu; sesungguhnya kamu berada dilembah yang suci, Thuwa”. 

Surah Taha (11-12)

Terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Jabir r.a, daripada Nabi ﷺ bahawa Baginda ﷺ menggalakkan umatnya agar sentiasa menggunakan capal kerana ia termasuk dalam salah satu bentuk ibadah. Baginda ﷺ bersabda:

اسْتَكْثِرُوا مِنَ النِّعَالِ فَإِنَّ الرَّجُلَ لاَ يَزَالُ رَاكِبًا مَا انْتَعَلَ

Maksudnya: “Selalulah memakai sandal. Ini kerana seseorang akan selalu naik kendaraan selama mana dia memakai sandal.” 

Riwayat Muslim (5615)

Imam al-Nawawi (wafat 676H) menamakan bab untuk hadis ini iaitu  استحباب لبس النعال وما في معناها iaitu anjuran untuk memakai capal atau alas kaki lainnya. Beliau kemudiannya menjelaskan maksud hadis tersebut:

معناه أنه شبيه بالراكب في خفة المشقة عليه ، وقلة تعبه ، وسلامة رجله ممّا يعرض في الطريق من خشونة وشوك وأذى ، وفيه استحباب الاستظهار في السفر بالنعال وغيرها مما يحتاج إليه المسافر

Maksudnya: Bahawa memakai sandal disamakan seperti orang yang menaiki kenderaan dalam masalah meringankan beban, tidak mudah keletihan dan kakinya selamat daripada sebarang bentuk bahaya seperti batu tajam dan duri di jalanan. Hadiṡ ini menganjurkan supaya mengambil persediaan semasa dalam musafir dengan capal atau yang serupanya (bekalan yang diperlukan oleh musafir). (Rujuk: al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 14/73).

Di samping itu, para ulama banyak mengarang bab dan kitab dalam masalah capal nabi ﷺ. Antaranya Imam al-Tarmizi r.a yang mengarangkan satu bab khusus dalam kitab al-Syamail al-Muhammadiah berkenaan capal nabi iaitu Bab: Hadis Berkenaan Capal Rasulullah ﷺ’ (باب ما جاء في نعل رسول الله ﷺ).

Terdapat banyak riwayat yang menggambarkan bentuk capal Nabi Muhammad ﷺ iaitu seperti berikut:

Antaranya, hadis yang diriwayatkan daripada Qatadah:

عَنْ قَتَادَةَ، قَالَ قُلْتُ لأَنَسِ بْنِ مَالِكٍ كَيْفَ كَانَ نَعْلُ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ لَهُمَا قِبَالاَنِ ‏.‏

Maksudnya: Daripada Qatadah, katanya: Aku bertanya kepada Anas bin Malik, bagaimanakah bentuk capal Rasulullah ?” Anas bin Malik menjawab: “Sandal Baginda  mempunyai dua tali qibal.

Riwayat al-Bukhari (5857)

Imam Ibn Hajar menjelaskan dalam kitab Fathul Bāri bahawa masing-masing capal itu memiliki dua qibal. Qibal ertinya tali pengikat, iaitu tali untuk mengikat syis’ (tali pengikat jemari kaki) dan terdapat di antara dua jari kaki. (Rujuk: Ibn Hajar, Fath al-Bari10/325).

Selain itu, hadis yang diriwayatkan daripada Amr bin Huraith:

عَنِ السُّدِّيِّ، قَالَ‏:‏ حَدَّثَنِي مَنْ سَمِعَ عَمْرَو بْنَ حُرَيْثٍ، يَقُولُ‏:‏ رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم، يُصَلِّي فِي نَعْلَيْنِ مَخْصُوفَتَيْن

MaksudnyaAmr bin Huraith berkata: “Aku melihat Rasulullah  solat memakai sepasang sandal yang bertampal dan berjahit”.

Riwayat Ahmad (19941)

Seterusnya, hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik:

‏ أَخْرَجَ إِلَيْنَا أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ نَعْلَيْنِ جَرْدَاوَيْنِ، لَهُمَا قِبَالانِ‏.‏ قَالَ : فَحَدَّثَنِي ثَابِتٌ بَعْدُ عَنْ أَنَسُ ، أَنَّهُمَا كَانَتَا نَعْلَيِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ 

Maksudnya: Anas bin Malik memperlihatkan kepada kami sepadang sandal yang tidak berbulu (kulitnya). Sandal itu memiliki dua tali qibal”. Kemudian, Thabit menyampaikan kepadaku, Anas bin Malik melaporkan: “Sandal itu adalah sandal kepunyaan Rasulullah ”.

Riwayat al-Bukhari (3107)

Di samping itu, para ulama’ turut menyenaraikan adab-adab yang berkaitan dengan pemakaian capal berdasarkan hadis Nabi ﷺ.

Antaranya, disunatkan memakai capal dengan dimulakan dengan kaki kanan.

Disebutkan dalam hadith yang diriwayatkan daripada Saidatina ‘Āisyah r.a:

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُحِبُّ التَّيَمُّنَ فِي شَأْنِهِ كُلِّهِ فِي نَعْلَيْهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ

Maksudnya: Rasulullah  selalu cuba memastikan Baginda  mendahulukan anggota yang kanan dalam kesemua perkara seperti dalam memakai sandal, menyikat rambut dan ketika bersuci.

Riwayat al-Bukhari (5926)

Menurut Imam al-Nawawi r.a. dianjurkan untuk memulai dengan yang kanan dalam setiap perbuatan yang mulia, mengenakan perhiasan, membersihkan diri dan sebagainya. (Rujuk: al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, hlm. 74).

Selain itu, terdapat hadis yang menunjukkan disunatkan solat dengan memakai capal mengikut pandangan sebahagian ulama’ dengan syarat ianya suci.

عن أبى مسلمة سعيد بن يزيد قال: قلت لأنس بن مالك: أكان رسول الله صلّى الله عليه وسلّم يصلّي فى النعلين؟ قال نعم.

Maksudnya: Daripada Abu Maslamah Sa’īd bin Yazid, katanya: “Aku bertanya kepada Anas bin Malik: “Apakah Rasulullah ﷺ mengerjakan solat dengan mengenakan sandal? Baginda  menjawab: ‘Ya’.

Riwayat al-Bukhari (5850)

Seterusnya, terdapat hadis yang melarang berjalan dengan sebelah capal.

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال‏:‏ ‏"‏لا يمشي أحدكم في نعل واحدة لينعلهما جميعًا او ليخلعهما جميعًا‏"‏‏.‏ وفي رواية ‏"‏ أو ليحفهما جميعًا 

Maksudnya: “Janganlah kalian berjalan dengan sebelah capal sahaja. Hendaklah memakai atau melepaskan kedua-duanya”.

Riwayat al-Bukhari (5855) dan Muslim (2097)

Rasulullah ﷺ sebagai panduan dalam setiap tatacara kehidupan adalah sebagai satu bukti dalam menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah ﷺ. Hal ini demikian sebagaimana dalam firman Allah SWT:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّـهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّـهَ كَثِيرًا

Maksudnya“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah  itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Surah al-Ahzab (21)

Justeru, jelaslah bahawa capal atau sandal adalah salah satu pakaian nabi ﷺ. Oleh yang demikian sekiranya seseorang mencontohi cara pemakaian Rasulullah ﷺ dengan niat untuk mengikuti sunnah Baginda ﷺ, maka dia telah mendapat pahala kerana menghidupkan sunnah Rasullulah ﷺ dalam pemakaiannya.

Ciri-Ciri Reka Bentuk Capal Nabi ﷺ

Berbalik kepada ciri-ciri yang diceritakan berkenaan dengan capal atau kasut Baginda ﷺ terdapat pelbagai hadith Baginda Nabi ﷺ yang dihimpunkan oleh para ulama hadis di dalam kitab mereka. Di antaranya ialah hadis yang diriwayat oleh Isa bin Thahman katanya:

أَخْرَجَ إِلَيْنَا أَنَسٌ نَعْلَيْنِ جَرْدَاوَيْنِ لَهُمَا قِبَالاَنِ، فَحَدَّثَنِي ثَابِتٌ الْبُنَانِيُّ بَعْدُ عَنْ أَنَسٍ أَنَّهُمَا نَعْلاَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم

MaksudnyaSaidina Anas menunjukkan kepada kami sepasang capal yang diperbuat daripada Jardawain (kulit yang dibuang bulu) terdapat pada keduanya Qibalain (dua tali yang dimasukkan di celahan jari), selepas itu, Imam Thabit al-Bunani menceritakan kepadaku apa yang diriwayatkan daripada Saidina Anas bahawa sesungguhnya sepasang kasut itu kepunyaan Nabi ﷺ.

Riwayat al-Bukhari (3107)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Qatadah katanya:

قُلْتُ لِأَنَسِ بْنِ مَالِكٍ: كَيْفَ كَانَ نَعْلُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: «لَهُمَا قِبَالَانِ»

MaksudnyaAku bertanya kepada Saidina Anas bin Malik: Bagaimanakah bentuk capal Rasulullah ? Anas berkata terdapat pada keduanya Qibalain (dua tali yang dimasukkan di celahan jari).

Riwayat al-Tirmizi (1772)

Selain itu Imam al-Tirmizi r.a juga mengumpul hadis yang berkaitan dengan ciri-ciri capal Nabi ﷺ di dalam kitabnya. Di antaranya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a berkata:

كَانَ لِنَعْلِ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم قِبَالانِ، مَثْنِيٌّ شِرَاكَهُمَا‏

MakdsudnyaSesungguhnya bagi capal Rasulullah ﷺ terdapat Qibalain (dua tali yang dimasukkan di celahan jari), diikat dengan dua tali yang berentangan (bersambung dengan permukaan capal). (Rujuk al-Syamail al-Muhammadiyyah: 75)

Hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ubaid bin Juraij bahawa beliau bertanya kepada Ibn Umar RA:

رَأَيْتُكَ تَلْبَسُ النِّعَالَ السِّبْتِيَّةَ، قَالَ‏:‏ إِنِّي رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَلْبَسُ النِّعَالَ الَّتِي لَيْسَ فِيهَا شَعَرٌ، وَيَتَوَضَّأُ فِيهَا، فَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أَلْبَسَهَا

MaksudnyaAku pernah melihat kamu memakai capal al-Sibtiyyah (yang diperbuat daripada kulit yang tidak berbulu), Ibnu Umar berkata: Sesungguhnya aku melihat Rasulullah ﷺ memakai capal yang tidak terdapat padanya bulu, dan berwuduk dengannya, oleh itu aku gemar memakainya. (Rujuk al-Syamail al-Muhammadiyyah: 77)

Dalam menjelaskan tentang ciri-ciri capal yang dipakai oleh Baginda ﷺ, ianya terdapat al-Qibalain iaitu pada hadapan capal Baginda ﷺ terdapat dua tali disulam yang membahagikan jari-jari kaki Baginda ﷺ. Imam Yusuf al-Nabhani menyebut di dalam kitabnya:

وكان صلّى الله عليه وسلّم يضع أحد القبالين بين الإبهام والّتي تليها، والاخر بين الوسطى والّتي تليها

MaksudnyaDan sesungguhnya Nabi ﷺ meletakkan satu daripada dua ikatan (al-Qibalain) di antara ibu jari kakinya dan jari selepas daripadanya (iaitu jari telunjuk dan jari tengah) manakala satu lagi diletakkan di antara jari tengah dal selepasnya (iaitu jari manis dan jari kelingking). (Rujuk Wasail al-Wusul ila Syamail al-Rasul , 1:128)

Selain itu, capal Baginda ﷺ diperbuat daripada kulit yang tidak berbulu disebut sebagai al-Sibtiyyah. Imam al-Bajuri di dalam hasyiahnya menyebut bahawa al-Sibtiyyah iaitu kulit yang tidak terdapat padanya bulu di nisbahkan kepada Sibt iaitu kulit lembu yang telah disamak dan bulunya telah gugur apabila ia disamak. (Rujuk al-Mawahib al-Laduniyyah ‘ala Syamail Muhammadiyyah: 188)

 

Pandangan Ulama Berkaitan Lakaran Capal Rasulullah ﷺ

Pada asasnya, lakaran capal Nabi  dilakar untuk menggambarkan sifat capal Nabi ﷺ. Ia dilakar dan dilukis berdasarkan kepada beberapa hadith dan penerangan para Sahabat tentang capal Nabi ﷺ. Ada yang dipanggil sebagai capal al-Sibtiyah iaitu capal yang tiada bulu. Ini berdasarkan beberapa hadith. Antaranya Hadith Saidina Ibn Umar ketika beliau ditanya oleh Saidina Ubaid Bin Juraij r.a mengapa beliau memakai capal yang tiada bulu (Al-Sibtiyyah). Saidina Ibn Umar r.a menjawab:

إني رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم يلبس النعال ليس فيها شعر يتوضأ فيها فأنا أحب أن ألبسها

Maksudnya: Saya melihat Rasulullah memakai capal yang tiada bulu. Baginda berwuduk menggunakan capal tersebut dan saya suka untuk memakainya.”[3]

Begitu juga dengan penjelasan Saidina Ibn ‘Abbas r.a yang menyebut bahawa capal Nabi ﷺ mempunyai dua tali yang bersilang.[4]

Antara yang lain, terdapat juga riwayat yang menjelaskan bentuk, lebar dan panjang capal Nabi ﷺ. Berdasarkan kepada hadith-hadith dan pernyataan tersebut, para ulama melakar dan melukis bentuk gambaran capal Nabi ﷺ. Dengan erti kata lain, ia bukan capal Nabi ﷺ yang sebenar yang berbentuk fizikal akan tetapi gambaran terhadap capal yang pernah digunakan oleh Baginda Nabi ﷺ.

Adapun berkaitan lakaran capal Rasulullah ﷺ (Mitsal Ni’al) untuk dijadikan sesuatu simbol logo dan persoalannya, adakah lakaran logo capal boleh disamakan kemuliaan dengan capal yang dipakai Baginda Rasulullah ﷺ untuk diambil berkat ataupun tidak? Maka, sebahagian ulama telah membahaskan dan menerangkan lakaran gambaran capal Rasullullah ﷺ dengan menyatakan sifat dan manfaat lakaran gambar capal Baginda . ( Rujuk "Fath al-Muta'al Fi Madh Khair al-Ni'al, 493  )

 

Perakuan Ulama Berkaitan Sifat dan Lakaran Capal Baginda 

Di kalangan ulama ada yang menjelaskan gambaran capal Rasulullah ﷺ  dalam bentuk bait-bait syair. Umpamanya Imam al-Hafiz al-Iraqi mengungkapkan menyatakan reka di dalam bait-bait syairnya dengan menyebut:

ونَعْلُهُ الكَريمَةُ المَصُونَهْ ... طُوبى لمَنْ مَسَّ بِها جَبِينَهْ

Dan capal Baginda ﷺ yang mulia lagi dipelihara # Berbagialah bagi sesiapa yang dipilih menyentuhnya

لهَا قِبَالانِ بِسَيْرٍ وَهُمَا ... سِبْتِيَّتَانِ سَبَتوا شَعْرَهُمَا

Padanya dua Qibal dengan dimasukkan jari dan keduanya # diperbuat dari kulit yang dihilangkan bulunya

وطُولُهَا شِبْرٌ وإصْبَعَانِ ... وعَرْضُها مِمَّا يَلي الكَعبَانِ

Panjangnya sejengkal dua jari # dan lebarnya di antara dua buku lali

سَبْعُ أصَابِعَ، وبَطْنُ القَدَمِ ... خَمْسٌ، وفَوقَ ذا فَسِتٌّ فاعلَمِ

Tujuh jari, dan panjang tumit kaki # lima jari, dan di atas itu (ukuran tapak kaki) enam jari maka ketahuilah

وَرَأْسُهَا مُحَدَّدٌ، وعَرْضُ مَا ... بَينَ القِبَالَينِ اصْبَعَانِ، اضبِطْهُمَا

Dan di hujungnya Muhaddad (tajam), dan luas # di antara al-Qibalain dua jari, ukuran keduanya

وهَذهِ تِمثَالُ تِلكَ النَّعْلِ ... ودورهَا، أكْرِمْ بها من نعل

Dan inilah lakaran capal itu # Dan gulungannya (lakaran capal), muliakanlah dengannya

(Rujuk Alfiah al-Sirah al-Nabawiyyah, hlm. 88)

Di dalam kitab Wasail al Wusul ada dinyatakan:

ذكر ابن عساكر فى جزء مفرد في فتح القسطنطينية

   من فضلها وجُرب من نفعها وبركتها أن أبا جعفر أحمد بن عبد المجيد ـ وكان شيخاً صالحاً ـ أعطى مثالها لبعض الطلبة ، فجاءه وقال له: رأيت البارحة من بركة هذا النعل عجباً ، أصاب زوجتى وجع شديد كاد يُهلكها ، فجعلت النعل على موضع الوجع وقلت: اللهم أرنى بركة صاحب هذا النعل ، فشفاها الله تعالى للحين

MaksudnyaImam Ibnu Asakir menyebut di dalam satu juzuk yang berasingan di dalam kitab Fathu Al-Qustantiniah: Maksudnya: Antara kelebihan dan mujarrabat (berdasarkan pengalaman) di sebabkan keberkatan dan manfaat lakaran capal Nabi ﷺ, Abu Jaafar bin Ahmad bin Abdul majid seorang syeikh yang soleh telah memberikan kepada sebahagian muridnya akan lakaran capal Nabi , lalu keesokan harinya murid tersebut bertemu gurunya lalu memberitahu bahawa beliau telah melihat keberkatan yang terdapat pada lakaran atau gambaran capal tersebut yang sangat ajaib. Maka syeikh pun bertanya kepada muridnya apakah yang kamu lihat? Muridnya menjawab, isteriku telah terkena akan suatu penyakit yang tersangat sakit sehingga boleh menyebabkan kematian, lalu aku meletakkan lakaran dan gambaran capal ini dan berdoa dengan doa ini: اللهم أرنى بركة صاحب هذا النعل ertinya: “Ya Allah tunjukkanlah kepadaku keberkatan pemilik capal ini”, Maka Allah Taala menyembuhkan penyakit tersebut seketika itu jua.

 وقال أبو إسحاق ـ إبراهيم بن محمد المشهور ابن الحاج ـ قال أبو القاسم بن محمد : ومما جُرب من بركته أن من أمسكه عنده متبركاً به كان له أماناً من بغى البغاة وغلبة العداة ، وحرزاً من كل شيطان مارد وعين حاسد ، وإن أمسكته الحامل بيمينها وقد اشتد عليها الطلق تيسر أمرها بحول الله تعالى وقوته .

Maksudnya:  Telah berkata Abu Ishak, Imam Ibrahim Bin Muhammad Al Masyhur Ibnu al Haj, telah berkata Abu Qasim Antara perkara yang pernah dilihat akan keberkatan akan lakaran atau gambar capal ini, adalah barangsiapa yang memegangnya dengan mengharapkan keberkatan maka ia akan diselamatkan kezaliman mereka yang zalim, dapat mengalahkan musuh, menjadi pelindung daripada syaitan, menjadi pelindung daripada pandangan mata yang hasad dan jika perempuan hamil memegangnya dengan tangan kanannya maka akan dimudahkan urusan kelahirannya. Kesemua ini berlaku dengan bantuan dan pertolongan daripada Allah Taala.

Begitu juga Imam Al-Qurtubi Rahimahullahu Taala menyatakan di dalam sebahagian bait syairnya yang berbunyi:

ونعلِ خضعنا هيبة لبهائها         وإنَّا متى نخضع لها أبداً نعلو

فضعها على أعلى المفارق        إنها حقيقتها تاج وصورتها نعل

بأخمص خير الخلق حازت مزيةً         على التاج حتى باهت المفرق الرِّجلُ

شفاءٌ لذى سقم رجاء لبائسٍ          أمان لذى خوفٍ كذا يُحسب الفضلُ

MaksudnyaDan pakailah capal maka akan tunduklah kehebatan dengan kehebatannya/kemegahannya, dan sesungguhnya selama mana kita merendah diri maka kita akan sentiasa ditinggikan, letakklah capal di atas belahan-belahan rambut, walaupun ia merupakan lakaran atau gambaran capal tetapi hakikatnya ia adalah sebuah mahkota dengan kebaikan sebaik-baik manusia maka dapatlah ia keistimewaannya di atas sebab mahkota yang dipakainya sehinggakan belahan rambut yang pudar bagi  seorang lelaki pun tidak kelihatan, ia juga menjadi kesembuhan terhadap sesuatu penyakit, harapan terhadap mereka yang putus asa, keamanan mereka yang di dalam ketakutan. Maka itulah keistimewaan dan kelebihannya.

Kitab Wasail Wusulm.s 130-131)

Isu Bertabarruk Pada Lakaran Capal Yang Dibentuk

Isu ini hendaklah dilihat dalam konteks perbincangan para ulama dalam isu tabarruk. Perbahasan isu tabarruk adalah sangat panjang, cuma memada untuk disebut di sini bahawa hukum secara umum berkaitan tabaruk (mengambil keberkatan) dengan athar para Anbiya, auliya dan para solihin ketika hidup mahupun ketika telah wafat, sebahagian besar ulama mazhab yang empat telah bersepakat akan keharusannya. Antara contoh-contoh  tabarruk yang ada disebut dalam perbincangan tabarruk ialah:

  • Rasulullah ﷺ sendiri apabila mencukur rambutnya ketika haji Wada’ (haji terakhir Baginda ﷺ) baginda memberikan rambut Baginda ﷺ pada seorang sahabat dan Baginda ﷺ memerintahkan agar diagih-agihkan kepada sahabat lain.
  • Saidina Umar Radiyallahu Anhu memegang mimbar Nabi ﷺ sebelum beliau berdoa lalu mengusapkan pada wajahnya.
  • Saidatina Asma’ Radiyallahu Anha mengeluarkan baju Qamis Baginda ﷺ untuk digunakan sebagai ubat, dicelupkan jubah Baginda ke dalam air dan diberikan minum kepada orang-orang sakit dan tidak ada seorang pun sahabat yang mengingkarinya.
  • Para sahabat berlumba-lumba untuk mengambil air ludah dan bekas wuduk nabi ﷺ lalu menyapukan pada bahagian jasad mereka.
  • Begitu juga bertabarruk dengan menggunakan air zamzam
  • Imam Sabit al Bunani Rahimahullahu Taala mencium tangan Saidina Anas bin Malik, lalu diletakkan pada wajahnya dan berkata aku telah menyentuh tangan yang telah disentuh oleh Rasulullah ﷺ
  • Imam Al Nawawi Rahimahullahu Taala pada syarah sohih muslim 14/44 berkaitan Hadis para sahabat bertabarruk dengan wuduk Nabi ﷺ

  "ففيه التبرك بآثار الصالحين واستعمال فضل طهورهم وطعامهم وشرابهم ولباسهم."

Maksudnya: Padanya bab bertabarruk pada athar orang-orang solih dan menggunakan lebihan bersuci, makanan, minuman dan pakaian mereka.

Pelbagai lagi contoh-contoh yang terdapat dalam athar dan perbincangan para ulama. Hakikatnya, ini semua dilakukan kerana kecintaan mereka kepada RasulNya yang menatijahkan tindakan dalam bentuk tabarruk dan tidak lebih daripada itu.

Ini adalah sebahagian dari catatan para ulama yang merujuk kepada amalan bertabarruk. Pada asasnya ia memang telah diamalkan tetapi dengan penuh keyakinan dan kepercayaan dengan beriktikad bahawa hanyalah Allah SWT jua yang mampu untuk memberi manfaat, mudharat dan yang memberi bekas.  

Firman Allah SWT:

وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّـهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

(Surah al-An’am: 17)

وَمَا هُم بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ ۚ وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ

Maksudnya: Padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah SWT.

(Surah Al Baqarah : juzuk 1:102)

Berkata Imam Abu Abdullah Muhammad Al Sanusi Al Hasani (wafat pada 895H) di dalam Kitab Ummul Al Barahin hlmn 25 sebahagian bait matannya berbunyi:

وَيُؤُخَذُ مِنْهُ أَيْضًا: أَنَّهُ لاَ تَأْثِيرَ لِشَيْءِ مِنَ الْكَائِنَاتِ فِي أَثَر مَّا

Maksudnya: “Dan diambil daripadanya juga bahawa tiada memberi bekas baginya sesuatu daripada segala makhluk daripada barang bekas yang ada ia”.

Berkaitan dengan isu lakaran capal dijadikan sebagai lambang, adakah ia berkaitan dengan akidah? Maka bagi menjawab persoalan ini, terlebih dahulu kita perlu memahami bahawa selama mana perbuatan seseorang muslim itu tidak menyalahi dengan iktikad yang sebenar kita tidak boleh sewenang-wenangnya melemparkan kalimah kufur atau syirik. Para ulama cukup berhati-hati dalam menjatuhkan kufur kepada seseorang muslim. Ia perlu dibuktikan dengan qarinah atau pembuktian yang sebenar-benarnya.

Memetik kata-kata ulama yang perlu dijadikan panduan umum untuk berhadapan dengan saudara seIslam kita antaranya ialah:

Imam Ibnu Hajar Al Haytami rahimahullahu Taala wafat 974H mengatakan di dalam Kitab Tuhfatul Muhtaj 9/88:

 ينبغي للمفتي أن يحتاط في التكفير ما أمكنه لعظيم خطره وغلبة عدم قصده سيما من العوام وما زال أئمتنا على ذلك قديما وحديثا اهـ

Maksudnya: Seharusnya bagi seorang mufti berhati-hati didalam menghukum kekafiran pada seseorang selama mana yang ia mampu kerana bahayanya sangat besar dan takut menghukum yang tidak bermaksud sedemikian itu terutama melibatkan orang awam, maka senantiasa ulama kami yang dahulu dan sekarang berpegang dengan itu.

Berkata Imam Ibnu Abidin dalam kitab Raddul Mukhtar syarah Ad Dur Mukhtar 4/ 229-230:

لَا يُفْتَى بِكُفْرِ مُسْلِمٍ أَمْكَنَ حَمْلُ كَلَامِهِ عَلَى مَحْمَلٍ حَسَنٍ أَوْ كَانَ فِي كُفْرِهِ خِلَافٌ، وَلَوْ كَانَ ذَلِكَ رِوَايَةً ضَعِيفَةً] اهـ

Maksudnya: Tidak boleh menghukum kufur seseorang Muslim selagi mana boleh menanggung perkataanya atas sebaik-baik ikhtimal atau padanya kekufurannya itu terdapat makna di sebaliknya, walaupun dengan riwayat yang dhoif.

Berkata juga Imam Mula Ali Qari dalam kitabnya Syarah Al Syifa’ juzuk 2 hlmn 502:

قال علماؤنا: إذا وجد تسعة وتسعون وجهًا تشير إلى تكفير مسلم, ووجه واحد على إبقائه على إسلامه, فينبغي للمفتي والقاضي أن يعملا بذلك الوجه، وهو مستفاد من قوله عليه السلام: ادرءوا الحدود عن المسلمين ما استطعتم. اهـ

Maksudnya: Berkata ulama kami, apabila terdapat sembilan puluh sembilan (99) wajah yang menunjukkan kepada kekufuran seseorang muslim, dan satu (1) wajah menunjukkan ke atas keIslamannya, maka seharusnya para mufti dan qadhi beramal akan satu wajah yang mengekalkannya di dalam Islam, ini berdasarkan Hadis Nabi ﷺ “Tolaklah selama mana kamu mampu daripada menjatuhkan hukuman hudud ke atas muslimin”.

Begitulah sikap yang ditunjukkan para ulama dalam menangani perkara antara batasan iman dan kufur.

Maka begitulah juga perkara yang berkaitan dengan lakaran capal Baginda ﷺ dan apa-apa yang berkait dengan Baginda ﷺ dan bertabarruk dengannya. Ia bukanlah berasaskan dalil-dalil tertentu dan bukanlah amalan-amalan khas yang dituntut syarak secara khusus dan perbuatan tersebut hanya berpunca dari kasih dan rindu dan ini tidak memerlukan dalil khas untuk mengharuskannya sebagaimana dalam isu-isu tabarruk yang lain yang tidak nas secara khusus sebagaimana contoh-contoh yang diberikan di atas. Ia adalah bersifat individu dan bukannya bersifat umum kepada semua orang.

Apabila perbuatan itu asasnya adab, kasih dan rindu maka sesetengah keadaan kerana ada sedikit persamaan sudah boleh mendatangkan semangat rindu dan kasih maka pada ketika itu cukup untuk perbuatan itu dihukum harus selagimana tidak bertentangan dengan prinsip syarak.

Berpada dan Langkah Penjagaan

Ini hukum asal berkait tabarruk. Pada masa yang sama adalah tidak harus sama sekali  untuk menjadikan keharusan tabarruk ini membuka ruang pula kepada isu lain seperti menjadikan lakaran capal Nabi ﷺ  sebagai bahan untuk meraih keuntungan duniawi yang menimbulkan fitnah kepada orang awam. Isu tabarruk adalah isu individu kerana ia berkait dengan rasa cinta dan kasih dan bukannya umum kepada setiap orang.

Sekiranya dikhuatiri kerosakan boleh berlaku pada orang awam samada dari segi akidah atau hukum fiqh maka ada tuntutan untuk membasminya, maka di sinilah datangnya peranan otoriti agama untuk melaksanakan apa yang sebaiknya dan ini masuk dalam kategori Sadd al Zari’ah (menghalang sesuatu keburukan) dan ini tentunya akan memerlukan kebijaksanaan tertentu dan kaedah yang sesuai tetapi semua perkara itu hendaklah dilakukan tanpa ada elemen penghinaan dan memperolok-olok simbol tersebut yang dikaitkan dengan Rasulullah  .  

Kesilapan yang berlaku ialah apabila neraca ilmiah dalam isu tabarruk sebagaimana yang dihuraikan di atas telah dinafikan sedari awal lalu terus menghukum tabarruk dengan lakaran capal Nabi adalah syirik dan sebagainya dan akhirnya telah melahirkan pula sikap-sikap sinis terhadap apa-apa yang di kaitkan dengan Rasulullah ﷺ. Tanpa disedari diri Rasulullah ﷺ yang dicintai telah dijadikan subjek gurauan dan sendaan.

Oleh itu dinasihatkan agar dalam isu tabarruk ini hendaklah dalam ruang lingkup kasih dan cinta kepada Rasulullah  dan berasaskan prinsip-prinsip syarak dan dalam satu sudut lain tidak pula memandang sinis terhadap apa-apa perkara yang berkaitan dengan Rasulullah  dan sentiasa menjaga adab kita apabila berbicara berkaitan Baginda . Pada masa yang sama menjadi kewajipan kepada kita untuk  mempertahan dan membela Rasulullah ﷺ dalam segenap aspek dan keadaan.

 

Dr Luqman Haji Abdullah
Mufti Wilayah Persekutuan

 

Nota Hujung :

[1] Ahmad Taimur Basha, al-Athar al-Nabawiyyah (Mesir : Muassasah Hindawi, 2012), 93-108.

[2] Abu al-Fida’ Isma’il Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah (Dar Hijr, 1997), 12 : 450.

[3] Riwayat Imam Al-Tirmizi dalam Al-Syamail Al-Muhammadiah no 74,Al-Bukhari no 5513. Muslim no 1187 dan Abu Daud no 1772.

[4] Riwayat Imam Al-Tirmizi dalam Al-Syamail Al-Muhammadiah no 72 dan Ibn Majah no 3614

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...