BAYAN LINNAS SIRI KE-273: ETIKA ISLAM DALAM PERBAHASAN DI PARLIMEN
Pejabat Mufti banyak diajukan pertanyaan oleh banyak pihak berkait dengan insiden perbahasan di parlimen baru-baru ini yang dikatakan agak sengit dan heboh sehingga menarik perhatian banyak pihak yang prihatin tentang perjalanan perbahasan oleh ahli-ahli parlimen. Sebagaimana diketahui umum perbahasan dalam parlimen adalah bagi menentukan halatuju negara demi kesejahteraan rakyat. Parlimen satu medan yang mulia kerana ia adalah tempat berlakunya ‘syura’ yang digalakkan dalam Islam. Dengan kedudukan yang begitu tinggi dan mulia itu maka parlimen perlu diisi dengan ahli-ahli yang berwibawa dan berkelayakan dan menjadi contoh kepada rakyat yang sentiasa memerhati tingkah laku ahli-ahlinya. Kemuliaan dan keharmonian parlimen perlu dijaga kerana ia merupakan tempat tertinggi untuk berbahas isu-isu berkaitan rakyat dan negara. Lebih-lebih lagi ia diisi oleh individu-individu yang diamanahkan rakyat untuk berbincang dan berbahas soal rakyat dan memastikan perjalanan serta kestabilan negara dalam keadaan yang baik.
Oleh itu perbahasan dalam parlimen perlu dilaksanakan dengan baik dan profesional selari dengan etika yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Menurut Peraturan-Peraturan Berbahas 36 (4) dan 36 (6) menyatakan bahawa menjadi suatu kesalahan bagi Ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan, biadap dan seumpamanya. Kemudian, seseorang ahli juga dilarang mengeluarkan sangkaan jahat ke atas ahli-ahli yang lain.[1]
Antara tugas ahli parlimen ialah membincang dan membahaskan isu-isu rakyat dan negara. Oleh itu, perlu bersikap profesional dan sentiasa menjaga akhlak dalam berbahas. Penggunaan kata-kata kesat yang melibatkan maruah ahli-ahli yang lain adalah wajib dielakkan kerana kesannya sangat besar kepada individu-individu yang terlibat dan juga kepada kedudukan institusi parlimen yang mulia dan tinggi. Dalam perbahasan sudah tentu terdapat perbezaan pandangan dalam membahaskan sesuatu isu berbangkit. Perkara ini tidak dapat dielakkan sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Muhammad Awwamah, “Apabila wujud satu pandangan maka akan wujud pandangan-pandangan yang lain serta pentafsiran yang berbeza”.[2] Yang dapat mengawal perbezaan pandangan ini dari menatijahkan tutur kata dan tindakan yang keji ialah akhlak yang baik dan patuh kepada peraturan-peraturan yang dibentuk.
Perbahasan perlu terfokus kepada isu yang hendak dibahaskan serta tidak meleret-leret kepada isu yang tidak berkaitan dan akhirnya menghabiskan masa perbahasan yang ditetapkan dengan melayan isu-isu remeh yang dibangkitkan serta kata-kata sindiran yang dilontarkan. Setiap ahli samada dari pihak kerajaan atau pembangkang perlu lebih profesional dan beretika dalam berbahas mahupun mengkritik . Sebagai ahli parlimen yang dikategorikan sebagai golongan minda kelas pertama, sewajarnya tidak berbahas dan berhujah mengikut keinginan hawa nafsu bagi mencapai kepentingan diri atau kumpulan tertentu. Hal ini kerana berbahas dan berhujah dengan cara ini adalah sesuatu yang ditegah oleh syarak kerana hawa nafsu memonopoli pemikiran sehingga mengaburi kebenaran. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:
فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَىٰ أَن تَعْدِلُوا
Maksudnya: Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan.
Surah Al-Nisa’ (135)
Akhlak dan pertuturan yang baik ketika berbahas dalam persidangan hendaklah diutamakan kerana setiap pertuturan dan sikap yang ditunjukkan ketika perbahasan akan disaksikan dan ditonton oleh segenap lapisan masyarakat. Jika mereka yang mengikuti sidang ini dalam kalangan berpelajaran maka setiap tindakan dan pertuturan akan dinilai baik buruknya. Namun jika mereka dalam kalangan awam maka dibimbangi perkara tersebut akan menjadi ikutan dan diamalkan dalam kehidupan mereka.
Waallahua’lam.
[1] Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, cetakan ke-14 (Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Berhad, 2018), 51.
[2] Muhammad Awwamah, Athar al-Hadis al-Syarif fi Ikhtilaf al-Aimmah al-Fuqaha’ RA wa yalihi Adabb al-Ikhtilaf fi Masail al-Ilm wa al-Din. (Beirut: Dar al-Minhaj,1434) hlm. 14.
اذا وجد الرأي في أمر ما حصل التفرق ودخل الاختلاف، وتعدد الآراء، وتباينت المفاهيم
No comments:
Post a Comment