183: ISU QAZAF: ADAKAH TERMASUK TUDUHAN LIWAT?
Kemaskini: 16 Jun 2019
Mukadimah
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Oleh kerana isu qazaf berbangkit semula dan menjadi hangat, justeru dalam Bayan Linnas pada kali ini, kami tajukkan dengan Isu Qazaf: Adakah Termasuk Tuduhan Liwat? Semoga sebuah kefahaman yang jelas dipandu kepada kita semua. Amin.
Takrif Qazaf
Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji, qazaf (قذف) dari sudut bahasa membawa erti lontaran tuduhan. Dalam Mukhtar al-Sihah, qazaf (قذف) dengan menggunakan batu adalah melontar menggunakannya. Manakala dari sudut istilah, qazaf (قذف) adalah tuduhan berzina pada tempat celaan dan mengaibkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/427)
Manakala sebahagian ulama’ mendefinisikan qazaf (قذف) sebagai menuduh seseorang melakukan zina, liwat atau menafikan nasab.
Hukum Qazaf
Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (3/427) menyebut: Haram ke atas seorang Muslim untuk menuduh saudara seislamnya dengn tuduhan melakukan perbuatan yang keji (الفاحشة) sama ada tuduhannya itu benar atau pun dusta dari pihak dirinya. Dalam keadaan dusta, sesungguhnya hal tersebut adalah suatu fitnah dan kezaliman dan pendustaan merupakan antara perkara haram yang paling keji. Manakala dalam keadaan tuduhan itu benar, seseorang itu membuka perkara yang tersembunyi serta mencemarkan maruah. Oleh yang demikian, Syarak menganggap perbuatan qazaf termasuk antara dosa-dosa besar. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ وَالسِّحْرُ وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَأَكْلُ الرِّبَا وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ
Maksudnya: Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Lalu para sahabat bertanya: Apakah perkara-perkara tersebut wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang Allah haramkan melainkan dengan adanya hak, makan riba, makan harta anak yatim, berpaling dari medan perang, dan menuduh wanita yang telah berkahwin yang beriman melakukan zina.
Riwayat al-Bukhari (2766) dan Muslim (89)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Imam al-Nasafi telah menyebut bahawa ayat tuduhan terhadap wanita dan juga ayat yang pertama menerangkan had qazaf sedangkan ayat yang kedua menerangkan qazaf termasuk dalam dosa besar. Ini kerana setiap perbuatan qazaf dijanjikan dengan balasan laknat atau azab atau dikenakan hukuman had. Justeru, ia (qazaf) termasuk dalam dosa besar. Inilah yang muktamad. Telah berlaku ijma' bahawa hukum qazaf terhadap lelaki yang muhsan (yang memelihara maruah dan yang baik) sama seperti hukum qazaf terhadap wanita yang muhsanah (yang memelihara maruah dan yang baik). (Lihat Fath al-Bari, 12/181)
Bahkan perbuatan qazaf merupakan antara jenayah yang dikenakan hukuman hudud ke atasnya iaitu pelakunya disebat sebanyak 80 kali sebatan dan gugur penyaksiannya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya: Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.
Surah al-Nur (4)
Ibn al-Arabi berkata: Dua syarat pada yang dituduh daripadanya iaitu, bahawa dia menuduhnya dengan wati' yang melazimi hukuman hadd sama ada zina atau liwat, atau menafikannya daripada ayahnya. (Lihat Ahkam al-Quran, 6/1)
Imam Ibnu Kathir di dalam menghuraikan ayat ini berkata bahawa maksud ‘al-Muhsonah’ ialah wanita yang merdeka, baligh dan terpelihara maruahnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/13) Menurut Imam al-Nawawi, para fuqaha telah bersepakat bahawa Qazaf berlaku sama ada yang dituduh itu perempuan atau pun lelaki. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 22/94)
Hikmah Pensyariatan Qazaf
Antara hikmah disyariatkan hukuman hudud terhadap perbuatan Qazaf adalah kerana Islam menggesa ke arah penjagaan maruah daripada perkara-perkara yang mencemar dan memburukkan maruah.
Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ menyebut bahawa pensyariatan hudud Qazaf adalah bagi memelihara masyarakat Islam dari terjebak ke lembah kehinaan akibat dari tuduh-menuduh dalam soal kelucahan dan begitu mudah mengungkapkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 22/94)
Bayangkan tanpa hukuman qazaf, sudah barang tentu dengan sewenang-wenangnya seseorang boleh menuduh seseorang yang lain sehingga mengaibkan maruah dan menjatuhkannya. Isu seperti ini amat sukar untuk dibuktikan atau disanggah oleh orang yang kena tuduh. Justeru, pada peringkat awal lagi, mereka diberi peringatan supaya tidak bermudah-mudahan dalam menuduh seseorang.
Adakah Qazaf Meliputi Liwat?
Definisi Liwat
Liwat dari sudut bahasa merujuk kepada perbuatan yang dilakukan oleh kaum Nabi Lut disebabkan tidak ada yang melakukan perbuatan jenayah ini sebelum kaum Lut. Ini seperti yang difirman oleh Allah SWT:
وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ
Maksudnya: Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?
Surah al-A’raf (80)
Syeikh al-Maraghi berkata: Perbuatan yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun sebelum kamu pada mana-mana zaman pun tetapi perbuatan itu termasuk dalam perkara baru yang kamu buat dalam soal kerosakan sehingga kamu merupakan contoh dan teladan dalam perbuatan yang jahat. Oleh itu kamu akan menerima dosa dan dosa daripada sesiapa sahaja yang mengikut kamu dalam melakukan perbuatan-perbuatan jahat itu sampai hari kiamat.
Ini merupakan keterangan bahawa keburukan-keburukan yang mereka lakukan adalah bertentangan dengan tuntutan-tuntutan fitrah. Keadaan ini sememangnya tidak diingini oleh hati sesiapa pun daripada umat sebelum mereka, malah hal itu bertentangan dengan petunjuk agama. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/2279)
Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: Ungkapan “أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ” adalah istifham pengingkaran dan penghinaan. (Lihat Tafsir al-Munir, 8/514)
Hukum Liwat
Para ulama’ telah bersepakat akan pengharaman liwat dan menyatakan bahawa ia merupakan antara sebesar-besar perbuatan yang keji. Antara dalil-dalil yang menunjukkan kepada pengharaman liwat adalah seperti berikut:
- Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ.
Maksudnya: Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut. Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut. Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut.
Riwayat al-Nasa’ie (7297)
Hadis ini menunjukkan bahawa pelaku perbuatan liwat dilaknat oleh Allah SWT dan amaran laknat ke atas sesuatu perbuatan menunjukkan kepada haram dan dosa besarnya perbuatan tersebut.
- Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:
اقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ
Maksudnya: Bunuhlah peliwat dan yang diliwat.
Riwayat al-Tirmizi (1456)
Ibn Abd al-Bar berkata:
(اقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ ( يَعْنِي فِي اللُّوطَةِ
Maksudnya: Bunuhlah pelaku dan yang dilakukan (yang diliwat) yakni dalam amalan liwat atau homoseks. (Lihat al-Istizkar, 7/495)
Berdasarkan hadis di atas, wajah dilalah ke atas pengharaman liwat adalah apabila disertakan hukuman bunuh ke atas pelaku perbuatan tersebut. Ini menunjukkan betapa perbuatan tersebut dianggap jenayah dalam Islam dan ditentang dengan sekeras-kerasnya seperti hukuman Tuhan terhadap kaum Nabi Luth yang telah dirakam dalam al-Quran.
Menurut mazhab Jumhur ulama, tuduhan liwat ke atas seseorang adalah kesalahan qazaf, jika tidak dibuktikan dengan empat orang saksi lelaki atau pengakuan ikrar orang yang dituduh. Kami nukilkan daripada kitab al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (33/9):
وَمَنْ قَذَفَ رَجُلاً بِعَمَل قَوْمِ لُوطٍ إِمَّا فَاعِلاً أَوْ مَفْعُولاً، فَعَلَيْهِ حَدُّ الْقَذْفِ؛ لأِنَّهُ قَذَفَهُ بِوَطْءٍ يُوجِبُ الْحَدَّ، فَأَشْبَهَ الْقَذْفَ بِالزِّنَا، وَهَذَا قَوْل الْحَسَنِ وَالنَّخَعِيِّ، وَالزُّهْرِيِّ وَمَالِكٍ وَالشَّافِعِيِّ، وَأَحْمَدَ وَأَبِي يُوسُفَ، وَمُحَمَّدِ بْنِ الْحَسَنِ وَأَبِي ثَوْرٍ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menuduh seorang lelaki dengan perbuatan kaum Lut, sama ada dengan tuduhan sebagai peliwat atau yang diliwat, maka ke atas orang yang menuduh itu hukuman had qazaf. Ini kerana dia menuduh seseorang melakukan persetubuhan yang mewajibkan hukuman had, maka ia menyerupai tuduhan qazaf dengan zina. Inilah pendapat al-Hasan, al-Nakhaie, al-Zuhri, Malik, al-Syafie, Ahmad, Abu Yusuf, Muhammad bin Hasan, dan Abu Thaur.”
Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam kitab Raudhah al-Tolibin (10/90):
قَوْلُنَا: إِيلَاجُ الْفَرَجِ فِي الْفَرْجِ، يَدْخُلُ فِيهِ اللِّوَاطُ، وَهُوَ مِنَ الْفَوَاحِشِ الْكَبَائِرِ، فَإِنْ لَاطَ بِذَكَرٍ، فَفِي عُقُوبَةِ الْفَاعِلِ قَوْلَانِ، أَظْهَرُهُمَا: أَنَّ حَدَّهُ حَدُّ الزِّنَا، فَيُرْجَمُ إِنْ كَانَ مُحْصَنًا، وَيُجْلَدُ وَيُغَرَّبُ إِنْ لَمْ يَكُنْ مُحْصَنًا،
Maksudnya: “Pendapat kami (mazhab Syafie): tenggelamnya faraj (alat sulit) dalam faraj (alat sulit) termasuk dalamnya ialah perbuatan liwat, yang merupakan salah satu daripada perbuatan keji dan dosa besar. Jika seseorang meliwat seorang lelaki, maka tentang hukuman pelakunya ada dua pendapat; pendapat yang azhar adalah hukumannya sama seperti hukuman zina. Maka direjam sekiranya dia seorang yang muhsan, atau dirotan serta dibuang negeri sekiranya bukan muhsan.”
Beliau juga berkata:
إِذَا رَمَى بِالْإِصَابَةِ فِي الدُّبُرِ، كَقَوْلِهِ: لُطْتِ أَوْ لَاطَ بِكِ فُلَانٌ، فَهُوَ قَذْفٌ، سَوَاءٌ خُوطِبَ بِهِ رَجُلٌ أَوِ امْرَأَةٌ
Maksudnya: “Jika seseorang menuduh seseorang mendatangi seseorang pada dubur, seperti dia berkata: “Kamu telah meliwat” atau “Seseorang telah meliwat engkau.”, maka itu adalah qazaf, sama ada jika ia ditujukan kepada lelaki atau wanita.” (Rujuk Raudhah al-Tolibin, 8/311)
Qazaf Liwat Menurut Undang-undang Syariah di Malaysia
Peruntukan berkenaan liwat diperuntukkan di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. Seksyen 25 memperuntukkan ‘mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.’
Manakala Seksyen 41 memperuntukkan bahawa ‘kecuali dalam kes li'an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syarak, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.’[1]
Cadangan Kami
Sudah sampai masanya, kajian dibuat berkenaan hukuman qazaf dimasukkan dalam undang-undang Syariah di Malaysia. Ini kerana pendapat yang rajih dan terpilih serta kuat di sisi kebanyakan ulama’ atau jumhur ulama’ dan juga Imam al-Syafi’e serta mazhab Syafi’e, memasukkan tuduhan liwat kepada seseorang dalam hukuman qazaf. Kami telah nyatakan nas di atas dengan panjang lebar. Dengan memasukkan isu ini sebahagian dalam undang-undang Syariah di Malaysia membolehkan ia juga dihakimi oleh Mahkamah Syariah.
Penutup
Tujuan hukuman yang berat dikenakan terhadap para penabur fitnah dan penyebar aib seseorang khususnya isu qazaf adalah bagi menyekat mereka yang suka menjadikan celaan berbentuk tuduhan seksual agar tidak meneruskan amalan jahat dalam menjatuhkan dan memalukan sesama orang Islam.
Ia bukan semata-mata untuk menyeksa pelaku jenayah, malah pendekatan hukuman hudud qazaf ini adalah sebagai salah satu kaedah ‘sadd al-zara’i’[2] bagi mengekang perkara seperti ini daripada terus berleluasa.
Semoga ini dapat memberi sebuah kefahaman yang jelas berkenaan qazaf kepada kita semua. Kami berdoa kepada Allah agar kita semua terhindar daripada terjebak dengan qazaf kerana ia adalah termasuk daripada dosa-dosa besar. Sesungguhnya perkara berkaitan qazaf sama ada membabitkan tuduhan zina atau liwat dipandang amat serius dalam Islam sehingga hukuman khas terhadap penuduh atau pelaku tersebut tanpa mengemukakan sebarang saksi. Justeru, hendaklah kita berhati-hati dan sentiasa memberi peringatan sesama kita agar ianya bukanlah mudah untuk dilafazkan atau dikatakan kepada seseorang.
Kami akhiri dengan doa kepada Allah SWT:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.
Akhukum fillah,
SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Nota Hujung:
[1] Walau bagaimanapun, berdasarkan kes-kes yang diputuskan sebelum ini, Mahkamah Syariah di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan Selangor enggan menerima tafsiran bahawa tuduhan liwat untuk dimasukkan di bawah kesalahan qazaf di bawah Seksyen 41. Ini kerana menurut para hakim Syarie, akta atau enakmen berkenaan hanya menafsirkan zina sebagai hubungan kelamin antara lelaki dan wanita sahaja, dan tidak memasukkan perbuatan liwat. Justeru, pihak Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes qazaf melibatkan tuduhan liwat. Wallahua’lam.
[2] Definisi al-Zaraai’: Ia adalah kata banyak dari perkataan zari’ah yang bermaksud jalan. Ia merupakan jalan yang membawa kepada mafsadah ataupun maslahah. Akan tetapi penggunaanya lebih banyak kepada jalan yang membawa kepada kerosakan. Oleh itu sad al-zarai’e adalah menutup jalan-jalan yang boleh membawa kepada kerosakan ataupun keburukan.
Contoh-contoh Sadd al-Zaraaie’:
- Pengharaman berkhalwat dengan ajnabi untuk mengelakkan berzina.
- Larangan untuk seorang lelaki meminang pinangan orang lain. Untuk mengelakkan permusuhan dan kebencian.
- Larangan untuk melakukan ihtikar (monopoli). Kerana ia merupakan satu jalan untuk menyempitkan urusan manusia dalam makanan asasi mereka. (Lihat Irsyad Usul Al-Fiqh Siri Ke-3: Sumber-Sumber Hukum Dalam Ilmu Usul Al-Fiqh)
No comments:
Post a Comment