38: HIJRAHLAH KE ARAH TERBAIK
Mukaddimah
Menjadi sunnatullah di bumi ini, kekuatan rohani yang ternukil di dalam akidah kepercayaan yang sihat dan agama yang benar itu ialah pengawal kepada kekuatan maddi atau material. Suatu umat yang begitu tebal dan kaya dengan tatasusilanya yang sihat, begitu teguh berpegang dengan ajaran Islam di kala itu juga kekuatan materialnya, seperti negara, harta benda dan pangkat akan kekal lebih utuh dan kukuh. Andai kata ia papa kedana dan miskin dari segi akhlak, tidak betul dalam kepercayaan akidahnya, maka kekuatan materialnya juga turut lemah dan tergugat. Telah kita tegaskan bahawa sejarahlah yang menjadi saksi utama tentang kebenaran perkara itu.
Ustaz Muhibuddin al-Khatib berkata: “Sesungguhnya jiwa Islam mahukan agama Islam hidup dalam suasana berperaturan dan hukum bagi memudahkan kefahaman hidayat Islam. Justeru, tempat yang baik dan subur tanpa kekangan, tentangan dan sekatan yang berlaku di Kota Mekah tidak berlaku di Kota Madinah. Bahkan penduduk mereka saling berlumba-lumba untuk menolong dan infaq pada jalan Allah.
Dalam hijrah ada ketenangan dalam ketegangan, ada bantuan ketika kesushan. Inilah roh Ma’al Hijrah – “bersama” hijrah yang kita sambut setiap tahun. Ia janji bagi sebuah ketenangan dan kemenangan. Firman Allah SWT:
إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Al-Taubah: 40)
Syeikh al-Ghazali[1] berkata: “Tentera-tentera yang mengalahkan kebatilan dan bersama dengan kebenaran bukan dari jenis yang tertentu sahaja, seperti senjata dan bukan gambaran yang luar biasa semata-mata tetapi sebenarnya ia merangkumi maddiyah dan ma’nawiyah.”
Justeru, tajuk yang kami pilih untuk Bayan Linnas bersempena dengan Maal Hijrah 1437H kali ini ialah ‘Hijrahlah Ke Arah Terbaik’. Semoga ianya dapat memberi manfaat buat kita semua.
Definisi Hijrah
Pada bahasa, ia memberi maksud perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain. Ia lebih kepada gerakan fizikal. Kemudian, Rasulullah SAW menukarkan makna fizikal kepada maknawi seperti sabdanya yang bermaksud: “Orang yang berhijrah itu adalah dengan meninggalkan larangan Allah SWT.”
Dari segi istilah, ianya dapat difahami melalui:
- Berpindahnya Rasulullah SAW daripada Mekah menuju ke Madinah. Begitu juga yang dilakukan oleh sahabat Baginda. Perpindahan ini kerana semata-mata agama dan bukan membabitkan laba dan keuntungan duniawi.
- Perpindahan dari negeri kufur ke negeri Islam. Jika niatnya kerana Allah, maka hijrah itu termasuk dalam hijrah syara’.
- Ibn Rejab al-Hanbali[2] berkata: “Asal perkataan hijrah ialah meninggalkan negara syirik dan berpindah ke negara Islam, sepertimana para Muhajirin berhijrah sebelum pembukaan Mekah ke Madinah. Sebelum itu juga, sebahagian daripada mereka telah berhijrah ke bumi Habsyah yang diperintah oleh al-Najasyi.”
Pembahagian Hijrah
Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah membahagikan hijrah kepada beberapa jenis. Ini yang dinyatakan oleh Ibn Daqiq al-‘Aid[3] iaitu nama perkataan hijrah diberi kepada beberapa bahagian atau perkara:
- Hijrah pertama ke Habsyah ketika golongan kufar menyakiti para sahabat.
- Hijrah kedua dari Mekah ke Madinah.
- Hijrah ketiga iaitu hijrah pelbagai kabilah dan kaum kepada Nabi SAW untuk mempelajari hukum syara’. Kemudian mereka pulang ke halaman masing-masing dan mengajar kaum mereka sendiri.
- Hijrah keempat iaitu hijrah bagi siapa yang memeluk Islam di kalangan penduduk Mekah datang mengunjungi Nabi SAW kemudian pulang semula ke Mekah.
- Hijrah kelima iaitu sesiapa yang berhijrah daripada segala larangan Allah. (Lihat Ihkam al-Ahkam, 1/11)
Ibn Qayyim al-Jauziyah[4] pula menyebut: Hijrah terbahagi kepada dua:
- Hijrah dengan tubuh badan dari sebuah negeri ke sebuah negeri yang lain.
- Hijrah dengan hati kepada Allah dan Rasul-Nya, iaitu hijrah yang mengandungi (daripada) dan (kepada). Iaitu hijrah dengan hatinya daripada cinta selain Allah kepada cinta kepada-Nya. Daripada Ubudiyyah selain-Nya kepada Ubudiyyah Allah. (Lihat al-Risalah al-Tabukiyah, hlm. 24-25)
Kelebihan Hijrah Menurut Al-Quran
Terdapat banyak dalil yang menunjukkan kelebihan hijrah. Kami akan kemukakan dalil bermula dengan nas al-Quran dan kemudian diikuti dengan hadith Baginda SAW.
- Firman Allah SWT:
فَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَأُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِمْ وَأُوذُوا فِي سَبِيلِي وَقَاتَلُوا وَقُتِلُوا لَأُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلَأُدْخِلَنَّهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ثَوَابًا مِّنْ عِندِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ الثَّوَابِ
Maksudnya: Maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan ugamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) - sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)"
(Aal-Imran: 195)
Ibn Jarir al-Tabari[5] berkata: Mereka yang berhijrah dari kaumnya di kalangan oang kafir semata-mata kerana Allah menuju kepada saudaranya di kalangan orang beriman dan mereka dikeluarkan daripada kampung halaman maka Allah janjikan balasan disisi-Nya. [Tafsir al-Tabari. Dar Hajr, 6/322]
Ibn Kathir[6] berkata: Ini kerana mereka meninggalkan negeri syirik dan datang ke negeri iman. [Tafsir aal-Quran al-‘Azim. Dar al-Taybah, 2/191]
- Firman Allah SWT:
الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللَّهِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ (20) يُبَشِّرُهُمْ رَبُّهُم بِرَحْمَةٍ مِّنْهُ وَرِضْوَانٍ وَجَنَّاتٍ لَّهُمْ فِيهَا نَعِيمٌ مُّقِيمٌ (21) خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
Maksudnya: (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. [21] Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. [22] Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisiNya pahala yang besar.
(Al-Taubah: 20-22)
Ibn Jarir berkata: Orang yang beriman membenarkan dengan tauhidnya. Berhijrah dan berjihad menentang orang musyrikin pada agama Allah dengan harta benda dan jiwa mereka. Itulah sebesar-besar darjat dan setinggi-tinggi kedudukan berbanding dengan hanya pemberi minum bakal haji, pemakmur Masjid al-Haram dari kalangan musyrikin. [Tafsir al-Tabari. Dar Hajr, 11/382]
- Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ هَاجَرُوا فِي اللَّهِ مِن بَعْدِ مَا ظُلِمُوا لَنُبَوِّئَنَّهُمْ فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ۖ وَلَأَجْرُ الْآخِرَةِ أَكْبَرُ ۚ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui.
(Al-Nahl: 41)
Ibn Jarir berkata: Mereka yang berpisah dengan kaumnya dan meninggalkan tanah watan kerana permusuhan semata-mata kerana Allah nescaya akan ditempatkan Allah di dunia di mana mereka reda dengannya. [Tafsir al-Tabari. Dar Hajr, 14/223]
- Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ هَاجَرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ قُتِلُوا أَوْ مَاتُوا لَيَرْزُقَنَّهُمُ اللَّهُ رِزْقًا حَسَنًا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
Maksudnya: Dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, kemudian mereka terbunuh atau mati, sudah tentu Allah akan mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurniaan.
(Al-Hajj: 58)
Ibn Jarir berkata: Mereka yang berhijrah meninggalkan tanah watan dan keluarga semata-mata mencari keredhaan Allah, mentaati-Nya dan menentang musuh-Nya. Kemudian mati terbunuh nescaya Allah rezekikan mereka pada hari kiamat dengan syurga dan rezeki yang baik atau pahala yang banyak. [Tafsir al-Tabari. Dar Hajr,16/618-619]
- Firman Allah SWT:
وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Al-Nisaa’:100)
Ibn Kathir berkata: Ini merupakan galakan dan saranan supaya berhijrah disamping menjarakkan dari musuh Allah di kalangan musyrikin dan orang yang beriman di mana sahaja dia berada sudah pasti memperolehi tempat perlindungan.
- Firman Allah SWT:
وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Maksudnya: Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. (Al-Taubah: 100)
Ibn Kathir berkata: Allah mengkhabarkan tentang keredhaan-Nya terhadap golongan terdahulu di kalangan golongan Muhajirin dan Ansar. Begitu juga golongan pengikut mereka dengan ihsan dan Allah redha dengan mereka dan menjanjikan mereka dengan balasan syurga Naim.
Kelebihan Hijrah Menurut Al-Sunnah
Antaranya:
- Sabda Rasulullah SAW kepada Amru bin al-‘As RA:
أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ الإِسْلاَمَ يَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهُ؟ وَأَنَّ الْهِجْرَةَ تَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهَا؟ وَأَنَّ الْحَجَّ يَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهُ؟
Maksudnnya: “Apakah kamu tahu bahawa Islam telah menghapuskan dosa sebelumnya? Hijrah boleh menghapus dosa semuanya? dan Haji boleh mengahapuskan dosa sebelumnya.” Riwayat Muslim (121)
Al-Imam al-Nawawi berkata: Ini menunjukkan besarnya kedudukan Islam, hijrah dan haji. Setiap satunya boleh menghapuskan sebarang dosa yang dilakukan sebelumnya. [Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath, 2/138]
- Sabda Rasulullah SAW kepada Abi Fatimah al-Dhumari RA:
عَلَيْكَ بِالْهِجْرَةِ فَإِنَّهُ لاَ مِثْلَ لَهَا
Maksudnya: “Hendaklah kamu berhijrah kerana ia tiada tandingannya.”
Riwayat al-Nasaie (4167)
Ini menunjukkan betapa kedudukan hijrah diangkat oleh Baginda SAW seolah-olah tiada tandingannya. Hal ini dengan jelas membuktikan pengorbanan yang terpaksa dilalui oleh golongan yang melakukan hijrah.
- Sabda Rasulullah SAW:
لَمَّا سُئِل عَنْ أَفْضَلِ الإِيمانِ قَالَ: الْهِجْرَةُ
Maksudnya: Apabila ditanyakan berkenaan seafdhol iman, jawab Baginda SAW: “Hijrah” .
Riwayat Ahmad (17027)
- Sabda Rasulullah SAW:
وَأَنَا آمُرُكُمْ بِخَمْسٍ اللَّهُ أَمَرَنِي بِهِنَّ، السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ وَالجِهَادُ وَالهِجْرَةُ
Maksudnya: “dan aku perintahkan kalian dengan lima perkara yang Allah perintahkan aku dengannya. Mendengar, mematuhi, berjihad dan hijrah…”
Riwayat al-Tirmizi (2863)
Fiqh Hijrah
Kami nukilkan di sini dua kisah buat renungan kita bersama:
Pertama: Dari Rumah ke Gua
Rasulullah SAW meninggalkan rumahnya pada malam 27 Safar tahun 14 kenabian bersamaan 12/13 September 622M.
Baginda terus meneuju ke rumah sahabatnya Abu Bakar RA. Kemudian mereka berdua meninggalkan rumah Abu Bakar RA dari pintu belakang untuk keluar dengan segera dari Mekah sebelum fajar menyinsing. Nabi SAW menyedari bahawa orang-orang Quraisy akan berusaha keras mencarinya dan jalan yang akan menjadi tumpuan ramai ialah jalan utama Madinah menuju ke utara, maka Baginda melalui jalan yang bertentangan sama sekali iaitu jalan yang terletak di selatan Mekah dan menuju kearah Yaman.
Baginda merentasi jalan ini sejauh lima batu sehingga sampai ke sebuah bukit yang dikenali sebagai Bukit Thaur. Bukit ini agak dengan batu-batunya yang keras serta laluannya yang sukar untuk didaki sehingga kaki Baginda melecet. Dikatakan bahawa Baginda sengaja berjalan menggunakan hujung kaki sepanjang perjalanan untuk menghilangkan kesan tapak kakinya. Abu Bakar RA memapah Baginda dengan bersusah payah hingga sampai ke puncak bukit yang terdapat sebuah gua yang dikenali sebagai Gua Thaur. [Rahmah Li al-Alamin, 1/95]
Fiqh dan Faedah:
- Ahli sejarah menceritakan bahawa Allah SWT telah mengirimkan labah-labah untuk membina sarangnya di pintu gua sedangkan labah-labah adalah makhluk Allah SWT yang paling lemah. Allah tidak memerangi orang-orang yang zalim kecuai dengan makhluk yang paling lemah. Tidak dikalahkan Ratu Balqis kecuali dengan burung hud-hud dan tidak mengalirkan air mata Namrud kecuali dengan seekor lalat. Allah boleh mengalahkan manusia hanya dengan seekor lalat untuk menunjukkan kekuasaan-Nya. Bagaimana jika Dia menggunakan kekuatan-Nya yang agung, memerintahkan semua malaikat-Nya. Kita meminta perlindungan dari kemurkaan-Nya, seksa-Nya dan dari kejahatan hamba-Nya.
- Mengikut sebahagian ahli sejarah juga bahawa burung merpati bertelur dengan tenang di pintu gua maka Allah memalingkan orang-orang kafir hingga mereka beredar dari depan gua.
- Strategi yang diatur oleh oleh Rasulullah SAW, begitu juga yang dilakukan oleh Abu Bakar RA menyebabkan misi hijrahnya Berjaya. Begitu juga Rasulullah SAW sengaja menukar perjalanan kea rah gua Thaur sebagai strategi untuk mengaburi musuhnya.
- Pemilihan gua mengingatkan kepada sifat fitrah manusia yang hanya berbumbungkan gua sebagai tempat tinggal pada peringkat awal mereka. Begitu juga peristiwa turunnya wahyu bermula dari gua. Gua juga menjadi penyelamat dalam misi Hijratul Rasul.
- Sahabat sejati amat sukar dicari.Tetapi dengannya, semua kerja yang payah dapat dimudahkan. Sahabat sejati adalah yang memandu rakannya kea rah ketaatan dan kebaikan.
Kedua: Ketika Berdua di dalam Gua
Apabila sampai di Gua Thaur, Abu Bakar RA berkata: “Demi Allah jangan engkau masuk ke dalamnya melainkan aku yang masuk terlebih dahulu. Kalau ada apa-apa bahaya, biar aku yang menanggungnya, asalkan bukan kamu ya Rasulullah.”
Beliau pun masuk dengan menguis-nguis kakinya dan mendapati terdapat sebuh lubang lalu dikoyakkan kainnya untuk menutup lubang tersebut. Kemudian, didapati dua lubang lagi maka digunakan pula kedua kakinya untuk menutupi lubang tersebut. Beliau lantas mengajak Baginda masuk ke dalam gua. Baginda terus mendapatkan Abu Bakar RA dan meletakkan kepalanya atas pangkuan lalu tertidur.
Tiba-tiba kaki Abu Bakar RA disengat oleh binatang berbisa dari lubang tersebut. Namun ditahan kesakitannya tanpa bergerak kerana tidak mahu Rasulullah SAW terjaga sehingga air matanya mengalir dan menitis jatuh di atas wajah Baginda. Rasulullah SAW terjaga dan berkata: “Apa yang terjadi padamu wahai Abu Bakar?” Lantas beliau menjawab: “Aku disengat Ya Rasulullah.” Baginda terus meludah ke tempat sengatan terebut maka hilanglah segala kesakitan yang ditanggung oleh Abu Bakar RA.[7]
Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA mendiami gua tersebut selama tiga malam iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad.[Lihat Fath al-Bari, 7/336]
Abdullah bin Abu Bakar R.Anhuma bermalam berdekatan dengan mereka berdua. ‘Aisyah R.Anha berkata: “Abdullah seorang anak muda cerdik lagi pintar. Tatkala waktu sahur, dia segera keluar dari sisi mereka berdua dan bersama dengan orang Quraisy di Mekah seolah-olah malamnya dia tidur di situ. Di Mekah dia mengintip setiap perbualan berkaitan dengan perancangan terhadap Rasulullah SAW lalu disampaikan kepada mereka berdua setelah larut malam. Amir bin Fuhairah, hamba Abu Bakar RA mengembala kambing di kawasan persembunyian Baginda dan Abu Bakar RA. Apabila tiba waktu Isyak, beliau membawa kambingnya ke arah gua lalu memerah susu perahan kambingnya kemudian dia membawa pulang kambing tersebut dan begitulah pula keesokan harinya juga perkara yang sama dilakukan selama tiga malam berturut-turut.” [Sahih al-Bukhari, 1/553-554]
Selepas selesai dia pulang ke Mekah dengan membawa kambing tersebut melalui jejak yang ditinggalkan oleh Abdullah bin Abu Bakar dengan tujuan menghilangkan kesan tapak kaki. [Lihat Sirah Ibn Hisham, 1/487]
Pembesar Quraisy bingung kerana kegagalan membunuh Rasulullah SAW pada waktu malam semasa pengepungan di rumah Baginda. Mereka memukul Ali bin Abi Talib dan mengheret ke Kaabah lalu menhannya untuk mengetahui berita tentang Rasulullah SAW. [Lihat Rahmah Li al-‘Alamin, 1/96]
Namun Ali RA tetap teguh dengan penderiannya dan mereka gagal mendapat segala maklumat tentang persembunyian Baginda dan Abu Bakar RA. Mereka terus ke rumah Abu Bakar RA dan bertanyakan hal yang sama: “Mana bapamu?”, Tanya mereka. Asma’ binti Abu Bakar R.Anha keluar dan menjawab: “Demi Allah, aku tidak tahu ke mana bapaku pergi.” Abbu Jahal mengangkat tangannya lantas menampar pipi Asma’ sehingga menyebabkan anting-antingnya terjatuh. [Lihat Sirah Ibn Hisham, 1/487]
Dalam satu mesyuarat tergempar, pihak Quraisy mengambil keputusan untuk menggunakan apa sahaja cara asalkan Baginda dan Abu Bakar RA dapat ditangkap. Semua jalan keluar dari Mekah disekat dan dikawal dengan pengawal yang lengkap bersenjata. Hadiah lumayan iaitu seratus ekor unta ditawarkan kepada sesiapa yang boleh membawa keduanya kepada pihak Quraisy sama ada hidup atau pun mati. [Lihat Sahih al-Bukhari, 1/554]
Dengan tawaran tersebut ramailah yang keluar mencuba nasib untuk mencari Baginda dan Abu Bakar RA demi meraih keuntungan yang ditawarkan oleh pihak Quraisy. Namun semuanya hampa tanpa hasil yang diharapkan. Ada di kalangan mereka yang telah sampai di hadapan pintu gua tempat persembunyian Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA, akan tetapi Allah SWT telah memelihara dan melindungi kekasih-Nya dengan rahmat dan kekuasaan-Nya.
Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis Anas RA daripada Abu Bakar RA, katanya: Aku bersama Nabi SAW dalam gua. Apabila aku mengangkat kepala, nampaklah olehku kaki-kaki pemburu Quraisy, lalu aku berkata: “Wahai Nabi Allah, kalaulah sebahagian mereka menundukkan pendangannya, nescaya dia akan melihat kita. Baginda menjawab: “Diamlah Abu Bakar, sungguhpun kita berdua tapi Allah SWT yang ketiga. Dalam lafaz yang lain menyebutkan: Bukan seperti sangkaanmu wahai Abu Bakar bahawa hanya ada kita berdua sahaja tetapi Allah SWT yang ketiganya.” [Sahih al-Bukhari, 1/516, 558]
Kebimbangan Abu Bakar RA bukan terhadap dirinya tetapi sebaliknya beliau bimbang dan merasa sedih hati kalau terjadi apa-apa terhadap Rasulullah SAW. Lantas ia berkata: “Kalau aku dibunuh, cuma aku seorang sahaja, tetapi jikalau engkau yang dibunuh, maka binasalah semua umat ini.” Ketika itulah Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Janganlah engkau bersedih. Sesungguhnya Allah SWT bersama dengan kita.” [Lihat Abdullah al-Najdi, hlm. 168]
Kegagalan pihak Quraisy melihat mereka kerana mukjizat yang Allah SWT kurniakan kepada Nabi SAW. Akhirnya mereka pulang dengan hampa sedangkan jarak antara mereka dengan Nabi SAW dan Abu Bakar RA hanya beberapa langkah sahaja.
Fiqh dan Faedah:
- Mukjizat Rasulullah SAW menyembuhkan sengatan bisa yang terkena Abu Bakar RA. Inilah yang kita yakini bahawa mukjizat sebagai penguat kebenaran risalah yang dibawa oleh Rasul.
- Kasih sayang Abu Bakar RA dan kecintaannya kepada Rasulullah SAW hingga sanggup menggadai harta bahkan nyawanya demi mempertahankan Baginda SAW. Begitu juga dengan keberaniannya ketika masuk ke gua sekalipun berasa bimbang terhadap sebarang kemungkinan yang bakal terjadi.
- Keyakinan Rasulullah SAW dengan nas Ilahi apabila bersabda kepada sahabatnya: Jangan kamu dukacita kerana Allah bersama kita. Inilah selayaknya dimiliki oleh pendakwah yang meyakini pertolongan Allah ketika saat lemahnya kekuatan mereka.
- Jaarullah berkata: Siapa yang mengingkari persahabatn Abu Bakar RA dengan Nabi SAW, maka sesungguhnya dia kafir kerana menolak apa yang terkandung di dalam kitab Allah. [Lihat Mahasin al-Ta’wil, 8/218]
- Keluarga Abu Bakar RA dan khadamnya seperti Amir bin Fuhairah yang ditugaskan mengembala kambing untuk tujuan diminum susu dan mengaburi jejak kaki Nabi SAW dan Abu Bakar RA. Ini merupakan strategi yang baik dan berkesan.
- Tiada sesiapapun yang mengetahui tempat persembunyian Nabi SAW dalam GUa Thur kecuali lima orang iaitu Abdullah bin Abu Bakar, Amir bin Fuhairah, Abdullah bin Uraiqit, Asma’ binti Abu Bakar R.Anha dan ‘Aisyah R.Anha.
- Tujuan maklumat diberitahu kepada mereka untuk mereka membantu urusan dalam misi Hijrah.
- Sifat permusuhan antara Islam dan kufur sentiasa berlaku hingga ke akhir hayat.
- Dapat kita perhatikan juga kesungguhan keluarga Abu Bakar RA melakukan segala apa yang diperlukan oleh Rasulullah SAW, antaranya:
- Abdullah bin Abu Bakar berulang alik antara Mekah dan tempat persembunyian Rasulullah SAW.
- Mengintip rahsia daripada kaum Musyrikin Mekah dan membawanya kepada Rasulullah SAW dan bapanya.
- Begitu juga perana Asma’ R.Anha yang bertungkus-lumus menyediakan makanan dan binatang tunggangan yang diperlukan.
- Semuanya memberikan kita satu gambaran yang wajib dibebani oleh setiap Muslim lelaki mahupun perempuan demi menegakkan Islam yang sejati. Tidak memadai setakat untuk diri sendiri atau setakat beribadah sahaja. Segala tenaga mesti dicurahkan dengan penuh kesungguhan kearah kepentingan Islam.
- Demikianlah kalau kita perhatikan mereka yang bersama sebilangan besarnya adalah remaja. Mereka tidak membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Daya usaha mereka digembeling sepenuhnya demi menegakkan agama Islam dan membangunkan masyarakat.
Kenyataan Mufti Wilayah
Suka kami memetik firman Allah SWT yang berbunyi:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
Maksudnya: “Dan tidaklah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad,) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
(Al-Anbiya’: 107)
Dr. ‘Aid al-Qarni dalam bukunya, Rahmatan li al-‘Alamin menyebut beberapa tafsiran, antaranya:
- Baginda merupakan seorang manusia utusan Allah. Baginda diutuskan untuk membela nasib umat yang lemah, tertindas, terkebelakang dan terpenjara dengan pelbagai kezaliman. Baginda datang untuk mengangkat maruah mereka sehingga setaraf dengan bangsa lain. Baginda membina satu tamadun baru di antara sekian tamadun yang sedia ada dan ia menjadi tamadun yang paling tinggi nilainya.
- Rasulullah SAW telah mengeluarkan kita dari semenanjung Arab yang tandus tanpa wujudnya sungai, kebun, mahupun tumbuh-tumbuhan, menjelajahi seluruh pelusuk bumi.
Berdasarkan pengamatan kami, jelas menunjukkan hijrah mempunyai pelbagai kelebihan yang tiada tandingan dan bandingan. Isu pengorbanan merupakan perkara pokok dalam hijrah yang telah diterjemahkan oleh Rasulullah SAW dan para Sahabatnya. Penulis menukilkan dari buku Mengenali Rasulullah SAW antara lain menyebut: Allah SWT mensyariatkan prinsip berkorban dengan harta dan tanah air demi mempertahankan aqidah dan agama apabila diperlukan. Dengan pengorbanan ini sebenarnya umat Islam telah memelihara harta, negara dan kehidupan walaupun kelihatan pada awalnya mereka kehilangan segala-galanya.
Tidak syak lagi di dalam usaha melaksanakan ajaran Islam, ukhuwah dan sikap saling membantu merupakan asas pertolongan dan kemenangan umat Islam pada setiap masa. Sebaliknya kecuaian dalam menjalankan perintah Allah, inilah meupakan punca kemerosotan umat Islam dan perpecahannya. Hinggakan mereka seperti boleh dikoyak-koyakkan oleh seterunya (musuh Islam) di mana-mana sahaja.
Persoalannya, apakah cara untuk mendapatkan semangat roh hijrah hingga mampu dijelmakan dalam kehidupan sanubari kita? Kami hanya ingin membuka minda untuk sama-sama kita bermuhasabah sejarak mana kita dengan tata cara kehidupan Rasulullah SAW dalam mencapai mardhatillah (keredhaan Allah).
Antaranya perkara yang boleh kita perhalusi dan bermuhasabah dengannya dalam menyemarakkan lagi semangat hijrah ialah:
- Hati dan nawaitu bagaimana kita mentahqiqkan ubudiyyah yang mutlak kepada yang Maha Esa dalam menjalani kehidupan ini.
- Pembuangan segala sifat mazmumah seperti hasad dengki, tamak haloba dan digantikan dengan segala sifat mahmudah yang dianjurkan oleh agama Islam.
- Prestasi ibadah kita adakah masih pada tahap yang sama sejak dahulu lagi atau terdapat peningkatan sama ada dari segi khusyuknya, ikhlasnya dan benar mengikut sunnah Nabi SAW dalam pengamalan ibadah tersebut.
- Sistem muamalah yang dengannya sentiasa kita berinteraksi dalam masyarakat untuk urusan harian apakan menepati piawaian syarak yang selamat dari unsur riba, khianat, penipuan dan sebaliknya mengikut system Islam.
- Berhubung dengan kekeluargaan Islam, apakah ia benar-benar menjadi bayt muslim yang melahirkan sakinah, mawaddah, rahmah seterusnya melahirkan zuriat soleh dan solehah yang menjadi khalifah Allah di muka bumi.
- Mustafa al-Siba’ie berkata: “Sesungguhnya tentera yang benar lagi ikhlas amat memerlukan kepimpinan yang baik. Natijahnya dia sanggup berkorban untuk pemimpinnya, ini kerana jika selamatnya pemimpin maka selamatlah dakwah.”
- Hubungan sesama masyarakat dari yang paling hampir seperti jiran tetangga, rakan taulan, pemimpin dan rakyat hatta siapapun dia, adakah menepati seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika mengasaskan kerajaan Islam yang pertama di Madinah.
- Meletakkan Piagam Madinah sebagai perlembagaan merupakan satu jaminan bahawa sebarang tindakan mesti mengikut lunas undang-undang. Lantas memberikan hak semua warganegara hatta dikalangan orang Yahudi dan bukan Islam sekalipun
- Memperkasakan peranan masjid. Masjid bukan hanya terbatas sebagai tempat beribadat sahaja, tetapi hendaklah diperluaskan dalam bentuk yang lebih syumul lagi menyeluruh. Antaranya:
- Tempat ibadat seperti solat, zikir dan membaca al-Quran.
- Tempat mempelajari ilmu. Bahkan masjid merupakan university pertama yang melahirkan graduan pahlawan dan pendakwah yang membuka hati-hati hamba dan negeri dengan dakwah Islam. Justeru itu, ia dianggap sebagai Madrasah Nubuwwah dan menara ilmu.
- Tempat syura (bermesyuarat) atau perbincangan. Dslam istilah moden, ia kelihatan seperti parlimen bagi mendapatkan maklumat dan buah fikiran yang terbaik.
- Sebagai pusat jaringan takaful dan tolong-mennolong sesama Muslim. Ketika itu, terbinalah masyarakat yang begitu kukuh dan ampuh hubungan ukhuwwah Ini kerana sikap yang kaya menolong golongan yang miskin dan yang susah dibantu akhirnya akan terbentuk rasa hormat dan kasih-sayang.
Akhirnya marilah sama-sama kita mempelajari sirah dan sunnah Nabi SAW untuk memahami segala selok-belok yang berkaitan dengan Baginda SAW agar dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Sesungguhnya, menjadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah dan uswah hasanah sudah pasti membawa kebahagiaan yang hakiki sama ada di dunia mahupun hingga ke akhirat.
Penutup
Al-Syeikh al-Khidri berkata: “Dengan hijrah ini, telah sempurnalah bagi Rasul kita SAW mengikut sunnah sudaranya di kalangan para Nabi. Ini kerana sunnah mereka adalah berhijrah dari tempat kelahiran mereka seperti yang berlaku ke atas Nabi Ibrahim AS hingga kepada Nabi Isa AS.”
Seperti kata Dr. Muhammad Abu Faris: “Sesungguhnya hijrah adalah sepenting-penting peristiwa dalam tarikh dakwah islamiyah, Ini kerana dengannya terbentuk kuasa politik bagi umat Islam dalam menyebarkan agamanya serta mempertahankan kemuliaannya.”
Dalam penutup ini, kami teringat ucapan Baginda SAW ketika sampai ke Kota Madinah. Baginda diperhatikan oleh khalayak penduduk Madinah termasuk orang Yahudi dan pendita mereka seperti Abdullah bin Salam. Antara ucapannya tatkala melihat wajah Baginda: “Aku mengetahui bahawa wajahnya bukan wajah seorang pendusta.” Kemudian Baginda berkhutbah: Wahai manusia, sebarkanlah salam, berilah makan, solatlah dikala manusia sedang tidur pada waktu malam, nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera. Riwayat al-Tirmizi.
Sesungguhnya hijrah merupakan kejayaan yang pasti diperolehi apabila disertai dengan nawaitu untuk mencari mardhatillah. Begitu juga hijrah adalah mukadimah kemenangan sepertimana sunnah para Rasul sejak dahulu lagi.
Sekiranya perintah Rasulullah SAW yang ringkas ini dapat diaplikasi dalam masyarakat dan negara sudah pasti menatijahkan keamanan, kebahagiaan dan juga keharmonian yang membawa kasih sayang sesama masyarakat.
Akhir kalam, saya berdoa kepada Allah SWT supaya Allah SWT memberikan taufiq dan hidayah serta menjadikan Malaysia negara yang aman dan makmur lagi diberkati dengan limpah dan rahmah beserta rezeki yang halal.
وكل عام وأنتم بخير، وجعلنا من العائدين والفائزين.
Akhukum fillah, S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
1 Muharram 1437H bersamaan 14 Oktober 2015
Nota Kaki:
[1] Syeikh Muhammad al-Ghazali dilahirkan pada tahun 22 September tahun 1917 di sebuah perkampungan di al-Buhayrah, Mesir. Merupakan graduan dari Universiti Al-Azhar pada tahun 1941, beliau kemudiannya bertugas sebagai pensyarah di beberapa buah universiti seperti Umm al-Qura di Mekah dan juga Universiti Qatar. Beliau banyak menulis dan hasil tulisannya banyak mempengaruhi generasi muda. Beliau adalah penerima anugerah King Faisal Award pada tahun 1989 kerana jasa dan khidmatnya buat Islam. Beliau meninggal dunia pada 9 Mac 1996 ketika berumur lebih kurang 78 tahun dan dikebumikan di Madinah, Arab Saudi.
[2] Al-Imam, al-Hafiz, al-‘Allamah Zain al-Din Abd al-Rahman bin Ahmad al-Dimasyqi al-Hanbali. Dilahirkan pada tahun 736H di Baghdad, Iraq di dalam sebuah keluarga yang sungguh ilmiyyah. Beliau berpindah ke Damsyiq sekitar tahun 744H ketika masih kecil. Beliau merupakan anak murid kepada Ibn Qayyim al-Jauziyyah dan beliau banyak menulis buku dan antara bukunya yang sehingga kini menjadi rujukan adalah seperti Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, Syarh ‘Ilal al-Tirmizi, Lataif al-Ma’arif dll. Beliau wafat pada tahu 795H di Dimasyq dan disemadikan di kawasan perkuburan Bab al-Saghir.
[3] Beliau ialah Muhammad bin Ali bin Wahab bin Muti’ bin Abi al-Ta’ah al-Qusyairi al-Qusai. Dilahirkan pada 15 Sya’ban tahun 625H di Yanbu’, sebuah kawasan yang berhampiran dengan Laut Merah. Seorang yang hafiz al-Quran dan mendengar hadis pada dari bapanya dan juga ulama-ulama yang lain seperti al-Hafiz al-Munziri. Antara anak muridnya yang terkenal ialah Ibn Hayan al-Gharnati. Antara karyanya yang masyhur ialah Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, al-Iqtirah fi al-Bayah al-Istilah, Ihkam al-Ahkam Syarh ‘Umdah al-Ahkam dll. Beliau wafat pada tahun 702H dan dikebumikan di Mesir.
[4] Al-Imam, Muhammad bin Abu Bakar bin Ayub bin Sa’d bin Hariz bin Makki al-Dimasyqiyyah al-Hanbali. Lebih dikenali dengan Syamsuddin, Abu Abdullah dan Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Dilahirkan pada tahun 691H dan karya tulisannya sungguh banyak dan sehingga kini masih menjadi rujukan buat penuntut ilmu. Merupakan anak murid kanan dan kesayangan Ibn Taimiyyah selama hampir 16 tahun bersama dan belajar. Beliau juga pernah dipenjarakan bersama-sama Ibn Taimiyyah di Qal’ah Dimasyq sehinggalah wafatnya Ibn Taimiyyah di dalam penjara tersebut dan kemudian beliau dibebaskan pada tahun 728H. Beliau wafat pada tahun 751H dan disemadikan di tanah perkuburan Bab al-Saghir di Damsyiq.
[5] Al-Imam, Abu Ja’far, Muhammad bin Jarir bin Yazid bin Kathir bin Ghalib masyhur dengan nama Abu Ja’far al-Tabari. Merupakan ahli-Tafsir dan ahli sejarah yang terkemuka. Dilahirkan pada tahun 224H di Tabrastan (sekarang Iran). Tafsirnya yang diberi nama Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Aay al-Quran merupakan sebuah tafsir yang tergolong dalam kategori Tafsir al-Ma’thur. Begitu juga dengan kitab sejarahnya Tarikh al-Tabari yang mana menghimpunkan kisah-kisah sejarah Islam yang mana menjadi rujukan utama dalam bidang sejarah. Beliau wafat pada tahun 310H pada umur sekitar 85 tahun.
[6] Al-Imam Abu al-Fida’ Ismail bin Umar bin Kathir al-Dimasyqi. Antara gelaran yang telah diberikan kepadanya adalah al-Hafiz (gelaran khas bagi mereka yang mempunyai pengetahuan luas dan mendalam di dalam ilmu hadith), al-Muarrikh (ahli sejarah) dan juga al-Mufassir (ahli tafsir). Beliau juga digelar dengan gelaran ‘Imad al-Din (tiang agama) dan beliau bermazhab Syafi’e. Merupakan salah seorang dari anak murid Ibn Taimiyyah dan al-Zahabi. Wafat pada tahun 774 Hijrah dan antara karya agungnya ialah Tafsir al-Quran al-‘Azim dan juga al-Bidayah wa al-Nihayah.
[7] Diriwayatkan oleh Razin daripada Umar bin al-Khattab dalam riwayat ini uga menyebutkan bahawa kesan racun tersebut kembali semula kepadanya di saat kematiannya dan itulah juga punca kematiannya. Lihat Misykah al-Masabih, Bab Manaqib Abu Bakar, (2/556).
No comments:
Post a Comment