258: BAGAIMANAKAH ULAMA BERINTERAKSI DENGAN RIWAYAT-RIWAYAT SIRAH?
Mukadimah
Pada tanggal 9 Oktober 2022 bersamaan 12 Rabiulawal 1444H seluruh umat Islam telah menyambut sambutan Maulidur Rasul. Indahnya sambutan ini kerana salah satu cara untuk membantu manusia mengingati sosok tubuh Baginda Nabi Muhammad SAW yang mulia. Di Malaysia, apabila bertemu dengan sesuatu tarikh yang mempunyai peristiwa penting di dalamnya seperti Maulidur Rasul, maka akan timbul banyak riwayat-riwayat berkaitan peristiwa tersebut yang dikongsikan di media sosial daripada pelbagai individu atau kumpulan dalam masyarakat. Riwayat-riwayat yang telah dikongsikan tersebut terkadang mendapat perhatian sebahagian ilmuwan atau ustaz di Malaysia sehingga mereka melontarkan pandangan-pandangan yang berbeza di media sosial. Akhirnya, menyebabkan masyarakat umum yang hanya mengetahui perkara-perkara asas dalam agama menjadi keliru. Walau bagaimanapun, perkara ini menggambarkan betapa cinta dan sayangnya masyarakat Malaysia kepada Baginda SAW.
Dalam isu penilaian riwayat biasanya perkara ini sinonim dengan ulama hadis kerana mereka yang menetapkan satu garis panduan khas dalam menilai sesuatu riwayat. Hal ini kerana, bagi mengelakkan berlakunya penyebaran riwayat-riwayat yang palsu dan menyeleweng yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW. Manakala dalam lapangan sirah, tarikh dan maghazi(kisah-kisah peperangan) pendekatan penilaian riwayat yang digunakan oleh ulama mu’arrikhun(ulama sirah) berbeza berbanding penilaian yang dilakukan dalam lapangan hadis.
Kaedah yang Digunakan Oleh Ulama Hadis Dalam Meriwayatkan Kisah yang Berkaitan Sirah dan Sejarah.
Dalam periwayatan sirah, sekurang-kurangnya terdapat tiga kaedah yang digunakan oleh ulama hadis ketika berinteraksi dengannya.
Pandangan pertama:
Sebahagian ulama mutaakhirin sedikit tegas dalam berinteraksi dengan riwayat sirah. Mereka mensyaratkan riwayat sirah mestilah diriwayatkan dengan sanad yang sahih. Syeikh Muhammad Abdullah al-Ausyan[1] menyatakan bahawa riwayat sahih sudah memadai sehingga tidak perlu lagi kepada riwayat-riwayat lemah dalam bab berkaitan sirah Nabi SAW. Imam Ibn Mubarak dalam hal ini berkata:
في صحيح الحديث غنية عن سقيمه
Maksudnya: Hadis-hadis yang sahih sudah memadai berbanding hadis-hadis yang bermasalah.
Menurut pandangan ini menentukan kebenaran sesebuah kisah berkaitan sirah mestilah mengikut kepada kaedah yang digunakan oleh ulama hadis tanpa membezakan antara riwayat sirah dengan yang lainnya. Dalam hal ini, syeikh al-Albani berkata bahawa sebahagian orang beranggapan semua riwayat yang ada dalam kitab sirah tidak boleh untuk dikritik sama sekali. Ini merupakan pandangan yang salah kerana status kebenaran sesuatu riwayat masih boleh dipertikaikan berdasarkan kaedah yang digunakan oleh ulama hadis. [2]
Pandangan kedua:
Manakala sebahagian ulama yang lain bersikap lebih terbuka dalam meriwayatkan kisah-kisah berkaitan sirah Nabi SAW. Menurut Syeikh Akram Diya’ al-Amri menerima hanya hadis yang sahih dalam bab berkaitan sirah merupakan suatu yang melampau. Hal ini kerana, berpada dengan riwayat yang sahih akan menyebabkan banyak kelompangan yang berlaku dalam penceritaan sirah. Oleh itu memadailah dengan mengambil kira adalah (keadilan) dan dhabt (ingatan) orang yang meriwayatkan sesebuah kisah berkaitan sirah. Selain itu menurut pandangan ini apabila terdapat riwayat yang kelihatan zahirnya bercanggah maka metod ahli hadis dalam mengharmonikan antara dua riwayat yang bercanggah boleh digunakan.[3]
Pandangan ketiga:
Jumhur ulama hadis sedikit mempermudah jika sesuatu riwayat berkaitan dengan sirah dan sejarah. Namun jika mereka meriwayatkan hadis-hadis yang berkaitan dengan halal dan haram maka mereka akan bertegas. Perkara ini seperti yang dinyatakan oleh Abdul Rahman bin Mahdi:
إذا روينا في الثواب والعقاب وفضائل الأعمال، تساهلنا في الأسانيد، وتسامحنا في الرجال، وإذا روينا في الحلال والحرام والأحكام، تشدّدنا في الأسانيد وانتقدنا الرجال
Maksudnya: “Apabila kami meriwayatkan berkaitan pahala, dosa dan kelebihan beramal kami akan sedikit mempermudah dalam bab sanad dan perawi, adapun jika kami meriwayatkan dalam bab hukum hakam seperti halal dan haram kami akan lebih tegas dalam bab sanad dan kritikan kepada perawi-perawi hadis. [4]
Perkataan yang hampir sama turut diungkapkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Sufyan al-Thauri sebagaimana yang direkodkan oleh Imam al-Khatib al-Baghdadi dalam al-Kifayah fi Ilmi al-Riwayah. [5] Ini juga merupakan pendapat Imam al-Nawawi, Imam Badrudin Ibn Jamaah, Imam Taybi, Imam al-Bulqini dan Imam al-Iraqi. [6]
Menurut Ibn Rajab al-Hambali dalam Syarah Ilal al-Tirmizi, kebanyakan ulama seperti Ibn Mahdi dan Imam Ahmad tidak terlalu tegas dalam meriwayatkan kisah-kisah berkaitan sirah, mereka membenarkan kisah-kisah berkaitan sirah diriwayatkan dari perawi yang lemah.[7] Selain itu, Imam Ibn Solah dalam kitabnya Muqadimah Ibn Solah menjelaskan bahawa dibolehkan untuk sedikit mempermudah dalam bab sanad dan meriwayatkan semua jenis hadis daif kecuali maudu’ tanpa perlu untuk menerangkan kedudukan hadis tersebut jika riwayat tersebut berkaitan dengan nasihat, kisah dan kelebihan beramal.[8]
Kaedah Berinteraksi dengan Riwayat Sirah, Tarikh dan Maghazi(Kisah-kisah peperangan)
Antara tokoh sejarah yang masyhur dalam lapangan sirah, tarikh dan maghazi(kisah-kisah peperangan) ialah Musa bin ‘Uqbah, Abu Maʻsyar, Ibn Ishaq dan al-Waqidi. Perkara ini sepertimana yang dinyatakan oleh Ibn Saʻad dalam al-Tabaqat al-Kubra bahawa keempat-empat tokoh ini merupakan pakar dalam bidang sirah dan maghazi(kisah-kisah peperangan) berbanding tokoh-tokoh lain.[9]
Walaupun demikian, periwayatan sirah sering mendapat kritikan daripada ulama hadis disebabkan beberapa faktor seperti tidak mempunyai sanad yang lengkap. Perkara ini digambarkan melalui ungkapan Imam Ahmad bin Hanbal yang menyebutkan bahawa tiga kitab yang tidak terdapat sanad padanya iaitu al-Maghazi(kisah-kisah peperangan), al-Malahim(fitnah akhir zaman) dan al-Tafsir.[10] Selain itu, ulama sirah juga kebiasaannya menggabungkan beberapa riwayat untuk dijadikan satu kisah. Hal ini sepertimana yang dilakukan oleh Abu Maʻsyar ketika meriwayatkan riwayat maghazi(kisah-kisah peperangan) dengan mengambil riwayat daripada pelbagai perawi dan digabungkan menjadi satu kisah.[11]
Kritikan itu pasti berlaku kerana ulama sirah (muarrikhun) lebih longgar berbanding ulama hadis dalam menilai sesuatu riwayat, selagimana riwayat tersebut tidak termasuk dalam hal hukum hakam syarak dan perkara akidah. Ini jelas sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa riwayat daif boleh digunapakai dalam kisah-kisah sejarah selagimana tidak berkait dengan hukum hakam dan perkara akidah. Beliau menyebut dalam karyanya al-Majmuʻ seperti berikut:
قال العلماء: الحديث ثلاثة أقسام صحيح وحسن وضعيف: قالوا وإنما يجوز الاحتجاج من الحديث في الأحكام بالحديث الصحيح أو الحسن: فأما الضعيف فلا يجوز الاحتجاج به في الأحكام والعقائد وتجوز روايته والعمل به في غير الأحكام كالقصص وفضائل الأعمال والترغيب والترهيب
Maksudnya: Para ulama mengatakan bahawa hadis ada tiga kategori iaitu sahih, hasan dan daif. Mereka mengatakan hanya boleh berhujah dalam hukum-hakam dengan menggunakan hadis sahih atau hasan sahaja, manakala hadis daif tidak boleh digunakan sebagai hujah dalam hukum hakam mahupun akidah. Namun begitu, hadis daif boleh diriwayat dan diamalkan dalam perkara yang tidak berkaitan hukum hakam seperti kisah-kisah, fadail al-aʻmal(kelebihan beramal) serta targhib(galakan) dan tarhib(ancaman).[12]
Kaedah lain yang diguna pakai oleh ulama sirah (muarrikhun) juga ialah dengan pergi melihat tempat berlakunya sesuatu peristiwa. Perkara ini boleh dilihat melalui tindakan tokoh sejarah seperti al-Waqidi yang pergi ke Hunain untuk melihat sendiri lokasi peristiwa tersebut dan kisah ini direkodkan dalam ‘Uyun al-Athar fi Funun al-Maghazi wa al-Syama’il wa al-Siyar yang dikarang oleh Ibn Sayyid al-Nas.[13] Oleh itu, dapat dilihat bahawa ulama sirah (muarrikhun) mempunyai kaedah tersendiri dalam menilai sesuatu kisah atau riwayat, bukan sahaja hanya menumpukan terhadap sanad riwayat secara terperinci seperti yang dilakukan oleh ulama hadis.
Meskipun ulama hadis agak ketat dalam menilai sesuatu riwayat tetapi mereka agak longgar ketika berinteraksi dengan riwayat maghazi daripada ulama sirah seperti Ibn Ishaq. Ibn Ishaq merupakan ulama sirah dan sejarah yang terkenal dalam kalangan ulama sehinggakan Imam al-Syafie pun mengiktiraf keilmuwannya dalam sirah. Perkara ini sepertimana yang diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi melalui jalur Harmalah bin Yahya yang menceritakan bahawa dia mendengar Imam al-Syafie berkata:
من أراد أن يتبحر في المغازي فهو عيال على محمد بن إسحاق
Maksudnya: Sesiapa yang ingin mendalami ilmu sirah (al-maghazi) maka dia hendaklah mendampingi Muhammad bin Ishaq.[14]
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani memberikan contoh tentang Imam al-Bukhari dan Imam Muslim yang memuatkan riwayat maghazi dalam karya sahih mereka sebagai hadis sokongan, lafaznya seperti berikut:
محمد بن إسحاق بن يسار الإمام في المغازي مختلف في الاحتجاج به والجمهور على قبوله في السير قد استفسر من أطلق عليه الجرح فبان أن سببه غير قادح وأخرج له مسلم في المتابعات وله في البخاري مواضع عديدة معلقة عنه وموضع واحد قال فيه قال إبراهيم بن سعد عن أبيه عن بن إسحاق فذكر حديثا
Maksudnya: Muhammad bin Ishaq bin Yasar merupakan tokoh al-maghazi (sirah). Ulama berbeza pandangan dalam berhujah dengan riwayat daripada Ibn Ishaq. Jumhur ulama menerima riwayatnya dalam sirah. Apabila diperhalusi pandangan yang mengkritiknya, maka didapati bahawa sebab kritikan itu tidak menjejaskan kredibilitnya. Imam Muslim juga meriwayatkan daripada Ibn Ishaq sebagai mutabaat(hadis sokongan), begitu juga dalam Sahih al-Bukhari terdapat pelbagai tempat yang diriwayatkan secara mu’allaq daripada Ibn Ishaq. Dalam satu tempat Imam al-Bukhari menyebutkan (tentang sanad Ibn Ishaq) Ibrahim bin Saʻad berkata daripada ayahnya, beliau berkata daripada Ibn Ishaq lalu disebutkan hadis berkenaan.[15]
Imam Ibn Taimiyyah menjawab persoalan berkenaan riwayat peperangan al-silsilah dengan mengatakan bahawa riwayat peperangan tersebut adalah palsu. Beliau menjelaskan lagi bahawa riwayat peperangan al-silsilah tidak disebutkan dalam kitab-kitab al-maghazi dan sirah yang mahsyur dalam kalangan ulama. Malahan, ulama sirah (muarrikhun) seperti Musa bin ‘Uqbah, ‘Urwah bin Zubair, al-Zuhri, Ibn Ishaq dan para gurunya, al-Waqidi, Yahya bin Saʻid al-Umawi, al-Walid bin Muslim, Muhammad bin ‘A’iz dan lain-lain. Berpandukan kepada kenyataan Imam Ibn Taimiyyah ini menunjukkan bahawa beliau mengiktiraf Ibn Ishaq dan ulama sirah yang lain dalam menerima periwayatan sirah, tarikh dan maghazi(kisah-kisah peperangan) mereka.
Lebih jelas lagi, Imam al-‘Iraqi menyebutkan dalam muqaddimah syairnya (nazm) berjudul Alfiyyah al-Sirah bahawa ulama agak longgar dan tidak ketat dalam kaedah penukilan khabar berkaitan dengan sirah, maka dalam kitab sirah terdapat khabar-khabar yang sahih mahupun daif tetapi dengan syarat kedaifan tersebut tidak sampai ke tahap palsu.[16]
Bahkan, Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam kalangan ulama terkemudian juga berpegang dengan riwayat sebahagian tokoh sejarah dalam menentukan sesuatu kisah sejarah. Walaupun riwayat tersebut daif tanpa sanad yang lengkap. Beliau juga memperakui kepakaran ulama sirah (muarrikhun) berdasarkan kenyataannya dalam Zad al-Maʻad yang menyebutkan bahawa kesepakatan ulama sirah (muarrikhun) dalam menentukan kisah pernikahan Nabi SAW dengan Saidatina Khadijah di Mekah, Hafsah di Madinah dan Safiyyah selepas peperangan Khaibar.[17] Kaedah ini dibuktikan dalam kajian yang dilakukan oleh Syed Abdul Ghaffar Bukharai dan Abdul Qadir Abdul Karim Gondal.[18]
Dalam masa yang sama, ulama sirah (muarrikhun) tidak terlalu mengambil mudah dalam menentukan riwayat-riwayat yang diambil atau dinukilkan dalam kitab-kitab sirah mereka. Namun tidak dapat dinafikan bahawa terdapat sebahagian riwayat sejarah yang masih boleh untuk dikaji semula. Hal ini kerana ulama sirah yang awal menukilkan semua riwayat yang mereka perolehi sama ada riwayat yang sahih ataupun tidak[19].
Dalam masa yang sama harus dingatkan bahawa menggunakan kaedah yang sama sebagaimana yang digunakan untuk menentukan status sesebuah hadis bukan menjadi amalan ulama sejarah. Mereka memiliki metod yang khusus dalam berinteraksi dengan fakta-fakta sejarah. Hal ini dapat dilihat berdasarkan kepada pengamalan ulama salaf dalam kalangan ahli sirah dan sejarah seperti yang telah disebutkan dalam perbahasan di atas. Kalaulah ditolak kaedah ulama sirah (muarrikhun) ini nescaya akan hilang sebahagian besar kisah-kisah peninggalan sejarah umat terdahulu, sehingga dilihat sirah umat Islam terlalu suram dan sempit.
Kesimpulannya, pendekatan ulama sirah dalam berinterkasi dengan riwayat sirah lebih longgar. Mereka tidak menetapkan syarat sesuatu riwayat mestilah bersambung sanad riwayat tersebut hingga ke Nabi SAW. Riwayat sirah yang hanya berstatus daif masih boleh digunakan selagimana tidak sampai kepada tahap maudu’ serta bukan berkaitan dengan hukum hakam seperti halal dan haram. Bahkan, kaedah ini diterima dan diguna pakai oleh majoriti ulama hadis di zaman salaf dan khalaf dalam penerimaan riwayat-riwayat sirah. Selain itu, Sesebuah riwayat sirah mestilah tidak bercanggah dengan riwayat lain yang lebih kuat di samping tidak mengurangkan martabat dan kredibiliti Nabi SAW, ahli keluarga dan para sahabat Baginda SAW.
[1] Rujuk Muqaddimah Muhammad bin Abdullah al-Ausyan. (t.t.) Ma Syaa wa Lam Yasbut fi al-Sirah al-Nabawiyah, Riyadh: Dar al-Tayyibah.
[2] Nasir al-Din al-Albani. (1995). Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. Riyad: Maktabah al-Maarif. 5: 332.
وقد يظن بعضهم أن كل ما يروى في كتب التاريخ والسيرة، أن ذلك صار جزءا لا يتجزأ من التاريخ الإسلامي ، لا يجوز إنكار شيء منه! وهذا جهل فاضح، وتنكر بالغ للتاريخ الإسلامي الرائع، الذي يتميز عن تواريخ الأمم الأخرى بأنه هو وحده الذي يملك الوسيلة العلمية لتمييز ما صح منه مما لم يصح، وهي نفس الوسيلة التي يميز بها الحديث الصحيح من الضعيف، ألا وهو الإسناد الذي قال فيه بعض السلف: لولا الإسناد لقال من شاء ما شاء.
[3] Akram Diya’ al-Amri. (1994). al-Sirah al-Nabawiyah al-Sahihah. Madinah: Maktabah al-Ulum wa al-Hikam. 45
لا شك أن اشتراط الصحة الحديثية في كل رواية تاريخية نريد قبولها فيه تعسف، لأن ما تنطبق عليه هذه الشروط لا يكفي لتغطية العصور المختلفة للتاريخ الإسلامي، مما يولد فجوات في تاريخنا، وإذا قارنا ذلك بتواريخ العالم فإنها كثيراً ما تعتمد على روايات مفردة أو مؤرخين مجهولين، بالإضافة إلى ذلك فهي مليئة بالفجوات .. لذلك يكفي في الفترات اللاحقة التوثق من عدالة المؤرخ وضبطه لقبول ما يسجله مع استخدام قواعد النقد الحديثي في الترجيح عند التعارض بين المؤرخين.
[4] al-Baihaqi. (1405). Dalail al-Nubuwwah. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. 1: 34
[5] Al-Khatib al-Baghdadi. (t.t.). al-Kifayah fi Ilmi al-Riwayah. Madinah: al-Maktabah al-Ilmiyyah. 134.
[6] Jalal al-Din al-Suyuti. (1974). Tahzir al-Khawas min Akazib al-Qussas. Beirut: al-Maktab al-Islami. 75.
بِخِلَاف الضَّعِيف فانه تجوز رِوَايَته فِي غير الْأَحْكَام والعقائد وَمِمَّنْ جزم بذلك شيخ الاسلام محيى الدّين النَّوَوِيّ فِي كِتَابيه الارشاد والتقريب وقاضي الْقُضَاة بدر الدّين ابْن جمَاعَة فى المنهل الروىوَالطِّيبِي فِي الْخُلَاصَة وَشَيخ الاسلام سراج الدّين البُلْقِينِيّ فِي محَاسِن الِاصْطِلَاح وحافظ عصره الشَّيْخ زيد الدّين أَبُو الْفضل عبد الرَّحِيم الْعِرَاقِيّ
[7] Ibn Rajab al-Hanbali. (1987). Syarah Ilal al-Saghir. Urdun: Maktabah al-Manar. 1: 371.
فقد رخص كثير من الأئمة في رواية الأحاديث الرقاق ونحوها عن الضعفاء منهم: ابن مهدي وأحمد بن حنبل.
[8] Ibn al-Salah. (1986). Muqadimah Ibn Solah. Beirut: Dar al-Fikr al-Muasir. 103.
يَجُوزُ عِنْدَ أَهْلِ الْحَدِيثِ وَغَيْرِهِمُ التَّسَاهُلُ فِي الْأَسَانِيدِ وَرِوَايَةِ مَا سِوَى الْمَوْضُوعِ مِنْ أَنْوَاعِ الْأَحَادِيثِ الضَّعِيفَةِ مِنْ غَيْرِ اهْتِمَامٍ بِبَيَانِ ضَعْفِهَا فِيمَا سِوَى صِفَاتِ اللَّهِ تَعَالَى وَأَحْكَامِ الشَّرِيعَةِ مِنَ الْحَلَالِ وَالْحَرَامِ وَغَيْرِهَا. وَذَلِكَ كَالْمَوَاعِظِ، وَالْقِصَصِ، وَفَضَائِلِ الْأَعْمَالِ، وَسَائِرِ فُنُونِ التَّرْغِيبِ وَالتَّرْهِيبِ، وَسَائِرِ مَا لَا تَعَلُّقَ لَهُ بِالْأَحْكَامِ وَالْعَقَائِدِ.
[9] Abu Abdullah Muhammad bin Saʻad al-Hasyimi. (1968). Al-Tabaqat al-Kubra. Beirut: Dar Sadir. 3: 627.
خَلَّادُ بْنُ قَيْسِ بْنِ النُّعْمَانِ بْنِ سِنَانِ بْنِ عُبَيْدِ بْنِ عَدِيِّ بْنِ غَنْمِ بْنِ كَعْبِ بْنِ سَلَمَةَ وَأُمُّهُ إِدَامُ بِنْتُ الْقَيْنِ بْنِ كَعْبِ بْنِ سَوَادٍ مِنْ بَنِي سَلِمَةَ. ذَكَرَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ عُمَارَةَ الْأَنْصَارِيُّ أَنَّهُ شَهِدَ بَدْرًا مَعَ أَخِيهِ خَالِدِ بْنِ قَيْسِ بْنِ النُّعْمَانِ بْنِ سِنَانِ بْنِ عُبَيْدٍ، وَلَمْ يَذْكُرْ ذَلِكَ مُحَمَّدُ بْنُ إِسْحَاقَ وَمُوسَى بْنُ عُقْبَةَ وَأَبُو مَعْشَرٍ وَمُحَمَّدُ بْنُ عُمَرَ فِيمَنْ شَهِدَ عِنْدَهُمْ بَدْرًا. قَالَ: وَلَا أَظُنُّ ذَلِكَ بِثَبْتٍ لِأَنَّ هَؤُلَاءِ أَعْلَمُ بِالسِّيرَةِ وَالْمَغَازِي مِنْ غَيْرِهِمْ
[10] Al-Khatib al-Baghdadi. (t.t.). al-Jamiʻ li Akhlak al-Rawi wa Adab al-Samiʻ. Riyad: Maktabah al-Maʻarif. 2: 162.
ثَلاثَةُ كُتُبٍ لَيْسَ لَهَا أُصُولٌ: الْمَغَازِي وَالْمَلاحِمُ وَالتَّفْسِيرُ
[11] Ibn ‘Asakir. (1995). Tarikh Dimasyq. Beirut: Dar al-Fikr. 39: 209.
محمد بن أبي معشر نا أبو معشر بأحاديث المغازي كلها والتاريخ في آخرها فقال أبو معشر حدثني بأحاديث المغازي رجال شتى منهم محمد بن قيس وسعيد بن أبي سعيد ومحمد بن كعب وشرحبيل بن سعد وشريك بن عبد الله بن أبي نمر وغيرهم من مشيخة أهل المدينة
[12] Yahya bin Syaraf al-Nawawi. (t.t.). al-Majmuʻ Syarh al-Muhazzab. t.tp.: Dar al-Fikr. 1: 59.
[13] Ibn Sayyid al-Nas. (1993). Uyun al-Athar fi Funun al-Maghazi wa al-Syama’il wa al-Siyar. Beirut: Dar al-Qalam. 1: 22.
سمعت هارون الفروي يقول: رأيت الواقدي بمكة ومعه ركوة فقلت: أين تريد؟ قال: أريد أن أمضي إلى حنين حتى أرى الموضع والوقعة،
[14] Al-Khatib al-Baghdadi. (2002). Tarikh Baghdad. ed. Basyar ‘Awwad Maʻruf. Beirut: Dar al-Gharb al-Islami. 2: 7.
[15] Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani. (1379). Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari. ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi. 1: 458.
[16] Abu al-Fadl Zain al-Din al-‘Iraqi. (1426). Alfiyyah al-Sirah al-Nabawiyyah. Beirut: Dar al-Minhaj. 29.
وليعلمِ الطالبُ أنَّ السّيَرَا ... تَجمَعُ ما صحَّ وما قدْ أُنْكرَا *
والقصدُ ذكرُ ما أتى أهلُ السّيَرْ ... بهِ، وإنْ إسنادُهُ لمْ يُعْتَبَرْ
*أي: يتسامح في السيرة في نقل الأخبار فيما يدور بين الصحة والضعف، لكن لا يصل الحال إلى الموضوع والمختلق.
[17] Ibn Qayyim al-Jauziyyah. (1994). Zad al-Maʻad fi Hady Khair al-‘Ibad. Beirut: Mu’assasah al-Risalah. 1: 106.
هَذَا هُوَ الْمَعْرُوفُ الْمُتَوَاتِرُ عِنْدَ أَهْلِ السِّيَرِ وَالتَّوَارِيخِ، وَهُوَ عِنْدَهُمْ بِمَنْزِلَةِ نِكَاحِهِ لخديجة بِمَكَّةَ، ولحفصة بِالْمَدِينَةِ ولصفية بَعْدَ خَيْبَرَ.
[18] Syed Abdul Ghaffar Bukharai dan Abdul Qadir Abdul Karim Gondal. (2022). “Manhaj al-Imam Ibn al-Qayyim fi al-Ihtijaj bi Riwayat al-Maghazi wa al-Siyar Dirasah Tatbiqiyyah ‘ala Kitab Zad al-Maʻad fi Hady Khair al-‘Ibad. JIHAT-UL-ISLAM 16. no. 1. 276-278.
[19] Dr Faruq Hamadah, Masadir al-Sirah al-Nabawiyah, Dimasyq: Dar al-Qalam (t.t), hlm. 122.
No comments:
Post a Comment