129 : MENGUNDI CALON BUKAN MUSLIM DALAM PILIHANRAYA
PENDAHULUAN
Bidang kepimpinan merupakan satu bidang yang amat dititikberatkan dalam Islam. Menurut al-Quran, kepimpinan dan Islam tidak dapat dipisahkan, memandangkan tujuan penciptaan manusia sendiri ialah untuk menjadi khalifah yang akan memakmurkan bumi. Firman Allah SWT:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". (Surah al-Baqarah :30)
Peri-pentingnya bidang kepimpinan ini ditegaskan beberapa kali oleh al-Qur’an al-Karim dan Rasulullah s.a.w, antaranya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah, taatlah kepada Rasul dan ulil amri dalam kalangan kamu.” (Surah An-Nisaa’ : 59)
Nabi s.a.w juga pernah bersabda:
إِذَا خَرَجَ ثَلَاثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ
Maksudnya: “Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah salah seorang daripada mereka dilantik sebagai ketua.”
Riwayat Abu Daud (2708)
Dalam konteks negara Malaysia, pembentukan kerajaan adalah melalui demokrasi berpilihanraya. Dalam hal ini, timbul persoalan berkenaan keharusan mengundi calon bukan Muslim dalam pilihanraya yang diadakan. Maka kami kemukakan perbahasan berkenaan isu ini yang merangkumi penelitian terhadap dalil-dali Quran dan sunnah, pandangan para ulama silam dan kontemporari serta pentarjihan pendapat terpilih disisi kami.
Ayat Al-Qur’an Berkenaan Pelantikan Non-Muslim Sebagai Pemimpin
- Surah Ali Imran: 28
لَّا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۖ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلَّا أَن تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً ۗ
Maksudnya: “Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu).”
Menurut Syeikh Wahbah az-Zuhaily, ayat ini diturunkan berkenaan sekumpulan orang Islam yang yang menjadikan segolongan orang Yahudi yang mempunyai niat jahat terhadap Islam, dan mereka enggan untuk menjauhi mereka meskipun telah dinasihati dan diperingatkan berkali-kali tentang tipu-daya mereka. Ayat ini ditafsirkan pula melalui ayat 118 surah yang sama apabila Allah SWT menyebut:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ ۚ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi.”
Rujuk Al-Tafsir al-Munir (3/199)
- Surah al-Nisaa’: 144
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۚ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.”
Menurut Ibn ‘Asyur, orang-orang kafir dalam ayat ini merujuk kepada Musyrikin Quraish dan ahli kitab di Madinah, dimana kecenderungan kebanyakan mereka adalah bermusuh terhadap sifat dan berpakat dengan kelompok munafiq untuk menghancurkan Islam
Rujuk Al-Tahrir wa al-Tanwir (5/243).
- Surah al-Ma’idah: 57-58
يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَكُمْ هُزُوًا وَلَعِبًا مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ وَالْكُفَّارَ أَوْلِيَاءَ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ ﴿٥٧﴾ وَإِذَا نَادَيْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ اتَّخَذُوهَا هُزُوًا وَلَعِبًا ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْقِلُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan ugama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan - dari orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang-orang kafir musyrik itu: menjadi penolong-penolong; dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman. Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal. ”
Ibn ‘Asyur sewaktu mentafsirkan ayat ini menyebut bahawa kalimah kuffar merujuk kepada Musyrikin yang tinggal di Madinah yang menzahirkan keislaman sedangkan sebenarnya tidak beriman atau dalam kata lain munafiq i’tiqadi. Terdapat sebahagian orang Islam yang tertipu dengan perlakuan dan penampilan zahir mereka. Diriwayatkan bahawa Ibn ‘Abbas menyebut: Sebahagian orang Yahudi dan Musyrikin ketawa sewaktu melihat kaum Muslimin sujud di dalam solat
Rujuk Al-Tahrir wa al-Tanwir (6/241)
Beliau menambah lagi, wala’ atau kesetiaan kepada orang kafir yang dilarang ialah wala’ sepenuhnya dalam erti kata kesetiaan dari sudut agama. Maka kerana itu ayat ini ditafsirkan dengan ayat ke-51 surah yang sama, وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ yang bermaksud sesiapa yang mengambil orang kafir sebagai teman rapat, maka mereka termasuk dalam kalangan orang kafir tersebut (Al-Tahrir wa al-Tanwir: 6/242).
- Surah Al-Mumtahanah : 1
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُم مِّنَ الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ ۙ أَن تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ رَبِّكُمْ إِن كُنتُمْ خَرَجْتُمْ جِهَادًا فِي سَبِيلِي وَابْتِغَاءَ مَرْضَاتِي ۚ تُسِرُّونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَأَنَا أَعْلَمُ بِمَا أَخْفَيْتُمْ وَمَا أَعْلَنتُمْ
Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu karena kamu beriman kepada Allah, Tuhanmu.”
Para ulama’ tafsir telah bersepakat bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan perbuatan Hathib bin Abi Balta’ah yang menulis surat kepada kafir Quraish mengenai persiapan Rasulullah s.a.w untuk menunaikan umrah pada tahun perjanjian Hudaibiyah. Pandangan lain menyebut ayat ini diturunkan sewaktu Nabi ingin membuka Kota Mekah (Fathu Makkah) namun ia tidak kuat
Rujuk Al-Tahrir wa al-Tanwir (28/132)
- Surah al-Mumtahanah: 8-9
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ . إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
Melalui dua ayat ini, Allah SWT telah menegaskan bahawa ‘illah pengharaman menjadikan orang kafir sebagai teman rapat, pemimpin atau ikutan itu adalah kerana mereka menzahirkan permusuhan terhadap Islam dan menghalau kaum Muslimin daripada tanah air mereka. Adapun yang tidak bersifat dengan yang demikian, maka terkecuali daripada pengharaman ini. Al-Qistu dalam ayat ini bermaksud berlaku adil, manakala al-Birru pula berbuat baik, termasuklah bergaul dengan baik dan memuliakan mereka
Rujuk Al-Tahrir wa al-Tanwir (28/151-152).
Hasil penelitian terhadap ayat-ayat al-Qur’an di atas beserta penjelasan para mufassir dan melihat kepada asbab nuzul, kami dapat simpulkan bahawa kesemua ayat di atas adalah diturunkan dalam konteks hubungan yang tegang antara kaum Muslimin pada zaman Rasulullah s.a.w dengan sebahagian Musyrikin Quraisy dan sebahagian orang Yahudi yang memusuhi agama Islam dengan permusuhan yang nyata. Maka celaan dan larangan daripada menjadikan orang kafir sebagai wali / teman rapat/ penolong terpakai kepada kalangan bukan Muslim yang menzahirkan permusuhan dan kebencian kepada Islam dan yang memerangi orang-orang Islam.
PANDANGAN PARA ULAMA BERKENAAN ISU INI
Haram Melantik Pemimpin Non Muslim
- Al-Qadhi ‘Iyadh, Ibnu Munzir dan Ibnu Hazm menyatakan bahawa para ulama sepakat bahawa kepemimpinan tidak boleh diserahkan kepada orang kafir (Syarh Shahih Muslim: 6/315; Ahkam Ahl al-Dzimmah: 2/787; Maratib al-Ijma’: 208).
- Al-Jassas sewaktu menafsirkan ayat 28 Surah Ali ‘Imran berpendapat ayat ini menjadi dalil pengharaman meminta bantuan bukan Muslim dan mempercayai mereka, dan mereka tidak berhak memperoleh kekuasaan (wilayah) ke atas orang Muslim, dan Ahlu Dzimmah tidak boleh memegang jawatan dalam pengurusan harta dan kekuasaan (Ahkam al-Qur’an: 3/280).
- Ibn Nujaim al-Hanafi sewaktu membahaskan soal syarat pemilihan ‘amil zakat berpendapat hendaklah seorang Muslim, kerana bukan Muslim tidak mempunyai kuasa ke atas orang Muslim, dan beliau juga berpandangan amalan memberikan sebahagian jawatan kepada orang Yahudi pada zaman beliau adalah haram (Al-Bahr ar-Ra’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq: 2/248).
Harus Melantik Pemimpin Non Muslim
- Menurut Ibnu Hajar al-Haitami, adalah harus mengangkat orang bukan Muslim untuk suatu jawatan jika adanya maslahah padanya, dan jika jawatan tersebut tidak mampu dipikul mana-mana orang Islam, atau orang Islam mempunyai sifat khianat dan yang bukan Islam tidak mempunyai sifat tersebut. Namun, pihak yang mengangkatnya ke jawatan tersebut perlu mengawal selia (muraqabah) dan mampu mencegahnya daripada melakukan sebarang kemudaratan terhadap orang Islam (Tuhfah al-Muhtaj ma’a Hashiyah al-Syarwini, 9/73).
- Imam ar-Ramli mengharuskan kerjasama dengan orang bukan Islam apabila mereka tidak berniat khianat terhadap orang Islam dan terdapat keperluan ke arahnya (Nihayah al-Muhtaj: 8/62). Imam Khatib as-Syarbini juga menyatakan keharusan kerjasama dengan bukan Islam jika ada keperluan (Mughni al-Muhtaj: 5/407).
- Sementara Ibnul ‘Arabiy pula menyatakan bahawa jika (pada pelantikan non-Muslim sebagai pemimpin) mempunyai faedah yang muhaqqaqah, maka tidak mengapa (yakni harus melantik bukan Muslim sebagai pemimpin) (Ahkam al-Qur’an: 1/351).
- Imam Fakhruddin Ar-Razi dalam Tafsir Mafatihul Ghaib, ketika menafsirkan ayat 28 Surah Ali ‘Imran di atas berpandangan bahawa larangan yang dimaksudkan adalah menjadikan non-Muslim pemimpin mutlak tanpa ada orang Islam yang sama-sama memimpin (Tafsir al-Kabir: 8/192).
- Menurut Ibn Sa’ad al-Hanbali, antara maksud keadaan dharurah yang dibenarkan melantik bukan Muslim sebagai pemimpin ialah dalam keadaan mereka adalah majoriti, dan disyaratkan mereka itu mempunyai pandangan yang baik terhadap orang Islam, dan mereka dalam kalangan yang boleh dipercayai (Mathalib Uli al-Nuha fi Syarh Ghayah al-Muntaha: 2/532).
- Menurut Muhammad ibn Ahmad Al-Saffarini al-Hanbali, sebahagian ulama’ mazhab Hanbali memakruhkan penyerahan urusan orang Islam kepada yang bukan Islam seperti kutipan cukai tanah dan pembahagian ghanimah kecuali kerana dharurat (Ghaza’ al-Albab: 2/15).
Pandangan Para Ulama Kontemporari
Dr. Yusuf al-Qaradhawi
Menurut beliau, golongan bukan Islam mempunyai hak untuk menjawat jawatan-jawatan negara kecuali jawatan-jawatan yang lebih dominan unsur keagamaan seperti ketua negara, panglima tentera, penghakiman antara orang Islam dan pengurusan zakat. Adapun jawatan-jawatan selainnya maka harus bukan Muslim menjawatnya jika syarat-syarat kompetensi, amanah dan kesetiaan kepada negara dipenuhi. Bahkan beliau turut berpandangan bahawa tiada masalah untuk melantik bukan Muslim sebagai salah seorang timbalan Presiden sesebuah negara, khasnya jika bukan Muslim membentuk jumlah komposisi penduduk yang besar, seperti Sudan
Rujuk Ghayr al-Muslimin fi al-Mujtama’ al-Islami (hlmn 23-24).
Non-Muslim berhak menyumbang suara dan pandangan mereka pada perkara yang tiada nas yang muhkam atau nas yang ada bersifat zhanniy dilalah dan tsubut. Mereka berhak mempunyai perwakilan dalam dewan perwakilan dan kerajaan selagi mana bilangan wakil Musim melebihi wakil bukan Muslim. Bagi beliau, prinsip لهم ما لنا وعليهم ما علينا terpakai dalam keadaan ini, dimana Muslim dan bukan Muslim berkongsi hak dan perlindungan yang sama, dan tertakluk kepada undang-undang yang sama (kecuali dalam kes-kes tertentu).
Beliau juga menyatakan bahawa sepanjang sejarah, orang bukan Muslim telah banyak memegang jawatan-jawatan penting dalam negara Islam, dan tiada seorang ulama’ pun yang mengingkari hal ini. Adapun ayat-ayat al-Qur’an yang melarang muwalah terhadap orang bukan Islam, ia khusus kepada mereka yang mempunyai permusuhan terhadap agama Islam dan penganutnya, bukan semata-mata kerana berbeza agama Rujuk
Rujuk Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam (hlmn 195-197).
Syeikh Wahbah az-Zuhaily
Sewaktu mentafsirkan ayat 28 Surah Ali ‘Imran di atas, beliau menegaskan bahawa tahaluf (kerjasama), kesepakatan, memberi kepercayaan pada perkara-perkara tertentu bersama bukan Muslim adalah diharuskan, selagi mana mereka bukan dalam kalangan yang memusuhi agama Islam dan kaum Muslimin.
Rujuk Al-Tafsir al-Munir (3/202-203)
Syeikh Rashid Ghannouchi
Menurut beliau, seluruh rakyat dalam negara Islam berhak untuk menjawat semua jawatan umum dalam pentadbiran negara kecuali sebagai Imam dan ketua tentera kerana kedua-duanya berkait rapat dengan tugas menegakkan agama. Ini sebagaimana yang diistilahkan oleh Al-Mawardi yang mengkelaskan wizarah kepada dua iaitu tafwidh yang menggagaskan dasar (Perdana Menteri) atau tanfiz yang melaksanakan dasar (Jemaah Menteri)
Rujuk Huquq al-Muwathanah: Huquq Ghayr al-Muslim fi al-Mujtama’ al-Islami(hlmn 79).
PANDANGAN TERPILIH
Setelah meneliti dalil dan pandangan para ulama’ yang dikemukakan di atas, kami berpandangan hukum mengundi non-Muslim dalam pilihanraya dan melantik mereka sebagai pemimpin (kecuali pimpinan tertinggi) adalah harus berdasarkan kepada alasan berikut:
1. Wakil rakyat bukan ketua / imam
Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah menulis:
“Sesungguhnya al-niyabah (perwakilan) merupakan wakil kepada sebahagian orang ramai dalam kawasan tertentu, ia tidak dianggap dalam bab al-imarah (kepimpinan) dan al-wilayah (kekuasaan) yang dilarang dalam hadith daripada memintanya. Seorang wakil (rakyat) bukannya ketua, menteri atau gabenor, tetapi dia sekadar mewakili kawasannya dalam dewan yang berfungsi untuk menegur kepimpinan, penguasa dan para menteri. Oleh itu, dia menegur bukannya yang ditegur.”
Rujuk Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam (hlmn 194)
Kuasa seorang wakil rakyat di Malaysia adalah terhad dan terbatas, dikawal dan terikat dengan undang-undang serta perlembagaan negara. Jika suatu perkara itu menyentuh sebarang urusan yang berkaitan dengan agama Islam, ia perlu melepasi dan mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-raja.
Sistem pengundian di Malaysia juga tidak memestikan seorang wakil rakyat itu memperoleh sebarang kuasa. Jika calon tersebut menang sekalipun, penggubalan dan penetapan dasar tidak terletak pada seorang individu semata-mata, tapi ditetapkan menerusi konsensus atau kehendak majoriti sesebuah dewan yang terbentuk melalui sesebuah parti atau gabungan yang mempunyai dasar tersendiri.
Wakil rakyat yang mewakili Parlimen atau DUN juga bukanlah ketua dalam erti kata sebenar, kerana peranan sebenar mereka adalah membawa suara rakyat ke dan menyuarakan isi hati dan keluhan mereka. Mereka wajib berkhidmat kepada rakyat yang telah memilih mereka. Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
سَيِّدَ الْقَوْمِ خَادِمُهُمْ
Maksudnya: "Pemimpin suatu masyarakat itu merupakan khadam bagi mereka."
Disebut oleh Abu Abdul Rahman as-Sulami dalam kitabnya Adab as-Suhbah (117, 1/89)
2. Wakil rakyat tidak berkuasa menentukan dasar secara sendirian
Pada zaman dahulu, raja-raja berkuasa mutlak dan boleh bertindak sesuka hati tanpa ada kuasa lain yang boleh menghalang. Pada zaman sekarang, doktrin pengasingan kuasa (separation of power) yang diamalkan dalam sistem demokrasi mampu mencegah mana-mana pihak daripada menyalahgunakan kuasa atau melakukan perkara yang melangkaui bidang kuasa yang ditetapkan.
Pada peringkat persekutuan, kuasa legislatif (Parlimen), kuasa eksekutif (Jemaah Menteri) dan kuasa kehakiman (mahkamah) akan saling menyemak-imbang (check and balance) antara satu sama lain demi memastikan tiada salah guna kuasa berlaku.
Selain itu, Yang Dipertuan Agong, Sultan dan Yang Dipertua bagi setiap negeri juga bertanggungjawab memastikan kedaulatan dan kemuliaan agama Islam sentiasa dipelihara seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri. Justeru, kebimbangan melantik non-Muslim sebagai pemimpin akan menggugat kedudukan agama Islam adalah tertolak kerana ia sebenarnya telah dijamin Perlembagaan, dan ia tidak boleh dipinda melainkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.
3. Kontrak sosial Muslim dan non-Muslim
Perlembagaan Persekutuan melalui artikel 8 telah memberikan hak yang sama rata kepada seluruh warganegara untuk perlindungan daripada sebarang diskriminasi berasaskan agama, ras dan jantina dari sudut undang-undang.
Perlembagaan Persekutuan boleh diibaratkan seperti Piagam Madinah yang diasaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w bersama-sama kaum Muslimin dan orang Yahudi di Madinah untuk hidup aman dibawah panji keadilan dan kesaksamaan. Sebagai orang Islam, kewajipan menepati dan mempertahankan perjanjian ini tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak, sebagaimana firman Allah SWT:
وَأَوْفُوا بِعَهْدِ اللَّـهِ إِذَا عَاهَدتُّمْ وَلَا تَنقُضُوا الْأَيْمَانَ بَعْدَ تَوْكِيدِهَا
Maksudnya: “Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah)”.
(Surah an-Nahl: 91)
Kontrak sosial ini merangkumi penghormatan warga non-Muslim terhadap Islam sebagai agama Persekutuan, manakala sebagai imbalannya warga Muslim perlu memberi hak kepada warga non-Muslim untuk menikmati hak yang sama sebagai seorang warganegara, antara lainnya ialah untuk bertanding dan menempati posisi ahli Parlimen, DUN dan menteri kabinet.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ
Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa.”
(Surah al-Maidah : 8)
Keadilan dalam konteks ini termasuk juga memberi hak kepada mereka untuk mempunyai perwakilan di Parlimen dan DUN, terutamanya di kawasan-kawasan majoriti bukan Muslim.
4. Fiqh implikasi dalam masyarakat majmuk
Jika dalil-dalil yang disebutkan di atas difahami secara literal, maka sudah pasti pelantikan seorang non-Muslim untuk apa jua jawatan awam adalah haram. Ini tidak terhad kepada wakil rakyat atau menteri sahaja, bahkan termasuk juga jawatan dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru besar atau pengetua sekolah, ahli Majlis Daerah / Perbandaran / Bandaraya, hakim mahkamah sivil dan pegawai tinggi kementerian.
Keadaan ini sudah pasti akan menimbulkan suasana kucar-kacir dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, selain memperbesar jurang antara agama dan kaum yang akan menatijahkan imej Islam yang buruk pada pandangan non-Muslim. Dalam hal ini, fiqh ma’alat al-af’al (fiqh implikasi) amat perlu diberi perhatian, di mana sesuatu pandangan atau keputusan yang diambil harus mengambil kira kesan dan implikasi yang akan terjadi. Islam akan dilihat sebagai satu agama yang ektrem dan menindas penganut agama lain.
Berdasarkan statistik untuk tahun 2000, penduduk non-Muslim membentuk kira-kira 40% (38.7%) daripada 30 juta rakyat Malaysia (Layari https://www.malaysia.gov.my/). Pembentukan sebuah kerajaan yang hanya terdiri daripada wakil Muslim dalam sebuah masyarakat majmuk adalah suatu yang amat tidak sihat, dan tidak dapat diterima oleh akal dan hati yang sejahtera.
5. Uruf masyarakat Malaysia dalam sebuah negara demokratik
Imam al-Qarafi menyebut bahawa:
وَالْجُمُودُ عَلَى الْمَنْقُولَاتِ أَبَدًا ضَلَالٌ فِي الدِّينِ وَجَهْلٌ بِمَقَاصِدِ عُلَمَاءِ الْمُسْلِمِينَ وَالسَّلَفِ الْمَاضِينَ
Maksudnya: “Kejumudan terhadap fatwa-fatwa dan pandangan ulama’ terdahulu adalah satu kesesatan dalam agama dan satu kejahilan terhadap maksud sebenar mereka.”
Rujuk Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq (1/177)
Begitu juga Ibn ‘Abidin as-Syami, faqih mazhab Hanafi pernah berpesan:
أن المفتي ليس له الجمود على المنقول في كتب ظاهرة الرواية، من غير مراعاة الزمان وأهله، وإلا يضيع حقوقاً كثيرة، ويكون ضرره أكثر من نفعه
Maksudnya: “Seorang mufti tidak seharusnya bersikap jumud terhadap nukilan pandangan terdahulu yang terdapat dalam kitab hanya semata-mata berdasarkan zahir riwayat tanpa meraikan suasana zaman dan masyarakat setempat. Jika tidak, banyak hak-hak yang akan diketepikan, dan membawa mudarat yang lebih besar daripada kebaikan.”
Rujuk Rasa’il Ibn ‘Abidin (2/131)
Keterikatan terhadap pandangan ulama silam sehingga tidak peka kepada tuntutan kontemporari merupakan suatu hal yang harus dijauhi dalam ijtihad dan fatwa. Suasana Malaysia memerlukan satu ijtihad politik yang meraikan ‘uruf dan suasana setempat. Kata Imam Ibnul Qayyim:
تَغْيِيرِ الْفَتْوَى ، وَاخْتِلَافِهَا بِحَسَبِ تَغَيُّرِ الْأَزْمِنَةِ وَالْأَمْكِنَةِ وَالْأَحْوَالِ وَالنِّيَّاتِ وَالْعَوَائِدِ
Maksudnya: “Perubahan fatwa harus disesuaikan dengan perubahan zaman, tempat, keadaan, niat dan adat kebiasaaan.”
Rujuk I’lam al-Muwaqqi’in (1/41)
Demokrasi, iaitu membuat keputusan berdasarkan suara majoriti, telah menjadi satu ‘uruf masyarakat Malaysia dalam memilih pemimpin dan pembentukan kerajaan. Maka ia satu hal yang harus diambil kira dalam berinteraksi dengan nas-nas syara’ dan pandangan ulama’ silam.
Konsep kewarganegaraan dalam sebuah negara bangsa
Sistem kenegaraan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat khilafah-khilafah selepasnya adalah berbentuk Darul Islam, di mana kewarganegaraan dikelaskan mengikut agama, daerah atau negeri yang bermusuh dinamakan Dar al-Harbi dan yang mempunyai perjanjian dinamakan Dar al-Mu’ahad. Warga bukan Muslim dikelaskan sebagai Ahlu Dzimmah yang berlindung di bawah kekuasaan negara Islam.
Adapun pada zaman sekarang, konteks dan sistem yang diamalkan berbeza.. Kerana itulah munculnya ijtihad-ijtihad moden dalam bidang politik yang menganggap pengkelasan warga bukan Muslim sebagai Ahlu Dzimmah tidak lagi sesuai pada zaman sekarang yang mengamalkan sistem negara bangsa (nation state). Antara ulama’ yang berpegang kepada pendapat ini termasuklah Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Wahbah az-Zuhaily dan Dr. Fahmy Huwaidi yang terkenal dengan bukunya Muwathinun la Dzimmiyyun yang berpandangan rakyat bukan Muslim seharusnya dianggap sebagai warganegara yang setaraf dengan rakyat Muslim.
Selain itu, tatkala negara-negara majoriti bukan Islam seperti Kanada dan United Kingdom mulai memperlihatkan peningkatan perwakilan Muslim dalam kerajaan dan kepimpinan negara atas dasar kesetaraan dan kesaksamaan, maka sewajarnya juga Malaysia dan negara-negara majoriti Muslim yang lain menempatkan perwakilan bukan Islam yang sesuai dengan komposisi rakyat yang bukan Muslim dalam pemerintahan negara.
KESIMPULAN
Hasil penelitian yang dilakukan, kami dapati tiada dalil qath’ie (muktamad) yang melarang untuk mengundi calon bukan Muslim dalam PRU di Malaysia dan melantik mereka sebagai pemimpin. Ayat-ayat al-Qur’an yang dijadikan hujah untuk mengharamkan pemilihan bukan Muslim sebagai wakil rakyat, apabila diteliti sebenarnya merujuk kepada orang-orang kafir yang memusuhi Islam dan penganutnya. Adapun bagi golongan bukan Islam yang tidak bermusuh dengan Islam dan patuh kepada Perlembagaan Negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, maka larangan tersebut tidak terpakai. Hal ini termasuk di bawah topik siyasah syar’iyyah bagi pemerintah untuk membenarkan pencalonan mereka atas dasar maslahat kumpulan minoriti.
Tanpa menafikan bahawa majoriti ulama silam mengharamkan pelantikan non-Muslim sebagai pemimpin dan keharusan hanya diberikan apabila terdapatnya darurat. Ini dapat difahami memandangkan konteks hubungan Muslim dan non-Muslim pada waktu tersebut berbeza dengan sekarang.
Kesimpulannya, hukum asal mengundi bukan Muslim dalam pilihanraya dan melantik mereka sebagai pemimpin adalah harus, kecuali apabila terdapat sifat mendatang seperti memberi ancaman kepada kemuliaan Islam, tiada sifat amanah dan tiada kepakaran dalam melaksanakan tugas. Kesemua faktor ini haruslah diambil kira dalam membuat keputusan sebelum mengundi dan memilih, selain memastikan jawatan tertinggi negara seperti Perdana Menteri, portfolio hal ehwal Islam dan pertahanan negara adalah kekal disandang oleh orang Muslim yang berkelayakan sahaja. Wallahu a’lam.
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
No comments:
Post a Comment