34: AL-WAFA’

 34: AL-WAFA’ (الوفاء)

 

 

 

Mukaddimah

Seminggu dua ini, saya membaca dalam akhbar utama dan juga tabloid serta medium IT seperti facebook dan laman web banyak membincangkan berkaitan dengan bai‘ah, sumpah, amanah, tanggungjawab dan isu talak tiga. Sebahagian hal itu telah diberi pandangan oleh pelbagai pihak sama ada pro atau kontra dan sekurang-kurangnya mempunyai dua pendapat yang bertentangan.

Kami tidaklah berminat untuk memasuki polemik seperti ini dan cukuplah pandangan yang dikemukakan itu dihadam dengan sebaik mungkin serta adanya sifat berlapang dada dan ingin cuba sedaya upaya  mungkin mencari kebenaran seperti mana doa yang diajar.

اَللَّهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا إتِّبَاعَه وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابَه

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Ya Allah tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikan kepada kami untuk menjauhinya.

 

Doa ini mengikut sebahagian ulama’ dinisbahkan kepada Saidina Umar dan dikatakan bahawa Imam Nawawi kerap menyebut dalam kitabnya al-Azkar. Sebahagian ulama’ seperti al-Buhuti telah menyebut dan membincangkannya dengan panjang lebar melalui kitabnya yang masyhur. Lihat Syarah Muntaha al-Iradat, 3/497

Kami akan membincangkan satu sudut yang lain seperti tajuk iaitu: Al-Wafa’Dalam membincangkan isu ini, kami terbaca sebuah buku bertajuk Tabsirah Al-Uqala Bi Haqiqati Al-Wafa’ oleh al-Ustaz Dr. Abdul Karim al-Said al-Badawi Ahmad Sulaiman, cetakan pertama 1433H- 2012M. antara perbincangannya ialah:

 

Pertama: Erti dan hakikat al-Wafa’

Perkataan wafa’ memberi sejumlah makna apabila kita melihat dan kita merujuk kepada kitab-kitab bahasa dan mukjam. Antaranya:

  • Menunjukkan kepada menyempurnakan dan lengkap. Inilah pendapat Ibn Faris. Lihat Mu’jam Maqayis al-Lughah (6/129).
  • Al-Jauhari berkata: Wafa’ berlawanan dengan penipuan. Lihat Mukhtar al-Sihhah (7/376)
  • Al-Gharib berkata: Perkataan wafiy ialah seseorang yang memberi hak dan mengambil secara hak.

 

Daripada kenyataan di atas, maka fahamlah kita apabila disebut wafa’ pada bahasa, ia memberi makna dengan sempurna, lengkap, memelihara janji setia dan termasuk padanya juga sifat ikhlas, pengorbanan dan pemberian.

Pada istilah pula, para ulama telah mengemukakan dengan  panjang lebar maksud al-wafa’. Antaranya:

  • Al-Jurjani berkata: Iaitu mulazamah pada cara pengorbanan dan menjaga serta memelihara janji terhadap khalifah. Lihat al-Takrifat (hal.327)
  • Al-Jahiz berkata: Al-Wafa’ ialah sabar di atas apa yang dikorbankan oleh manusia bagi dirinya… Lihat Tahzib al-Akhlaq (hal. 24)
  • Al-Gharib berkata: Wafa’ dengan janji bermaksud menyempurnakannya dan tidak membatalkan pemeliharaannya. Lihat Mufradat Alfaz al-Quran (2/525)

 

Berdasarkan takrif di atas, maka jelaslah bagi kita bahawa hamba Allah yang soleh pada setiap masa dan tempat bersepakat bahawa sifat wafa’ dituntut dari setiap orang mukallaf untuk menunaikannya dengan hati yang lapang.

 

Jenis-Jenis Wafa’

Terdapat banyak jenis dan patut ditunaikan. Antaranya:

  • Wafa’ dengan janji (العهد).

Ibn Abbas R.Anhuma pernah berkata: Al-Uhud atau janji apa yang dihalalkan, diharamkan, difardhukan dan dihadkan serta ditentukan dalam al-Quran keseluruhannya. Biasanya digunakan apabila Allah membuat janji dengan manusia atau manusia memutuskan janji semata-mata kerana Allah dan juga sesama mereka.

  • Wafa’ dengan aqad.

Sama ada dikehendaki seperti di atas atau juga dengan maksud apa yang dijanji sesama manusia.

  • Kata al-Alusi, al-Tabarasi telah membezakan antara aqad dengan ahdu, di mana aqad dengan makna kesungguhan dan tidak berlaku kecuali dari dua pihak, sedangkan al-Ahdu boleh jadi berlaku dari sebelah pihak sahaja. Lihat Ruh al-Maani (6/48)
  • Wafa’ dengan wa’ad (janji).

Perkataan wa’ad kadang-kadang digunakan dalam tempoh yang terhad yang mewajibkan seseorang terhadap dirinya atau orang lain. Lihat Tahzib al-Akhlaq (hal.24)

 

Hukum Wafa’

Para ulama mengatakan hukum wafa’ adalah wajib kerana bahayanya daripada melanggarnya. Ada juga pendapat yang

Firman Allah Taala:

وَلا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلاَّ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّى يَبْلُغَ أَشُدَّهُ وَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ لا نُكَلِّفُ نَفْساً إِلاَّ وُسْعَهَا وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُوا وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى وَبِعَهْدِ اللَّهِ أَوْفُوا ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, sampai dia mencapai (usia) dewasa. Dan sempurnakanlah takaran dan timbangan dengan adil. Kami tidak membebani sesorang melainkan menurut kesanggupannya. Apabila kamu berbicara, bicaralah sejujurnya, sekalipun dia kerabatmu dan penuhilah janji Allah. Demikianlah Dia memerintahkan kepadamu agar kamu ingat.

(Surah al-An’am: 152)

 

Wajah istidlal dalam ayat ini, dengan janji Allah hendaklah kamu wafa’ dan tunaikannya. Di dahulukan janji Allah menunjukkan pentingnya memelihara amanah dan menunaikan janji.

Dalam ayat “dan sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil.”, telah ditafsirkan seperti berikut:

Rujuk Surah al-Mutaffifin: 1-3 berkenaan perkara ini.

وَيْلٌ لِلْمُطَفِّفِينَ

Maksudnya: “Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang”

 

الَّذِينَ إِذَا اكْتَالُوا عَلَى النَّاسِ يَسْتَوْفُونَ

Maksudnya: “(Yaitu) orang-orang yang apabila menerima takaran dari orang lain mereka minta dipenuhi”

 

وَإِذَا كَالُوهُمْ أَوْ وَزَنُوهُمْ يُخْسِرُونَ

Maksudnya: “dan apabila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi.”

 

Menurut Syeikh Mustafa al-Maraghi, ayat-ayat dari Surah al-Mutaffifin ini menjelaskan lagi bagaimana jenis orang yang celaka dalam perniagaan mereka. Iaitu apabila orang lain menyukat untuk mereka, mereka nak cukup timbangan itu, tapi apabila mereka pula menyukat untuk orang lain, mereka kurangkan. Amat buruk sekali perangai itu.

Apabila digunakan perkataan الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ bermaksud setiap cara timbangan dan sukatan dimasukkan ke dalamnya. Kerana mungkin zaman sekarang, cara ukuran sudah semakin canggih, maka apapun cara timbangan, kita perlu memastikan timbangan itu tepat.

Ini adalah peringatan kepada peniaga-peniaga kita yang ada di kalangan mereka yang mengurangkan timbangan yang diberikan kepada pelanggan-pelanggan mereka. Macam-macam cara mereka gunakan untuk mengurangkan timbangan itu. Mungkin mereka kurangkan sedikit sahaja setiap kali, tapi kalau dicampur semua, maka lama kelamaan banyak juga habuan untuk mereka. Dengan keuntungan lebihan mereka yang sedikit itulah yang akan memasukkan mereka ke dalam neraka.

Inilah masalah masyarakat yang dialami oleh umat Nabi Syuaib, selain dari masalah syirik yang mereka amalkan. Oleh kerana kesalahan mereka itu, seluruh bangsa mereka telah dihapuskan oleh Allah.

Kadang-kadang kita tidak berniat pun hendak menipu dalam timbangan itu. Kadang-kadang pengurangan itu disebabkan kecuaian kita. Ataupun kita tak perasan. Sebagai contoh, peniaga makan dan minum mungkin terlupa memasukkan gula dalam minuman untuk pelanggannya. Pelanggan itu tidak minum tapi dia bayar juga harga minuman itu. Pendapatan begini dinamakan ‘Harta syubhah’. Dia tidak layak dapat harta itu. Dia tidak perasan pun yang dia tidak layak dapat. Harta sebegini boleh dibersihkan dengan mengeluarkan zakat.

Firman Allah Taala:

وَلا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلاَّ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّى يَبْلُغَ أَشُدَّهُ وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولاً (34) وَأَوْفُوا الْكَيْلَ إِذَا كِلْتُمْ وَزِنُوا بِالْقِسْطَاسِ الْمُسْتَقِيمِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً

MaksudnyaDan janganlah kamu menggunakan harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik (bermanfaat) sehingga dia dewasa, dan penuhilah janji, kerana janji itu pasti dipertanggungjawabkan. Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang benar. Itulah yang lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.

(Surah al-Isra’: 34-35)

 

Dalam ayat “dan sempurnakanlah segala perjanjian kerana perjanjian itu akan ditanya”, Allah Taala akan menyoal tentang penunaian perjanjian itu dan akan menghisab setiap mereka yang memungkiri dan membatalkan perjanjian.

Islam menekan berat terhadap kewajipan menyempurnakan perjanjian, kerana penunaian perjanjian merupakan tempat pergantungan kejujuran, kepercayaan dan kebersihan di dalam hati nurani individu dan di dalam kehidupan orang ramai. Pembicaraan mengenai kewajipan meunaikan perjanjian ini telah dikemukakan berulang-ulang kali dengan berbagai-bagai bentuk di dalam al-Quran dan hadis, sama ada perjanjian dengan Allah atau perjanjian dengan manusia, perjanjian individu, perjanjian kelompok, perjanjian negara, perjanjian pemerintah dan perjanjian rakyat yang diperintah.

Di dalam sejarah realiti, Islam telah mencapai tahap yang amat tinggi dalam kejujuran menyempurnakan perjanjian, iaitu tahap yang tidak dapat dicapai oleh manusia melainkan menyempurnakan perjanjian, iaitu tahap yang tidak dapat dicapai oleh manusia melainkan di bawah naungan Islam. Lihat Tafsir Fi Zilalil Quran oleh Asy-Syahid Sayyid Qutb (10/195) 

 

Firman Allah:

وَأَوْفُوا بِعَهْدِ اللَّهِ إِذَا عَاهَدْتُمْ وَلا تَنقُضُوا الأَيْمَانَ بَعْدَ تَوْكِيدِهَا وَقَدْ جَعَلْتُمْ اللَّهَ عَلَيْكُمْ كَفِيلاً إِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ

Maksudnya:Dan tepatilah janji dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu melanggar sumpah setelah diikrarkan, sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu (terhadap sumpah itu). Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu perbuat.

(Surah al-Nahl: 91)

 

Penetapan atau penunaian perjanjian dengan Allah meliputi perjanjian orang-orang Islam dengan Rasulullah SAW dan meliputi segala bentuk perjanjian mengenai segala sesuatu yang baik yang disuruh Allah. Penunaian perjanjian merupakan jaminan untuk mengekalkan unsur kepercayaan di dalam urusan perhubungan timbal balik di antara orang ramai. Tanpa kepercayaan ini masyarakat dan insaniah tidak akan  dapat berdiri. Saranan ayat ini membuat dua pihak yang mengadakan perjanjian itu merasa segan dan malu untuk membantah sumpah yang telah diikrarkan mereka kerana mereka telah menjadikan Allah sebagai penjamin dan saksi bahawa mereka akan memenuhi perjanjian itu. Lihat Tafsir Fi Zilalil Quran oleh Asy-Syahid Sayyid Qutb (10/104)

Firman Allah Taala:

أَفَمَنْ يَعْلَمُ أَنَّمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ الْحَقُّ كَمَنْ هُوَ أَعْمَى إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُوا الأَلْبَابِ ﴿١٩﴾ الَّذِينَ يُوفُونَ بِعَهْدِ اللَّهِ وَلا يَنقُضُونَ الْمِيثَاقَ

Maksudnya: Maka apakah orang yang mengetahui bahawa apa yang diturunkan Tuhan kepadamu adalah kebenaran sama dengan orang yang buta? Hanya orang berakal saja yang dapat mengambil pelajaran. (Iaitu) orang-orang yang memenuhi janji Allah dan tidak melanggar perjanjian.

(Surah al-Ra’du: 19-20)

 Janji Allah merupakan satu janji umum yang merangkumi segala janji, dan perjanjian Allah merupakan satu perjanjian umum yang merangkumi segala perjanjian. Janji yang paling agung ialah janji yang menjadi tapak asas bagi segala janji iaitu janji beriman, dan perjanjian yang paling agung ialah perjanjian yang menjadi induk bagi segala perjanjian, iaitu perjanjian untuk menunaikan komitmen-komitmen yang dituntut oleh keimanan ini.

 

Beberapa Hadith Berkenaan Dengan Wafa’

Kami nyatakan di sini beberapa hadith berkenaan dengan wafa’ di mana kebanyakannya menunjukkan ancaman dan amaran yang keras kepada yang tidak menunaikan wafa’. Sebagai contoh:

Daripada Abdullah bin Amr, Rasulullah SAW bersabda:

أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا، وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا: إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ، وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ

Maksudnya: "Empat hal bila ada pada seseorang maka dia adalah seorang munafiq yang hakiki, dan barangsiapa yang terdapat pada dirinya satu sifat dari empat hal tersebut maka pada dirinya terdapat sifat nifaq hingga dia meninggalkannya. Iaitu, jika diberi amanah dia khianat, jika berbicara dia berdusta, jika berjanji dia mengingkarinya dan jika berseteru ia melampaui batasannya".

Riwayat al-Bukhari (34)

 

Daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ، ولاَ دِينَ لِمَنْ لَا عَهْدَ لَهُ

Maksudnya: Tidaklah sempurna iman seseorang bagi sesiapa yang tidak beramanah dan tidak sempurnalah agama seseorang bagi sesiapa yang tidak menunaikan janjinya

Riwayat Ahmad (13199) dan al-Bazzar (7196)

 Al-Imam al-Zahabi dalam al-Kaba’ir berkata: “Khianat merupakan perkara yang amat buruk dalam semua keadaan dan sebahagian daripadanya lebih teruk daripada yang lain. Lihat al-Kaba’ir  (hal. 149)

Daripada nas-nas hadith di atas, jelas menunjukkan kepada kita betapa pentingnya umat Islam memelihara janji, etika, adab dan akhlak yang luhur lagi tinggi dalam melayari bahtera kehidupan agar sentiasa mendapat keberkatan Ilahi dan diredhai-Nya.

 

Tafsir ayat 23 Surah al-Ahzab

Kami sengaja menyebut sepotong ayat al-Qur’an untuk kita renung bersama bagaimana Allah paparkan dan rakamkan dalam kitab-Nya berkenaan dengan orang yang beriman yang benar-benar menunaikan keimanannya atau wafa’ dengan imannya.

Firman Allah Taala:

مِنْ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلاً

Maksudnya: Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya).

(Surah al-Ahzab: 23)

 

Allah SWT menerangkan bahawa di antara kaum Muslimin yang benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, ada orang-orang yang menepati janjinya. Mereka telah berjuang dengan seluruh jiwa dan hartanya, sebahagian mereka ada yang mati syahid di perang Badar, di perang Uhud, di perang Khandaq ini dan di peperangan-peperangan lainnya, sedang sebahagian yang lain ada yang menunggu-nunggu dipanjangkan umurnya, menunggu ketetapan Allah Yang Maha Esa. Dan orang-orang yang masih hidup ini, sekali-kali tidak akan berubah janjinya kepada Allah, akan tetapi ditepatinya janjinya selama hayat dikandung badan. 

Dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim, Al-Turmuzi, Al-Nasa'i dan imam-imam hadis yang lain dari sahabat Anas R.Anhuma, ia berkata: "Bapa saudaraku Anas bin Nadar, tidak ikut perang Badar, maka ia merasa sedih dan kecewa. Ia berkata: "Aku tidak hadir pada peperangan yang pertama kali Rasulullah saw ada di dalamnya. Sesungguhnya jika Allah memberikan kesempatan kepadaku menghadiri peperangan bersama Rasululalh sesudah ini, tentulah Allah Ta'ala akan melihat apa yang akan aku lakukan". Maka bapa saudaraku kata Aus dapat ikut serta dalam perang Uhud. Dalam perjalanan menuju Uhud itu, bapa saudaraku itu bertemu dengan Saad bin Muaz, dan Saad bertanya kepadanya: "Hai Abu 'Amr, hendak kemanakah engkau?". Bapa saudaraku menjawab: "Mencari bau surga yang akan aku peroleh di perang Uhud nanti". Maka bapa saudaraku terus ke Uhud dan gugur sebagai syuhada' di sana. Pada tubuhnya terdapat kira-kira 80 bekas pukulan, tusukan tombak dan lubang anak panah". Maka turunlah ayat ini. 

Menurut Tafsir Al-Kasysyaf bahawa beberapa orang sahabat ada yang bernazar; jika mereka ikut perang bersama Rasulullah, mereka tidak akan mundur dan tetap bertahan sampai gugur sebagai syuhada'. Di antara sahabat yang berjanji itu ialah Uthman bin Affan, Talhah bin Ubaidillah, Saad bin Zaid, Hamzah, Mus’ab bin Umair dan sahabat-sahabat yang lain.

 Antara iktibar yang dapat diambil daripada ayat di atas ialah:

  • Allah menyebut dengan min (مِنْ الْمُؤْمِنِينَ) yang memberi maksud sebahagian dalam bahasa yang lain bukan bermakna keseluruhan. Ini menunjukkan tidak ramai dan sedikit sahaja golongan terpilih ini.
  • Disebut di sini kalimah rijal yang memberi maksud lelaki yang hebat dan tidak mudah goyah. Itulah sifat lelaki sejati yang menunjukkan tinggi nilai prinsip.
  • Perkataan sadaqu memberi makna mereka membenarkannya dan disandarkan kepada ma ‘ahadu (صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ) ini menjelaskan kepada kita yang mereka tidak main-main bahkan bersungguh-sungguh apa yang telah mereka ikat perjanjian dengan Allah atau wafa’.
  • Ayat selepas itu menunjukkan pembahagian golongan yang menunaikan janji dengan Allah samada mereka sanggup terkorban atau mereka sedang menanti giliran dengan penuh kesabaran semata-mata meraih mardhatillah.
  • Ayat yang terakhir ditutup dengan kalimah (وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلاً) inilah sifat sebenar rijal yang tidak pernah menukar apa yang mereka bai’ah dan janji setia dengan Allah sebaliknya mereka wafa’ dan dengan yakin kepada janji Allah itulah mereka menjadi manusia yang dipuji oleh Allah dalam nas Ilahi.

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan 

Antara perkara yang terpenting nilai manusia adalah prinsip dan mauqifnya yang tak boleh digugat sementelahan lagi apabila mereka benar-benar di atas jalan yang lurus. Mereka cuba mencari mardhatillah melalui ilmu, hikmah dan juga ibadat serta iman yang tinggi kepada Tuhannya. Mereka beristiqamah dalam agama Islam dan kefahaman iman yang sebenar yang diresapi dengan keyakinan yang jitu. Dengan sebab itulah tidak pelik apabila mereka sanggup berbai’ah kepada Rasulullah SAW dalam apa jua keadaan sekalipun.

Pada zaman Nabi SAW, apabila seseorang memeluk Islam, dia menghulurkan tangannya kepada Nabi SAW dan berjanji kepada Baginda untuk mendengar dan taat kepada Baginda sebagai seorang Nabi dan pemerintah.

Mungkin kita semua masih ingat perjanjian Aqabah yang pertama dan kedua di Makkah. Begitu juga perjanjian taat setia beberapa orang sahabat kepada Nabi SAW ketika mereka memeluk Islam.

Contohnya, ucapan Ubadah bin al-Somit RA yang berkata:

بَايَعْنَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِى الْعُسْرِ وَالْيُسْر،ِ وَالْمَنْشَطِ وَالْمَكْرَهِ، وَعَلَى أَثَرَةٍ عَلَيْنَا، وَعَلَى أَنْ لاَ نُنَازِعَ الأَمْرَ أَهْلَهُ، وَعَلَى أَنْ نَقُولَ بِالْحَقِّ أَيْنَمَا كُنَّا، لاَ نَخَافُ فِى اللَّهِ لَوْمَةَ لاَئِمٍ

Maksudnya: “Kami mengikat janji taat setia kepada Rasulullah SAW untuk mendengar dan patuh ketika susah dan senang, ketika suka dan tidak suka, mengutamakan orang lain, tidak akan merampas kuasa daripada orang yang layak dan mengatakan yang benar walau di mana kami berada. Kami tidak akan rasa takut kepada celaan manusia dalam melaksanakan perintah Allah.

Riwayat al-Bukhari (6774), Muslim (1709), Malik (2/445-446),

al-Nasaie (7/137-138) dan Ibn Majah (2866)

 

 

Dalam buku Fid-diini al-Khalis 3/137 Sadiq Hussin Khan mengatakan: “Dalam hadis ini terdapat bukti yang menunjukkan bahawa meminta para sahabat melakukan baiah adalah sunnah, demikian juga baiah yang diberikan oleh para sahabat adalah sunnah. Menunaikan sunnah baiah adalah wajib dan mencabulinya dengan sengaja adalah maksiat.”

 

Dalam mentafsirkan hadis berkenaan Ibn Hajar mengatakan: “ Dalam keadaan yang kita sukai atau kita benci, yakni dalam keadaan kita cergas dan dalam keadaan kita lemah untuk melakukan apa yang diperintahkan.” Ad-Daudi pula mengatakan: “ Maksudnya ialah sesuatu yang kamu benci.” Ibn.at-Tin pula berkata: “Yang jelas maksud beliau ialah pada waktu malas dan kesusahan.”

 

Ibnul Juzi Al-Makki pula mengatakan: “Kita tidak harus menentang kerajaan (maksud beliau kerajaan Islam-pent) sekalipun mereka zalim hinggalah ternyata pada mereka itu kekufuran yang jelas. Ketaatan wajib diberikan kepada mereka baik dalam perkara yang digemari atau dibenci, kecualilah mereka memerintahkan perkara maksiat. Dalam keadaan ini tidak wajib taat kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah.”

 

 Setelah kewafatan Nabi SAW, orang ramai mestilah menyatakan perjanjian taat setia kepada orang yang menjadi pengganti Baginda dalam menguruskan hal ehwal umat Islam, menjaga kepentingan mereka dan menjalankan urusan pentadbiran negara Islam. Ia adalah untuk menggambarkan bahawa mereka terus berjanji setia kepada Nabi SAW dan terus mentaati Baginda melalui ketaatan kepada para khalifah yang dilantik selepas Baginda SAW.

Justeru, marilah sama-sama kita menjadi hamba Allah yang soleh dan solehah yang mempunyai prinsip yang jelas dan sikap dengan watak sakhsiyyah Islamiyyah yang mithali.

 

Penutup

Kesimpulannya, dalam apa jua janji yang kita materikannya dengan kerelaan hati hendaklah kita tunaikan seperti:

  • Dalam janji kita sebagai pemimpin atau ketua jabatan.
  • Dalam janji kita sebagai penjawat awam.
  • Dalam janji kita sebagai pekerja.
  • Dalam janji kita sebagai suami atau isteri.
  • Dalam janji kita sebagai ibu bapa.
  • Dalam janji kita sebagai orang Islam dan beriman.

Semoga dengan semangat yang tinggi dalam menunaikan janji sudah tentu memberi pengenalan yang jelas bahawa orang yang dithiqahi oleh masyarakat dan diredhai oleh Allah. Ingatlah bahawa lembu dipegang dengan talinya sedangkan manusia dipegang dengan janjinya.

Semoga amanah janji yang kita lafazkan dan azamkan itu kita ‘wafa’kan dan tunaikannya dalam kehidupan kita yang layak menjadi hamba Allah yang soleh dan solehah.

Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk dan hidayat kepada kita. Amin.

 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

19 Syawal 1436H bersamaan 4 Ogos 2015

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...