160: MEMBINA CITA-CITA SEMPENA TAHUN BARU 2019

 160: MEMBINA CITA-CITA SEMPENA TAHUN BARU 2019

tahun baru.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Tahun 2018 sudah hampir melabuhkan tirainya dan akan terbit fajar 2019. Apa yang berlaku sepanjang 2018, banyak perkara yang dapat kita muhasabahkan dan post mortem. Ini bertujuan untuk mengislahkan kehidupan yang mendatang dengan lebih cemerlang dan gemilang.

Warna-warni, suka-duka dan pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang 2018, itulah putaran hidup yang terpaksa kita lalui. Benarlah firman Allah SWT:

وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ

MaksudnyaDan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran)

(Surah Ali Imran: 140)

Dalam menapak ke hadapan pada 2019 ini, sudah semestinya kita mempunyai hasrat, harapan untuk bertambah baik dalam meniti kehidupan. Justeru, kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan Membina Cita-Cita Sempena Tahun Baru 2019.

 

Muhasabah 2018

Banyak peristiwa yang telah berlaku pada tahun 2018. Kami dapati ada yang berjaya, gembira dan sukacita. Sebaliknya tidak kurang yang kecewa, sedih dan berduka nestapa. Begitu juga ada yang dikurniakan dengan pelbagai anugerah dan nikmat.

Justeru tatkala kita dikurniakan nikmat, maka wajib kita zahirkan kesyukuran kepada Tuhan. Sebaliknya jika diuji dengan sedikit musibah, maka hendaklah dia bersabar. Sudah barang tentu kehidupannya sentiasa dipahalakan Allah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Suhaib R.A, Rasulullah SAW bersabda:

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya“Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

Riwayat Muslim (7692)

Pada saat yang sama, hendaklah kita bermuhasabah untuk mengislahkan diri ke arah yang lebih baik pada masa akan datang. Daripada baik kepada lebih baik dan daripada lebih baik kepada terbaik. Inilah manusia yang mendapat laba dan keuntungan dalam kehidupan. Semoga sinar 2019, kita penuhinya dengan cita-cita yang mulia untuk kita capai.

Dengan menginsafi diri, semua dari kalangan kita mahu menjadi orang yang cerdik, bijak dan beruntung dalam kehidupannya. Daripada Syaddad bin Aus R.A, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ

MaksudnyaOrang yang cerdik, siapa yang merendahkan dirinya dan beramal untuk bekalan selepas mati. Sedangkan orang yang lemah, siapa yang mengikut hawa nafsunya dan hanya bercita-cita kepada Allah.

Riwayat al-Tirmizi (2459) dan Ibn Majah (4260)

Syeikh al-Mubarakfuri dalam menjelaskan hadis di atas berkata: “(Orang yang cerdik) iaitu orang yang sentiasa memuhasabah dirinya di dunia sebelum dia dihisab di akhirat. Hal ini berbetulan dengan nasihat Saidina Umar al-Khattab R.A yang berkata:

حَاسِبُوا أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوا وَتَزَيّنُوا لِلْعَرْضِ الأَكْبَرِ وَإِنّمَا يَخِفّ الْحَسَابُ يَوْمَ القِيَامَةِ عَلَى مَنْ حَاسَبَ نَفْسَهُ في الدّنْيَا

Maksudnya: Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Dan berhiaslah untuk hari pembentangan yang agung. Sesungguhnya ringanlah penghisaban di hari Akhirat bagi sesiapa yang telah menghisab dirinya di dunia.”

(Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/156)

 

Definisi

Kami mulakan dengan maksud cita-cita. Menurut Kamus Dewan, cita-cita ialah:

  • Harapan, hasrat, keinginan (yang kuat).
  • Maksud, tujuan yang hendak dilaksanakan. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Dalam bahasa Arab, cita-cita disebut sebagai “أمنية” dan juga “أماني”. Ia hampir sama dengan makna dalam Kamus Dewan.

Manusia dimuliakan berbanding haiwan kerana diberi akal fikiran, ditambah dengan semangat yang kental untuk membina sebuah cita-cita bagi menggapainya. Dengan sebab itulah kehidupan manusia mampu membina tamadun berbanding haiwan yang hanya mengikut fitrah yang Allah tentukan.

 

Bagaimana Membina Cita-cita?

Kami kemukakan di sini beberapa cara untuk membina cita-cita:

  • Buat Keputusan untuk Tingkatkan Tahap yang Ingin Dicapai

Kehidupan seseorang boleh berubah sepenuhnya selepas membuat keputusan untuk menaikkan tahap yang ingin dicapai ke peringkat yang lebih tinggi. Tulis dengan jelas apa yang diingini, dan beri komitmen sepenuhnya untuk mencapainya. Masukkan juga, apakah kualiti diri yang sepatutnya dimiliki untuk mencapai perkara tersebut seperti sikap positif dan tidak menangguhkan kerja.

  • Bersama Tekad, Binakan Keazaman yang Utuh

Seperti yang dinyatakan di atas, keazaman dalam meraih cita-cita hendaklah disusun dengan penuh strategi dan pengalaman. Maka insya Allah, sebaik-baik natijah akan digapai. Pujangga menyatakan:

إذا كُنتَ ذا رأيٍ فَكُنْ ذا عَزيمَةٍ                فإنَّ فَسادَ الرأيِ أنْ تَترددا

                             “Jika kamu mempunyai pemikiran yang baik, maka sertakan dengan azam

                                                             Ini kerana rosaknya pemikiran apabila kamu tidak tetap pendirian.”

  • Tulis Impian dan Cita-Cita yang Ingin Dicapai

Jadikan setiap apa yang ingin dicapai dalam bentuk bertulis. Begitu juga semua perkara yang boleh menghalang dan cara mengatasinya. Tulis secara terus menerus setiap perkara yang dibayangkan. Curahkan semua idea berkaitan impian dan cita-cita yang ingin dicapai. Susun dalam bentuk garis masa, mungkin sehingga 5 atau 10 tahun akan datang. Jangan sekali-kali berfikir bahawa impian kita tersebut tidak realistik. Jangan meletakkan batas pada diri kita. Yakinlah, jika orang lain boleh mencapainya, mengapa tidak kita?

Dengan menulis impian, daripada itu kita dapat mengetahui secara terperinci berkaitan cita-cita kita serta mendapat gambaran yang jelas. Jadikan diri kita tidak dapat hidup tanpa impian dan matlamat tersebut.

  • Beri Komitmen Sepenuhnya

Menulis impian sahaja masih belum mencukupi. Bulatkan tekad dan beri komitmen sepenuhnya untuk mencapai impian tersebut. Beri komitmen sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi untuk merealisasikannya. Bertindak untuk mengubah strategi jika perlu. Tanamkan pemikiran bahawa sekiranya kita berhenti dan menyerah bermakna kita telah menjual impian kita. Yakinlah, sekiranya kita betul-betul memberi komitmen, pasti ada jalan untuk mencapainya.

Untuk melakukan perubahan, hakikatnya ia bukanlah soal kemampuan. Sebaliknya ia adalah berkaitan kemahuan dan motivasi. Cari alasan atau sebab yang kuat untuk berubah, dan setelah itu beri komitmen sepenuhnya bagi mencapainya.

  • Tempohkan Cita-cita yang Hendak Dicapai

Dengan hanya bercita-cita sahaja untuk menggapai dan mencapai sesuatu matlamat, namun tidak diberikan tempoh dan had masa untuk mencapainya, ia biasanya tidak tercapai. Kalau tercapai sekalipun, ia akan mengambil sejumlah masa yang besar. Makanya, kejayaan yang sepatutnya diraih hanya sia-sia dan habis begitu sahaja. Malang sekali jika kejadian seperti ini sering kali berulang saban tahun dengan cita-cita yang tak pernah kunjung tiba sekalipun ditekad dan diazamkan pada permulaan tahun. Jadikanlah cita-cita sebagai tangga yang perlu dinaiki di mana melangkah semestinya dari satu tahap ke satu tahap yang seterusnya agar kehendak cita-cita dapat direalisasikan dalam kehidupan kita. Amin.

  • Bersahabatlah dengan Orang yang Berjaya Meraih Cita-cita

Ini kerana sahabat menjadi cerminan kejayaan seseorang. Cerdik pandai pernah menyebut: “Beritahu kepadaku siapa sahabatmu, nescaya aku boleh memberitahu siapa diri kamu sebenar.” Hal ini berbetulan dengan hadis Nabi SAW:

الْمَرْءُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلْ

MaksudnyaSeseorang itu mengikut agama rakannya. Maka lihatlah seorang kamu siapa yang dia berkawan.

Riwayat Abu Daud (4833), al-Tirmizi (2378)
dan Ahmad (8398)

Sejarah membuktikan orang yang berjaya biasanya mempunyai rakan-rakan yang telah berjaya. Dengan sebab itu gandingan antara yang berjaya dengan yang berjaya menghasilkan kejayaan yang lumayan dan berganda. Justeru, pilihlah rakan-rakan yang telah berjaya dan bukannya yang kecewa dan gagal dalam kehidupan.

 

Cita-cita Saidina Umar al-Khattab R.A

Kami sengaja menyebut cita-cita Saidina Umar sebagai mengambil semangat dan inspirasi untuk kita bina cita-cita kita ke arah yang lebih baik dalam melayari bahtera kehidupan ini.

Suatu ketika, Saidina Umar bin al-Khattab R.A berkata kepada sahabat-sahabatnya:

تَمَنَّوْا ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ : أَتَمَنَّى لَوْ أَنَّ هَذِهِ الدَّارَ مَمْلُوءَةٌ ذَهَبًا أُنْفِقُهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَأَتَصَدَّقُ ، وَقَالَ رَجُلُ : أَتَمَنَّى لَوْ أَنَّهَا مَمْلُوءَةٌ زَبَرْجَدًا وَجَوْهَرًا فَأُنْفِقُهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَأَتَصَدَّقُ ،

ثُمَّ قَالَ عُمَرُ : تَمَنَّوْا فَقَالُوا : مَا نَدْرِي يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ ، فَقَالَ عُمَرُ : أَتَمَنَّى لَوْ أَنَّهَا مَمْلُوءَةٌ رِجَالاً مِثْلَ أَبِي عُبَيْدَةَ بْنِ الْجَرَّاحِ ، وَمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ ، وَسَالِمٍ مَوْلَى أَبِي حُذَيْفَةَ ، وَحُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ.

Maksudnya"Tunjukkan cita-cita kamu." Salah seorang menjawab, "Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi dengan emas, agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah!" Sahabat yang lain pula berkata: "Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi zamrud dan batu permata agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah!"

Kemudian Umar R.A berkata lagi: “Tunjukkan cita-cita kamu.” Mereka menjawab: “Kami tidak tahu wahai Amir al-Mukminin.”

Lalu Umar R.A berkata: "Aku bercita-cita agar rumahku dipenuhi pemuda-pemuda seperti Abu Ubaidah Ibn al-Jarrah, Mu'adz bin Jabal, Salim Maula Abi Huzaifah dan Huzaifah ibn al-Yaman.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (5005),
dan Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (318)

Mafhum daripada cita-cita sahabat dan Saidina Umar amat banyak. Antaranya:

  • Sahabat bercita-cita untuk mendapat kejayaan dalam hidup yang disambung dengan kejayaan akhirat. Ia seolah-olah dunia sebagai ladang akhirat untuk menatijahkan pahala dan syurga di hari akhirat kelak.
  • Cita-cita Saidina Umar jelas menunjukkan betapa jauhnya ufuk minda dan pemikiran Saidina Umar dalam meraih human capital atau modal insan bagi manusia kerana ia menjadi pengubah dunia dan pemakmurnya mengikut neraca Syari’ah. Justeru, cita-cita Saidina Umar jauh lebih besar berbanding dengan yang lain.
  • Nama-nama yang disebut oleh Saidina Umar seperti Abu Ubaidah Ibn al-Jarrah, Mu'adz bin Jabal, Salim Maula Abi Huzaifah dan Huzaifah ibn al-Yaman adalah tokoh yang amat istimewa dengan kelebihan yang tersendiri, menegak dan mengukuhkan agama Islam dan sebaran dakwah Islamiyyah begitu meluas. Mereka juga adalah antara yang cerdik, bijak, berhikmah dan mempunyai kesabaran yang amat tinggi untuk menjulang Syariat Islamiyyah.

 

Cita-cita Tokoh Besar

Kami sengaja kemukakan cita-cita tokoh besar untuk sama-sama kita tekuni. Mudah-mudahan kita juga satu masa nanti akan memperolehi apa yang kita cita-citakan. Antaranya:

  • Barack Obama[1], Mantan Presiden Amerika Syarikat

Beliau telah mengungkapkan cita-cita menjadi presiden sejak di bangku sekolah rendah dan sehingga dewasa cita-citanya tidak pernah berubah. Perkara ini diceritakan oleh Israella Pareira, salah seorang bekas gurunya semasa di sekolah rendah.

Obama kemudian merealisasikan cita-cita yang dipasakkannya sejak hampir 40 tahun lalu. Seluruh dunia menyaksikan Barack Obama mewujudkan cita-citanya menjadi presiden pertama dari bangsa kulit hitam dengan mengalahkan lawannya, John McCain.

  • Bill Gates[2], Pengasas Microsoft

Ayah beliau, William H. Gates berkata bahawa anaknya ketika di bangku sekolah rendah pernah diminta untuk menulis tugasan berkenaan cita-cita. Beliau kemudian menggambarkan sebuah kotak dengan tulisan saintis di sebelahnya. Beliau sememangnya telah menunjukkan minat dalam bidang sains sejak kecil lagi. Sebahagian besar masanya dihabiskan dengan membaca dan bermain dengan programming komputer sejak usia 13 tahun lagi.

Beliau kemudian mengasaskan perniagaan software bersama rakannya Paul Allen pada 1975. Antara tahun 1978-1981, Microsoft berkembang dengan pesat. Sehinggalah sekarang banyak komputer di dunia menggunakan software Microsoft.

  • Thomas Alva Edison[3]

Sebelum beliau berjaya, beliau telah ribuan kali melakukan eksperimen yang gagal. Ketika rakan-rakannya mengejek kegagalannya, beliau menjawab: “Tidak, aku sama sekali tidak gagal dalam percubaan ini. Aku hanya menemui satu cara baharu yang menjadikan mentol ini tidak menyala.”

  • Stephen Hawking[4]

Beliau menonjolkan minat dan bakatnya terhadap matematik dan fizik sejak masa kecil lagi. Ketika berumur sebelas tahun, Hawking menghadiri Sekolah St Albans di Hertfordshire yang berhampiran dengan London. Hawking kemudian menyertai Kolej Universiti, Oxford, dan hendak belajar matematik. Apabila kursus matematik tidak ada, beliau belajar fizik sebagai ganti.

Pada 1974, Hawking menjadi satu daripada felo termuda badan saintifik berprestij di Britain, Royal Society pada usia 32 tahun. Seterusnya pada 1979, beliau dilantik sebagai Profesor Lucas Matematik di Universiti Cambridge yang pernah dipegang oleh Isaac Newton.

Ramai yang suka bekerja dengan beliau kerana sikap agresif dan gaya fikirnya untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa. Dalam masa yang sama, terdapat segelintir individu yang memandang sikap ini sebagai satu sikap yang sia-sia. Mereka beranggapan, menghasilkan sesuatu yang belum pernah dihasilkan orang lain adalah satu tindakan yang membazir masa. Kita akan menghadapi risiko yang tinggi, sama ada kerugian berbilion ringgit, atau kerugian masa selama bertahun-tahun akibat mengusahakan sesuatu yang tidak pasti.

Tetapi tidak pada diri Steve Jobs. Selagi beliau mahu produk itu disiapkan, maka ia mesti disiapkan. Walau apa jua cara sekalipun.

Bill Gates – rakan yang juga pesaingnya – pernah mengungkapkan bahawa tiada siapa mampu menandingi kemampuan Steve Jobs dalam mencapai sesuatu yang diinginkan. [6]

 

Cita-cita Ulama'

Kami lampirkan di sini hasrat dan cita-cita para ulama sedari kecil lagi. Antaranya:

  • Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Ketika ditanya semasa di bangku sekolah, “Apa cita-cita kamu?” Beliau menjawab, “Ingin menjadi Syeikh al-Azhar.” Guru yang bertanya terkejut dan menggelengkan kepala.

Walaupun Syeikh al-Qaradhawi belum ditakdirkan menjadi Syeikh al-Azhar sedangkan kemampuan dan ilmunya amat luar biasa. Justeru murid-muridnya berkata, “Kamu bukan Syeikh al-Azhar tetapi kamu adalah Syeikh al-Ummah.” Dalilnya beliau pernah menjawat sebagai Pengerusi Kesatuan Ulama’ Sedunia dan beliaulah yang mengasaskannya, yang menghimpunkan ulama’ seluruh dunia.

Beliau merupakan salah seorang tokoh yang luar biasa dalam ilmu perubatan. Kemampuannya boleh merawat seorang raja menyebabkan raja tersebut bertanya kepadanya, “Apakah yang diingini dan dicita-citakan?” Maka jawabnya, “Patik dengar, tuanku mempunyai perpustakaan yang besar, di mana banyak kitab-kitab yang nadir terdapat dalam perpustakaan tuanku. Maka izinkan patik masuk untuk membacanya.”

  • Imam Izzuddin Ibn Abdissalam[8]

Imam Taqiyyuddin al-Subki berkata, “Pada mulanya Syeikh Izzuddin hidup dalam keadaan sangat miskin. Beliau baru mula belajar ketika sudah berusia dewasa. Faktor yang membuat beliau tergerak untuk belajar adalah pernah suatu hari beliau tidur di pintu bahagian utara Masjid Umawi di Damsyiq. Cuaca malam itu sangat dingin, lantas beliau bermimpi basah (junub). Dengan segera beliau bangun dan pergi ke perigi untuk mandi. Setelah mandi, beliau merasa sangat sejuk. Kemudian beliau kembali lagi tidur dan bermimpi basah lagi. Akhirnya pergi lagi ke perigi untuk mandi. Kerana pintu masjid ketika itu tertutup dan tidak membolehkannya keluar, maka beliau memanjat pintu. Namun akhirnya beliau pengsan disebabkan terlalu sejuk. Perkara itu terjadi kerana beliau tidak mengetahui bahawa sebenarnya beliau dibolehkan untuk tidak mandi dan menggantinya dengan tayamum ketika musim dingin dan tidak ada air hangat. Ketika beliau mengetahui hal itu, beliau bertekad untuk mulai mencari ilmu.

Meskipun beliau baru mula menuntut ilmu pada usia tua, namun beliau sangat bersemangat menghafaz kitab dan giat belajar, dan secara berkala belajar kepada para ulama’ besar pada masa tersebut. Semua itu beliau lakukan untuk menebus masa kecilnya yang tidak sempat merasai pendidikan lantaran keadaan keluarga beliau yang miskin.

Ketekunan beliau ditunjukkan dengan jarangnya tidur pada malam hari. Beliau pernah berkata bahawa selama 30 tahun beliau tidak tidur sebelum benar-benar memahami kitab yang sedang beliau pelajari. Selain itu lingkungan di mana beliau tinggal, iaitu Damsyiq pada masa itu adalah daerah yang dipenuhi ulama’-ulama’ yang masyhur dalam pelbagai ilmu.

  • Umar bin Abdul Aziz

Beliau dibesarkan di kota Madinah dalam keadaan yang cukup selesa di samping bergaul dengan pembesar, para ulama dan orang-orang soleh. Hatinya sangat rindu kepada Masjid Nabi sehinggakan beliau sentiasa berada di sana. Hatinya begitu terpaut kepada ulama yang terkemuka pada masa itu, iaitu Abdullah bin Umar, bapa saudara kepada ibunya. Beliau bercita-cita mengambil hadis daripadanya dan begitu bersemangat untuk mengikuti sirah Abdullah bin Umar. Pernah pada suatu ketika, beliau berkata kepada ibunya: “Hai ibu, aku suka untuk menjadi seperti bapa saudaraku (Ibn Umar).” Lantas ibunya menjawab seolah-olah dengan nada kehairanan: “Kamu mahu menjadi seperti bapa saudaramu?” Ibunya mengulangi persoalan tersebut berulang kali.

 

Hasrat dan Cita-cita Kami

Dengan datangnya tahun baru, sudah tentu akan terdetik hajat dan cita-cita untuk digapai. Kami berpendapat adalah amat baik dan perlu untuk membina hala tuju, dengan keterbatasan masa yang kita miliki bagi mencapai hasrat tersebut. Antaranya:

  • Membentuk peribadi yang soleh dan musleh.

Menzahirkan sifat basyari yang terwujud di dalamnya insaniyyatul insan bahkan sampai kepada tahap ehsan. Ini sudah tentu dapat mentahqiqkan dalam menjadi hamba Allah yang soleh dan musleh. Saat yang sama, menghilangkan dari dalam diri kita sifat-sifat mazmumah seperti qasawatul qulub (kerasnya hati).

  • Membina Keluarga Bahagia

Di saat banyak institusi rumah tangga yang tidak stabil atau goyah dan kehidupan yang penuh emosi dan tekanan, maka sewajarnya kita bertekad untuk menjadikan rumah tangga yang kita bina dan kita layarinya meraih rumah tangga bahagia dan layak dinyatakan sebagai Baiti Jannati.

Rumah tangga seperti ini perlulah ada dua hubungan yang terbaik; hubungan kekeluargaan dan hubungan dengan Allah. Konsep jama’ah keluarga perlu dihayati dan dilaksanakan seperti solat berjemaah, lebih-lebih lagi membawa keluarga ke masjid, makan berjemaah, pergi menghadiri majlis ilmu secara berjemaah dan juga wujudnya perbincangan yang sihat dan segar dalam membaiki sebuah kefahaman yang benar dan hala tuju yang jelas. Semoga dengan sentiasa berdoa seperti yang diajarkan akan menatijahkan Baiti Jannati:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

  • Masyarakat yang Makmur

Ini sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Maksudnya“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

(Surah al-Hujurat: 13)

Ulama tafsir terkenal, Imam al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa. Kita semua diciptakan daripada seorang ibu dan seorang ayah dan tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan. (Lihat al-Kasysyaf ‘an Haqa’iq Ghawamidh al-Tanzil, 4/374)

Di dalam kehidupan, memahami konsep kejiranan dan juga sifat toleransi sesama manusia lebih-lebih lagi dalam negara yang sama akan menatijahkan keharmonian dan kasih sayang. Ini akan membawa kebaikan dalam hubungan dan interaksi, membuang segala sifat curiga-mencurigai dan tohmah serta hipokrit dengan menjadikan dan menonjolkan sifat-sifat kesamaan dan kasih sayang akan membawa kepada masyarakat yang harmoni dan cita-cita negara yang aman dan makmur akan kita perolehi.

Umar bin Abdul Aziz pernah berkata: “Fiqh yang terbesar ialah bersifat dengan qana’ah dan menahan daripada menyakiti manusia.” Kenyataan ini berdasarkan kepada buku Sirah Ibn Abdul Aziz, karya Ibn al-Jauzi. Ia merupakan sebuah nasihat yang disampaikan oleh Umar bin Abdul Aziz kepada Uthman al-Dujani supaya mengajar anaknya berkenaan dengan fiqh yang terbesar. Dengan mengamati dua sifat tersebut iaitu qana’ah dan menahan daripada menyakiti hati manusia, sudah pasti ianya membawa kelebihan kepada seseorang dalam melayari bahtera kehidupan kerana kedua-duanya akan terselamat daripada sifat mazmumah dan disakiti oleh manusia.

  • Negara yang Merdeka dan Makmur

Cinta kepada negara dan diisi negara tersebut dengan segala kebaikan dan kebajikan menjadi puncak ketenangan masyarakat. Kami nukilkan di sini pendapat tokoh berkenaan cinta kepada negara dan kaitannya:

  • J.B Colbert berkata: “Kebesaran sesuatu negara tidak diukur dengan luas daerahnya tetapi diukur daripada watak masyarakatnya.”
  • Robespierre berkata: “Negara yang merdeka adalah negara yang mana hak-hak manusia dihormati dan semua undang-undang bersifat adil.”
  • Plato berkata: “Manusia tidak lahir bagi dirinya sendiri, tetapi bagi negaranya.”
  • Albert Camus berkata: “Saya perlu mencintai negara saya dan keadilan.”
  • E.R Bulwer Lython berkata: “Setiap orang mencintai dan bangga pada negaranya sendiri, kerana dia dilahirkan di negara itu.” (Lihat Negara Sejahtera Rahmat untuk Semua, hlm. 4)

Tiga perkara asas yang perlu dimiliki negara bahagia ialah:

  • Politik yang stabil dan kukuh.
  • Ekonomi yang baik dan mantap.
  • Kesatuan rakyat dan perpaduan yang ampuh.

Dalam konsep kehidupan bernegara dan bermasyarakat, bahkan untuk peribadi dan keluarga sekalipun, meraih keberkatan Tuhan adalah matlamat utama. Hal ini dapat dicapai melalui iman, amal soleh dan taqwa. Benarlah firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

MaksudnyaDan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

(Surah al-A’raf: 96)

Pada saat yang sama, kami mengharapkan agar negara kita disisihkan dari sebarang bala dan bencana seperti gempa bumi, bah besar, puting beliung, tanah runtuh dan gegaran yang dahsyat. Begitu juga memohon agar selamat daripada rusuhan kaum, huru-hara, pembunuhan, rasuah serta perlakuan yang tidak bermoral.

Sekali lagi kami tegaskan bahawa negara maju seperti mana yang ada di depan mata kita sekarang yang diwakili oleh sejumlah negara Eropah di Barat serta Jepun dan Korea di Timur adalah negara yang berusaha mencapai elemen good governance ini. Nilai-nilai kebebasan melalui demokrasi disuburkan, hak asasi manusia ditegakkan, gejala rasuah disifarkan, keadilan dan kedaulatan undang-undang dipupus, nilai-nilai keperibadian yang baik cuba dibentuk dan sebagainya. Hasilnya, negara di Barat aman dan makmur selama lebih satu abad.

Kesalahan mereka hanyalah kerana semua nilai itu dibina berdasarkan penularan akal semata-mata tanpa bimbingan wahyu. Di situlah titik perbezaan antara kita (Islam) dengan mereka. Jika elemen ini disatukan dengan pancaran wahyu Ilahi dan Sunnah Nabawi, sudah tentu negara maju yang berpijak pada baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur akan menjelma dan kemakmurannya akan lebih terasa. Barat hanya ada baldatun toyyibah tanpa rabbun ghafur, malangnya kita langsung tidak punyai apa-apa. Baldatun Toyyibah tiada, malah rabbun ghafur amat jauh sekali. (Lihat Mukadimah Negara Sejahtera Rahmat untuk Semua)

Akhir kalam, kami mengharapkan sebuah kebaikan dan keberkatan hidup sentiasa menaungi kami dan singgah dalam kehidupan kita semua yang akhirnya membawa kebahagiaan dan ketenangan. Ingatlah, api kemarahan dan dendam kesumat tiada yang bermanfaat kecuali kebinasaan dan kerugian yang akan mengundang ke dalam kehidupan kita. Justeru, tepuk dada tanyalah iman.

Kami menadah tangan dan bermunajat kepada Yang Maha Esa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ مَاليزِيَا وَسَائِرَ بِلَادِ الْمُسْلِمِينَ طَيِّبَةً آمِنَةً مُطْمَئِنَّةً رَخِيَّةً، يَا رَؤُوفًا بِالْعِبَادِ

اللَّهُمَّ أَعِزَّ الْإِسْلَامَ وَالْمُسْلِمِينَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَحِيْنٍ، وانْصُرْ مَن نَصَرَ الدِّينَ، وَاخْذُلْ

مَنْ خَذَلَ الْمُسْلِمِينَ، وَأَعْلِ كَلِمَتَكَ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ، وَدَمِّرْ أعْدَاءَكَ أعْدَاءَ الدِّينِ

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Semoga negara kita Malaysia yang kita pijak ini, menjadi negara yang aman sentosa serta diberkati Allah dan seperti yang disifatkan Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur. Amin.

 

Akhukum fillah,

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
31 Disember 2018 bersamaan 22 Rabi’ al-Akhir 1440 Hijrah.

 

 

Nota Hujung:

[1] Barack Hussein Obama II (lahir 4 Ogos 1961) ialah bekas Presiden Amerika Syarikat yang ke-44. Beliau merupakan orang Amerika Afrika pertama dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat, serta yang pertama lahir di Hawaii. Sebelum ini, Obama merupakan senator muda dari Illinois sebelum meletakkan jawatan pada 16 November 2008 untuk bertanding dalam pilihan raya presiden. Selepas menang, Obama mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat di Kapitol Amerika Syarikat pada 20 Januari 2009. Pada 9 Oktober 2009 pula, Obama diumumkan sebagai penerima Hadiah Keamanan Nobel 2009 untuk "usaha luar biasanya dalam menguatkan diplomasi antarabangsa dan kerjasama antarabangsa". (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Barack_Obama)

[2] William Henry Gates III (dilahirkan pada 28 Oktober 1955) atau lebih dikenali sebagai Bill Gates, ialah ahli perniagaan Amerika Syarikat dan pengasas Microsoft Corporation (bersama Paul Allen). Beliau juga adalah pengerusi, bekas Ketua Perisian Arkitek dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif untuk Microsoft Corporation , syarikat perisian terbesar di dunia.

Bill Gates kerap membuat sumbangan dengan mendermakan jumlah wang yang besar kepada banyak organisasi dan program kajian sains menerusi yayasan yang ditubuhkan beliau pada tahun 2000, Bill & Melinda Gates Foundation.

Majalah Forbes, menyenaraikan beliau sebagai orang terkaya di dunia untuk 13 tahun berturut-turut, dengan nilai sebanyak $60 bilion. Pada tahun 2008, kesusutan nilai saham Microsoft sebanyak 15% meletakkan beliau ke tempat ke-3 selepas Iddin dan Zayid (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Bill_Gates)

[3] Thomas Alva Edison (11 Februari 1847 – 18 Oktober 1931) ialah seorang pereka dan usahawan Amerika Syarikat yang mengembangkan banyak peranti yang amat mempengaruhi kehidupan di seluruh dunia. Digelar "Yang Pintar dari Taman Menlo" oleh seorang wartawan, beliau adalah salah satu pereka terawal yang menggunakan pengeluaran besar-besaran untuk proses perekaan dan oleh itu, sering dihargai kerana mencipta makmal penyelidikan perindustrian yang pertama.

Edison telah dianggap sebagai salah satu pereka yang paling prolifik dalam sejarah, dan memiliki 1,093 buah paten Amerika Syarikat atas namanya, serta juga banyak paten di United Kingdom, Perancis, dan Jerman. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Thomas_Edison)

[4] Stephen William Hawking (8 Januari 1942 – 14 Mac 2018) merupakan seorang ahli fizik teori, ahli kosmologi, penulis England dan Pengarah Penyelidikan di Pusat Teori Kosmologi di dalam Universiti Cambridge. Kerja-kerja saintifiknya termasuk kerjasama dengan Roger Penrose mengenai teorema singulariti graviti dalam rangka kerelatifan umum dan ramalan teori bahawa lubang hitam memancarkan sinaran, yang sering dipanggil radiasi Hawking. Hawking ialah orang pertama yang membentangkan teori kosmologi yang dijelaskan oleh kesatuan teori umum relativiti dan mekanik kuantum. Beliau merupakan penyokong yang kuat dari tafsiran banyak dunia tentang mekanik kuantum.

Hawking merupakan Ahli Kehormat Royal Society of Arts (FRSA), ahli seumur hidup Akademi Sains Kepausan, dan penerima Presidential Medial of Freedom, anugerah awam tertinggi di Amerika Syarikat. Pada tahun 2002, Hawking menduduki tempat ke-25 dalam tinjauan BBC mengenai 100 orang Inggeris Terhebat. Beliau merupakan Profesor Matematik Lucasian di Universiti Cambridge antara tahun 1979 dan 2009 dan mencapai kejayaan komersial dengan karya sains popular di mana beliau membincangkan teori dan kosmologinya sendiri secara umum. Buku beliau, A Brief History of Time, muncul di senarai jualan terlaris Britain Sunday Times untuk rekod sepanjang 237 minggu.

Hawking mempunyai bentuk neuron motor yang lambat pada permulaan awal yang jarang berlaku (juga dikenali sebagai sclerosis lateral amyotrophic atau "ALS" dan penyakit Lou Gehrig), yang secara perlahan melumpuhkannya selama beberapa dekad. Walaupun selepas kehilangan keupayaan bercakap, beliau masih dapat berkomunikasi melalui alat penjanaan percakapan, pada mulanya melalui penggunaan suis tangan, dan akhirnya dengan menggunakan otot pipi tunggal. Beliau meninggal dunia pada 14 Mac 2018 pada usia 76 tahun. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Stephen_Hawking)

[5] Steven Paul "Steve" Jobs (24 Februari 1955 – 5 Oktober 2011) ialah seorang usahawan dan pencipta berbangsa Amerika Syarikat. Beliau merupakan pengasas, pengerusi, dan bekas CEO of Apple Inc. Jobs juga pernah menjadi ketua pegawai eksekutif Pixar Animation Studios; dan juga menganggotai lembaga pengarah The Walt Disney Company pada tahun 2006, setelah Pixar dibeli oleh Disney. Beliau dihargai sebagai penerbit eksekutif dalam filem Toy Story (1995).

Sejarah perniagaan Jobs telah banyak berbakti kepada imej simbolik seseorang usahawan Silicon Valley yang idiosinkratik dan individualistik, menekankan kepentingan reka bentuk serta memahami peranan penting yang dimainkan oleh estetika dalam menarik perhatian umum. Beliau disanjungi kerana jasanya memajukan pembangunan keluaran-keluaran yang berguna dan anggun pada masa yang sama. Pada 24 Ogos 2011, Jobs mengumumkan perletakan jawatannya sebagai KPE Apple dan bakal digantikan oleh Tim Cook. Atas permintaan beliau, Jobs dilantik sebagai Pengerusi lembaga pengarah Apple. Pada 5 Oktober 2011, Apple mengumumkan bahawa Steve Jobs meninggal dunia pada usia 56 tahun. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Steve_Jobs#cite_note-NYT-20111005-3)

[6] Lihat http://www.majalahniaga.com/steve-jobs-lagenda-atau-auta.html

[7] Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdullah Ibn Sina, dikenali sebagai Ibnu Sina atau Avicenna di dunia Barat, merupakan salah seorang pakar sains dari Uzbekistan yang hidup antara tahun 980 hingga 1037 M. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Abu_Ali_Al-Hussain_Ibn_Abdallah_Ibn_Sina)

[8] Abdul Aziz bin Abdul Salam al-Sulami al-Dimasyqi al-Misri al-Syafi. Beliau dikenali dengan panggilan al-Izz atau Izzuddin bin Abdul Salam. Beliau digelar Sultan Ulama’ dan Penjual Raja-Raja. Beliau dilahirkan pada tahun 577H dan meninggal dunia di Mesir pada tahun 660H.

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...