169: FENOMENA "TIDAK BAHAGIA BILA BERTUDUNG"

 169: FENOMENA "TIDAK BAHAGIA BILA BERTUDUNG"

tudung

Setiap kali terbacakan kisah wanita Muslimah yang memilih untuk membuka tudung, saya teringatkan satu peristiwa yang pernah menggegarkan dunia. Kisah Hoda Shaarawi (Presiden pertama Egyptian Feminist Union), yang membuka tudung di khalayak ramai di Dataran Tahrir pada tahun 1923. Tindakan beliau itu mengejutkan ramai pihak, malah ada juga pemikir feminis lain seperti Malak Hafni Nasif yang tidak menyetujui tindakannya.

Usaha-usaha beliau memartabatkan hak wanita terutamanya dari sudut pendidikan secara umumnya amatlah dipuji, namun kami pasti ada sesuatu yang terjadi pada beliau, yang telah mencetuskan tindakannya untuk membuka tudung di khalayak. Begitu juga kes terbaru melibatkan Rahaf al-Qunun yang kini masih hangat dibahaskan di peringkat antarabangsa.

Mengapa Islam Menekankan Keperluan Berhijab Bagi Wanita?

Kami terbaca akan artikel berhubung keputusan seorang artis membuka tudung. Setiap akhbar membawakan tajuk yang berbeza untuk menarik pembaca. Kami amat menghormati keputusan beliau. Alasannya yang sempat kami lihat di dada akhbar dan temubual adalah berkenaan kebahagiaan diri sendiri serta hanya mahu menjadi diri sendiri. Cuma, seringkali alasan ini digunakan oleh mereka yang berkenaan tanpa memahami maksud sebenarnya. Kata kuncinya adalah bahagia dan hipokrit. Benarkah sedemikian?

Mungkin ada yang sinis dan memikirkan jawapan kami adalah jawapan yang klise. Kami nasihatkan, baca terlebih dahulu dengan hati yang lapang. Dalam Islam, setiap suruhan dan larangan-Nya, pasti ada hikmah yang tersembunyi untuk diteladani oleh umat Islam.

Apabila kita menamakan diri kita sebagai Muslim, maka kita perlu menyedari bahawa terkandung padanya tanggungjawab yang besar untuk menyerah diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Ini sebagaimana pengertian “Islam” dari sudut bahasa iaitu tunduk, patuh, atau berserah diri.

Apabila Allah mengharamkan syirik dan kekufuran, Allah juga mengharamkan wasilah-wasilah yang boleh sampai kepada keduanya. Apabila Allah mengharamkan arak, Allah juga mengharamkan wasilah-wasihat yang boleh sampai kepadanya. Dan bagi setiap pengharaman itu, ada pelbagai alternatif lain yang disediakan oleh Islam.

Imam Nawawi menyatakan bahwa wajibnya menutup aurat dari pandangan manusia adalah ijma’ (Lihat al-Majmu’, 3/119). Menutup aurat bagi seorang Muslimah di hadapan golongan yang bukan mahramnya adalah satu kewajipan yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Ini adalah berdasarkan firman-Nya:

يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksudnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Ahzab: 59)

Dalil wajibnya menurut aurat daripada pandangan yang bukan mahram juga dapat difahami daripada firman Allah SWT:

قُل لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ وَقُل لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلاَ يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…”

(Surah al-Nur: 30-31)

Begitu juga sabda Nabi SAW:

يَا أَسْمَاءُ، إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا

Maksudnya: Wahai Asma’! Sesungguhnya seseorang wanita apabila telah didatangi haid tidak elok dia membiarkan dirinya dilihat melainkan ini dan ini. Lalu Rasulullah SAW menunjukkan ke wajahnya dan tapak tangannya.

Hadis riwayat Abu Daud (4104)

Aurat wanita Muslimah juga disepakati oleh ulama Syafi’iyah adalah seluruh badan kecuali wajah dan kedua telapak tangan. (Lihat al-Majmu’, 3/122; Minhaj al-Talibin, 1/188).

Antara Hipokrit dan Melawan Hawa Nafsu

Hipokrit atau nifaq (اَلنِّفَاقُ) berasal dari kata نَافَقَ-يُنَافِقُ-نِفَاقاً ومُنَافَقَةً yang diambil dari kata nafiqa’ (النَّافِقَاءُ). Hipokrit secara bahasa bererti salah satu lubang tempat keluarnya yarbu’ (sejenis tikus) daripada sarangnya, di mana jika ia dicari dari lubang yang satu, maka ia akan keluar dari lobang yang lain. Dikatakan pula, ia berasal dari kata nafaq (النَّفَقُ) iaitu lubang tempat bersembunyi. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 5/98)

Dalam Islam, setiap usaha untuk terus konsisten dalam mengamalkan syariat-Nya akan diberikan pahala. Cuba kita tanyakan kepada diri, “Jika benar kita ingin menjadi diri sendiri, mengapakah apa yang kita inginkan itu berlawanan dengan tuntutan-Nya?” Adakah itu benar-benar kemahuan iman atau hanya hawa nafsu?

Tidak dinafikan bahawa melawan dan mengawal hawa nafsu adalah satu perkara yang besar dan sukar dilakukan. Ini kerana, ia memerlukan usaha yang tinggi bagi mengawal hawa nafsu tersebut agar tidak terjerumus ke lembah maksiat.Antara perkara yang boleh dilakukan bagi mengawal hawa nafsu ini adalah dengan sentiasa melakukan perkara-perkara kebaikan dan menguatkan hubungan dengan Allah SWT, seperti yang dinyatakan di dalam al-Qur’an :

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّـهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya : “ Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan), dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah bersama orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya ”.

(Surah al-‘Ankabut : 69)

Objektifikasi Wanita dan Hikmah Bertudung

Lukisan perempuan telah menjadi tema utama oleh para pelukis Barat sejak zaman sebelum era neo-Klasikisme dan Romantisisme. Tradisi seni lukisan pada era Rococco (gaya abad ke-18) yang merupakan masa terakhir bagi monopoli seni klasik, banyak menggambarkan dewi-dewi cantik dengan warna kulit kemerah-merahan dengan posisi yang tidak sesuai. Misalnya, karya Francois Boucher “Vulcan Presenting Venus with Arms for Aeneas” dan Jean-Honore Fragonard, “The Bather”. Sejak masa neo-Klasikisme, Romantisisme hingga Pascamodernisme, wanita tetap menjadi tema utama dalam sesuatu lukisan. Telah ramai sarjana Barat yang mengkritik eksploitasi dan objektifikasi wanita dalam media massa untuk melariskan jualan, produk dan perkhidmatan.[1]

Islam begitu memelihara hak wanita untuk dilindungi dan dipelihara sebaik-baiknya. Oleh kerana itulah turun firman-Nya dalam Surah al-Ahzab: 59 dan Surah al-Nur: 30-31. Ia adalah sebagai satu panduan kepada Muslimah untuk tampil berbeza dari yang lain dan bangga dengan identiti yang telah menjadi kod etika pemakaian buat dirinya.

Satu bentuk pemahaman yang kurang tepat apabila menghubungkan tujuan pemakaian tudung dengan wanita sebagai objek seksual. Itu adalah satu penghinaan kepada mereka yang memilih untuk bertudung. Bahkan, pemakaian tudung adalah sebahagian daripada pelaksanaan perintah menutup aurat oleh Allah SWT.

Mungkin ada yang berhujah bahawa menutup aurat juga tidak menjamin keselamatan wanita daripada gangguan seksual dan kes-kes lain yang lebih berat seperti dirogol. Kami tidak menafikannya malah amat bersetuju. Cuma, tidakkah ia adalah kerosakan sampingan (collateral damage) akibat rangsangan nafsu lelaki yang melihat tubuh badan wanita lain?

Menurut Journal of Adolescent Health, pendedahan kepada pornografi secara berlebihan boleh membawa kepada 8 masalah. Antaranya adalah persepsi seksual yang keterlaluan dalam masyarakat dan kepercayaan bahawa hubungan seks bebas (promiscuity) adalah normal.[2] Kajian seorang sosiologis, Jill Manning pula mendapati pornografi boleh membawa kepada beberapa sikap kepada penagihnya. Antaranya ialah “selera” yang meningkat terhadap pornografi bergambar dan aktiviti seksual yang berkaitan dengan kekerasan, salah dari segi undang-undang dan hubungan seksual yang tidak selamat.[3]

Justeru, tidakkah ia hujah yang sangat ampuh bagi Muslimah untuk bertudung sebagai mematuhi perintah Allah SWT dan memelihara dirinya daripada pandangan yang jahat?

Beberapa Sangkaan

Kami amat takut untuk melakukan dosa, jua menjadikan seseorang berdosa disebabkan saya. Saya amat terinspirasi dengan kisah Ibrahim al-Nakhaie dan Sulaiman al-A’masy.

Diriwayatkan bahawa Ibrahim al-Nakha’ie adalah seorang yang buta dan anak muridnya, Sulaiman bin Mehran al-A’masy pula seorang yang rabun. Satu hari keduanya berjalan bersama-sama menuju ke masjid. Kata Ibrahim: “Sulaiman, apa kata kamu ikut jalan yang lain manakala aku pula ikut jalan yang lain kerana aku takut nanti orang ramai melihat kita lalu mereka berkata: Si buta dipimpin si rabun. lalu mereka mengumpat kita dan mendapat dosa”.

Kata Sulaiman: “Wahai guruku, apa salahnya kita akan mendapat ganjaran pahala dan mereka (yang mengumpat) berdosa”. Jawab Ibrahim: “Tidak, kita selamat dan mereka juga selamat itu lebih baik dari kita diberi ganjaran pahala sedangkan mereka mendapat dosa”.

Justeru, untuk mengelakkan sebarang sangkaan, saya jelaskan terlebih dahulu beberapa andaian yang biasa dikemukakan apabila ada sahaja yang menegur dalam isu-isu sebegini:

  1. “Polis Moral”

Saya berpegang bahawa isu-isu moraliti terutamanya berkenaan baik dan buruk hendaklah dinilai melalui syariat dan akal. Ini sebagaimana pandangan Ibn Miskawaih dan Imam al-Ghazali. Perbahasan berkenaan falsafah akhlak adalah tajuk yang amat luas dibincangkan oleh sarjana Islam sebagaimana definisi Ibn Sadr al-Din al-Syirwani: “Ianya adalah ilmu mengenai kebaikan dan kaedah mencapai kebaikan dalam jiwa seseorang. Akhlak juga adalah ilmu tentang keburukan dan kaedah untuk menghindarka jiwa daripada keburukan tersebut.”

Saya kurang bersetuju dengan David Hume yang menafikan kaitan akal antara apa yang dilakukan oleh manusia dengan apa yang harus dilakukan oleh manusia, meragui kebenaran pernyataan yang bersifat moral. Bagi Hume, prinsip-prinsip asal moral tidak ada asas rasional tetapi cuma diasaskan atas dasar perasaan, sentimen dan simpati. Apatah lagi saya menolak pandangan “radikal” Harvey Cox dalam The Secular City yang melihat segala sesuatu itu bergantung kepada bagaimana kita melihatnya.

Saya samasekali tidak bersifat mendesak tetapi berdiri atas prinsip yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: Sesiapa dari kalangan kalian yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia mengubah dengan lidahnya dan sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan jantung hatinya. Demikian itu (mengubah dengan hati) adalah selemah-lemah iman.

Riwayat Muslim (184)

Justeru, itulah pendekatan kami iaitu tidak menyerang tetapi menerang, tidak menghukum tetapi mendekatkan.

  1. Banyak Isu Lain Lebih Penting

Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (www.muftiwp.gov.my) sehingga kini sudah menerima lebih 10 juta pengunjung dengan jumlah lebih 2, 000 buah artikel soal jawab yang dimuatnaik setiap hari. Sekecil-kecil persoalan hingga persoalan bersifat antarabangsa dijelaskan dan dinyatakan jawapannya dengan tuntas. Sebut sahaja tentang ekonomi, kesihatan, politik, sosial dan lain-lain, semuanya ada. Terbaru, kami juga melengkapkan fungsi Bahasa Inggeris bagi soaljawab agama untuk memudahkan carian pelayar antarabangsa.

Justeru, kami cuba menekuni setiap isu yang berlegar dalam kalangan masyarakat sekadar termampu atas kapasiti sebagai Mufti Wilayah Persekutuan.

Mengisytiharkan Maksiat Diri

Perbuatan mengisytiharkan (mujaharah) maksiat iaitu melakukan maksiat secara terang-terangan adalah di antara dosa besar yang dicegah dalam agama. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

Maksudnya: Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.

   Riwayat Al-Bukhari (6069)

Hadis di atas ini jelas menunjukkan bahawa golongan yang mewar-warkan maksiat ataupun melakukannya secara terang-terangan ini terkecuali dari mendapat ‘aafiyah daripada Allah S.W.T. Golongan al-mujahirun ini terbahagi kepada dua bahagian seperti berikut:

Pertama: Seseorang itu melakukan maksiat dan dia melakukannya secara terbuka.

Ini adalah mereka yang melakukan maksiat secara terang-terangan di hadapan orang ramai dan mereka melihat ke arahnya, maka dalam kes ini dia dianggap melakukan kezaliman ke atas dirinya sendiri atas maksiat yang dilakukan. Begitu juga dia melakukan dosa ke atas orang lain kerana menjadi faktor orang lain turut mengikut maksiat yang dia lakukan.

Kedua: Seseorang yang melakukan dosa secara sembunyi. Kemudian dia pergi menceritakan dosa yang telah dilakukan kepada orang lain.

Para ulama menjelaskan beberapa maksud al-mu’aafaah (kemaafan) yang terdapat di dalam hadis ini. Di antaranya adalah seperti berikut:

Kata al-Syeikh ‘Ali al-Qari Rahimahullah: Perkataan mu’aafaa adalah bermakna Allah S.W.T memberikan seseorang itu ‘aafiyah dan keselamatan dari perkara yang makruh (tidak disukai).

Kemudian beliau turut menukilkan kata-kata al-Thibi yang menyebut: ‘’Yang lebih azhar (jelas) adalah untuk disebutkan: Semua umatku ditinggalkan (terlepas) daripada umpatan melainkan golongan yang menjaharkan (berterang-terangan) melakukan maksiat. Ini seperti yang disebutkan: ‘’Sesiapa yang mencabut jilbab malu (dari dirinya) maka tidak dianggap mengumpat (umpatan orang lain) buat dirinya’’. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 7/3034).

Secara asasnya, yang dimaksudkan dengan ucapan: ‘’Setiap umatku diberikan ‘aafiyah kecuali golongan yang menjaharkan maksiat’’ adalah seperti berikut:

  • Seseorang yang menjaharkan maksiat itu tidak akan terselamat dari ucapan manusia. Iaitu tidak dianggap ghibah sekiranya orang ramai mengatakan dirinya sebagai fasiq kerana perbuatannya yang menjaharkan maksiat.
  • Begitu juga golongan ini tidak mendapat sitrullah iaitu Allah tidak akan menjaga keaiban mereka atas faktor mereka sendiri yang menunjukkannya.
  • Begitu juga mereka tidak terlepas daripada hukuman had dan juga takzir, kerana secara terang-terangan menzahirkan maksiat. Ini kerana, perbuatan menjaharkan maksiat ini merupakan suatu perbuatan yang merendahkan hak Allah dan juga Rasul-Nya S.A.W.

Ini juga termasuk dalam perbuatan mujaharah (menceritakan dosa kepada orang lain). Perbuatan ini menyebabkan dia turut terkecuali dari mendapat mu’aafah (kemaafan) daripada Allah SWT.

Lelaki Juga Perlu “Menghijabkan” Pandangan

Saya tidak cenderung kepada kelompok yang hanya menyalahkan wanita dalam isu ini dan membiarkan lelaki. Dalam hal wanita yang mendedahkan aurat, lelaki juga berperanan untuk menundukkan pandangan dan bukannya mengecam dengan kata-kata nista atas dosa yang dilakukan wanita berkenaan. Inilah yang ditegaskan dalam Islam. Kedua-dua belah pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjalankan syariat-Nya.

Daripada Jarir bin Abdullah berkata,

سَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ نَظَرِ الْفُجَاءَةِ فَأَمَرَنِي أَنْ أَصْرِفَ بَصَرِي

Maksudnya: “Aku telah bertanya kepada Nabi SAW akan perihal melihat secara tiba-tiba, maka Nabi SAW menyuruh aku mengalihkan pandangan aku (tidak memandang untuk kali yang kedua.”

(Riwayat Muslim, no. 2159)

Daripada Ibn ‘Abbas katanya:

أَنَّ امْرَأَةً مِنْ خَثْعَمَ اسْتَفْتَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ، وَالْفَضْلُ بْنُ عَبَّاسٍ رَدِيفُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ فِي الْحَجِّ أَدْرَكَتْ أَبِي شَيْخًا كَبِيرًا لَا يَسْتَطِيعُ أَنْ يَسْتَوِيَ عَلَى الرَّاحِلَةِ، فَهَلْ يَقْضِي عَنْهُ أَنْ أَحُجَّ عَنْهُ؟ فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «نَعَمْ» ، فَأَخَذَ الْفَضْلُ بْنُ عَبَّاسٍ يَلْتَفِتُ إِلَيْهَا، وَكَانَتِ امْرَأَةً حَسْنَاءَ، فَأَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْفَضْلَ، فَحَوَّلَ وَجْهَهُ مِنَ الشِّقِّ الْآخَرِ

Maksudnya: “Bahawasanya seorang wanita daripada Khath’am meminta fatwa daripada Rasulullah SAW semasa Hajjatul Wada’. Al-Fadhl bin ‘Abbas menunggang di belakang Rasulullah SAW. Wanita tersebut bertanya: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya kewajipan mengerjakan haji telah sampai kepada bapaku dan dia adalah seorang yang sangat tua yang tidak mampu untuk duduk di atas kenderaan. Apakah boleh saya menggantikan dia menunaikan haji? Rasulullah SAW bersabda kepadanya: ‘Ya’, al-Fadhl bin ‘Abbas memandangnya. Beliau adalah seorang wanita yang cantik. Lalu Rasulullah SAW memalingkan wajah al-Fadhl ke arah lain.”

Penutup

Apa yang kami kemukakan di sini bukanlah untuk menuding jari kepada mana-mana pihak. Artikel ini lebih kepada muhasabah bersama dalam berhadapan dengan isu sebegini. Emosi, nafsu dan iman senantiasa akan berlawanan dalam diri manusia. Oleh itu, rujuklah mereka yang lebih arif dan berpengalaman terutamanya para ulama’ yang sudah pasti pertimbangannya adalah al-Qur’an dan al-Sunnah.

Ingatlah bahawa manusia sentiasa tersalah, namun sentiasa meneruskan kesalahan bukanlah sifat yang sewajarnya ada pada seorang Muslim. Ingatlah pesanan Saidina Umar:

الرجوع إلى الحق خير من التمادي في الباطل

Maksudnya: “Kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.”

Semoga kita sama-sama dapat menginsafi kekurangan diri dan sentiasa berubah untuk menjadi Muslim yang lebih baik dari semasa ke semasa.

__________________________________

[1] Frith, Katherine; Shaw, Ping; Cheng, Hong (March 2005). "The construction of beauty: a cross-cultural analysis of women's magazine advertising". Journal of Communication. Wiley. 55 (1): 56–70. doi:10.1111/j.1460-2466.2005.tb02658.x;

[2] Dolf Zillmann, “Influence of unrestrained access to erotica on adolescents’ and young adults’ dispositions toward sexuality,” Journal of Adolescent Health 27 (Aug. 2000): 41-44.

[3] Jill Manning, “Hearing on pornography’s impact on marriage & the family,” U.S. Senate Hearing: Subcommittee on the Constitution, Civil Rights and Property Rights, Committee on Judiciary, Nov. 10, 2005. https://www.judiciary.senate.gov/imo/ media/doc/manning_testimony_11_10_05.pdf (accessed June 7, 2018).

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...