282: MERUNGKAIKAN ISU SEBUTAN DAN EJAAN LAFZ AL-JALALAH

 BAYAN LINNAS SIRI KE-282: MERUNGKAIKAN ISU SEBUTAN DAN EJAAN LAFZ AL-JALALAH

MERUNGKAIKAN_ISU_SEBUTAN_DAN_EJAAN_LAFZ_AL-JALALAH.jpg

 

Lafz al-Jalalah atau kalimah Allah merupakan suatu perkara amat dititikberatkan dalam agama. Hal ini demikian kerana, ruang lingkup ibadah seharian seperti solat dan bacaan al-Quran tidak akan pernah lari daripada mengucapkan kalimah Allah. Bagi mengangkat salah satu daripada syiar agama ini, maka ucapan dan penulisan yang mengandungi kalimah Allah perlulah dijaga sama ada ketika beribadah atau muamalah seharian agar dapat meninggikan martabat agama.

Sebutan Lafz al-Jalalah adalah dengan tidak memanjangkan atau meletakkan huruf mad pada kalimah (اللَّهُ) melainkan pada huruf lam yang terdapat huruf alif mad antara huruf lam dan huruf ha. Walaupun begitu, panjang bacaan tersebut tidak boleh melebihi had yang melampaui batas. Panjang bacaan huruf lam adalah dua harakat sehingga 14 harakat. Selain itu, bacaan huruf alif pada permulaan lafz al-Jalalah tidak dibaca dengan panjang, ini kerana memanjangkan huruf alif pada lafz al-Jalalah akan memberi maksud istifham (pertanyaan).

Bentuk penulisan lafz al-Jalalah dalam Bahasa Arab, para ulama’ telah bersepakat untuk tidak menzahirkan huruf ‘alif mad’ pada Lafz al-Jalalah dalam penulisan kalimah bagi membezakan literalnya dengan salah satu berhala di zaman jahiliyyah iaitu ‘al-Laat’. Manakala penulisan lafz al-Jalalah dalam Bahasa Melayu, secara umumnya masyarakat Malaysia sudah terbiasa dalam menggunakan ejaan ‘Allah’ tanpa sebarang penambahan pada huruf-huruf tersebut apabila dirumikan. Penggunaan ini mencakupi kebiasaan masyarakat awam, ahli akademik di lapangan kajian dan keabsahan pihak berautoriti seperti Dewan Bahasa dan Pustaka. Pembudayaan ejaan ini membentuk satu kebiasaan yang mengangkat kesahan ‘uruf setempat di samping tidak menyelisihi piawaian syarak. Terdapat kaedah fiqh yang menyatakan:

المعروف عرفا كالمشروط شرطا

Maksud: “Sesuatu yang telah terkenal menurut ‘uruf, seperti sesuatu yang disyaratkan sebagai syarat”

Ejaan yang telah digunapakai oleh ‘uruf setempat iaitu “Allah” dan diperakui oleh pihak berautoriti seharusnya tidak menjadi pertikaian yang dipolemikkan oleh sesetengah pihak. Bahkan kalimah “Allah” yang telah dirumikan tidak bercanggah dengan pendapat para ulama dari sudut penulisan dan ucapannya membawa maksud yang sama dengan lafz al-Jalalah dalam bahasa Arab.

Wallahu’alam

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...