261. MENJAWAB TOHMAHAN BAHAWA RASULULLAH SAW TIDAK BERLAKU ADIL KEPADA ISTERI

 261: MENJAWAB TOHMAHAN BAHAWA RASULULLAH SAW TIDAK BERLAKU ADIL KEPADA ISTERI

MENJAWAB TOHMAHAN BAHAWA RASULULLAH SAW TIDAK BERLAKU ADIL KEPADA ISTERI

 

Mukadimah

Mutakhir ini, tersebar dakwaan di media sosial oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bahawa Rasulullah SAW tidak berlaku adil kepada para isteri Baginda. Pihak tersebut telah menyalahtafsir ayat-ayat Quran dan memutar belitkan fakta sejarah untuk menyokong tohmahan yang dibawa.

Justeru Bayan Linnas ini dikarang bagi menjawab tohmahan-tohmahan jahat yang dilontarkan terhadap peribadi Rasulullah SAW, berdasarkan kefahaman yang sahih terhadap nas al-Quran dan al-Sunnah, dengan merujuk kepada penerangan oleh para ulama muktabar.

Surah al-Tahrim: Benarkah Nabi SAW tidak berlaku adil kepada isteri?

Tohmahan mula ditimbulkan apabila ada yang mendakwa bahawa Nabi SAW tidak berlaku adil kepada para isteri Baginda, berdasarkan sebab penurunan ayat:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ ۖ تَبْتَغِي مَرْضَاتَ أَزْوَاجِكَ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah al-Tahrim (1)

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaily, lafaz al-tahrim dalam surah ini merujuk kepada sama ada perbuatan Nabi SAW yang mengharamkan dirinya daripada memakan madu, atau menurut sebahagian riwayat yang lain, mengharamkan dirinya daripada menyetubuhi sebahagian daripada isterinya (atau dalam kes ini, hambanya).[1] Perbezaan dalam memahami ayat ini timbul disebabkan perbezaan pandangan ulama dalam menetapkan kisah sebenar yang menjadi punca kepada penurunan ayat tersebut.

Analisis riwayat berkenaan sebab penurunan ayat

Dalam hal ini terdapat sekurang-kurangnya dua riwayat iaitu riwayat berkenaan Nabi SAW bersama Mariah al-Qibtiyyah RA di dalam rumah Hafsah RA dan riwayat tentang Nabi SAW mengharamkan dirinya meminum madu.[2]

Riwayat pertama:

أَنَّ حَفْصَةَ أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ، زَارَتْ أَبَاهَا ذَاتَ يَوْمٍ وَكَانَ يَوْمَهَا، فَلَمَّا جَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يَرَهَا فِي الْمَنْزِلِ، أَرْسَلَ إِلَى أَمَتِهِ مَارِيَةَ الْقِبْطِيَّةِ، فَأَصَابَ مِنْهَا فِي بَيْتِ حَفْصَةَ، وَجَاءَتْ حَفْصَةُ عَلَى تِلْكَ الْحَالِ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَتَفْعَلُ هَذَا فِي بَيْتِي وَفِي يَوْمِي؟ قَالَ: «فَإِنَّهَا عَلَيَّ حَرَامٌ، وَلَا تُخْبِرِي بِذَاكَ أَحَدًا» . فَانْطَلَقَتْ إِلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا فَأَخْبَرَتْهَا بِذَلِكَ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: {يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ} إِلَى قَوْلِهِ: {وَصَالِحُ الْمُؤْمِنِينَ} فَأُمِرَ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْ يَمِينِهِ، وَيُرَاجِعَ أَمَتَهُ".

Maksudnya: “Pada suatu hari Hafsah RA telah menziarahi ayahnya dan ketika itu adalah gilirannya bersama Rasulullah SAW. Apabila Rasulullah SAW pulang ke rumah, Baginda SAW tidak melihatnya di rumah. Kemudian Baginda SAW memanggil hambanya Mariah al-Qibtiyyah untuk datang. Setelah itu, Rasulullah SAW telah menyetubuhinya di rumah Hafsah RA. Tidak lama kemudian, Hafsah RA pulang ketika Rasulullah SAW dalam keadaan tersebut. Hafsah RA berkata: “Wahai Rasulullah SAW, adakah engkau melakukan hal ini di rumahku dan ketika giliranku?”.Maka Rasulullah SAW menjawab: “Sesungguhnya Mariah haram ke atasku dan janganlah engkau memberitahu kepada sesiapa perkara ini”. Hafsah keluar ke rumah Aisyah RA lalu menceritakan apa yang telah berlaku. Setelah itu, turunnya ayat Allah SWT “Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu” sehingga firman Allah SWT “serta orang-orang yang soleh dalam kalangan orang yang beriman” lalu Baginda SAW diminta untuk membayar kafarah di atas sumpahnya dan kembali kepada hambanya.”[3]

Selain itu, terdapat riwayat lain daripada Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda:

أنَّ رسولَ اللهِ كانت له أمَةٌ يطؤُها ، فلم تزَلْ به عائشةُ وحفصةُ ، حتَّى حرَّمها على نفسِه ، فأنزل اللهُ عزَّ وجلَّ يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ إلى آخرِ الآيةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW memiliki seorang hamba yang baginda bersama dengannya (menggaulinya), Aisyah RA serta Hafsah RA masih berada bersama beliau hingga beliau mengharamkan ke atas diri Baginda. Kemudian Allah SWT menurunkan ayat “Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah SWT bagimu” sehingga akhir ayat.”[4]

Riwayat kedua:

Aisyah RA berkata:

كان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم يشرَبُ عسلًا عِندَ زينبَ بنتِ جحشٍ، ويمكُثُ عِندَها، فواطَيتُ أنا وحفصَةُ على : أيَّتُنا دخَل عليها فلتقُلْ له : أكَلتَ مَغافيرَ، إني أجِدُ منك رِيحَ مَغافيرَ، قال: (لا، ولكني كنتُ أشرَبُ عسلًا عِندَ زينبَ بنتِ جحشٍ، فلن أعودَ له، وقد حلَفتُ، لا تُخبِري بذلك أحدًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW meminum madu di rumah Zainab binti Jahsy RA (isteri Nabi SAW) dan Baginda SAW bermalam di rumahnya (rumah Zainab). Lalu aku (Aisyah RA) dan Hafsah RA berpakat untuk mengatakan sesiapa di antara kita yang bertemu dengan Rasulullah SAW dahulu perlu berkata kepada Baginda SAW: Adakah engkau makan buah Maghafir? Sesungguhnya aku mendapati bau Maghafir daripada engkau?”. Maka Rasulullah SAW menjawah: “Tidak, aku telah meminum madu di rumah Zainab binti Jahsy, namun aku tidak akan kembali lagi padanya. Aku telah bersumpah dan janganlah engkau menyampaikan hal ini kepada sesiapa pun”.[5]

Ulama berbeza pandangan dalam menetapkan antara dua riwayat tersebut yang mana lebih kuat penghujahannya. Sebahagian ulama mentarjihkan riwayat Nabi SAW mengharamkan madu bukannya riwayat Nabi SAW mengharamkan hambanya Mariah al-Qibtiyyah. Manakala terdapat juga ulama yang mengatakan bahawa riwayat yang pertama adalah sahih atas beberapa alasan.

Antara ulama yang mengkritik riwayat Mariah al-Qibtiyyah ialah al-Qadhi ‘Iyadh. Beliau berkata bahawa riwayat Mariah al-Qibtiyyah didatangkan dengan jalur tidak sahih, sedangkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Nasa’i berkenaan madu tersebut sanadnya adalah sahih.[6] Pandangan ini juga disebutkan oleh al-Nawawi dalam karyanya al-Minhaj.[7] Selain itu, Ibn Kathir juga berpandangan selari dengan al-Qadhi ‘Iyadh, kata beliau:

وَالصَّحِيحُ أَنَّ ذَلِكَ كَانَ فِي تَحْرِيمِهِ الْعَسَلَ كَمَا قَالَ الْبُخَارِيُّ عِنْدَ هَذِهِ الْآيَةِ

Maksudnya: “Riwayat yang sahih ialah riwayat yang kedua iaitu Nabi SAW mengharamkan madu ke atas dirinya sebagaimana yang telah diriwayatkan Imam al-Bukhari dalam karya sahihnya berkenaan ayat ini”.[8]

Al-Zahabi dalam Mizan al-Iʻtidal, bahkan ramai lagi ulama lain juga mengkritik riwayat berkenaan Mariah al-Qibtiyyah tersebut.[9]

Ibn Hajar al-‘Asqalani pula antara ulama yang berpandangan bahawa riwayat yang menyebutkan bahawa Nabi SAW mengharamkan baginya Mariah itu mempunyai asalnya. Menurutnya, asal bagi kisah ini ialah yang diriwayatkan oleh al-Nasa’i dan al-Hakim telah mensahihkan hadis Anas bin Malik RA. Selain itu, Abu Daud juga telah meriwayatkan kisah ini dalam al-Marasil daripada jalur Qatadah. Dengan kesemua jalur riwayat yang ada, jelas menunjukkan bahawa kisah ini mempunyai asal, tidak seperti yang dinyatakan oleh al-Qadhi ‘Iyadh bahawa kisah ini datang daripada jalur yang tidak sahih sedangkan beliau terlepas pandang terhadap riwayat al-Nasa’i. Oleh itu riwayat tersebut menurut Ibn Hajar sudah cukup untuk mengatakan bahawa kisah ini mempunyai asalnya.[10]

Hasil analisis kami mendapati bahawa sebab turunnya awal ayat surah al-Tahrim adalah disebabkan riwayat yang kedua iaitu riwayat tentang Nabi SAW mengharamkan dirinya meminum madu. Perkara ini berdasarkan kepada ijtihad majoriti ulama seperti al-Qadhi Iyadh, Ibn Kathir, al-Nawawi, al-Zahabi dan ramai lagi yang menyatakan riwayat itu mempunyai kecacatan pada sanadnya..

Rasulullah SAW tidak mungkin bersifat zalim

Sepertimana yang telah dijelaskan di atas bahawa riwayat berkenaan Hafsah RA yang cemburu kepada Nabi SAW dan Mariah al-Qibtiyyah RA menjadi pertikaian besar dalam kalangan ulama. Namun sekalipun riwayat tersebut sahih, ia sama sekali tidak menunjukkan bahawa Nabi SAW berlaku tidak adil, apatah lagi mengkhianati isteri-isteri Baginda. Hal ini demikian kerana:

  1. Mariah al-Qibtiyyah RA ialah hamba kepada Nabi SAW. Syariat Islam membenarkan untuk seorang tuan menyetubuhi hambanya sebagaimana Nabi Ibrahim yang memiliki hamba bernama Hajar yang kemudian memiliki zuriat bersamanya iaitu Nabi Ismail AS. Di samping itu, ia merupakan tradisi yang telah diperakui oleh Islam. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ‎﴿٥﴾‏ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ‎﴿٦﴾‏ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ ‎﴿٧﴾

Maksudnya: “Mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.

Surah al-Mukminun (5-7)

Syeikh Tahir Ibn Asyur dalam al-Tahrir wa al-Tanwir menjelaskan bahawa ayat ini menunjukkan isteri dan hamba ialah dua golongan yang dihalalkan kepada suami dan tuan hamba dengan syarat-syarat dan perinciannya sebagaimana yang dimaklumi dalam kitab-kitab fiqh[11]. Selain itu, hamba tidak memiliki giliran sebagaimana isteri-isteri yang berpoligami memiliki giliran bermalam,[12] oleh itu mereka boleh disetubuhi pada bila-bila masa tanpa perlu meminta keizinan daripada isteri.

  1. Merujuk kepada kata-kata Hafsah RA: “Wahai Rasulullah, kamu melakukan hal menyetubuhi Mariah di rumahku dan pada hari giliranku?”. Ia tidak menunjukkan bahawa apa yang dilakukan oleh Nabi SAW merupakan pengkhianatan kepada dirinya. Buktinya dalam sebahagian riwayat Hafsah RA bertanya kepada Nabi SAW ketika Baginda ingin mengharamkan Mariah RA ke atas diri Baginda beliau berkata: “Mengapa kamu ingin mengharamkan sesuatu yang halal bagi kamu?” Apa yang diucapkan oleh Hafsah hanyalah disebabkan sifat cemburu yang merupakan tabiat semula jadi manusia.
  1. Dalam ayat tersebut, Allah SWT memanggil Nabi dengan panggilan yang mulia iaitu “wahai Nabi”. Ini menunjukkan kemuliaan dan ketinggian darjat Rasulullah SAW. Jika Allah SWT murka terhadap perbuatan Rasulullah SAW yang dikatakan telah mengkhianati isterinya, nescaya Allah SWT tidak akan menggunakan panggilan yang mulia seperti itu.
  1. Disebabkan keluhuran akhlak Baginda, Nabi mengharamkan Mariah al-Qibtiyyah RA untuk dirinya namun kemudian ditegur oleh Allah supaya tidak mengharamkan perkara yang halal untuk Baginda. Ini menunjukkan bahawa Mariah al-Qibtiyyah RA itu halal untuk Baginda sama ada sebelum mahupun setelah diturunkan ayat surah al-Tahrim[13].
  1. Tidak timbul isu Baginda tidak adil sebab bawa masuk mariah ke rumah Hafsah RA sebab rumah itu milik Nabi juga, dan Nabi SAW berhak nak bawa sesiapa sahaja ke dalam rumah Baginda tanpa perlu minta izin dari Hafsah RA.

Islam menuntut untuk berlaku adil kepada isteri-isteri dalam perkara berkaitan nafkah dan pembahagian hari untuk bermalam. Namun seorang suami tidak wajib untuk berlaku adil dalam perkara yang berkaitan kecenderungan hati dan perasaan sayang kerana ia merupakan perkara yang berkait dengan hati dan berada di luar kawalan seorang hamba.

Firman Allah SWT:

وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ ۚ

Maksudnya: Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh hendak melakukannya; oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan);

Surah al-Nisa’ (129)

Menurut Syeikh Majd Makki, ayat ini memperakui ketidakmampuan manusia untuk melayani para isteri secara sama rata dari sudut belaian kasih sayang dan kecenderungan hati, kerana ia berada di luar kemampuan manusia, meski betapa kuatnya usaha dan keinginan untuk berbuat demikian. Oleh itu, Allah SWT hanya mensyariatkan kepada suami agar berlaku adil seadil-adilnya kepada para isteri dari sudut pembahagian giliran dan nafkah, supaya tidak meninggalkan isteri terkontang-kanting tanpa dilayani haknya.[14]

Dalam sebuah hadis pula Nabi SAW bersabda:

اللهم هذا قَسْمي فيما أملِكُ، فلا تلُمْني فيما تملِكُ ولا أملِكُ

Maksudnya: “Ya Allah hanya inilah sekadar kemampuan yang aku miliki, janganlah Engkau mencelaku atas perkara yang Engkau miliki dan tidak aku miliki. ”

(Riwayat Abu Daud)

Imam Badruddin al-‘Aini menjelaskan bahawa menurut Imam al-Tirmizi, hadis ini berkaitan dengan perasan kasih dan sayang seseorang kerana ia bukan sesuatu yang berada di bawah kemampuan mahupun kekuasaannya. Ibn Abas pula berkata kamu tidak akan mampu untuk berlaku adil dalam perkara yang melibatkan perasaan antara isteri-isteri kamu. Menurut Ibn Munzir pula, ayat ini menunjukkan bahawa berlaku adil dalam bab perasaan bukan sesuatu yang wajib. Dalam sebahagian riwayat, Nabi SAW memberitahu bahawa Baginda mengasihi Aisyah RA lebih dari isteri-isteri yang lain. Namun kecenderungan hati ini hendaklah tidak menjadikan seseorang itu melakukan kezaliman apabila melibatkan hak nafkah dan pembahagian malam sesama isteri[15].

Dakwaan bahawa Nabi berlaku tidak adil ialah dakwaan jahat yang berpunca daripada kejahilan dan prasangka buruk terhadap peribadi Baginda. Keadilan Nabi SAW tidak dapat dipertikaikan lagi, bahkan dalam satu riwayat, Aisyah RA sendiri mengakui akan keadilan Nabi terutama berkaitan pembahagian giliran hari untuk isteri-isteri Baginda. Imam Abu Daud meriwayatkan bahawa Aisyah RA berkata:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم لا يفضل بعضنا على بعض في القسم من مكثه عندنا ولما كان في مرضه استأذنهن أن يمرض في بيت السيدة عائشة فأذنَّ له.

Maksudnya: “Rasulullah SAW tidak melebihkan sebahagian kami dengan yang lainnya dalam bab pembahagian hari untuk isteri-isteri Baginda, ketika Baginda sakit Baginda meminta izin kepada isteri-isteri Baginda untuk duduk di rumah Aisyah lalu mereka mengizinkan.

(Riwayat Abu Daud)

Abu Said al-Khudri RA meriwayatkan seorang lelaki bernama Zul Khuwaisirah meminta Nabi untuk berlaku adil ketika membahagikan harta rampasan perang. Lalu Baginda SAW bersabda:

ويلَكَ ومَن يعدلُ بعدي إذا لم أعدِلْ

Maksudnya: “Binasalah kamu! Siapakah lagi yang akan berlaku adil jika aku sendiri tidak adil?

(Riwayat Ibn Majah)

Saidina Umar RA  telah meminta izin kepada Nabi untuk memenggal kepala lelaki tadi kerana sifat kemunafikannya yang mempertikai Baginda namun Nabi SAW tidak membenarkannya dan Nabi SAW bersabda: “Mereka ialah golongan yang membaca al-Quran namun tidak melepasi kerongkong, mereka keluar dari agama seumpama tembusnya anak panah daripada binatang buruan.

 

Memelihara Adab Dengan Nabi Satu Tuntutan Syarak

Sebagai umat Islam yang beriman, kita perlu berhati-hati dalam menyandarkan sesuatu perkara kepada Nabi SAW. Hal ini supaya dapat menjaga serta memelihara adab dengan Rasulullah SAW agar tidak terjerumus dalam perbuatan menghina serta merendah-rendahkan Baginda SAW. Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ وَلَا تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍ أَن تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنتُمْ لَا تَشْعُرُونَ 

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya”

Surah al-Hujurat (2)

Imam al-Syawkani menjelaskan maksud ayat suci di atas bahawa Allah SWT memerintah hamba-hamba-Nya supaya memuliakan Rasulullah SAW serta tidak memanggil Baginda dengan gelaran orang ramai.[16] Oleh itu, umat Islam dilarang untuk merendah-rendahkan martabat kerasulan Baginda SAW kerana perbuatan mencela nabi itu menggambarkan kerosakan iktikad atau keyakinan mereka kepada nabi dan perkara ini menyebabkan kekufuran seperti yang dinyatakan Imam al-Subki.[17]

Begitu juga dengan mengungkapkan kata-kata seperti “Jika aku berbohong, nabi juga pernah berbohong” atau seumpamanya termasuk perbuatan merendah-rendahkan nabi SAW.[18] Menurut Qadhi ‘Iyadh, perbuatan ini seharusnya dikenakan hukuman seperti penjara atau takzir melalui kata-katanya.[19]

Jelaslah di sini agama Islam mengajar umatnya supaya menitik beratkan adab serta sikap cermat dalam menyamakan sesuatu perkara dengan nabi SAW supaya dapat menjaga akidah umatnya dengan baik.

Penutup

Kesimpulannya, tohmahan bahawa Rasulullah SAW tidak berlaku adil kepada para isteri Baginda tidak bersandar kepada fakta yang benar, bahkan tidak lebih sekadar satu tuduhan jahat akibat prasangka buruk terhadap Baginda.

Akhir kalam, adalah dinasihatkan supaya kita menjaga adab dengan Rasulullah SAW sebagai rasul utusan Allah SWT, yang merupakan sebaik-baik panutan dalam hidup. Hal ini supaya kita tidak terjerumus dalam perbuatan menghina serta merendah-rendahkan Baginda SAW.

Wallahu a‘lam.

Rujukan:

[1] Al-Tafsir al-Munir oleh Wahbah al-Zuhaily (1991) Damsyik: Dar al-Fikr, Cetakan Pertama, 28/306 والمراد بالتحريم: الامتناع من تناول العسل أو الاستمتاع ببعض الزوجات

[2] Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad al-Syaukani, Fath al-Qadir al-Jamiʻ Bayna Fannay al-Riwayah wa al-Dirayah min ‘Ilm al-Tafsir, ed. Hani al-Hajj (Kaherah: al-Maktabah al-Taufiqiyyah,2016), jld. 5: hlm. 316-317.

[3] Saʻid bin Mansur al-Khurasani, Sunan Saʻid bin Mansur, ed. Habib al-Rahman al-Aʻzami (Hindi: al-Dar al-Salafiyyah, 1982), no. hadis 1707, jld. 1: hlm. 438.

[4] Ahmad bin Syuʻaib al-Nasa’i, al-Mujtaba min al-Sunan, ed. ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah (Halab: Maktab al-Matbuʻat al-Islamiyyah, 1986), no. hadis 3959, jld. 7: hlm. 71.

[5] Muhammad bin Ismaʻil al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, ed. Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir (t.tp: Dar Tuq al-Najah, 1422), no. hadis 4912, jld. 6: hlm. 156.

[6] ‘Iyadh bin Musa, Ikmal al-Muʻlim bi Fawa’id Muslim, ed. Yahya Ismaʻil (Mesir: Dar al-Wafa’, 1998), jld. 5: hlm. 29.

كما أنه الصحيح فى أمر العسل، لا فى قصة أم إبراهيم، كما جاء فى غير الصحيحين، ولم يأت بتلك القصة طريق صحيح، قال النسائى: حديث عائشة فى العسل إسناده جيد صحيح غاية.

[7] Yahya bin Syaraf, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1392), jld. 10: hlm. 77.

[8] Abu al-Fida’ Ismaʻil bin ʻUmar bin Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, ed. Muhammad Husain Syams al-Din (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1419), jld. 8: hlm. 182.

[9] Syams al-Din al-Zahabi, Mizan al-Iʻtidal fi Naqd al-Rijal, ed. ‘Ali al-Bijawi (Beirut: Dar al-Maʻrifah, 1963), jld. 4: hlm. 201.

موسى بن جعفر الأنصاري عن عمه. لا يعرف، وخبره ساقط. قلت: هذا باطل.

[10] Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Talkhis al-Habir fi Takhrij Ahadith al-Rafiʻi al-Kabir (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1989), jld. 3: hlm. 446.

وَأَصْلُ هَذَا الْحَدِيثِ رَوَاهُ النَّسَائِيُّ وَالْحَاكِمُ وَصَحَّحَهُ مِنْ حَدِيثِ أَنَسٍ قَالَ كَانَتْ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَةٌ يَطَؤُهَا فَلَمْ تَزَلْ بِهِ عَائِشَةُ وَحَفْصَةُ حَتَّى حَرَّمَهَا عَلَى نَفْسِهِ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى: {يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ} 3. وَرَوَى أَبُو دَاوُد فِي الْمَرَاسِيلِ عَنْ قَتَادَةَ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَيْتِ حَفْصَةَ فَدَخَلَتْ فَرَأَتْ مَعَهُ فَتَاتَهُ فَقَالَتْ فِي بَيْتِي وَيَوْمِي فَقَالَ اُسْكُتِي فَوَاَللَّهِ لَا أَقْرَبُهَا وَهِيَ عَلَيَّ حَرَامٌ. وَبِمَجْمُوعِ هَذِهِ الطُّرُقِ يَتَبَيَّنُ أَنَّ لِلْقِصَّةِ أَصْلًا أَحْسِبُ لَا كَمَا زَعَمَ الْقَاضِي عِيَاضٌ أَنَّ هَذِهِ الْقِصَّةَ لَمْ تَأْتِ مِنْ طَرِيقٍ صَحِيحٍ وَغَفَلَ رَحِمَهُ اللَّهُ عَنْ طَرِيقِ النَّسَائِيّ الَّتِي سَلَفَتْ فَكَفَى بِهَا صِحَّةً وَاَللَّهُ الْمُوَفِّقُ.

[11] Muhammad Tahir Ibn Asyur, al-Tahrir wa al-Tanwir, Tunis: al-Dar al-Tunisyyah lil al-Nasyr (1984H), jld. 18, hlm. 14.

وَالْمُرَادُ حِلُّ الصِّنْفَيْنِ مِنْ بَيْنِ بَقِيَّةِ أَصْنَافِ النِّسَاءِ. وَهَذَا مُجْمَلٌ تُبَيِّنُهُ تَفَاصِيلُ الْأَحْكَامِ فِي عَدَدِ الزَّوْجَاتِ وَمَا يَحِلُّ مِنْهُنَّ بِمُفْرَدِهِ أَوِ الْجَمْعِ بَيْنَهُ. وَتَفَاصِيلُ الْأَحْوَالِ مِنْ حَالِ حِلِّ الِانْتِفَاعِ أَوْ حَالِ عِدَّةٍ فَذَلِكَ كُلُّهُ مَعْلُومٌ لِلْمُخَاطَبِينَ، وَكَذَلِكَ فِي الْإِمَاءِ.

[12] Imam al-Baijuri, Hasyiah al-Baijuri ala Syarh Ibn al-Qasim, Beirut: Dar al-Fikr (2009), jld. 2, hlm. 188.

قوله: (بين الزوجات) قيد لا بد منه خرج به ما لو كان عنده إماء بملك اليمين، فلا يجب القسم بينهن

[13] Rujuk Bayaneislam.net, Tuduhan Bahawa Nabi Mengkhianati Isteri-Isteri Nabi di Rumah Hafsah RA, Diakses pada 11.1.2023 daripada http://www.bayanelislam.net/Suspicion.aspx?id=02-01-0014

[14] Rujuk Al-Mu ‘in ‘ala Tadabbur al-Kitab al-Mubin oleh Majd Makki (2022), Dar Ibn Hazm, Cetakan Pertama, hlm. 99

 ولن تقدروا – أيها الرجال – أن تسوّوا بين النساء في الحب وميل القلب، لأن ذالك خارج عن قدرتكم ووسعكم، ولو حرصتم في تحريّ ذالك أتم الحرص، ولذالك لم يكلفكم الله به، إذ التكليف الشرعي يكون بما في الوسع والطاقة، فقاربوا واجتهدوا ألا تميلوا كل الميل إلى التي تحبونها في القسم والنفقة، فدعوا الأخرى التي لا تميلون إليها، كالمرأة التي ليس بذات زوج  تنال الحقوق الزوجية أو بعضها، ولا هي خالية الأزواج، كالشيء المعلق لا هو في السماء ولا على الأرض

[15] Imam Ibn Hajar al-Asqallani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Beirut: Dar al-Makrifah (1379M),  jld. 9, hlm. 313.

قَالَ التِّرْمِذِيّ: يَعْنِي بِهِ الْحبّ والمودة؛ لِأَن ذَلِك مِمَّا لَا يملكهُ الرجل وَلَا هُوَ فِي قدرته، وَقَالَ ابْن عَبَّاس ـ رَضِي الله تَعَالَى عَنْهُمَا ـ: لَا تَسْتَطِيع أَن تعدل بالشهوة فِيمَا بَينهُنَّ وَلَو حرصت، وَقَالَ ابْن الْمُنْذر: دلّت هَذِه الْآيَة على أَن التَّسْوِيَة بَينهُنَّ فِي الْمحبَّة غير وَاجِبَة، وَقد أخبر رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم أَن عَائِشَة أحب إِلَيْهِ من غَيرهَا من أَزوَاجه، فَلَا تميلوا كل الْميل بأهوائكم حَتَّى يحملكم ذَلِك على أَن تَجُورُوا فِي الْقسم على الَّتِي لَا تحبون

[16] Al-Syawkani, Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad. (1414H). Fath al-Qadir. Ed 1, Beirut: Dar Ibn Kathir.  Jld 5, hlm 70.

قَالَ الْمُفَسِّرُونَ: الْمُرَادُ مِنَ الْآيَةِ تَعْظِيمُ النبي صلّى الله عليه وَسَلَّمَ وَتَوْقِيرُهُ وَأَنْ لَا يُنَادُوهُ كَمَا يُنَادِي بَعْضُهُمْ بَعْضًا

[17] Al-Subki, Taqiyuddin ‘Ali bin ‘Abd al-Kafi. (2000). Al-Saif al-Maslul ‘Ala Man Sabb al-Rasul. Tahkik: Ibad Ahmad al-Ghouj. Ed 1, Jordan: Dar al-Fath. Hlm 428.

فإن المسلم إذا سب الرسول دل على سوء اعتقاده في رسول الله صلى الله عليه وسلم، فلذلك كفر

[18] Qadhi ‘Iyadh bin Musa bin ‘Iyadh. (1407). Al-Syifa Bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa. Ed 2, Oman: Dar al-Faiha’. Jld 2, hlm 521.

قصد الهزل والتندي بقوله: كَقَوْلِ الْقَائِلِ: إِنْ قِيلَ فِي السُّوءِ فَقَدْ قيل في النبي، أو إن كُذِّبْتُ فَقَدْ كُذِّبَ الْأَنْبِيَاءُ

[19] Ibid, Jld 2, Hlm 525.

فحقّ هذا إن درىء عَنْهُ الْقَتْلُ الْأَدَبُ، وَالسِّجْنُ وَقُوَّةُ تَعْزِيرِهِ بِحَسَبِ شُنْعَةِ مَقَالِهِ، وَمُقْتَضَى قُبْحِ مَا نَطَقَ بِهِ

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...