257. PENGABAIAN ADAB DALAM UMRAH SATU KEJAHILAN

257: PENGABAIAN ADAB DALAM UMRAH SATU KEJAHILAN

Bayan Linnas 257

 

Mukadimah:

Baru-baru ini tular isu seorang wanita yang berperilaku seperti lelaki pergi menunaikan umrah dalam keadaan seperti jemaah lelaki.[1] Perbuatan tersebut mengundang kemarahan masyarakat yang melihat perbuatan tersebut sebagai bukan sahaja menggambarkan sikap mengambil ringan terhadap hukum-hakam berkaitan umrah malah seakan menghina dan merendah-rendahkan kemuliaan ibadat tersebut. Selain kecaman daripada warga maya isu ini bahkan mendapat perhatian daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) untuk memberi komen terhadap isu tersebut.[2]

Isu penghinaan terhadap ibadat dalam Islam yang berkait dengan isu kecelaruan jantina ini pernah diulas oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di dalam Qalam Mufti Siri ke-60: Ingatan Kepada Sajat dan Umat Islam.[3] Memandangkan isu ini berkaitan dengan hukum-hakam dan kemuliaan dalam ibadat umrah, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kali ini akan mengulas serba sedikit isu-isu yang berkaitan.  

Tidak Sah Umrah Seorang Wanita Dalam Keadaan Aurat Terdedah

Sesungguhnya ibadat umrah terdiri daripada rukun, syarat-syarat sahnya serta etika dan kod pemakaian khususnya di dalam ihram perlu dipatuhi oleh jemaah lelaki dan wanita. Oleh itu, apabila seorang jemaah wanita berpakaian ihram seperti jemaah lelaki hukumnya tidak sah khususnya semasa mengerjakan tawaf kerana dia telah mendedahkan auratnya. Hal ini kerana menutup aurat merupakan salah satu daripada syarat sah tawaf.[4]

(Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab: 8/16)

Oleh yang demikian, apabila tawaf tidak sah maka ia akan menyebabkan rukun-rukun umrah yang lain seperti ihram, sai, dan tahallul menjadi tidak sah. Selain itu, tuntutan untuk memelihara dan menyempurnakan ibadat ini perlu dihayati seperti mana yang diperintahkan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ ۚ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah”.

(Surah al-Baqarah: 196)

Perintah untuk menyempurnakan ibadat haji dan umrah di dalam ayat berkenaan ialah meliputi dengan perbuatan menjaga ibadat-ibadat di dalam haji begitu juga dengan umrah dengan memelihara batasan-batasan serta sunat-sunatnya.[5] Maka jelaslah di sini bahawa mana-mana umat Islam yang melanggar rukun di dalam ibadat umrah serta tidak memenuhi syarat-syarat dalam ibadat berkenaan umrahnya tidak sah.

Mempersenda serta Merendah-rendahkan Syariat adalah Perkara Yang Dilaknat

Perbuatan sengaja melanggar hukum dan syariat di dalam sesuatu ibadat tidak kira di dalam ibadat umrah mahupun ibadat yang lain akan menyebabkan ibadat berkenaan menjadi tidak sah serta berdosa.

Tambahan lagi, perbuatan sengaja berperwatakan seperti lelaki oleh seorang wanita ketika menunaikan ibadah umrah yang kemudiannya dimuat naik pula di media sosial, dilihat bukan sahaja menjurus kepada dosa besar malah dikhuatiri boleh mengundang laknat Allah SWT. Kemurkaan ini jelas boleh dilihat melalui sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Abdullah bin Abbas yang mana Rasulullah SAW bersabda:

‌لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‌المُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالمُتَرَجِّلَاتِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat golongan wanita yang menyerupai lelaki dan golongan lelaki yang menyerupai wanita”.[6]

(Riwayat al-Bukhari: 6834)

Merujuk kepada hadis di atas, Sheikh al-Zaidani menjelaskan perbuatan seorang lelaki yang menyerupai wanita itu meliputi dari sudut cara berhias, bercakap serta mengubah intonasi ketika cakap. Perbuatan yang demikian adalah perbuatan yang ditegah di dalam agama kerana termasuk di dalam perkara yang telah menyalahi fitrah ciptaan Allah SWT.[7]

Oleh yang demikian, bagi mana-mana individu muslim yang sengaja berperilaku dengan perilaku yang menyalahi fitrah seharusnya berwaspada dengan tindakan berkenaan kerana kelak akan ditimpa azab yang pedih oleh Allah SWT. Apatah lagi sekiranya perbuatan maksiat yakni menyerupai jantina berlawanan itu dibawa ke dalam amal ibadah.

Jadikan Ibadat Umrah Sebagai Peluang Untuk Memohon Keampunan

Sebagai individu yang berpeluang menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah, seharusnya menzahirkan rasa bertuah dan beruntung menjejak kaki di bumi yang kaya barakah dan sejarah. Imam Al-Nawawi menyatakan bahawa golongan yang ingin menunaikan haji dan umrah supaya meninggalkan perkara yang dilarang sebelum mengerjakan ibadat berkenaan. Beliau menyebut peringatan ini di dalam karyanya:

إِذا اسْتَقَرَّ عَزْمه بَدَأَ بالتوْبَةِ مِنْ جَمِيعِ المَعَاصِي وَالمَكْرُوهَاتِ

Maksudnya: “Apabila seseorang itu telah berazam (untuk mengerjakan haji), hendaklah dia memulakan dengan bertaubat dari segala maksiat dan perkara-perkara yang makruh.” [8]

(Rujuk al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah: hlm 48).

Oleh yang demikian, umat Islam yang berpeluang untuk mengerjakan ibadat umrah mestilah mengambil peluang ini untuk menginsafi segala kesalahan dan dosa yang telah dilakukan kerana tidak semua umat Islam mampu serta berpeluang untuk mengerjakan ibadat berkenaan.

Kesimpulan:

Melihat kepada isu yang berlaku, seorang wanita yang mengerjakan umrah dengan gaya dan watak lelaki adalah haram dan berdosa besar kerana perbuatan tersebut menyalahi fitrah bagi kaum wanita dalam masa yang sama telah merendah-rendahkan martabat ibadat berkenaan. Selain itu, tindakan ini juga mendatangkan kemurkaan oleh Allah SWT dan agama Islam itu sendiri. Justeru itu, umat Islam seharusnya menzahirkan rasa beruntung di atas peluang dalam mengerjakan ibadat berkenaan dengan mematuhi segala rukun dan syarat-syaratnya supaya ibadat umrah yang dikerjakan itu mendapat pahala dan diterima di sisi Allah SWT. Semoga kita semua bersama dengan golongan yang mendapat petunjuk dari Allah SWT.

 

 

[1] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/08/987672/ambil-tindakan-terhadap-wanita-tunai-umrah-sebagai-lelaki diakses pada: 15/8/2022

[2] https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2110473 diakses pada: 15/8/2022.

[3] https://muftiwp.gov.my/en/media-menu/tinta-mufti/4112-qalam-mufti-60-ingatan-kepada-sajat-dan-umat-islam diakses pada: 15/8/2022.

[4] Al-Nawawi, Abu Zakaria bin Muhyiddin bin Sharaf. (T.T). al-Majmuk Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr. Jilid 8 hlm 16. Teks asal:

سَتْرُ ‌الْعَوْرَةِ شَرْطٌ لِصِحَّةِ الطَّوَافِ

[5] Al-Tabari, Muhammad bin Jarir. (T.T). Jami’ al-Bayan ‘An Ta’wil al-Quran. Makkah: Dar al-Tarbiah wa al-Turath. J3 hlm7. Teks Asal:

فقال بعضهم: معنى ذلك أتِمّوا الحج بمناسكه وسُننِه، وأتموا العُمْرة بحدودها وسُننِها

[6] Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail bin Ibrahim. (T.T). Sahih Bukhari. Tahkik: Jamaah Ulama. Cetakan al-Sultaniyyah: al-Matba’ah al-Kubra al-Emiriyyah. Jilid 8 hlm 171.

[7] Al-Zaidani, al-Husain bin Mahmud bin al-Hassan. (2012). Al-Mafatih fi Syarh al-Masabih. Tahkik: Nur al-Din Talib. Cetakan 1, Wuzarah al-Auqaf al-Kuwaitiyyah. Jilid 5 hlm41.

كلُّ رجلٍ شبَّه نفسَه بالنساء في اللباس وخضاب اليدَين والرَّجلَين، وفي الصوت والتكلم والحركات والسكنات، وهذا الفعلُ منهيٌّ عنه؛ لأنه تغييرٌ لخلق الله

[8] Al-Nawawi, Abu Zakaria bin Muhyiddin bin Sharaf. (1994). Al-Idhah Fi Manasik al-Haj wa al-‘Umrah. Cetakan 2, Beirut: Dal al-Basyair al-Islamiyyah. Hlm 48.

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...