69: FIQH JENAZAH: BEBERAPA PERSOALAN
Mukadimah
Kematian adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan. Setiap yang bernyawa pasti akan merasainya. Firman Allah SWT:
كُلُّ نَفۡسٖ ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ
Maksudnya: Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati
(Aal Imran: 185)
Baru-baru ini kita juga telah dikejutkan dengan kematian seorang pendakwah, tokoh politik yang terkemuka iaitu al-Fadhil Tuan Guru Ustaz Dato’ Dr. Harun Din Rahimahullah pada hari Jumaat 16 September 2016 bersamaan dengan 14 Zulhijjah 1437 H tatkala menerima rawatan di Hospital Universiti of Stanford, Amerika Syarikat. Sekali lagi kami ucapkan takziah buat ahli keluarga al-Fadhil Tuan Guru Ustaz Dr. Harun Din. Semoga tabah dan sabar dalam menempuh ujian ini.
Begitulah kehidupan manusia di dunia, pasti akan bertemu juga pengakhirannya. Pengakhirannya yang mana telah ditetapkan sejak azali lagi. Sehubungan dengan itu, Bayan Linnas pada kali ini ingin mengupas beberapa permasalahan berkaitan dengan solat jenazah ghaib, tempat pengebumian dan juga beberapa isu yang lain untuk panduan kita bersama.
Semoga dengan perkongsian selepas ini dapat memberikan kita sedikit bekalan mengenai ilmu yang berkaitan dengan pengurusan jenazah seterusnya dapat difahami serta diamalkan dengan baik.
Sunnah Menerima Berita Kematian
Kematian adalah salah satu dari jenis musibah yang telah disebutkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Firman Allah SWT:
وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَيۡءٖ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٖ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَٰلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّٰبِرِينَ ١٥٥ ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَٰبَتۡهُم مُّصِيبَةٞ قَالُوٓاْ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٰجِعُونَ ١٥٦
Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
(Al-Baqarah: 155-156)
Begitulah petunjuk yang telah diberikan melalui wahyu yang mana apabila berlakunya musibah (kematian) maka antara ciri-ciri mereka yang bersabar dengan musibah tersebut adalah mereka yang mengucapkan istirja’ iaitu ucapan: إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٰجِعُونَ
Ucapan Takziah
Takziah sepertimana yang didefinisikan oleh sebahagian ulama bermaksud suatu ucapan yang diucapkan bagi menggembirakan hati mereka yang ditimpa musibah serta galakan untuk bersabar serta doa buat si mati dan juga ahli keluarga. Ini sepertimana yang telah ditakrifkan oleh Ibn Muflih di dalam kitabnya al-Furu’.
Begitu juga dengan al-Imam al-Nawawi ketika membicarakan tentang takziah. Kata beliau:
“Ketahuilah, sesungguhnya takziah itu adalah bersabar dengan menyebutkan sesuatu yang baik (untuk menghiburkan hati) mereka yang ditimpa musibah, meringankan kesedihannya dan ianya adalah suatu yang mustahabbah (disunatkan). Ianya termasuk di dalam perkara amar makruf dan mencegah kemungkaran sepertimana firman Allah SWT: وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى (dan bertolong-tolonganlah kamu dalam kebaikan dan juga taqwa)dan inilah pendalilan yang terbaik di dalam takziah. Ianya juga sahih sabit daripada Nabi SAW yang mana telah bersabda: وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ (dan Allah SWT sentiasa membantu hambanya selagi mana hamba-Nya itu membantu saudaranya).”
[Lihat al-Azkar, hlm. 148-149]
Antara ucapan takziah yang disunatkan untuk diucapkan ialah:
أَنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ، وَلَهُ مَا أَعْطَى، وَكُلُّ شَىْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمًّى…فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ
Maksudnya: Sesungguhnya kepunyaan Allah segala yang telah diambil dan kepunyaan-Nya segala yang telah diberi dan bagi setiap sesuatu di sisi-Nya mempunyai tempoh yang tertentu…bersabarlah dan haraplah pahala daripada Allah.
Riwayat Al-Bukhari (7377)
Jelas juga pada nas nabawi ini yang menganjurkan kepada mereka yang menerima musibah agar bersabar dan sentiasa bermuhasabah. Ini amat penting dalam sebuah kehidupan muslim sejati.
Solat Jenazah Ghaib
Solat jenazah ghaib adalah solat yang dilakukan ke atas mayat yang tidak ada pada tempat tersebut seperti mayat yang berada jauh dari negara asalnya. Pensyariatan solat jenazah ghaib ini adalah berdasarkan sabda Nabi SAW daripada Abu Hurairah RA:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي الْيَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ، خَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا.
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW memberitahu akan berita kematian al-Najasyi ketika hari kematiannya. Baginda SAW keluar ke musolla, membuat saf dan bertakbir sebanyak empat kali.
Riwayat Al-Bukhari (1245)
Hadith di atas menjadi dalil pensyariatan bagi solat jenazah ghaib bagi mazhab Syafi’e dan juga Hanbali. Adapun mazhab Hanafi dan Maliki, mereka mengatakan bahawa solat jenazah ghaib ini adalah khususiyyah buat Nabi SAW dan tidak disyariatkan bagi yang lain.
Al-Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam al-Majmu’:
“Mazhab kami membolehkan solat jenazah ghaib bagi yang jauh dari sesuatu negeri manakala Abu Hanifah melarangnya. Dalil yang kami gunakan adalah hadith sahih mengenai al-Najasyi…”.
[Lihat al-Majmu’, 5/211]
Adapun pendapat mazhab Hanafi dan juga Maliki itu tertolak kerana sekiranya ia adalah khususiyyah Nabi SAW, maka ianya memerlukan kepada dalil yang sahih dan pada asalnya juga, perbuatan Nabi SAW adalah untuk diikuti dan diamalkan sesuai dengannya.
Adapun persoalan ke atas siapa disyariatkan sembahyang jenazah ghaib ini, maka terdapat khilaf dikalangan para ulama’ di dalam permasalahan ini. Kami ringkaskan seperti berikut:
- Pendapat pertama: Al-Syafi’eyyah dan juga al-Hanabilah berpendapat bahawa disyariatkan solat jenazah ghaib ini kepada semua yang ghaib dari negerinya meskipun telah disolatkan pada tempat dia meninggal.
- Pendapat kedua: Disyariatkan untuk diadakan solat jenazah ghaib kepada jenazah yang semasa hidupnya banyak memberi manfaat kepada umat Islam seperti seorang alim ulama’, mujahid, seorang yang kaya terkenal dengan sifat dermawannya atau yang setaraf dengannya. Ini adalah salah satu pendapat dari pendapat al-Imam Ahmad dan ini juga adalah pendapat Syeikh al-Sa’di dan ini juga adalah fatwa al-Lajnah al-Daimah, Arab Saudi.
- Pendapat ketiga: Solat jenazah ghaib hanya disyariatkan sekiranya tiada yang menyembahyangkan mayat tersebut di tempat yang dia meninggal seperti seseorang yang meninggal di negara bukan Islam dan tiada siapa yang boleh menguruskan jenazahnya. Sekiranya di tempat itu, mayat tersebut telah disembahyangkan maka gugur hukum untuk melakukan solat sunat ghaib terhadap mayat tersebut. Ini juga adalah salah satu pandangan dari al-Imam Ahmad dan pandangan ini juga dipegang oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan juga anak muridnya, al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah.
Waktu Solat Ghaib
Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Bermula dari saat berita kematian hingga berlangsung selama tiga hari. Ini kerana tiga hari itu adalah tempoh bertakziah menurut yang maklum dari kitab-kitab fiqh.”
Yang muktamad adalah harus solat selama mana beliau adalah ahli solat ketika kematian berlaku. Lihat al-Tanbih hal. 38, al-Umm 1/244 dan Mughni al-Muhtaj 1/346.
Sebagai penegasan, dinyatakan daripada al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah antara nasnya:
“Jika didapati orang yang lemas maka hendaklah dimandi dan dikafan seterusnya disolat seperti mana mayat. Tetapi, jika tidak menjumpainya maka hendaklah di solat ghaib di sisi mazhab Syafie dan Hanbali. Akan tetapi, kebanyakan ulama’ Syafie mensyaratkan mengikut yang muktamad di sisi mereka hendaklah mayat tersebut didahului mandinya. Sebaliknya sebahagian jemaah mazhab Syafie di kalanga mutaakhir berpendapat sah solat atas mereka sekalipun tidak dimandikan…”
Lihat Mughni al-Muhtaj 2/49 dan Asna’ al-Mathalib 1/321
Hukum Memindahkan Jenazah Ke Negara Lain
Berkenaan isu ini para fuqaha berbeza pendapat kepada beberapa pandangan:
Memindahkan mayat ke negara lain sebelum dikebumikan adalah harus hukumnya di sisi Malikiyyah selagi mana perbuatan tersebut tidak mencemarkan kehormatan serta menyakiti si mati.
Manakala di sisi Hanabilah hukumnya adalah makruh melainkan jika ada keperluan. Demikian juga di sisi Hanafiyyah yang menyatakan hukum memindahkan mayat ke negara yang lain adalah makruh.
Di sisi para fuqaha yang bermazhab Syafie, mereka terbahagi kepada dua pendapat di dalam isu ini. Ianya seperti berikut:
- Sebahagian mereka mengatakan bahawa hukum memindahkan jenazah dari negeri kematiannya ke negeri yang lain adalah haram. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Ramli di dalam kitabnya Nihayah al-Muhtaj dengan katanya: Dan diharamkan memindahkan jenazah daripada negara kematiannya sebelum ianya dikebumikan sekalipun jika jenazah selamat dari sebarang perubahan. Ini kerana, perpindahan mayat hanya akan membawa kepada lewatnya urusan pengebumian sedangkan kita diperintahkan untuk menyegerakannya serta ia juga akan mencemarkan kehormatan si mati. Kata beliau lagi:
- Manakala sebahagian mereka mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh. Ini kerana, tidak ada dalil yang menunjukkan kepada pengharaman hal tersebut. Lihat Nihayah al-Muhtaj, al-Ramli (3/38).
Setelah meneliti beberapa pendapat di atas, kami nyatakan di sini bahawa pendapat yang tidak membenarkan perpindahan jenazah ke negara lain tanpa sebarang keperluan itu adalah lebih tepat untuk keluar dari khilaf. Ini kerana, kita diperintahkan untuk menyegerakan majlis pengebumian manakala perbuatan memindahkan jenazah ke negara yang lain akan melewatkan proses tersebut. Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا مَاتَ أَحَدُكُمْ فَلَا تَحْبِسُوهُ ، وَأَسْرِعُوا بِهِ إِلَى قَبْرِهِ
Maksudnya: Apabila matinya salah seorang dari kamu maka janganlah kalian mengurungnya (melewatkan pengebumiannya) dan segerakanlah membawanya ke kuburnya.
Riwayat al-Baihaqi (8689)
Kelebihan Meninggal Dunia Di Luar Kawasan Kelahiran
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amru R.anhuma beliau berkata:
تُوُفِّيَ رَجُلٌ بِالْمَدِينَةِ مِمَّنْ وُلِدَ بِالْمَدِينَةِ فَصَلَّى عَلَيْهِ النَّبِيُّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ فَقَالَ " يَا لَيْتَهُ مَاتَ فِي غَيْرِ مَوْلِدِهِ " . فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ النَّاسِ وَلِمَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ " إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا مَاتَ فِي غَيْرِ مَوْلِدِهِ قِيسَ لَهُ مِنْ مَوْلِدِهِ إِلَى مُنْقَطَعِ أَثَرِهِ فِي الْجَنَّةِ
Maksudnya: Seorang lelaki telah meninggal dunia di Madinah yang mana dia di antara manusia yang lahir di Madinah. Maka Rasulullah S.A.W pun solat ke atas jenazahnya lalu bersabda: Alangkah bagusnya sekiranya dia meninggal dunia di tempat selain tanah kelahirannya. Maka seorang lelaki pun bertanya: Mengapakah begitu wahai Rasulullah ? Jawab baginda S.A.W: Sesungguhnya seorang lelaki itu apabila dia meninggal dunia di selain tempat kelahirannya maka akan diukur buatnya jarak daripada tempat kelahiran sehinggalah tempat dia meninggal itu di syurga.
Riwayat Ibn Majah (1614)
Kata Imam al-Sindi Rahimahullah apabila mengulas berkenaan hadis ini: Boleh jadi hadis ini tidak warid dengan lafaz tersebut iaitu mudah-mudahan lelaki itu tidak mati di Madinah. Akan tetapi yang dimaksudkan adalah: Alangkah bagusnya jika lelaki ini seorang asing yang sedang berhijrah di Madinah lalu meninggal dunia di dalamnya. Hal ini supaya ia tidak bercanggah dengan hadis-hadis lain yang menceritakan berkenaan fadhilat meninggal dunia di Madinah. Rujuk Hasyiah al-Sindi, (Hlm. 306).
Kami mengatakan bahawa mafhum daripada hadis di atas, ia menunjukkan yang jarak seseorang lelaki dengan tempat kematiannya akan diganjari pahala. Wallahu a’lam.
Penutup
Sesungguhnya isu berkaitan jenazah begitu banyak dan besar dibincangkan oleh para ulama’. Ini secara tidak langsung menunjukkan betapa luasnya ilmu Islam itu sendiri yang perlu ditelaah dan dikaji untuk mendapatkan jawapan yang tuntas berasaskan dalil dan juga hujjah.
Kami berharap dengan jawapan ini sedikit sebanyak dapat memberikan kelegaan serta kedamaian dalam melayari bahtera kehidupan. Kami mengakhiri perbincangan ini dengan doa yang diajarkan oleh Allah SWT untuk kita sama-sama amalkan iaitu:
رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا وَلِإِخۡوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلۡإِيمَٰنِ وَلَا تَجۡعَلۡ فِي قُلُوبِنَا غِلّٗا لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٞ رَّحِيمٌ
Maksudnya: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu".
(Al-Hasyr: 10)
Marilah juga kita sama-sama berdoa kepada kedua ibu-bapa, ahli keluarga, sanak-saudara, guru-guru, sahabat handai yang telah pergi dahulu meninggalkan kita. Semoga mereka beroleh maghfirah dan rahmat daripada Allah SWT.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ، وعافِهِمْ واعْفُ عَنْهُمْ
Ameen…
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
20 September 2016 bersamaan 18 Zulhijjah 1437 H.
No comments:
Post a Comment